Jumaat, 3 Mei 2013

ELOKLAH DAH SEDAR...DAN BERKATA BENAR...WANG TAK SAMA...DENGAN SIKSAAN DIAKHIRAT....BUATLAH KERJA2 ALLAH SUKA....BUKAN SEBALIKNYA

Hari ini rakyat lawan BN - Salahudin

Abdul Aziz Mustapha, 03 Mei 2013


KUALA LUMPUR: "Hari ni people vs Umno Barisan Nasional (BN)," demikian reaksi spontan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika diminta mengulas tentang "tsunami dari Johor" yang kini melanda seluruh negara.

"Hari ni sudah sudah sampai ke tahap yang tak pernah kita bayangkan sebelum ini.

"Hari ni bukan lagi Pakatan Rakyat mencabar cengkaman kuasa BN.

"Hari ni people vs Umno BN. Rakyat sendiri yang berlawan dengan Umno BN!" kata calon PAS bagi Parlimen Pulai itu.

Salahuddin berkata, ribuan rakyat yang hadir sehingga ada yang mencecah jumlah puluhan ribu membuktikan satu tahap semangat.

"Tahap semangat itulah yang menyatakan dengan jelas kepada kita bahawa apa yang berlaku kini adalah people vs Umno BN," katanya.

Ketika di tanya apakah yang menyebabkan beliau begitu bersyukur sepanjang kempen beliau, Salahuddin terus berkata: "Peningkatan sokongan pengundi Melayu yang tidak disangka-sangka setelah sokongan pengundi Cina menjadi gelombang raksaksa yang luar biasa hebat."

Beliau memberitahu, ramai orang kuat Umno di peringkat akar umbi di Pulai dan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya yang turut ditandinginya yang sebelum ini langsung tidak boleh didekati kini menjadi penyokong PAS malah ada yang menjadikan rumah mereka sebagai pusat operasi kempen PAS.

"Kita juga menerima sokongan dari penduduk-penduduk di kawasan setinggan. Malah banyak perkara tidak disangka yang berlaku yang kesemuanya saya sifatkan sebagai pertolongan Allah," kata beliau.

Salahuddin juga yakin kesedaran semakin ramai pengundi Melayu tidak boleh dibendung lagi oleh pelbagai risalah perkauman yang diedarkan bagi membantu BN menghadapi arus kebangkitan rakyat kini.

"Saya mengajak para pengundi Melayu supaya menyedari bahawa kita di dalam Pakatan hendak membebaskan mereka dari penipuan Umno yang hanya memperdayakan orang-orang Melayu dengan api perkauman, sentimen dan emosi," katanya.

PAS, kata Salahuddin, hendak membawa orang-orang Melayu kepada era baru di bawah Pakatan di mana peruntukan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang menjamin kedudukan orang-orang Melayu akan diolah untuk menggerakkan usaha pemantapan pendidikan besar-besaran yang berteraskan usaha meningkat dan mengukuhkan pegangan mereka kepada agama Islam.

"Kita hendak mengajak Melayu berpindah dari politik hasutan perkauman yang ditaja oleh Umno kepada politik membina kualiti bangsa Melayu berasaskan pendidikan dan keimanan kepada Allah.

"Kita mengemukakan janji yang realistik iaitu pemantapan pendidikan dan keimanan yang menjadi senjata terbaik orang-orang Melayu.

"Kita tidak janjikan ekuiti yang tidak pernah pun dapat dicapai, kita tidak janjikan angan-angan tidak kesampaian," tegas beliau.

Manifesto Pakatan mampu dilaksanakan - TG Haji Hadi

Harakahdaily, 03 Mei 2013
KUALA LUMPUR: PAS penuh keyakinan manifesto Pakatan Rakyat yang telah dikemukakan boleh dan mampu dilaksanakan jika diberikan amanah untuk mentadbir negara ini.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) dalam kenyataan medianya berkata, semuanya telah dikaji dengan mendalam oleh pakar-pakar ekonomi, sosial, masyarakat dan agamawan untuk menentukan ianya boleh dan mampu dilaksanakan oleh kerajaan baru nanti.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua lapisan rakyat negara ini memberikan kepercayaan penuh kepada PAS, PKR dan DAP dalam pilihan raya umum ini.

"Berdirilah dengan bangga, yakin dan jiwa merdeka, dengan tanpa ragu-ragu untuk mengundi parti-parti dalam Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP dalam PRU-13 ini," ajak Tuan Guru Haji Hadi dalam kenyataannya.


Berikut adalah kenyataan penuh beliau.



KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
Jumaat 3 Mei 2013/22 Jamadil Akhir 1434

“MANIFESTO PAKATAN RAKYAT ADALAH KOMITMEN IKHLAS KAMI”

1.         Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersama rakan-rakan dalam gagasan Pakatan Rakyat (PR) ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia berbagai agama, kaum dan etnik, untuk menjadi pengundi yang bebas dan merdeka dengan menjadikan peluang mengundi dalam PRU-13 ini sebagai saat penting dalam sejarah Malaysia.

2.         Lihatlah bahawa PR menawarkan calon-calon yang lebih amanah dan berkelayakan, disamping lebih memahami penat lelah rakyat yang menjadi warganegara Malaysia yang tercinta ini.

3.         Rakyat Malaysia telah dihidangkan dengan manifesto PR yang menyentuh pelbagai aspek. Semuanya telah dikaji dengan mendalam oleh pakar-pakar ekonomi, sosial, masyarakat dan agamawan untuk menentukan ianya boleh dan mampu dilaksanakan oleh kerajaan baru nanti.

4.         Pimpinan UMNO/ BN mengatakan bahawa manifesto PR ini adalah mencabar perlembagaan, karut dan hanya janji yang tidak boleh dilaksanakan. Pimpinan UMNO/BN berfikir demikian kerana itulah cara kerja mereka selama puluhan tahun ini, dengan memerah hasil negara melalui pengurusan kewangan yang lemah, kos projek yang meningkat berganda, ketirisan dan salah guna kuasa.  Bacalah dengan fikiran terbuka Laporan Global Financial Integrity (GFI) (Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2000-2009 - Update with a Focus on Asia). Pengaliran wang dari Malaysia ke luar bertambah tiga kali ganda dari USD 22.2 billion pada tahun 2000 ke USD 68.2 billion pada 2008. Akhirnya Malaysia menjadi negara ke tiga paling banyak berlaku pengaliran wang keluar selepas China dan Mexico untuk tempoh 2001 – 2010. Itulah kepandaian pimpinan UMNO/BN dalam menguruskan kewangan negara !.

5.         Saya juga ingin mengulangi komitmen bahawa pembayaran royalti petroleum 20% kepada  negeri-negeri pengeluar minyak iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan termasuklah Pahang dan Johor boleh dilakukan, pengurangan harga minyak, penghapusan tol, pemansuhan PTPTN, pendidikan percuma, pengurangan tarif elektik kediaman; semuanya adalah BOLEH dan MAMPU dilaksanakan oleh kerajaan PR sekiranya memerintah Malaysia nanti.

6.         Peluang pekerjaan baru akan diwujudkan. Bagaimana?. Sektor pembuatan dan  perkhidmatan akan berkembang dengan lebih pesat apabila dipacu oleh modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi, manakala gejala rasuah dan ketirisan akan dibanteras ke akar umbinya serta menghalang pengaliran wang haram ke luar negara. Ini semua mampu merancakkan aktiviti pelaburan domestik seterusnya menjana lebih peluang pekerjaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

7.         Kakitangan kerajaan sektor awam pula akan terus dijaga kepentingan kebajikan dan imbuhan mereka. Kerajaan baru nanti tidak akan bertindak mengugut dan memenjarakan fikiran kakitangannya dengan peraturan yang menakutkan seperti dalam notis oleh Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri. Lantaran itu, peruntukan undang-undang yang menekan seperti AUKU akan dimansuhkan manakala reformasi institusi kehakiman dan kamar peguam Negara, PDRM dan SPRM akan dilakukan.

8.         Golongan wanita akan menikmati Caruman Wanita Malaysia oleh kerajaan dan suami mereka mengikut kadar yang akan ditentukan. Pusat jagaan anak anak di tempat kerja sektor kerajaan akan diwujudkan megikut kesesuaiannya manakala di sektor swasta akan diberikan galakan menerusi insentif kewangan dan percukaian.

Berdirilah dengan bangga, yakin dan jiwa merdeka, dengan tanpa ragu-ragu untuk mengundi parti-parti dalam Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP dalam PRU-13 ini.

MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN
PAKATAN HARAPAN RAKYAT

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Calon Pakatan jumpa kilang cetak risalah haram

Hazayani Zakaria, 03 Mei 2013

(Gan, Zaidi dan William menunjukkan contoh risalah haram yang dicetak oleh kilang tidak bernama di Selayang)

SELAYANG: Pakatan Rakyat Selayang mengesan sebuah kilang yang beroperasi mencetak risalah propaganda menggunakan nama PAS, PKR dan DAP.

Kandungan risalah tersebut menggambarkan jika Pakatan Rakyat memerintah Malaysia, agama Islam tidak lagi menjadi agama rasmi, sistem beraja dimansuhkan, kalimah Allah boleh digunakan oleh semua agama, hak keistimewaan Melayu dihapuskan, agensi-agensi Mara, Felda, Felcra dan Risda dimansuhkan dan askar Melayu serta Polis DiRaja Malaysia dibubarkan.

Selain itu terdapat juga risalah yang bertulis 'Sanggupkah anda menggadai kalimah Allah' didapati sedang dicetak di kilang yang tidak mempunyai papan tanda di luarnya itu, beralamat di No 26, Jalan SU 26 Selayang Utama.

Menurut Yang Dipertua PAS Selayang Zaidi Talib yang juga calon PAS N15 Taman Templer, operasi kilang tersebut disedari secara tidak sengaja oleh pihaknya sewaktu berkempen bertemu pengundi petang semalam.

Rombongan Zaidi dan seorang lagi calon PKR ke kilang tersebut kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Sewaktu tiba di kawasan kilang, pihaknya melihat sebuah kereta Proton Wira berlambang dacing dengan dua orang pemuda di dalamnya.

Tanpa mengesyaki apa-apa, rombongannya masuk ke kilang dan bersalam-salaman dengan para pekerja.

Sewaktu mahu keluar dari kilang, Zaidi menyedari terdapatnya lambakan risalah dengan lambang PAS, PKR dan DAP.

Mula mengesyaki sesuatu, mereka meneliti risalah-risalah tersebut.

"Selepas kami melihat risalah-risalah itu, ternyata itu risalah propaganda menggunakan nama Pakatan Rakyat bertujuan menakutkan orang Melayu," katanya pada sidang media di Pejabat PAS Kawasan Selayang bersama calon PKR N14 Rawang Gan Pei Nei dan calon PKR P97 Selayang william Leong.

Zaidi berkata, kereta yang dilihat mereka sebelum itu terus hilang selepas mereka menyedari kewujudan risalah-risalah tersebut.

Sehubungan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Selayang jam 5.20 petang semalam.

"Polis dan Pemantau SPR datang ke kilang dan rampas risalah-risalah tersebut.

"Kami harap siasatan segera dilakukan siapa yang mengarahkan kilang ini mencetak risalah sebegini berdasarkan bukti-bukti yang kami nyatakan.

"Ada sebahagian risalah yang sudah diedar di sekitar Selangor dan ada sebahagian yang akan diedarkan hari-hari terakhir kempen," katanya.

Sementara itu, Gan Pei Nie berkata, beliau diberitahu jentera PKR bahawa risalah tersebut ditemui di sekitar kawasan Rawang.

"Mereka jumpa risalah ini banyak di atas jalan dan saya minta kepada sesiapa yang jumpa risalah ini terus bawa ke balai polis dan buat laporan," katanya sambil menunjukkan satu plastik risalah yang dikumpul.

William pula kesal dengan sikap pihak tertentu yang mengeluarkan risalah atas nama DAP, kononnya parti itu kesal dengan kegagalan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menyelesaikan krisis air di negeri itu.

"Risalah ini ditulis untuk mengelirukan rakyat dan berniat menimbulkan kebencian antara kaum.

"Saya minta polis menyiasat perkara ini dan rakyat kena tolak kempen politik begini," katanya.

Cybertrooper Umno taubat, mohon maaf pada Harakahdaily

Harakahdaily, 03 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Setelah menyerang setiap artikel Harakahdaily bertubi-tubi samada di Facebook Harakahdaily atau di web, akhirnya cybertrooper Umno yang terkenal “Lans Koperal Tangkap Lalat” akhirnya bertaubat.

Berikut ialah apa yang ditulis di dalam satu ruangan komen beliau –


“Assalamualaikum.

Tadi saya hampir terlibat dengan kemalangan yang mungkin meragut nyawa saya. Saya nyaris mati dilanggar lori besar tadi, dan saya yakin, Allah selamatkan saya untuk memberi peluang kepada saya bertaubat.

Saya tahu saya banyak berdosa.

Saya nak mintak maaf dekat Harakahdaily, kerana selama ini menghentam semua berita yang Harakahdaily terbitkan. Saya meminta maaf kepada semua penyokong/pimpinan PAS/DAP/PKR atas komen2 saya yang mengarut/merapu/mencerca/menghina anda semua selama ini.

Saya minta maaf, saya tahu kalau saya mati tadi, segala apa yang saya buat selama ini akan datang balik menghantui saya. Saya fikir, cukuplah saya menjadi macai menghina anda semua, tapi akhirnya saya masuk neraka.

Saya benar2 bertaubat. Saya takkan merapu lagi. Apa yang saya tulis selama ini, semua saya tahu bohong, tapi saya gila duit. Tapi kini saya sedar, duit yang banyak, kalau mati masuk neraka tak guna juga.

Saya minta maaf Harakahdaily. Saya dah bertaubat.

Saya akan minta rakan2 cybertroopers BN yang lain untuk turut berhenti buat kerja ini.”

Gambar ialah snapshot komen beliau. Facebook beliau boleh dilayari di sini: https://www.facebook.com/lanskoperal.tangkaplalat

Atas dasar kebebasan bersuara, Harakahdaily tidak pernah menghalang Lans Koperal Tangkap Lalat untuk menulis komen merapu di laman milik Harakahdaily.

Tiada ulasan: