Selasa, 7 Januari 2014

UNDANGLAH MAKSIAT2...SATU KETIKA DAH MELAMPAU IN SYA ALLAH TURUNKAN BALA

PUTRAJAYA: Permohonan untuk membuka cawangan Hard Rock Cafe di sini hanya diluluskan jika ia mematuhi syarat-syarat ditetapkan termasuk tiada penjualan minuman keras dan menampilkan persembahan hiburan yang berlandaskan Islam.
  
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ia bagi memastikan imej Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara yang mengamalkan sistem pentadbiran Islam terus dipelihara.
  
"Kita ada garis panduan, dan kita akur pada garis panduan ini. Kita nak Putrajaya menjadi bandar yang lestari, ceria dan bandar yang menjadi contoh kepada seluruh negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
  
Tengku Adnan mengulas kemungkinan pengusaha Hard Rock Cafe membuka cawangan itu di sini berikutan perkongsian Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat mengenai perjumpaan beliau dengan pelabur Hard Rock Cafe di negara ini, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir, dalam laman sosial Facebook.
  
Aseh bagaimanapun menjelaskan tiada permohonan rasmi dibuat mengenainya, malah Hard Rock International turut menafikan mahu membuka cawangannya di Putrajaya.

Tengku Adnan berkata sebelum ini, rangkaian kedai serbaneka 24 jam, 7-Eleven yang membuka cawangannya di sini, telah mematuhi syarat-syarat itu dengan menjadi kedai pertama tidak menjual minuman keras di negara ini.
  
Beliau berkata banyak lagi pengusaha jenama terkenal lain termasuk pengusaha taman tema dan hospital swasta berminat membuka cawangan di Putrajaya, dan setiap permohonan itu akan dipastikan mematuhi syarat sebelum diluluskan.
  
"Kita tidak mahu menolak hasrat (para pelabur), tetapi kita akan memberitahu mereka syarat-syarat kita. Beliau (Aseh) melakukan perkara betul dengan berbincang dengan pelabur kerana kita mahu mereka melabur di Putrajaya. Kita tidak boleh harapkan kerajaan sahaja melabur pada setiap masa," katanya ketika ditanya mengenai perjumpaan Aseh dengan Syed Yusof.
  
Sambil meminta rakyat supaya tidak gelisah dengan perkara itu, beliau  menyelar pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang menimbulkan spekulasi mengenainya.
  
"Tolonglah jangan putar belitkan (perkara ini)...ia tidak wajar langsung. Saya sedih melihat apa yang berlaku, dan ini akan membentuk generasi masa depan Malaysia. Kita tidak mahu mereka menjadi seperti orang Barat. Kita mahu mereka mempunyai nilai-nilai Timur," katanya. - Bernama
KUALA LUMPUR: Mengenakan syarat dan garis panduan untuk membuka cawangan Hard Rock Cafe di Putrajaya membuktikan kerajaan Umno BN lebih mesra pelabur daripada kemaslahatan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohd Noor Mohamad berkata, kerajaan Umno BN akan berusaha sedaya untuk memenuhi keperluan pelabur termasuklah membuka Hard Rock Cafe di Putrajaya walaupun rakyat membantah.

"Kita sedia maklum Umno BN memang suka berjanji itu ini, kalau sebelum ini minyak tidak dinaikkan malangnya sebaliknya berlaku.

"Syarat di keluarkan kepada Hard Rock Cafe sebagai meredakan kemarahan rakyat, bermakna memang kerajaan benar-benar mahukan cawangan cafe itu di Putrajaya," katanya ketika dihubungi.

Bagi PAS, katanya pembukaan kelab-kelab dan cafe eksklusif seperti Hard Rock Cafe bukan sahaja tidak boleh dibuka di Putrajaya bahkan ditempat-tempat lain kerana ia boleh mengundang masalah sosial kepada anak muda negara ini.

Beliau percaya syarat yang dikeluarkan itu supaya tidak ada penentangan terbuka oleh rakyat tetapi akhirnya ada usaha untuk membuka cawangan di pusat petadbiran kerajaan itu.

"Sebab itu kerana pentingkan dasar mesra pelabur kerajaan tidak fikir apa yang mudarat kepada rakyat. Mereka akan terus fikir bagaimana mahu mendapatkan dana daripada pelabur, seberapa boleh mereka akan penuhi keperluan pelabur," katanya.

Justeru, beliau mendesak agar rakyat terus membantah penubuhan cawangan Hard Rock Cafe yang akan mencemarkan pusat pentadbiran kerajaan.

Isu pembukaan cawangan Hard Rock Cafe di Putrajaya telah mendapat bantahan rakyat, namun bagi meredakan kemarahan itu hari ini Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi kenyataan bahawa permohonan cafe terkemuka itu perlu memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk tiada penjualan minuman keras dan menampilkan persembahan hiburan yang berlandaskan Islam.

Syarat itu bagi memastikan imej Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara yang mengamalkan sistem pentadbiran Islam terus dipelihara.

Tengku Adnan mengulas kemungkinan pengusaha Hard Rock Cafe membuka cawangan itu di sini berikutan perkongsian Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat mengenai perjumpaan beliau dengan pelabur Hard Rock Cafe di negara ini, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir, dalam laman sosial Facebook.

Aseh bagaimanapun menjelaskan tiada permohonan rasmi dibuat mengenainya, malah Hard Rock International turut menafikan mahu membuka cawangannya di Putrajaya.

 

 

 

 

 

 

 

 
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan meneruskan pemantauan pemutihan dan penguatkuasaan aktiviti perusahaan burung walit yang dijalankan di premis sekitar Tapak Warisan George Town.
  
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Negeri Chow Kon Yeow berkata tugas pemantauan adalah penting dalam usaha mengekal nilai seni warisan di tapak tersebut seperti yang ditetapkan  Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
  
"Kita telah menamatkan usaha yang telah dimulakan sejak tiga tahun lepas dalam usaha mematuhi arahan Unesco. Walaupun sudah ada tindakan yang diambil, aktiviti pemantauan perlu diteruskan untuk menjaga kedudukan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia.
  
"Sekiranya tidak ada tindakan yang diambil, ia akan menjejaskan kawasan warisan. Usaha ini juga bertujuan untuk mengekalkan pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia yang mempunyai keunikan budaya dan seni bina," katanya kepada pemberita di  sini hari ini.
  
Chow berkata berkata proses pemutihan dan penguatkuasaan aktiviti perusahaan burung walit di premis sekitar Tapak Warisan George Town telah dimulakan sejak 1 Jan 2011 hingga  31 Dis 2013.

Terdapat 128 premis burung walit dalam senarai MPPP.
  
Premis berkenaan terdapat di kawasan seperti Lorong Chulia, Lebuh Carnarvon, Lebuh Acheh, Lebuh Klang, Lebuh Pantai dan Lebuh Victoria.
  
Chow berkata hanya 71 daripada 128 premis yang telah mempunyai aktiviti baharu manakala 57 premis lagi belum mempunyainya. - Bernama
Saya terbaca berita yang mengatakan bahawa DAP mencadangkan supaya cukai daripada hasil judi diletakkan dalam akaun khas bagi melindungi kepentingan umat Islam serta memberi manfaat kepada penganut bukan Islam.

Syor ini telah lama dibuat oleh PAS namun tidak mendapat perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan Umno-BN. Kini, bukan sahaja PAS, malah DAP juga mencadangkan perkara yang sama – setelah memahami asas syariat Islam.

Anthony Loke, yang juga ahli parlimen Seremban menyatakan bahawa, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang diterima pada Oktober tahun lalu mendedahkan kutipan cukai pertaruhan sejak 2008 hingga 2012 berjumlah RM6.29 bilion.

Bagi saya pendedahan dan cadangan Anthony itu sepatutnya membuatkan Umno-BN berasa malu. Apatah lagi Umno-BN dengan lantangnya menonjokan diri sebagai juara pembela Islam di Malaysia. Ke mana perginya penasihat agama dalam Umno-BN? Takkan lah tunggu sehingga DAP mengajar tentang Islam kepada Umno-BN!
KUCHING: Ibu bapa diminta mengikis tanggapan bahawa anak mereka yang lasak dan tidak mengikut arahan sebagai mempunyai masalah kesihatan, sebaliknya perlu segera mengambil langkah bersesuaian melalui kaedah perubatan atau latihan.
  
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata kanak-kanak yang mempunyai sifat hiperaktif ini sebenarnya mengalami ketidakseimbangan sistem neuro yang masih boleh diatasi sekiranya mendapat rawatan lebih awal.
  
Katanya ibu bapa harus bijak dalam mengenal pasti masalah yang dihadapi anak masing-masing kerana setiap kanak-kanak mempunyai kebolehan untuk mempelajari sesuatu yang baharu.
  
Beliau berkata demikian dalam ucapan majlis pelancaran Pusat Tindak Balas Neuro Quantum yang pertama di Sarawak di sini hari ini.
  
Turut hadir Penasihat Quantum Brain Power Sdn Bhd yang juga Pensyarah Kognitif Sains Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Muhamad Sophian Nazaruddin.

Dr Muhamad Sophian berkata Pusat Tindak Balas Neuro Quantum itu turut menyediakan rawatan untuk golongan dewasa yang terdedah kepada pelbagai masalah dan tekanan.
  
Selain merawat, pusat itu juga membantu golongan pelajar untuk meningkatkan tahap memori, tumpuan dan kreativiti mereka.
  
Sementara itu, Fatimah berkata Jabatan Pelajaran negeri menyediakan 10 sekolah pendidikan khas peringkat prasekolah di seluruh negeri bagi membantu kanak-kanak kurang upaya serta gangguan kecelaruan tumpuan dan kelasakan.
  
Lima puluh pelajar telahpun berdaftar di sekolah itu sehingga Disember tahun lepas, katanya. - Bernama
Sekembalinya daripada percutian hujung tahun dan negara diselebungi dengan pelbagai masalah serta kekalutan, Perdana Menteri, Najib Razak seperti tidak menyembunyikan kekecewaan sepanjang hanya tidak sampai dua minggu ketiadaannya. Dalam kemunculan sulungnya di tahun 2014 ini iaitu berucap di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri semalam, antara perkara yang disentuh Najib dalam ucapannya ialah meminta semua pihak bertenang dan mengikut saluran undang-undang dalam isu berkaitan kalimah Allah yang kembali hangat ketika ini.

Isu kedua yang disentuh Najib ialah berkenaan subsidi dan dengan tegas beliau menyatakan bahawa rasionalisasi subsidi akan tetap diteruskan sebagaimana yang dirancang oleh kerajaan. Ini bermakna selepas pemotongan subsidi beberapa bulan lalu yang menyaksikan kenaikan harga minyak dan petrol, di masa mendatang ini akan berlaku lagi beberapa kenaikan akibat pemotongan subsidi yang akan dilakukan oleh kerajaan.

Ketika isu kalimah Allah mula meletus dan UMNO Selangor berhasrat mengadakan demonstrasi di depan gereja bagi menyatakan bantahan, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah menyatakan sokongan terhadap langkah itu dengan menyatakan ia merupakan hak UMNO Selangor untuk berbuat demikian.

Demo di depan gereja itu, walaubagaimanapun akhirnya dibatalkan setelah Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar tidak membenarkannya, sebaliknya telah diadakan di padang Kelab Sultan Sultan, Kelang yang turut dihadiri beberapa pemimpin UMNO negeri itu.

Tetapi sokongan Muhyiddin itu telah diketahui umum dan ia berlaku ketika ketiadaan Najib di dalam negara.

Ketika ketidaan Najib juga di mana setelah berlakunya demonstrasi membantah kenaikan harga barang di Dataran Merdeka pada malam sambutan sambutan tahun baru, Muhyiddin turut berkata bahawa kerajaan akan melihat semula dasar rasionalisasi subsidi secara holistik bagi memastikan ia benar-benar membantu golongan sasaran iaitu rakyat miskin dan golongan berpendapatan rendah.

Dalam kedua-dua perkara yang disentuh oleh Muhyiddin, ia jelas ada perbezaan dengan pendekatan Najib. Ketika Muhyiddin menyokong demonstrasi di depan gereja, Najib mahu semua pihak bertenang. Ketika Muhyiddin membuat kenyataan lunak bahawa rasionalisasi subsidi akan dilihat dan dikaji semula, Najib tetap bertegas dengan berkata "tidak" mengenainya.

Selain memperkenalkan dasar 1Malaysia, Najib juga memperlihatkan dirinya lebih toleransi dengan penganut Kristian. Beliau bukan saja mengunjungi Pope dan menjemput paderi Kristian beramah-mesra dengannya, malah menginisiatifkan penyelesaian 10 Perkara yang antara lainnya membenarkan penggunaan nama Allah dan pengedaran Bible berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.

Muhyiddin pula, dengan melihat perkembangan semasa yang menunjukkan semakin membesarnya kemarahan golongan konservatif Islam berhubung penggunaan kalimah Allah ini, cuba menonjolkan dirinya bersama-sama dengan perjuangan mereka itu. Sokongannya terhadap demonstrasi di gereja (walaupun tidak menjadi) tetapi telah menunjukkan Muhyiddin lebih pro Islam berbanding Najib.

Begitu juga dengan kenyataannya untuk melihat semula dasar rasionalisasi subsidi, selari dengan kemarahan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup, Muhyiddin juga cuba menunjukkan beliau pro rakyat.

Namun, Najib nampaknya tidak menunggu lama untuk memangkah kenyataan Muhyiddin itu dan memberitahu bahawa beliau masih lagi Perdana Menteri dan nakhoda dalam negara ini, walaupun dalam suasana semakin banyak masalah dan penyakit yang timbul.

Najib, menurut ramai pemerhati, dengan meminta semua pihak bertenang berhubung isu kalimah Allah dan kemudian menyatakan subsidi tidak mungkin akan dikekalkan, walaupun menujukannya kepada semua rakyat tetapi seperti dalam masa yang sama sedang menyindir timbalannya itu.

Lebih-lebih lagi, kelihatan wajah Muhyiddin yang tidak ceria dan macam mencuka ketika berdiri di belakang Najib di perhimpunan itu. Di dalam akhbar dan beberapa portal berita, wajah Muhyiddin yang masam itu amat jelas kelihatan, malah mereka yang menonton berita di televisyen juga menyatakan perkara yang sama.

Bibit perbezaan antara Najib dan Muhyiddin ini bukan saja mula dirasai, malah sudah mula menjadi bualan di kalangan rakyat dan di dalam UMNO sendiri. Dengan pelbagai isu yang berlaku dalam negara sekarang, Najib bukan saja semakin kurang popular, malah keyakinan terhadap kepimpinannya sedang berada di tahap paling rendah sekali.

Berlakunya terus perbezaan antara pemimpin nombor satu dengan nombor dua memang sukar dielakkan, tidak terkecuali antara Najib dengan Muhyiddin tetapi kebijaksanaandan kecekapan akan menentukan bagaimana ianya akan berakhir nanti. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/
BANGKOK: Tidak dapat dipastikan sama ada parti atau gabungan yang memenangi Pilihan Raya Umum 2 Feb depan akan melalui jalan mudah ke arah mengambil alih tampuk kuasa dan pentadbiran memandangkan kini wujud dua puak bertentangan dalam proses melaksanakan demokrasi di Thailand.
  
Ujian besar pertama bagi demokrasi di Thailand tahun ini ialah rancangan Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) untuk menutup Bangkok pada 13 Jan sebagai langkah untuk memaksa penangguhan pilihan raya.
  
Usaha ini mula menampakkan kesan awal bila laporan mengatakan sekurang-kurangnya tiga buah syarikat penerbangan telah mengurangkan penerbangan di sini berikutan menurunnya jumlah penumpang.
  
Bagaimanapun, persiapan bagi pilihan raya tetap berjalan dengan Parti Pheu Thai pimpinan Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra melancarkan kempen di beberapa lokasi di kubu kuatnya Sabtu lepas.

Pheu Thai memulakan rapat umum kempen di Muang Thong Thani di wilayah Nonthaburi (wilayah bersempadan Bangkok), dan mengadakan acara di Chiang Mai (bahagian utara Thailand yang juga tempat kelahiran Thaksin Shinawatra), wilayah-wilayah Ubon Ratchathani, Khon Kaen di bahagian timur laut (wilayah yang memberi sokongan paling kuat kepada parti itu) dan Nakhon Sawan (bahagian utara kawasan pusat).
  
Pheu Thai dikatakan favorit yang akan memenangi pilihan raya, namun masih wujud semangat anti-Thaksin dalam kalangan sesetengah penduduk.
  
Oleh itu, rakyat akan keluar mengundi dalam keadaan berbelah bahagi seperti dahulunya dan jumlah yang keluar mengundi perlu besar, jika tidak sebuah Kerajaan baharu akan menghadapi ketidakstabilan seperti dialami oleh Yingluck.

Keadaan sebegini memaksa beliau mengadakan pilihan raya awal berikutan protes jalanan yang berlarutan beberapa bulan diketuai oleh Suthep Thaugsuban, bekas timbalan perdana menteri di bawah Parti Demokrat.

Suthep mendapat sokongan kuat di Bangkok dan menurut laporan, semalam beliau mengetuai perarakan sepanjang 8km untuk mengajak rakyat menyertai demonstrasi 13 Jan dengan slogan "Reform before Elections” (Pembaharuan sebelum Pilihan Raya)", dan bersama itu menerima sumbangan bernilai lebih 1.7 juta baht.
  
Dalam pada itu, bagi mengelakkan sebarang kritikan berhubung peranannya sebagai Perdana Menteri sementara, Yingluck hanya menyertai acara kempen utama di luar waktu pejabat, demikian menurut Sunday Nation semalam.
  
Mengenai pilihan raya, sejumlah 1,272 calon kawasan daripada 53 parti politik tetapi hanya bertanding untuk 347 kawasan oleh kerana di 28 kawasan lagi calon-calon tidak dapat mendaftar diri selepas pemprotes menghalang pusat-pusat pendaftaran.
  
Parti-parti itu akan juga bertanding untuk 125 kerusi di bawah pemilihan berdasarkan senarai parti.
  
Antara 30 Nov hingga 30 Dis, keganasan berhubung pilihan raya mengakibatkan lapan nyawa terkorban dan 461 orang cedera, menurut Pusat Perubatan Erawan.

Ketidakstabilan politik sedikit sebanyak menjejas ekonomi Thailand.      University of Thai Chamber of Commerce menjangkakan pertumbuhan hanya pada kadar tiga peratus dan tahun ini sekitar 4-4.5 peratus dengan ketegangan politik disebut sebagai antara penyebabnya.
  
Pelancongan yang menyumbang kira-kira 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Thailand mungkin turut terjejas jika ketidakstabilan berterusan, dengan itu mengganggu sasaran untuk menarik kedatangan 28-30 juta pelancong tahun ini.
  
Kecuali semua pihak yang terlibat dalam sengketa sedia bertolak ansor untuk mencapai penyelesaian damai, Thailand akan melalui 2014 yang penuh cabaran tahun ini. - Bernama

Rahim Noor dipenjara -- Rayuan ketepi hukuman ditolak dan diperintah bayar denda RM2,000


ABDUL Rahim Mohd. Noor diiringi keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur semalam untuk menjalani hukuman penjara dua bulan di Penjara Kajang. - Gambar ZAINI HUSIN.


KUALA LUMPUR 30 April - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor hari ini diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan setelah Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk mengetepikan hukuman kerana kesalahan mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahkamah itu juga memerintahkan Abdul Rahim membayar denda RM2,000 atau penjara dua bulan seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 15 Mac tahun lalu.
Abdul Rahim, 57, kemudian dibawa menaiki sebuah Pajero cermin gelap menuju ke Penjara Kajang dengan diiringi anggota-anggota polis dalam dua buah Pajero lain dan dua buah kereta kira-kira pukul 2.52 petang ini.
Hukuman penjara terhadap Abdul Rahim berkuat kuasa mulai hari ini.
Hakim Datuk Shaik Daud Ismail yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat penghakimannya pagi ini, selepas mendengar hujah rayuan yang dikemukakan oleh peguam-peguam mewakili perayu (Abdul Rahim), K. Kumaraendran dan V. Sithambaram.
Beliau mencapai keputusan itu bersama Hakim-hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Saari Yusoff dan Datuk K.C. Vohrah.
Pihak pendakwa yang menentang rayuan tersebut diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin dan Dzulkifli Ahmad.
Karpal Singh dan S.N. Nair pula hadir selaku peguam-peguam pemerhati mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai pengadu kes tersebut.
Abdul Rahim membuat rayuan itu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara dua bulan yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dalam keputusannya pada 15 Disember tahun lalu mengetepikan hukuman denda RM2,000 terhadap Abdul Rahim.
Ketika mengumumkan penghakimannya menolak rayuan itu pada sidang pukul 11.30 pagi ini, Hakim Shaik Daud menegaskan bahawa Abdul Rahim melakukan kesalahan itu pada masa dia memegang jawatan tertinggi dalam pasukan polis.
Katanya, Abdul Rahim sepatutnya menjadi contoh dalam pasukan polis tetapi sebaliknya dia meletakkan dirinya pada tahap yang paling rendah akibat perbuatan yang telah dilakukannya.
Hakim Shaik Daud berkata, tindakan perayu yang dilakukan terhadap orang tahanan tidak dapat dibayangkan dan ia tidak berperikemanusiaan.
Tambahan pula dalam kes ini, kata beliau, orang tahanan itu diarahkan oleh Abdul Rahim supaya diikat (ditutup) kedua-dua matanya dengan kain dan yang paling teruk tangan digari dari belakang.
Hakim Shaik Daud menegaskan, ia suatu perbuatan yang teruk dalam pasukan polis yang berdisiplin.
Menurut beliau, mahkamah telah meneliti dengan terperinci rekod rayuan Abdul Rahim demi keadilan kedua-dua pihak iaitu perayu dan juga mangsa.
Dalam menilai hukuman, jelas Hakim Shaik Daud, ia mengambil kira kepentingan mangsa selain tidak mengetepikan kepentingan awam.
``Kami juga menimbangkan hujah-hujah yang dibentangkan oleh peguam-peguam perayu pagi ini,'' jelas beliau.
Bagaimanapun, kata Hakim Shaik Daud, dalam keadaan kes ini, mahkamah tidak dapat menemui sebarang perkara untuk campur tangan berhubung hukuman yang telah diputuskan oleh hakim Mahkamah Sesyen.
``Kami berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi tidak seharusnya campur tangan dengan bidang kuasanya hanya kerana Hakim Mahkamah Sesyen tidak menyatakan secara spesifik kenapa dikenakan denda.
`Kami tidak ada alasan untuk membatalkannya (denda),'' jelas Hakim Shaik Daud.
Menurut Hakim Shaik Daud, alasan yang dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen meliputi keseluruhan hukuman berdasarkan fakta dan keadaan kes itu.
Namun, ujar beliau, hukuman yang dijatuhi Mahkamah Sesyen itu adalah ringan dan alasannya hanya diketahui oleh hakim mahkamah berkenaan.
Pendakwa raya juga, kata beliau, tidak mengemukakan rayuan balas terhadap hukuman itu.
Selain itu, kata Hakim Shaik Daud, beliau ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan kepada mahkamah-mahkamah yang lebih rendah bahawa ia seharusnya menangani kes-kes melibatkan pegawai polis memukul sesiapa pun dengan serius.
``Tanpa mengira pangkat pegawai polis yang didapati bersalah memukul mana-mana orang awam ataupun seseorang tahanan seperti kes ini,'' tegas beliau.
Hakim Shaik Daud menjelaskan lagi, sebagaimana yang dinyatakan pada awalnya, mahkamah itu tidak mendapati sebarang kesilapan dalam undang-undang atas hukuman yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen tersebut.
Pada 15 Mac tahun lalu, Abdul Rahim telah dihukum penjara dua bulan dan denda RM2,000 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan pindaan mencederakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu di lokap No. 6, Bukit Aman, kira-kira pukul 10.45 malam, pada 20 September 1998.

Ketika berhujah dalam rayuan itu hari ini, Kumaraendran memohon agar Abdul Rahim tidak dikenakan penjara kerana dia akan kehilangan wang pencen.
Kumaraendran berkata, dengan mengaku bersalah terhadap kesalahan itu, Abdul Rahim akan hilang faedah persaraannya seperti pencen yang secara tidak langsung merupakan denda berjumlah RM5,000 sebulan.
Beliau menambah Abdul Rahim bertanggungjawab sepenuhnya dengan mengaku terhadap kesalahan itu di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden itu.
Abdul Rahim meletak jawatan sebagai Ketua Polis Negara pada 8 Januari 1999.
Menurut peguam itu lagi, Hakim Mahkamah Sesyen juga tidak menimbangkan khidmat dan jasa cemerlang Abdul Rahim kepada negara ini.
Sebelum itu, Kumaraendran menerangkan sebab-sebab mengapa Abdul Rahim mengaku bersalah atas tuduhan pindaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Di antara sebabnya, kata peguam itu, Abdul Rahim sungguh menyesal atas perbuatannya dan jika perbicaraan dijalankan ia akan melibatkan anggota polis lain.
Katanya, Abdul Rahim juga tidak mahu isu itu berlarutan dan tidak mahu memalukan kerajaan.
Hakim Shaik Daud lalu mencelah dengan mengatakan bahawa bukankah tindakan Abdul Rahim itu telah memalukan negara.
Peguam tersebut menjawab walaupun perkara itu tidak dinafikan namun ia menjimatkan masa perbicaraan kerana terdapat 24 orang saksi.
Ketika berhujah balas, Salehuddin yang mewakili pendakwa memberitahu bahawa pihaknya tidak mengemukakan rayuan balas kerana berpendapat keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi adalah betul dengan mengekalkan hukuman penjara terhadap perayu tersebut.
Oleh: KAMARIAH AHMAD

Tiada ulasan: