Selasa, 7 Januari 2014

JANGAN BUAT LAWAK BODOH....SAPE NAK MENGAKU BERAK TENGAH JALAN....SEPATUT DENGAR KEDUA2 PUAK....SIASAT DULU...BARU BERI HUKUM ATAU FATWA....SALAHLAH KITA MENGHUKUM HANYA DENGAR SEBELAH PIHAK...SEDANGKAM KITA NAMPAK SELALU MENYEBELAH PIHAK NI....MALAH LEPAS DARI TEGURAN BILA BUAT SALAH@MAKSIAT...HANYA SEKALI2 TEGUR...SEBAGAI NAK TUTUP MATA SAJA...DENGAN ALLAH JANGAN AUTA LAH....ALLAH TAHU APA NIAT SEBENAR KITA

TAWAU: Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Mohd Nazri Dollah melahirkan rasa syukur atas pembebasannya dari Tempat Tahanan Perlindungan Taiping, Perak kelmarin.
  
Katanya pembebasannya itu merupakan nikmat yang Allah berikan kepadanya kerana dia kini dapat hidup seperti rakyat biasa bersama anak isteri.
  
"Selama dua tahun di pusat tahanan itu saya bersama rakan-rakan terus mendalami ilmu agama sebagai pengisian kehidupan seharian. Saya sentiasa bersyukur dengan apa yang diberikan Allah sama ada dalam bentuk kesusahan ataupun kebaikan.
  
"Saya meminta semua masyarakat Islam di negara ini agar terus menghayati ajaran al-Quran dan hadis seperti mana yang dituntut agama," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
  
Mohd Nazri tiba di lapangan terbang Tawau kira-kira pukul 3 petang sebelum diiringi anggota keselamatan menuju ke rumahnya.
  
Kelmarin kesemua enam tahanan terakhir ISA dibebaskan pada pukul 8.30 pagi dari Tempat Tahanan Perlindungan Taiping, Perak.
  
Mereka terdiri daripada tiga rakyat Malaysia, dua rakyat Indonesia dan seorang warga Filipina yang ditahan sejak 14 Nov 2011.
  
Rakyat Malaysia tersebut termasuklah Adzmi Pindatun dan Bakar Baba manakala dua warga negara Indonesia ialah Muhammad Adnan Umar dan Darto Bandu, serta warganegara Filipina Muadz Hakim. - Bernama


TERLALU banyak isu agama yang wujud sekarang membuatkan saya bertanya diri saya " Islam apa yang cuba ditonjolkan di negara ini".

Isu-isu seperti reaksi melampau kerajaan BN terhadap isu mazhab, isu nama Allah, isu hasrat Umno ingin meminda Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan mazhab ahlul sunnah wal jamaah sebagai mazhab rasmi negara ini, isu kenyataan mufti Perak yang 'membughahkan' himpunan anak muda yang berhimpun menentang kenaikan harga barang dan isu serbuan JAIS ke pejabat Bible Society of Malaysia di Damansara Kim, membuatkan saya bertanya Islam apa yang cuba kita tonjolkan pada masyarakat.

Ya, Islam itu amat indah. Ya Islam itu amat adil. Ya, Islam itu agama yang Allah menyatakan secara jelas dalam Al Quran  bahawa Allah telah menetapkan diri-Nya rahmah (kasih sayang).Ya, Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang Rasul yang Allah nyatakan sebagai "role model" (qudwatun hasanah ) untuk kita semua. Persoalannya adakah semua prinsip tersebut dijelmakan sekarang ini di negara ini?

Melihat kepada isu-isu yang saya nyatakan di atas, adakah kita sedang menonjolkan keindahan dan keadilan Islam? Saya tidak tahu di manakah keindahan dan keadilan Islam ingin kita kongsi dengan masyarakat bukan Islam dan mereka yang jauh dari Islam jika berhimpun aman untuk protes kenaikan harga barang dikira halal darahnya kerana mereka adalah bughah (penderhaka).

Jika ini wajah Islam yang kita tonjolkan bukankah ianya wajah yang amat-amat menakutkan? Jika wajah Islam sebegini yang kita tonjolkan adakah salah kita atau salah orang bukan Islam jika mereka tidak tertarik kepada Islam?

Apabila menentang kenaikan harga barang yang menyusahkan kehidupan rakyat dianggap penderhaka, adakah Islam yang ingin kita tonjolkan tidak benar sama sekali membenarkan kebebasan berhimpun dan bersuara hingga melaksanakan hak tersebut membolehkan negara mengambil nyawa kita?

Jika itulah pendirian Islam yang kita tonjolkan, kita bukan sahaja akan gagal meyakinkan orang bukan Islam kepada keindahan Islam malahan kita akan mengundang risiko wujudnya golongan anak muda Islam yang akan sangsi terhadap Islam itu sendiri.

Huriyyah

Ajaran dan sejarah Islam amat toleran dengan kebebasan (huriyyah) khususnya kebebasan berhimpun dan bersuara. Sebagai satu contoh apabila Saidina Umar r.a ingin campurtangan dalam isu mahar, beliau ditegur oleh seorang wanita dengan menggunakan hujah dari Al Quran. Saidina Umar r.a mengiktiraf kebebasan bersuara itu sambil menyatakan:

 "Umar salah, wanita itu  betul". Islam meletakkan bercakap benda yang hak (kalimatul haq) di depan penguasa zalim adalah jihad yang paling utama (afdhalul jihad).

Islam memerintah Sepanyol untuk tempoh yang lama dengan berjaya menunjukkan roh tasamuh ( toleransi ) yang cemerlang. Bekas orang kuat CIA, Graham E. Fuller di dalam bukunya "A World Without Islam" menyatakan tidak seperti Islam, agama Kristian sehingga kini diigaui pengalaman buruk kerana kezaliman yang dilakukan oleh pihak gereja di Eropah ke atas orang orang Islam dan Yahudi di Sepanyol semasa Kristian menakluk Sepanyol. Kita boleh lihat perkara tersebut sekiranya kita ke melawat " Inquisition muzeum" di Cordova, Sepanyol.

Kebebasan beragama

Adakah umat Islam di Malaysia ingin menuruti kesilapan orang atau agama lain dalam isu kebebasan beragama sedangkan sejarah Islam mempunyai rekod cemerlang dalam mempromosi dan mengamalkan serta menghormati kebebasan beragama?

Bekas Paderi, Karen Amstrong memuji Saidina Umar r.a kerana tidak bersembahyang di gereja di Palestin kerana beliau tidak mahu perbuatan beliau itu akan memprovokasi orang-orang Islam kemudian hari untuk menuntut hak milik gereja tersebut untuk dijadikan masjid .

Jika undang undang dan piagam hak asasi manusia Barat menganggap kebebasan bersuara adalah satu hak, Islam pula menjadikan kebebasan itu satu tanggungjawab khususnya jika ia melibatkan teguran ke atas benda yang mungkar.

Bagaimanakah kenaikan harga barang dan kos sara hidup tidak menzalimi rakyat dalam keadaan wang rakyat disalah guna dan bocor kerana rasuah, pembaziran dan salah guna kuasa. Bukankah sejarah Islam ,sepertimana yang dinyatakan dalam buku Fiqh al-Zakat karangan Dr Yusuf Al Qardhawi ,  menyaksikan golongan ulama seperti Imam Nawawi dan Sultan Al Ulama 'Izzuddin ibn Salam secara berani dan tegas menegur pemerintah bahawa mereka dilarang memungut cukai dari rakyat dalam keadaan segala kemewahan pemerintah terlebih dahulu dicairkan dan jika tidak cukup barulah bakinya diambil dari rakyat.

Bagi saya dalam keadaan lesunya para alim ulama maka tindakan anak-anak muda berhimpun dan menyatakan bantahan tentang kenaikan kos sara hidup hakikatnya adalah refleksi mereka mengambil roh keberanian Imam Nawawi dan Imam 'Izzuddin Ibn Salam menentang pihak penguasa yang zalim. Malangnya jika ulama zaman dahulu berani menegur pihak penguasa di Malaysia wujud pula ulama yang halalkan darah anak-anak muda yang berhimpun menentang polisi pihak berkuasa.

Di manakah indahnya Islam jika kita tonjolkan golongan Kristian yang guna nama Allah perlu didakwa di bawah Akta Hasutan atau ditarik kerakyatan mereka seperti yang dicadangkan oleh Mufti Perak atau digeledah pejabat mereka dan digari tangan mereka. Mengapakah roh tasamuh (toleransi) yang Nabi Muhammad s.a.w tonjolkan kepada Suhail Al Amr di dalam perjanjian Hudaibiyyah tidak dijadikan rujukan dalam isu nama Allah ini.

Di mana indahnya Islam jika Islam meraikan perbezaan pendapat dan mazhab, kita pula ingin ‘mengekslusifkan’ mazhab sehingga ingin dimasukkan mazhab  khusus di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Allamah Iqbal menyatakan "al Islam mahjubun bil muslimin" (Islam terlindung oleh orang-orang Islam sendiri). Malangnya itulah yang kita sedang lihat di negara ini pada masa ini!
Berikut ialah penjelasan Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkaitan isu ‘bughah’ dan ‘halal darah’.

Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian dan portal Malaysiakini bertarikh 2 Januari 2014 yang menyatakan di halaman utama bahawa Perhimpunan Haram Di Dataran Merdeka “Penderhaka”, peserta perhimpunan sebagai “Bughah” iaitu penderhaka terhadap pemerintah adil. Sementara di halaman 10 akhbar Berita Harian ditulis pernyataan “sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari Hukum Syarak dihalalkan golongan bughah”. Akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Januari 2014 di halaman utama dan kedua juga sarat dengan pandangan saya berkenaan isu “bughah” dan demonstrasi.

Kenyataan-kenyataan tersebut telah diterbitkan menerusi media arus perdana dan dikatakan menjadi polemik dan kecelaruan kepada masyarakat. Pada dasarnya, ianya adalah kenyataan daripada saya apabila ditemubual oleh wartawan akhbar Berita Harian dan Sinar Harian namun, kenyataan panjang saya kepada Berita Harian berhubung perkara tersebut dipendekkan malah difokuskan hanya kepada isu demonstrasi “TURUN” sahaja. Sedangkan terdapat isu lain termasuk penganjuran Konsert di Ambang Tahun Baru “ditiadakan” sebagai bahan berita.

Diizinkan Allah saya dapat menatap isu dan berita perihal demonstrasi setiap kali ianya dianjurkan oleh pelbagai pihak di Malaysia. Setiap kali penganjuran demonstrasi dilaksanakan, maka saya akan dihubungi untuk memberi ulasan terhadapnya. Apa yang menggusarkan saya ialah apabila berlakunya demonstrasi dalam skala yang besar di negara ini maka, majoriti para pesertanya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Maka, secara jelasnya akan berlaku pertembungan antara dua pihak yang mana kedua-duanya merupakan warga Muslim. Jika berlaku pertembungan tersebut sudah tentu ia akan menghasilkan kemudaratan ke atas pihak-pihak, di samping akan menguntungkan mereka yang berkepentingan dan yang menangguk di air yang keruh.

Nasihat dan peringatan

Oleh yang demikian, selagi diberi amanah saya tidak akan berputus asa untuk menegur dan mendamaikan kedua-dua kumpulan yang merupakan saudara-saudara saya. Sudah tentu ayat al Quran surah Al Hujurat ayat 9 menjadi panduan yang bermaksud:

“…Dan jika dua puak dari orang-orang beriman berselisihan, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya bersifat melampau (zalim), maka lawanlah puak yang melampau (zalim) itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah diantara keduanya dengan adil (menurut hokum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil…”.

Sebab penurunan ayat ini dengan satu riwayat daripadanya ialah perbalahan yang ditimbulkan oleh Abdullah bin Ubai yang menyemarakkan perbalahan dengan mengatakan bahawa kencing himar Rasulullah ketika Baginda SAW menziarahi Sa’ad bin Ubadah telah menyakiti beliau.

Dalam riwayat yang lain pula merekodkan perbalahan itu berlaku sesama golongan Ansar. (Tafsir Ibn Juza)

Saya berpandangan bahawa syarat “syaukah” yang sering dikaitkan dengan bughah masih dijadikan perbahasan seperti yang terkandung dalam kitab-kitab feqh contohnya kitab Nihayatul Muhtaj.

Dalam kes Abu Bakar al-Siddiq memerangi orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat juga memberi gambaran kepada kita bahawa tindakan memerangi mereka juga diambil walaupun golongan ini tidak mempunyai senjata namun ia didokong oleh sekumpulan manusia yang mempunyai bilangan ramai dan munasabah mencetuskan suasana tidak aman kepada pemerintahan.

Pembentukan negara kita berasaskan sistem demokrasi berparlimen. Rakyat diberi hak untuk menentukan pemimpin yang mereka kehendaki berdasarkan sistem pilihanraya. Oleh itu, adalah tidak wajar sama sekali rakyat dihasut untuk mencari mekanisme yang lain bagi menyatakan ketidakpuasan hati kerana negara ini mempunyai instrumen yang diakui untuk menyampai hasrat rakyat seperti parlimen, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri ataupun mahkamah. Tanpa menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman sepertimana yang dilaungkan namun, rantaian demonstrasi yang telah berlaku mencatatkan sebaliknya. Telah timbul kebimbangan kepada rakyat di sekitarnya kerana kemudaratan lebih terhasil daripada manfaat.

Larangan memberontak

Saya menekuni hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya akan timbul selepas aku sifat pentingkan diri (daripada pemimpin-pemimpin kamu) dan perkara-perkara yang kamu ingkar”. Sahabat bertanya,“ Wahai Rasulullah! Apakah yang engkau perintahkan kepada kami? Jawab Baginda SAW “Kamu hendaklah menunaikan hak yang diwajibkan ke atas kamu dan mintalah hak kamu daripada Allah”.

Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa terdapat dorongan di dalam hadis ini untuk dengar dan taat sekalipun pemerintah adalah zalim. Sebagai rakyat, seseorang itu perlu memberikan hak pemimpin iaitu ketaatan dan tidak memberontak, bahkan dia perlu merendahkan diri kepada Allah dalam usaha menghapuskan kemudaratan pemimpin, menolak kejahatannya dan berusaha untuk membaikinya. Ini bertepatan dengan saranan Nabi Nabi SAW bahawa cara teguran terbaik adalah secara bersemuka.

“Seafdhal-afdhal jihad ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim.” (HR Abu Daud)

Antara adab penting yang wajib diambil kira dalam menasihati pemimpin ialah member nasihat secara sembunyi, bukan secara terang-terangan berdasarkan hadith:

“Sesiapa yang ingin menasihati pemerintah berkenaan sesuatu urusan maka janganlah dizahirkan secara terang-terangan tetapi hendaklah memimpin tangannya ke tempat yang sunyi sekiranya dia menerima nasihat maka niatnya telah tercapai tetapi sekiranya ia enggan menerima nasihat maka sesungguhnya orang yang memberi nasihat telahpun melaksanakan tugasnya.” (HR Imam Ahmad)

Imam Ibnu Hajar Al Asqolani merakamkan dalam kitab Fathul Bari bahawa “para Fuqaha telah sepakat atas kewajiban untuk mentaati pemimpin yang berkuasa dan untuk berjihad bersamanya. Ketaatan kepadanya lebih baik daripada memberontak kerana dapat mengelak daripada tercetusnya pertumpahan darah dan memberi ketenangan kepada orang ramai”.

Belum pun ditinjau dari sudut istilah syara’, perkataan bagha dari sudut bahasa sudah pun membawa maksud kerosakan, melampaui batas, hasad dan kezaliman. (Maqayis lughah, Mukhtar al Sihah dan lisan al arab). Laporan Berita Harian hanya melaporkan pandangan saya tentang kerisauan saya tentang kesan bagha para penunjuk perasaan walhal saya juga membuat teguran yang sama kepada perbuatan bagha penganjur pesta maksiat sempena sambutan awal tahun.

Jika dikatakan demonstrasi adalah cara terbaik untuk menggerakkan kerajaan yang lalai, maka saya fikir itu bukanlah cara yang bersesuaian kerana saya tidak rela dengan apa yang berlaku di Mesir di mana kerajaan yang sah digulingkan secara kekerasan berpunca daripada demonstrasi yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban. Apa yang merisaukan saya adalah sekiranya demonstrasi ini menjadi tindakan biasa dan jalan pintas terhadap sebarang ketidakpuasan hati segelintir rakyat. Maka, keamanan dan kestabilan ekonomi, politik dan masyarakat tidak akan berlaku. Seperti dimaklumi, mekanisme menurunkan kerajaan secara aman telah disediakan secara terhormat dan demokratik serta telah terbukti mampu dibuat secara aman damai. Buktinya ialah terbahaginya negeri-negeri di Malaysia ini di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Kerisauan saya ini saya zahirkan dengan mungulangi ketetapan para ulama yang menggambarkan betapa usaha menjatuhkan kerajaan yang sah secara kekerasan itu sangat bahaya kepada kesatuan ummah bahawa golongan bughat ini boleh diperangi setelah diajak berdamai seperti direkodkan dalam pelbagai kitab termasuk al fatawa al kubra karangan Ibn Taimiyyah.

Semoga tanah air kita terselamat dari golongan ini dan menyelamatkan kita semua.

Saya menyeru semua umat Islam berhati-hati dari terjebak menjadi ‘ayam laga’ kepada pihak-pihak yang berkepentingan melalui perkakas-perkakas media dan sebagainya kerana mereka sangat irihati jika umat Islam bersatu dan bersepakat. Ingatlah pesanan dan ancaman Rasulullah SAW:

Jika datang kepada kamu sekumpulan manusia dengan seorang pemimpin yang bertujuan untuk merobek kekuatan kamu dan memecahbelahkan jemaah kamu maka bunuhlah ia. (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith ini sebagai peringatan serius Nabi SAW agar dikekalkan penyatuan ummah dan segala usaha memecahbelah umat patut ditangani secara tegas dan tuntas.

Kesimpulannya, sekiranya berlaku percanggahan pandangan terhadap isu ini, ianya merupakan pemahaman dan penilitian saya terhadap isu dan kaitannya dengan realiti semasa di negara ini. Saya tiada niat lain kecuali mencari redha Allah dan melihat perpaduan umat Islam terus terpelihara khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa.

 

 

 
KUALA LUMPUR: Kerajaan mesti mencari kelemahan dan musuh yang sebenar menyebabkan ekonomi Malaysia merosot dengan pendapatan negara dari segala cukai dan hasil tidak mencukupi mentadbir kerajaan.

“Kerana musuh itu bukan berada di luar, sebaliknya di dalam tubuh kerajaan itu sendiri. Carilah,” tulis Setiausaha Penyelaras Barisan Nasional P124 Bandar Tun Razak, Wilayah Persekutuan, Zaharin Mohd Yasin di dalam blognya.

Menurutnya, dasar penswastaan yang diguna pakai sekarang adalah ditiru daripada British apabila mereka menghadapi ekonomi yang lemah bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan tetapi hari ini dasar penswastaan Kerajaan Barisan Nasional telah membebankan rakyat.

Bagi beliau, sepatutnya yang berlaku ialah penswastaan akan membantu rakyat dan kerajaan dapat hasilnya tetapi apa yang berlaku hari ini, kerajaan bergantung kepada syarikat-syarikat penswastaan seperti alat sokongan hayat.

“Maka rakyat menjadi bingung, maka bertanya lagi rakyat. Adakah kerajaan membuat perniagaan dengan rakyatnya?” tanya beliau

Menurut beliau, kesimpulannya apa yang berlaku hari ini bukan salah rakyat, sama ada seperti yang berlaku kepada ‘Anakku Sazali’.

“Yang mula-mulanya si bapa selalu menyebut anakku Sazali dan akhirnya menjadi penderhaka kerana dia dipelihara dengan dimanjakan. Bapa Sazali memanjakan Sazali kerana terlalu sayang akan anaknya. Kerajaan BN memanjakan rakyat mahukan sokongan. Itu sahaja perbezaan,” tulisnya lagi.

Beliau yang menggunakan nama Sang Kelambai di akhir tulisannya menyatakan: Teringat dialog Sazali. Sazali ada banyak pengikut dan mereka sanggup mati kerana Sazali. Siapa Sazali hari ini?
KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan menjadi mangsa terbaru menerima ugutan bunuh angkara fitnah pihak tertentu terhadapnya yang disebar di media sosial.

Beliau yang juga Adun Subang Jaya berkata, ugutan itu dipercayai ada kaitan dengan satu kenyataan palsu yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan dirinya.

Kenyataan itu berbunyi 'duduk bersila baik untuk wanita sedang hamil', yang turut memaparkan wajahnya dan terdapat satu lagi gambar seorang wanita mengandung sedang duduk bersila di lantai dipercayai dalam tren transit aliran ringan (LRT).

"Ramai rakan saya bertanya sama ada saya pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Saya terkejut nampak gambar saya dikaitkan dengan gambar perempuan mengandung dalam LRT sedangkan saya memang tidak pernah menyentuh isu tersebut,” katanya.

Sambil menafikan pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu, beliau berkata akan menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Dalam pada itu, beliau juga akan akan membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterimanya untuk keselamatan diri.
KAHERAH: Ikhwanul Muslimin menyatakan kebimbangan terhadap kesihatan dan keselamatan Presiden Dr Mohamed Morsi yang kini dalam tahanan kerajaan rampasan kuasa yang didalangi tentera.

Dalam satu kenyataan semalam, pihak Ikhwan menempelak sikap pihak pendakwaan yang enggan membenarkan membenarkan keluarga dan peguam bertemu dengan Morsi.

Tindakan tersebut menimbulkan keraguan terhadap keadaan kesihatan semasa presiden Mesir itu.

"Kerajaan rampasan kuasa dan pihak pendakwaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas keselamatan Presiden Morsi," kata mereka dalam satu kenyataan.

"Ini menimbulkan banyak persoalan mengenai keadaan presiden, termasuk rawatan dan keselamatannya, " kata kenyataan itu lagi.

Permintaan yang difailkan oleh peguam Mesir untuk melawat Morsi di penjara Burj al-Arab di Alexandria telah dinafikan oleh pihak pendakwaan negara pada Sabtu lalu atas "sebab-sebab keselamatan."

Bulan lepas, akhbar milik persendirian Al- Masry al-Youm memetik Menteri Dalam Negeri Mohamed Ibrahim sebagai berkata bahawa Morsi tidak dibenarkan untuk bertemu dengan peguam juga atas "sebab-sebab keselamatan."

Morsi telah dibawa ke penjara dengan pengawasan keselamatan maksimum selepas muncul di mahkamah dengan tujuh lagi defendan lain untuk menjawab tuduhan bahawa dia telah menghasut pembunuhan penunjuk perasaan anti-kerajaan akhir tahun lalu.

Beliau kali pertama muncul di mahkamah pada 4 November selepas digulingkan tentera kudeta pada 3 Julai.

Penyokong Morsi bertegas bahawa tuduhan terhadap Morsi dan tujuh lagi pemimpin ikhwan lain sebagai bermotif politik.
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan kenyataan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkait dengan 'bughah' dan 'halal darah' sebagai berbahaya.

Timbalannya Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, melabelkan peserta himpunan pada 31 Disember 2013 yang lepas sebagai bughah (pemberontak) dan halal darah adalah berupa hasutan yang boleh mengundang kepada kekacauan ketenteraman awam dan keselamatan nyawa warganegara Malaysia.

Justeru katanya, DPPM dan dewan pemuda PAS kawasan di seluruh negara diarah membuat laporan polis secara serentak pada hari ini atau esok (6 dan 7 Januari 2014).

"Saya berharap pihak Polis Diraja Malaysia akan mengambil tindakan dengan menyiasat kenyataan beliau itu.

"Saya juga berharap Tan Sri Harussani akan sedar kesilapan di dalam kenyataan beliau dan menarik balik sesegera yang mungkin agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.

KUALA LUMPUR: Dr Rosli Yaakop berazam akan memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan Harakah yang baru dengan penuh amanah yang akan menjanjikan pelaksanaan urus tadbir yang baik.

Beliau yang menggantikan Datuk Kamarudin Jaffar yang telah bersama Harakah selama tujuh tahun, mengakui tugas yang baru ini amat berat memandangkan Harakah adalah lidah rasmi PAS selain menjadi sumber kewangan kepada parti itu.

"Saya berterima kasih kepada Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk pikul tanggujawab baru ini," katanya dalam Majlis Penyerahan Tugas di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, hari ini.

Dr Rosli turut berjanji akan memberi komitmen sedaya upayanya dan cuba untuk memanfaatkan masanya dengan memberi tumpuan kepada Harakah.

"Saya boleh bagi tumpuan kepada Harakah, perniagaan saya akan diuruskan oleh isteri saya. Saya hanya memegang beberapa jawatan di peringkat negeri seperti Bendahari PAS Kawasan Rembau, dan Ketua Penyelidikan PAS Negeri Sembilan," katanya.

Selain mengembangkan dakwah dan politik Islam katanya, Harakah harus juga mampu menjana hasil yang cukup baik kepada parti dan menentukan habuan yang lebih baik kepada warga Harakah.

"Habuan yang lebih baik kepada warga Harakah, inilah yang mustahak. Kita akan kerja secara berpasukan yang menjanjikan barakah. 'Team Work' kita akan tekankan," katanya.

Turut bersama di dalam majlis ringkas itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali serta seluruh kakitangan Harakah.

Dalam pada itu, Kamarudin Jaffar yang mula berkhidmat sejak tahun 2006 merasakan perubahan di dalam Harakah itu antara lain ialah untuk perjuangan bersama di dalam PAS.

Katanya, hasrat untuk melepaskan jawatan Pengarah Urusan Harakah sekian lama diutarakan namun demi harapan parti kepadanya, beliau teruskan jua.

"Saya tidak mahu campur tangan dalam editorial sebab itu kita telah melantik penasihat editorial Harakah di kalangan AJK Harian. Saya turut berbincang beberapa kali siapa yang boleh ambil tugas ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Sepanjang perkhidmatan, beliau telah berusaha menyelesaikan beberapa masalah antaranya berjaya menyerap kakitangan TV PAS ke Harakah serta pengambilalihan Harakahdaily.

Kamarudin berharap pengunduran beliau ini perlu diambil positif oleh kakitangan Harakah dan tidak akan menjejaskan perjalanan Harakah selepas ini.

"Dr Rosli ini yang telah berjaya dalam bidang perniagaannya di Bangladesh, insya Allah Harakah akan terus berkembang dan berjaya di bawah beliau," katanya.
KOTA KINABALU: Perbicaraan kes 30 individu yang berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong serta terbabit dalam pelbagai kegiatan keganasan di Sabah awal tahun lepas, bermula di Mahkamah Tinggi semalam, yang bersidang di Penjara Sabah di sini.
  
Saksi pertama pendakwaan iaitu bekas Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerak Khas) Bukit Aman Datuk Abdul Rashid Harun memaklumkan beliau menyedari terdapat perbezaan dalam bilangan penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu selepas dua kali ke sana.
  
"Majoriti mereka adalah individu berbeza daripada yang saya lihat sehari sebelum itu. Namun mereka memakai uniform yang sama dengan corak kamoflaj dan bersenjata," katanya.
  
Beliau berkata jumlah penceroboh bukan sahaja menurun malah terdapat muka baharu berbanding mereka yang dilihatnya dalam lawatan pertama ke kampung itu.
  
Abdul Rashid, yang kini Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Lahad Datu, berkata dalam lawatan pertamanya pada 15 Feb, beliau menyamar sebagai seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar.

Abdul Rashid kemudian membantu membawa bekalan dari kenderaan polis ke dapur sebuah rumah yang diduduki dan selepas melakukan kiraan, beliau mendapati 79 penceroboh berkenaan memiliki bersenjata dan lima daripada mereka adalah wanita serta berpakaian seperti askar.
  
Bagaimanapun, dalam lawatan kedua, beliau mendapati jumlah penceroboh ialah 63 orang dan majoriti mereka bukanlah individu yang dilihatnya sebelum itu.
  
Abdul Rashid berkata pada hari pertama, beliau melihat tiga lelaki memegang senapang M16 manakala seorang lagi meletakkan pistol semi automatik jenis .45 di pinggangnya.
  
Sehari kemudian, beliau melihat lebih banyak senjata dibawa penceroboh berkenaan seperti raifal Garand, pistol Colt G45, revolver dan karbin serta parang.
  
"Seorang lelaki meletakkan dua pelancar bom tangan pada kit tali pinggang yang dipakainya di bahagian dada, satu pelancar di sebelah kiri manakala satu lagi di sebelah kanan," katanya.

Abdul Rashid berkata beliau tidak mengambil bahagian dalam rundingan antara ACP Zulkifli Abd Aziz, yang juga Timbalan Ketua Cawangan Khas 1 di Sabah, dengan ketua penceroboh berkenaan Datu Agbimuddin Kiram.
  
Katanya, tujuan beliau menyertai lawatan ke Kampung Tanduo ialah bagi menjalankan risikan untuk mengumpul maklumat berhubung penceroboh termasuk menilai kekuatan serta senjata yang mereka miliki.
  
Terdahulu, pendakwaan meminda tarikh dalam semua pertuduhan daripada 9 Feb kepada 12 Feb tahun lepas.
  
Daripada 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah antara 12 Feb dan 10 April, 22 termasuk dua rakyat Malaysia, didakwa menganggotai kumpulan pengganas, dan jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup dan denda.
  
Mereka turut berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan. 
  
Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui adalah anggota kumpulan pengganas.

Lima individu daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya adalah anggota kumpulan pengganas.
  
Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui adalah anggota kumpulan pengganas.
  
Sejumlah 27 tertuduh merupakan warga Filipina manakala bakinya adalah warga tempatan.
  
Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung dibantu pasukan pendakwaan tujuh anggota diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail manakala sejumlah 10 peguam mewakili tertuduh termasuk pasukan pembelaan enam anggota diketuai peguam Datuk N. Sivananthan bagi 28 tertuduh.

Perbicaraan bersambung hari ini. - Bernama

Tiada ulasan: