Sabtu, 30 Mac 2013

TAKDIR DALAM GENGGAMAN ALLAH....INGAT!... JANGAN KITA MELAMPAUI BATAS SERTA ZALIM

Fokus PRU13: Parlimen Arau dalam genggaman PAS

Salmiyah Harun, 29 Mac 2013
ARAU: Parlimen Arau (P003) antara yang paling awal memutuskan calon-calon yang akan bertanding pada PRU13 nanti.

Pembahagian kerusi PAS ini sedikit sebanyak membuatkan Umno BN di negeri itu tidak senang duduk malah dimaklumkan mereka masih lagi bertelagah sesama sendiri untuk menentukan calon yang akan bertanding ekoran masalah dalaman Umno yang semakin kritikal.

Parlimen Arau mempunyai lima Dun iaitu N11 Pauh, N12 Tambung Tulang, N13 Guar Sanji, N14 Simpang Empat dan N15 Sanglang.

Pada PRU12, calon PAS, Datuk Dr Haron Din yang memperolehi 16,451 undi tewas kepada calon BN dengan majoriti hanya 300 undi.

Jumlah pengundi P003 pada PRU13 adalah 43,061 orang di mana pengundi kaum Melayu seramai 37,044, Cina (3,437), India (686), dan Siam (1,078).

Bagi mengetahui sejauh mana persiapan jentera PAS di Parlimen Arau, ikuti temubual wartawan Harakahdaily bersama Pengarah Pilihan Raya PAS Kawasan, Khairuddin Che Mat (gambar) yang ditemui di Pejabat MTD Simpang Empat,  baru-baru ini.

Sehingga hari ini, bagaimana persiapan jentera pilihan raya di peringkat kawasan Arau? Berapa peratus persiapan yang telah bergerak?

Pertukaran pengarah pilihan r
aya kerap berlaku, dan saya adalah pengarah yang keempat untuk tempoh ini.  Kali ini banyak kita gabungkan tenaga muda dengan tenaga veteran, seingga kini sudah 95 peratus persiapan yang dilakukan. Sekarang ini masuk ke peringkat memperkemaskan portfolio calon di mana akan digerakkan oleh kawasan masing-masing. Misalnya pihak pengurusan calon akan memberi taklimat kepada wakil calon, kemudian wakil calon akan bagi taklimat kepada pencadang dan penyokong . Seterusnya jawatankuasa logistik akan memanggil portfolio logistik di peringkat Dun. Bermakna di peringkat portfolio sudah bergerak bagi kawasan masing-masing. Macam media baru pun kita sudah gerakkan dan mereka berjalan dengan kumpulan merekalah, yang baru kita tubuhkan. Sekarang persiapan yang terkini kita sedang mempersiapkan video di mana video menjelaskan manifesto Pakatan Rakyat Perlis, video rayuan kepada pengundi-pengundi oleh calon-calon mereka antaranya rayuan untuk balik mengundi.  Kita juga akan memulakan ceramah berkelompok oleh calon-calon yang bertanding untuk menerangkan manifesto 7 agenda awal Pakatan Rakyat Negeri Perlis. Untuk di Arau calonnya Datuk Haron Din akan memanfaatkan perubatan Islam Darul Syifa' untuk berkempen pada PRU nanti.

Mengapa PAS Arau lebih teruja menggunakan media baru untuk berkempen adakah ini merupakan medium utama untuk menarik pengundi-pengundi muda?

Ya. Ini adalah antara sebab utamanya. Saya ingat penggunaan media baru ini akan mendapat sambutan khususnya kepada pengundi-pengundi muda. Misalnya kita sudah wujudkan laman Facebook Arau La Ni, baru seminggu kita tubuhkan. Nampaknya mendapat maklum balas yang baik oleh para pengundi muda.  Dan daripada sini kita akan kembangkan lagi misalnya kita cuba hidupkan suasana berkempen misalnya kita ketengahkan calon-calon untuk bercakap sendiri dengan para pengundi mereka. Malah video Arau yang kita muat naik telah disukai lebih 6,000 pengguna Facebook dan Youtube.

Dalam saat-saat genting ini, apakah isu-isu yang sering dimainkan oleh Umno BN dalam menyerang Pakatan Rakyat di Perlis khususnya di Arau?

Di sini isu yang sering dicanangkan oleh Umno BN adalah isu DAP (pemerintah). Apabila mereka masuk kampung akan bawa isu inilah. Umno BN akan mencanangkan apabila DAP menang dalam PRU ini mereka akan bergabung dengan MCA, dan Cina yang akan memerintah negara ini. Baru-baru ini saya ada jumpa Umno Padang Besar,  dan bertanya dengannya apa isu untuk Umno menghentam PAS mereka kata "kalau boleh biar PAS sebut Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri" Umno minta sebab mereka hendak buat isu untuk melagakan PAS dengan Anwar Ibrahim. Malangnya PAS tidak pernah menyebut perkara ini.  Jadi Umno mahu isu ini dijadikan umpan untuk mereka melaga-lagakan PKR dengan PAS.

Selain itu, isu yang lama masih lagi didendangkan Umno BN untuk meraih undi rakyat Perlis khususnya adalah isu fitnah Anwar iaitu liwat, di mana pendedahan bapa Saiful didakwa dibayar oleh Anwar, inilah yang sering dibawa dalam ceramah-ceramah Umno BN. Selian itu isu kalimah Allah dan pemberian BR1M, di mana Umno BN memutarbelitkan apa yang diungkapkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu dengan mengatakan Nik Abdul Aziz menghina penerima BR1M. Di sini kami menerangkan semula kepada pengundi-pengundi apa maksud sebenar yang hendak disampai oleh Mursyidul Am PAS.

Daripada isu-isu yang cuba dimainkan oleh Umno BN ini, sejauh mana ianya boleh mempengaruhi pengundi-pengundi di sini?


Isu BR1M memang terjejas bagi Melayu Perlis. Isu jawapan kepada Nik Abdul Aziz ini sukar untuk mereka fahamkan. Inilah yang dijadikan modal untuk Umno hentam PAS di pentas ceramah mereka, dan keadaan ini cukup mempengaruhi pengundi Melayu. Di sinilah peranan jentera PAS untuk menangkis tohmahan yang dilemparkan oleh Umno BN. Melayu Perlis ini susah untuk terima sebab 'termakan budi' banyak sangat. Kaum Cina...Insya Allah. Kaum Cina kita berani kata 50 peratus menyokong Pakatan
Rakyat.

Bergantung harap kepada undi Cina sahaja tidak mencukupi? Bagaimana PAS dan Pakatan Rakyat mahu memastikan kemenangan berpihak kepada PAS dalam PRU ini?

Pengundi muda insya Allah akan memihak kepada Pakatan Rakyat. Berdasarkan culaan kita 70 peratus pengundi muda memihak kepada kita manakala 100 peratus pengundi luar yang pastinya balik mengundi turut berpihak kepada PAS. Saya yakin. Sebab itulah kita dalam usaha untuk memastikan pengundi luar balik mengundi dalam PRU nanti. Sebelum ini, calon Parlimen Arau P003 Datuk Haron Din pernah menyebut pada PRU 2004 dia kalah dengan majoriti 3,000 lebih, PRU 2008 dia kalah majoriti 300 lebih, dan PRU13 dia akan menang. Bila dia cakap begitu kita kenalah bekerja kuat bagi memastikan kemenangan ini.

Isu 'pergaduhan' dalaman Umno BN membabitkan bekas menteri besar masih berlarutan, sejauh mana isu ini boleh memberi kredit kepada PAS dan Pakatan Rakyat?

Isu pergaduhan YB Tambung Tulang dengan YB Guar Sanji sehingga ada yang sanggup memberi upah ratusan ringgit untuk melakukan kekerasan, memandangkan YB Guar Sanji dikatakan memihak kepada Menteri Besar Perlis sedangkan kedudukan beliau hari ini hasil pelobian YB Tambun Tulang. Malah perkara itu dimaklumkan oleh YB Tambung Tulang ketika di dalam satu mesyuarat, semua orang tahu isu ini. Jadi inilah permusuhan diantara Umno BN sendiri sehingga menjejaskan proses untuk memilih calon di kalangan mereka bagi PRU nanti. Dan saya lihat PAS dan Pakatan Rakyat perlu mengambil peluang atas masalah dalaman Umno BN ini menjelang PRU ke-13 nanti. Sikap samseng di kalangan Umno BN tidak pernah berubah, misalnya apa yang berlaku belon panas yang dilancarkan PAS dua minggu lalu dikianati, mereka yang tidak bertanggungjawab memotong tali belon tersebut. Kita telah membuat laporan polis.

Bekas Ketua Pemuda Umno Gua Musang sertai PAS

M Faqih, 29 Mac 2013
GUA MUSANG: Ketika Datuk Seri Najib Razak masih lagi terkial-kial mengumumkan pembubaran parlimen, seorang lagi bekas ketua pemuda Umno bahagian meninggalkan parti itu.

Abd Aziz Awang, 55 melengkapkan senarai tiga bekas ketua pemuda Umno bahagian di Kelantan berhijrah daripada Umno.

Sebelum ini bekas Ketua Pemuda Umno Kelantan, Dr Zaiyadi Awang Noh dan bekas Ketua Pemuda Umno Bachok, Zulkifli Zakaria memulakan penghijrahan selepas lama berada Umno.

Abd Aziz mengetuai Pergerakan Pemuda Umno Gua Musang selama dua penggal, pernah juga dilantik Ketua Penerangan Pemuda Umno Kelantan.

Beliau mengambil langkah meninggalkan Umno selepas melihat parti Melayu itu tidak mampu lagi memakmurkan rakyat, di samping kepemimpinannya semakin lemah.

“Saya menerajui Pemuda Umno Gua Musang ketika era Saufi Deraman dan Tengku Razaleigh Hamzah menjadi ketua bahagian.

“Ketika penggal pertama saya menewaskan Adun Galas sekarang, Abdul Aziz Yusof dalam pertandingan tiga penjuru. Ketika itu saya masih ingat Aziz hanya dapat 11 undi.

“Kemudian selepas Tengku Razaleigh membubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno secara beramai-ramai menyebabkan Umno Gua Musang semakin kuat,” katanya di sini.

Ketika itu beliau juga bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir Kesedar dan pernah berkhidmat sebagai Pengurus Rancangan Pembangunan Kampung Baru di Manek Urai.

Bagaimanapun pada 1997 berhenti dengan Kesedar bagi memberi tumpuan kepada perniagaan.

Abd Aziz juga berkata, beliau mengambil langkah meninggalkan Umno selepas melihat pemimpin parti itu sekarang tidak mampu lagi membela agama Islam.

“Biar pun mereka bercakap mahu mendaulatkan Islam, namun dari segi tindak tanduk tidak mencerminkan ke arah itu.

“Banyak perkara mungkar dibiarkan begitu sahaja. Malah pengurusan ekonomi negara semakin lemah. Hari ini amat malang sekali rakyat Malaysia diketuai seorang perdana menteri yang tiada karisma.

“Banyak isu yang berlaku sekarang tidak mampu ditangani Presiden Umno. Sebab itulah beliau teragak-agak membubarkan parlimen biar pun sudah melebihi lima tahun mandat diberi rakyat,” katanya yang menyertai PAS baru-baru ini.

Menurutnya juga lebih ramai lagi ahli dan penyokong Umno di Gua Musang dijangka mengambil langkah serupa meninggalkan parti itu dalam masa terdekat ini.

Bagan Datoh: Sokongan Cina dari 30 ke 70 peratus

Muhammad Faizal, 29 Mac 2013
BAGAN DATOH: PAS kawasan Bagan Datoh berkeyakinan dengan peningkatan sokongan pengundi bukan Melayu sebanyak 60 hingga 70 peratus akan memastikan Pakatan Rakyat dapat menawan kerusi Parlimen Bagan Datoh dan juga kedua-dua Dun iaitu Hutan Melintang dan Rungkup.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Misbahul Munir Masduki ketika ditemui memberitahu bukan sahaja peningkatan sokongan yang diberikan oleh kaum Cina tetapi sokongan turut diberikan oleh kaum India.

"Sokongan rakyat begitu baik sekali terutamanya pengundi bukan Melayu dari kaum Cina, kalau 2008 kita hanya mendapat sokongan 20 hingga 30 peratus tetapi sekarang telah melonjak sehingga 60 hingga 70 peratus dan ini sangat membanggakan.

"Masyarakat India begitu juga, saya yakin dlm pilihanraya akan datang selain kerusi parlimen kita akan dapat mengambil kedua-dua kerusi yang ada di dalam Perliman Bagan Datoh," kata beliau kepada Harakahdaily sewaktu program jelajah Negara Berkebajikan di parlimen tersebut.

Beliau yang juga merupakan Yang Di Pertua (YDP) PAS Kawasan Badan Datoh turut menjelaskan persiapan jentera PAS sudah berada pada tahap yang paling maksima dan hanya menanti pembubaran parlimen sahaja.

Misbah dijangka akan  menyertai pilihan raya umum akan datang ini buat kali ke empat di DUN Rungkup. Sehingga kini, Jabatan Pilihan raya PAS Perak mensasarkan Rungkup sebagai salah satu dari 18 DUN yang disasarkan untuk menang dalam pilihan raya kali ini.

Selain DUN, PAS menjangkakan akan menang di empat Parlimen dalam pilihan raya kali ini iaitu tambahan kepada dua Parlimen yang dimenangi dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

Dalam pilihan raya ini, PAS menjangka akan bertanding 22 Dun dan dan tujuh Parlimen. PKR akan bertanding 19 Dun dan 10 Parlimen manakala DAP akan bertanding 18 Dun dan tujuh Parlimen di Perak.

"Kita sudah sampai ke peringkat paling kritikal dan bagi PAS kita berada pada persiapan yang paling maksima hanya menanti semboyan pilihanraya," katanya.

Menurutnya lagi,  PAS di peringkat kawasan memperkuatkan aktiviti dengan gerakan ziarah rumah ke rumah bagi bertemu pengundi.

Malah katanya lagi, sambutan yang diberikan oleh masyarakat Cina cukup baik.

"Kita jarang buat ceramah di markas-markas kerana kita tahu kalau buat di markas PAS yang hadir hanya ahli dan penyokong PAS sahaja.

"Kali ini kita lebih kepada gerakan ziarah rumah ke rumah bertemu pengundi, sambutan dengan pengundi cukup baik termasuk masyarakat Cina," jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, bagi masyarakat Cina tidak sukar untuk bersua muka dengan mereka, tetapi bagi kaum India agak sukar kerana mereka bekerja di estet dan tidak mempunyai masa, ada di antara mereka telah diugut, namun mereka tetap memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

"Walaupun sokongan Melayu meningkat sedikit sahaja tetapi sokongan bukan Melayu naik dengan mendadak.

"Bukan melayu bersedia untuk beri kemenangan kepada kita pada pilihanraya nanti," kata beliau lagi.

Beliau yang turut menyatakan tidak pernah timbul sebarang pergeseran dengan Barisan Nasional di Bagan Datoh dan jika timbul hanya melibatkan isu-isu kecil membabitkan bendera.

Katanya perkara tersebut diselesaikan melalui perbincangan dengan Ketua Kampung supaya menghormati demokrasi.

Risalah ‘Kenapa saya mesti tolak Umno BN’ diedar

Harakahdaily, 29 Mac 2013


KUALA LUMPUR: Gelombang Anak Muda Tolak Umno BN (Tolak) hari ini telah melakukan Speaker Corner penerangan kepada rakyat Malaysia khususnya di kawasan Kuala Lumpur tentang kesedaran mengundi dan menolak Umno BN dalam pilihanraya umum yang akan datang.

“Speaker Corner pada hari ini sengaja kita pilih untuk buat di Masjid Negara untuk mendekati masyarakat dan rakyat menerusi kempen-kempen penerangan demi suatu perubahan dalam pilihanraya umum yang akan datang,” ujar Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis, Ahmad Afif Zulkipli.

Katanya, Gelombang Tolak telah dilancarkan pada 15 Mac lalu di Bangunan Umno PWTC dan turut mendapat sokongan moral daripada beberapa NGO termasuk Royalti Kelantan, Anak, Himpunan Hijau Lynas dan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan sidang media yang kedua di KLSCAH pada 27 Mac lepas.

Dalam masa yang sama, katanya edaran 1,000 risalah ‘Kenapa Saya Mesti Tolak Umno BN’ berjaya diedarkan kepada masyarakat selepas selesai solat Jumaat di Masjid Negara.

Jelasnya, antara sebab Umno BN mesti ditolak yang terkandung dalam risalah tersebut ialah pengamalan politik lucah dan samseng, kos sara hidup rakyat yang tinggi, pengamalan rasuah dan kronisme dalam negara, menyekat kebebasan akademik unversiti, ketempangan sistem demokrasi dan pilihanraya, penafian hak rakyat seperti royalti rakyat Kelantan dan kegagalan mengangkat martabat kaum wanita.

“Kita harapkan maklumat kempen pada hari ini dapat disebarkan kepada seluruh masyarakat agar mereka dapat turut bersama dengan kita melakukan perubahan dalam pilihanraya yang akan datang,” katanya.

Pengerusi Tolak, Mohd Azan Safar pula berkata, untuk program berikutnya, mereka akan mengadakan konvoi berkenderaan sebelum memulakan siri jelajah Tolak Umno BN ke seluruh negara.

“Ini untuk memberikan kesedaran kepada rakyat di peringkat akar umbi di samping mengumpulkan tanda tangan sokongan rakyat untuk menolak Umno BN dalam pilihanraya umum yang akan datang,” jelasnya.

Bila BN sakit PAS juga yang kena rawat (Gambar)

http://naimnikmat.blogspot.com, 29 Mac 2013
http://sphotos-c.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-prn1/s480x480/644434_10152690393585594_433274324_n.jpg

Kerana Pakatan kuatlah BR1M rakyat dapat!!

http://atsixty-zakriali.blogspot.com, 29 Mac 2013
Chandra Lawan Tetap Lawan

Tiada ulasan: