Ahad, 19 Mei 2013

ISLAM JUGA MENGHALANG MENIPU DALAM PILIHANRAYA...ZALIM...DOUBLE STANDARD.... SERTA SUKA PENGAMPU

Dewan Negara masih relevan, perlu tambah baik
JAMILAH HAMZAH
19 Mei 2013
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
SHAH ALAM - Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menegaskan Dewan Negara perlu diteruskan bagi membantu kelancaran menguruskan undang-undang negara.

Menurutnya, Dewan Negara yang sedia ada perlu ditambah baik untuk memastikan undang-undang yang bakal dilaksanakan mempunyai badan penapisan awal.

Beliau juga mencadangkan supaya pemilihan ahli Dewan Negara juga dilakukan melalui pilihan raya umum bagi memastikan ia mewakili rakyat.

"Bagi saya ia masih perlu diwujudkan.

"Saya tak setuju (dihapuskan), fungsi 'senat' dengan sebenarnya untuk membantu perjalanan pengurusan undang-undang untuk menjadi badan penapis.

"Senat masih diperlukan dalam konteks perundangan negara kita," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, media melaporkan Presiden DAP Kebangsaan, Karpal Singh menyatakan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memansuhkan Dewan Negara.

"Tiada perlu Dewan Negara. Ia adalah perbelanjaan yang tidak perlu untuk ditanggung rakyat. Tidak ada gunanya.

"Ia hanya menggalakkan orang yang telah ditolak oleh rakyat atau orang lain untuk dibawa ke Parlimen dari pintu belakang melalui Dewan Negara memandangkan dalam undang-undang Parlimen juga termasuk Dewan Negara," katanya.

Sehubungan itu, Mustafa berkata, perkara yang dibangkitkan Karpal tidak melibatkan Pakatan Rakyat (PR).

"Perkara ini kita tak pernah berbincang dalam PR," katanya lagi.

Dalam pada itu, Mustafa juga berkata, Dewan Negara yang wujud masih mengamalkan prinsip demokrasi walaupun tidak sepenuhnya.

"Struktur di dalam Dewan Negara sekarang tak adalah tidak demokratik langsung," katanya.
Tunku Aziz : Nekad terus dedahkan 'rahsia' DAP
MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN
19 Mei 2013
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
SHAH ALAM – Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim mendakwa akan terus mendedahkan semua rancangan DAP yang didakwanya bertujuan untuk merosakkan negara kepada umum.

Sebagai seorang anak Melayu tegasnya, beliau tidak pernah menjual ‘rohnya’ kepada DAP dan menjadi tugasnya untuk mempertahankan keamanan negara dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya akan terus dedahkan kepada umum semua rancangan ‘rahsia’ DAP yang cuba merosakkan negara.

"Sudah menjadi tugas saya untuk mendedahkan tujuan yang tidak betul, saya tidak takut!” dakwanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Ditanya mengenai amaran Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu mengambil tindakan mahkamah sekiranya Abdul Aziz terus mendedahkan rahsia DAP, Abdul Aziz menjawab beliau bersedia berhadapan dengannya di mahkamah.

“Saya tidak takut dengan amaran tersebut, ini negara saya, keluarga saya sudah berada di negara ini sejak ribuan tahun lalu, saya tidak akan jual roh saya kepada DAP.

“Semakin amaran begini dikeluarkan, semakin itulah semangat saya untuk dedahkan ‘rahsia’DAP berkobar-kobar,” katanya.

Semalam, Karpal mahu Abdul Aziz menghentikan pendedahan yang menjadi rahsia dalam parti itu kepada umum.

Menurut Karpal, jika Abdul Aziz benar-benar ‘gentleman’ beliau tidak harus mendedahkan rahsia dalam parti.

Pada Mei 2012, Tunku Abdul Aziz mengumumkan keluar daripada DAP dan melepaskan jawatannya dalam parti itu kerana membantah penganjuran perhimpunan haram di ibu negara pada 28 April 2012 kerana khuatir ia boleh bertukar ganas dan bantahan itu kemudian menimbulkan perselisihan faham antara beliau dengan pemimpin DAP.

Bagaimanapun, beliau tidak menyertai mana-mana parti politik.

Pada awal Mei lalu, Tunku Abdul Aziz mendedahkan di sebuah blog bagaimana beliau boleh menyertai DAP dan selepas setahun menjadi ahli beliau mendapati ideologi dan perjuangan parti itu tidak sehaluan dengan pendiriannya.
Mufti : Islam halang guna kekerasan guling kerajaan
Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2013
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria
SHAH ALAM – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Islam tidak benarkan mana-mana pihak gulingkan kerajaan secara kekerasan dan mereka bertindak demikian dianggap derhaka kepada

“Dalam hadis ada menyebut ‘Halal darahnya sama ada dia Islam atau tidak Islam jika dia menentang kerajaan yang sah secara kekerasan’.

“Orang yang keras seperti puak pelampau perlu ditentang dengan keras, iaitu hukumannya bunuh,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas terhadap kumpulan secara terang-terangan mahu menentang kerajaan yang sah.

“Jika pihak berkuasa membiarkan perkara itu terjadi, rakyat akan anggap kerajaan itu lemah. Mereka yang derhaka ini perlu bertaubat,” katanya ketika mengulas tindakan kumpulan Asal Bukan Umno (ABU) yang didakwa akan guna apa juga cara mengguling kerajaan BN..

Mengulas mengenai tindakan Pas itu, Harussani berkata, sudah semestinya pemimpin parti politik mengingatkan pengikut mereka untuk tidak turut serta dengan perkara yang berbentuk kekerasan yang boleh merosakkan negara dan bangsa.

Sementara itu, bekas Mufi Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, adalah haram menentang kerajaan yang sah dengan cara kekerasan.

Beliau berkata, sistem demokrasi adalah jalan yang diterima dalam pemilihan pemimpin di negara ini.

“Pada asasnya tidak boleh tumbangkan demokrasi dengan jalan kekerasan terhadap negara. Gunakan kekerasan atau tumpaskan kerajaan dalam cara begini haram di sisi Islam,” katanya.

Menurut Asri, kelemahan kerajaan bukan bermaksud pembangkang boleh menyerang dengan sesuka hati.

“Arab Spring boleh diterima, cuma tidak sesuai di Malaysia kerana Malaysia tidak seteruk negara Arab.

“Walaupun ada kekurangan jangan terukkan keadaan dengan cara teruk,” katanya.

Pas juga memberi jaminan tidak akan turut serta dalam sebarang usaha menggulingkan kerajaan secara kekerasan.

Asri, yang juga Fellow di Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford berkata, ruang harmoni di Malaysia masih luas apabila pemimpin beza parti masih boleh duduk bersama dalam satu majlis.

“Hubungan politik dalam negara masih baik. Contohnya apabila pemimpin Pas sakit, pemimpin Umno melawat.

“Masih ramai lagi yang rasional daripada tidak baik. Masih ramai lagi pengundi atas pagar daripada yang cenderung dalam politik,” katanya.
Diugut lakukan hubungan seks
Wartawan Sinar Harian
17 Mei 2013
Mizan Md Dom
Mizan Md Dom
REMBAU – Angkara nafsu, seorang lelaki sanggup mengugut gadis berusia 15 tahun untuk melakukan hubungan seks dengannya buat pertama kali selain mengugut untuk menggunakan kekerasan sekiranya perkara berkenaan terbongkar.

Bagaimanapun, gadis yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, akhirnya nekad untuk membuat laporan polis pada 13 Mei lalu setelah beberapa hari insiden keji berkenaan berlaku.

Jurucakap polis berkata, kejadian berkenaan berlaku di rumah nenek mangsa sendiri di Kampung Batu Hampar, dekat sini kira-kira 2 pagi pada 8 Mei lalu.

Menurutnya, ketika kejadian dipercayai tiada sesiapa berada di rumah berkenaan.

"Gadis itu dipaksa oleh lelaki yang dikenalinya itu untuk melakukan hubungan intim.

"Malah, lelaki itu juga dengan beraninya mengugut untuk memberitahu keluarga mangsa sekiranya kemahuannya tidak dipenuhi," katanya.

Katanya, disebabkan keliru dengan ugutan berkenaan, mangsa yang ketakutan terpaksa memenuhi permintaan keji lelaki berusia 19 tahun itu.

"Lelaki berkenaan dipercayai tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bekerja mengikut kenalan sahaja," katanya dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi kesalahan rogol.

“Suspek kini sudah ditahan pada hari yang sama laporan dibuat oleh mangsa," katanya.
Menangis tak dapat rasa siput sedut air tangan isteri
Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2013
Menangis tak dapat rasa siput sedut air tangan isteri
Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengangkat mayat mangsa di tempat kejadian. Gambar kecil: Allahyarham Borhan Adam
KRUBONG - Hasrat seorang pemandu lori untuk menikmati masak lemak siput sedut tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Jalan Krubong-Pantai Belimbing di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Borhan Adam, 46, yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya maut di tempat kejadian apabila motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah kereta jenis Toyota Corona yang datang dari arah bertentangan.

Menurut isteri mangsa, Roszimah Shaharudun, 45, ketika kejadian, suaminya itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Krubong Jaya ke tempat kerjanya di sebuah kedai menjual bahan binaan yang terletak di Kawasan Perindustrian Krubong.

“Suami keluar rumah awal pagi kerana dia perlu menghantar barang pembinaan ke Kuantan, Pahang.

“Hampir setiap hari dia keluar awal pagi kerana perlu menghantar barangan kepada pelanggan yang terletak di luar Melaka,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka semalam.

Roszimah berkata, dia bagaimanapun berasa terkilan apabila tidak dapat memenuhi hasrat terakhir suaminya itu untuk memakan masak lemak siput sedut.

“Tengah hari semalam (kelmarin), suami ada meminta saya memasak siput sedut namun saya tidak dapat masaknya kerana bahan-bahan seperti siput sedut, santan dan keladi tiada di rumah.

“Sebaik pulang dari kerja kira-kira jam 6.30 petang, dia bertanyakan sama ada saya sudah memasak siput sedut dan berasa kecewa hingga menangis apabila diberitahu saya tidak sempat memasaknya kerana ketiadaan bahan,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian pergi ke Kuala Lumpur menziarahi ibunya dan hanya mengetahui suaminya itu ditimpa kemalangan apabila menerima panggilan telefon daripada anak saudaranya pada jam 6 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa ketika kejadian menunggang motosikal miliknya dari arah Taman Krubong Jaya menghala ke persimpangan lampu isyarat Krubong/Lebuh SPA di sini.

“Tiba di tempat kejadian, sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun yang datang dari arah bertentangan telah terbabas lalu memasuki laluan mangsa.

“Kereta ini kemudian melanggar motosikal mangsa menyebabkan mangsa tercampak ke atas atas cermin kereta hadapan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Katanya, kereta terbabit ditinggalkan pemandunya kira-kira kira 100 meter dari tempat kejadian kerana bimbang akan keselamatannya namun telah melaporkan kemalangan berkenaan kepada pihak polis tengah hari semalam.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat terbaring dalam tandas
SYAMILAH ZULKIFLI
19 Mei 2013
Mayat terbaring dalam tandas
Mayat yang ditemui terbaring di dalam tandas awam di pekarangan Bazar Mains.
SEREMBAN – Orang ramai yang sedang menjamu selera di pasar malam di pekarangan Bazar Mains di sini kelmarin gempar apabila seorang lelaki warga Indonesia ditemui terbaring di dalam tandas di bazar berkenaan.

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu hanya disedari oleh orang awam yang ingin menggunakan kemudahan tandas di situ sebelum memaklumkan kepada pengawal keselamatan yang bertugas.

Pengawal keselamatan bazar berkenaan, Khairul Ridzuan Abdul Rashid berkata, dia bergegas pulang ke tempat kerja sebaik sahaja rakannya memaklumkan perkara itu.

“Ketika itu saya di Senawang dan kawan saya telefon beritahu ada orang terbaring di dalam tandas.

“Jadi saya bersama rakan dan ketua pengawal membuat pemeriksaan dan mendapati lelaki terbabit tidak sedarkan diri sebelum menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian itu lelaki dipercayai berusia lingkungan usia 50-an itu dilihat mundar-mandir di bazar ini sejak jam 6 petang.

Bagaimanapun Khairul Ridzuan berkata, keadaan lelaki itu tidak mencurigakan namun dia kelihatan letih seperti kurang sihat.

“Dia tidak buat apa-apa, tapi bila lama berjalan selepas itu dia mula duduk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika mengesahkan kejadian berkata, kes tersebut tidak melibatkan unsur jenayah.

“Mangsa dipercayai menghidap sakit jantung dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ketua Pemuda Umno Bagan Serai meninggal
KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
18 Mei 2013
Sharudin
Keadaan Sharudin yang terlantar di Unit Rawatan Rapi(ICU) Hospital Taiping sambil ditemani isteri dan ahli keluarga.
BAGAN SERAI - Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan Serai, Sharudin Ahmad yang tidak sedarkan diri sejak tiga hari lalu disahkan meninggal dunia malam ini.

Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi hati, jantung dan buah pinggang setelah dijangkiti bakteria di Hospital Taiping jam 8.30 malam.

Sebelum ini arwah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping kerana mengalami masalah berkenaan.

Calon Barisan Nasional(BN) Dun Selinsing pada PRU13 itu meninggalkan seorang balu dan tiga anak setelah bertarung nyawa pada awalnya di Hospital Columbia Asia sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping.

Ketika menjalani rawatan beberapa pemimpin politik sempat melawat beliau termasuklah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Zaili Cha.

Pada petang sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, Umno Bahagian Bagan Serai sempat mengadakan majlis doa selamat bagi memohon agar kesihatan Sharudin pulih.

Kepimpinan Umno Bahagian Bagan Serai sebelum ini sentiasa memantau keadaan Sharudin dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Tarmizi ketika ditemui menegaskan pihaknya bersimpati dengan keadaan Sharudin yang disifatkannya sebagai pemimpin politik mesra rakyat.

Menurutnya, Sharudin juga dianggap komited dalam perjuangan parti dan sentiasa memberikan yang terbaik sewaktu dipilih sebagai calon BN pada PRU13 lalu.
Pembangkang perlu akur, undi popular bukan penentu bentuk kerajaan
ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
19 Mei 2013
SHAH ALAM – Isu undi popular tidak sepatutnya timbul kerana sudah 13 siri pilihan raya umum (PRU) dijalankan di Malaysia berdasarkan sistem pemilihan kawasan mengikut parlimen.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, perbandingan antara undi popular bukan penentu kemenangan sesuatu parti untuk membentuk kerajaan.

“Peratusan penduduk berubah, sudah lebih lapan tahun tiadanya persempadanan semula, jadi sudah pasti ada peningkatan penduduk di suatu kawasan terutamanya di kawasan bandar.

“Kebanyakan Pakatan Rakyat (PR) menang di kawasan bandar, oleh itu majoriti mereka lebih banyak daripada Barisan Nasional (BN) yang lebih banyak menang di kawasan luar bandar di mana jumlah pengundinya hanya lapan ke sepuluh ribu sahaja,” katanya.

Menurut Shamsul Adabi, pembangkang sengaja mempersoal isu undi popular itu ketika ini kerana gagal mengotakan janji penyokong mereka.

“Kenapa mereka tidak timbulkan perkara ini semasa PRU12? Pembangkang sengaja mainkan isu ini kerana sistem kita amalkan jumlah pengundi di setiap kawasan adalah berbeza. Adalah mustahil untuk diselaraskan,” katanya.

Beliau yang merupakan Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) percaya kerajaan sentiasa bersedia menambah baik sistem sedia ada, tetapi pembangkang perlu menerima hakikat setiap kali pembaharuan itu dilakukan.

“Sudah tentu dalam pelaksanaan ada kekurangan tetapi tidak bermakna pelaksanaan itu gagal. Jika benar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus, bagaimana mereka boleh tambah kerusi di Parlimen pada PRU kali ini,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian berkata, sistem 'first-past-the-post’ masih diamalkan sejak dari dulu.

“Walaupun menang dengan satu undi, parti itu tetap menang, jadi kerusi dimenangi BN lebih banyak daripada PR membolehkan BN bentuk kerajaan,” katanya.

Sivamurugan berkata, pembangkang sepatutnya akur dengan sistem yang telah diamalkan sejak tahun 1959 itu.

“Peratusan keluar mengundi tinggi, itu antara sebab undi popular meningkat. Bagaimanapun mereka tidak boleh gunakan situasi ini sebagai alasan untuk bentuk kerajaan.

“Sudah jelas apa yang diimpikan mereka tidak jadi realiti, oleh itu seharusnya PR berusaha mengekalkan sokongan rakyat kepada mereka dengan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan bukan mengajak rakyat turun kejalanan untuk menentang keputusan PRU yang telah dimuktamadkan,” katanya.

Beliau turut menjadikan analogi dalam sistem bola sepak sebagai contoh mudah.

“Jika pasukan Perak berada di tangga ketiga liga, tetapi mereka mempunyai kelebihan dalam jumlah gol berbanding Selangor yang hanya menang dengan perbezaan satu gol.

“Tetapi Selangor menang hampir di setiap perlawanan membuatkan mereka berjaya mengumpul mata dan berada di tangga teratas berbanding Perak yang pernah mengalami kekalahan dalam dua ke tiga perlawanan,” katanya.

Tiada ulasan: