Isnin, 4 Mac 2013

YANG BURUK SERTA TAK ELOK ITU ORANG LAIN...YANG BAIK DAN BOLEH DIHARAP DIA SAJA....BOLEH PERCAYA KE...SEDANG BUKTI2 JELAS...RAKYAT DAH PANDAI LAH

PI. Bala, Najib Rzak dan Familynya terlibat dengan pembunuhan.
Posted on Sunday, March 03 @ 04:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh mmas_forever

Oleh: mohdnoorawang

"Mungkin tarikh pembunuhan wanita mongolia Altantuya sudah dilupai. Wanita bernama Altantuya ditembak dan dihancurkan semua jasad atau mayatnya dengan bom C4 oleh pegawai keselamatan.

 Hari ini sekali lagi rakyat Malaysia kembali ingat peristiwa seorang wanita Mongolia bernama Altantuya yang dikaikan dengan Najib Razak  terbukti lagi kuat dengan kenyataan PI Bala dalam sesi ceramah membongkar siapa dalang dan watak utama dalam kes berporfail tinggi.


Secara ringkasnya Pi Bala mendedahkan Najib Razakperdana menteri Malaysia terlibat dalam komplot pembunahan dan kematian Altantuya sperti dalam Surat Sumpah yang pertama.
PI Bala berkata Altantuya datang ke Malaysia hanya menuntut wang USD500.000 dan 3 tiket penerbangan balik ke negara mereka Mongolia. Wang tersebut adalah hasil pembelian kapal selam dari negara Perancis upah sebagai orang tengah diantara kerajaan Malaysia, Najib Razak dan Razak Baginda.
Cerita  bala panjang, kami hanya mengambil intipati ceramah pendedahan Pi Bala. Dan Surat Sumpah 1 adalah yang benar dan amat benar. Sumpah 2 atau surat sumapah kedua hanya satu penipuan untuk menutup cerita sebenar. Malah ianya juga terlibat keluarga Najib Razak.
Terpulanglah kepada rakyat Malaysia untuk membuat keptusan PRU13. Yang pasti Najib Razak perlu disingkirkandari kerusi perdana menteri dan diganti dengan pemimpin UMNO yang lain seperti Muhyiddin Yassin boleh menganti Najib Razak. itu pun jika BN/UMNO menang banyak kerusi parlimen dalam PRU13. sekian


'Semuanya salah Anwar'

Penulis khas Harakahdaily, 04 Mac 2013

Seperti sudah menjadi tradisi bagi Umno BN apabila berlaku sahaja sesuatu perkara buruk, maka yang dituding mereka sebagai dalang atau penyebab adalah seorang individu bernama Anwar Ibrahim.

Lihat sahaja sebelum ini, bermacam-macam tuduhan dikaitkan dengan Ketua Pembangkang yang pernah mencetuskan reformasi ketika dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998.

Tuduhan "Anwar agen yahudi", "Anwar pro-Israel", "Anwar petualang bangsa", "Anwar......" bukan baru setahun dua di dengar, malah sejak beliau dipecat dari kerajaan dan dianggap musuh utama oleh Umno BN.

Dan terbaru dalam insiden pencerobohan tentera bersenjata Filipina di Sabah sejak 22 hari lalu, yang telah menyebabkan lapan anggota polis meninggal dunia, sekali lagi Anwar menjadi mangsa tuduhan.

Kali ini, Anwar yang juga Ketua Umum PKR itu dituduh 'dalang' kepada pencerobohan.

Dikatakan kumpulan penceroboh yang juga pengikut Sultan Sulu itu datang kononnya 'atas ajakan' Anwar Ibrahim.

Kumpulan yang diketuai Raja Muda Azzimudie Kiram, adik kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram III didakwa datang kerana menuntut janji dari sekutu Anwar ke atas tanah Sabah.

Malah dituduh bahawa Anwar juga rapat dengan pemimpin MNLF Nur Misuari, kumpulan yang dikaitkan dengan pencerobohan di Sabah pada waktu ini.

Seperti biasa, fitnah terancang dari blog-blog Umno ini dijaja pula oleh media Umno, Utusan Malaysia dan TV3 yang dianggap sebagai penyebar maklumat mereka.

Lalu di kampung-kampung khususnya, bertebaranlah fitnah ini dengan Anwar dijadikan sasaran kebencian dan melupakan kelemahan dua menteri yang menjaga soal keselamatan negara bertindak tegas dalam menangani isu ini.

Difahamkan juga, ada beberapa tempat di Kelantan sehingga membuat majlis penjelasan khas oleh penceramah Umno kepada masyarakat dengan menuduh Anwar dalang disebalik semua yang berlaku.

Ianya tidak lain, bagi menanam kebencian rakyat kepada Anwar demi keuntungan politik mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Bagi Anwar, segala tohmahan yang dilemparkan hanya cubaan menutup kelemahan kerajaan menangani soal keselamatan negara sehingga menyebabkan beberapa anggota polis menjadi mangsa korban.

(Kilik untuk menonton penjelasan Anwar)

"Agak aneh menteri dalam negeri dan menteri pertahanan lambat sekali memberi reaksi. Seolah-olah Lahad Datu, Sabah boleh dikepong kelompok asing dan kita tidak berupaya berbuat apa-apa kecuali berunding. Ini menunjukkan kelemahan kita.

"Untuk mengalih pandangan (dari kelemahan kerajaan), blog-blog Umno mengatakan ini satu lagi kerja Anwar.

"Dengan kelompok extrimis Islam pun Anwar, dengan Israel pun Anwar, dengan Amerika pun Anwar, dengan India pun Anwar dengan Cina pun Anwar.

"Ini hanya momok politik. Ini isu keselematan negara. Mereka gagal mengawal keamaan gagal selesai isu ini dengan baik, lalu menyindir saya," kata Anwar dalam satu rakaman video menjelaskan perkara itu.

Selain menafikan tuduhan karut itu, Anwar melalui peguamnya hari ini telah menghantar notis tuntutan maaf kepada Utusan dan TV3, memohon kedua-dua media pro Umno itu menarik balik tuduhan dan menyiarkan permohonan maaf kepadanya dalam masa 24 jam.

Gagal bebuat demikian dalam tempoh ditetapkan, TV3 dan Utusan masing-masing berdepan saman RM100 juta.

Di tengah-tengah kekecohan tuduhan kepada Anwar itu, tersebar laporan dari media Filipina bahawa kedatangan tentera Sulu ke Lahad Datu adalah untuk menuntut janji Najib kepada mereka.

Gambar hubungan rapat antara pemimpin  mereka dengan Najib juga disebarkan.

Inilah akibatnya kalau mulut kita terlalu deras untuk mencari kambing hitam ke atas segala kelemahan kita.

Akibatnya badan binasa, krebiliti kita tercalar.

PAS berjaya sentuh hati masyarakat bukan Islam Sabah

Harakahdaily, 04 Mac 2013


(Mujahid bersama rakyat Sabah melancarkan Impian Malaysia)

KOTA KINABALU: Dialog antara agama yang dianjurkan PAS telah berjaya menyuntik minat masyarakat bukan Islam di negeri ini untuk lebih memahami berkenaan parti Islam itu.

PAS, yang seringkali dimomokkan oleh Barisan Nasional sebagai sebuah parti yang radikal dan eksklusif tidak lagi dijadikan bahan ketakutan masyarakat bukan Islam untuk lebih rapat serta mengenali secara mendalam tentang  PAS.

Menurut AJK PAS Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, PAS sentiasa membuka pintu untuk berdialog dengan semua pihak dalam menerangkan pendirian parti itu terhadap isu semasa yang berlaku.

“Dengan penjelasan yang baik dan ilmiah, ketinggian dan keadilan ajaran Islam dapat ditunjukkan kepada masyarakat non-muslim.

“Islam datang membawa mawaddah dan rahmat kepada alam dan ia perlu diterjemahkan dalam tindakan setiap muslim.

"Umno telah menunjukkan ajaran Islam yang salah dengan mengamalkan nepotisme dan juga korupsi dalam perbuatan mereka,” jelas beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Malaysia, dalam rangka lawatan ke Sabah, padat dengan pelbagai program yang telah diatur oleh PAS Sepanggar, Pitas dan Tuaran.

Beliau dan beberapa pimpinan dari komponen Pakatan Rakyat turut menyampaikan ucapannya bersama kaum Tionghua di Menggatal.

Dalam program sama, beliau turut diberi peluang berdialog dalam satu "Dialog Rakyat: Kemana Hubungan Antara Agama" yang dianjurkan oleh PKR Cabang Tuaran dengan memberikan pandangan PAS berkaitan hudud, penggunaan kalimah Allah, negara Islam dan sebagainya.

Pada akhir program, beliau telah merasmikan pelancaran “Impian Malaysia” peringkat negeri Sabah.

Dekati masyarakat dengan Mi Rebus, Kopi O

Muhammad Faizal, 04 Mac 2013
TANGGA BATU: PAS Tangga Batu menggunakan pendekatan 'Mi Rebus Kopi O' atau lebih dikenali mereka sebagai MRKO dalam mendekati pengundi untuk penyampaian maklumat.

Ketua Pemuda Kawasan Tangga Batu, Mohd Hanim Abas ketika ditemui Harakahdaily memberitahu pendekatan MRKO ini telah memberi kesan yang lebih positif jika dibandingkan dengan konsep sebelum ini.

Jelasnya lagi, MRKO adalah satu konsep jamuan santai sajian mee rebus serta kopi 'o' bersama penduduk dengan hanya bermodalkan RM200.

Masyarakat akan dapat makan bersama pemimpin sebelum mereka berucap menjelaskan berhubung isu-isu semasa.

"PAS Tangga Batu telah membuat penjenamaan semula ceramah kelompok kepada MRKO dan apa yang kita perolehi kesannya lebih positif jika dibandingkan sebelum ini.

"Walaupun hanya bermodalkan RM200 tetapi kita dapat mendekati empat puluh buah keluarga dalam satu masa," jelasnya ketika ditemui pada program Jelajah Negara Berkebajikan di Dun Pantai Kundor petang tadi.

Menurut beliau lagi, melalui pendekatan itu juga beliau beliau dan rakan-rakan berjaya mendekati masyarakat untuk menyampaikan maklumat khususnya kepada masyarakat Melayu.

"Saya berkeyakinan melalui pendekatan tersebut kita dapat menarik lebih ramai pengundi Melayu," sambung beliau lagi.

Mohd Hanim berkata, pendekatan MRKO ini telah dilaksana sejak setahun yang lalu dan hampir kesemua keluarga yang berada di dalam Dun tersebut telah ditemui.

Malah menurut beliau, melihatkan ianya diterima masyarakat, maka konsep tersebut akan diteruskan sehingga pilihanraya umum nanti.

Presiden PAS rakam takziah kepada keluarga anggota

Harakahdaily, 04 Mac 2013

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga lapan anggota polis yang terkorban dalam misi mempertahan negara di Sabah.

Dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily hari ini, beliau yang juga ahli parlimen Marang berkata, PAS turut berkongsi perasaan dengan seluruh ahli keluarga anggota yang terlibat.

"Kami mendoakan agar Allah mengurniakan ganjaran seperti yang diterima pada syuhada dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh," katanya.

Sepanjang misi menangani kumpulan bersenjata yang menceroboh Sabah sejak 20 hari lalu, lapan anggota polis dilaporkan telah terkorban dalam dua insiden pertempuran berasingan masing-masing di Lahad Datu dan Semporna.

Mereka yang terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu dua hari lalu adalah almarhum Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin dari unit 69 Komando.

Manakala mereka yang telah terkorban dalam pertempuran di Semporna semalam pula adalah Supritendan Ibrahim Lebar (Cawangan Khas E1, Bukit Aman), ASP Michael, (KCKD Semporna), Sarjan Aziz, (PGA Btn 14 Semporna), Koperal Azrul, (PGA Btn 14 Semporna), Sarjan Baharin, (Cawangan Khas E1, IPK Sabah), Koperal Salam, (Cawangan Khas, IPD Tawau).

Difahamkan jenazah anggota yang gugur itu akan dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing melalui Tawau hari ini.

Dalam pada itu Pimpinan Pakatan Rakyat mengesyorkan satu sidang meja bulat diadakan antara Pakatan Rakyat dengan Kerajaan bagi membincangkan usaha menangani ancaman pencerobohan bersenjata tersebut.

Pada masa sama, mereka juga mendesak satu sidang khas Parlimen diadakan dengan segera, demi untuk mendapatkan gambaran sebenar insiden yang tercetus di Sabah itu.

Selain itu, rakyat pula diajak untuk tetap teguh mendokong pasukan keselamatan, samada dari pihak polis atau tentera.

"Kita berdoa moga mereka kekal selamat serta bersemangat mempertahankan negara dan rakyat Malaysia dari ancaman penceroboh," kata mereka dalam satu kenyataan.

Pencerobohan: Rakyat Malaysia bersama wira negara

Harakahdaily, 04 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan semua anggota keselamatan yang terlibat dalam misi mempertahankan negara di Sabah tidak patah semangat biarpun beberapa rakan anggota mereka telah terkorban dalam misi itu.

Ketuanya Nasruddin Hassan berkata, seluruh rakyat Malaysia sentiasa mendoakan kesejahteraan wira-wira negara dan berdoa agar semua mereka yang sedang menjalankan misi di Lahad Datu, Semporna dan lain-lain kawasan di Sabah berada dalam keadaan selamat.

"Kita mengharapkan semua anggota polis yang terlibat dalam misi tersebut tidak patah semangat sebaliknya terus cekal dalam meneruskan operasi mereka sehingga selesai dan mengharapkan pasukan keselamatan dapat meningkatkan kawalan keselamatan di perairan negara khususnya di negeri Sabah.

"Semoga keluarga wira-wira negara terbabit tabah dalam menghadapi ujian yang getir seperti ini dan mendoakan semoga roh kesemua mereka yang telah terkorban dalam misi ini ditempatkan sebagai hamba yang diredahi di sisi allah SWT," katanya.

Setakat ini lapan anggota polis telah terkorban dalam dua pertempuran berasingan masing-masing di Lahad Datu dan Semporna.

Mereka yang terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu adalah almarhum Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabarudin dari unit 69 Komando.

Manakala mereka yang telah terkorban dalam pertempuran di Semporna adalah Supritendan Ibrahim Lebar (Cawangan Khas E1, Bukit Aman), ASP Michael, (KCKD Semporna), Sarjan Aziz, (PGA Btn 14 Semporna), Koperal Azrul, (PGA Btn 14 Semporna), Sarjan Baharin, (Cawangan Khas E1, IPK Sabah), Koperal Salam, (Cawangan Khas, IPD Tawau).

"Sesungguhnya jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara dari diceroboh oleh pengganas luar amat besar dan wajar dikenang oleh seluruh rakyat.

"Demi negara, mereka sanggup berkorban apa sahaja termasuk nyawa mereka sendiri. Ternyata kesemua anggota polis terbabit adalah wira negara dan mereka layak diberikan penghormatan negara," kata Nasruddin.

Mencari negara impian

Nik Azri bin Nik Mohamed Arriff, 04 Mac 2013
Setiap detik tanpa disedari, kita sebenarnya hidup dalam impian khusus dan tersendiri sama ada sekadar datang di kotak pemikiran kemudian berlalu pergi atau harapan tersebut diterjemahkan secara realistik melalui tindakan yang konstruktif. Mungkin salah satu impian murni itu termasuklah keinginan untuk melihat negara tercinta, Malaysia berada di landasan negara suci bersyariat, dipayungi barisan saf pemimpin beramanah yang sentiasa bahu-membahu dengan sekalian rakyat jelata ke arah cita-cita memenangi wawasan duniawi selain memiliki kejayaan ukhrawi. Impian ini sentiasa hidup, subur dalam hati nurani warganegara malaysia. Sejarah serta nostalgia, andai dibuka lipatan khazanahnya satu per satu, tentu sekali akan memaparkan kisah agung sewaktu kegemilangan Rasulullah SAW menyebarkan kalimah tauhid di kota tamadun umat Islam, Madinah al-Munawwarah. Di situlah, lahirnya bumi subur untuk tanaman dan ternakan, ditunjangi oleh akidah rakyatnya yang kental. Khalifah-khalifah sejati pun telah mewarnai rekod unggul kepimpinan Islam sehingga memberi contoh terbaik kepada manusia sejagat. Mereka mentadbir menggunakan sifat amanah dan timbang tara keadilan.

Dalam konteks ini, sifat amanah dan keadilan dibicarakan sangat jelas dalam kalam suci al-Quran. Firman Allah SWT, surah an-Nisa ayat-58 yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.”


Hakikatnya, kekuatan sesebuah negara bukan semata-mata tergambar kepada hasil-mahsul yang dimiliki atau sejauh mana wilayah taklukan tetapi lebih penting ditandai oleh kefahaman warganegaranya terhadap falsafah tauhid, serta memahami tugas besar selaku khalifah Allah di muka bumi dalam misi siginifikan memartabatkan ad-din.

Menurut Dr Hamka dalam Tafsir al-Azhar, asbabun nuzul bagi ayat tersebut mempunyai kaitan amat rapat dengan peristiwa penerimaan kunci Kaabah daripada Uthman ibn Talhah kepada Rasulullah SAW. Simbolik penerimaan itu merupakan sifat amanah, prinsip keadilan, dan ciri luhur seorang pemimpin. Latar belakang yang sama ditafsirkan oleh para mufassirin yang lain. Oleh itu, perspektif adil tidak patut dilihat pada sudut yang kecil malahan merangkumi kesemua aspek daripada sebesar-besar kehidupan bernegara sehinggalah ibadah harian.

Asbabun nuzul yang serupa dijelaskan oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya iaitu Tafsir al-Quran al-Azim. Ibnu Kathir menambah bahawa Rasulullah SAW selepas itu memasuki Baitullah sewaktu Fathu Makkah dan membaca ayat, “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” Sejurus itu, Rasulullah SAW menyerahkan kunci Kaabah kepada Uthman ibn Talhah kembali. Bagi ayat “... dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil ...,” Muhammad bin Ka’ab, Zaid bin Aslam, dan Syahr bin Hausyab menyatakan, “Sesungguhnya ayat ini diturunkan untuk para umarak iaitu para pemutus hukum antara manusia.”

Bertepatan dengan surah an-Nisa ayat 58 ini, maka sewajarnya seluruh umat Islam mengambil pengajaran dan iktibar tentang realiti politik semasa, mencontohi sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW semasa memimpin ummah. Rakyat yang celik siasah pasti mempengaruhi tata cara bernegara. Akhlak mulia  mengatasi politik ketakutan (politics of fear) termasuk sindrom penafian (denial syndrome). Bagi membentuk negara yang berdaya saing tetapi mematuhi akar keimanan dan hukum Allah SWT, pasak kepimpinan sendiri perlu utuh mengimani dan meyakini ayat-ayat al-Quran dan melaksanakannya dengan sedaya hati.

Secara sosiologi, hal ini melibatkan pilihan rakyat terhadap corak pemerintahan yang ingin dibina dalam negara. Rakyat keseluruhan perlu memahami jenis kerajaan bakal dibentuk melalui sistem yang dirangka dan diguna pakai dalam sesebuah negara. Di Malaysia, sejak pascamerdeka, sistem demokrasi berparlimen dilaksanakan untuk memilih tonggak kepimpinan atau kerajaan dalam tempoh lima tahun. Melalui wadah berikut, rakyat yang bijaksana sentiasa mengikuti perkembangan isu-isu paling berpengaruh bagi landskap politik terkini tanpa emosi berlebihan ataupun menolak semangat partisan melampau sebelum memutuskan suatu pilihan terbaik untuk masa depan generasi mendatang Malaysia.

Secara langsung, rakyat perlu diterapkan dengan pemikiran sihat dan budaya politik matang supaya mereka faham tentang keperluan menuntut kerajaan adil dan saksama di negara ini. Kefahaman terhadap sesuatu perkara amat diperlukan agar pertimbangan dapat terlaksana mengikut lunas-lunas syariat. Sekiranya masyarakat diterapkan dengan konsep siasah syar’iyyah dan kesan-kesan kebaikan melaluinya, sudah pasti komuniti akan lebih cakna serta prihatin mengenai peristiwa yang berlaku di sekeliling, dasar yang digubal, malah model politik negara. Siasah syar’iyyah menurut Ibnu ‘Aqil merupakan apa-apa sahaja tindakan pemerintah yang membawa manusia kepada kebaikan dan menjauhkan keburukan walaupun tidak ditetapkan oleh Rasulullah SAW atau tidak terkandung dalam wahyu. Segala nilai makruf yang dibawa harus disokong dan diberikan penilaian sewajarnya.

Analogi Imam al-Ghazali selaku hujjatul Islam yang masyhur tentang siasah syar’iyyah amat menarik dan membawa kepada persoalan besar untuk didiskusikan secara akademik. Imam al-Ghazali merujuk syariat kepada dasar atau asal sesuatu perkara manakala kerajaan itu sebagai pengawal atau penjaga. Secara implisitnya, sesuatu yang tidak mempunyai dasar, pasti akan runtuh dan sesuatu yang tidak ada pengawal, pasti mudah hilang. Masyarakat perlu bertanya, apakah kerajaan telah berfungsi sebagai pengawal dan penjaga? Apakah negara tercinta ini sudah miliki dasar kukuh yang menegakkan kalimah tauhid?

Pertanyaan-pertanyaan seperti ini membuka ruang intelektual dalam kalangan rakyat apabila mereka mula tahu untuk membezakan kerajaan yang adil dan sebaliknya. Setiap Mukmin yang kental mesti berusaha untuk menentukan pemimpin yang mengamalkan pentadbiran berkesan dan berwibawa (good governance) melalui proses maqasid syariah. Tujuan paling utama adalah untuk memastikan keselamatan masyarakat dari semua aspek seperti nyawa, akal, agama, kehormatan diri, dan harta-benda. Rakyat tidak boleh sekali-kali berada dalam zon selesa atau galak mencanangkan kegemilangan silam tetapi secara mendasar perlu menapis ideologi, persepsi, dan mentaliti mengikut sukatan syariah. Anak-anak muda perlu cega dengan permasalahan sosial yang berleluasa seperti jenayah, hedonisme, atau lebih bejat penyakit akidah.

Contoh terbaik yang mesti diteladani oleh warganegara Malaysia pastinya gerakan pemuda Ashabul Kahfi yang memilih dengan iman bukannya perasaan, melawan dengan tauhid bukan sewenang-wenangnya bertaklid. Dikisahkan tujuh orang pemuda yang tumbuh sebagai belia beriman, mempertahankan akidah serta akhlak daripada dirosakkan oleh Dikyanus, pemerintah zalim. Mereka melarikan diri ke gua sambil melontarkan prinsip yang jitu seperti dinyatakan dalam al-Quran, maksudnya:

“... dan Kami telah meneguhkan hati mereka sewaktu mereka berdiri lalu berkata: Rabb kami ialah Rabb langit dan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain-Nya, jika kami menyembah selain daripada-Nya Nya bererti kami telah mengatakan penyelewengan yang sangat jauh’ ....” (Surah al-Kahfi : ayat 13)


Inilah falsafah unggul yang diwahyukan oleh Allah SWT khususnya untuk para pemuda supaya bangkit mempertahankan hak dan konsisten menentang kebatilan. Allah SWT menunjukkan kekuatan rohaniah yang dimiliki oleh gerakan Ashabul Kahfi sebagai manifestasi pentingnya masyarakat untuk berada di hadapan bagi membuat pilihan setepat mungkin. Di Malaysia, natijah kepada pilihan tersebut dijelmakan melalui polisi-polisi dalam ekonomi, pendidikan, dan kebajikan rakyat. Sesudah lima dekad merdeka, penilaian perlu dibuat segera sama ada roh Islam benar-benar disuburkan atau masih tenggelam bersama-sama retorik indah yang dilaung-laung untuk pihak tertentu. Ruang demokrasi mesti digunakan setulus-tulusnya oleh kita semua, rakyat Malaysia bagi meletakkan indikator kemajuan selari dengan barisan kepimpinan berintegriti.

Seterusnya, rakyat perlu menilai tentang kebajikan rakyat yang diamanahkan kepada pemimpin negara. Kita tidak mahu jurang antara rakyat terlalu besar malah menguntungkan para kapitalis sehingga ekonomi masyarakat miskin terus-menerus didaifkan tetapi dalam masa yang sama pemilik syarikat besar mengutip harta kekayaan. Indeks rasuah meningkat, integriti pemimpin sering dipersoalkan, sosial kacau-bilau, dan kemajuan pendidikan juga merosot merupakan sejumlah petanda kepada rakyat supaya berfikir tentang masa depan yang lebih baik. Rakyat miskin perlu diberikan perhatian sewajarnya supaya negara kekal aman dan tidak ditimpa musibah akibat perbuatan sendiri sebagaimana yang pernah dinukil oleh pemikir besar, Raja Ali Haji dalam Syair Nasihat:

Kehidupan rakyat janganlah lupa
Fakir, miskin, hina, dan papa
Jangan sekali tuan nan alpa
Akhirnya bala datang menerpa.

Walau bagaimanapun, untuk melakukan sesuatu keputusan, tindakan tidak boleh dibuat berdasarkan emosi dan kecenderungan tertentu. Dalam hal ini, rakyat perlu menyelami mutiara-mutiara naqli yang dititipkan melalui mukjizat agung dan wahyu unggul iaitu al-Quran. Hal ini sesuai dengan sifat al-Quran yang syumul, merentasi semua tempat dan zaman. Di sinilah keperluan rakyat untuk mengakrabi kandungan sucinya, belajar berhujah secara matang berdasarkan dalil dan nas. Jika fenomena ini tidak berlaku, sudah tentu umat Islam tidak akan proaktif dan sering dipandang rendah oleh para orientalis. Padahal seawal wahyu pertama lagi, Islam mengajar manusia dengan falsafah ilmu yang cukup besar - Iqra’.

Dasar ilmu dan metodologinya mesti menyerap ke dalam jiwa supaya pilihan terbaik dalam semua aspek seperti politik, ekonomi, dan sosial dilaksanakan dengan berkesan. Budaya membaca dan meneroka ilmu patut menjadi prioriti supaya masyarakat tidak terus terkebelakang diserapi racun modenisasi ciptaan Barat. Sejarah pada 300 Masihi menjelaskan segala-galanya tatkala runtuhnya jagat intelektual di Mesir apabila Perpustakaan Iskandariah dibakar oleh Julius Caesar sehingga inti pengetahuan dan peradaban bertukar wajah. Umat Islam hilang identiti, susut akhlak, malah lebih menyedihkan apabila politik Islam menjadi lemah. Penyelesaiannya, kerangka al-Quran merupakan nadi yang bakal menghidupkan kelangsungan hayat sesebuah negara termasuk Malaysia kerana berfungsi sebagai tunjang dan dustur umat. Isi kandungannya telah melewati segenap penjuru kehidupan merangkumi cara hidup bernegara, disokong oleh hadis dan pandangan ulama. Rakyat yang dekat dirinya dengan al-Quran bertindak sebagai modal insan dalam negara, mengemudi tenaga kerja dengan efektif di samping memberi pendapat mengikut hujah-hujah al-Quran yang komprehensif.

Syed Qutb dalam adikaryanya Ma’alim fit Thariq menyarankan masyarakat agar membentuk generasi Qurani bagi mengembalikan kejayaan umat pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Generasi Qurani yang unik inilah merupakan senjata paling ampuh dan selayaknya ditempatkan sebagai pengemudi negara tanpa rasa syak wasangka lagi. Syed Qutb menyebut bahawa mereka dapat diapungkan ideanya kerana menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup, panduan kehidupan, dan penanda aras paling besar dalam hayat mereka. Kini, tidak dapat dinafikan lagi betapa realiti di Malaysia sangat membimbangkan terutamanya apabila golongan yang mengalirkan ideologi mengelirukan kian menyusup masuk tanpa segan-silu.

Faham asing dari Barat yang membenci Islam dibiarkan menular dalam kalangan umat Islam sehingga mencabar kepimpinan Islam. Maka, setiap individu Mukmin perlu bertindak sebagai daie yang menyebarkan ayat-ayat al-Quran kepada kelompoknya sehingga hidayat al-Din atau hidayat Ilahi tersebar luas di pelosok alam. Untuk mendekatkan diri kepada al-Quran, umat Islam perlu membenarkan pengertian al-Quran sebagaimana takrifnya, mematuhi suruhan al-Quran dan meninggalkan tegahannya, memahami dan mengenali isi kandungan, menghayati dan menyebarkan ajarannya, memelihara kesucian dan mempertahan kemuliaan al-Quran, dan terakhir, membaca ayat-ayatnya sebagai ibadah kepada Ilahi selain membenarkan seluruh kandungannya. Semua pihak di Malaysia perlu tampil ke hadapan mengoptimumkan pembudayaan al-Quran supaya tertegaknya kekuatan ummah dan mampu menepis cemuhan terhadap Islam menggunakan ayat suci al-Quran.

Tanpa persoalan lagi, seluruh rakyat perlu kembali kepada ajaran al-Quran. Di tangan rakyat Malaysia sendiri, terletaknya pilihan sama ada untuk melihat dan menghayati generasi baharu yang tumbuh dengan teras agama atau tumbuh subur bersama-sama pendidikan seimbang dari segi material dan spiritual. Demokrasi unggul tidak boleh dijadikan sebagai cogan kata yang dicanang-canangkan secara keterlaluan sedangkan masalah semakin serius, namun dapat dijadikan alat yang berfungsi sebagai medium untuk masyarakat memilih apa yang terbaik untuk diri mereka sendiri. Masa depan yang terjamin, akidah yang suci, dan taraf kehidupan lebih teratur amat diimpi-impikan oleh semua rakyat Malaysia. Masyarakat yang datang daripada pelbagai lapisan termasuk ilmuwan, guru, penjawat awam, polis, tentera, peniaga kecil serta besar, mahasiswa, dan lain-lain bangkit membina ketetapan: mahukan keadilan buat semua! Dari desa ke bandar, masyarakat menjadi celik siasah. Mereka kini memahami erti amanah dan makna keadilan, secara serius mengetahui betapa perlunya kita kembali dipimpin oleh nur al-Quran. Tidur atau jaga, bangkit atau lena, rehat atau bekerja, segala-galanya kini terpusat kepada kekuatan pimpinan yang saksama melalui pilihan-pilihan terbaik yang akan diputuskan oleh kita semua.

Kesimpulannya, masalah umat Islam bukanlah terletak kepada kekurangan komoditi atau kemahiran tenaga kerja tetapi banyak diruntuhkan oleh insan-insan haloba dan tidak memahami gagasan besar dalam Surah an-Nisa ayat 58 kerana mereka diberikan amanah tetapi tidak menyempurnakannya, apabila menetapkan hukum, mereka tidak berlaku adil terhadapnya. Oleh itu, rakyat mesti berusaha mencari kebenaran dan menegakkan keadilan sosial berdasarkan pola politik mengikut syariat selain meniti landasan al-Quran. Ternyata, kehidupan ini amat sementara; pemimpin negara datang dan pergi, generasi lahir dan tersebar, namun akhirnya kebenaran Islam tetap unggul di persada. Benarlah firman Allah SWT dalam, maksudnya:

“Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji sesiapa antara kamu yang lebih baik amalannya dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk : ayat 1-2)


Semoga impian untuk menghidupkan baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur, negara yang aman, makmur, serta mendapat keampunan Allah SWT dapat direalisasikan dan terus subur di hati manusia bergelar Mukmin.

* Nik Azri bin Nik Mohamed Arriff berasal dari Kampung Raja, Terengganu. Nik Azri kini belajar di Institut Pendidikan Guru, Kampus Kota Bharu.

Tiada ulasan: