Ahad, 31 Mac 2013

JADILAH KITA CERDIK DAN JANGAN DIBODOHKAN ORANG YANG KAKI TIPU ....TIPU DAH PUN TERBUKTI

Rakyat Kedah tanggung dosa BN

Harakah, 30 Mac 2013
ALOR SETAR: RAKYAT Kedah terpaksa menanggung dosa dan kegagalan Umno-BN semasa mereka memerintah kerajaan negeri selama puluhan tahun akibat pelbagai penyelewengan yang dilakukan.

Berbanding kononnya orang PAS yang berserban dan berketayap dianggap tidak tahu memerintah, daripada rekod yang diakui Ketua Audit Negara, selama lima tahun pemerintahan Pakatan Rakyat di Kedah membuktikan ia jauh lebih baik berbanding dengan pemerintahan kerajaan Umno-BN lebih 50 tahun.

Demikian kata Datuk Seri Diraja Azizan Razak dalam wawancara dengan Harakah baru-baru ini.


Ikuti laporan khas mengenainya dalam Harakah cetak mulai esok.

Dalam Pakatan Rakyat, rakyat berfikir...

Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz, 29 Mac 2013
Dia tanya, "Ustaz, lepas PRU13 nanti, jika kita diberi kemenangan bersama dalam PR, apa yang kita harus lakukan?"

Saya jawab, pecahkan liur, "Kita memerintahlah."

Dia kata, "Tapi, rasanya payah untuk kita jadi PM. DAP dah setuju untuk Anwar jadi PM."

Saya jawab, "Kita pergi kepada yang mudah dulu. Kita jadi TPM. Bila yang payah tu jadi mudah, kita jadi PM."

Dia sinis, "Bilalah DAP nak setuju PAS jadi PM?!"

Saya jawab, "Bila PAS berjaya yakinkan DAP. Kita dah pun berjaya yakinkan mereka untuk bersama. Mereka pun dah yakinkan kita."

Dia tambah, "Nampaknya PAS akan bertarung terus dengan PKR berebut PM."

Saya jawab, "Tidak. Rakyat akan marah jika begitu. PM PR bukan seumur hidup macam PM BN. Rakyat akan pilih PM terbaik dari parti terbaik. Jika PM pertama dari PKR, mungkin PM kedua dari PAS."

Dia sinis, "Nampak saja mudah ustaz, tapi payah."

Saya jawab, "Kita fikir yang mudah-mudah dulu. Kalau fikir yang payah, nanti umno BN tak tumbang nanti. Nak?

Dia jawab, ketawa, "Haha, ngeri!"

Dia tanya lagi, "Macam mana kita nak laksana Islam jika kita tak jadi PM?"

Saya jawab, "Yang jadi PM tulah yang laksana Islam. Kita jadi pembantu. Pembantu nombor satu."

Dia mula pesimis, "Bila pulak Anwar janji nak laksana Islam? Dia pun nampak pelik kenyataan-kenyataan dia pasal Islam."

Saya jawab, "Tapi dia tak pernah kata tolak Islamkan? Bahkan dia puji. Cuma, dia hanya syarah Islam cara dia fahamlah. Itu dah baik. Jauh meninggalkan umno-BN di belakang."

Dia desak, "Macam mana jika dia tipu. Ustaz tahu, orang politik bila dah ada kuasa, mulalah tipu sana tipu sini."

Saya jawab, "Orang Islam, macam orang lain juga, biasa je kena tipu. Cuma, tak boleh kena tipu dari lubang yang sama berulang kali. Yang pasti, umno dah berulang kali tipu."

Dia tanya, "Ustaz tak takut PAS kena tipu?"

Saya jawab, "Takut."

Dia tambah lagi, "Lepas tu?"

Saya jawab, "Takut melahirkan hati-hati. Hati-hati adalah sifat setiap mukmin dan setiap gerakan Islam. Jadi, PAS berhati-hati. Semua parti politik yang berhati-hati adalah betul."

Dia tukar gear, "Ustaz, bagaimana hudud. PAS nak teruskan?"

Saya jawab, "Itu agenda Islam. Hudud adalah bahagian kecil daripada bahagian-bahagian Islam yang luas. Meninggalkan sebahagian dan ambil sebahagian adalah umno."

Dia tekan minyak, "Macam mana nak buat? Kita dalam PR. PR tiada agenda hudud."

Saya jawab, "Yalah. Hudud itu agenda PAS. Memanglah bukan agenda PR. DAP dan PKR pun ada agenda mereka yang bukan agenda PR."

Dia hembus nafas mengeluh, "Nampaknya, lambat lagi la hudud nak jalan."

Saya kata, "Lambat tu masa umno memerintah. Masa kita memerintah, masa semakin dekat."

Dia berminat, "Boleh ustaz terangkan panjang-panjang sikit, bagaimana?"

Saya terangkan, "Bila menang dan memerintah nanti, halangan lama buatan umno akan terungkai. Kebebasan mengambil tempat. Rakyat akan mendengar dari semua dengan adil. Suara dakwah semakin meluas. Ilmu dan hujah Islam akan berkumandang.

"Qudwah akan memimpin menggantikan janji dan kata. Keindahan Islam semakin dilihat. Amar makruf nahi munkar akan bergerak dalam masyarakat Islam.

"Keadilan menjadi desakan ke atas pemerintah. Kezaliman akan diburu sehingga ke lubang cacing. Kepimpinan khianat akan diganti dengan mudah. Rakyat mencintai kebenaran melebihi cinta mereka kepada pemerintah.

"Baik, saya mahu tanya, masa itu, apa halangan untuk rakyat yang telah melihat keindahan Islam dan qudwahnya untuk tidak mengundi Islam yang syumul, termasuk hudud? Bukankah umat Islam dijamin sebagai umat yang menjadi saksi untuk Islam dan Allah? Melayu bangkit kerana Islam. Melayu rebah, tanya sama Umno, kenapa?"

Dia diam seketika, kemudian senyum, "he he.. saya fikirkan.."

Saya kata, "Dalam PR, rakyat berfikir. Dalam BN, rakyat jadi fakir."

http://www.tarbawi.my

Masyarakat India sokong perjuangan PAS

http://greenboc.blogspot.com, 30 Mac 2013

Masyarakat keturunan India yang beragama Hindu sudah memahami perjuangan PAS dan mereka tidak segan silu menyatakan sokongannya terhadap parti itu secara terang-terangan seperti gambar di atas.

Sungguh memalukan apabila Zul Kulim mengeluarkan kenyataan yang telah menghina penganut ugama Hindu. Ia amat mencemarkan agama Islam yang tidak mengizinkan kita untuk mencemuh agama lain. Ia melambangkan sikap sebenar manusia-manusia di dalam NGO pro-UMNO yang bernama PERKASA itu sebagai sebuah kelompok ektsreme dan bersifat assabiyah.

Gambar-gambar ini memaparkan masyarakat kaum India khususnya penganut Hindu menyokong perjuangan PAS yang tidak ekstreme seperti parti Melayu yang satu lagi itu. Orang India di negara ini semakin faham bahawa PAS di bawah kepimpinan ulamak memperjuangkan kebenaran dan keadilan untuk semua.

PAS FOR ALL











# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Cadangan untuk PR jika menang

Syed Abdullah Syed Osman ,
Alhamdullillah, nampaknya dengan tarbiah dan kesedaran ummah serta kekuatan kumpulan dakwah para ulama yang benar-benar mahukan Islam ditegakkan di negara ini maka berlakulah apa yang dikatakan mengembalikan hak-hak Islam kepada asalnya. Walaupun baru dianggap asasnya sahaja tetapi sudah ada kesedaran apabila ramai wanita Muslimin kini sudah menutup aurat dan tidak ada lagi pekerja beragama Islam di tempat-tempat premis perjudian atau menjadi tauke judi.

Kita mesti memperjuangkan pula hak-hak pekerja yang berkerja sebagai pramugari dan pramugara yang beragama Islam. Mereka bukan sahaja kena berpakaian menjolok mata dan tiada ciri-ciri Islamnya, tetapi juga mereka dikenakan membuat kerja-kerja saperti melayan pelanggan dengan minuman arak semasa penerbangan. Begitu juga ada antara pekerja wanita yang berkerja di hotel bertaraf lima bintang dan restoren makanan segera diwajibkan memakai pakaian seragamnya yang tidak menutup aurat.

Saya juga mencadangkan supaya tiap-tiap pintu masuk hotel di negara ini diletakkan tanda amaran bagi umat Islam yang menginap di situ untuk tujuan maksiat akan dicekup dan dihukum mengikut perundangan Islam. Tanda amaran itu juga wajar ada di semua taman bunga dan taman rekreasi.

Adalah dicadangkan juga agar kaki tangan yang akan diambil bekerja dalam perkhidmatan awam akan diuji dengan soalan berkaitan dengan agama yang asas saperti berkaitan dengan fardhu ain dan sekurang-kurangnya boleh pula membaca ayat-ayat lazim yang mudah dan ringkas dari al-Quran. Tujuannya adalah untuk memastikan pekerja dari kalangan umat Islam itu sekurang-kurangnya tidak terlalu jahil agama dan tahu garis panduan di mana halal haramnya.

Andai itu Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

Suhaimi. A,
Lebih lima puluh tahun Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) memerintah memperlihatkan keangkuhan mereka sebagai rejim yang mempunyai kuasa raksasa. Memang lumrah alam, jika dilihat sejarah sekalipun bagi mana-mana tamadun yang terlalu lama diperintah oleh satu pihak akan hancur dek keselesaan yang dinikmati.

Catatan ini ditulis rentetan daripada tulisan sebelumnya berkenaan dengan nasib gerakan mahasiswa lebih-lebih lagi setelah pengumuman dibuat oleh Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13).

Sebelum ini saya pernah menulis artikel berkenaan dengan sikap Solidariti Mahasiswa Malaysia yang seolah terlalu dahaga akan politik – kekuasaan. Apabila pengumuman untuk bertanding dibuat, pada realitinya ramai pihak tidak bersetuju. Maka, saya melihat tindakan tersebut langsung tidak mewakili suara mahasiswa bagi menghadapi Pilihan raya terpenting ini. Malah, tidak keterlaluan saya katakan ia merupakan keputusan ‘poyo’, populis, dan ‘syok sendiri’.

Bagaimana SMM bermula?

Sejarah tidak menipu dan sejarah itu guru bagi mereka yang ingin menilainya secara sedar dan bersedia untuk muhasabah tentang pergelutan masyarakat sebelum ini.

Saya pasti jika saat catatan ini dibaca oleh pimpinan atau pengikut setia SMM sendiri, berapa ramai sahaja yang dapat menjelaskan secara jelas asal usul SMM? Bagaimana ia bermula? Bagaimana terciptanya nama SMM?

Jika diselak kembali, SMM tertubuh tanpa sebarang campur tangan PAS, Abim, Jim, DAP apatah lagi Umno.

Sebenarnya, sebelum wujud SMM sudah ada satu gerakan mahasiswa yang dinamakan Majlis Pelajar Malaysia (MPM) yang wujud sekitar tahun 2000 bagi menyatukan persatuan pelajar ; PKPIM, Dema, Gamis, Gemalang, Isrec dan lain-lain pertubuhan ketika itu.

Saat ini MPM bangkit sebagai badan mahasiswa yang banyak memperjuangkan isu rakyat. Namun begitu, pergerakan MPM yang dilihat progresif cuba dipatahkan oleh pemerintah dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi apabila tertubuhnya Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Tidak tahu di mana silapnya gerak kerja MPPK terus berjalan manakala MPM mati begitu sahaja. Apa yang hendak disampaikan di sini ialah MPM adalah gerakan mahasiswa pertama yang ditubuh tanpa percaturan mana-mana parti politik dan ‘brader’ NGO.

Jika dilihat, Karisma boleh dikatakan sebagai adik JIM, PKPIM itu adik Abim, Gamis adalah adik PAS. Tetapi, SMM adalah idea dan cetusan mahasiswa sendiri tanpa campurtangan mana-mana pihak. Sama juga seperti MPM. Berapa ramai pemimpin dan pengikut SMM yang tahu?


SMM Bermula di New Era College, Kajang

Menurut catatan saudara Ali Bukhari Amir, seorang penggerak Sekolah Pemikiran Kampung Baru (SPKB), SMM bermula sekitar tahun 2004 dan 2005 di New Era College, Kajang. Maka, ketika itu mahasiswa merasakan bahawa perlu diwujudkan satu badan bagi menggabungkan tenaga seluruh persatuan pelajar.

Maka, siapakah antara penggeraknya ketika itu? Mereka adalah mahasiswa yang kini banyak berkecimpung dalam Parti Keadilan Rakyat. Antara mereka adalah Ginie Lim, Gan Pei Nei, Soh Sook Hwa dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Projek ini hakikatnya menyatukan golongan islamis dan sosialis. Walaupun berlaku banyak pertempuran, mereka masih berusaha untuk bertolak-ansur dan mencari titik persamaan walaupun berbeza fahaman dan cara berfikir.

Mana pula datang nama SMM? Menurut catatan tersebut, sebelum mahasiswa-mahasiswa itu hadir ke New Era College. Mereka telah mengadakan satu pertemuan tidak rasmi di warung bagi memikirkan nama pertubuhan baru itu. Antara yang hadir adalah Saudara Amin Iskandar atau ‘Black’ yang kini bersama ‘The Malaysian Insider’ serta pertubuhan rakyat.

Beliau mencanangkan nama Solidariti Mahasiswa Malaysia. Sambil menghisap rokok, beliau bertanya balik ; “Apa solidariti ini dalam Bahasa Melayu?”

Mungkin agak sukar bagi semua mengintepretasikan makna ‘Solidariti’ ketika itu. Maka, nama tersebut kekal sehingga hari ini.

Nah, berapa orang pimpinan dan mahasiswa yang tahu?


SMM bersama denyut nadi mahasiswa dan rakyat

Saya mengakui sumbangan yang pernah dibuat oleh SMM. Secara peribadinya, apabila menyingkap kembali sejarah yang lama-lama, saya begitu kagum dengan aksi dan kenyataan SMM yang begitu lantang, berkuasa dan menyiat-nyiat jantung.

SMM begitu cakna dalam segala isu, dari isu kampus hinggakan kepada isu-isu besar rakyat. Lihat sahaja susur galur perjuangan SMM ketika membebaskan Kampung Baru, Kuala Lumpur. Selain itu, mereka jugalah yang memeriahkan demonstrasi bagi mempertahankan Surau Al-Falah yang bakal dirobohkan oleh DBKL dan bermacam-macam lagi.

Pendek kata, pergerakan dan tindakan anak-anak muda inilah yang menjadi inspirasi kepada rakyat dan anak muda lain bagi meneruskan ‘survival’ bagi melawan rejim.

SMM pada hari ini

Walaupun saya tidak berjalan sebaris dengan figura dan aktivis pujaan seperti Syukri Razab, Safwan Anang, Adam Adli, Ekhsan Bukharee mahupun Syis Abdul Kadir. Tetapi, sebagai rakyat yang mendukung perlembagaan dan hak asasi. Maka, wajar bagi saya bercakap benar dan perkara yang haq.

Melalui zaman Saudara Shazni Munir, kita melihat SMM agak progresif. Seterusnya di zaman Saudara Syukri Razab tidak keterlaluan saya katakan bahawa ia adalah zaman gemilang dan terbaik yang pernah dilalui oleh SMM.

Momentum SMM dilihat begitu padu apabila berdepan dengan isu penggantungan Prof. Aziz Bari seterusnya menggerakkan gerakan kebebasan akademik dibawah Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) di bawah pimpinan Saudara Safwan Anang.

Turunnya bendera Najib Razak oleh Adam Adli adalah simbol protes anak muda serta menjadi inspirasi bagi melawan rejim yang nyata. Gerakan ini mencetuskan kesedaran yang begitu memberi impak dan menongkah kelesuan sebelum ini.

Namun begitu, ia tidak lama. Setelah melalui beberapa isu sejujurnya saya katakan pergerakan SMM semakin lesu, tidak bertenaga dan tidak relevan. Lebih tepat saya katakan sudah hilang arah seperti yang saya catatkan sebelum ini.


PRU13

Menjelang PRU13, SMM mengambil langkah untuk menubuhkan GM13 dan mengambil keputusan untuk bertanding di Pekan. Sebagai pemerhati, walaupun tidak bersetuju saya masih meraikan tindakan ini sebagai kebebasan dan hak asasi.

Namun begitu, tindakan selepas itu menjadikan lidah saya semakin kelu untuk bercakap mengenai SMM. Ramai mahasiswa di sana yang sudah bangkit dan sedar. Mereka mula ingin bersama dengan gerakan mahasiswa bagi melakukan aktivisme. Namun, disebabkan tidak bersetuju dengan SMM. Mereka menolak untuk bersama.

Saya melihat SMM pada hari ini berbeza dengan SMM era sebelumnya. Mungkin benar kata orang lain pemimpin lain acuannya. Tetapi, pergerakan SMM pada hari ini langsung tidak relevan dan tidak mencerminkan idealisme dan intelektual mahasiswa.

Idealisme menurut Syed Hussin Al- Atas adalah ‘Cita Murni’. Mahasiswa adalah golongan terpelajar yang kaya dengan ilmu pengetahuan. Tetapi, apa yang saya lihat hari ini SMM bertindak seolah tidak berfikir. Sebab itu saya tekankan sebelum ini. SMM sudah hilang arah!

Lihat sahaja program sudut pidato, bertanding PRU, Occupy RTM dan lain-lain. Pergerakan seperti itu hakikatnya langsung tidak mencerminkan kecerdikan pimpinan mahasiswa. Momentum ketika bergerak ‘bebas’ dibawah nama kebebasan akademik dahulu seolah sudah hanyut di Laut China Selatan.

Mood mahasiswa sudah berubah

Hari ini, masyarakat dan mahasiswa sudah makin sedar. Konsep pencerahan yang dibawa sebelum ini begitu menusuk ke jantung setiap rakyat.

Konsep ‘politik radikal dan langgar’ tanpa berfikir sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Ini bukan zaman Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali mahupun Hishamuddin Rais. Pergerakan masyarakat sivil akan berubah setiap zaman.

Lihat sahaja penjelasan filasuf Jerman Immanuel Kant dalam karya agung What is AufKlarung? (Apa itu pencerahan?) ada menjelaskan bahawa setiap zaman akan wujud pelbagai persoalan supaya muncul gerakan pencerahan. Sebab itu moto idea tersebut adalah ‘Sapere Aude’ atau ‘dare to know’.

Tetapi, masalahnya sekarang adalah tidak ada sesiapa yang berani mempersoal. Saya pasti!

Ya, saya pasti! waima  persatuan dalam SMM sendiri ada yang ‘simpan dalam’ ataupun takut untuk menyatakan pendirian tentang hal ini.

Justeru, menjelang PRU13 yang getir ini saya berharap supaya mahasiswa seluruh Malaysia berfikir semula arah tuju yang patut dibawa. Tidak kira pimpinan atau fron-fron dalam SMM, kalian tidak perlu melatah. Ini adalah proses menjadi dewasa.

Namun, jika pergerakan sebegini yang diteruskan.

Maka, saya seru mahasiswa mengenang kembali kata aktivis terkenal Indonesia Soe Hok Gie , “Lebih Baik diasingkan daripada menyerah kepada kemunafikan”.

Mahasiswa UiTM

Bapa bantah MUET ada tarikh luput

Bapa Prihatin,
Assalamualaikum,

Saya sebagai seorang bapa, baru-baru ini dikejutkan oleh keputusan pihak Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang telah mengeluarkan pekeliling bahawa sesiapa (pelajar) yang telah mengambil MUET sebelum tahun 2009 perlu mengambil peperiksaan semula.

Ini menunjukkan bahawa ianya mempunyai tarikh luput. Apakah relevannya semua ini? Adakah berunsurkan wang semata-mata?

Bukankah pihak MPM sendiri berperanan untuk memartabatkan mutu pendidikan di Malaysia? Tambahan pihak pembangkang sendiri telah mewar-warkan bahawasanya pendidikan mampu diberi secara percuma.
Isu keputusan MPM menjadikan MUET mempunyai tarikh luput tidak masuk akal dan dapat dilihat di sini ianya isu untuk MPM sendiri mengaut keuntunngan semata-mata dan bukannya menaiktaraf Bahasa Inggeris.

Tambahan lagi, bukankah peranan MPM di bawah pucuk pimpinan Barisan Nasional berusaha mencari idea untuk menambahbaikan sistem pendidikan negara setanding luar negara, seperti Singapura contohnya.

Jika keadaan ini berterusan nyata sekali anak-anak generasi kini akan ditinggalkan dengan satu masalah negara yang meruncing, ditambah dengan isu rasuah yang begitu bernanah dewasa ini.

Jika MUET mempunyai tarikh luput, tidakkah Ijazah, STPM, SPM, PMR dan sebagainya juga perlu ada tarikh luput? Di mana hala tuju MPM itu sendiri?

Ia membebankan rakyat semata-mata, bukannya sama-sama berusaha untuk menaik dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai sistem pendidikan bertaraf internasional dan berjaya melonjak nama negara dari segi pendidikannya yang diiktiraf dunia.

Langkah MPM ini merupakan langkah kebelakang yang dilihat merugikan anak bangsa terutama anak Melayu. MPM juga nampaknya seperti tidak mempunyai satu dasar yang mantap dan berkesan dalam menangani isu ini.

Mengapa MPM sendiri sejak dari awal tidak menetapkan prosedur bahawa MUET mempunyai tarikh luput. Ini tidak, MUET sudah berbelas tahun, sekarang baru ianya diheboh-hebohkan.

Saya berharap Menteri Pelajaran mengambil serius tentang masalah ini kerana ia melibatkan masa dan wang, terutama pelajar senior.

Sekian, terima kasih.
Bapa Prihatin.

Tiada ulasan: