Jumaat, 17 Mei 2013

APA KOMEN DR MAHSITAH...BAGAIMANA PULA.... HUKUM ALLAH DIABAI..

PAS beri peruntukan, Ahmad Said boleh semak

Harakahdaily, 17 Mei 2013


KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menafikan Kerajaan PAS yang memerintah dari tahun 1999 sehingga 2004 tidak memberi peruntukan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang menjadi pembangkang ketika itu.

Justeru, beliau yang juga Adun Wakaf Mempelam meminta Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memeriksa rekod-rekod kewangan semasa kerajaan PAS memerintah untuk mendapat maklumat sebenarnya, lapor Buletin Online.

"Saya nak nafi, bila disebut (oleh Ahmad) dikatakan semasa kita (PAS) memerintah dulu kita tak pernah bagi (peruntukan Adun kepada wakil BN) tidak betul, kita bagi.

"Boleh tengok rekodlah, boleh check (semak) rekod  dengan pejabat kewangan, dengan pejabat SUK, tengok rekod masa kita memerintah dulu, ada peruntukan itu dan kita bagi melalui saluran-saluran yang telah ditetapkan," tegasnya dalam sidang media di pejabat Perhubungan PAS negeri, semalam.

Beliau berkata, apabila PAS memberi peruntukan tersebut kepada empat wakil rakyat pembangkang (BN) pada masa itu, ia telah menjadi 'ancaman politik' kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Beliau yang menjadi Exco kerajaan ketika itu berkata, apabila mereka merasa terancam dan wakil Umno Terengganu telah mengusulkan dalam Perhimpunan Agung Umno supaya royalti minyak ditarik dari kerajaan negeri ketika itu.

Menurutnya, selepas kerajaan Persekutuan merampas wang royalti minyak itu, kerajaan PAS Terengganu tidak lagi memberikan peruntukan kepada wakil-wakil pembangkang.

Oleh itu, beliau mahu kerajaan baru Terengganu selepas Pilihan raya Umum ke-13 lalu agar mengamalkan politik yang lebih matang dan tidak berpolitik secara 'kampungan'.

Sewaktu kerajaan PAS memerintah negeri pada 1999-2004, Ahmad tidak menjadi wakil rakyat kerana tewas kepada calon PAS di Dun Kijal.
Tiga lelaki akan didakwa kerana kesalahan pilihan raya

17 Mei 2013
PRU13
PUTRAJAYA - Tiga lelaki akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan berkaitan dengan kesalahan pilihan raya, kata   Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.
  
Beliau berkata seorang daripada mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Yan, Kedah Ahad ini terhadap tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pengadu menggunakan sebilah pisau.
  
Sementara dua lagi, masing-masing akan didakwa di Mahkamah Majistret Klang, Selangor dan Mahkamah Majistret Keningau, Sabah Isnin ini atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan pengadu, katanya pada sidang berita di sini hari ini.
  
Tun Abdul Majid berkata sejak 2 petang Isnin lepas hingga 2 petang hari ini sebanyak 25 kes diarahkan untuk siasatan lanjut, manakala 29 kes lagi tiada tindakan lanjut.
  
Beliau berkata bilangan laporan yang diterima Jabatan Peguam Negara berhubung kesalahan-kesalahan pilihan raya kini turun berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 telah diumumkan. - Bernama
Jual tubuh sara dua anak
Wartawan Sinar Harian
17 Mei 2013
Jual tubuh sara dua anak
Amy ketika ditemui Sinar Harian bagi menceritakan kisah kehidupannya sehingga terjebak dengan maksiat dan dadah.
PARIT BUNTAR - Demi menanggung dua anak tidak sah taraf yang masih kecil dan memastikan bekalan dadah sentiasa mencukupi, seorang gadis terpaksa merelakan tubuhnya diratah oleh lelaki hidung belang saban hari.

Jika dilihat dari umur dan perwatakannya, nescaya sesiapapun tidak menyangka gadis ini sudah melahirkan dua anak tidak sah taraf hasil hubungan terlarang dengan lelaki yang melanggannya.

Amy (bukan nama sebenar), 21, berkata, sejak lahir dia sudah diserahkan kepada keluarga angkat miskin, dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan dan tidak mendapat pendidikan sempurna.

Menurutnya, kesempitan hidup keluarga angkatnya menyebabkan dia berhenti sekolah dan mencari pekerjaan pada usia 12 tahun.

“Bagaimanapun, faktor umur menyebabkan saya sukar mendapat pekerjaan sehinggalah saya terjebak dalam kancah maksiat dan sanggup menjual tubuh bagi mendapatkan  sesuap nasi.

“Kegembiraan memperoleh wang haram tidak bertahan lama apabila saya melahirkan seorang anak luar nikah dan peristiwa itu tidak dapat diterima keluarga angkat yang sering memaki hamun saya sejak itu,” katanya sewaktu ditemui media di sini.

Amy berkata, selepas habis berpantang, dia meneruskan kerja ‘haram’ itu seperti biasa dan mula ketagih dengan dadah jenis syabu sehinggalah anak pertamanya berusia setahun setengah.

Menurutnya, sikapnya yang semakin liar dan sering menjadikan rumahnya sebagai ‘port’ maksiat akhirnya menyebabkan keluarga angkatnya nekad meninggalkannya dengan membawa anaknya sekali.

“Sehingga sekarang langsung tiada khabar berita tentang keluarga angkat dan anak saya.

“Mereka sering kali menasihati saya supaya berhenti melakukan maksiat, tetapi saya berdegil kerana itu sahaja cara peroleh pendapatan lumayan dan bekalan syabu,” katanya.

Amy berkata, dia mulanya rasa bersedih dengan tindakan keluarga angkat melarikan anaknya tanpa khabar berita.

Bagaimanapun, perkara itu semakin dilupakan saban hari dan ketiadaan mereka seakan-akan memberinya lebih kebebasan untuk melakukan apa sahaja sehinggalah dia melahirkan seorang lagi anak perempuan tidak sah taraf yang kini masih dalam jagaannya.

“Saya cuba berubah namun kesempitan hidup terus memaksa saya melakukan kerja terkutuk ini.

“Sejak saya mengenali seorang lelaki, saya mula terpikat dan percaya dia mampu memberi sinar dalam hidup saya setelah melihat kesanggupannya untuk menerima saya walaupun bersikap liar.

“Bagaimanapun, kebaikan ditunjukkan lelaki itu hanya sementara dan sikapnya tidak ubah seperti pelanggannya lain yang sekadar mahukannya untuk seks semata-mata,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, bekas teman lelakinya itu turut memperkenalkan sejenis ubat penguat hawa nafsu dan menyebabkannya mula ketagih.

“Setiap kali melakukan hubungan seks, dia akan memaksa saya mengambil ubat itu dan ia akan meningkatkan rangsangan kami untuk bersama.

“Namun kini setelah ditahan pihak berkuasa dan dilabel sebagai Orang Kena Pengawasan (OKP), dia terus meninggalkan saya dan anak,” katanya.

Sementara itu Timbalan Bendahari, Skuad 1Malaysia, Khadijah Masbah berkata, remaja yang bermasalah seperti Amy seharusnya haruslah dijadikan iktibar dan pedoman kepada semua masyarakat.

“Tindakan yang diambilnya adalah salah. Dia sepatutnya merujuk terlebih dahulu dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kerian atau Skuad 1Malaysia sebelum mengambil tindakan melulu yang akhirnya memakan diri.

“Kami di bawah Skuad 1Malaysia mempunyai pelbagai cara dan kaedah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi remaja bermasalah seperti Amy.

“Walaupun dia berada dalam pengawasan, namun kami sentiasa memastikan orang seperti dia akan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya

 


 

 

 

Buruh tidak sedar ditembak
Zaimatuljuwita Abdullah
17 Mei 2013
Buruh tidak sedar ditembak
Anggota polis dan forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
BACHOK – Seorang buruh tidak menyedari dia adalah mangsa tembak walaupun dua das tembakan dilepaskan ke arahnya ketika dia sedang menikmati sarapan di sebuah warung di Kampung Gong Batu, berdekatan Pantai Kemayang kira- kira jam 8 pagi semalam.

Mangsa, Azmi Ismail, 38, hanya menyedari dirinya ditembak selepas mendapati darah mengalir di anggota badannya dan terus rebah sebelum dihantar ke hospital.

Pemilik warung tersebut, Idayu Mustafa,30, berkata, ketika kejadian, suspek menaiki sebuah motosikal Yamaha LC dan berkeliaran di sekitar warungnya sebelum berhenti melepaskan tembakan.

“Ketika itu ada empat pelanggan di warung saya termasuk mangsa. Kami tak sangka dia datang untuk tembak orang sebab pakaiannya hanya berkain batik dan baju kemeja. Sebelum lepaskan tembakan, suspek ada kata pada mangsa, ‘mu ni meto telajok’.

“Lepas tu seorang pelanggan menyergah suspek dan dia terus larikan diri. Ketika itu kami masih bertanya sama sendiri adakah suspek benar- benar tembak guna pistol sebenar sebab mangsa masih tak perasan dia yang ditembak. Lepas dia tengok darah pada tangannya, barulah dia kata rupanya dia yang ditembak dan terus rebah,” katanya kepada pemberita dekat sini semalam.

Idayu berkata, mangsa yang cedera pada lutut dan bahagian kanan belakang badannya dibawa ke hospital selepas seorang penduduk menghubungi ambulan.

Katanya, mangsa yang tinggal di Kampung Pantai Senak singgah ke warungnya hampir setiap hari untuk bersarapan.

“Saya tak tahu dia bermusuh dengan siapa tetapi sepanjang dia datang bersarapan di sini, gayanya tak nampak macam jenis orang yang kasar atau kurang ajar.

“Saya amat terkejut dengan kejadian itu. Lepas mangsa rebah, saya terus bawa anak kecil yang berusia setahun lebih ke rumah kakak kerana bimbang suspek berpatah semula ke warung. Bila saya datang semula ke warung, orang ramai dah penuh kerumuni mangsa,” katanya.

Manakala, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan, Ab Rahim Che Ghani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

Katanya, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dan dalam keadaan stabil.

“Kes berkenaan akan disiasat  di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh. Siasatan masih diteruskan bagi memberkas suspek,” katanya.

Ini adalah kes tembakan kedua di daerah Bachok tahun ini dan semalam genap tiga bulan selepas kes pertama yang berlaku di Kampung Kemasin pada 15 Februari lalu.

Dalam kes 15 Februari lalu, seorang  lelaki, Sauti  Muda, 57, tidak sempat menghabiskan sarapannya apabila ditembak dua lelaki bermotosikal di sebuah warung.

Mangsa yang ditembak dan ditetak mati di tempat kejadian.
Suami, isteri dipenjara
NOHD ISKANDAR OTHMAN
17 Mei 2013
Suami, isteri dipenjara
Chew Tong (kanan) dan Chui Ling (kiri) ketika dibawa keluar dari mahkamah.
GEORGETOWN - Sepasang suami isteri terpaksa meringkuk dalam penjara selama 24 bulan selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mendapati mereka bersalah membiarkan pembantu rumah mati kebuluran tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah ke atas pasangan berkenaan, Soh Chew Tong, 44, dan isterinya, Chin Chui Ling, 42.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu hingga menyebabkan kematian Mey Sichan, 24, seorang warga Kemboja di sebuah premis menjual barangan logam di Taman Asas Murni, Jalan Bukit Minyak, antara 1 Januari hingga 1 April tahun lalu.

Ketika membacakan keputusannya, beliau berkata, kes itu mencemarkan imej Malaysia menyebabkan Kemboja mahu menghentikan penghantaran rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini.

Menurutnya, sebagai majikan kepada pembantu rumah yang datang untuk mencari nafkah di negara ini, kedua-dua tertuduh sepatutnya menjaga kebajikan seperti menyediakan makan, minum dan barangan asas serta membiayai kos perubatan mangsa selama masih di bawah jagaan mereka.

“Sebagai rakyat Malaysia, semua orang harus hidup berkasih sayang dan tidak menyeksa dan mendera orang lain.

“Saya juga mempunyai pembantu rumah dan jika mereka tidak sesuai, saya akan hantar mereka balik, apa perlu rotan dan dera,” katanya.

Mengikut faktar kes, Mey bekerja sebagai pembantu rumah pasangan tersebut di rumah kedai itu sejak September 2011 dan didapati mati di bilik stor di tingkat dua rumah kedai itu pada 1 April tahun lalu.

Zamani berkata, bukti yang ditunjukkan kepada mahkamah menunjukkan Mey dipaksa dan dinafikan untuk makan dalam satu tempoh panjang.

“Secara keseluruhannya, si mati tidak menerima makanan yang mencukupi dan mengalami kecederaan dari semasa ke semasa yang memburukkan lagi ulser perutnya sehingga membawa kepada peritonitis akut dan yang menyebabkan kematiannya,” katanya.

Beliau berkata, pasangan itu didapati  membiarkan mangsa yang mempunyai ketinggian 148 sentimeter mengalami kebuluran sehingga berat badannya jatuh mendadak daripada 44 kilogram kepada 26.1 kilogram dalam masa tujuh bulan.

Menurutnya, indeks jisim tubuh (BMI) mangsa ketika bedah siasat adalah sangat rendah iaitu 11.9, jauh lebih rendah daripada tahap minimum untuk mereka yang dikategorikan sebagai sangat kurus selain mendapati mangsa mempunyai 29 kecederaan termasuk kesan cakaran dan lebam berpanjangan dipercayai akibat objek tumpul yang panjang seperti rotan atau getah paip.

Pasangan tersebut pada awalnya di dakwa di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh akan tetapi pertuduhan ditukar kepada membunuh tanpa niat.

Pasangan yang mempunyai tiga anak itu diwakili peguam, Naizatul Zamrina Karizaman manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Guat Cheng.

Tiada ulasan: