Rosmah perjelas dakwaan miliki cincin mewah
2 Mei 2013
Rosmah sekali lagi menjelaskan bahawa cincin tersebut dibawa masuk selama tiga hari untuk dilihat oleh bakal besannya yang berada di Malaysia ketika itu.
"Itu (cincin) bukan saya punya.
Dia (besan) kenal orang tu sebab dia good customer (pelanggan yang baik) jadi dialah yang tengok dan cincin tu terpaksa di alamatkan ke Seri Perdana.
"Bila cincin tu masuk ditunjuknya borang Kastam, tapi bila cincin keluar tak tunjuk borang cincin keluar. Tapi kami mempunyai semua bukti kami tidak pernah memilikinya dan ia hanya untuk dilihat dan bukan untuk dibeli," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan replika cek mesin hemodialisis kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian di sini, hari ini.
Rosmah sebelum ini ditohmah kononnya memiliki cincin mewah bertatahkan berlian yang mencecah jutaan ringgit.
Anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Rosmah, Nooriyana Najwa bertunang dengan Daniyar Nazarbayev, warga Kazakhstan pada 2011. - Bernama
Mukhriz: Tindakan undang-undang jika terus tabur fitnah saya, keluarga
2 Mei 2013
Mukhriz yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hitam berkata ini termasuk tuduhan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini yang mengatakan beliau seorang kapitalis.
Katanya tindakan akan diambil terhadap Azizan yang berterusan memburukkan nama baiknya dan keluarganya sedangkan tuduhan Azizan itu tidak berasas kerana bersumberkan blog pro pembangkang.
"Ini soal reputasi. Dia (Azizan) buat tuduhan liar kerana mungkin baca dan percaya blog-blog karut ini. Tujuan mereka hanya untuk raih undi masa kempen pilihan raya sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azizan sebelum ini mendakwa Mukhriz bertanding kerusi Dun kerana ingin mewujudkan kerajaan 'Mahathir' di Kedah.
Malah sebelum ini ada khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan keluarga itu memiliki saham dan syarikat arak dan akan membina syarikat arak di Kedah jika menang pada PRU kali ini. Semua itu dinafikan Mukhriz sebelum ini.
Mukhriz berkata kenyataannya ada pemimpin Pas yang berfahaman Syiah adalah berdasarkan dakwaan pemimpin pondok agama di negeri ini.
Katanya rata-rata mereka mendakwa pemimpin Pas itu membawa fahaman Syiah dan merasakannya terlalu serius kerana menyentuh soal akidah orang Islam.
Mukhriz berkata sehingga hari ini pemimpin Pas itu langsung tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan terhadapnya sama ada dia berfahaman Syiah atau tidak.
"Yang jawab untuk dia, orang lain (Azizan). Rakyat berhak untuk mengetahui kebenaran mengenai dakwaan yang dibuat oleh ilmuan pondok," katanya.
Azizan hari ini ketika ditanya benarkah dakwaan bahawa seorang pemimpin Pas yang bertanding di Kedah pada pilihan raya umum kali ini berfahaman Syiah, seolah-olah cuba mengelak menjawab isu itu dan meminta wartawan bertanya kepada pemimpin itu sendiri.
"Banyak kat Malaysia ni, ada amalan syiah, ada ajaran sosialis, Mukhriz tu ada kapitalis. Kalau mereka tanya Syiah itu apa salah Syiah apa salah dia, tunjuk la bukti dia. Adakah dalam negara kita tak boleh jadi ahli politik, jikalau amalkan Syiah," kata Azizan.
Mengenai penerimaan rakyat terhadap BN, Mukhriz berkata rakyat kini kembali memberi sokongan padu kepada BN tetapi beliau bimbang segala tohmahan fitnah dibuat pembangkang boleh memberi kesan kepada pengundi di saat akhir.
Katanya beliau turut bimbang sekiranya keputusan yang dibuat rakyat berdasarkan emosi menyebabkan peristiwa 2008 berulang dan selama lima tahun rakyat menerima padah.
Beliau berharap rakyat di negeri ini bersikap rasional dalam membuat keputusan dan tidak mudah terpedaya dengan dakyah pakatan pembangkang.- Bernama
Ragui keselamatan karung pos
2 Mei 2013
Calon Pas Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa berkata, polis menolak permohonan Pas Putrajaya untuk menempatkan petugas 24 jam bagi memantau keselamatan peti undi yang disimpan di dalam lokap balai polis tersebut.
“Tanpa alasan kukuh pihak polis menolak permohonan kami dan hanya bergantung kepada kunci. Perkara ini menimbulkan kemusykilan syak terhadap ketelusan sistem pilihan raya negara.
“Kunci bila-bila masa sahaja boleh dibuat pendua, bukan kita menuduh polis akan bertindak sedemikian tetapi bagi keyakinan kita dan rasa senang hati semua pihak. Apa salahnya kami letakkan petugas 24 jam?,” katanya ketika sidang media, semalam.
Menurut Husam, sepatutnya kebebasan ini diberikan untuk Pas sebagai tujuan pemantauan keselamatan.
“Kerana sekiranya dibenarkan dengan sendirinya rakyat akan menjadi lebih yakin kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan proses pilihan raya di negara ini.
“Bila dia tolak orang akan mula syak apa yang dilakukan oleh mereka (kerajaan) terhadap undi pos ini sehingga kita tidak boleh pantau. Dalam tempoh lima hari, macam-macam perkara boleh jadi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, perjalanan undi pos pada 30 April lalu terdapat seramai 636 pengundi yang terdiri daripada anggota polis.
“Berdasarkan maklum balas yang diterima mereka (polis) memberi undi yang signifikan kepada calon Pakatan Rakyat (PR) di Putrajaya iaitu saya sendiri.
“Terima kasih kepada anggota polis yang keluar mengundi,” katanya.
Dalam perkembangan lain Husam memaklumkan pada 2 Mei beliau akan mengadakan diskusi berhubung Pelan Putrajaya dengan penyandang yang juga calon Barisan Nasional (BN) Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“ Dia datang atau tidak saya akan teruskan pembentangan pelan ini untuk merencanakan perubahan yang bakal di bawa di Putrajaya,” katanya.
PRU13: Nik Aziz kecewa sikap pemimpin Umno-BN
2 Mei 2013
Menteri Besar Kelantan mendakwa pemimpin Umno-BN semakin tidak mengendahkan dosa dan pahala sehingga sanggup menggunakan kad pengenalan klon bagi rakyat Kelantan yang tidak balik mengundi.
"Siapa ajar Umno, agama lain, politik lain, dia (Umno) tak fikir langusng soal mati.
"Bila orang (Umno) lupa akhirat, dia juga akan lupa dosa, perkara pokok kena fikir melalui islam bukan demokrasi.
"Tiap-tiap orang mati akan dibalas semula baik dia mengaji, minta rasuah, minta kad pengenalan palsu atau pengundi hantu.
"Tak rasa (rakyat Kelantan) payah balik kelantan nak undi nanti," kata pemimpin Pas ini di hadapan lebih 5,000 penyokong Pakatan Rakyat dalam program Munajat Perdana PRU13 di Kelab Sultan Sulaiman, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula melahirkan kekesalannya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan kenyataan yang dangkal dan cuba memperbodohkan rakyat di Sarawak dengan mengatakan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) lebih baik daripada penurunan harga minyak.
"Saya boleh tengok kebangkitan rakyat semasa berada di Sarawak baru-baru ini.
"Bila perjalanan saya sampai ke Sarawak, Perdana Menteri pun adakan program dan beliau boleh kata insentif RM500 BR1M itu lebih baik daripada penurunan harga minyak," katanya.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pula berkata, penjawat awam kini lebih berani menyertai program ceramah PR secara terbuka meskipun ada pihak tertentu cuba mengugut mereka.
Dakwanya setiap kali pemimpin Pas turun kawasan bertemu rakyat, sambutannya bukan hambar seperti yang digambarkan 'cybertroopers' Umno, sebaliknya kehadirannya sangat mengejutkan, membuktikan penjawat awam kini mahu perubahan dilakukan segera.
"Laa ini pegawai kerajaan nak tukar kerajaan pusat.
"Orang Putrajaya berani sokong PR, orang datang sampai 50,000 nak dengar amanat Tok Guru dan calon Pas, (Datuk) Husam (Musa).
"Pegawai kerajaan tak perlu takut lagi pada Umno sebab parti itu dah sampai ke penghujungnya," katanya.
Dalam program malam tadi, Pas juga membuat penampilan khas apabila pelakon tempatan, Mustafa Kamal Mohd Daud mengetuai bacaan ikrar kepada anak kelahiran Kelantan yang berada di perantauan supaya balik mengundi pada 5 Mei ini.
SPR jamin ketahanan dakwat kekal
2 Mei 2013
Setiausahanya Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata dakwat itu sudah diuji, diluluskan penggunaannya oleh Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia dan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Dalam kes pengundi awal yang membuat laporan polis dan menyebar gambar kesan dakwat itu hilang dari jarinya, beliau berkata ia disebabkan petugas SPR tidak mengikuti peraturan yang dinyatakan di botol dakwat itu yang memerlukan ia digoncang 30 minit sebelum digunakan.
Menurutnya, jika digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan di botol dakwat itu, kesannya pasti tidak akan hilang sepenuhnya walaupun ia cuba ditanggalkan dengan pelbagai cara seperti menggunakan cuka, pencuci, minyak atau apa jua.
"...jika dilihat betul-betul kepada kes yang disebar di laman sosial itu, kesan dakwat memang tidak tanggal sepenuhnya, masih kelihatan di celah-celah kuku, tak boleh tanggal sepenuhnya," katanya dalam sidang media di Pusat Media SPR di sini hari ini.
Kamaruddin turut menunjukkan demonstrasi penggunaan dakwat itu di samping mengedar senarai peraturan yang perlu diikuti kerani atau petugas SPR di pusat mengundi nanti.
Antaranya ialah botol dakwat perlu digoncang setiap dua jam, selama 30 saat sebelum dibuka penutupnya, dan jari pengundi yang hendak dicalit perlu bersih serta kering dan ia perlu dicalit di keseluruhan ruas pertama hingga ke kuku dan bahagian bawah jari.
Dalam demonstrasi itu, usaha seorang petugas media yang cuba menghilangkan kesan dakwat yang digunakan pada hari pengundian awal, tidak berhasil meskipun beliau telah menggunakan beberapa bahan pencuci.
Kamaruddin berkata cubaan sesetengah pihak untuk menanggalkan sepenuhnya kesan dakwat itu secepat mungkin dengan menggunakan pelbagai cara, mungkin mempunyai motif tertentu atau mungkin juga mereka menyimpan niat tidak baik terhadap SPR.
Mengenai pengundi awal, beliau berkata pada Selasa lepas ia sebanyak 83.3 peratus iaitu 200,979 orang daripada 272,387 pengundi. - Bernama
Anggota tentera nafi dakwat kekal hilang, laporan polis dibuat
1 Mei 2013
Mejar Azmee Buang, 41, dari Unit Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, berkata dakwat yang dicalit dijarinya masih kekal hingga hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan beliaulah orang yang menaiki sebuah kereta berwarna merah sambil menunjuk jarinya yang dicalit dakwat, yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook semalam oleh pihak yang tidak dikenali.
Azmee berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Kementerian Pertahanan di sini hari ini bersama beberapa anggota tentera untuk memberi penjelasan mengenai dakwat kekal.
Menurutnya gambar itu diambil semasa beliau berhenti di Taman Koperasi Polis selepas mengundi di Kem Perdana Sungai Besi tengah hari semalam, dan ketika itu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Nurul Izzah Anwar yang berada di situ memintanya menunjukkan jari yang dicalit dakwat.
Pada masa itu terdapat beberapa orang yang tidak dikenali bersama Nurul Izzah, mengambil gambarnya.
Azmee berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah mencemar namanya jika mereka tidak mengambil tindakan membuat pembetulan atas dakwaan tersebut.
"Saya nafikan yang saya adalah anggota tentera yang mendakwa dakwat kekal yang dicalit ke jari saya oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, hilang.
Selain itu, Azmee turut menafikan bahawa beliau bersama Naib Presiden PKR Tian Chua membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang di sini, semalam berhubung dakwaan kononnya penggunaan dakwat kekal tidak kekal.
Semalam Tian Chua dilaporkan mendakwa beliau terpaksa membuat laporan polis berseorangan setelah anggota tentera yang dikenali sebagai Azmi hilang sebelum Tian Chua sempat membawanya ke balai polis untuk membuat laporan mengenai dakwat kekal itu.
Azmee turut menafikan bahawa beliau adalah anggota tentera yang dimaksudkan oleh Tian Chua dalam laporan polis itu.
Sementara itu, beberapa anggota tentera menafikan dakwat kekal itu telah hilang setelah dibasuh beberapa kali.
Staff Sarjan Anismah Tapa, 36, berkata dakwat yang dicalit ke jarinya kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam masih kekal sehingga kini, walaupun dicuci beberapa kali.
Perkara itu turut diakui Mejar Zulkifli Mohd Zabidi, 50, dari Markas Tentera Darat dan Rossu Indera Busu, 27, dari Markas Tentera Laut (Pembangunan). - Bernama
Usah cabar polis: KPN
18 April 2013
“Mereka yang berkenaan jangan nak cari pasal, sengaja hendak buat kacau. Bagi masyarakat takut nak buat apa? Apa tujuan sebenarnya?
“Jangan sengaja mencabar pihak polis. Polis bertanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman awam, mencabar dan melawan polis adalah satu kesalahan di sisi perundangan negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini semalam.
Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani bersama ketua-ketua polis daerah, jabatan dan pegawai sempena lawatan kerjanya itu.
Ismail meminta pihak yang merancang untuk mencetuskan kekecohan agar melupakan rancangan mereka kerana ia tidak memberi manfaat kepada sesiapa.
Beliau berkata polis akan bertindak berlandaskan perundangan negara selain bersikap tegas dan adil kepada semua pihak tanpa memihak kepada sesiapa yang melakukan kesalahan.
“Saya yakin sekiranya semua orang bertanggungjawab, pasti pergaduhan atau sebarang kejadian tidak diingini tidak akan berlaku,” katanya.
Jelasnya, sejak pembubaran Parlimen, memang terdapat insiden yang tidak sepatutnya berlaku dan terdapat pergaduhan kecil, namun setakat ini keadaan masih terkawal dan kes berkenaan dalam siasatan.
“Kita juga sudah kenal pasti individu terbabit dan ada juga yang telah ditangkap serta didakwa di mahkamah. Tindakan segera diambil bagi membendung kes itu daripada berlarutan,” katanya.
Ismail turut mengingatkan penyokong parti dan calon yang bertanding agar akur dengan nasihat polis khususnya pada hari penamaan calon, sepanjang tempoh berkempen dan hari pengundian pada 5 Mei.
Menurutnya, lebih 100,000 anggota polis akan ditempatkan di pusat penamaan calon bagi memastikan proses tersebut berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.
Ismail berkata, pihak polis bersedia menghadapi sebarang kemungkinan terutama di kawasan panas yang dikenal pasti.
“Pihak polis sudah bersedia untuk bertugas sepanjang PRU13 ini dan pada hari penamaan calon, semua ketua polis negeri dan
daerah diarahkan meningkatkan kawalan keselamatan.
“Kita mahu proses itu berjalan lancar, tiada kekecohan dan semua pihak berasa selamat,” katanya.
Peguam PKR sahkan penahanan blogger Milo Suam
2 Mei 2013
“Barisan peguam sedang cuba mendapatkan respons dari pihak polis pagi ini sebelum bincang langkah seterusnya yang perlu diambil.
“Saya akan maklumkan perkembangan mengenai perkara ini sejam lagi,” jawab beliau ringkas ketika dihubungi Sinar Harian Online, sebentar tadi.
Sementara itu, satu kenyataan ringkas oleh Biro Komunikasi PKR lewat malam tadi memaklumkan penahanan Milo Suam atau nama sebenarnya Yusuf Al Siddique Suratman, 29, oleh pihak polis dan dibawa ke Bukit Aman.
Menurut kenyataan media itu juga, pihak polis juga berada di hadapan Ibu Pejabat Keadilan di Merchant Square, Petaling Jaya.
Sebelum ini dua laporan polis dibuat terhadap pengendali blog Milo Suam yang sebelum ini menyiarkan artikel dan gambar mendakwa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengundi lebih awal dari tarikh sepatutnya.
Laporan itu dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Khalid mampu jaga diri
2 Mei 2013
Mereka ialah calon Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan adik beliau, Khalid, calon Parlimen Shah Alam.
Perbezaan fahaman politik antara kedua- duanya jelas berdasarkan kedudukan Shahrir sebagai orang kuat Barisan Nasional (BN), sementara Khalid berjuang dengan parti Pas.
Shahrir satu nama yang tidak asing dalam kalangan pimpinan BN-Umno kerana pelbagai jasa sudah dicurahkan meliputi soal politik semasa, ekonomi, sosial dan pembangunan negara.
Beliau pertama kali menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) bagi kerusi Parlimen Johor Bahru pada 1978 dan pernah menjawat pelbagai jawatan di dalam Kabinet.
Pada PRU12, nama Shahrir melonjak dan dikenali umum hasil kemenangan bergaya bagi kerusi Parlimen Johor Bahru dengan meraih majoriti 25,349 undi menewaskan calon lawan.
Sementara Khalid merupakan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Selangor.
Menyertai Pas pada 1983, Khalid pernah gagal dalam pilihan raya di Kuala Krai, Arau, Sri Gading dan Shah Alam.
Namun pada PRU12, Khalid menang di Parlimen Shah Alam menumpaskan penyandang, Datuk Aziz Shamsuddin dari BN dengan majoriti 9,314 undi.
Kini, PRU13 sekali lagi menjadi ‘medan’ kepada adik beradik ini untuk terus menang kerusi yang disandang pada pilihan raya umum lalu.
Shahrir bakal berdepan cabaran calon PKR, Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein, manakala Khalid menerima tentangan bekas ahli PKR, Zulkifli Noordin.
Katanya, pertembungan dua ‘Tan Sri’ bagi merebut kerusi Parlimen Johor Bahru tidak ‘sepanas’ pertandingan antara Khalid- Zulkifli di Shah Alam.
Ketika ditanya mengenai adiknya Khalid yang akan menentang bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Shahrir memilih untuk tidak memberi komen lanjut.
Lebih beri tumpuan kepada kemenangan BN di Parlimen Johor Bahru, beliau sekadar mahu adiknya lebih berfikir mengenai soal perjuangan bersama Pas selain berharap Khalid mampu menjaga diri sendiri.
Meskipun begitu, ia jelas menunjukkan jurang akibat perbezaan ideologi tidak mampu untuk memisahkan dua individu yang memiliki pertalian darah daging ini.
10 Malaikat Dan Tugasannya
Zat malaikat adalah halus, tidak nampak oleh mata kasar manusia biasa tetapi mampu dilihat oleh manusia yang luar biasa seperti Nabi dan Rasul.
Rupa malaikat yang sebenar hanya Allah SWT yang tahu. Namun, berdasarkan hadis, malaikat mampu menjelma dalam pelbagai rupa manusia dan makhluk lain.
Ia berakal, boleh berkata-kata dan mampu bergerak ke satu jarak yang jauh dalam masa singkat. Kewujudan malaikat semata-mata untuk taat dan menjalankan titah perintah Allah SWT.
Malaikat tidak makan dan tidak minum, tidak mengantuk dan tidak tidur, tidak juga ia berasa penat dan letih.
Malaikat sangat banyak bilangannya dan Allah SWT saja yang tahu bilangan sebenarnya. Dalam ilmu Tauhid, umat Islam diwajibkan mengenal 10 malaikat dan tugasan mereka.
JIBRAIL: Tugasnya membawa wahyu daripada Allah SWT kepada Rasul dan Nabi, juga menguruskan bala seperti gempa bumi, banjir, ribut dan lain-lain lagi.
MIKAIL : Tugasnya membawa rezeki dengan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, membiakkan haiwan dan mengeluarkan hasil galian bumi.
ISRAFIL : Tugasnya untuk meniup sangkakala ketika sampai masa kiamat iaitu bumi akan hancur. Sekali lagi ia meniup sangkakala itu ketika sampai masa manusia hidup semula dan keluar dari kubur untuk perhitungan di akhirat.
IZRAIL : Tugasnya mengambil nyawa iaitu mematikan apabila sampai ajal dan tugasnya mengambil nyawa tidak akan cepat sesaat atau lewat walau sesaat.
MUNKAR : Tugasnya menyoal orang mati di alam kubur.
NAKIR : Tugasnya menyoal orang mati di alam kubur.
RAQIB: Tugasnya menulis pahala bagi orang yang membuat kebaikan.
ATID : Tugasnya menulis dosa orang yang membuat mungkar dan kejahatan.
RIDHWAN : Penjaga syurga.
MALIK : Penjaga neraka. Firman Allah SWT dalam Surah at-Tahrim ayat 66: “Malaikat itu tidak menderhaka kepada Allah mengenai apa yang Dia perintah kepada mereka dan mereka membuat apa jua perintah oleh-Nya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan