Jumaat, 3 Mei 2013

APA PUN BERLAKU...SEMUA PERKARA2 SALAH NI...AKHIRNYA AKAN TERBONGKAR JUGA...KITA TUNGGU DENGAN SABAR..ALLAH TAK KAN MEMBIARKAN KEJAHATAN TERUS BERMAHARAJALELA

Awas rayuan terakhir Najib Sabtu ini

Harakahdaily, 03 Mei 2013
KUALA LUMPUR: PAS memberikan ingatan kepada semua rakyat Malaysia Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak akan membuat rayuan kepada mereka Sabtu ini.

Untuk itu, mereka perlu bersedia dengan segala rayuan itu dan jangan terpengaruh dengannya, kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli (gambar). Sehingga kini, katanya, kempen PRU13 PAS di seluruh negara berjalan seperti dirancangkan.

"Sambutan terhadap PAS dan Pakatan Rakyat sangat luar luar biasa," kata beliau kepada Harakahdaily.

Beliau yakin, Pakatan akan mendapat majoriti mudah di Parlimen dalam pilihan raya ini.

Sehingga kini, katanya, Pakatan Rakyat mendapat sekurang-kurangnya 121 kerusi Parlimen dan dijangka akan meningkat lagi.

"Kita menjangka PM Najib akan melakukan rayuan terakhirnya Sabtu ini dengan menyalahgunakan media kerajaan iaitu RTM.

"Langkah desperate ini diyakini tidak dapat mengubah keputusan rakyat untuk membuat perubahan di Putrajaya," tambah Dr Hatta yang kini mempertahankan kerusinya di Parlimen Kuala Krai, Kelantan.

Hamidah yang samseng: Sudah 3 laporan polis dibuat

Muhammad Faeez Azahar, 03 Mei 2013
IPOH: Sehingga kini sudah tiga laporan polis dibuat ke atas bekas Exco Perak, Datuk Hamidah Osman. Yang terbaru kerana merampas peralatan pemasangan banner dari petugas PAS.

Seorang petugas PAS di Batu Gajah membuat laporan polis setelah peralatan yang digunakannya untuk menaikkan bahan kempen telah dirampas oleh Calon BN Dun Sungai Rapat itu.

Razelah Ahmad Bistamam, 30, berkata, kejadian berlaku di Kg Tersusun, Tasek Idaman, Batu Gajah kira-kira 2 pagi tadi ketika beliau bersama 20 orang petugas PAS menaikkan billboard dan bendera.

Katanya, Hamidah ketika itu bersama petugasnya yang turut menaikkan bahan kempen secara tiba-tiba merampas dua batang pengorek lubang (pencebak).

“Dia (Hamidah) tiba-tiba ambil dua batang pencebak ketika kami sedang melakukan kerja menaikkan bahan kempen PAS.

“Kami memohon pihak polis yang berada di situ membantu meminta kembali kepada pihak Hamidah tetapi gagal dan pihak polis menasihatkan agar membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah, awal pagi tadi.

Jelas beliau, Hamidah turut memberi teguran kepada beliau dan beberapa rakannya supaya tidak melakukan kerja di pihak PAS.

Dalam perkembangan sama, Naib Yang Dipertua PAS Batu Gajah, Rosdy Abdullah yang ditemui berkata, PAS kesal dengan tindakan tidak profesional bekas Exco Kerajaan Negeri itu,

Jelas beliau, PAS tidak terkejut dengan tindakan Hamidah itu kerana calon BN itu pernah menimbulkan provokasi sebelum ini apabila mencekak kolar calon PKR Parlimen Gopeng beberapa hari lalu.

“Kami kesal dengan tindakan ala samseng Hamidah itu dan ini adalah kali ketiga kami membuat laporan terhadap Hamidah dalam masa berkempen ini.

“Hamidah seolah-olah terdesak apabila sanggup merampas pencebak milik petugas kami, ini dianggap lucu tetapi ianya benar-benar berlaku melibatkan seorang tokoh veteran Umno ini,” jelasnya lagi.

Ujar beliau, Hamidah sebelum itu telah melemparkan kata-kata kesat kepada seorang imam di kampung itu yang berada di situ kerana sering kali mengadakan program PAS di kediamannya.

Rosdy menggesa pihak polis dapat melakukan siasatan segera dan mengambil tindakan terhadap Hamidah yang dilihat semakin melampau ini.

Pakatan jamin pertahan hak Melayu, Islam

Abdul Aziz Mustapha, 03 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Sejak 2008 lagi, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat telah menandatangani deklarasi untuk mempertahankan perlembagaan Malaysia yang merangkumi kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

"Pada 8 September 2008, pemimpin ketiga-tiga parti dalam Pakatan, iaitu Datuk Seri Tun Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang telah menandatangani deklarasi mempertahankan Perlembagaan Malaysia itu," tegas beliau ketika mengecam kebanjiran poster-poster dan bannner-banner perkauman yang tidak bertanggungjawab yang membanjiri Kuala Lumpur sejak malam tadi.

"Malah, dalam Konvokesyen Pakatan Rakyat Pertama pada 19 Disember 2009, sekali lagi pemimpin-pemimpin PAS , PKR dan DAP menandatangani Dasar Bersama yang menegaskan bahawa ketiga–tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan amalan demokrasi Raja Berperlembagaan," tegas Mahfuz lagi.

Beliau yakin, majoriti rakyat yang sudah pun membuat keputusan dan tidak sabar-sabar untuk menolak politik perkauman Umno Barisan Nasional (BN) bukan sahaja tidak akan terpedaya dengan politik kotor yang mengapi-apikan perkauman malah tidak akan mempedulikannya.

"Arus kebangkitan rakyat yang bencikan Umno BN yang mahukan perubahan sudah tidak dapat dibendung lagi dan semakin hari semakin bersemangat," kata Mahfuz.

Mengulas lanjut mengenai kepentingan orang-orang Melayu di bawah pemerintahan Pakatan, beliau menegaskan, bukan setakat mempertahankan perlembagaan sahaja malah PAS juga mempunyai perancangan khas untuk menjadikan Bumiputera lebih berdayamaju dengan langkah-langkah yang berteraskan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

"Beberapa kali kita telah mengisytiharkan untuk menjadikan badan-badan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Haji sebagai badan yang mengendali dana khas untuk kepentingan pendidikan Bumiputera jika Pakatan dapat menguasai Putrajaya.

"Kita mempunyai perancangan bagaimana mengumpulkan dana itu yang akan ditadbir seperti 'sovereign wealth fund' di Norway bagi membantu Bumiputera mencapai taraf pendidikan terbaik," katanya.

Malah, kata Mahfuz, di pihak PKR pula, parti telah pun mengumumkan penubuhan satu pasukan khas yang akan menangani beberapa isu yang berkait rapat dengan orang Melayu - seperti isu FELDA, isu menaiktaraf kemahiran kakitangan awam, isu pengurusan harta Islam dan lain-lain, jika Pakatan dapat menubuhkan kerajaan di peringkat pusat.

Beliau memberi jaminan, dengan keadaan sosio ekonomi kini, nasib orang-orang Melayu lebih terjamin di bawah Pakatan kerana pendekatan yang dinyatakan dalam Manifesto Rakyat yang dikemukan oleh Pakatan adalah berteraskan pendapatan atau 'income-based'.

Lebih dari itu, katanya, kesejahteraan rakyat dalam misi manifesto itu adalah untuk meningkatkan ‘pendapatan dan pendapatan boleh berbelanja' dengan mengurangkan bebanan kos utama saraan hidup dalam bakul Indeks Harga Pengguna (CPI) serta mengurangkan perbelanjaan rakyat di segi tanggungan kesihatan, pendidikan dan perumahan.

Berbelit-belit SPR menjawab isu dakwat kekal

Dr Zulqarnain Lukman, 03 Mei 2013
Pada 30/4/2013 suatu sejarah baru telah tercipta di dalam negara Malaysia. Itulah julung kalinya, dakwat kekal digunakan dalam suatu pengundian pilihan raya.

Perkara 19(4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 {"PPP"] menyatakan, "...ketua tempat mengundi atau mana-mana orang yang bertindak di bawah kuasanya hendaklah membuat suatu tanda pada jari telunjuk kiri pengundi itu dengan menggunakan dakwat kekal ..."

Tan Sri Aziz selaku Pengerusi SPR banyak kali memberikan jaminan bahawa dakwat ini akan tahan lama sehingga 7 hari, iaitu sehingga 5 Mei 2013. Tujuan dakwat kekal ini digunakan adalah untuk mengelakkan kebarangkalian orang boleh mengundi 2 kali.

Ini kerana sudah menjadi rahsia yang diketahui ramai, berlaku banyak pertindihan nama dalam daftar pemilih dan berlaku penyamaran yang mana ada pihak yang keluar mengundi bagi pihak orang lain.

Namun, harapan umum untuk melihat ketelusan SPR dalam penggunaan dakwat kekal ini akhirnya pecah bersepai. Menurut laporan yang diberikan oleh saksi yang berwibawa, dakwat kekal ini hanya tahan 30 minit sahaja dan sangat mudah ditanggalkan.

Laporan daripada petugas di Shah Alam menyatakan dakwat itu boleh tanggal hanya dengan digosok dengan tisu. Ada yang memberitahu, dengan tiga kali basuhan semua dakwat kekal itu hilang sepenuhnya.

Setelah itu, seorang suri rumah yang menjadi isteri kepada seorang pegawai polis telah membuat laporan polis berkaitan dakwat yang tidak kekal ini.

Di Pulau Pinang, seorang mejar askar juga turut membuat laporan polis yang sama. Nurul Izzah dan Tian Chua juga telah membuat laporan polis yang sama.

Dalam respon awal pada waktu tengahari,  Pengerusi SPR telah menafikan perkara ini dan tetap menyatakan bahawa dakwat tersebut adalah kekal.

Setelah tersebar meluas di facebook gambar dan video klip yang menunjukkan dakwat itu tidak kekal, maka petangnya SPR mengakui perkara itu berlaku tetapi tidak meluas.

Kemudian, diberikan pula alasan, dakwat itu hilang tetapi tidak hilang sepenuhnya. Setelah itu, dibuat pula alasan, dakwat itu masih boleh dilihat dengan kanta pembesar.

Terakhir sekali, Setiausaha SPR pula menyalahkan kerani SPR kerana gagal menggoncang botol dakwat menyebabkan ianya tidak sebati dan tidak kekal. Dinyatakan pula, botol itu kena digoncang setiap 2 jam.

SPR boleh memberikan pelbagai alasan tetapi janganlah alasan  itu sangat 'membongsaikan' akal dan intelek pengundi. Projek pembodohan rakyat oleh SPR ini nyata menaikkan amarah pengundi.

Alasan demi alasan diberikan SPR tetapi pengundi semakin nampak SPR telah memberikan jawapan yang tidak konsisten.

Kemungkinan juga SPR telah ditipu dan disabotaj oleh pembekal dakwat. Siapa sebenarnya pembekal dakwat? Berapa untung projek membekal dakwat ini? Siapakah kroni yang mendapat untung?

Sebelum berlaku peristiwa yang memalukan ini, sudah ada desakan supaya SPR membuat demonstrasi calit dakwat ini tetapi SPR dengan angkuh menyatakan hanya 3 orang sahaja yang tahu warna dakwat tersebut.

Sebenarnya, inilah kesilapan terbesar SPR dan pasukan guaman yang mendrafkan peraturan ini. Per. 19(4) PPP ini langsung tidak memperincikan takrifan 'kekal' dan tiada pula digazetkan spesifikasi  dakwat kekal ini.
Sepatutnya spesikasi dakwat kekal ini digazetkan jika benar SPR jujur dan telus. Kita semua tertanya-tanya, berapa lamakah dakwat kekal ini boleh tahan. Apakah kandungan di dalamnya.

SPR mendakwa ianya terdiri daripada silver nitrate yang akan meresap ke dalam kuku dan kulit tetapi nyata ianya omongan kosong Pengerusi dan Setiausaha SPR. Para pengundi masih ingat janji yang tidak ditepati Pengerusi SPR sebelum ini, Tan Sri Abdul Rashid Abd  Rahman sewaktu pilihan raya 2008 bila mana beliau mengatakan dakwat telah dibeli tetapi di saat akhir telah membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal tersebut.

Daripada rentetan kronologi peristiwa yang berlaku, dapat disimpulkan bahawa SPR tidak serius dalam isu penggunaan dakwat kekal ini.

Peguam Negara gagal menasihati SPR dalam mendrafkan peraturan yang telus dan berkesan. SPR sendiri gagal melatih kakitangan dan kerani mereka untuk membuat goncangan 'ala gangnam' ke atas botol dakwat dan yang penting sekali, pengundi sudah sedar warna sebenar SPR ini.

Integriti SPR sudah hilang sepenuhnya dan pengundi nampaknya tidak lagi boleh berharap kepada ketelusan SPR kerana SPR sudah jadi bahan lelucon untuk PRU 13 ini.

Justeru, para pengundi sekalian, ini kali lah!!! Ubah untuk harapan masa hadapan.


*Penulis adalah seorang peguam yang mempunyai ijazah PhD dalam bidang undang-undang.

Isteri dakwa Hamid dikurung sejak 3 hari lalu

Salmah Mat Husain, 03 Mei 2013
KOTA BHARU: Kenyataan penceramah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Ustaz Hamid Derani kononnya beliau telah berpaling tadah pada perjuangan PAS sebagaimana yang dilaporkan bukan sahaja diragui.

Sebaliknya pada masa yang sama kehilangannya sejak beberapa hari ini turut menjadi tanda tanya, apa lagi beliau tidak boleh dihubungi walaupun dari isteri atau keluarga terdekat.

Anggota exco kerajaan negeri yang juga Adun Wakaf Bharu N04, Che Abdullah Mat Nawi (gambar), berkata siang tadi beliau bersama isterinya Datin Saliha Yaacob, menziarahi isteri Hamid.

“Isterinya mengadu suaminya tidak pulang dan isterinya memaklumkan suaminya telah dikurung sejak tiga hari lalu.

“Isterinya menangis ketika menceritakan perkara itu kepada kami,”ujarnya.

Menurut Abdullah, kesimpulan daripada apa yang diterangkan oleh isterinya menggambarkan Ustaz Hamid telah dianiaya dan dia sentiasa istiqamah dalam perjuangan Islam ini.

Sehingga ke hari ini, menurutnya lagi, isteri Hamid, Alina Yusof, tidak mengetahui di mana suaminya berada.

Menurut Abdullah, isterinya meminta PAS membantunya menyelesaikan perkara itu serta membawa pulang suami kepadanya.

Sehubungan itu, Abdullah menyeru rakyat Malaysia seluruhnya terutama Kelantan memerdekakan Ustaz Hamid serta mereka yang senasib dengannya pada 5 Mei ini supaya mereka bebas dari cengkaman pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, apa yang berlaku itu kerana kepentingan politik pihak tertentu supaya PAS dan Pakatan Rakyat tidak dapat menguasai Malaysia pada PRU ini.

Ketika ditanya kenapa tidak membuat laporan polis, Abdullah memberitahu Alina berkata suaminya membayangkan perkara itu tidak perlu dibuat kerana dia dalam keadaan selamat.

“Semoga perkara ini menjadi gelombang baru pada mereka untuk menjatuhkan pihak lawan yang khianat dengan cara yang cukup hina,”ujarnya pada sidang media malam ini di Markas PAS Dun Wakaf Bharu.
Bapa Altantuya rayu keadilan untuk anaknya
9:17PM Mei 2 2013  
Shaariibuu Setev - bapa kepada Altantuya yang mati dibunuh - merayu kepada rakyat Malaysia yang akan mengundi Ahad ini supaya memberi keadilan kepada Altantuya yang tarikh lahirnya jatuh pada tanggal 6 Mei.

NONEDalam satu kenyataan empat perenggan, Shaariibuu (kiri) berkata
kedua-dua anak lelaki Altantuya - wanita Mongolia yang dibunuh dengan kejam di Malaysia - telah kehilangan ibu mereka sejak 2006.

"Hak anak-anak itu untuk memanggilnya 'ibu' telah dicabuli. Sejak pembunuhan itu, kami rakyat Mongolia menunggu permohonan maaf daripada rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata, anak-anak tersebut telah menunggu untuk akses kepada dan sokongan dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selama tujuh tahun.

Shaariibuu turut menegaskan bahawa ianya masih penting untuk mengadakan pendengaran baru mahkamah dan mencari keadilan.

NONE"Saya ingin meminta semua rakyat Malaysia supaya mengundi untuk keadilan kerana pilihan raya berlangsung sehari sebelum hari lahir Altantuya, pada 6 Mei," kata Shaariibuu dalam kenyataan tersebut.

Kalaulah Altantuya masih hidup, kata Shaariibuu,  anak perempuannya itu akan berusia 35 tahun pada hari Isnin ini.

Peguam NGO hak asasi manusia Suaram, Fadiah Nadwa Fikri (kiri)
bertemu dengan Shaariibuu minggu lalu, ketika menghadiri satu persidangan di Ulaanbataar, iaitu ibunegara Mongolia.

Shaariibuu bertemu dengan Fadiah dan mengeluarkan kenyataan tersebut yang beliau mahu dikeluarkan di Malaysia.
Polis iringi Waytha beredar selepas berceramah di Johor
11:56PM Mei 2 2013  
GELANG PATAH: Satu pergelutan tercetus apabila kira-kira 10 individu cuba menghalang Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy ketika beliau hendak menaiki pentas untuk berucap kepada kira-kira 300 penduduk India di Taman Nesa, Skudai.

Bagaimanapun kira-kira 30 anggota polis segera bertindak mengawal penyokong kedua-dua belah pihak daripada bergelut dan mengheret kumpulan itu pergi jauh dari khemah tempat ceramah itu diadakan.

Ceramah tersebut adalah mengenai rangka tindakan Hindraf yang ditandatangani penyandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang mendorong Waythamoorthy dan pengikutnya menyokong BN dalam pilihan raya umum ini.

Kumpulan yang cuba mengganggu ceramah tersebut diketuai oleh K Selvakumaran, yang merupakan seorang ahli PKR.

"Saya hanya mahu bertanya kepadanya satu soalan, siapakah dia untuk mewakili kaum India? Siapa yang beri kebenaran kepadanya untuk memimpin Hindraf?

"Kami datang dengan baik tetapi orang-orang Hindraf menghalang kami," katanya.

Sesetengahnya merasakan bahawa Waythamoorthy, yang tinggal di UK ketika kerajaan bertindak ke atas pergerakan itu pada tahun 2007, dan hanya kembali ke Malaysia sebelum pilihan raya umum, telah mengkhianati masyarakat India dengan menyokong BN.

"Dia boleh menyertai BN tetapi jangan mempengaruhi orang kita!" jerit seorang lelaki lain.

"Ubah! Ubah! Ubah! Bodoh! Bodoh! Bodoh!"
mereka terus menjerit, pada jarak beberapa 100 meter dari khemah tersebut ketika Waythamoorthy berucap kepada hadirin.

Waythamoorthy menggesa hadirin supaya menyokong Pengerusi BN Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang bertanding di Gelang Patah menentang ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang.

"Tolak Lim Kit Siang!" katanya.

Ketegangan tersebut berterusan selama kira-kira 30 minit selepas Waythamoorthy selesai berucap apabila kumpulan yang memprotes tersebut enggan membenarkan beliau meninggalkan tempat itu melainkan jika bersetuju bercakap dengan mereka.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Ruslan Hassan tiba dengan lebih ramai anggota dan mereka membentuk dua tembok manusia untuk memisahkan kedua-dua kumpulan itu pada jarak kira-kira 20 meter.

Waythamoorthy duduk dalam keretanya, Toyota Camry di satu penjuru manakala di satu lagi penjuru, kumpulan yang memprotes terhadapnya berteriak "Waythamoorthy "pengkhianat! Waythamoorthy "pengkhianat!".

Ruslan cuba mencari penyelesaian antara kedua-dua kumpulan berkenaan. Tidak lama selepas itu, Waytha meninggalkan tempat itu dengan dikawal polis semasa unit FRU tiba.

Tiada ulasan: