Sabtu, 16 Mac 2013

SAMA JUGA KITA TAK JUJUR DENGKI KEPADA ORANG JUJUR DAN AMANAH

PRU13: PAS sedia tanding 76 kerusi parlimen

Khairul Azlam Mohamad, 15 Mac 2013

Tuan Guru Abdul Hadi bersama Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran.

KUALA TERENGGANU: PAS sedia bertanding lebih satu pertiga daripada 222 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS sebagai parti teras orang Melayu Islam akan bertanding sekurang-kurangnya 76 kerusi parlimen pada pilihan raya kali ini.

Ini bermakna, kata beliau, PAS akan bertanding lebih dari satu pertiga jumlah kerusi yang diperuntukkan sebanyak 222 di seluruh negara.

“Kerusi parlimen seluruh Malaysia ada 222 kerusi dan dari jumlah itu, saya hendak beritahu insya Allah, PAS akan bertanding sekurang-kurangnya 76 kerusi Parlimen.

“Insya Allah, mungkin akan ada lagi jika rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat memberi lagi kerusi kepada kita untuk bertanding,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Khas PRU13 di pekarangan Pasar Chabang Tiga, Dewan Undangan Negeri (Dun) Bandar, di sini malam tadi.

Hadir sama pada tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Adun Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran, Pengarah MTD Bandar, Ahmad Shah Mohammad serta tetamu khas, mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Fauzi Shaari.

Kalau tidak pandai jangan marah pada yang pandai

Aspan Alias, 15 Mac 2013
UMNO dan BN dalam bahasa yang paling mudah, boleh dikatakan sebagai puak yang sangat cemburu dan sakit jiwa dengan kemampuan orang lain. UMNO tidak boleh tidur apabila terfikir tentang apa pihak Pakatan Rakyat boleh lakukan selepas memenangi pilihanraya nanti (jika diizin Tuhan). UMNO telah diberikan mandat mentadbir negara sejak merdeka tetapi inilah hasil pengalaman mereka mentadbir selama lebih dari setengah abad itu. Apa pengalaman UMNO sejak tiga dekad yang lalu itu?
Pengalaman UMNO yang terbesar ialah untuk memusnahkan daya pemikiran rakyat khususnya orang Melayu. Oleh kerana terlalu lama mendapat mandat UMNO sudah percaya parti itu telah mengajak rakyat berfikir hanya UMNO sahajalah yang boleh menjamin segala-galanya. Tiada UMNO maka tiada apa-apa yang ada di negara ini. Nilai kekufuran yang dibina dan dibentuk oleh UMNO ini sememangnya tiada apa yang boleh dibandingkan dengannya.

UMNO pula membentuk keyakinan yang dalam UMNO sendiri tidak ada siapa yang boleh berfikir. Orang yang boleh berfikir di dalam UMNO itu hanya Dr Mahathir seorang sahaja. Semua ahli tidak perlu berfikir kerana semuanya telah difikirkan oleh Dr Mahathir bagi pihak semua ahli-ahlinya termasuk Perdana Menteri yang mewarisi kepimpinan dari beliau. Ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO di setiap peringkat tidak payah bersusah-susah untuk memikirkan apa yang baik dan buruk untuk negara. Terima sahaja fikiran dan kehendak Dr Mahathir, dan mereka percaya negara akan selamat.

Bercakap benar dan berterus terang dalam UMNO adalah satu dosa dan kesalahan besar. Kalau bercakap benar maka orang itu akan diketepikan dan disingkirkan oleh UMNO. UMNO tidak perlu orang pandai dan bijaksana. UMNO hanya memerlukan ahli-ahli yang hanya setia kepada pucuk pimpinan dan jangan sekali cuba untuk menunjukkan pandangan dan tindakan yang berbeza.

Siapa yang masih berdegil untuk memberikan pandangan membina dan berbeza, mereka ini terpaksalah keluar parti dan menyertai parti-parti dalam Pakatan Rakyat atau berehat sahaja dari memikirkan hal dan keadaan negara dan generasi kita yang akan datang. UMNO bukan sahaja telah membunuh benih pimpinan dalam parti itu sejak sekian lama tetapi telah menaikkan mereka yang tidak selayaknya duduk di dalam kepimpinan dan menghampiri ‘corridor of power’. Itulah penyebab kenapa UMNO sudah tidak berkempimpinan lagi, maka pimpinan negara diambil alih pemimpin yang keliru seperti Najib serta barisan pimpinan tertinggi UMNO itu sendiri.

Apabila kepimpinan itu lemah maka mereka ini (pimpinan) dengan sendiri bersandar kepada ‘war lords’ yang menghampiri mereka dan terbentuklah budaya kronism yang kronik dan tidak lagi dapat dipisahkan dengan kepimpinan itu. Sudah menjadi kelaziman jika pimpinan itu lemah maka kelemahan itu terpaksa di tutupi dengan perkara-perkara lain dan di negara ini cara untuk menutupinya ialah untuk membangunankan pembangunaan mewah besar-besaran dengan menggunakan sumber kewangan dari rakyat itu sendiri.

Itu sebabnya kita masih terdengar suara kroni dan pengikut pimpinan lemah ini meletakkan pembangunan fisikal yang besar-besar sebagai testimonial kepimpinan mereka. Masih terdapat mereka yang mempertahankan Dr Mahathir dengan pembinaan menara berkembar tertinggi dalam dunia satu ketika dahulu sebagai testimonial kepimpinan Dr Mahathir. Pembinaan Putrajaya sebagai tanda yang Dr Mahathir seorang Perdana Menteri yang paling hebat dan sebagaiya. Kita bangga dengan tiang bendera tertinggi dalam dunia dan suatu ketika dahulu gong yang terbesar di dunia dalam perkarangan Angkaspuri itu pun telah menjadi modal kempen UMNO dalam pilihanraya.

Rakyat dikelirukan dengan pembangunan seperti ini, tetapi sebenarnya pembangunan fisikal ini hanya merupakan segelumit dari apa yang di katakan sebagai ‘nation building’ itu. ‘Nation building’ itu sesungguhnya melingkupi definasi yang lebih luas termasuk pembinaan nilai manusia dan sebagainya. Di negara Scandinavia tidak ada bangunan yang tinggi-tinggi tetapi rakyat negara itu mempunyai pendapatan  perkapita jauh lebih tinggi dari rakyat negara G8 itu sendiri.

Di Britain kita akan melihat pejabat Perdana Menteri di Downing Street itu hanyalah merupakan bangunan yang bersambung dengan rumah kedai sahaja. Di dalamnya hanya menempatkan apartment kediaman Perdana Menteri yang hanya mempunyai bilangan bilik yang sedikit sahaja. Apabila Perdana Menteri nya keluar dari pejabatnya, beliau akan terus ke jalan Downing itu.

Tetapi di situlah letaknya kuasa dunia terbesar. Britain tidak perlu ada kompleks pentadbiran seperti Putrajaya dan kerajaan Britain tidak payah membazir wang rakyatnya. Tetapi di sebaliknya di Malaysia, puluhan billion ringgit wang rakyat telah dibelanjakan untuk membina kompleks pentadbiran yang paling mahal dalam dunia ini. Rumah kediaman Perdana Menteri sahaja terpaksa menanggung sewaan hampir RM20 ribu sebulan tidak termasuk kos bekalan air serta elektrik dan sebagainya.

Di Britain adalah perkara biasa bagi rakyatnya melihat ahli parlimen mereka menaiki keretapi bawah tanah (tube) sahaja untuk bergerak termasuk pergi ke Dewan Parlimen mereka. Tetapi di sini seorang ahli parlimen atau Menteri, mereka akan menaiki kereta mewah dan tidak kurang dari itu. Memanglah itu sikap pimpinan yang baru merasakan kehidupan. ‘Everything is new to them’.

Nilai itu nampak jelas ada di dalam budaya kepimpinan Pakatan Rakyat terutamanya PAS dan DAP. Tok Guru Nik Aziz hidup secara simple di rumah beliau yang serba sederhana dan begitu juga rumah Tok Guru Haji Hadi. Saya sudah sampai kesemua rumah pimpinan ini. Pimpinan DAP seperti LGE dan LKS hanya mendiami rumah yang sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Inilah nilai dan budaya pemimpin yang sebenarnya.

Pimpinan yang menunjuk-nunjuk ini adalah pimpinan yang lemah dan terpaksa menduduki rumah yang sebesar istana untuk melindungi kelemahan mereka yang pernah mendiami kediaman yang tidak lebih dari kediaman saya yang tidak mempunyai apa-apa ini. Pendeknya kita tidak lagi mempunyai kepimpinan yang ‘cultured’ dan memperlihatkan budaya dan pemikiran sebagai pemimpin rakyat.

Pimpinan Pakatan Rakyat tidak pula ternampak dengan cerut-cerut besar dan panjang seperti pimpinan UMNO yang baru mendapat kekayaan itu. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Kenapa Harimau Muda ke Sukan Universiti Dunia?

Harakahdaily, 15 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Apakah indikator sebenar yang melayakkan skuad Harimau Muda A diberikan 'keistimewaan' ke kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013?
Bahkan, kata Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang, boleh jadi perkara itu memalukan imej negara sekiranya 'terbocor' kepada pihak luar kerana namanya Sukan Universiti Dunia tetapi yang dihantar bukanlah mereka yang belajar di universiti.

Berikut kenyataan beliau mengenai perkara itu.

Beberapa hari lalu kita dikejutkan dengan pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menghantar skuad Harimau Muda A ke kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia pada 6 hingga 17 Julai depan.

Apa yang mengejutkan ialah apabila pemilihan tersebut dibuat dengan mengenepikan johan liga bolasepak antara universiti, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia yang seharusnya mewakili Malaysia dalam acara di kejohanan tersebut.

Bagi pandangan Solidariti Mahasiswa Malaysia, ia sama sekali menidakkan kemampuan mahasiswa di universiti yang juga mempunyai kompetensi dalam acara bolasepak dan tidak semestinya menyerahkan nama negara hanya kepada skuad Harimau Muda semata-mata.

Bahkan jika dilihat kepada objektif penganjuran Sukan Antara IPT (SUKIPT) adalah melatih dan melahirkan atlit bagi mewakili negara dalam kejohanan-kejohanan besar seperti Sukan Universiti Asean, Sukan Sea, bahkan sehingga ke Olimpik.

Namun, apabila keputusan pemilihan skuad Harimau Muda A dibuat ia memberikan gambaran jelas kepada kita bahawa atlit-atlit di universiti telah diketepikan terutama dalam acara bolasepak yang sering menjadi acara tumpuan bagi mana-mana kejohanan sekalipun.

Jika dilihat kepada kompetensi juga sudah tentu atlit yang berada di universiti sudah mempunyai kelebihan seperti yang disebut oleh KPT bahawa jumlah atlet IPT yang ke Olimpik London sebelum ini mencecah hampir 30%. Dan hasrat KPT melalui pelbagai program dan inisiatif dalam bidang sukan adalah bagi melahirkan Thinking Athlete's.

Apakah sukan dalam negara kita juga telah dipolitikkan sehingga keputusan sedemikian dibuat tanpa mengira nilai kompetensi mahasiswa yang belajar di universiti dalam negara?

Atau apakah universiti dalam negara kita masih belum menggambarkan kepada pengendali-pengendali sukan tanah air sehingga mereka diketepikan sama sekali?

Malah mewakili kelompok mahasiswa saya merasakan tindakan KPT menyerahkan baton negara dalam kejohanan besar seperti ini adalah tidak profesional sama sekali.

Tidaklah pula SMM berpendirian bahawa harimau muda belum cukup kompeten bagi menghadapi kejohanan ini, namun yang meragukan adalah bagaimana proses keputusan pemilihan skuad yang bakal membawa nama negara ditentukan.

SMM juga mempersoalkan bagaimana pula, apabila KPT dan jurulatih skuad Harimau Muda boleh menyebut bahawa skuad Harimau Muda nanti akan dimasukkan ke IPT tertentu apabila mereka pulang nanti.

Apakah indikator sebenar yang melayakkan mereka diberikan 'keistimewaan' seperti itu?

Bahkan, boleh jadi perkara itu memalukan imej negara sekiranya 'terbocor' kepada pihak luar kerana namanya Sukan Universiti Dunia tetapi yang dihantar bukanlah mereka yang belajar di universiti.

Bagaimana kita mahu melestarikan hasrat bersama ‘Majulah Sukan Untuk Negara’.

Tuan Ibrahim bertembung ulama Umno malam ini

Harakahdaily, 15 Mac 2013


KOTA BHARU: Satu wacana yang dijangka hangat akan berlangsung malam ini  di Kota Bharu mulai jam 9 malam.

Wacana Perdana bertajuk “Pasca PRU13: Melayu Islam di mana?” yang membariskan ahli panel daripada pelbagai latar belakang politik dengan dipengerusikan oleh pensyarah UKM, Datuk  Dr Agus Yusof.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan bertembung dengan Datuk Shamsul Najmi dari Umno di samping  mantan mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin dan Ustaz Hazizi dari Isma.

Wacana ini akan diadakan di Dewan Jubli Perak, MPKB BRI, Kota Bharu dan akan dibawa secara langsung oleh waufm.blogspot.com dan kelantantv.my.

Fenomena “K” jadi aura baru di Kelantan

Zamani Mohd Zain, 15 Mac 2013



KOTA BHARU: Selepas simbol R kini muncul pula K. Fenomena simbol perjuangan mulai muncul di Kelantan sekarang menggantikan warna konvensional iaitu hijau dan biru.

Bermula dengan simbol R singkatan kepada Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti), sejak tahun lepas.

Gelombang dimulakan anak-anak muda yang bergabung di bawah R diketuai Nazri Deraman ternyata membuat Umno Kelantan seperti terpinggir dari arus perdana politik.

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya Dato’ Dr Awang Adek Hussin antara orang yang paling bimbang dengan kemunculan R.

Cabaran R untuk berdebat dengan Mustapa dan Awang berkaitan tuntutan royalti Kelantan dibisukan sehingga sekarang.

Ekoran itu Umno dengan suntikan dana melalui Majlis NGO Kelantan difahamkan melahirkan Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Tukar) diketuai pegawai khas Mustapa, Kamaruddin Mat Kasim.

Limpahan dana membolehkan Tukar disebarluaskan melalui pelekat kenderaan yang diberi percuma pada setiap program anjuran Umno.

Bagaimanapun simbol K biar pun baru dilancar Pemuda PAS Kelantan yang bermaksud Kekal, berjaya mencetus suasana kedua selepas R.

K yang berlatar belakang peta Kelantan dengan warna huruf hijau digerakkan sebagai usaha Pemuda PAS bagi mempertahankan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Pelancaran sticker dilakukan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman di Syabab Point, Jalan Sultanah Zainab baru-baru ini.

Abdul Latiff berkata, sticker K akan disebarluas melalui program ceramah pemuda yang diadakan di seluruh Kelantan pada kempen pilihan raya umum ke-13.

“K juga sudah dicetak pada t-shirt dan pelekat kenderaan. Sambutannya begitu menggalakkan. Biar pun t-shirt tidak diberi percuma seperti T, namun sambutan orang ramai amat menggalakkan sekali,” ujarnya.

Dakwaan Harris polis rampas IC pandangan peribadi - Polis

Harakahdaily, 15 Mac 2013
LAHAD DATU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib menyifatkan pandangan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh (gambar) sebagai pandangan peribadi.

"Bagi saya itu pandangan peribadi dia kerana semua tindakan kita tidak ada pilih kasih.

"Kita bertujuan untuk membanteras jenayah dan dalam tindakan kita tidak ada pilih bulu, orang Bajau ke orang Sulu ke, kita tidak kira," kata beliau dalam sidang media hari ini.

Sebelum ini, Tan Sri Harris Salleh mendakwa mendapat maklumat bahawa polis menjalankan operasi merampas dan memusnahkan dokumen pengenalan diri yang diberikan kepada masyarakat Suluk di negeri itu.

Laporan portal berita Daily Express menyebut, Harris mengutus surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar menghentikan operasi ke atas masyarakat Suluk di Lahad Datu dan Semporna itu.

Menurut laporan itu, Harris mendakwa diminta berbuat demikian oleh beberapa orang pemimpin masyarakat tersebut.

"Pemimpin Suluk ini melaporkan bahawa polis mengambil kad pengenalan mereka dan dokumen IMM3 (orang Suluk) dan memusnahkannya.

“Ini tidak wajar bagi pasukan polis Malaysia. Perbuatan ini bertentangan dengan apa jua tamadun yang diketahui, mahupun dari segi agama, undang-undang dan dasar kerajaan Malaysia,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Harris dalam laporan itu juga berkata, polis tidak berkuasa untuk memusnahkan apa-apa dokumen kerajaan persekutuan.

“Mereka hanya boleh berbuat demikian selepas mendapat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya lagi.

Tiada ulasan: