Jumaat, 17 Mei 2013

GUNA KUASA YANG ADA UNTUK BERCAKAP SESUKA HATI...SEBENARNYA MEMALUKAN DIRI SENDIRI..AKHLAK PERLI@SINDIR SERTA DENDAM...RASA DIRI BAGUS SANGAT KOD

Khairy tunjuk belang di hari pertama jadi menteri

Harakahdaily, 17 Mei 2013

KUALA LUMPUR: Setelah menjadi menteri, Khairy Jamaludin membuat dua kenyataan penting. Pertama, pandangan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya pandangan peribadi, kedua beliau akan menjadi menteri untuk semua belia.


(Khairy ketika mula masuk ke pejabatnya hari ini  - pic Malaysiakini)

"Itu adalah pandangan peribadinya. Tidak mencerminkan pendirian kerajaan," kata Khairy dalam sidang medianya mengulas pandangan Zahid dalam tulisannya di akhbar Umno, Utusan Malaysia.

Zahid semalam menyeru golongan yang enggan menerima sistem pilihan raya berhijrah ke negara yang menjalankan pilihan raya mengikut kaedah yang digemari, sama ada list system atau single transferable vote di negara republik.

Menteri dalam negeri itu menulis di Utusan Malaysia, merujuk kepada siri perhimpunan besar pembangkang di seluruh negeri yang mempertikaikan keputusan pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Khairy juga hari ini berkata, Kementerian Belia dan Sukan akan menjadi kementerian kepada semua dan beliau akan berbincang dengan semua pihak bagi mencapai hasrat ini.

"Saya akan menulis surat kepada semua Pemuda parti politik, Pemuda PAS, datang bersembang dengan saya, apa idea kamu, dan apa jangkaan kamu. Ini cara saya untuk mempromosi national reconciliation.

"Ini adalah kementerian belia dan sukan Malaysia, bukan kementerian belia dan sukan Barisan Nasional," katanya dalam sidang media pertamanya hari ini selepas mengangkat sumpah sebagai menteri.

Sejak lima tahun dahulu Khairy disisihkan oleh pentadbiran Najib kerana bimbangkan tentangan dari musuh peribadinya, Tun Dr Mahathir.

Namun, Najib mengambil Khairy dalam kabinetnya kali ini.

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan perlantikan Khairy sebagai pertahanan Najib untuk melawan kritikan Tun Dr Mahathir.

Kenapa Ahmad Maslan pilih perkataan ‘meliwat’?

Harakahdaily, 17 Mei 2013


KUALA LUMPUR: Orang berkata penggunaan bahasa melambang watak dan keperibadian seseorang.

Mungkin itulah yang ingin dicerminkan oleh Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno hari ini dalam tulisannya di Utusan Malaysia yang bertajuk: “Jangan ‘meliwat’ fikiran rakyat”.

Dalam artikelnya, Ahmad menekankan bahawa himpunan aman dan demonstrasi jalanan tidak wajar disalahgunakan, sebaliknya bantahan terhadap proses pilihan raya hendaklah dibuat menerusi petisyen pilihan raya.

Sambil mengakui bahawa BN tewas undi popular di tangan Pakatan Rakyat, Ahmad berkata sistem pilihanraya negara mementingkan jumlah kerusi yang dimenangi.

“Oleh itu, pembangkang yang sering mendakwa mereka pandai dan layak memerintah sepatutnya faham undang-undang negara ini dan jangan memalukan diri sendiri. Jangan 'meliwat' pengetahuan dan akal sendiri. Malulah dan hormatilah rakyat.

“Setiausaha SPR, Datuk Kamarudin Baria menjelaskan, BN berjaya meraih 47% undi popular, manakala PKR 20.0%, DAP 15.4% dan Pas 14.5% (jika dijumlahkan hanya 49.9%),” kata beliau.

Namun bagaimana pengetahuan dan akal boleh ‘diliwat’ hanyalah Ahmad yang mengetahuinya.

Sebelum ini, Ahmad turut menimbulkan kontroversi apabila mengaku menonton video lucah yang diledakkan oleh Datuk T bersama isterinya.

“Apa yang telah disahkan oleh (Datuk Shazryl) Eskay adalah benar dan siapa yang melihat video itu mengaku ia adalah benar. Ya, saya tonton dengan isteri saya,” kata beliau.

Mengenai dakwat kekal yang tidak kekal, Ahmad berkata BN memberikan sokongan penuh kepada nasihat profesional pakar-pakar di Kementerian Kesihatan dan keputusan SPR untuk mengutamakan dan melindungi pengundi daripada bahaya kanser dan penyakit buah pinggang akibat kandungan bahan silver nitrat yang tinggi.

“Kadar itu memadai untuk membolehkan dakwat itu kekal 30-70% di jari pengundi selama 10 jam. Untuk kekal lebih lama, kadar sodium nitrat perlu ditambah, tetapi risiko pengundi mendapat kanser akan lebih tinggi,” kata beliau.

Namun begitu, Maslan tidak mengulas mengapa SPR sendiri memberi jaminan dakwat kekal akan tahan tujuh hari, terutamanya untuk para pengundi awal.

Dan lebih teruk lagi, mengapa alasan sedemikian tidak dimaklumkan kepada rakyat sebelum tarikh mengundi bagi pengundi awal dan hari mengundi?

Tepuk dada tanya iman sendiri.

Alkisah dua orang pesakit

Tuan Ibrahim Tuan Man, 17 Mei 2013

Dua pesakit, yang sakit kronik duduk di dalam bilik hospital yang sama bertingkap satu. Setiap mereka hanya dibenarkan untuk duduk tegak sejam sehari pada waktu tengahari untuk jururawat membersihkan katil. Selain itu, dua lelaki itu hanya terlantar sepanjang hari.

Daud dan Din bercakap tanpa henti setiap hari. Mereka berbicara mengenai isteri, keluarga, rumah, kerja dan tempat di mana pernah pergi bercuti.

Setiap tengahari, Daud yang katilnya bersebelahan dengan tingkap akan melihat ke luar dan memberitahu Din apa yang dia lihat di luar tingkap.

Perkara ini berulang sehingga Din sentiasa menanti-nanti waktu tengahari untuk Daud bercerita bagaimana keadaan di luar tingkap.

Daud memberitahunya pemandangan di luar tingkap agak cantik – ada tasik dan itik dan angsa sedang berenang dan kanak-kanak melepaskan bot kertas buatan mereka.

Daud juga memberitahu ramai juga yang berkelah di tepi tasik, duduk di bawah pokok bersama keluarga dan orang tercinta…

Daripada tingkap tersebut, juga kelihatan bangunan pencakar langkit secara jauh.

Daud menceritakan segalanya dengan penuh terperinci sehingga Din menutup mata membayangkan keadaan di luar sana sebagaimana yang digambarkan Daud.

Pada satu waktu tengahari yang panas, Daud menceritakan ada satu pesta di tepi tasik… walaupun Din tidak dapat mendengarnya, tapi cerita Daud yang penuh terperinci memberikan Din satu gambaran bagaimana pesta tersebut berlangsung.

Waktu malam tersebut, Daud memberitahu Din…

“Selama hidup ana ini, ana mengejar segala benda – duit, kereta, nama – kerana merasakan itu akan membawa kegembiraan pada ana. Ana ingat menjadi kaya akan gembira – ana berpakaian seperti orang kaya pulang ke kampung – saudara-mara bersenyum dan juga cemburu pada masa yang sama. Mereka tidak merasai kegembiraan ego saya. Ana membeli rumah besar dan menjemput semua rakan dan keluarga untuk house warming untuk tunjukkan rumah besar ana – ana ingatkan itu kegembiraan membuat orang cemburu dan iri hati pada kejayaan saya. Ana tak pernah memikirkan untuk mengembirakan orang, tapi ana hanya ingin menggembirakan diri sendiri…

Masa ana sakit ini, baru ana sedar cincin besar ana tidak membawa kegembiraan seperti yang diharapkan. Ana baru sedar kereta Mercedes di rumah ana tidak membawa kegembiraan yang ana harapkan. Ana baru tersedar rumah besar hanyalah rumah besar yang tidak membawa makna dan kegembiraan pada ana. Ana baru sedar hidup sebenarnya mudah – ana tak perlu mengejar benda-benda permainan manusia, ana hanya perlukan seorang kawan. Ana hanya perlukan keluarga yang ribut hujan mahu panas dapat bergembira bersama. Ana baru faham, menggembirakan orang lain adalah kegembiraan yang sebenar. Jika ana boleh hidup semula, ana akan luangkan lebih banyak masa pada keluarga dan orang-orang penting – ana akan gembirakan mereka daripada diri sendiri… Dah nak mati baru ana tersedar…. Alangkah baiknya, kalau manusia boleh belajar bagaimana untuk hidup sebelum mereka belajar tentang mati…”

Daud diam seketika… Din tidak mengejutnya dan membiarkan dia tidur…

Besok pagi, bila Din bangun, jururawat sedang membersihkan badan Daud yang tidak lagi bergerak. Daud sudah meninggal…
Setelah segalanya selesai, Din meminta jururawat untuk memindahkannya ke tepi tingkap. Jururawat dengan sukarela memindahkan Din.

Din bangun dalam keadaan sakit untuk melihat di luar tingkap yang arwah sering menceritakan keadaannya kepada dia…

Tiada tasik, tiada pemandangan yang disebut-sebut arwah, yang ada hanyalah satu tembok kosong.

Bila jururawat sampai, Din bertanyakan kepada jururawat – mengapa arwah boleh bercerita dengan penuh terperinci perkara-perkara menarik yang berlaku di luar tingkap setiap tengahari padanya.

“Arwah dah buta lama ketika penyakitnya menjadi kronik. Rasanya arwah ingin memberikan semangat pada pakcik,” kata jururawat tersebut…
Ingatlah, berkorban untuk orang lain, berkhidmat untuk meletakkan senyuman di muka setiap orang tersayang adalah kegembiraan sebenar.

Harap bermanfaat. Senyum

Exco Selangor: Teng, Ean Yong sah wakili DAP

Harakahdaily, 17 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Adun Sungai Pinang dan Seri Kembangan, Teng Chang Khim (kanan) dan Ean Yong Hian Wah sah menjadi dua Exco Kerajaan Negeri Selangor daripada DAP.


“Yang lainnya bakal diumumkan selepas perbincangan bersama parti komponen Pakatan Rakyat Selangor,” ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan petang ini.

Menurutnya, Teng telah memohon supaya dibenarkan untuk bertukar daripada jawatan Speaker menjadi Exco Kerajaan Negeri dan beliau telah bersetuju dengan permintaan tersebut.

Ean Yong (kiri) pula, jelasnya akan dikekalkan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor untuk penggal kedua.

“Saya juga telah meminta Pengerusi DAP Selangor merangkap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Teng untuk menguruskan perbincangan bagi jawatan kerajaan di Selangor bagi pihak parti,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau menegaskan, tidak ada pengumuman akan dibuat sehingga perbincangan tersebut mencapai kata putus.

Hanya 2 menteri, mana 30% pembabitan wanita

Harakahdaily, 17 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Wanita DAP Kebangsaan kecewa kerana barisan Kabinet baru yang dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah meminggirkan golongan wanita.

“Cuma dua daripada 35 Menteri Kabinet adalah wanita,” ujar Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching (gambar) dalam satu kenyataan dipetik Roketkini.

Katanya, perkara ini amat mengecewakan kerana BN sendiri dalam kempen mereka melaungkan mahu menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus pembabitan golongan wanita dalam proses membuat keputusan.

“Selain itu, di kala Perdana Menteri mahu kadar pengambilan tenaga kerja di kalangan wanita sebanyak 55 peratus pada 2015, malangnya kedudukan sekarang tidak banyak berubah dan hampir sama dengan 15 tahun lalu.

“Kita tidak dapat melihat berdasarkan situasi sekarang, bagaimana beliau (Najib) membuat sesuatu yang proaktif untuk memperbaiki keadaan ini,” ujar Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai.

Justeru itu, beliau berharap dengan adanya pelantikan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat yang baru, Datuk Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, kerajaan mampu untuk lebih memberikan pemberdayaan terhadap golongan wanita dalam memperjuangkan semua isu dan hak wanita.

Pendakwaan Black 505 bermotif politik – Nik Nazmi

Hafizan Taib Selangorku, 17 Mei 2013
PETALING JAYA: Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berhubung penganjuran himpunan besar-besaran Black 505 di Kelana Jaya pada 8 Mei lalu.

Nik Nazmi didakwa kerana gagal memaklumkan kepada polis berhubung himpunan tersebut dalam tempoh 10 hari sebelum himpunan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM10,000.

Sekiranya disabitkan bersalah dengan denda melebihi RM 2,000, Nik Nazmi akan hilang kelayakan sebagai Adun.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguambela, Eric Paulsen mewakili Nik Nazmi.

Hakim, Datin Rohaya Ayob menetapkan sebutan kes pada 4 Jun depan.

Nik Nazmi dibebaskan tanpa ikat jamin selepas Rohaya menetapkan ikat jamin hanya akan dikenakan sekiranya beliau cuba mengelak untuk hadir dalam sebutan kes itu.

Di luar mahkamah, Nik Nazmi berkata, kes tersebut adalah satu permulaan yang kurang baik bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Saya berpendirian ini satu tindakan bermotifkan politik dan satu pembaziran sumber pihak polis yang sepatutnya menumpukan usaha terhadap membanteras jenayah.

“Saya juga merasakan tindakan ini bertentangan dengan agenda ‘National Reconciliation’ (pendamaian nasional) yang cuba diwar-warkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu Eric berkata, kes tersebut adalah jelas satu tindakan provokasi terhadap Pakatan Rakyat selaku pihak pembangkang.

“Kita lihat Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 ini disalahgunakan. Kalau dilihat di Myanmar memperuntukkan lima hari untuk penganjuran himpunan tetapi di Malaysia hingga 10 hari.

“Kita percaya ini adalah satu permulaan yang mana selepas ini akan lebih ramai pemimpin Pakatan Rakyat akan didakwa berhubung penganjuran perhimpunan tersebut,” katanya.

Himpunan Black 505 yang berlangsung di stadium Kelana Jaya pada hari itu dihadiri kira-kira 50,000 penyokong Pakatan Rakyat bagi membantah keputusan pilihanraya ke 13.

Jais sahkan pelakon kena tangkap khalwat

Omak Kau, 17 Mei 2013



Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Kini Sahkan Shah Jaszle Ditahan Khalwat  Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan identiti pelakon terkenal yang di tangkap khalwat awal pagi Khamis sebagai Shah Jaszle.


Klik untuk lihat laporan lengkap blogger ini.

Tiada ulasan: