Sabtu, 4 Mei 2013

JIKA IBUBAPA BOLEH PILIH MAKA PILIHLAH YANG TAKWA ATAU BAIK DAN AMANAH....JANGAN PILIH YANG SEBALIKNYA...KAKI KELENTONG SERTA SUKA BUAT MAKSIAT

Jika diizin Tuhan, kita tukar acuan kepimpinan jika wujud kerajaan baru

Posting saya semalam mendapat reaksi yang agak menarik. Menariknya kerana ada yang menyokong dan ada juga yang tidak begitu seronok dengan pandangan saya itu. Mereka yang ‘realistik’ dan berpijak di atas alam yang nyata akan menerima perpaduan itu merupakan ‘ultimate’ dan tidak ada perkara yang lain yang lebih penting dari itu. Kumpulan ini mengutamakan keharmonian dan kerukunan kehidupan masyarakat dan tidak menolak pandangan saya ini.
Ada yang tidak begitu bersetuju kerana mereka mahukan perubahan dan tidak mahu terus pandangan saya itu. Mereka percaya ‘winner takes all and the loser looses all’. Saya bukan tidak bersetuju dengan pandangan ini tetapi persoalannya bolehkah satu-satu pihak terutamanya pihak pembangkang mendapat perolehan undi yang mutlak, sekurang-kurangnya mencapai kemenangan di 150 kerusi Parlimen?
Di sebaliknya pula mampukah UMNO dan sekutunya mendapat kemenangan di 150 kerusi sekurang-kurangnya? Umum mempercayai kedua-dua belah pihak tidak mampu mendapatkan kemenangan sebesar itu.
Kalau dikira dari sudut parti, saya mengakui UMNO akan memenangi kerusi yang terbanyak walaupun BN itu berkemungkinan akan kalah, kerana MCA dan Gerakan akan kehilangan banyak kerusi. DAP atau pun PAS akan menyusur sebagai yang kedua terbesar di dalam Parlimen. Justeru bagaimana pihak yang ingin melihat ‘winner takes all, and the loser looses all’ itu?
Satu hakikat yang tidak boleh kita nafikan ialah keadaan akan tetap menjadi ‘problematic’ jika yang kalah itu tidak kalah semua dan yang menang itu tidak akan menang semua. Dalam beberapa hari ini jelas ada unsur baru dalam pemikiran rakyat terutamanya di kalangan yang berpendidikan dan yang mempunyai pemikiran dan minda yang terbuka. Mereka ini mahukan kestabilan yang kekal dan abadi.
Situasi ini sudah pun berlaku dan telah diselesaikan dengan pembentukan BN dan lambang kapal layar itu telah hilang di dalam arena politik tanah air. Kenapa keadaan itu terpaksa dilakukan jika tidak untuk mencapai perpaduan dan kehidupan yang muhibbah di antara kita sesama kita?
Gerakan yang merupakan sebuah parti pembangkang telah menyertai BN dan sejak itu BN telah berjaya meletakkan dan membina keharmonian yang begitu lama di dalam negara kita. Tetapi malangnya pimpinan BN sejak Dr Mahathir tidak berjaya menguruskan kejayaan itu sehinggakan telah wujud acuan yang baru dan acuan itulah yang sedang digunapakai dalam pemilihan pimpinan BN sampai ke hari ini. Sekarang yang paling penting ialah untuk menukar acuan itu jika terbentuk kerajaan baru di dalam negara ini.
Budaya yang merosakkan asas-asas keharmonian itu telah bersemi di dalam BN sehingga keadaannya sampai ke tahap yang kita lihat pada hari ini. Sekarang ini telah wujud situasi yang sama seperti situasi tahun 1969 dahulu di mana rakyat telah terdesak untuk melakukan perubahan besar.
Tetapi dikira dari sudut mana pun, tidak akan ada pihak yang menang besar untuk mengaku yang mereka telah mendapat mandat yang ‘legitimate’ sebagai mandat besar. BN tidak akan mendapat mandat besar walaupun dengan kelebihannya sebagai pihak ‘incumbent’.
Apakah keuntungannya jika ada usaha untuk mencari perpaduan secara ini? Pertamanya jika berlaku usaha penyatuan ini ia akan mengenepikan mana-mana individu yang mempunyai kepentingan peribadi, yang merupakan asas yang ‘real’ kenapa keadaan politik kucar-kacir yang kita alami sekarang ini. Di satu pihak sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kuasa dan begitu juga di pihak yang sebelah satu lagi.
Politik di tahap ini sangat ‘complicated’ dan ia mesti diselesaikan dengan kepala dan pemikiran yang tenang dan jujur. Setiap pihak mesti mengakui hakikat yang politik kini hanya dimainkan oleh beberapa orang pimpinan sahaja. Yang lain-lain itu hanyalah pengikut masing-masing yang kadangkala merasakan mereka memahami politik yang sebenarnya.
Itu sebabnya ada yang mengeluarkan kata-kata kesat apabila tidak bersetuju dengan pandangan yang lain daripada apa yang mereka hendak dengar. Saya sendiri sebagai penulis pinggiran ini, mendapat banyak kritikan yang berselindung di sebalik ‘anonymity’ dalam blog ini dengan kata-kata yang kesat. Kata-kata ini seolah-olah datangnya dari mereka yang tidak mempunyai iba bapa untuk mendidik mereka.
Saya cekal dengan pandangan saya itu sebab saya tidak boleh menulis apa yang ada dalam pemikiran orang lain. Saya mesti menulis apa yang ada dalam pemikiran saya sendiri. Keadaan lebih kurang sama sahaja dalam kedua-dua belah pihak. Banyak berlaku permainan politik dalaman yang tidak sihat dalam BN itu. Tidak kurang juga berlaku perkara yang sama dalam Pakatan Rakyat.
Menikam di antara satu dengan lain dalam kumpulan yang sama itu sudah menjadi lumrah. Kerana apa?...jawapannya ialah kerana kuasa. Ramai di antara kita di bawah-bawah ini adalah mangsa permainan dan percaturan politik kotor dan itu kita terima dengan hati yang terbuka.
Kita tahu dan mengakui akhirnya nanti yang menentukan segala-galanya adalah Tuhan yang Maha Esa. Jika ada di antara kita yang percaya keputusan pilihanraya ini tidak kena-mengena dengan ketentuan Tuhan, itu hak mereka.
Saya tidak berani menafikannya.

Ini kalilah!

Cikgu Azmi Abdul Hamid, 04 Mei 2013
Rakyat menyambut fajar 5hb Mei 2013
bernafas di lumpur panas
bermula bayu lembut berdikit dikit menjadi tiupan kencang
bagaikan ibu lepas pantang
Cinta kepada nusa
Kasih kepada bangsa
akan tersingkap kemahuan tak berbatas
berduyun-duyun melangkah
sambil menyimpan azam
gelombang ubah, ubah dan ubah

Ini kalilah!

bila demokrasi jadi medan terhina
di pentas berhujah jadi lapangan berfitnah
Rakyat sudah bosan menjerit
Rakyat sudah jemu bersuara
tak dihirau peritnya rakyat diperlembukan
tak dikisah deritanya rakyat tergadai maruah
dek nafsu mereka berkuasa
dek gelojoh mereka menjadi kaya raya
cukup, cukup, cukup sudah
mereka bersandiwara

ini kalilah!

terdengar bumi bersuara
berbisik memesankan berita
nusa tidak boleh dibiar dinoda lagi
warga tidak boleh terbiar dihina lagi
dengan janji,
janji yang diselimuti korupsi
janji yang berselindung dibalik kroni
akan sanggupkah hina ini terbiar bergenerasi
diperjudi anak bangsa
dipertaruh nusa
dipergadai agama tercinta

ini kalilah!

kali ini sungutan akan dihentikan
kemarahan yang meluap akan diterjemahkan
kerana saatnya sudah tiba
untuk kini dan masa depan
dari diperbudakkan
dari dijahilkan
mencahaya sinar baru
menyala obor yang ditunggu-tunggu
untuk kamu wahai anak bangsaku

ini kalilah!

selama ini
sejauh ini
perjuangan bukan sia-sia
tangisan amat berharga
kerana rakyat sudah berkata
dengan kata muktamad
5 hb Mei 2013 akan dikotakan
janji semua, senada, sesuara
6hb Mei 2013 Putrajaya akhirnya
diwargakan untuk kita semua.


Cikgu Azmi Abdul Hamid
Merbok , Kedah
4 hb Mei 2013 , 4.00 pagi

Lapor kes dakwat kekal: Mejar ditukar serta merta

Mohd Sabri Said, 03 Mei 2013

PULAU PINANG: Pegawai Pemerintah Skuadron No 12 Pengkalan Udara DiRaja Malaysia (TUDM)  Butterworth, Mejar Zaidi Ahmad ditukarkan serta merta ke Kuala Lumpur bermula hari ini kerana membuat laporan polis isu dakwat kekal yang tidak kekal.

Bagaimanapun beliau memohon perpindahan itu ditangguhkan sehingga hari Isnin 6 Mei minggu depan  ekoran beliau sedang disiasat oleh Lembaga Siasatan TUDM di sini.

(Laporan polis yang dibuat oleh Mejar Zaidi, isteri dan rakan-rakannya tersebar merata. Kerana membuat laporan polis beliau dipersalahkan dan ditukar serta merta)

"Surat arahan telah dikeluarkan oleh TUDM di mana saya ditukarkan ke Kuala Lumpur hari ini. Tetapi saya minta tangguh ke Isnin kerana di sini pun sedang diadakan satu Lembaga Siasatan berhubung kes saya, " beritahunya kepada Harakahdaily.

Kata Zaidi lagi, bukan sahaja pertukaran dibuat akibat arahan tersebut malahan secara rasminya telah dilucutkan dari jawatan Pegawai Pemerintah No 12 Skuadron Pengkalan Udara Butterworth dan terlepas peluang dinaikan pangkat ke Leftenan Kolonel TUDM.

Dua hari lepas Zaidi, isterinya Shafinah Abdul Hamid dan Juruteknik TUDM, Jamal Ibrahim membuat lapuran polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Kepala Batas.

Laporan itu dibuat kerana dakwat kekal yang dicalit di jari telunjuk tangan kirinya semasa pembuangan undi awal luntur apabila di basuh dengan sabun dan pencuci tangan.

Mereka antara pengundi awal yang menyangkal kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) kononnya dakwat yang digunakan boleh bertahan seminggu.

PAS akan pastikan Islam, Melayu terbela dalam Pakatan

Harakahdaily, 04 Mei 2013
KUALA LUMPUR: PAS memberi jaminan akan mempastikan Islam dan Melayu terbela sepenuhnya dalam Pakatan Rakyat jika ia mendapat mandat mentadbir negara selepas pilihan raya umum ke 13 ini.

Jaminan ini diberikan oleh dua pemimpin tertinggi PAS iaitu Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataan berasingan mereka.

"Saya dengan ini, memberi jaminan seutuhnya sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, maka PAS akan terus menjunjung kemuliaan Islam dan memastikan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai tunjang kepada sistem Raja Berperlembagaan," kata Tuan Guru Nik Aziz dalam kenyataannya.

"PAS akan memastikan kepentingan Melayu dan Islam terjaga dengan baik dalam Pakatan Rakyat tanpa sedikitpun mengganggu atau bertindak tidak adil kepada mana-mana pihak," kata Tuan Guru Abdul Hadi pula dalam kenyataannya.

"Maka kewujudan agensi dan entiti seperti UITM, MARA, Tabung Haji dan lain-lainnya akan terus diperkukuhkan sesuai dengan tuntutan masa untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit di dunia luar," tegas beliau lagi.


Berikut adalah kenyataan penuh mereka berdua:


KENYATAAN MEDIA MURSYIDUL AM PAS

Bismilllahir-Rahmanir-rahim.

Assalamu’alaikum waramatullahi wa barakatuh.

Saudara saudari pengundi sekelian,

Dalam masa kurang dari 48 jam dari sekarang, kita akan melalui satu proses demokrasi bagi menentukan parti manakah yang akan memegang tampuk pemerintahan negara untuk tempoh 5 tahun akan datang.

Pada penghujung tempoh berkempen ini, saya yakin saudara saudaritelah menerima pelbagai bentuk maklumat mengenai tawaran-tawaran dari Barisan Nasional mahu pun dari Pakatan Rakyat, sama ada melalui media arus perdana atau media baru seperti Facebook, Blog, Twitter dan sebagainya.

Berdasarkan perkembangan kempen selama dua minggu ini, maka saya dengan rendah hati merayu agar saudara saudari sekalian dapat mengundi calon-calon Pakatan Rakyat. Jika di Dun/Parlimen itucalon PAS, maka undilah PAS. Begitulah di mana Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding, undilah PKR dan di mana ada calon DAP, maka undilah DAP.

Atas semangat pemuafakatan tahaluf siasi, PAS, PKR dan DAP sedia menjadi pilihan terbaik dari apa yang Barisan Nasional lakukan selama 55 tahun memerintah Malaysia.

Justeru PAS sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan politik Islam, sudah tentu PAS tidak akan berganjak seinci pun dalam memelihara kesucian agama Islam. Atas penegasan ini, maka PAS sedia menawarkan peranan yang lebih besar bagi menjamin kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. PAS sedia memastikan kedudukan Islam dimartabatkan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Negara. Ini telah dibuktikan sepanjang sejarah perjuangan PAS sejak dari dahulu lagi––PAS tanpa rasa kekok atau apologetik––PAS sentiasa meletakkan kesucian Islam pada kedudukan yang paling tinggi di dalam perjuangan kami.

Saya dengan ini, memberi jaminan seutuhnya sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, maka PAS akan terus menjunjung kemuliaan Islam dan memastikan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai tunjang kepada sistem Raja Berperlembagaan. Hal ini penting, tatkala Sistem Beraja dicabar oleh beberapa pindaan Perlembagaan sejak 80-an lagi, PASlah satu-satunya parti yang konsisten di dalam mempertahankan sistem

Raja Berperlembagaan ini di hadapan rakyat. Natijahnya, PAS sedia memastikan institusi Raja terus disanjung, seiringan dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai institusi bersejarah di tanah air tercinta ini.

Oleh itu PAS akan terus memelihara keluhuran Perlembagaan sebagai undang-undang dasar yang paling tinggi di dalam sistem pemerintahan Negara, dan tidak rela perlembagaan itu dimanipulasikan oleh mana-mana pihak demi agenda politik tertentu. Tekad PAS adalah untuk terus menjuarai usaha-usaha untuk melindungi dan mempertahankan hak-hak rakyat, khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera sebagaimana termaktub di dalam Perkara153 Perlembagaan Malaysia. PAS tidak akan segan silu untuk menjadi jurubicara rakyat dalam Perkara ini, dan dalam masa yang sama, memberikan hak-hak yang adil dan saksama kepada seluruh kaum-kaum lain sebagaimana peruntukan yang ada.

Akhir sekali, saya memberi jaminan bahawa PAS akan terus berjuang untuk membebaskan penjawat awam dari cengkaman politik dan mempastikan tiada seorang pun kakitangan awam menjadi mangsa politik walaupun mereka mempunyai kefahaman politik yang berbeza.

Kita memberi jaminan bahawa tidak ada seorang pun penjawat awam, termasuklah 15,000 kakitangan KEMAS dan 10,000 kakitangan JKKK di seluruh negara yang akan dibuang kerja jika Pakatan Rakyat memerintah negara selepas PRU-13 nanti.

Undilah PAS. Undilah calon-calon Pakatan Rakyat. Ini kalilah! Ubah!
Kekal Kelantan Ubah Putrajaya.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS
merangkap Menteri Besar Kelantan

-----------------------------------

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

Sabtu 4 Mei 2013/23 Jamadil Akhir 1434

“JAMINAN PAS TERHADAP KEPENTINGAN MELAYU-ISLAM DI MALAYSIA”

1.         Penubuhan suatu gagasan besar yang bernama Pakatan Rakyat (PR) oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah untuk membawa Malaysia ke satu era baru, iaitu menolak politik berasaskan perkauman yang sekian lama di monopoli oleh parti-parti yang membentuk Barisan Nasional dan untuk menolak kerosakan yang telah membarah dalam negara kita ini.

2.         Pakatan Rakyat telah bergerak dengan begitu teguh, di mana kebersamaannya adalah di asaskan oleh perkara yang dipersetujui bersama di antara PAS, DAP dan PKR yang telah diperincikan menerusi deklarasi-deklarasi Konvensyen PR, Buku Jingga dan Manifesto yang tidak menindas hak mana-mana bangsa, agama ataupun jantina. Hasilnya, PR telah menjadi suatu muafakat politik yang mampu untuk menggantikan Barisan Nasional yang sudah semakin bermasalah untuk menguruskan negara kita ini.

3.         Sehubungan dengan mandat besar yang kita perlukan dari rakyat dalam PRU-13 ini, PAS sekali lagi ingin memberikan jaminan bahawa institusi awam yang berkait rapat dengan kedudukan orang Melayu beragama Islam dalam negara ini sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan terjejas sedikit pun.

4.         PAS akan memastikan kepentingan Melayu dan Islam terjaga dengan baik dalam Pakatan Rakyat tanpa sedikitpun mengganggu atau bertindak tidak adil kepada mana-mana pihak. Maka kewujudan agensi dan entiti seperti UITM, MARA, Tabung Haji dan lain-lainnya akan terus diperkukuhkan sesuai dengan tuntutan masa untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit di dunia luar.

5.         Berasaskan jaminan PAS ini, maka rakyat Malaysia yang menjadi pengundi dalam PRU-13 pada 5 Mei 2013 ini tidak perlu merasa ragu lagi untuk memberikan undi mereka kepada Pakatan Rakyat, menerusi lambang PAS, DAP dan PKR. PAS akan membalas amanah rakyat untuk bersama Pakatan Rakyat memuliakan Islam, meluhurkan Perlembagaan serta berkebajikan untuk rakyat.


Selamat Mengundi.

MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN
PAKATAN HARAPAN RAKYAT

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Angkara Zul Nordin mulut besar, semua terburai

Harakahdaily, 04 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Setelah menyepi seketika waktu akhirnya Harakahdaily berjaya menghubungi sumber Umno untuk mendapat laporan terkini daripada beliau mengenai kenyataan Setiausaha Agong Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai penerbangan pengundi baru-baru ini.

Tengku Adnan mengaku bahawa dakwaan Pakatan Rakyat mengenai kewujudan penerbangan khas membawa pengundi daripada timur Malaysia ke Semenanjung sememangnya benar.

Bernama melaporkan Tengku Adnan mengaku kewujudan penerbangan sedemikian dan menegaskan bahawa khidmat itu ditaja oleh “rakan-rakan BN.”

“Itu plan B dah sebenarnya. Dah confirm akan kalah baru digunakan,” kata beliau kepada Harakahdaily pagi ini.

“Jadi apa plan A-nya?” tanya Harakahdaily.

“Video seks. Video seks buatan seorang pemimpin wanita PKR dah mula dikeluarkan. Ingatkan tak keluar sebab dah backfire. Patutnya Plan B dah jalan, Plan A akan henti. Sekarang jalan dua-dua, confirm dah dapat maklumat risikan nyawa tinggal sampai malam besok sahaja,” katanya sambil berseloroh.

Disebabkan suara telefon yang agak kejauhan, Harakahdaily bertanya pada beliau lokasi kedudukannya.

Sumber Umno itu memberitahu beliau kini berada di luar negara kerana hadapi tekanan kuat setelah meledakkan pada Harakahdaily tempoh hari bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan turun berkempen di Putrajaya untuk menyelamat Tengku Adnan.

Harakahdaily cuba bertanya apakah Plan B sudah berjalan lama dalam perancangan.

“Dah lama. Selama ini targetnya Selangor sahaja. Tapi masalah sekarang Johor, Putrajaya dah goyah. Mula-mula mereka ingat tempur Selangor sahaja. Sebenarnya kalau bukan Zulkifli Noordin besar mulut kata 110% akan menang, saya rasa Plan B ini tidak akan dihidu oleh sesiapa atau diledakkan keluar dari dalam.

"Silap percaturan plan A lepas video seks untuk benamkan PAS backfire badly – kamu attack orang yang berintegriti lama bertunjang di politik negara, siapalah nak percaya. Kadangkala pakar strategi kita ini memang bodoh sikit,” kata sumber Umno itu.

Beliau berkata sekarang waktu getir untuk mereka yang terlibat dalam Plan B.

“Dulu di Sabah, selepas BN menang, berapa orang yang kehilangan kebebasan kerana terlibat dalam perbuatan terkutuk itu? Orang-orang yang hilang kebebasan itulah yang muncul menceritakan segalanya pada RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) Sabah mengenai pendatang asing. Sekarang dalaman sedang bertiup kencang mengenai nasib mereka selepas ini, jika BN menang atau kalah,” kata beliau lagi.

Beliau menyuruh Harakahdaily menyiarkan nasihat ini kepada mereka yang terlibat dalam Plan B.

“Hentilah. Kamu semua akan menyesal nanti. Yang terkena ialah anak-anak dan cucu-cucu kamu. Orang Bangla ini akan jadi orang Melayu – boleh beli tanah rezab orang Melayu, dapat diskaun beli rumah Bumiputera, anak-anak masuk universiti guna kuota Melayu, beli amanah saham – silap hari dia jadi kaya, anda semua jadi kuli dia. Kalau rakyat dah tolak BN, hormatlah keputusan. Rezeki di tangan Allah, bukan Umno. Usah bimbang, hilang rezeki ini, Allah akan ganti dengan yang lain,” tegas beliau.

Sebelum mengakhiri perbualan, Harakahdaily sempat bertanya samada beliau akan balik mengundi.

“Insha-Allah balik – kena undi pada parti yang tidak disokong warga Bangla dan Nepal,” katanya sambil ketawa besar.

Sumber Umno itu seorang pengundi di Selangor.

Pilih ibubapa rakyat yang bertanggungjawab 5 Mei ini

-, 04 Mei 2013

Assalamualaikum w.b.t,

Besok hari tiba waktu getir di mana rakyat Malaysia bakal menentukan siapa kerajaan yang baru di Malaysia. Sepanjang kempen ini, banyak peristiwa yang berlaku, banyak hujah yang dilontarkan, dan banyak maklumat yang disebarkan untuk mempengaruhi rakyat, penentu kuasa mutlak sesebuah kerajaan di negara tercinta ini.

Konsep keluarga

Sebelum kita melihat peringkat kerajaan, kita perlu memahami dulu cara kita mentadbir keluarga. Dalam sesebuah keluarga, yang paling dipentingkan ialah keselamatan dan kesejahteraan kesemua ahli-ahlinya. Semua mesti cukup makan dan tidak lapar. Semua mesti selamat dan sihat.

Ibubapa sebagai ketua keluarga, yang paling dipentingkan kita ialah masa depan anak-anak kita. Kita bertungkus-lumus bekerja, mengumpul duit untuk memastikan anak-anak kita untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik serta melengkapkan mereka dengan ajaran Islam, sebagai panduan kekuatan untuk mengharungi dunia yang penuh mencabar ini tanpa melupakan bahawa akhirat itu adalah lebih penting.

Apa tujuan kita untuk mendapatkan pendidikan terbaik untuk anak-anak kita? Supaya masa depan anak-anak terjamin, mereka berupaya mencari nafkah sendiri, membeli kereta, berkahwin dan mendirikan keluarga tanpa bergantung kepada kita. Apabila anak-anak berkembang dengan sihat, pulangan pada ibubapa adalah lumayan – kegembiraan yang tidak terhingga dan lain-lain yang tidak perlu disebut di sini.

Apabila anak-anak kita mendapat pendidikan yang terbaik, peluang pekerjaan mereka adalah luas – bukan sahaja tertumpu di Malaysia tapi kemahiran dan ilmu mereka juga bernilai di mana-mana sahaja di dunia.

Sebagai ibubapa, kita juga bertungkus-lumus memastikan jumlah pendapatan sentiasa melebihi pembelanjaan. Kita akan mendidik anak-anak kita untuk berjimat dan tidak membazir. Kita mencari jalan untuk melabur untuk meningkatkan pendapatan. Ketika membeli atau menggunakan wang, kita mencari nilai pulangan terbaik kepada wang yang hendak dibelanjakan.

Konsep kerajaan
Asas mentadbir sesebuah kerajaan sebenarnya sama dengan asas menjaga sesebuah keluarga. Pemimpin kerajaan adalah ibubapa. Manakala rakyat adalah anak-anaknya. Yang mengawal kehidupan ibubapa di dalam keluarga ialah anak-anak – masa kita, kerja kita dan duit kita semua dikawal demi masa depan anak-anak kita.

Maka, di peringkat kerajaan sebenarnya rakyat ialah bos kepada pemimpin yang dipilih melalui pilihanraya. Kepada para pemimpin yang dipilih – mereka mesti melakukan tanggungjawab sebagai ibubapa seperti dalam sebuah keluarga.

Maka di sini yang perlu direnungkan, apakah kerajaan BN, yang berusia 56 tahun ini ada mengganggap rakyat sebagai anak-anak mereka?

Sebagai ibubapa kepada rakyat, masa depan rakyat dan generasi seterusnya patut dijadikan keutamaan. Seperti harapan seorang ibubapa kepada anak-anak, sepatutnya rakyat diperkuatkan dengan ilmu melalui pendidikan dengan sumber yang ada.

Seharusnya institusi pendidikan dinaiktarafkan. Universiti bukan sahaja diperbanyakkan, tapi kualiti dipertingkatkan supaya anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik. Apabila anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik, maka ia seperti memberikan pancing dan mata kail kepada anak-anak, mereka boleh mencari makan sendiri. Mereka boleh bekerja di mana-mana sektor. Nilai kemahiran meningkat kerana kehebatan anak-anak dan sistem pendidikan kita dan secara automatiknya negara luar akan berminat melabur di negara kita.

Tapi selama 56 tahun memerintah, kerajaan BN sebagai ibubapa tidak pernah memikirkan perkara ini. Mereka tidak pernah berfikir untuk menjamin masa depan rakyat.

Institusi-institusi pendidikan dibiarkan kualitinya menurun. Mereka hanya memperbanyakkan institusi pendidikan tanpa mempedulikan kualitinya. Akibatnya rakyat atau anak-anaknya tidak dapat mencari kerja yang baik. Akhirnya, kerajaan yang terpaksa mengambil anak-anak ini sebagai pekerja.

Mana ada ibubapa yang inginkan anak-anaknya sentiasa bergantung pada keluarga untuk makan setiap bulan? Ada. Iaitu kerajaan BN. Mungkin pada mereka ini satu perkara yang bagus, anak-anak terpaksa bergantung kepada mereka, akhirnya setiap 5 tahun, anak-anak ini hanya perlu diberikan sedikit imbuhan, seperti memberi ikan kepada seseorang tanpa mengajarnya memancing, untuk mendapatkan sokongan mereka.

Anak-anak ini pula sering diingatkan untuk berterima kasih kepada ibubapa (kerajaan BN) – kerana mengambil mereka untuk bekerja. Walhal, mereka yang menyebabkan anak-anak ini terpaksa bekerja dengan mereka.

Apa yang terjadi apabila perkara ini berlaku? Pembelanjaan ibubapa semakin meningkat kerana perlu mengambil ramai anak-anak yang tidak mendapat pekerjaan kerana pendidikan yang diterima tidak bernilai di luar. Disebabkan itu, ibubapa tidak cukup pembelanjaan untuk menaiktarafkan institusi pendidikan negara. Disebabkan itu, masa depan anak-anak terus semakin malap dari satu generasi ke generasi yang lain. Anak-anak pemimpin BN terselamat daripada keadaan ini kerana mereka semua dihantar ke luar negara untuk menerima pendidikan yang terbaik.

Jika keadaan ini berlaku di dalam keluarga biasa, ibubapa akan mula mengikat perut dan mencari jalan untuk meningkat pendapatan rumah dan mengurangkan hutang agar ada duit untuk dilaburkan untuk pendidikan anak-anak mereka yang seterusnya. Tapi keadaan ini tidak berlaku bagi pemimpin kerajaan BN. Mereka terus boros. Duit keluarga dihabiskan tanpa rasa menyesal dan simpati. Kos komputer berharga RM2,000 dibeli pada RM42,000. Duit keluarga kononnya nak melabur dalam projek menternak lembu dihabiskan untuk membeli banglo-banglo untuk milikan sendiri.

Pendek kata, tiada duit yang dilaburkan untuk masa depan anak-anak. Duit hanya dihabiskan untuk pemimpin sendiri.

Malaysia sebuah negara yang kaya dengan sumber – nyatakan apa sumber yang kita tiada daripada emas hinggalah ke petroleum? Sekiranya kita mempunyai ibubapa yang menganggap rakyat sebagai anak-anaknya, Malaysia kini pasti satu negara yang sangat maju ke depan. Sepatutnya masa ini, anak-anak kita dah boleh membina sebuah smartphone sendiri dan sampai ke bulan.

Tapi tidak. Anak-anak kita, terutamanya orang Melayu dibiarkan bergantung hidup pada ibubapa yang tidak bertanggungjawab ini. Semua ini hanya semata-mata inginkan anak-anak mereka terus mengundi mereka menjadi ibubapa setiap lima tahun.

Selain itu, ibubapa juga harus memastikan anak-anak sentiasa berasa selamat dan sejahtera. Lihat kadar jenayah sekarang. Lihat kesukaran anak-anak kita untuk memiliki rumah dan dibebani pelbagai hutang apabila keluar bekerja. Ibubapa yang mana sanggup membiarkan anak-anak dalam keadaan sedemikian, jika bukan BN?

Cara mentadbir negara


Ada dua cara untuk mentadbir negara. Satu, biarkan rakyat dalam keadaan miskin sengsara sentiasa bergantung pada kerajaan – dan apabila tiba musim pilihanraya, tabur duit dan mengingatkan mereka untuk membalas budi atas pemberian tersebut dengan mengundi mereka.

Cara kedua ialah cara mentadbir sebagai ibubapa yang bertanggungjawab. Pembelanjaan berhemah, meningkatkan pendapatan untuk melabur demi masa depan rakyat. Rakyat dikuatkan dengan ilmu, seperti yang disarankan Islam. Dalam keluarga biasa, anak-anak akan dibiarkan fokus belajar manakala segala isu kewangan untuk membiayai pendidikan anak-anak akan diselesaikan ibubapa. Yang penting, anak-anak mendapat ilmu (pancing dan mata kail dan cara memancing) yang membolehkannya boleh cari makan sendiri tanpa bergantung pada ibubapa sentiasa.

Zaman kegemilangan Islam dahulu, orang Islam menerajui segala bidang ilmu – matematik, falsafah, perubatan sehinggalah astronomi. Dengan ilmu yang tinggi, rakyat dan negara akan dihormati di persada antarabangsa, pelaburan akan meningkat, rakyat mendapat kerja lumayan tanpa bergantung pada kerajaan. Duit lebihan melalui cukai yang dibayar rakyatnya yang kaya bertambah sumber hasil negara serta hutang yang kurang pula membolehkan kerajaan melabur dalam penyelidikan berkualiti yang melonjakkan lagi kehebatan negara di mata dunia.

Tawaran Pakatan Rakyat yang memokuskan pada pendidikan percuma dan berkualiti adalah ciri-ciri ibubapa yang inginkan masa depan anak-anaknya terjamin.

Bagi BN, rakyat boleh nilai sendiri samada mereka layak dilantik semula sebagai ibubapa berdasarkan rekod 56 tahun ini berdasarkan apa yang mereka lakukan selama ini.

Siapa yang lebih bersifat ibubapa kepada rakyatnya? Tepuk dada tanya iman.

56 tahun, bukan 56 hari,
Apa salah, kalau TUKAR satu kali.

Senyum.
Dan selamat mengundi!

Ini kali-lah.

Wassalam.
4 Mei 2013
Tuan Ibrahim Tuan Man

Langkah terdesak, surat palsu pula diedar

Harakahdaily, 04 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Setelah gagal untuk melaga-lagakan PAS dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat, musuh mereka mengambil pendekatan baru pula iaitu mencipta surat palsu kononnya Majlis Syura PAS memutuskan untuk keluar dari Pakatan Rakyat.

Ia dibuat melalui surat yang kononnya ditandatangani sendiri oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Melalui surat itu, PAS kononnya mengarahkan semua ahlinya mengundi calon-calon PAS sahaja dan tidak mengundi calon-calon PKR dan DAP dalam pilihan raya 5 Mei ini.

"Ini langkah yang desperate, saya akan adakan sidang media pagi ini," kata Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS.

Surat yang kononnya ditandatangan oleh Mustafa selaku Setiausaha Agung itu disebarkan mulai malam tadi melalui email, whatsapps, facebook dan lain-lain media.

Hari ini surat yang menggunakan kepala surat PAS itu dijangka akan disebarkan ke merata tempat pula.

Semalam juga akhbar palsu Harakah mula disebarkan. Ia bermula dengan semua masjid-masjid di Selangor selepas itu ia turut di kesan di Perak.

Adalah dipercayai akhbar palsu ini juga akan diedarkan ke seluruh negara.

Tiada ulasan: