Selasa, 19 Mac 2013

BAGAIMANA DOSA ISTERI TAK PAKAI TUDUNG DLL....TAKUT PADA IMAM2 BUAT APA...TAKUTLAH PADA ALLAH...SYURGA NERAKA ALLAH SWT TENTUKAN

PRU13: Hanya ‘ubah’ boleh banteras politik jijik

Harakahdaily, 19 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu menggesa agar rakyat bertindak untuk memurnikan budaya politik di Malaysia menjelang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13).

“Sehingga ini nampaknya pihak penguasa masih terus menyalahgunakan kuasa sewenangnya,” ujar Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tempoh pemerintahan sepatutnya sudah berakhir namun Perdana Menteri terus bertindak seolah-olah menjadi PM yang masih boleh mengguna peruntukan kerajaan dan mengumumkan perbelanjaan untuk meraih undi.

Malah, katanya PM dan timbalannya terus mengguna kedudukan mereka untuk berkempen agenda politik kepada kakitangan kerajaan dan premis agensi awam seperti di sekolah.

“ Teras berpendirian adalah tidak wajar politik negara ini dibiar berjalan seperti ini kerana antara isu yang terpenting perlu dijamin oleh rakyat ialah agar integriti penguasa akan terus dipantau dan dikawal oleh rakyat,” katanya lagi.

Justeru, katanya rakyat harus menganjakkan politik negara kepada tahap yang lebih matang kerana membiarkan ahli politik mengguna kuasa sewenangnya akan mendedahkan rakyat menjadi mangsa kepada politik sogokan yang merugikan generasi masa depan.

Tambahnya, dengan tempoh kerajaaan yang sah akan berakhir sekitar sebulan lagi, seharusnya mandat rakyat kepada kerajaan tamat dan rakyat harus menuntut supaya pilihan raya diisytiharkan segera.

Lebih malang lagi, ujarnya politik kotor dan lucah, manipulasi dan menyalahguna media massa milik awam  serta politik samseng termasuk mengguna agensi keselamatan dan institusi awam untuk berkempen membuktikan demokrasi di negara ini tidak wujud malah sedang menuju kepada politik autokratik.

Beliau berkata, beberapa perkembangan mutakhir lebih mencemaskan apabila tindakan politik kotor seperti mengedar video fitnah dan manipulasi berita secara bersifat palsu yang berniat jahat untuk menjatuhkan  politik lawan masih berterusan.

Malangnya, tambah beliau golongan ulama dari institusi penguasa tidak nampak mahu menegur amalan politik kotor seperti ini.

Bagi Teras, katanya manifestasi dari semua tindakan yang sangat jijik ini berpunca dari pernyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang dalam ucapan penggulungannya dalam satu perhimpunan agung Umno  bahawa Umno akan mempertahankan Putrajaya sehingga titisan darah terakhir.

Sebab itu, kata Mohd Azmi tidak menghairankan apabila banyak tindakan ganas dan politik biadap untuk mengekang kemaraan parti pembangkang dibiarkan berleluasa, malah insiden mengganas terhadap majlis pembangkang juga tidak diambil tindakan sebaliknya pihak pembangkang pula yang sering menerima tindakan dari pihak polis.

“Kali ini rakyat harus tahu bahawa politik seperti yang diamalkan oleh pihak penguasa perlu dibanteras dan hanya satu cara sahaja dapat dilakukan iaitu melakukan perubahan dalam PRU13 yang akan datang,” ujarnya.

Menurutnya, jangka memerintah selama 55 tahun nampaknya tidak membawa negara menuju kepada kematangan dalam berpolitik, sebaliknya membawa rakyat kepada fikiran politik yang sangat dangkal.

Penyokong saja tak cukup, jadi ahli PAS – Haron Din

Bashir Ishak, 19 Mac 2013
ARAU: Di sebalik keghairahan ramai orang yang berminat untuk menyertai PAS, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din sendiri menunjukkan teladan yang baik apabila beliau sendiri memastikan kaum keluarganya juga mendaftar sebagai ahli PAS.
Dalam ucapan beliau pada satu majlis di Dun Guar Sanji kelmarin, beliau memberitahu turut mengadakan satu gerakan untuk memastikan seluruh ahli keluarganya mendaftar sebagai ahli PAS.

Katanya, beliau sendiri mempunyai keluarga yang besar yang terdiri daripada 10 beradik dan setiap ahli keluarganya seramai 256 orang yang telah cukup umur telah didaftarkan sebagai ahli PAS.

"Saya buat satu gerakan supaya seluruh keluarga saya mendaftar sebagai ahli PAS. Keluarga saya besar, daripada 10 beradik dan seluruh anak, cucu, cicit dan menantu kami semuanya ada seramai 256 orang. Semuanya yang cukup umur dan bila kita semak semuanya adalah penyokokong PAS belaka.

"Mungkin sebelum ini kita terlepas pandang, ada yang belum menjadi ahli dan sekadar penyokong PAS sahaja. Setakat penyokong saja tak cukup, kena jadi ahli. Jadi semuanya 100 peratus sudah didaftarkan sebagai ahli PAS dan sudah diserahkan borangnya ke pejabat agung," jelasnya.

MB Terengganu takut kepada imam-imam masjid?

Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, 19 Mac 2013
Sikap ‘gelabah’ dan ‘ketakutan’ Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said terserlah sekali lagi apabila beliau bertindak mengecam imam-iman masjid yang dikatakan menyokong Pakatan Rakyat. Ketika berucap di majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Kemaman, beliau berkata perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana imam terbabit bertugas dengan kerajaan dan sepatutnya mengikut dasar kerajaan negeri. Beliau juga berkata, imam adalah orang yang  sepatutnya menjadi contoh dan jika mereka terpengaruh dengan sikap pembangkang seperti PAS, ia akan menjurus kepada lebih banyak perpecahan kerana parti itulah menyebabkan umat Islam berpecah-belah ketika ini.
Sehubungan dengan itu, beliau juga telah mengarahkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) agar mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana imam di bawahnya yang dikenal pasti menyokong pembangkang.  Beliau berkata; "Kita harap Maidam dapat ambil tindakan kepada imam yang terlibat…Imam yang bekerja dan mendapat gaji daripada kerajaan, dan pada masa yang sama menentang kerajaan dengan berceramah di pihak pembangkang, adalah satu perbuatan yang keterlaluan".

Amaran dan kecaman Menteri Besar Terengganu terhadap imam-imam yang tidak menyokong pimpinan beliau bukanlah suatu yang mengejutkan. Beliau juga kini dilihat terlalu gelabah dan amat bimbang dengan sikap ramai kalangan penjawat awam yang secara terbuka mengkritik kepimpinan beliau. Ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pegawai Tadbir Negeri (TCS) pada tahun lepas, beliau berkata; “Penjawat awam dilantik oleh kerajaan yang memerintah pada hari ini. Mereka perlu menghormati dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan tanggungjawab, bukan bertindak hentam kerajaan...dan wujudnya kerajaan hari ini adalah hasil kejayaan Umno/BN dan bukannya bergantung kepada mana-mana
pihak”.

Ya, memang menjadi etika setiap Penjawat Awam termasuk para Imam-imam dalam sistem demokrasi di mana-mana negara sekalipun agar mereka menjalankan tugas secara telus dan beramanah kepada ‘government of the day’ atau ‘kerajaan yang memerintah’. Akan tetapi, para-para Imam juga bertanggungjawab melaksanakan tuntutan ’amar makruf nahi mungkar’ dengan menolak kemungkaran, salah guna  kuasa dan rasuah lebih-lebih lagi yang dilakukan oleh mereka-mereka yang diberikan amanah untuk memimpin.
Namun yang lebih penting, mana-mana kerajaan yang memerintah tidak boleh sekali-kali memaksa mana-mana Imam dan Penjawat awam untuk menyokong dan mengundi mereka dalam pilihanraya. Mereka mempunyai hak dan kebebasan untuk memilih mana-mana parti dan wakil rakyat yang
diyakini boleh memimpin menjadi kerajaan. Ini adalah hak ‘berpolitik’ mereka yang tidak boleh diganggu-gugat oleh mana-mana pihak termasuk Menteri Besar sendiri.

Cuma di negeri Terengganu ‘Darul Iman’ ini,  timbul persoalan besar, apakah Imam-imam yang dilantik oleh kerajaan Umno/BN sahaja yang diminta untuk menjalankan tugas secara telus dan  beramanah? Bagaimanakah pula dengan pemimpin-pemimpin Umno/BN yang telah diberikan amanah untuk memimpin kerajaan Terengganu dan dilantik oleh rakyat setiap empat atau lima tahun melalui peti undi dan pilihanraya? Apakah mereka juga tidak terlepas daripada menjalankan tugas dengan telus dan beramanah?

Di Terengganu, semua kalangan kini sedang menilai dengan teliti corak kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said serta kerajaan Umno/BN yang memerintah. Setiap Imam dan Penjawat Awam Terengganu mampu membuat pertimbangan dengan jelas prestasi dan legasi kepimpinan Menteri Besar Ahmad Said dan kerajaan Umno/BN yang memerintah sekarang.

Lihat sahajalah bagaimana kehidupan golongan rakyat bawahan yang rata-rata miskin dan hidup bergantung kepada ‘subsidi’. Sebaliknya hasil kekayaan Terengganu banyak mengalir kepada mereka yang berkepentingan dan pembaziran yang amat ketara. Sebagai contohnya, pembangunan ‘tempang’ yang hanya mementingkan ‘untung’ semata-mata telah mengakibatkan satu demi satu perkampungan tradisi masyarakat Melayu di bandar seperti di Tanjung, Paya Keladi, Ladang dan kini di Cabang Tiga hilang dalam sekelip mata. Rasuah dan salah-tadbir juga telah mengakibatkan Stadium Sultan Mizan yang bernilai hampir RM300 juta runtuh dan tidak dapat digunakan sehingga sekarang.

Begitu juga dengan perbelanjaan tahunan di bawah kepimpinan Menteri Besar Ahmad Said yang dilihat ‘berbelanja mewah’ dengan perbelanjaan tahunan memelihi RM2 bilion setiap tahun. Apakah bajet besar ini telah banyak memberi manfaat kepada rakyat Terengganu yang rata-rata miskin dan masih mengharapkan bantuan kebajikan dann dana khas? Pada waktu yang sama mereka-mereka yang miskin ini juga terpaksa menanggung bebanan kos kehidupan harian yang amat memeritkan mereka dan keluarga.

Ya, setiap empat atau lima tahun ‘rakyat’ yang akan menjadi penentu. Pilihanraya dan demokrasi jugalah yang akan menentukan siapa dan parti manakah yang akan memegang tapuk pemerintahan negeri Terengganu ‘Darul Iman’ ini. Saya yakin setiap penjawat awam termasuk imam-imam yang
mempunyai sifat terpuji seperti amanah dan bertanggungjawab tidak akan menyokong dan memilih mereka yang korup, angkuh, bobrok, dan rakus dalam kepimpinan dan pentadbiran mereka.

Penulis ialah Penolong Setiausaha Agung PAS merangkap Adun Batu Burok.

Najib kata PAS buat tujuh dosa

Subky Latif, 19 Mac 2013
DALAM usahanya untuk melucutkan kerajaan PAS Kelantan selama 22 tahun itu, Perdana Menteri Najib menyebut bahawa PAS telah melakukan  tujuh dosa.
Oleh itu rakyat mesti menghukumnya, jatuhkan kerajaan PAS Kelantan itu!

Yang dikatakan dosa itu tidaklah sekadar dosa politik atau dosa pada orang Melayu. Tetapi dosa yang dipercayai tercatit  dalam buku amal seseorang di Mahkamah Rabbul Jalil.

Dosa PAS itu tidak disebut lima atau enam. Tidak dikatakan sepuluh atau sebelas atau seterusnya. Ia dikatakan tujuh. Ia  sama dengan jumlah tujuh dosa besar yang disenaraikan oleh Islam.

Apabila ia disebut tujuh dosa, maka dosa PAS itu adalah sama denga dosa besar yang Nabi Muhammad SAW sampaikan kepada umatnya.

Dosa besar yang baginda beritahu itu, bukanlan saja-saja baginda sebut atau ia hasil dari kaji selidik baginda atau pengamalannya. Semua yang baginda sabda, buat dan amalkan adalah dari wahyu Allah. Tidak ada yang bersumber dari baginda itu bukan wahyu.

Dosa besar yang baginda gariskan itu adalah bagi menyatakan hukum sebagai panduan semua orang. Jika buat apa yang termasuk dalam dosa besar itu, maka orang itu melakukan dosa besar. Dan barang siapa mengekalkan dosa kecil, tidak bertaubat, maka ia sama dengan  satu lagi dosa besar.

Ada pun orang yang melakukan dosa besar itu, dirasakan berdosa dari apa yang dilihat. Sah atau tidak dia sudah berdosa besar hanya Allah yang menentukan. Orang biasa tidak boleh mengatakan sah dia berdosa di sisi Allah.

Nabi Muhammad SAW boleh memberi tahu penghuni kubur itu berdosa dan yang lain tidak berdosa kerana kesalahannya kerana baginda mendapat wahyu mengenainya.

Ada orang yang berhijrah bersama baginda tidak dapat pahala dan ada yang dapat pahala bergantung kepada niatnya. Yang mana satu yang tidak berpahala kita pun tidak tahu.  Umumnya orang yang berhijrah itu dapat pahala, maka kita kira mereka mendapat pahala. Yang tidak dapat pahala itu kita tidak  tahu siapa. Allah saja yang tahu.

Kalau kita tuduh kerajaan rasuah dan ada orang terlibat dalam pembunuhan, maka tidak dapat menjatuhkan hukuman sendiri melainkan ia ditentukan oleh mahkamah. Yang boleh kita buat ialah minta ia disiasat dan didakwa atas perbuatannya. Selagi dia tidak didakwa dan tidak disabitkan oleh mahkamah, tidak boleh kita katakan dia sudah bersalah.

Dalam kes mengambil untung  sampai RM500 juta dalam pembelian kapal selam Perancis, kita tuntut kerajaan mendakwa orang yang disyaki apakah betul atau tidak. Sah tuduhan atas seseorng itu bila dia didakwa dan dijatuhkan hukum. Apabila dia tidak didakwa, tidak  dapat disahkan dia bersalah atau tidak. Cuma kerajaan yang tidak mendakwanya memikul beban dosanya.

Apa keistimewaan Najib untuk menjatuhkan PAS dengan tujuh  dosa yang dikatakannya? Dari mana  dia tahu sah dosa PAS itu sedang dia tidak ada wahyu seperti para nabi?

Najib adalah orang yang berkuasa. Dia boleh dakwa PAS dengan dosa-dosa yang dikatakannya di mahkamah kalau dosa itu mengenai dunia dalam sebuah negara sekular. Dan kalau yang membabitkan syarak boleh diadukan kepada mahkamah syariah.

Mengapa dia tidak dakwa PAS atas tujuh perkara yang dikatakan berdosa itu? Mana boleh dia sendiri membuat hukuman. Apakah di sisi Allah orang yang melakukan tujuh dosa besar itu sah atau tidak hanya Allah yang tahu. Tetapi mahkamah diberi kuasa menghakimkan pihak yang dituduh.

Najib dengan ini menghukum PAS tanpa dakwaan, dan seolah-olah dia tahu kedudukan PAS itu di sisi Allah seperti yang diwahyukan kepada sekalian nabi. Jangan Najib  sampai dilihat begitu.

Tiada ulasan: