Ahad, 31 Mac 2013

BILA PERIT DAN SEKSA JADI PEMBANGKANG...MAKA AKAN MEMPERBAIKI DIRI SERTA CUBA JADI BAIK

Jangan terlalu fokus tarikh PRU13 - Mustafa

Harakahdaily, 30 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) diseru untuk fokus kembali kepada kerja-kerja pilihanraya dan langkah BN seterusnya, terutamanya dari segi menciplak manifesto PR daripada meneka tarikh Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13).

“PRU13 akan diadakan, seperti ibu mengandung cukup 10 bulan, anak akan dilahirkan jua. Jangan fokus kepada tarikh (Datuk Seri) Najib (Razak) nak bubar parlimen. Fokus kepada apa yang BN bakal buat menjelang PRU13 ini,” tegur Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata Najib berkemungkinan melengahkan pilihanraya untuk menciplak sebanyak mungkin janji-janji yang ada dalam manifesto PR.

Hari ini, akhbar MCA The Star melaporkan bahawa sumber dalaman menyatakan bahawa Najib bakal menunaikan umrah pada 3 April.

Dalam pada itu, Mustafa berkata pilihanraya umum akan diadakan pada hari terakhir Negeri Sembilan perlu mengadakan pilihanraya iaitu 25 Mei.

“Najib juga akan hadir Asean Summit di Brunei pada 24 dan 25 April sebagai Perdana Menteri penuh dan bukannya Perdana Menteri kerajaan sementara. Beliau akan membubarkan parlimen selepas itu, dijangkakan 27 April,” kata Mustafa ketika ditanya Harakahdaily.

“Tapi usah fokus pada permainan Najib pada tarikh pembubaran sehinggakan segala isu-isu rakyat dilupakan. Hati-hati pada taktik lawan dan jangan biar mereka melekakan kita,” tambahnya lagi.

Harakahdaily juga menerima ura-ura bahawa BN sedang mencari alasan supaya rakyat berhenti daripada berhajat berlaku pertukaran kerajaan, termasuk menciplak tawaran PR seperti mengumumkan penurunan harga minyak sewaktu kempen pilihanraya, penurunan harga kereta dan juga mengumumkan penghapusan hutang PTPTN.

Kemudian, BN akan mewar-warkan pada rakyat bahawa segala tawaran penting PR sudahpun dilaksana, maka tiada perlunya untuk menukar kerajaan lagi.

Anwar semakin dekat dengan orang ramai

Harakahdaily, 30 Mac 2013

(Anwar semakin dekat dengan cara ramai melalui pendekatan ceramah yang diambilnya)


KUANTAN: Ke mana saja Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pergi menjelang pilihan raya 2008 lalu, di situ kubu BN terbukti goncang.

Ia berdasarkan keputusan undi yang diperolehi PKR dan lain-lain parti pembangkang dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

Kini, dengan jangka masa yang panjang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berkempen, sokongan kepada Pakatan Rakyat meningkat dari hari ke hari.

Sebahagiannya adalah disumbangkan oleh Anwar sebagai Ketua Pembangkang.

Ia berkaitan dengan cara beliau bercakap kepada mereka yang datang menyertai ceramah-ceramah beliau.

Malam ini di Balok Makmur, ribuan yang hadir mendapat layanan istimewa apabila Anwar turun menemui mereka ke bawah pentas.

"Cara Anwar bertentang mata dengan mereka yang hadir bakal mengikat mereka dan seterusnya menyebabkan mereka menyebarkan mesej untuk semua rakan dan taulan mereka," ulas seorang pengkaji politik ketika menilai cara Anwar berhubung dengan orang ramai dalam ceramah-ceramahnya.

Ketika kebanyakan penecaramah terikat dengan ronstrum mereka, Anwar membuat pendekatan berbeza.

Beliau membebaskan dirinya dari rostrum dan dalam kes Balok Makmur malam ini, Anwar membebaskan dirinya dari pentas yang mengikat dirinya.

Anwar turun ke bawah pentas dan bercakap secara langsung dengan orang ramai.

"Cara ini menyebabkan orang ramai terasa dekat dengan penceramah.

"Ini yang mengikat mereka dengan Anwar," tambah beliau yang merupakan pensyarah kepada Universiti Islam Antabangsa cawangan Kuantan itu lagi yang turut serta mendengar ceramah Anwar di Balok Makmur.

Bagi beliau semakin kuat tekanan diberikan oleh media BN kepada Anwar, orang akan lebih ramai menyertai ceramah-ceramah Anwar.

"Terbukti berdasarkan keputusan pilihan raya 2008, di kawasan mana Anwar pergi, di situlah undi parti pembangkang ketika itu melonjak naik," tambahnya.

Pemuda PAS lancar kempen 'Keamanan Untuk Sabah'

Harakahdaily, 30 Mac 2013

(Pemuda PAS lancar kempen "Keamanan untuk Sabah")

KOTA KINABALU: Insiden pencerobohan di Lahad Datu yang semakin meruncing dengan perkembangan terbaru melibatkan dua anggota tentera Malaysia terbunuh telah menyuntik semangat cintakan keamanan di seluruh negara.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah telah melancarkan kempen “Keamanan Untuk Sabah” pada kelmarin dengan memberikan fokus kepada perpaduan serta kemakmuran kepelbagaian etnik dan budaya yang sekian lama disematkan di kalangan rakyat Malaysia khususnya di Sabah.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, kempen ini akan menggerakkan seluruh pemuda PAS setiap kawasan bagi memberikan gambaran dan menarik golongan belia untuk mencintai keamanan negara yang setelah sekian lama dikecapi.

“Kita sudah merdeka hampir 50 tahun, sejak dari itu... segala kemakmuran dan keamanan yang kita nikmati hingga ke hari ini merupakan titik usaha perpaduan kaum dan etnik yang dibawa oleh ibu-ibu dan bapa-bapa kita terdahulu.

“Oleh yang demikian, sebagai generasi pewaris negara... kita mestilah mempertahankan kemakmuran ini demi anak cucu kita pula yang mana mungkin mereka akan mempersoalkan tindakan ibu bapanya yang gagal mempertahankan keamanan negara ini daripada tangan-tangan penderhaka negara yang cuba merobek semangat patriotisme rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Lahirul menggesa agar rakyat khususnya anak muda mengenepikan perbezaan politik, kepercayaan dan bangsa dengan membangkitkan semangat patriotisme demi mempertahankan keamanan negara.

“Hari ini, kita melancarkan kempen ini bagi memberi kesedaran kepada rakyat khususnya anak muda bagi sama-sama menghargai dan mencintai keamanan negara,” jelas Lahirul.

BN berpeluang baiki diri, jadi pembangkang

Aspan Alias, 30 Mac 2013
BN masih dalam kegelisahan. Hari Jumaat yang lepas saya telah mendengar apa yang dikatakan oleh juruhebah radio yang mereka sedang menunggu pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri pada bila-bila masa sahaja semasa itu. Dalam hati saya “at last, Najib is brave enough to dissolve the Parliament”. Saya terus sahaja berhenti di tempat makan untuk makan tengah hari. Jam semasa itu sudah 3 petang kerana agak teruk juga keadaan di jalan raya selepas solat Jumaat itu.
Saya pun tertunggu-tunggu untuk mendengar pengumuman itu dan saya tidak berhenti-henti menerima sms dari rakan-rakan memberitahu saya yang PM akan membuat ‘press conference’ untuk pembubaran Parlimen tetapi sampai ke malam hari tiada juga pembubaran itu. Pada malamnya dalam perjalanan ke Sekinchan untuk berceramah, saya telah mendapat berita apa yang dikatakan oleh juruhebah radio itu tidak berlaku dan pihak berwajib telah menafikan berita pembubaran itu.

Pagi tadi saya telah difahamkan yang BN masih mempunyai masalah besar yang belum dapat diselesaikan. Masalah ‘inter-party’ dan ‘intra-party’ masih menyelubungi BN dan pengumuman itu terpaksa ditunda lagi. Seorang sahabat saya dari UMNO memberitahu saya, “jangan susah, pilihanraya akan diadakan juga, percayalah. Selewat-lewatnya sebelum dunia kiamat Najib akan umumkan tarikh pilihanraya itu” dalam mood menyindir.

Saya selalu menulis tentang isu ini dalam penulisan saya sejak setahun yang lalu. BN sesungguhnya mempunyai masalah pembahagian kerusi. MCA terlalu meminta-minta kerusi yang lebih sedangkan parti itu tidak mendapat sokongan lagi. UMNO sebenarnya sudah menganggap MCA ini sebagai ‘baggage’ yang besar dan tidak boleh mendapat kerusi yang terlalu banyak. Malahan mengikut pandangan ramai ahli-ahli UMNO sendiri berpendapat membawa MCA bersama merupakan satu beban yang besar.

UMNO sendiri sudah tidak berdaya menanggung bebannya sendiri, tetapi ditambah pula dengan bebanan yang diberikan lagi oleh MCA dan rakan-rakan kongsi yang lain dalam BN itu. Itu masalah ‘inter-party’. Bagaimana pula dengan masalah ‘intra-party’ dalam UMNO dan MCA itu sendiri? Apa yang saya jangkakan dahulu sudah terbit buktinya. Dulu saya selalu mengatakan kalau hendak tengok macam mana seriusnya perpecahan dalam UMNO itu.

Saya telah memberitahu yang sejurus sahaja nama-nama calon diumumkan UMNO akan berpecah lagi. Sabotaj terhadap parti oleh ahli-ahli dan pekerja pilihanraya mereka sendiri akan memainkan peranan untuk menjatuhkan calon parti mereka. Mensabotaj parti itu merupakan budaya yang tegar dalam UMNO sejak sepuluh tahun dahulu sekurang-kurangnya. Kalau apa yang saya katakan ini tidak benar, masakan Dr Mahathir telah memanggil pimpinan peringkat bahagian seluruh negara datang secara bergilir-gilir untuk mengangkat sumpah tidak  mensabotaj parti dalam pilihanraya kali ini.

Apa semuanya ini? Kalau terpaksa mengangkat sumpah di depan Dr Mahathir yang mereka tidak akan sabotaj parti, itu menunjukkan yang UMNO sudah pada hakikatnya sudah mati keseluruhan semangatnya. Jika UMNO menghadapi masalah di kalangan ahli-ahlinya sendiri, bagaimana parti ini diberikan mandat pula? Jangan sekali-kali memberikan sokongan kepada parti yang bermasalah kerana mereka tidak akan mentadbir dengan betul jika mendapat mandat nanti.

Isu pemilihan calon masih tidak dapat diselesaikan bagi setengah kawasan yang di wakili oleh UMNO dalam pilihanraya ini. Sedangkan masalah UMNO di Perlis, negeri yang terkecil dalam negara itu pun tidak dapat diselesaikan, bagaimana hendak menyelesaikan masalah UMNO di seluruh negara? Selagi pimpinan UMNO takut kepada ‘war lords’ yang sedang mengambil kesempatan semasa UMNO dalam krisis ini, masalah tidak akan selesai walaupun pilihanraya sudah di umumkan.

Blog ini selalu menasihatkan agar UMNO menumpukan terhadap masalah dalaman mereka sendiri daripada menumpukan tenaga untuk ‘mengerjakan’ pihak pembangkang. Masalah dalam pembangkang tidak menghadapi banyak masalah seperti yang dihadapi oleh UMNO. Lim Kit Siang hendak berpindah ke Gelang Patah dalam pilihanraya kali ini tidak menghadapi masalah.

Penghijrahan pemimpin-pemimpin DAP dan PAS ke Johor itu menunjukkan yang pemimpin pembangkang berani menghadap risiko semata-mata untuk mementingkan demokrasi untuk kebaikan rakyat dan negara. Menang kalah bukan ‘ultimate’bagi pemimpin-pemimpin ini. Yang terpenting ialah untuk mendidik rakyat untuk melangsungkan demokrasi dengan sepenuhnya. Salahuddin Ayub sanggup meninggalkan kawasan selamat di Kelantan untuk memperjuangkan semangat demokrasi itu.

Kalau dahulu pemimpin-pemimpin dari negeri lain berhijrah ke Kelantan tetapi sekarang keadaan sudah terbalik. Pemimpin dari Kelantan pula yang kembali ke Johor untuk meningkatkan perjuangan seperti juga yang dilakukan oleh Lim Kit Siang. PAS dan DAP adalah parti yang hidup dan berkesan. Di sebaliknya UMNO menghadapi masalah-masalah yang masih tidak selesai kerana kali ini merupakan krisis keyakinan yang paling besar mereka hadapi dalam sejarah kemerdekaan negara.

Kedua-dua parti ini telah mengalami puluhan tahun zaman susah mereka kerana tekanan parti pemerintah. Sekarang ini PAS dan DAP sedang menghadapi zaman mudahnya untuk mendekati rakyat dengan lebih hampir lagi. Hanya media perdana sahaja yang belum lagi membuat perubahan untuk lebih terbuka dalam menghadapi demokrasi yang kian hari kian menjadi tuntutan rakyat. PAS dan DAP sedang mengecapi apa yang di sebut dalam peribahasa, ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.

Walau bagaimana pun kehendak rakyat kali ini adalah ‘predictable’. Sama ada Parlimen dibubarkan besok atau penghujung bulan April nanti keputusannya tetap sama. Rakyat mahukan perubahan dan mahukan kerajaan yang baru. Tindakan untuk melakukan perubahan ini, bukannya satu jenayah.

Dalam pada itu UMNO juga boleh mencuba untuk melakukan perubahan tetapi semasa mereka berada di luar kerajaan. UMNO akan merasakan nikmat menjadi pembangkang kerana semasa menjadi pembangkang parti itu akan berkesempatan untuk meningkat jati diri mereka dan menjadi parti yang mempunyai perjuangan yang betul.

PAS dan DAP mengalami berada di luar kerajaan puluhan tahun lamanya. Itulah sebabnya parti-parti itu lebih mantap dari segi perjuangan mereka.

UMNO akan tetap menjadi parti yang lebih baik jika parti itu melalui proses memperbaiki diri dengan berada di luar kerajaan buat satu atau lebih baik dua penggal pilihanraya. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

PAS sedia makan tengahari kepada mangsa kebakaran

Harakahdaily, 30 Mac 2013


(Petugas PAS Sepanggar menyediakan makan tengahari untuk mangsa kebakaran)

SEPANGGAR: Seramai 1,774 mangsa kebakaran di Kampung Numbak, dekat sini pada Rabu lalu terus mendapat perhatian dan tindakan segera daripada pihak PAS.

Menurut Yang DiPertua PAS Sepanggar, Ali Hassan berkata, pihaknya turut bergotong-royong  menyediakan makanan tengahari selama tiga hari bermula kelmarin kepada penduduk terlibat.

“Kita turut menyediakan menu makanan tengahari kepada penduduk terlibat selama tiga hari bermula Jumaat lalu hingga Ahad ini.

“Ada yang masih berada di kawasan sekitar sehingga menunggu pusat penempatan sementara dibuka bagi menempatkan mereka. Justeru, kita mengambil langkah ini bagi meringankan bebanan mereka,” ujarnya.


(Orang ramai yang terdiri dari mangsa kebakaran mendapatkan makan tengahari dari PAS)

Dalam kejadian itu, hampir 263 buah rumah atas air berkenaan musnah dalam kebakaran.

Api dikatakan merebak dengan cepat ke seluruh perkampungan disebabkan tiupan angin kencang dan kedudukan rumah-rumah yang berdekatan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Sabah yang diketuai Pesuruhjaya, Aminuddin Aling turut mengambil peluang meluangkan masa bersama mangsa kebakaran dan sempat menyediakan makanan tengahari selain mengedarkan sumbangan.

PAS katanya, turut melancarkan Tabung Mangsa Kebakaran Numbak dengan mengajak kepada para dermawan, warga korporat dan orang perseorangan yang ingin menyumbang terus ke akaun Bank Islam 10016010082855 (PAS Sabah) atau menghubungi Amiruddin Mohd Rosdi, Setiausaha Kerja di talian 010-9414317.

Umno tak tepati janji buat padang bola dan balai raya

Khairil Abdul Rahim, 30 Mac 2013

Pemuda Jerantut Feri memasang kain rentang menuntut janji PRU oleh Umno.

JERANTUT: Di sebalik kerancakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelajah sambil mengisytiharkan ‘janji ditepati’ ke seluruh negara, penduduk Jerantut Feri dekat sini pula terkilan dengan janji yang belum ditunaikan sejak dua pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Janji yang dibuat kepada penduduk sejak PRU 2004 itu ialah menyediakan padang bola bagi memenuhi keperluan pemuda beriadah dan dan dewan atau balai raya untuk kegunaan penduduk.

Namun janji yang ditaburkan oleh pemimpin Umno masih tetap janji tinggal janji.

Ahli Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jerantut Feri, Mohd Jailani Hamdi, 45, (gambar) berkata kawasan naungan JKKK tersebut paling luas dan paling ramai penduduk di Jerantut iaitu 5,000 orang.

“Kariah Jerantut Feri ini termasuk juga Kampung Pedah dan Tanah Nyor dengan hampir 2,500 pemuda, oleh kerana ketiadaan padang bola mereka terpaksa menumpang bermain di padang ko-kurikulum Pusat Kegiatan Guru Pedah tetapi selalu bertembung dengan kegiatan pelajar sekolah.

“Sebab itu kami penduduk mendesak kerajaan supaya dua kemudahan asas iaitu padang dan balai raya hendaklah dibina sebagaimana dijanjikan pemimpin,” katanya.

Jerantut Feri termasuk dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Tahan. Pada PRU tahun 1999, Dun ini pernah dimenangi PAS melalui Allahyarham Abdul Malik Yusof.

Seorang graduan Ridzuan Idris, 27, kesal kampung lain memiliki padang dan balai raya sendiri sedangkan terdapat dua kawasan perumahan di sini dan termasuk dalam kawasan Majlis Daerah Jerantut.

“Bagi kami pemuda di sini ketiadaan padang dan dewan menyukarkan untuk buat aktiviti, jika tidak kita bimbang pemuda terjerumus ke arah aktiviti tidak sihat seperti dadah dan rempit apabila kemudahan aktiviti yang sepatutnya tidak disediakan,” ujarnya.

Seorang penduduk Zainal Osman, 36, kesal dengan pihak kerajaan kerana esplaned di bawah jambatan boleh dibina sedangkan padang dan balai raya yang lebih banyak manfaatnya gagal dibuat.

“Yang peliknya pihak kerajaan boleh buat balai raya di Kampung Merting dengan kos RM500 ribu sedangkan penduduknya hanya sekitar 1,000 orang. Begitu juga Kampung Sungai Putat yang penduduknya sekitar 1,000 orang tetapi dapat dewan bernilai RM300 ribu.

“Jadi memang tidak munasabah kami tak dapat,” tegasnya.

Zainal berkata, penduduk mendesak siapa-siapa saja jadi calon di Dun Tahan berani berjanji dan penduduk akan memberi undi iaitu padang bola dan balai raya kerana itu merupakan kemudahan asas untuk penduduk kampung.

Tiada ulasan: