Jumaat, 22 Mac 2013

BUNUH ULAMAK MENCEPATKAN KEBANGKITAN ISLAM SERTA MENCEPATKAN PERTOLONGAN ALLAH TIBA

Dewan Ulamak PAS kutuk pembunuhan Syeikh al-Buti

Harakahdaily, 22 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengucapkan takziah kepada keluarga tokoh ulama terkenal Syria, al-Syeikh al-Allamah Dr. Said Ramadhan al-Buti atas pembunuhan beliau menerusi  serangan bom semalam.
Serangan itu disasarkan kepada beliau ketika sedang menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Iman, Damsyik, Syria.

“Moga Allah menempatkan beliau di kalangan syuhada,” ujar Setiusaha DUPP, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Tegasnya, DUPP mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang terlibat dalam serangan tersebut dan menuntut satu siasatan dibuat untuk mencari dalang di sebalik pembunuhan tidak bertamadun tersebut.

Katanya, pembunuhan tokoh ulama merupakan satu jenayah besar yang tidak boleh dipandang ringan.

Tambahnya lagi, DUPP juga bimbang sekiranya pembunuhan Syeikh dilakukan oleh tangan-tangan ghaib tertentu bertujuan merosakkan imej para pejuang bersenjata yang sedang menentang kezaliman rejim Asad yang telah membunuh dan menyembelih ribuan umat Islam di Syria.

Menutrutnya, meskipun Syeikh Dr. Buti antara yang berpendirian bahawa krisis di Syria tidak sewajarnya diselesaikan secara penentangan bersenjata, namun terdapat laporan bahawa beliau dalam majlis-majlis peribadi mengutuk kekejaman yang dilakukan oleh golongan yang bersama rejim Asad dan mendoakan kehancuran mereka.

Mac: Mengenang pemergian Syeikh Ahmed Yassin

Mohd Azmir bin Maideen, 22 Mac 2013
Tidak syak lagi bahawa tarikh 14 Februari lebih mahsyur daripada detik 22 Mac. Jika kita ditanya tentang apakah yang berlaku pada 22 Mac, pasti tiada yang tahu malah menggeleng kepala melantunkan lagi persoalan tersebut kepada yang bertanya. Apakah yang berlaku pada 22 Mac ya? 22 Mac 2004, saat inilah seorang tokoh pejuang Palestin pulang menyahut seruan Ilahi, namanya Syeikh Ahmed Yassin.

Nama penuhnya Sheikh Ahmed Ismail Hassan Yassin, merupakan pemimpin spiritual gerakan HAMAS (Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah) yang bermaksud "Gerakan Pembebasan Islam" (The Islamic Resistance Movement in Palestine). Beliau tidak punya daya, duduknya sahaja di atas kerusi roda. Hanya kepalanya sahaja yang mampu menoleh bergerak ke kiri dan ke kanan. Tetapi, saat menatap wajahnya, biarpun di dalam gambar sahaja, terpancar ketenangan yang luar biasa.

Anaknya, Abdul Ghani pernah menceritakan saat beliau membantu ayahnya, Syeikh Ahmed Yassin yang telah hilang kudrat menggerakkan kedua-dua belah tangannya dengan membantunya menyelak lembaran al-Quran yang dibacanya, tiba-tiba Abdul Ghani tertidur kerana terlalu mengantuk. Lalu ketika anaknya Abdul Ghani tersedar, beliau mendapati ayahnya masih meneruskan bacaan al-Quran dengan menyelak al-Quran menggunakan gigi dan lidahnya.

Syeikh Ahmed Yassin adalah simbol pejuang Islam yang besar di zamannya. Beliau bukan "Usop Wilchair" yang menjadi bahan jenaka sinema Melayu, tetapi beliau adalah tuan guru dalam catatan sejarah umat manusia yang paling menonjol, gah dan agam, di mana pemimpin yang cacat fizikalnya mampu mengubah kelemahan menjadi kekuatan kepada rakyat Palestin. Pada mata Eropah bersatu, Kanada, Jepun, Israel dan Amerika mereka mendefinasikan kewujudan Syeikh Ahmed Yassin sebagai tokoh terroris, tetapi pada mata kami beliau adalah tokoh pejuang Islam yang semangatnya masih hangat membakar di jiwa anak-anak muda umat Islam.

Dr Abdul Aziz ar-Rantisi (1947-17 April 2004) yang gugur syahid sebulan setelah kematiannya menegaskan bahawa Syeikh Ahmed Yasin telah memimpin rakyat Palestin agar tidak menyerah pasrah, melintang arah dan berputus asa menentang penjajahan Israel. Perjuangannya dibeli oleh Allah Taala dengan harga yang sangat mahal, insan yang mengalami penyakit lumpuh itu menjadi perhatian dan ancaman terbesar rejim Israel sehingga pesawat Apache dikirimkan untuk menghapuskan jasadnya.

Akal manusia yang naif beralasan, lazimnya seseorang individu yang dikehendaki Israel adalah seorang yang kuat fizikalnya, berapi-api pidatonya, aktif (bergerak ke sana-sini) memobilasi kekuatan di setiap penjuru benua, yang mungkin sahaja fizikalnya kekar seperti hero buatan Amerika, John Rambo. Tetapi keadaan yang sebaliknya dilihat pada Syeikh Ahmed Yassin. Beliau dilahirkan dengan tubuh yang sempurna tetapi mengalami kemalangan teruk pada zaman mudanya sehingga menyebabkan kakinya lumpuh dan berkerusi roda.

Dari sudut akademik pula, pandangan kasar manusia pasti merasakan status pendidikan yang dimiliki Syeikh Ahmed Yassin tidak seharum tokoh-tokoh lain yang mewarisi gelaran Professor, Doktor, Ir (Engineer) dan sebagainya. Kerana, pengajian Syeikh Ahmed Yassin tidak dapat disempurnakan dengan jayanya ketika beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams, Kaherah rentetan penglibatannya di dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan sewaktu rejim Hosni Mubarak berkuasa di Mesir. Akibatnya beliau dihantar pulang ke Palestin tanpa pengiktirafan dan ijazah.

Sungguhpun demikian pengalaman beliau di dalam gerakan Ikhwanul Muslimin, Syeikh Ahmed Yassin menemui kaedah perjuangan Islam yang dicarinya. Metodologi dakwah binaan Imam Hassan Al Banna itu disifatkan cerminan perjuangan para Nabi dan Rasul, baik dari sisi ideologi mahupun pandangan siasah, terutamanya dalam usaha mengkaderkan generasi yang bakal membebaskan Palestin dan menyelamatkan Aqsa kelak. Maka, sejak 1955 lagi para pemuda Palestin berbaiah dengan Syeikh Ahmed Yassin untuk menjayakan dokongan Ikhwanul Muslimin antarabangsa membebaskan Palestin.

Di Palestin, selain berperanan dalam sektor tarbiyah, beliau turut aktif dalam medan dakwah fardhiyyah. Beliau bertugas sebagai guru bahasa Arab dan khatib masjid di sekitar Gaza. Sekalipun tidak terkenal seperti selebriti agama di media televisyen, populariti beliau terus melonjak terutamanya ketika beliau menyampaikan khutbah selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

Berdasarkan terjemahan, berikut adalah petikan-petikan ucapan beliau yang mengugah perasaan masyarakat Arab Palestin dan umat Islam umumnya;

"Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah lumpuh. Aku bukan pemidato yang lantang, yang mampu menggegarkan di seluruh pelusuk tempat dengan suaraku yang perlahan ini. Aku tidak mampu untuk ke mana-mana memenuhi hajatku kecuali jika mereka (pembantu) menggerakkan kerusi rodaku.

"Aku hanyalah seorang tua yang sudah beruban putih dan berada di penghujung usia. Aku yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan fizikal.

"Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang tertimpa ke atasku turut menimpa bangsa Arab sehingga menjadikan mereka begitu lemah. Adakah kalian semua begitu wahai Arab, kalian diam membisu dan lemah, ataukah kalian telah mati binasa..."

Semangat Syeikh Ahmed Yassin ini kemudiannya diterjemahkan dengan hasrat penubuhan HAMAS yang turut ditemani sahabat perjuangannya seperti Dr Abdul Aziz Rantissi, Ibrahim Maqdamah, Solah Syahadah yang telah mengasaskan HAMAS sebagai organisasi para-militari dan organisasi politik di Palestin pada tahun 1987. Matlamat utama penubuhan HAMAS adalah untuk membebaskan keseluruhan bumi Palestin daripada penjajahan rejim Zionis.

Penubuhannya berbeza dengan PLO (Palestine Liberation Organitation) atau di dalam bahasa Arabnya,  Munazzamat at-Tahrir al-Filastiniyyah yang sering bersikap lunak terhadap rejim Zionis. Walaupun idea penubuhan PLO itu diawali oleh peranan efektif Mufti Palestin, Al-Hajj Amin Husaini (1897-1974) yang menyatukan bangsa Arab menentang rejim Israel. Tetapi lama-kelamaan pertubuhan PLO yang diterajui Yassir Arafat (1929-2004) ibarat burung merpati yang hanya mampu terbang di dalam sangkar, kemudian menagih sesuap umpan dari luar sangkarnya.

Pada awalnya, Israel memang khuatir dengan penubuhan PLO kerana keberkesanannya mampu menggugat kedudukan wilayah haram Israel. Namun kegerunan itu semakin hilang apabila PLO mulai bersikap 'jinak' dengan kuasa autonomi yang ditawarkan oleh Israel. Perjuangan PLO kemudiannya diteruskan oleh proksi "kebangsaan" Arab FATAH (Harakat al-Tahrir al-Watani al-Filistini) - Palestinian National Liberation Movement. Sekarang perjuangan mereka hanyalah mahu membebaskan sebahagian kecil bumi Palestin dan lebih berideologikan nasionalis.

Pada saat semangat kebangsaan cuba mencabut roh Islamiyyah di jiwa umat Islam Palestin, Sheikh Ahmed Yassin bersama rakan-rakannya bangkit memikul tanggungjawab secara terancang dan sistematik. Gerakan yang dibawa oleh Sheikh Ahmed Yassin bermula dari kerukunan masjid sehinggalah bercambah ke beberapa institusi penting masyarakat seperti sekolah-sekolah hinggalah ke pusat pengajian tinggi. Perjuangan Syeikh Ahmed Yassin di dalam HAMAS dianggap sebuah organisasi yang meneruskan karismatik perjuangan Syeikh Izzuddin al-Qassam, seorang tokoh Arab yang menentang Inggeris di medan jihad Palestin pada tahun 1935.

Pada tahun 1989 ratusan anggota pergerakan HAMAS telah dipenjarakan kerana kejayaan operasi yang telah dilancarkan sayap kanan gerakan tersebut, Kataib al-Qassam (Al-Qassam Bridge) membunuh komando-komando Israel. Keadaan tersebut menjadi semakin kritikal apabila Syeikh Ahmed Yassin turut dipenjarakan di sel rejim Israel. Kesan penahanan itu menyebabkan beliau mengalami lumpuh seluruh tubuh sehingga hilang penglihatan pada sebelah mata bahagian kanan dan kekaburan di sebelah kirinya.

Akibat tekanan dan deraan yang berterusan dikenakan rejim Israel ke atas Syeikh Ahmed Yassin, beliau menghidapi jangkitan pada paru-parunya sehingga memaksa pihak penjara membawa beliau berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Peristiwa yang menyayat perasaan itu menyebabkan sejumlah besar masyarakat Palestin di dalam dan luar negara celik mata dan bangkit menuntut supaya rejim Israel membebaskan Syeikh Ahmed Yassin yang dianiaya.

Keengganan rejim Israel untuk memenuhi desakan rakyat Palestin pada ketika itu, menyebabkan Kataib al-Qassam menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran tentera tersebut dengan pembebasan Syeikh Ahmad Yassin, tetapi rejim Israel tidak tawar hati untuk bersetuju dengan pertukaran tersebut.

Walau bagaimanapun pada tahun 1997, pembebasan Syeikh Ahmed Yassin menjadi kenyataan hasil dari pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis. Peristiwa kejayaan ini bermula apabila Kerajaan Jordan memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis (MOSSAD) ketika mereka gagal dalam percubaan membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mesha'al di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, rejim Zionis bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan.

Pembebasan Syeikh Ahmed Yassin ketika itu telah membawa gelombang kedua Intifadah pada September 2000, lanjutan daripada Intifadah pertama pada Disember 1987. Gelombang kedua ini bertujuan mengajak rakyat Palestin bangkit menentang rejim Zionis yang telah mengotori Masjidil Aqsa. Impak Intifadah ini amatlah dirasai Israel yang akhirnya mereka merangka pelbagai usaha untuk mengekang kemaraan rakyat Palestin melangkaui batasan kemanusiaan. Antara strategi jahat mereka ialah dengan menyerang bandar-bandar, membunuh orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang termasuklah para pemimpin Palestin.

Bertitik-tolak daripada Intifadah kedua inilah syahidnya Sheikh Ahmad Yassin. Tiga bedilan peluru berpandu helikopter Apache telah dilancarkan tentera rejim zionis kepada Syeikh Ahmed Yassin yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari masjid sejurus menunaikan solat subuh berjemaah. Salah satu daripada peluru berpandu itu jatuh tepat menuju ke kepala beliau sehingga beliau menemui ajal sebagai seorang syahid, termasuklah dua orang pembantu yang menolak kerusi rodanya.

Serpihan anggota badan dan darah berhamburan di segenap penjuru kawasan. Di tengah perjalanan antara rumah Syeikh Ahmed Yassin dan masjid beberapa ratus meter jaraknya, darah kelihatan di merata tempat dan cebisan daging manusia melitupi dinding sebuah rumah dua tingkat di Timur jalan. Pihak ambulan dan penduduk tempatan bersama-bersama mengutip dan mengumpulkan cebisan anggota manusia di jalanan dan di atas bumbung beberapa buah rumah berhampiran.

Kerusi roda yang dinaiki beliau hancur musnah dan dipenuhi darah. Syahidlah seorang lelaki tua berkerusi roda bernama Syeikh Ahmed Yassin, beliau telah pergi dengan meninggalkan kita dengan seribu satu kebanggaan.

"Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang mati; bahkan mereka itu orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya." (Al-Baqarah : ayat 154)

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman, jiwa dan harta mereka dengan syurga. Mereka berjuang di jalan Allah, ada yang membunuh dan terbunuh. Inilah janji yang benar yang ditetapkan dalam Taurat, Injil, dan al-Quran. Siapa lagi yang lebih menyempurnakan janji selain daripada Allah. Oleh itu, bergembiralah dengan jual-beli kamu. Dan itulah kemenangan yang besar." (Surah at-Taubah : ayat 111)


http://www.tarbawi.my/

PAS ada 7 dosa, Umno macam mana?

Mohamed Hanipa Maidin, 22 Mac 2013
(Papan tanda yang dipasang di Kota Bharu selepas Najib dakwa PAS ada 7 dosa)

Setelah bertahun-tahun berpolitik tanpa mengira isu dosa dan pahala, Presiden Umno tiba-tiba bercakap tentang dosa. Maka dituduhnya PAS membuat 7 dosa. Kerana dosa-dosa itu maka mengikut logik Najib PAS wajar ditolak oleh rakyat. Komen saya terimakasih Alfadhil Ustaz Najib. Walau apa pun niat anda, mengingatkan tentang dosa dan pahala suatu yang baik.

Saya tidak bercadang untuk ulas satu persatu 7 dosa yang Najib tuduh itu. Cukuplah saya ulas satu atau dua dosa yang Najib katakan itu. Saya pun pelik bukan sahaja PAS dituduh berdosa malahan YB Tian Chua pun dituduh berdosa.  Bagi kita orang Islam dosa dan pahala ada kaitan dengan aqidah.

Jika orang Islam bersyahadah dan beriman dengan Allah yang Esa dan Hari Akhirat maka setiap kehidupannya tidak boleh lari dari dosa dan pahala. Adakah perlu kita 'mendosakan' orang bukan Islam jika syirik itu sendiri  mengharamkan mereka untuk mendapat pahala.

Maka adakah perlu Najib mendosakan Tian Chua? Tidakkah beliau terfikir Tian Chua mungkin mempunyai banyak lagi dalil untuk menuduh Najib dan Umno melakukan dosa ..mungkin lebih dari 7 sama ada 77 atau 777 atau 7, 777 dosa...Mana lebih teruk orang Islam tuduh orang bukan Islam berdosa atau orang bukan Islam tuduh orang Islam berdosa?

Dalil pertama Najib bagi menyokong teori beliau bahawa PAS berdosa adalah pendirian PAS bahawa tidak salah orang Islam menggunakan kalimah Allah. Bagi Najib pendirian PAS ini satu dosa. Apa dalilnya? Malangnya tiada sebarang dalil diberikan. Dengan lain perkataan ianya satu tuduhan kosong.

Kecetekan ilmu Najib sehingga beliau tidak sedar  teori beliau tersebut amat amat berbahaya. Hakikatnya tuduhan beliau bahawa PAS berdosa kerana benarkan orang bukan Islam guna nama Allah secara tidak sedar adalah tuduhan ke atas Allah dan Nabi Muhammad s.a.w  kerana Allah dan RasulNya tidak melarang bukan Islam gunakan nama Allah.

Sedarkah Najib di dalam Al-Quran Allah memberitahu kita "jika kamu (Muhammad) tanya mereka (orang-orang musyrikin) siapakah yang mencipta langit dan bumi nescaya mereka pasti akan kata Allah" ( surah al Luqman 31 : 25 ).

Dalam tafsir Al-Tabari, beliau menafsirkan kalimah "hum" (mereka) pada perkataan "wa lain saalta hum" (jika kamu tanya mereka) merujuk kepada "golongan musyrikin yang syirik kepada Allah dari kaum kamu wahai Muhammad.".

Jika Allah sendiri beritahu kita kaum musyrikin menggunakan kalimah Allah siapakah PAS untuk haramkan penggunaaan nama Allah oleh orang kafir. Siapa pula Najib nak kata PAS berdosa kerana mengambil pendirian seperti dinyatakan di dalam Al Quran iaitu bukan Islam sendiri gunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada Pencipta langit dan bumi.

Sedarkah Najib bahawa Rasulullulah sendiri dalam sulh al- Hudaibiyyah tidak melarang wakil kafir Al Quraisy, Suhail a Amr yang meminta digunakan kalimah "bismika Allah" (dengan nama Mu Allah) bagi menggantikan kalimah "Bismillahi al Rahman al Rahim" ( Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih).

Adakah kita pernah dengar para sahabat r.a katakan pada Nabi s.a.w (na'uzu billah) Nabi berdosa kerana benarkan kafir Quraisy guna kalimah Allah. Jika diikut logik Najib bukan sahaja PAS berdosa kerana ikut sunnah Rasulullah s.a.w bahkan Nabi Muhammad s.aw. , na'uzu billah, juga akan dikira berdosa oleh Najib dan Umno kerana membenarkan kafir Quraisy menggunakan kalimah Allah.

Najib perlu sedar Islam adalah asas perjuangan PAS. Tidak seperti Umno, rujukan utama perjuangan PAS adalah Al  Quran, Al Hadith, Ijma' dan Qiyas. Umno dan Najib perlu perhatikan arah perjuangan mereka sebelum menuduh PAS melakukan 7 dosa. Ya, PAS bukan sunyi dari dosa. Namun adakah Najib terlalu naif untuk berfikir rakyat mudah untuk percaya PAS melakukan lebih  banyak dosa dari Umno. Yang lebih malang tuduhan bahawa PAS melakukan dosa dibuat tanpa hujah atau dalil.

Jika PAS ingin mengikut rentak permainan Umno dengan memainkan isu dosa sudah tentu jauh lebih mudah untuk PAS menuduh Umno berbuat dosa berserta dengan nas naqli dan aqli.. Siapakah yang menzalimi rakyat Terengganu dan Kelantan dengan merompak wang royalti? Rompak wang royalti tidak berdosa kah? Siapa yang menzalimi pimpinan PAS di bawah ISA dan tidak berdosakah menzalimi rakyat dengan Akta zalim?

Siapakah  yang  mengaib dan memfitnah Anwar Ibrahim tanpa rasa berdosa dan dengan penuh berselera? Siapakah yang banyak menghina Islam dan hukum hakamnya dan tidak berdosakah hina hukum Islam?

Rasuah dalam pilihanraya dan pemilihan parti Umno sendiri tidak berdosakah? Menyalahguna wang rakyat seperti yang dilakukan oleh keluarga Shahrizat tidak berdosa kah? Terlalu banyak untuk disenaraikan di sini.

Nasihat PAS kepada Najib tidak perlulah bersusah payah tuduh PAS melakukan dosa dalam keadaan kamu sendiri berselirat dengan dosa. Cukuplah jadi bahan ketawa !!

Guna kertas undi ubah kerajaan – Ustaz Azhar

Aslani M, 22 Mac 2013

KOTA BHARU: Kata Ustaz Azhar Idrus lebih 100,000 berada dalam Stadium Sultan Muhammad Ke IV dan hampir 10,000 lagi di luar stadium, program Haflah Ilmu Anak Muda Kelantan malam tadi.

Situasinya memang begitu. Di atas padang penuh sesak dan tempat duduk di tangga stadium juga penuh. Sebahagian lagi berada di luar stadium.

Kenderaan diparkir hampir satu km dari stadium. Di kawasan pusat bandar penuh dengan kenderaan. Kenderaan diparkir di sepanjang Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Hospital dan Jalan Dusun Muda.

Lebih mengujakan lagi Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat datang dengan wayar di lengan, kembali seketika daripada hospital.

Dan selepas solat Maghrib dan bertemu dengan panelis program berkenaan Ustaz Azhar dan Ustaz Haslim Basrin, Menteri Besar masuk semula ke wad. Beliau dirawat sejak Rabu di hospital terbabit.

Hadir sama di stadium Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco, pegawai kerajaan dan Naib Presiden Ikram Malaysia, Wan Subki Wan Abdullah.

Program bermula dengan solat Maghrib berjemaah. Selepas solat Isya yang diimamkan Timbalan Menteri Besar, ditayang video tragedi yang menimpa umat Islam di Syria. Gambar disiarkan begitu menyayat hati penonton.

Kutipan derma malam tadi akan disumbangkan kepada rakyat Syria dan Palestin yang sedang menderita sekarang.

Beberapa petugas mengutip derma pada akhir program kelihatan memikul guni dipercayai duit yang disumbang lautan manusia.

Ustaz Azhar berkata, suasana yang hanya pernah disaksikan di Makkah sebelum ini di mana orang ramai memenuhi masjid untuk mencari ilmu juga berlaku di Kelantan.

Katanya, ketika kuliahnya di masjid di Wakaf Bharu orang ramai yang datang terpaksa menunaikan solat di tepi longkang.

“Malah di Masjid Kampung Sireh saya tengok dalam Youtube ada orang solat di celah pokok bunga di luar masjid kerana kerana keadaan begitu sesak.

“Oleh itu kita kena pertahankan kerajaan yang dipimpin ulama. Tak kan pula hendak tukar ulama yang memimpin sekarang,” katanya menjawab soalan Ustaz Syed Mohd Nor Hisyam Tuan Padang, yang bertindak sebagai moderator.

Beliau juga menjelaskan pandangan sesentengah pihak yang mengatakan kalau tidak sokong kerajaan nanti hendak makan apa, disifatnya boleh jatuh kepada perbuatan syirik.

“Orang yang tidak sokong kerajaan pusat pun makan nasi juga, bukannya makan skru. Kita hendak pilih kerajaan yang mampu memberi ilmu agama kepada rakyat.

“Ketua negara yang tidak berjiwa Islam, negara pastinya akan rosak. Jadi kita hendaklah menggunakan peluang mengubah kerajaan menggunakan kertas undi.

“Rakyat termasuk generasi muda akan lebih selamat sekiranya bernaung di bawah pemerintah yang menjaga agama,” katanya.

Ustaz Haslin juga menegaskan rosak rakyat jelata kerana diperintah oleh golongan pemimpin yang korup.

(Ikuti berita lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang).

PAS ajak rakyat sokong kempen Earth Hour

Salmiyah Harun, 22 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat mengajak rakyat Malaysia agar jangan lupa mematikan elektrik pada 23 Mac, esok selama satu jam bermula 8.30 hingga 9.30 malam sebagai sokongan kepada kempen Earth Hour.

Pengerusinya Zulkifly Mohamad Omar berkata, Earth Hour ialah program untuk menangani isu perubahan cuaca dunia, di mana sebanyak 7,000 bandar daripada 152 buah negara telah mengadakan sambutan setiap tahun yang dikendalikan Tabung Alam Sedunia (WWF).

"Mematikan lampu selama satu jam, atas kesedaran bertindak terhadap perubahan cuaca. Haba yang dibebaskan menyebabkan kecairan air akhirnya berlaku kenaikan paras air laut," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, gelombang haba atau 'heat waves' lebih panas di mana seramai 1,300 saintis di Amerika Syarikart telah menjangkakan kenaikan suhu pada abad seterus dari 2.5 ke 10 darjah fahrenheit yang menyebabkan kesan kepada hasil tanaman dan bekalan makanan dunia.

"Kekerapan banjir khususnya di pesisiran pantai, kekurangan sumber air bersih dan kemarau merupakan fenomena akan berlaku," katanya.

Justeru Lajnah Alam Sekitar PAS PUsat berharap supaya program hijaukan bumi dengan penanaman semula kawasan hutan yang diteroka, penggunaan bahan bakar dan tenaga dikawal dan diselia dengan baik.

"Sikap tamak haloba dan penebangan secara haram  hutan simpan boleh mengundangberlakunya pemanasan global," katanya.

Kempen ini bertujuan untuk menanam kesedaran masyarakat peri pentingnya penjimatan eletrik sebagai suatu cara menyelamatkan bumi ini. Menjimatkan eletrik bererti menjimatkan tenaga dan sekaligus akan menyelamatkan bumi ini.

Masyarakat dunia khususnya di bandar kurang peka terhadap penggunaan eletrik sehingga mereka menggunakannya 24 jam sehari tanpa henti yang dianggap sebagai suatu pembaziran tenaga.

Tujuh dosa besar kedua

Subky Latif, 21 Mac 2013
SAYA tidak hendak menyama dan membandingkan tujuh dosa besar yang dikatakan oleh Perdana Menteri Najib dilakukan PAS atau kerajaan Kelantan dengan hadis tujuh dosa besar yang baginda Rasulullah SAW sabdakan.
Tetapi dengan tujuh dosa besar yang najib timbulkan itu seperti adalah tujuh dosa besar selain dari disebut dalam hadith Rasulullah SAW itu.

Kupasan atas dosa besar yang Perdana Menteri sebut itu telah saya kupas di media ini sebelum ini.

Maka kali saya cuba kaitkan antara dosa besar yang baginda sebut itu dengan keadaan semasa di kalangan kehidupan kita.

Hadis Rasulullah SAW itu adalah tafsiran kepada firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 31 yang bermaksud: Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu dan akan Kami masukkan  ke dalam tempat yanag mulia (syurga).

Dosa-dosa besar itu seperti yang disebut Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Sulaiman bin Hilal, dari Tthaur bin Zaid, dari Salim Abil Mughith, dari Abu Hurairah bermaksud:  Jauhi tujuh hal yang membinasakan.
Beliau ditanya, Ya Rasulullah, apakah itu?
Beliau bersabda: Syirik kepada Allah, membunuh jiwa yang diharamkan Allah SWT kecuali dengan hak, sihir, memakan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan serta menuduh wanita mukminah yang baik-baik yang suci lagi beriman berbuat zina.

Kita biarkan ijtihad Najib tentang tujuh dosa besar. Kalau ijtihadnya moga-moga betul dia dapat dua pahala. Jika  tidak betul, nescaya dapat satu pahala. Tapi kalau dia kata-kata saja, biarkan dialah.

Jika kita lihat dosa besar yang Rasulullalh SAW siapkah antara kumpulan politik orang Islam yang lebih dekat dengan amaran hadis itu?

Pertama, syirik kepada Allah. Tiada diketahui ada yang menyembah berhala, menyembah pokok kayu, matahari, api dan lain-lain.  Tetapi mengenepikan peraturan dan undang-undang yang ditentukah  Allah seperti menolak hudud, mengambil peraturan selain dari yang ditentukan  Islam, boleh tergelincir ke jurang  syirik.

Adam dicipta untuk mentadbir alam dengan peraturan yang Allah tentukan. Dan yang berhak menentukan peraturan itu Allah saja. Apabila dipakai peraturan yang lain, maka ia memakai peraturan yang diipta selain Allah.

Kedua, membunuh jiwa yang diharamkan Allah. Tiada pemimpin PAS baik masih hidup mahupun yang sudah mati, ada dikaitkan dengan sebarang pembunuhan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini negara terus kecohkan dengan kejadian bunuh menjolok mata yang tidak  diselesaikan.

Ketiga, sihir. Tiada pertandingan sihir seperti di zaman Firaun. Tetapi amalan bertanya bomoh minta nasihat tentang tarikh pilihanraya dan minta bantuannya untuk menjadi calon adalah dekat  dengan kehidpan sihir.

Keempat, makan riba. Ia adalah amalan biasa yang tidak dicegah dan sekalian penduduk dibiarkan bergelumang dengan riba. Hanya kerajaan PAS Kelantan sebaik berkuasa 22 tahun dulu bertindak untuk mengeluarkan simpanannya dari bank riba, maka semua bank bertindak mengadakan kaunter perbankannya.

Kelima, makan harta anak yatim. Dalam royalti minyak yang dinafikan buat Kelantan dan rampasan di Terengganu, serta pendaratan minyak dibawa lari dari Kelantan termasuk rezeki anak yatim. Bukan sekadar hak rakyat dan negeri disapu, hak anak yatim ikut dilarikan.

Keenam, lari  dari peperangan. Kita belum ada pengalaman berperang yang mengarahkan semua orang tanpil. Pencerobohan di Lahad Datu sekadar lambat bertindak saja, belum lari.

Ketujuh, menuduh wanita baik berzina. Tuduhan kepada wanita seperti itu tidak kedengaran. Tetapi orang berzina memang banyak. Menuduh laki-laki tertentu berzina ada tetapi tidak pernah didakwa. Dakwa atas ikut budaya kaum Lut ada tetapi belum dapat disabitkan.

Kecurangan di atas tidak diketahui membabitkan kumpulan bersama Tok Guru Nik Aziz. Tetapi pihak lain bermacam-macamlah yang didengar.

Ada juga berita menghiburkan!

Ahmad Lutfi Othman, 22 Mac 2013
Mulanya saya sendiri turut bimbang kesan politik kes pencerobohan di Lahad Datu. Untuk pusingan pertama, Umno-BN seperti mendapat kelebihan. Tetapi begitulah ... tukang spinnya selalu bertindak keterlaluan.

Lihat saja komplot mereka untuk "mengenakan" Naib Presiden KeADILan, Tian Chua dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Ia ibarat gergaji bermata dua yang tajam. Walaupun diakui sindrom patriotisme bagai menolak Pakatan Rakyat ke penjuru kelam, namun "pencerahan" berjaya dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Rakyat, termasuk penduduk Sabah, mulai memahami isu sebenar, khususnya latar belakang terperinci,  yang berakar daripada kegagalan -- sebenarnya dosa-dosa besar -- BN. Tumpuan yang teralih sekejap perlu difokuskan semula, bukan saja kepada punca masalah konflik berdarah itu, tetapi juga terhadap krisis sebenar yang dihadapi negara.

"Krisis Sabah ini masalah BN, antara lain sebab rundingan MILF puncanya.Tetapi pemimpin Umno-BN rasa membesar-besarkan perang ini menguntungkan mereka dari segi undi. Aku rasa Pakatan perlu tumpukan kepada masalah sebenar rakyat dan keperluan Malaysia untuk berubah. Cukuplah BN," seorang pembaca menulis SMS, sambil bersetuju kad pengenalan Malaysia begitu mudah diberikan kepada orang luar di Sabah, dan ia turut menjadi "bom jangka" yang kini meletup.

Saya bertanya balik, pada pandangannya, apakah isu atau fokus yang perlu diberi perhatian pemimpin Pakatan?

"Saya rakyat biasa, hanya mahu Malaysia yang kaya ini ditadbir oleh orang beramanah, takut hisab Allah, gerun untuk makan duit negara. Saya dah pencen, biarlah dapat berehat dan melihat anak cucu hidup bahagia," dia menjawab dengan menelefon saya.

"Cuba sdr baca Sunday Star hari ini, bagus laporannya, bertajuk "What the people want". Harapan rakyat simple saja. Kita jijik dengan ahli politik yang mudah mabuk kuasa. Semua mahu dibedalnya, termasuk tender potong rumput dan papan tanda jalan. Belum lama dipilih wakil rakyat, gaya hidup berubah, tukar kereta mewah, bina istana, sdr tentu lebih arif.

"Ini antara isu paling asas yang dinilai rakyat," ujarnya, dalam nada penuh kelegaan, sebelum menamatkan perbualan ringkas.


Saya juga menerima banyak SMS emel kebimbangan hampir sama. Seorang daripadanya mengingatkan tentang komuniti imigran Filipina di Sabah yang menjangkau 800,000 orang. "Saya ada rakan, seorang profesional,  sudah lama berkahwin dengan rakyat Malaysia, tetapi masih tidak diluluskan permohonan kerakyatannya, walhal di Sabah, warga Selatan Filipina diberi IC begitu mudah, dan kini kita menerima padahnya."

Beliau sebenarnya lebih prihatin dengan suasana di Semenanjung kerana wabak hampir serupa berjangkit, walaupun hanya bertaraf pekerja asing, dengan jumlah yang ramai dan menyesakkan, daripada Myanmar, Indonesia, Bangladesh dan juga Vietnam.

"Mereka sudah lama menetap di sini. Belum dikira lagi yang datang untuk belajar, atas visa pelajar. Saya tidak percaya pihak berkuasa kita melihat isu ini serius. Saya syak banyak rasuah dan korupsi berlaku di pintu masuk negara sehingga Malaysia berlambak dengan warga asing,"

Walaupun saya menyiarkan pandangan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Zaini Othman, yang dikutip dari portal berita UKM, saya tidak menjangkakan begitu ramai pembaca yang teruja dengannya.

Mereka terkejut dengan pendedahan Zaini di wacana anjuran Institut Kajian Etnik (KITA), UKM pada 4 Mac itu.  "Pemimpin militan bersenjata di Lahad Datu itu, Agbimuddin Kiram adalah seorang pesara kakitangan kerajaan negeri Sabah yang pernah memegang jawatan Penolong Pegawai Daerah (ADO) Kudat.  Agbimuddin hanya boleh menjadi kakitangan kerajaan jika beliau warganegara Malaysia," tegas Zaini.

"Lebih mengejutkan lagi," tambah Zaini, "ada di kalangan penceroboh bersenjata itu sudah pun mendapat kerakyatan Malaysia melalui MyKad biru atau status pemastautin tetap di Lahad Datu dan Semporna. Apabila mereka mendarat di daerah Tawau dan memasuki perkampungan di Lahad Datu, mereka sebenarnya bertemu sanak saudara atau pulang ke rumah masing-masing."

Selain itu, saya turut tertarik dengan  penemuan pengkaji DAP, Ong Kian Ming mengenai rekod 57  pengundi meragukan di Kampung Labian, Lahad Datu, iaitu kawasan yang dicerobohi kumpulan bersenjata Sulu.

Beliau mengesyaki 57 nama tersebut adalah sebahagian daripada warga Filipina berketurunan Sulu yang didaftarkan secara tidak sah di bawah "Projek IC".

“Kita boleh lihat dalam lokaliti Kampung Tanjung Labian, yang merupakan satu daripada Kampung yang terjejas akibat pencerobohan di Lahad Datu. Ini  contoh bagaimana kita dapat lihat kesan Projek IC," ujar Ong.


Jumlah 57 orang itu merupakan sebahagian daripada kira-kira 60,000 pemilih meragukan di Sabah dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi suku pertama tahun 2012, katanya.

Sambil meneliti laporan Malaysiakini malam Selasa lalu, mata saya terpaku dengan dua berita tentang pelancaran buku biografi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

(Seingat saya buku sama, ketika itu belum siap dicetak, sudah dilancarkan (istilah lebih tepat, diperkenalkan) oleh Sultan Pahang, Disember tahun lalu, dengan penasihat penerbitannya, Dato' Ahmad Maslan).

Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyempurnakan majlis itu  mencadangkan agar buku biografi berharga RM150 itu diedarkan ke sekolah sebagai pedoman generasi akan datang. "Ini adalah buku yang baik untuk dijadikan pedoman generasi baru 100 atau 200 tahun akan datang," kata Dr Mahathir.

Penerbitnya, Yayasan Amanah Perdana, mempromosi buku itu sebagai penerbitan untuk membendung "penipuan dan cemburu" mengenai Rosmah.

Dalam buku itu, Rosmah menjelaskan bahawa beliau kelihatan mewah kerana memakai perhiasan yang dihadiahkan oleh para tetamunya, demi menjaga hati individu berkenaan.

Katanya, tidak manis sekiranya pemberian mahal ditolak, dan ia menjadi pembaziran sekiranya barang kemas tersebut, termasuk cincin, jam dan perhiasan diri itu disimpan dalam peti besi.

Sekurang-kurangnya dalam suasana politik dan keselamatan negara  kelihatan agak tertekan, berita Rosmah itu, bagi saya, menghiburkan! Dapat juga saya ketawa kecil sendirian terutama mengenangkan cadangan Dr Mahathir agar biografi "wanita pertama" itu menjadi bacaan pelajar sekolah!


II.

Ahad lalu, saya berkunjung ke Seremban, lebih tepat lagi Pejabat Perhubungan PAS Negeri Sembilan. Selain menyerahkan naskhah sisipan baru Harakah, Bangkit, untuk tujuan edaran secara percuma, saya bersama wartawan kanan, Aziz Muda, cuba menyelami situasi politik terkini di negeri yang menjadi rebutan sengit Pakatan Rakyat dan BN.

Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang dimenangi BN pada 2008 tanpa memperolehi majoriti dua pertiga jumlah kerusi Dun. Sesi perbincangan santai yang diketuai Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Taufek Abd Ghani, yang juga Adun Paroi, cukup selesa.

Berdepan Umno-BN, yang dilihat bertungkus-lumus membina imej mesra-rakyat khususnya melalui tajaan slot Buletin Utama TV3, dengan paparan menonjol Menteri Besar, Mohamad Hassan, ternyata Taufek dan rakan-rakannya telah membuat persiapan rapi, apatah lagi di kawasan pengundi Melayu di luar bandar dan penempatan Felda.

Dalam usaha PAS memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi Dun lagi, Taufek sendiri menghadapi cabaran besar apabila  tambahan pengundi baru di Paroi begitu tinggi.

Selain mengharapkan sokongan masyarakat Tionghua yang dikira bakal memberi sokongan bulat kepada Pakatan, pendekatan lebih terancang perlu dilakukan untuk meraih sokongan pengundi Melayu.

Taufek yang pernah meninjau pilihan raya Turki pada Julai 2011 atas undangan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan menekankan  bentuk kempen yang lebih kreatif dan imiginatif, dengan mementingkan mesej visual.

Beliau turut mengharapkan Bangkit dapat menyesuaikan persembahan lebih segar, terutama menyelitkan foto-foto menarik, dibantu grafik mudah.

Namun Taufek dan rakan-rakannya dalam PAS Negeri Sembilan, termasuk Setiausaha Perhubungan, Hassan Tambi sempat berkongsi kebimbangan melihatkan sikap agresif dan tidak bertamadun pihak tertentu yang merosakkan banyak billboard PAS, yang didirikan di lokasi strategi seluruh negeri.

"Bangkit perlu diedar terus  kepada pengundi. Kita akan pastikan petugas parti dapat melakukannya dengan sistematik, tertib dan berhikmah," kata Hassan. PAS Negeri Sembilan merupakan negeri paling awal membuat tempahan untuk mencetak Bangkit secara berasingan.


Nota: Sumbangan untuk menaja percetakan Bangkit boleh disalurkan terus kepada akaun Maybank KAMI MEDIA 514075606399.

Tiada ulasan: