Rabu, 15 Mei 2013

TAHNIAH KEPADA SEMUA KEPADA YB2...YANG BERKHIDMAT...KERJALAH DENGAN JUJUR DAN ADIL...JANGAN TIBAI DUIT RAKYAT...NANTI TAK SELAMAT DIDUNIA DAN AKHIRAT....INGAT SENTIASA TENTANG MATI AGAR KITA JADI BIJAKSANA DAN TAK HOLABA KEPADA DUNIA

Pakatan sahut cabaran Umno, jemput SPR jawab dakwaan

Muhammad Faizal, 14 Mei 2013

(Para pemimpin Pakatan dalam sidang media hari ini bersatu mengukuhkan Pakatan)


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat berharap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof sedia menerima pelawaan Pakatan Rakyat bagi menjawab segala persoalan yang timbul sewaktu pilihanraya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei yang lepas.

Ini berikutan cabaran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan agar Pakatan menjemput SPR menjelaskan dakwaan penipuan dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Berkata pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan pelawaan itu tidak boleh ditolak kerana beliau sendiri sudi hadir apabila dijemput Umno.

"Kita bersedia menjemput Pengerusi SPR untuk bertemu dan berdialog bersama pimpinan Pakatan Rakyat mengenai pelbagai persoalan yang timbul sewaktu PRU13.

"Kita harap beliau sudi menerima jemputan kita sebagai tanda keadilan beliau, jika beliau sanggup menerima jemputan dari Umno kenapa tidak Pakatan Rakyat," jelasnya.

Tambahnya, Pakatan Rakyat akan mengemukakan setiap persoalan yang timbul bersertakan fakta dan bukti, dan sebagai Pengerusi SPR, Abdul Aziz perlu menjawab setiap persoalan tersebut.

"Pada pertemuan nanti kita akan kemukakan segala persoalan dan kemuskilan yang timbul sewaktu PRU13, banyak bukti dan fakta kita perolahi.

"Jadi saya harap sebagai pengerusi sebuah agensi yang mengendalikan pilihanraya, beliau (Abdul Aziz) perlu menjawab kesemua persoalan yang dikemukakan tanpa ada sebarang kekeliruan," katanya petang tadi.

Saifuddin yang turut memberitahu Ahmad Maslan yang sebelum ini menyatakan Pakatan Rakyat tidak berani berdepan dengan Pengerusi SPR perlu membantu pertemuan tersebut.

Katanya lagi, jika Abdul Aziz menolak jemputan Pakatan Rakyat untuk berdialog, Ahmad perlu memainkan peranan utama agar pertemuan dapat dilaksanakan.

"Pakatan Rakyat harap Ketua Penerangan Umno dapat membantu agar pertemuan ini dapat direalisasikan.

"Jika Abdul Aziz menolak, beliau (Ahmad) perlu membantu agar petemuan dapat diadakan, kita Pakatan Rakyat tidak takut untuk berhadapan dengan Pengerusi SPR," sambung beliau lagi.

Sementara itu, Saifuddin turut memberitahu Pakatan Rakyat dibawah Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli telah mengumpulkan segala bukti penipuan dan penyelewengan yang berlaku pada PRU13 5Mei lepas.

Lebih 29 kawasan parlimen dikenalpasti wujud penipuan sehinggakan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional.

Kawanku Azizan Razak

-, 14 Mei 2013

PAGI
itu saya menerima beberapa panggilan bertanyakan, ‘Benarkah Ustaz Azizan (Abdul Razak) sudah mati?’

Saya tiada maklumat. Dari anak saya yang bercakap dengan anak Ustaz Azizan, dia koma tetapi menurut doktor adalah stabil.

Saya bergegas ke  Pulau Pinang berada di sisinya sebelah malam, empat jam selepas rombongan Yang Dipertuan Agong dan Yang Dipertua Pulau Pinang menziarahinya.

Dia sudah begitu sejak sebelum Subuh tadi. Saya pinjam kata-kata Tun Abdullah Badawi semasa menziarahi  Ustaz Fadzil Noor di HUKM Bandar Tun Razak dulu, ‘Dia dilihat  tidur.’

Kedua kakinya dilihat hitam. Kuman kencing manis di luka kuku kakinya sudah naik ke lutut. Nasihat doktor ia mesti dipotong bagi menyelamatkannya. Wasiatnya kepada warisnya dan setiausaha politiknya, ‘Jangan potong kaki (nya)!’

Kawanku itu menghadapi dua ujian besar. Pertama kerajaan Kedah pimpinannya kalah kepada BN ketika dia sudah berada di hospital setelah memberikan penuh masa dan tenaga sepanjang kempen, tanpa pedulikan yang dia adalah uzur.

Kurang dari 24 jam setelah hilang kerajaan negeri, dia diuji supaya dua kakinya akan  hilang.

Meskipun kerajaannya kalah semangat dan kesabarannya tetap tinggi menghadapi ujian itu. Dia sempat berpesan kepada Datuk Mukhriz, penggantinya dengan riang dan bergurau.

Semangatnya tetap tinggi menghadapi penyakit jantung dan kencing manisnya pada tahap kritikal. Semua tahu badannya cukup uzur tetapi otaknya tetap berjalan laju. Sepanjang musim kempen dia memberikan tenaga yang semaksimanya.

Semasa kempen itu  dia sudah demam, tetapi tidak dihiraukannya penyakitnya. Diutamakannya perjuangan dari bahaya penyakitnya.

Semangatnya jatuh apabila  doktor memberitahu, kedua kakinya mesti dipotong. Ditambah penat perjalanan ambulans dari Alor Setar ke Pulau Pinang menjadi musibab dia pana.

Doktor tidak dapat menunggu lama untuk menyelamatkannya sebelum kuman naik ke lain bahagian. Ustaz Abdul Hadi Awang menziarahinya sehari kemudian.

Saya diberitahu, Ustaz  Hadi menasihatkan keluarganya supaya akur atas nasihat doktor. Menyelamatkan kakinya seperti tidak menyelamatkan usianya.

Pejuang memberi jiwa raga demi perjuangan. Ustaz Azizan sudah mengorbankan kedua kakinya untuk perjuangan. 48 jam sebelum kakinya dipotong dia masih di pentas perjuangan bersama rakyat.

Ketika dia masih berkhidmat di UKM kerajaan Dr. Mahathir membentuk MAPEN – Majlis Perundingan Ekonomi Negara. PAS diperuntukkan lima orang. Saya ditugaskan menyampaikan nama-nama itu kepada urusetia Mapen. Kami telah tetapkan seorang daripadanya adalah pakar ekonomi Islam dari UKM. Tetapi tiada maklumat daripadanya. Saya tanya Ustaz Fadzil apakah boleh tempat itu diganti dengan Ustaz Azizan. Jawapan Ustaz Fadzil, ‘Ia pilihan yang baik.’

Mulai dari saat itu dia mencebur penuh masa dengan PAS dan akhirnya Ustaz Fadzil memillihnya untuk menggantikan dirinya sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

Banyak yang diwarisinya dari Ustaz Fadzil termasuklah penyakitnya – jantung dan kencing manis.

Tahniah MB Kelantan, Selangor dan KM P Pinang

Harakahdaily, 14 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah di atas pelantikan Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat iaitu di negeri Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang bagi penggal 2013-2019.

Di Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus mendapat kepercayaan rakyat untuk memimpin negeri tersebut buat kali keduanya sebagai Ketua Menteri.

Di Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim diberi kepercayaan Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar negeri Selangor buat penggal kedua hari ini.

Manakala, Kelantan mendapat Menteri Besar yang baharu apabila Datuk Ahmad Yakob dipilih menjadi Menteri Besar Kelantan menggantikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagi DPPM, kata ketuanya, Nasrudin Hassan, pelantikan ketiga-tiga pemimpin bagi menerajui negeri-negeri Pakatan Rakyat tersebut amat wajar dan tepat pada masanya memandang rekod pentadbiran yang ditunjukkan oleh mereka semasa kepimpinan mereka sesi lalu menunjukkan prestasi yang cemerlang.

“Bagi Datuk Ahmad Yakob pula pelantikan sebagai Menteri Besar Kelantan bukanlah suatu kejutan memandangkan beliau adalah Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika di era Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, pelantikan ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat membuktikan kepercayaan rakyat terhadap ketokohan dan kewibawaan mereka.

“Lim Guan Eng serta Tan Sri Khalid Ibrahim telah berjaya mengharungi segala ujian yang melanda negeri tersebut sepanjang sesi 2008-2013 serta memajukan negeri-negeri tersebut jauh ke hadapan berbanding negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional,” katanya.

Mereka juga, ujar beliau telah menunjukkan contoh kepada negeri-negeri lain bahawa Pakatan Rakyat mampu melahirkan pemimpin yang mempunyai kredibiliti, amanah, cekap, bersih dan telus.

Malah, tambah beliau rakyat di negeri-negeri tersebut mendapat manfaat sepenuhnya daripada pemimpin kerajaan yang prihatin dan menjaga kebajikan rakyat sepanjang penggal lepas.

“Adalah diharapkan Menteri Besar Kelantan, Selangor serta Ketua Menteri Pulau Pinang mampu memikul amanah sebagai pemimpin negeri-negeri PR dengan jayanya serta berlaku adil kepada semua pihak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Beliau berkata, mereka perlu buktikan bahawa mereka adalah Menteri Besar atau Ketua Menteri kepada semua kaum tanpa mengira bangsa dan keturunan serta pemimpin kepada semua pihak tanpa mengira ideologi dan fahaman politik.

Di sisi rakyat, katanya mereka adalah kebanggaan semua pemimpin dan pendukung Pakatan Rakyat serta mampu menggalas kepimpinan negara apabila PR menang Putrajaya kelak.

TG Nik Aziz serah tugas secara rasmi kepada MB baru

Rizal Tahir, 14 Mei 2013


(Tg Nik Aziz menyerahkan tugas sebagai MB secara rasmi kepada Datuk Ahmad Yaacob hari ini)

KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyerahkan tugas secara rasmi kepada Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yaacob hari ini.

Penyerahan tugas itu diadakan sempena majlis jamuan perpisahan 'Jasamu Dikenang', khusus untuk Tuan Guru setelah mentadbir Kelantan hampir 23 tahun lalu.

Majlis berkenaan anjuran kerajaan negeri diadakan di Dewan Jamuan Utama Kota Darulnaim.

Semua anggota exco, pegawai kanan kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, Adun serta kakitangan kerajaan negeri hadir pada majlis tersebut.

Selepas PRU 13 lalu, Tuan Guru tidak lagi bersedia untuk meneruskan tanggungjawab itu kerana keletihan serta masaalah kesihatan.

(Bergambar kenangan selepas selesai majlis)

Ustaz Ahmad ketika berucap pada majlis itu berkata, Tuan Guru merupakan seorang pemimpin serta role model yang cukup istimewa.

Ini kerana, katanya Tuan Guru telah berjaya mencipta tugu perpaduan khususnya bersama masyarakat bukan  Islam yang sebelum ini digambarkan imej yang buruk bagi mereka.

“Dengan kehebatan Tuan Guru, beliau telah berjaya menyatu padukan semua bangsa di negara ini sehingga mereka tidak lagi menganggap Islam sebagai agama ekstrem.

“Ianya dibuktikan lagi dengan penterjemahan sikap Tuan Guru sendiri yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum di negara ini,”ujarnya.

Beliau turut mengakui tanggungjawab memikul amanah sebagai Menteri Besar begitu besar dan bukan mudah untuk dilaksanakan.

Tegasnya, beliau memerlukan bantuan semua pihak untuk membantu rakyat melalui kepimpinan yang ada.

“Saya juga berharap ilmu dan idea dapat lagi disumbangkan oleh Tuan Guru walaupun tidak lagi sebagai menteri besar,”ujarnya.

Sementara itu, Tuan Guru mengakui hatinya begitu tenang mentadbir Kelantan kerana tidak ada  masaalah yang ditimpakan ke atasnya.

Sambungnya, hasil kerjasama kakitangan kerajaan negeri, orang politik serta rakyat Kelantan sendiri yang baik membuatkan tugasnya begitu mudah diurus.

“Cuma yang sukar nak berhadapan dengan pihak lawan kita ni, dia ni teruk sangat, bukan setakat Islam dia lawan, demokrasipun dilawannya,”ujarnya.

Sambungnya, apa yang berlaku kerana tiadanya roh Islam dalam jiwa menyebabkan peranan pemimpin sedemikian akan ikut acuan yang tidak berlandaskan Islam.

TG Nik Aziz berjaya tumpulkan keris nasionalis

Harakahdaily, 14 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Antara kejayaan besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah berjaya menonjolkan nilai Islam yang menolak perkauman dan tidak sesekali menzalimi kaum-kaum lain.

Menurut Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub, pendekatan Tuan Guru Nik Aziz itu telah menyebabkan bukan sahaja Islam itu dipandang tinggi, malah orang bukan Islam juga menyambut baik perjuangan Islam itu sendiri.

"Saya yakin, misi dakwah yang merentasi bentang perkauman dan darah bangsa yang dibawa oleh Tuan Guru telah berhasil menumpulkan keris nasionalis yang diasah oleh golongan-golongan tertentu.

"Hasilnya, non muslim begitu menyambut baik perjuangan Islam dan tanpa segan silu mengangkat panji-panji perjuangan Islam kerana yakin bahawa Islam tidak pernah menzalimi penganut agama lain sebagaimana yang telah terbukti di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Serah Tugas Menteri Besar di Dewan Jamuan Utama, Kota Darulnaim hari ini.

Selain itu juga kata Ahmad, 23 tahun memerintah Kelantan Tuan Guru juga telah membuktikan bahawa golongan ulamak juga mampu mengurus tadbir negeri.

Katanya, bekas Menteri Besar Kelantan itu telah berjaya memecahkan persepsi sebahagian besar rakyat Kelantan bahkan seluruh negara khususnya terhadap golongan ulama.

"Jika sebelum ini, persepsi rakyat terhadap golongan ulama ialah ulama tidak boleh mentadbir dan hanya layak berada di beranda madrasah atau masjid membelek kitab kuning untuk dibaca di dalam kuliah, tetapi hari ini dengan kejayaan YB Tuan Guru mentadbir negeri Kelantan lebih daripada dua dekad, persepsi ini telah berjaya diranapkan," katanya.

Tuan Guru ujarnya telah membuktikan keupayaan dan kecekapan beliau memimpin kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah itu sejak tahun 1990 lalu.

Ianya boleh diukur denga pelbagai saranan dan pembaharuan dibuat sehingga membuka mata ramai pihak bahawa sebenarnya Islam lebih layak untuk mentadbir berbanding syariat ciptaan manusia.

Menurut Ahmad lagi, kejayaan pentadbiran Tuan Guru yang memandu masyarakat dengan agama, lebih penting dari kejayaan membina bangunan yang tinggi dan jalan raya yang bersimpang siur.

Umum maklum katanya, bahawa Tuan Guru memotong gajinya sebanyak 40 peratus untuk perjuangan parti bahkan beliau enggan menerima elaun tahunan untuk menyediakan pelbagai juadah kerana menyambut hari raya.

Tuan Guru juga sering memberi amaran supaya para Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan tidak melibatkan diri di dalam apa jua bentuk rasuah dan penyelewangan malah beliau mengambil pelbagai langkah lain lagi bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan Islamik.

"Sungguh ketara sekali, di sebalik tubuh yang kecil itu, terhimpun segala kekuatan dan keberanian yang boleh melemahkan pihak musuh, betapa pun kuat dan ramai bilangan mereka.

"Hasilnya, sekalipun silih berganti pemimpin di peringkat kerajaan pusat, kerajaan Kelantan alhamdulillah gagal dijatuhkan dalam enam kali pilihanraya umum berturut-turut, satu tempoh yang cukup lama bagi sebuah kerajaan negeri seperti Kelantan untuk bertahan sekalipun diasak dengan pelbagai serangan," kata Ahmad.

Pakatan cadang Konvesyen Perpaduan Nasional

Muhammad Faizal, 14 Mei 2013

(Zairil, Mustafa, Saifudin dan Anthony Loke dalam sidang media hari ini)

PETALING JAYA: Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat hari ini mencadangkan satu Konvesyen Perpaduan Nasional diadakan bagi mewujudkan perpaduan semua kaum di negara ini.

Perkara tersebut di jelaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di Ibu Pejabat PKR petang ini.

Menurutnya, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Setiausaha dan ia akan dibawa ke menyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat esok.

Jelasnya lagi, konvesyen ini amat penting bagi membincangkan serta mencari satu formula untuk penyatuan pelbagai kaum bagi menghindarkan sentimen perkauman.

"Hari ini melalui mesyuarat Majlis Setiausaha kita telah mencadangkan agar satu Konvensyen Perpaduan Nasional diadakah dalam masa terdekat, cadangan ini akan dibawa esok pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat untuk diperincikan.

"Saya melihat ia amat penting kerana sejak pilihanraya yang lepas isu perkauman telah dimainkan oleh Umno-Barisan Nasional, kita tidak mahu isu perkauman terus menjadi agenda utama dalam negara ini," jelas beliau.

Tambah beliau lagi, isu perkauman atas rasis sudah menjadi bahan kepada pimpinan Umno-BN sehinggakan keputusan pada plihan raya umum ke-13 (PRU13) mereka menuduh ia sebagai tsunami cina.

Katanya lagi, isu perkauman ini semakin tegang sehinggakan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menyeru agar kerajaan menghapuskan sekolah vernakular yang didakwanya bukan sahaja memecahbelahkan masyarakat malah tidak diiktiraf perlembagaan.

"Sudah sampai masanya kita memperkukuhkan perpaduan kaum, kita tidak mahu isu ini terus dimainkan oleh pimpinan kerajaan ataupun mereka yang hampir dengan pimpinan.

"Pakatan Rakyat perlu memastikan satu pendekatan terbaik diambil untuk mencari perpaduan kaum semoga suasana harmoni dapat diwujudkan," sambung beliau lagi.

Saifuddin yang memberitahu perkara ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci bagi mementukan bila dan dimana ia akan diadakan.

Sebelum itu, Mohd Noor dalam kenyataannya selain memberitahu sekolah vernakular yang memecah belah masyarakat malah tidak diiktiraf oleh perlembagaan.

Beliau yang turut memberitahu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) perlu dihapuskan.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan juga pimpinan DAP.

Ugut mengugut akhirnya Ahmad Said kekal MB

Harakah, 14 Mei 2013

(Seorang penyokong BN sedang memasang sepanduk anti Mat Said)

KUALA LUMPUR: Menjelang perlantikan MB Terengganu, Datuk Ahmad Said untuk penggal keduanya, pelbagai peristiwa berlaku termasuklah ugut mengugut dan sebagainya.

Harakah turut mengesan beberapa sepanduk yang dipasang oleh ahli dan menyokong Umno-BN Terengganu kerana tidak berpuas hati dengan perlantikan Adun Kijal itu ke jawatan Menteri Besar.

Antara tulisan protes yang dibuat "Kami Serik Doh Mat Said..5 Tahun Jadi MB", "Apa Ertinya MB Setahun Sahaja Duhai Najib", "Daulat Tuanku, Kami Tak Mahu Mat Said Jadi MB", "Mat Said Jadi MB Hilang Balok Terengganu", "Mat Said Jadi-jadilah Jadi MB", "Orang Mude Tak Mahu",yang dipasang di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu.


Ikuti ulasan Harakah mengenai isu ini dalam edisinya Jumaat ini.

Tiada ulasan: