Rabu, 13 Mac 2013

JANGAN JADI KERAJAAN YANG TIDAK JUJUR...TAK JUJUR MENYEBABKAN KITA MASUK NERAKA....ADA FAHAM...NAK TUNGGU MUFTI CAKAP KE

PRU13: Hadapi kenyataan, sedia terima mood rakyat

Harakahdaily, 12 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak masih enggan membubarkan parlimen sekalipun tempoh hayat kerajaan BN sudah semakin dekat, malah mandat yang kerajaan BN terima sejak 5 tahun lepas juga sudah terlepas pada 8 Mac 2013 yang lalu.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor berkata, ini bererti sudah genap 5 tahun kerajaan BN memerintah dan kini seakan-akan kerajaan BN memerintah tanpa mandat dari rakyat selepas dari tarikh 8 Mac 2013.

Katanya, PM perlu mandat baru selepas mengambil tampuk pemerintahan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Menurutnya, mandat baru penting supaya PM dapat membuktikan kepemimpinan beliau benar-benar direstui rakyat atau sebaliknya.

Namun demikian, katanya tarikh PRU13 terus menjadi teka-teki di kalangan rakyat, berlalu dari satu tarikh ke satu tarikh yang diramalkan ramai.

PM pula, kata beliau seperti biasa mengambil sikap membisu apabila ditanyakan mengenai tarikh pilihanraya umum dijalankan.

“Baginya ia seperti tiada apa-apa kesan kepada rakyat. Namun bagi rakyat, sikap berdolak-dalik PM ini adalah suatu deraan yang berpanjangan,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, mungkin PM mendapat petunjuk bahawa keadaan sekarang tidak memihak kepada dirinya dan BN lagi.

Beliau berkata, sudah banyak kajian dan hampir kesemua kajian tersebut menunjukkan PM berkemungkinan besar akan tumbang.

Tambah Riduan, nampaknya segala macam insentif dan imbuhan yang dilemparkan kepada rakyat tidak cukup untuk meyakinkan Najib untuk membubarkan parlimen.

“Apakah perlu PM umumkan beberapa projek mega atau hadiah lumayan yang lebih menyeronokkan untuk rakyat supaya beliau berpuashati dan memenangi PRU13?” tanya beliau.

Dalam kegelisahan Najib mencari tarikh PRU13, katanya PM perlu bersikap realisitik dan menyedari nilai dirinya pada perspektif rakyat.

“Beliau tidak boleh melarikan diri dari kenyataan dengan mengelakkan diri dari berhadapan dengan suasana dan mood semasa rakyat. Menangguhkan PRU13 bukan suatu jawapan kepada masalah yang dihadapinya.

“Sedarilah wahai PM, fenomena penolakan rakyat terhadap BN adalah suatu lumrah kepada mana-mana kerajaan yang sudah sampai tarikh luput mereka,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, hakikat pemerintahan ada pasang surutnya, dan takdir tersurat Najib memimpin sebuah kerajaan dalam keadaan rakyat menolaknya.

“Apa yang penting, beliau perlu menerima keputusan dan kehendak rakyat dengan redha, kerana sindrom penafian yang selama ini beliau cuba elakkan akan memakan dirinya dan BN kembali,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Najib perlu mempositifkan dirinya, penolakan rakyat pada dirinya bererti rakyat mahukan yang lebih baik untuk negara.

“Beliau telah berusaha sedaya mungkin, namun rakyat mahu pemimpin yang jauh lebih cemerlang memimpin negara,” kata beliau.

Ini juga, ujarnya adalah aspek positif supaya negara kekal kompetitif, cemerlang serta dipimpin oleh pemimpin yang bersih, berintegriti dan amanah yang tidak ada pada dirinya.

Apabila pemerintah kurang waras...

Abdul Mu’izz bin Muhammad, 12 Mac 2013
Secara umumnya, sesebuah negara memerlukan empat (4) asas utama yang menjadi tunjang melayakkannya diiktiraf sebagai negara yang berdaulat:

1. Rakyat
2. Tanah air
3. Kerajaan yang mengurus tadbir
4. Undang-undang

Tanah Air Yang Berdaulat

Tidak logik sekiranya wujud negara yang rakyatnya tidak mempunyai wilayah. Kriteria ini bermakna ia merupakan unsur yang amat penting supaya menjadi tempat penjanaan fasiliti bagi kehidupan bermasyarakat, kemudian kehidupan mereka diurus tadbir oleh kerajaan seterusnya sistem pentadbiran dilaksanakan menjadi asas kerukunan negara tersebut.

Untuk menjaga tanah air, ia memerlukan pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab. Syeikh Sa’id Hawwa menegaskan bahawa karakter utama seseorang pemimpin ialah mesti mempunyai akal pertimbangan yang rasional lagi waras. Supaya kita tidak memilih mereka yang membuat keputusan dangkal yang merugikan rakyat dan negara.

Baghdad Jatuh Kerana Pemerintah Kurang Waras

Imam Ibnu Kathir merakamkan detik kejatuhan Baghdad, yang dikenali sebagai kota ilmu kebanggan kerajaan Abbasiyyah. Ketika kemaraan tentera Tatar, pemerintah ketika itu mengambil ringan soal kedaulatan negara. Mereka telah dibudayakan supaya tenggelam dalam kemewahan dan keseronokan. Budaya tersebut sekaligus menghakis rasa tanggungjawab mempertahankan kewibawaan negara.

Tatkala tentera Tatar mengepung kota khilafah, mereka menyerang di segenap penjuru. Sedangkan ketika itu, pemerintah masih bersuka-ria menikmati persembahan tarian gundik-gundik istana. Ditakdirkan sebilah anak panah yang masuk melalui tingkap istana telah membunuh salah seorang dari gundik yang sedang menari. Lantas menyebabkan pemerintah berang lalu memerintahkan pegawai-pegawainya menutup tingkap-tingkap istana supaya dapat diteruskan acara hiburan tanpa gangguan tentera Tatar.

Pada anak panah tentera Tatar tertulis, “Apabila Tuhan mahu menjatuhkan sesebuah kerajaan yang berdaulat, sudah tentu Tuhan akan menghilangkan akal orang yang sepatutnya berakal (pemerintah).”

Pemikir dan Pakar Sejarah Islam, Dr Raghib al-Sarjani meluahkan rasa pelik di mana perginya kewarasan akal pemerintah ketika itu? Ibu negara sedang dikepung, hanya beberapa langkah untuk mati, senjata tentera Tatar sedang menggila mencabul kedaulatan negara, rakyat sedang ketakutan, tiba-tiba pemerintah masih boleh bersuka ria.

Jangan Ulangi Sejarah Hitam

Siapa yang buta sejarah, dia akan jadi "mangsa" sejarah. Dengan makna lain dia akan mengulangi kegagalan generasi terdahulu. Oleh itu, Allah Taala telah menegaskan kepentingan sejarah dengan firmannya yang terkandung di dalam petikan surah Ali Imran ayat 140 (maksudnya), “Itulah hari-hari yang Kami gantikan dalam kalangan manusia...”
Bahkan jika diperhatikan, sebahagian besar isi kandungan al-Quran adalah fakta sejarah. Supaya kita mengambil pengajaran. Itulah bagaimana al-Quran mencerdikkan manusia.

Kita masih belum sampai ke tahap seperti yang terakam sejarah kejatuhan Baghdad. Tetapi jangan kita rasa selesa tanpa sedar, sedangkan keadaan kita sekarang menuju ke arah itu. Tiada kompromi soal kedaulatan negara.

Mari kita belajar dan ambil iktibar daripada sejarah supaya tidak mengulangi kegagalan generasi terdahulu. Seperti sejarah Tatar meleburkan kerajaan Islam, umat Islam ‘dikurniakan’ pemerintah yang kurang waras dan asyik dengan kehidupan mereka yang penuh dengan nafsu haloba. Sehingga kedaulatan negara berada di tahap merah, mereka masih bersuka-ria. Serangan yang mengenai mereka hanya dianggap pengacau kepada gaya hidup mereka. Pemimpin jenis ini sedikit pun tidak mengambil kira perasaan dan harapan rakyat kepada mereka.

Jika dahulu pemerintah menutup tingkap menggambarkan betapa tidak endahnya mereka terhadap ancaman kedaulatan negara. Kini yang berlaku, mereka menutup ruang liputan berita supaya rakyat tidak tahu menahu apa yang sebenarnya berlaku di Lahad Datu. Hanya diberitakan kempen dan kejayaan yang menutup bangkai busuk kegagalan mereka. Sedangkan Nabi Muhammad SAW telah berpesan antara tanda kehancuran sesebuah umat antaranya adalah apabila memilih orang yang tidak waras berfikir sebagai pemimpin. Hadis tersebut penulis telah terangkan dalam artikel lepas yang bertajuk ‘Gejala Pemerintah Berkuku Besi’.

Ketidakwarasan mereka sampai ke tahap memberikan kerakyatan percuma kepada pendatang. Semata-mata ingin memanjangkan hayat cengkaman mereka dengan bantuan undi dari warga asing. Perbuatan mementingkan diri sendiri ini akhirnya menyulitkan lagi pengendalian kes pencerobohan Lahad Datu. Bahkan ia merupakan perbuatan menggadai tanah air secara halus. Ini masih lagi belum diperbahaskan teori-teori konspirasi yang memberatkan kepala rakyat, bahawa tragedi yang berlaku semata-mata ingin menangguhkan Pilihanraya Umum ke-13.

Solusi

Baginda Nabi SAW telah berpesan antara tanda kiamat adalah (maksudnya), “Apabila diserahkan urusan pemerintahan kepada orang yang tidak layak, tunggulah saat berlakunya kiamat.” - Riwayat Bukhari

Nabi SAW telah menegaskan bukan sekadar negara yang hancur. Bukan sekadar kedaulatan negara diceroboh. Bahkan dunia dan seisinya bakal hancur apabila kita memilih mereka yang tidak layak dari sudut agama, akal dan akhlaknya sebagai pemimpin. Begitu juga Nabi SAW menyuarakan kebimbangan kepada umatnya (maksudnya), “Sesungguhnya aku takut menimpa ke atas umatku, pemimpin-pemimpin yang menyesatkan.” - Riwayat at-Tirmizi

Tindakan mereka tidak waras dari sudut akal, sesat dari sudut agama dan rosak dari sudut akhlak. Zaman siapa lagi kalau bukan zaman kita? Tugas kita, memadamkan kuasa mereka supaya ketidakwarasan mereka tidak berjangkit kepada rakyat jelata. Ingat apa yang tertulis di anak panah tentera Tatar:

“Apabila Tuhan mahu menjatuhkan sesebuah kerajaan yang berdaulat, sudah tentu Tuhan akan menghilangkan akal orang yang sepatutnya berakal (pemerintah).”


http://www.tarbawi.my

Penduduk harap Kerajaan PR Selangor kekal

Harakahdaily, 12 Mac 2013


GOMBAK: “Kami mahu kalau boleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sekarang dapat dikekalkan,” luah Shamsudin Zakaria, 50, dari Kampung Changkat, salah seorang penerima sumbangan ziarah kebajikan, semalam.

Beliau bersyukur dengan Kerajaan Negeri Selangor yang ada sekarang kerana banyak perubahan pembangunan dan program-program yang diadakan melibatkan terus kepada rakyat.

Shamsudin menerima sumbangan daripada Timbalan Penyelaras Dun Gombak Setia, Ustaz Hasbullah Ridzwan dalam Program ‘Ziarah Berkebajikan’ anjuran Dewan Pemuda PAS Gombak (DPPG) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Gombak Setia.

Program anjuran Pemuda PAS itu antara program mingguan DPPG setiap minggu yang melibatkan Dun Gombak Setia dan Dun Hulu Klang.

Sutina Manas, 45, yang bekerja sebagai tukang jahit pula berterima kasih kepada DPPG atas sumbangan yang telah disampaikan terus ke rumahnya.

“Saya mengucapkan terima kasih pada Pemuda PAS Gombak kerana sudi datang melawat ke rumah saya dan mudah-mudahan sumbangan ini dapat meringankan beban saya seharian,” kata beliau yang juga antara penerima intensif Mimbar dari kerajaan Selangor.

Dalam pada itu, Hasbullah yang juga Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan supaya para penerima banyak bersabar di atas ujian yang telah menimpa mereka dan perbanyakkanlah berdoa supaya diringankan beban yang ditanggung.

Fitnah: Tian Chua tidak teragak hantar surat saman

Harakahdaily, 12 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Mulai sekarang, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua tidak teragak-agak untuk menghantar surat saman sekiranya ada lagi berita fitnah tersebut diulangi di mana-mana portal.
Naib Presiden PKR itu menyatakan demikian dalam satu kenyataan hari ini, sebagaimana di bawah.

Hari ini saya telah menghantar satu lagi surat tuntutan melalui peguam saya kepada Zaini bin Haris (IC: 811104-01-6015) pengurus portal MyMassa. Portal MyMassa merupakan punca berita palsu yang menyatakan kononnya saya menghina Pasukan Keselamatan dengan kata-kata "KOMANDO MATI KATAK".

Selain daripada itu, saya juga telah hantar surat tuntutan kepada Mohamad Salim bin Iskandar (IC: 730709-08-5123) yang mengurus portal Parpukari. Namun, sejak semalam berita yang merujuk kepada berita fitnah tersebut telah diturunkan. Dengan ini, saya secara rasminya menarik balik surat tuntutan saya terhadap Parpukari.

Di samping surat tuntutan, peguam saya telah mengirim surat amaran kepada semua pengendali portal yang menyiarkan berita fitnah yang sama. Mereka ini termasuk: Gelombang Wangsa Maju, Apple Biru, Malaysia Delima, Kelateloni, Pistol Nakal, Aloqlaloq, Talk with Hand, Flying Kick, dan lain-lain lagi.

Mulai sekarang, saya tidak teragak-agak untuk menghantar surat saman sekiranya ada lagi berita fitnah tersebut diulangi di mana-mana portal.

Kerajaan Pahang keluar tender 7 tahun

Harakahdaily, 12 Mac 2013
KUANTAN: Satu surat rasmi mendedahkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang bersidang pada 6 Februari 2013 telah menganugerahkan satu kontrak penyelenggaraan jalan negeri Pahang kepada sebuah syarikat selama tujuh tahun.

Dalam surat yang ditandatangani Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang Datuk Ir Haji Rosman Haji Yahya, kontrak tersebut diberikan kepada Syarikat YP Maintenance Sdn Bhd bermula 1 April 2013.

“Pembiayaannya adalah dari peruntukan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri,” baca surat tersebut yang ditujukan kepada “Jurutera Daerah JKR Kuantan/ Temerloh / Jerantut / Pekan / Maran / Bentong / Rompin / Kuala Lipis / Cameron Highlands / Raub / Bera.”

Ia telah menimbulkan persoalan kenapa ia dibuat untuk tempoh yang begitu panjang?

Penganalisa politik Harakahdaily berkata kontrak yang diberikan itu sebelum PRU 13 akan menimbulkan persepsi rakyat bahawa Umno tengah menyiapkan diri untuk kekalahan dengan penganugerahan projek-projek yang dapat menjamin pendapatan mereka sekiranya menjadi pembangkang nanti.

Surat itu turut menyatakan bahawa jalan-jalan yang terlibat dalam kontrak ini ialah jalan-jalan negeri di bawah JKR seperti yang disenaraikan dalam Malaysia Road Record Information System (MARRIS) tetapi tidak termasuk jalan di dalam kategori yang lain.

Surat itu turut mengarahkan sebarang rundingan yang belum dimuktamadkan dengan kontraktor lain perlu dibatalkan.

“Oleh yang demikian, segala kerja-kerja undi dan sebut harga untuk kategori Jalan Raya Negeri Di Bawah JKR yang masih di peringkat tawaran dan masih belum disetuju terima kepada kontraktor hendaklah dibatalkan.

"Walaubagaimanapun, kerja-kerja undi dan sebut harga yang telah disetujuterima oleh kontraktor boleh diteruskan sehingga siap,” tulis surat itu lagi.

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) ketika dihubungi Harakahdaily berkata keputusan itu bakal menjejaskan peluang kerja di JKR bahagian jalan untuk anak Pahang.

“Kontraktor jalan Kelas F juga hilang peluang untuk mendapat kontrak,” tegas beliau.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menuntut agar pihak bertanggungjawab tampil memberikan penjelasan beberapa perkara termasuk:

1.     Mengapa Syarikat YP Maintenance dipilih?

2.     Perjanjian antara kerajaan negeri dengan Syarikat YP Maintenance.

3.     Bagaimana perjanjian ini boleh menguntungkan warga Pahang? Apakah sebutharga YP Maintenance jauh lebih rendah berbanding kontraktor lain?

4.     Apakah YP Maintenance memenangi kontrak ini melalui tender terbuka?

5.     Berapa jumlah nilai kontrak 7 tahun tersebut? Mengapa 7 tahun dan bukan diperbaharui setiap tahun?

6.     Jika YP Maintenance tidak dapat melaksanakan tugas kontrak, apakah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mendenda dan membatalkan kontrak?

Rasuah balak T'ganu: Pakatan dedah cek, resit bayaran

Hazayani Zakaria, 12 Mac 2013
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini menampilkan bukti berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam pengurusan balak di Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menunjukkan bukti berupa cek dan resit bayaran daripada syarikat yang terpaksa membayar deposit sebanyak RM1 juta kepada penama yang dipercayai mewakili kepentingan politik Umno di Terengganu.

Akhir Februari lalu Rafizi dan Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mendedahkan skandal  melibatkan satu modus operandi menggunakan sebuah syarikat yang diberi kelulusan membalak oleh kerajaan negeri.

"Sebelum ini saya dan Dr Syed Azman mendedahkan modus operandi bagaimana syarikat-syarikat yang ingin turut serta dalam tender mengeluarkan hasil balak dipaksa untuk membeli syarikat RM2 pada harga RM2.5 juta untuk dipertimbangkan.

"Hari ini saya tunjukkan cek dan resit bayaran yang dibuat kepada penama yang merupakan syarikat yang terlibat dalam urusniaga pembelian saham," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, dekat sini hari ini.

Menurut Rafizi juga, penyelewengan pengurusan hasil balak di Terengganu ini telah menjadi satu isu besar sehinggakan beberapa siasatan rasmi dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau turut menunjukkan dokumen rasmi SPRM yang mengesahkan kes tersebut telah disiasat oleh badan itu.

"Sehingga sekarang, tidak ada sebarang maklumat atau pendakwaan walaupun bukti pembayaran adalah jelas dan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani secara jelas mengaitkan pembelian syarikat RM2 dengan tender mengeluarkan hasil balak di Terengganu," katanya.

Tambah beliau juga, Ahmad sendiri sehingga kini tidak memberikan sebarang maklum balas berhubung dakwaan itu.

"Saya tidak mendapat apa-apa maklum balas pun daripada Datuk Ahmad Said sendiri mengenai skandal balak ini yang berlaku di bawah pentadbiran beliau dan banyak keputusannya ditentukan beliau sendiri," katanya lagi.

Difahamkan projek membalak tersebut diluluskan Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan Negeri pada 17 Julai 2012 yang dipercayai dipengerusikan Ahmad, melibatkan kawasan seluas 405 hektar di Hutan Simpan Hulu Setiu.

Namun pada 28 Disember 2011 iaitu enam bulan sebelum kelulusan membalak dikeluarkan, satu perjanjian dimeterai supaya syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat proksi yang hanya mempunyai saham berbayar RM2.

Wang jualan itu disyaki disalurkan kembali kepada individu tertentu yang berpengaruh menentukan hak membalak kepada syarikat terbabit.

Tiada ulasan: