Jumaat, 15 Mac 2013

LOGHAT BETUL NAMPAK SANGAT DOUBLE STANDARD

Moga-moga wira kita dapat syahid

Subky Latif, 14 Mac 2013
Sudah bertambah wira kita gugur mempertahankan Lahad Datu daripada penceroboh. Bukan sekadar  lapan. Sudah lebih yang terakhir dua dari Kelantan

Doa kita semua, moga-moga yang gugur itu syahid. Amin!

Syahid itu dilihat mati tetapi mereka hakikatnya tidak mati. Mereka hidup di satu alam lain dan ada rezekinya.

Kita boleh  bersedih kerana mereka gugur. Seperti Rasulullah SAW juga  sedih atas syahidnya bapa saudaranya Saidina Hamzah. Tetapi di sebalik kesedihan itu baginda tentunya gembira kerana bapa saudaranya menjadi penghulu kepada para syuhada.

Wajarlah sekaliannya sedih atas keguguran itu terutama keluarga terdekat. Sekaliannya simpati atas kejadian itu, tetapi seluruhnya mesti bersabar dan boleh berbangga kerana ada dalam kalangan kita telah syahid kerana mempertahankan negara.

Kita tidak mendoakan dan tidak mengalu-alukan pencerohan itu berlaku, tetapi kerana adanya pencerobohan itu ada saudara-saudara kita dapat syahid. Sedang mati pada jalan Allah itu amat mulia dan menjadi cita-cita orang yang beriman.

Wira yang syahid itu mengikut iman yang kita diajar, mohon supaya Allah hidup dan kembalikan semula ke dunia supaya dapat pergi lagi ke Lahad Datu untuk dapat syahid berkali-kali lagi.

Untuk mendapat syahid ada syaratnya. Melangkah ke medan tempur itu mesti dengan niat jihad. Perdana Menteri mengarahkan mereka ke medan itu dengan niat dan arahan jihad. Ketua Polis Negara dan penglima tentera yang menerima arahan itu menerimanya sebagai jihad. Tentera yang pergi itu mesti diberitahu bahawa mereka pergi ke medan jihad. Orang yang pergi ke medan jihad menaruh niat untuk  mendapat syahid.

Sama seperti hijrah yang dibuat untuk dapat perempuan. Dia dapat perempuan tetapi tidak dapat manis hijrah.

Bagi yang syahid itu mengikut kebiasaannya diberi penghormatan dengan memanggilnya as-Syahid fulan bin fulan. Maka wajarlah semuanya terutama Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan  Menteri Pertahanan mula memanggilnya as-syahid.

Biasanya as-syahid itu tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan. Mereka dikebumikan dengan pakaian yang dipakainya, dengan darah berlumuran di tempat mereka  gugur. Tiada lagi tahlil.

Apa pun semua setuju mendoakan moga-moga mereka syahid tetapi belum pula mereka dilayan sebagai sepatut buat orang syahid.

Sesudah kita setuju bahawa mereka syahid, maka selepas ini perlu dijadikan dasar bahawa tentera dan polis kita yang dihantar ke mana-mana medan adalah jihad dan bagi yang gugur mendapat syahid. Dengan demikian setiap tentera dan polis menyediakan diri masing-masing sebagai mujahidin.

Bagaimana kalau polis turun untuk menghadapi tunjuk perasaan? Syahidkah jika dia gugur di tengah tunjuk perasaan itu? Maka ia perlu dijelaskan oleh Majlis Fatwa dulu.

Tian Chua cuba ditahan di kafetaria Mahkamah

Hazayani Zakaria, 14 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan dua anggota polis yang ingin menahan Naib Presiden PKR, Tian Chua di kafetaria Mahkamah Jalan Duta hari ini ditentang peguam sehingga menimbulkan sedikit kekecohan.

Tian bersama peguam Latheefa Koya dan beberapa penyokong bersarapan di kafetaria sementara menunggu kes Tian bermula.

Tian akan didakwa di bawah Akta Hasutan berkenaan isu Lahad Datu.

Latheefa sewaktu berunding dengan pihak polis berkata, Tian tidak perlu dibawa ke lokap mahkamah kerana beliau sendiri telah hadir dan bersedia untuk didakwa.

"Tujuan untuk menahan seseorang sebelum di dakwa adalah memastikan di hadir ke mahkamah

"Dalam kes ini Tian sudah pun hadir ke mahkamah bersedia untuk didakwa.

"Jadi mengapa nak tahan dia di lokap, tidak ada keperluan," katanya kepada pemberita.

Sebentar tadi, Tian dibawa ke Mahkamah Sesyen Jenayah 6 untuk didakwa.

Sementara itu, puluhan ahli PKR dan penyokong PKR hadir ke mahkamah bagi menyatakan sokongan.

Kelantan timbang wujud Taman Perwira

Salmah Mat Husain, 14 Mac 2013
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mungkin akan menimbang untuk mewujudkan Taman Perwira sebagai ganjaran khas kepada perwira negara yang terkorban mempertahankan kedaulatan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, (gambar) berkata minggu hadapan mesyuarat exco diadakan dan ianya boleh dicadangkan pada mesyuarat itu.

“Saya tak berani nak umumkan lagi berhubung perkara itu, lagipun ianya belum dibincangkan lagi dengan Tuan Guru dan di peringkat kerajaan negeri.

“Tetapi setakat yang saya dengar dari rakan-rakan tentera allahyarham Farhan tu dia  berpangkat prebet dan baru dinaikkan pangkat kepada koperal selepas kematiannya,”ujarnya selepas menziarahi Allahyarham Prebet Ahmad Farhan di rumah ibu bapa allahyarham di Pasir Tumbuh.

Farhan meninggal ketika bertugas di Lahad Datu.

Menurutnya kenaikan pangkat itu begitu rendah serta tidak memadai jika dibandingkan dengan pengorbanan yang telah diberikan.

Sambungnya, mungkin taman berkenaan boleh diwujudkan untuk diberikan lot-lot tanah kepada keluarga perwira yang terkorban bagi mengenang jasa mereka.

“Saya juga berpendapat, kerajaan Malaysia perlu memberikan penghargaan yang lebih besar untuk menghargai jasa mereka.

“Kalau setakat prebet dinaikkan pangkat koperal, sedangkan mereka terkorban, saya rasa apa yang mereka dapat itu masih kecil,”ujarnya.

Jadi, tambah Husam lagi, dalam keadaan hari ini begitu sesuai diberikan ganjaran yang munasabah dengan pengorbanan yang diberikan.

Jelasnya lagi, berapa ringgit sangat daripada prebet kepada kopral, sedangkan satu nyawa telah terkorban dalam mempertahankan negara.

Katanya, berdasarkan dari situ perlunya ada penghargaan yang lebih besar pada mereka untuk menjadi kenangan sepanjang hayat pada keluarga khususnya dari kerajaan Malaysia.

Jamalul nafi benarkan rundingan dengan kerajaan Filipina

Terjemahan Mohamad Yahya, 14 Mac 2013



(Sultan Sulu Jamalul Kiram III  - AP Photo / Aaron Favila)

MANILA: Jamalul Kiram III menafikan beliau memberi kebenaran kepada adiknya untuk mengadakan perjanjian dengan kerajaan bagi 'mengundurkan' pengikut bersenjata Kesultanan Sulu di Sabah dan mengatakan beliau menentang perjanjian tersebut.

Jamalul memberitahu pemberita semalam bahawa dia tidak membenarkan adik nya,  Esmail Kiram II untuk membincangkan isu pengunduran dengan Setiausaha Kerajaan Tempatan dan Dalaman Manuel Roxas II.

Beliau berkata beliau terkejut apabila mengetahui bahawa Roxas dan adiknya telah memulakan isu pengunduran.

Roxas telah mengumumkan kepada media selepas mesyuarat dengan Esmail bahawa pengunduran tidak harus dikelirukan dengan menyerah kalah.

Selepas mesyuarat antara Roxas dan Esmail di Kem Crame, Filipina -  melalui Jabatan Hal Ehwal Luar Negara (DFA) - segera menyampaikan perkembangan tersebut kepada Malaysia.

Roxas sebelum itu berkata perbincangan beliau dengan Esmail memberi fokus untuk mewujudkan satu mekanisme gencatan senjata oleh tentera Kesultanan Sulu yang tinggal di Sabah.

Apabila ditanya oleh pemberita sama ada beliau telah dimaklumkan mengenai isu pengunduran selepas mesyuarat adik beliau dengan Roxas, Jamalul berkata: "Mereka melaporkan kepada saya bahawa mereka baru selesai berbincang."

Beliau berkata perkataan 'pengunduran' tidak langsung disebut. "Wala, wala, wala (Tiada, tiada, tiada)."

Jamalul memberitahu pemberita bahawa Esmail nampaknya telah bertindak sendiri.

"Saya tidak tahu. Saya tidak suka beliau berunding dengan sesiapa. Saya memberitahu beliau untuk berada bersama saya, "katanya.

Beliau berkata pengunduran bukan satu cara untuk menamatkan keganasan di Sabah, sambil menambah bahawa dia perlu berunding dengan saudara beliau, Agbimuddin, yang mengetuai 200 pengikut bersenjata kesultanan di Sabah.

"Inilah apa yang saya tidak suka. Ia seperti terkeluar daripada permainan besbol ketika menghampiri tapak ketiga,"ujarnya dalam bahasa Filipina.

Jamalul, bagaimanapun menegaskan bahawa kesultanannya masih terbuka kepada rundingan.

"Dari awal lagi ... pintu saya sentiasa terbuka untuk rundingan,"katanya.

Beliau turut membidas Malacañang (istana presiden Filipina) kerana berunding dengan adik beliau Esmail mengenai isu pengunduran dan bukan dengannya.

"Jika ada sesuatu untuk dirundingkan, ia perlu dirundingkan dengan saya," katanya.

"Ia menyakitkan, kerana dia adalah saudara. Dan ia menyakitkan jika nama anda telah digunakan bukan untuk kebaikan dan kebajikan rakyat Filipina, "katanya.

Walaupun tidak berpuas hati dengan perjanjian Esmail dengan kerajaan yang tidak dibenarkan beliau, Jamalul berkata keluarga Kiram masih bersatu.

"Saya memberitahu semua orang bahawa tiada perpecahan dalam kalangan keluarga. Kami bersatu,"katanya.

Jurucakap Kesultanann, Abraham Idjirani, bagi pihaknya berkata mereka masih belum mengesahkan laporan media Malaysia bahawa 23 pejuang kesultanan di Sabah - termasuk "seorang jeneral" - telah terbunuh dalam serangan terbaru Malaysia.

Beliau berkata Agbimuddin menelefonnya 6 pagi semalam untuk memberitahu beliau bahawa "tentera diraja" Haji Abdullah berjaya mengelakkan diri dari serangan minggu lepas.

Berita asal

http://www.philstar.com/headlines/2013/03/14/919412/sultan-disowns-talks-govt

PRU13: Kenyataan Muhyiddin mirip ketua pembangkang

Harakahdaily, 14 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyanggah kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Pakatan Rakyat kononnya merancang untuk menggagalkan Pilihan raya Umum ke-13 dengan mewujudkan keadaan porak peranda kerana gementar dengan sokongan rakyat kepada BN yang sudah mula meningkat.

“SAMM menyifatkan kenyataan tersebut adalah 'songsang' dan terbalik. Ia juga menggambarkan seolah-olah TPM sedang bercakap di depan cermin,” kata Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan dalam satu kenyataan.

Bagi SAMM, ujarnya walaupun kenyataan pemimpin nombor dua Umno agak lucu dan tidak masuk akal, SAMM tetap mengambil serius memandangkan tabiat 'berbuat sesuatu tetapi menuduh orang lain buat' telah berlaku dalam skala penipuan yang sangat besar.

Tambahnya, ia dibantu oleh media yang dikawal oleh mereka dengan harapan rakyat terus diperbodoh.

Menurutnya, majoriti rakyat sudah tahu apa sebenarnya yang telah berlaku.

Katanya lagi, rakyat tahu siapa yang merancang untuk menggagalkan pilihan raya, malah setakat ini pihak yang sama dengan sengaja telah melewat-lewatkan pilihan raya.

Beliau berkata, rakyat juga tahu siapa yang mahu menghuru-harakan keadaan, malah telah banyak huru-hara dilakukan oleh penyokong Umno.

“Serangan cat, baling batu, baling telur, semua dilakukan Umno kerana gementar kehilangan besar sokongan rakyat.

“Rata-rata pemimpin Umno yang terlibat pelbagai skandal bakal ke penjara jika Umno tewas Putrajaya, ia seharusnya menimbulkan panik,” ujarnya.

Katanya, SAMM melihat, sebagai gagasan paling berpotensi untuk menerajui Putrajaya selepas ini, tiada sebab untuk Pakatan Rakyat mencetus huru-hara kerana ia akan menyulitkan banyak perkara.

“Pakatan Rakyat bertegas untuk memastikan peralihan kuasa berlaku dengan aman dan beberapa 'langkah awal' melibatkan institusi keselamatan negara telah mula disusun. Ini hakikat yang harus diterima,” katanya lagi.

Akhir sekali, kata beliau SAMM mengucapkan syabas kepada Muhyiddin kerana mengeluarkan kenyataan mirip seorang ketua pembangkang.

“SAMM yakin Muhyiddin mampu menjadi ketua pembangkang yang baik dan tegas dengan ciri-ciri yang terserlah hari ini,” ujarnya.

Najib perlu jelaskan wakil "Kesultanan Sulu" di AGM Umno

Harakahdaily, 13 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Pakatan Rakyat Sabah mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kepada rakyat apakah agenda sebenar pertemuan beliau dengan pihak yang medakwa diri mereka "Sultan Sulu" mahupun wakilnya yang dijemput ke perhimpunan agung Umno dan majlis-majlis lain.




(Gambar yang tersebar di internet mendakwa Najib bersama pihak Kesultanan Sulu)

Dalam satu kenyataan bersama semalam, mereka juga menuntut Najib segera memanggil sidang khas parlimen bagi membincangkan isu pencerobohan di Lahad Datu seperti yang dituntut pimpinan Pakatan Rakyat.

Kenyataan tersebut ditandatangani Ahamd Thamrin Jaini  Pengerusi PKR Sabah selaku Pengerusi Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat Sabah, Jimmy Wong  Pengerusi DAP Sabah, DSP Lajim Ukin Presiden PPPS, DSP Wilfred Bumburing Presiden APS dan Aminudin Aling Pesuruhjaya PAS Sabah.

Mereka yang bermesyuarat khas membincangkan isu pencerobohn di Sabah berkata, sehingga kini belum menampakkan tanda-tanda kes tersebut akan selesai dengan mudah apatah lagi terbaru, ada lagi anggota keselamatan terkorban.

Berikut adalah tuntutan lain yang diputuskan Majlis Pakatan Rakyat Sabah:

1. Meminta Kerajaan Pusat memberikan penjelasan kenapa kumpulan penceroboh dapat membolosi sisitem pertahanan negara dengan begitu mudah di Sabah.

2. Mendesak Datuk Musa Aman selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri membentangkan kertas putih dalam Sidang Dewan Undangan Negeri secepat mungkin. Majlis Pakatan Rakyat Sabah menyokong tindakan ADUN DAP Sri Tanjung Yb Jimmy Wong Sze Phin yang meminta sidang dewan undangan negeri khas diadakan dengan segera.

3. Mendesak diadakan satu persidangan meja bulat di antara pimpinan kerajaan negeri dengan pimpinan pembangkang dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung isu ini.

4. Meminta kerajaan pusat dan negeri untuk menjelaskan kepada rakyat Sabah status tuntutan kesultanan di atas sebahagian negeri Sabah dan kenapa bayaran tahunan masih diteruskan.

5. Mendesak supaya Dato Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri, Dato Seri Hishamuddin Hussien selaku Menteri Dalam Negeri & Dato Seri Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan dan Datuk Musa Aman selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri  untuk meletak jawatan di atas kegagalan mereka menghalang dan menangani tragedy ini sehingga menyebabkan nyawa perwira Negara terkorban, kerosakan harta benda dan ekonomi terjejas.

6. Menarik balik tuduhan bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dalang di sebalik pencerobohan di Lahad Datu.

Mahathir kata bankrap, Tun Musa kata tidak

Aspan Alias, 13 Mac 2013
Kenyataan Tun Musa Hitam semalam memberikan pencerahan yang sangat baik untuk politik rakyat dan negara. Beliau tidak bersetuju apa yang didakyahkan oleh pimpinan UMNO khususnya Dr Mahathir yang negara akan bankrap jika Pakatan Rakyat memerintah selepas pilihanraya yang akan datang ini. Musa berkata Pakatan Rakyat akan bekerja keras untuk mempastikan yang negara akan terus mencapai kemajuan dan tidak akan melalaikan tanggungjawab yang buat pertama kali diberikan oleh rakyat terhadap pihak pembangkang.
Musa juga tidak bersetuju dengan politik rasis yang menebal sekarang dan pihak yang memainkan sentimen perkauman itu merupakan permainan poltik bankrap yang sudah tidak relevan lagi buat masa dan zaman ini. Kenyataan Tun Musa ini tentunya bertentangan dengan pandangan Dr Mahathir,  seorang pemimpin yang boleh berjalan di atas air itu.
Dr Mahathir yang akhir-akhir ini seperti orang yang dalam ketakutan yang amat sangat itu telah membuat kenyataan-kenyataan yang menghangatkan dengan bermatlamat untuk membina dan meningkatkan sentimen perkauman di negara ini. Beliau (Mahathir) telah meminta Felda untuk memainkan filem Tanda Putera bagi menaikkan perasaan kebencian orang Melayu terhadap kaum Cina dan ianya tentulah untuk menghalang DAP yang menjadi sasaran cemuhan Mahathir akhir-akhir ini.

Seperti yang saya sebutkan selalu UMNO hanya akan kekal berkuasa jika ada perbalahan dan perpecahan. UMNO tidak kekal jika rakyat dan negara dalam keadaan aman dan damai. Maka itulah sebabnya UMNO sentiasa berusaha untuk meningkatkan perasaan benci membenci di antara kaum agar parti itu terus menjadi parti pemerintah yang berkemampuan untuk melakukan rasuah secara sistematik.

UMNO memerlukan sangat untuk terus memerintah kerana sudah tertanam budaya dan pemikiran pimpinan UMNO di setiap peringkat yang parti itu ada modal untuk mereka berniaga dan mengumpulkan kekayaan keluarga dan kroni itu. Kejatuhan UMNO merupakan kehilangan punca mereka mengumpulkan harta seperti yang dikumpulkan oleh Karun dahulu.

UMNO sudah tertanam kepercayaan yang hanya UMNO sahaja yang layak untuk memerintah tetapi rakyat sudah berubah dan tidak lagi termakan dengan dakyah buruk dan hina parti itu. Rakyat sudah memahami bahawa mereka adalah tuan kepada negara dan bukannya Mahathir yang sentiasa berfikir yang hanya beliau sahaja yang berfikir. Mahathir berfikir hanya pemikiran beliau sahaja yang mesti diikuti.

Justeru kenyataan Tun Musa semalam merupakan pencerahan yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat dan kenyataan beliau itu telah menjadi buah mulut rakyat terutamanya di Negeri Johor.

Saya tidak dapat untuk menuliskan secara 'detail' tentang apa yang ada dalam pemikiran saya kerana saya sedang berada di Kedah dalam siri ceramah yang telah diuruskan oleh PAS untuk saya.

Saya akan menulis tentang isu yang disentuh oleh Tun Musa ini apabila saya kembali ke Kuala Lumpur sehari dua lagi, insyaallah. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Lahad Datu: Bebalisme Umno berdepan PRU13

Ahmad Lutfi Othman, 14 Mac 2013


Tarikh PRU13 hampir tidak teranjak lagi. Episod hitam di Lahad Datu dan Semporna juga sukar menjarakkannya. Najib Razak memang tiada pilihan, tersepit dalam dilema, petanda kurang yakin dan gelabah untuk mendapatkan semula mandat rakyat.

Beliau merupakan Perdana Menteri paling lama bertakhta melalui sokongan ramai kepada pendahulunya (Abdullah Ahmad Badawi). Sebelum ini setiap perdana menteri baru berusaha seawal mungkin mengadakan pilihan raya seawal bagi mengesahkan kedudukannya.

Sepatutnya Najib memanggil sidang khas Parlimen, menunjukkan setiakawan seluruh rakyat menyokong penuh pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara, mengutuk pencerobohan, sekali gus memberikan perhargaan kepada perwira yang terkorban, serta membantu keluarga yang ditinggalkan, terutama memastikan anak-anak malang itu mendapat pendidikan sehingga ke universiti.

Dan bukannya terus menunjukkan kerendahan budi memainkan politik kebencian dengan mengekspolitasi kenyataan Ahli Parlimen Batu, Tian Chia secara cukup melampau. Walhal Naib Presiden KeADILan itu sudahpun membuat penjelasan di atas kenyataan awalnya yang menimbulkan kontroversi itu.

Reaksi Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Husein di rumah salah seorang balu perajurit yang terkorban jelas menyerlahkan dendam dan amarah tidak terkawal.

Begitu juga dengan respons melulu Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar terhadap siasaran ke atas Tian Chua, dengan menegaskan pihak polis tidak akan melepaskannya dengan mudah. “Mana boleh lepas?” katanya.

Melihat gelagatnya dalam berita TV, saya terasa cukup kurang selesa  dan "menjengkelkan". Dan ini bukan kali pertama Khalid bertindak sebegitu rupa, berbeda sama sekali dengan perwatakan ketuanya, Ismail Omar. (Saya kira Panglima Angkatan Tentera Malaysia juga dilihat terjebak dalam polemik "sandiwara" yang sengaja diperbesarkan media).

Sebenarnya, bagi saya, kritikan atau teguran kepada pasukan keselamatan, hatta membabitkan operasi kritikal seperti Ops Daulat di Lahad Datu, tidak boleh dianggap sebagai "memperlekeh, memperkecil apatah lagi menghina"

Dalam hal ini, saya tertarik dengan ulasan bekas profesor UIAM, Dr Abd Aziz Bari:
"Rakyat adalah pemilik sebenar angkatan tentera dan pasukan polis, bukan Umno-BN. Sebagai pembayar cukai rakyat berhak menilai prestasi kedua-dua angkatan tentera dan polis."

Tambahnya, keselamatan dan kedaulatan negara juga milik rakyat dan mereka berhak menyuarakan pandangan sekiranya mereka berpendapat Kerajaan Umno-BN yang memerintah dikira gagal mengendalikan isu berkenaan dengan baik.

"Prestasi angkatan tentera dan pasukan polis boleh dinilai dan kalau tidak memuaskan boleh dikritik. Kalau badan kehakiman sendiri pun boleh dikritik, apa alasan yang menjadikan kedua-dua organisasi yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan itu kebal daripada kritikan?" soal Dr Aziz.

Justeru, ramai bimbang jika pemimpin Pakatan Rakyat bakal  "dikambing-hitamkan". Serangan berterusan terhadap Anwar Ibrahim dan percubaan mengaitkannya sebagai pengkhianat atau dalang penceroboh, termasuk memanipulasi lagu "Tanya Sama Najib" tidak boleh dipandang ringan, walaupun ia nampak seperti skrip "Maharaja Lawak".


"Mungkin insiden pencerobohan itu akan digunakan oleh anasir tertentu dalam Umno untuk memastikan Anwar sendiri ditahan, disiasat dan seterusnya didakwa di bawah undang-undang keselamatan," kata Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli.

Sedangkan banyak pihak  melihat insiden berdarah itu ada kaitan dengan "Projek IC", inisiatif pemimpin Umno sendiri. Pendedahan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Zaini Othman dalam wacana anjuran Institut Kajian Etnik (KITA) di UKM, 4 Mac lalu sepatutnya mencerdaskan minda.

"Ada di kalangan penceroboh bersenjata itu sudah pun mendapat kerakyatan Malaysia melalui MyKad biru atau status pemastautin tetap di Lahad Datu dan Semporna. Apabila mereka mendarat di daerah Tawau dan memasuki perkampungan di Lahad Datu, mereka sebenarnya bertemu sanak saudara atau pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Seorang rakan menelefon, sehingga Selasa lalu, jumlah kematian penceroboh dicatat 57, tetapi hanya 23 mayat ditemui. "Pelik, 'kan?" katanya.

Selain itu, demonstrasi tiga NGO mesra-Umno di hadapan ibu pejabat KeADILan, 11 Mac lalu hanya membuktikan peluang kebebasan bersuara gagal dimanfaatkan dengan baik. Secara peribadi, saya percaya aksi tunjuk perasaan adalah sebahagian daripada hak asasi yang perlu dipertahankan. Tapi usahlah merusuh sehingga sanggup membaling batu, telur dan kayu pula.

Ketika Pakatan dan masyarakat sivil lainnya dapat menganjurkan siri himpunan, termasuk demonstrasi, dengan aman dan tertib, penyokong Umno-BN bertindak sebaliknya. Majlis ceramah Pakatan diganggu secara tidak bertamadun sama sekali.

Padanlah ketua-ketuanya takut berdebat, juak-juak pula bertindak bacul mengamalkan politik rimba. Dan profesionalisme pasukan polis terus dipersoal kerana ada bukti berlaku "pilih kasih".


Sepatutnya ketika negara menginjak ke era "sistem dua parti", rakyat dapat menyaksikan setiap gabungan berlumba-lumba menawarkan khidmat, polisi dan prestasi terbaik, bukan terkepung dalam budaya politik kuno.

Dr Siddiq Fadzil menjelaskan situasi yang dihasratkan itu: "Kehadiran dua kekuatan politik yang seimbang adalah penting untuk memacu persaingan memberikan khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Tanpa saingan dan tandingan yang bererti, parti yang berkuasa akan berasa terlalu selesa dan seterusnya akan mengalami penurunan komitmen dalam memberikan khidmat yang lebih baik."

Zaman  BN mengambil sikap "taken for granted" disebabkan rakyat tiada alternatif memilih kerajaan baru sudah berlaku. Namun perangai hodoh parti yang berkuasa sejak merdeka itu tidak dapat diubah lagi.

Justeru, pengundi perlu proaktif merehatkannya dan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat pula.

Dalam pada itu, SMS seorang rakan, profesor di sebuah universiti, agak mengejutkan saya: "Benarkah ada ura-ura Anwar Ibrahim akan ditahan kerana kes Lahad Datu?"

Rupanya ramai juga yang risau dengan kenyataan pihak berkuasa, seperti mahu mengaitkan "pihak ketiga" dalam negara sebagai dalang pencerobohan itu.


II.


Menekuni majalah Dian (Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd), yang sarat dengan paparan isu menarik dan titipan ilmu bermanfaat begitu mengujakan saya, apatah lagi menyedari ia diterajui rakan baik saya, Mohd Nasir Awang, dengan sokongan kolumnis yang berkaliber dalam kepakaran masing-masing.

Segera saya terkenang majalah Dian dalam tulisan jawi, koleksi kekanda Dinsman, yang menghiasi rak lama di kampung. Saya membesar dengan tradisi ilmu Dian yang cukup mantap. SUkar dibayangkan, sekitar tahun 70-an ada majalah dapat bertahan dengan tulisan semi-akademik.

Dan kini warisan itu berada di pasaran; sayang sekali, promosi agak kurang dan kehadirannya tidak dirasai. Rumusan saya, anda rugi jika tidak memiliki majalah Dian!

Pilihan raya: Hari kuasa rakyat

Abd Shukur Harun, 13 Mac 2013
Pilihan raya dalam sebuah sistem demokrasi adalah cerminan suara rakyat, bukan lagi suara ‘anjing menyalak bukit’ kerana ia adalah suara berdaulat membawa kata putus rakyat.

Ini kata-kata yang penuh erti dari seorang intelektual ternama, Dr. Siddiq Fadhil yang ditegaskannya dalam Ucaptamanya di Konvensyen Pencerdasan Rakyat di Shah Alam minggu lalu.

Beliau menjelaskan, pilihan raya dalam sebuah sistem demokrasi adalah hari kebesaran kuasa rakyat dan ia perlu disambut dengan semangat hormat terhadap suara rakyat yang bukan lagi ‘suara anjing menyalak bukit’. Tetapi suara berdaulat yang membawa kata putus sebagi aktualisasi prinsip ‘rakyat adalah sumber kekuasaan’.

Demikian pandangan seterusnya oleh Dr. Siddiq Fadhil. seorang intelektual dan tokoh gerakan Islam yang tidak henti-hentinya menjadi pengamat kehidupan umat, khususnya sekitar politik dan keupayaannya mendambakan aspirasi rakyat.

Oleh kerana politik adalah mengenai kekuasaan maka pilihan raya yang menjadi elemen penting politik menuju kekuasaan, maka ia sangat perlu bersih dan telus dari semua segi, tidak dimanipulasi atau menjadi medan penipuan.

Kiranya berlaku penipuan, manipulasi dan tidak telus dalam sebuah pilihan raya maka harapan rakyat tentunya musnah justeru pilihan raya tidak lagi menjadi suara berdaulat membawa kata putus rakyat.

Adapun metafora Melayu, ‘anjing menyalak bukit’ jika direnung sangat dalam maknanya. Bukit menjadi simbol sebuah kekuasaan yang utuh dan tentunya seekor anjing atau sekumpulan anjing betapapun kuat salakannya, namun bukit atau lambang sesebuah kekuasaan tidak mungkin runtuh.

Tetapi suara rakyat melalui peti undi tentunya bukan suara anjing menyalak bukit. Ini kerana rakyat berkuasa memilih kerajaan yang hendak mengusurkan hal mereka tiap lima tahun sekali.

Oleh itu, dalam demokrasi pilihan raya, rakyat mempunyai hak menentukan kriteria kerajaan dan wakil rakyat yang hendak mereka pilih, iaitu kerajaan yang mampu memegang amanah, berintegriti, telus, menjauhi rasuah, kronisme dan pelbagai penyelewengan dan seumpamanya.

Dalam hal ini, Al-Quran, Hadis, serta kita-kitab ulama muktabar seperti Ilmu Khaldun, Ibnu Taimiyah, Imam Ghazali bahkan ulama ulung terkini seperti Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Wahbah Zuhaili dan lain-lain telah menggariskan bentuk-bentuk kerajaan beramanah yang dikehendaki Islam untuk digelar ‘Negara yang baik mendapat keampunan Ilahi’.

Di kalangan bukan Islam yang diberikan kefahaman Islam tentunya menerima konsep kerajaan berintegriti yang ada dalam Islam ini, justeru Islam adalah bersifat sejagat, terkini dan anjal.

Oleh itu pilihan raya adalah wasilah yang memberi ruang kepada rakyat memilih kerajaan yang mereka kehendaki. Rakyat mempunyai hak sepenuhnya membuat pilihan berdasaran kriteria yang disebutkan tadi. Ia mempunyai kuasa yang boleh menukar kerajaan dalam sebuah pilihan raya lima tahun sekali dan ia tentunya bukan ‘anjing menyalak bukit’.

Kemudian ada pula ingatan Dr. Siddiq Fadhil bahawa pilihan raya hanya akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat apabila rakyat benar-benat dapat menggunakan hak  demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan penuh tanggungjawab.

Di sinikah terletak relevensinya gerakan pencerdasan rakyat untuk memungkinkan mereka membuat pertimbangan yang adil dan rasional, dan seterusnya menentukan pendirian serta pilihan yang tepat.
Dengan demikian barulah pilihan raya menjadi mekanisme demokrasi yang menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat.

Ingatan Dr. Siddiq ini sangat wajar diberikan perhatian bahawa rakyat memerlukan suasana pencerdasan, bebas dan tidak dipengaruhi pelbagai elemen, kempen kotor yang dijuarai oleh samseng politik jalanan. Juga rakyat tidak dipengaruhi oleh kempen media yang sangat kotor, licik, yang bekerja siang dan malam untuk mengelirukan rakyat.

Dengan pencerdasan rakyat ini juga akan menolak kempen perkauman yang merbahaya dan juga kempen agama yang dipersempit yang beleh merosakkan keunggulan Islam itu sendiri. Kempen perkauman ini dilatari pelbagai elemen prejudis, kehilangan pertimbangan rasional, enggan berhujah secara ilmu, mengambil sikap keras dan menghempaskan toleransi dan seterusnya menafikan negara ini adalah sebuah negara masyarakat majmuk.

Inilah sebenarnya kekotoran menjelang pilihan raya di negeri ini yang sejak puluhan tahun rakyat tenggelam dengan keadaan ini, iaitu dihadapkan dengan situasi siapa yang banyak wang, pandai menggunakan kuasa dan pengaruh maka ia dipilih dalam pilihan raya.

Dr. Siddiq Fadhil  menyebut bahawa demokrasi hanya akan sihat dan subur di tengah masyarakat yang sedar, cerdas, jujur dan enlightened. Tetapi demokrasi akan mati, katanya, dengan oreintasi ala ke-kefir’aun-an yang mengekalkan kekuasaan dengan strategi membodohkan rakyat, seperti firmah Allah, “ (Dengan yang demikian) maka Fir’aun memperbodohkan kaumnya. Lalu mereka mematuhinya, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq – derhaka,” Surah Al-Zukhruf:54.

Ini pandangan Dr.Siddiq, di mana saya yakin, akan disetujui dan dikongsi bersama oleh rakyat prihatin yang mempunyai pandangan critical, mengetahui haknya, tidak berkepentingan dan sangat berhajat akan sebuah pilihan raya yang penuh demokratik.

Suasana terkini kelihatannya memihak kepada rakyat prihatin ini, terutama berdasarkan suara-suara yang terserlah dipelbagai media alternatif yang mahukan sebuah pilihan raya penuh demokratik. Namun sama ada ini hanya mimpi atau akan menjadi kenyataan, akan sama-sama kita saksikan nanti.

Manifesto Pakatan: Masa depan telah tiba!

Dr Dzulkefly Ahmad, 13 Mac 2013

Cabaran yang menanti kerajaan baru di Putrajaya, bagi merealisasikan sebuah reformasi menyeluruh kehendak rakyat, bukanlah satu yang kepalang.


Khuatir bercampur bosan dikecewakan dengan kegagalan pada silih bergantinya pucuk pimpinan tertiggi yang mengemudi Negara, meletakkan ada yang sinis dan tidak lagi ghairah dengan datangnya musim pilihanraya yang sepatutnya menyuntik pengharapan baru.

Ketepuan serta kehilangan semangat ini sahaja sudah cukup bagi mengendalakan proses perubahan.
Paling parah lagi kalau semakin menebal tanggapan serta kehilangan kepercayaan bahawa walau apa pun polisi-polisi penambahbaikan kerajaan sedia ada ini, dan betapa banyak pun sumber serta dana diperuntukkan bagi menjayakan sesuatu agenda perubahan itu, semua akan berakhir dengan kegagalan. Rakyat teramai akan terus dihimpit dengan bebanan hidup.

Atas sebab itu sahaja secara tunggal sudah cukup menasabah bagi rakyat di Negara menimbang secara serius bagi melakukan perubahan pemerintahan, paling tidaknya untuk satu penggal.Kerehatan dari tertakluk kepada sebuah regim yang telah terlalu lama mentadbir sehingga kehilangan kepekaan dan keprihatinan terhadap rakyat teramai adalah sangat wajar.

Di persimpangan kritikal penentuan kepimpinan politik negara yang merupakan pilihanraya paling getir dalam kelangsungan survival negara-bangsa ini, Pakatan Rakyat, sebuah muafakat politik berusia hampir 5 tahun, telah tampil membuat tawaran kepada seluruh rakyat sebagai pencabar Barisan Nasionaldi peringkat Persekutuan, dengan mengangkat sebuah manifesto yang diberi jodol “Pakatan Harapan Rakyat”.

Persis slogannya, apakah ini harapan rakyat untuk keluar dari kemelut tak berhujung yang di alami berdekad lamanya ini?

Pakatan  Rakyat sangat berani mengemukakan tawaran sulungnya bagi merampas kuasa dari seteru politiknya, sekaligus menawan Putrajaya.Keberanian itu juga bermaksud kesediaannya untuk seluruh tawaran manifestonya ditelek dan dikritik oleh pelbagai pihak.

Mengelakkan dirinya dikesani gugup dan tercabar, pimpinan Umno-Barisan Nasional (UBN)membalas bahawa manifesto mereka hanya akan diterbitkan setelah parlimen di bubar.

Pun begitu, UBN hanya sekadar mampu melontarkan kritik dan kecaman. Tegasnya dan mudahnya kalau manifesto Pakatan Rakyat dilaksanakan negara pastinya akan muflis atau bankrap.
Itu sahaja wirid UBN yang mampu diucapkan, baik pimpinan tertinggi mahupun pengerusi JKKP, sepanjang waktu yang dikitar tidak bernokhtah di media perdana kawalan UBN.


Namun apa itu manifesto?

Dari the ‘Free Encyclopedia, Wikipedia’, takrif sebuah manifesto adalah satu bahan yang diterbitkan oleh seorang individu, kumpulan, sebuah badan politik mahupun sebuah kerajaan bagi menjelaskan visi dan misi tawaran mereka khasnya di dalam sebuah pilihanraya. Takrif itu adalah sangat bertepatan dengan apa yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

Penulisan ini adalah bagi menonjolkan pemikiran dan falsafah di sebalik tawaran Pakatan Rakyat .Perincian tawaran-tawaran manifesto Pakatan Rakyat mungkin sudah sedia dimaklumi. Mengetahui pemikiran disebalik pelbagai tawaran manifesto yang mengangkat tema “Pakatan Harapan Rakyat” adalah penting.

Menganalisis pelbagai reaksi dan tanggapan terhadap manifesto adalahmenarik.Respons bercampur danada juga menyifatkannya tidak‘reformis’ hanya ‘populist’.

Penulis tidak wajib menjelaskan sumber dana serta darimana puncanya kerana pembentangan manifesto bukanlah satu pembentangan belanjawan negara.Pun begitu penulis akan terangkan bagi meredakan golongan yang sangat khuatir bahawa negara ini akan bankrap dalam usia tahun pertama Pakatan Rakyat.

Tema “Pakatan Harapan Rakyat”  bertujuan menegaskan bahawa cita-cita membina sebuah bangsa yang bersatu padu dan Negara yang makmur di mana seluruh rakyat yang mengecapi kesejahteraan telah gagal.

Rakyat selaku tuan dan bos kepada negara ini sudah bersedia untuk melakukan reformasi tertangguh ini dan Pakatan Rakyat menawarkan diri menjadi wahana dan wadah perubahan besar ini.

Pertama-tamanya, perubahan mesti datang bersekali dengan pengukuhan kembalisemua institusi-institusi kritikal Negara agar ia bebas dan berintegriti lantas dapat menjalankan tugasan menyemak-imbang pihak Eksekutif bagi menggalas amanah perlaksanaan cita-cita.

Bersendikan empat tonggak utama yakni Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat, manifesto “Pakatan Harapan Rakyat” membina sebuah visi dan misi untuk mengangkat dayasaing Negara sebagai Negara yang bermaruah, berdaya-saing dan ulung.

Manifesto Pakatan Harapan Rakyat adalah cita-cita untuk menempah sebuah pembangunan sosial yang adil yang berteraskan rakyat dengan mendepankan rakyat.

Ia adalah satu paradigma pembangunan yang jelas kontra dan bertembungan dengan paradigma pembangunan UBN yang mendahulukan kroni serta suku-sakat sehingga membarah jurang perbezaan kaya-miskin dan kesenjangan pendapatan dan kekayaan yang terlalu ketara dan kronik.Lihat sahaja jumlah yang layak mendapat BRIM 2.0 bagi mengesahkan kesenjangan pendapatan iaitu sebanyak 4.3 juta isi-rumah berbanding 6.3juta isi-rumah di seluruh Malaysia.

Pakatan Harapan Rakyat akan menjadikan Malaysia sebuah Negara yang ditadbir secara adil dan berkeamanahan di mana rakyatnya hidup makmur dan bermaruah.

Pakatan Harapan Rakyat meletakkan masyarakat bermaruah adalah sebuah negara-bangsa yang yakin dengan asal-usulnya, berpegang dengan prinsip agama an nilai-nilai sejagat, yang membela yang benar dan menentang yang zalim, saling menghormati dan mempercayai hati-budi yang lain dan tidak pula tebal dengan prajudis dan kesangsian.

Manifesto ini menegaskan peri-pentingnya menghayati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta menjamin hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penghayatan kedudukan Islam sekaligus berperanan mengekalkan perpaduan dan keharmonian dan bukan sebaliknya menjadi sumber pertentangan dan permusuhan akibat dari pegangan Islam secara jahil, sempit dan melampau.

Peranan Islam dalam membenteras pengurusan khianat dan tata-kelola tempang dalam tadbir-urus pemeritahan akan menjadi lebih menonjol.
Menangkis kemungkaran ekonomi dan maksiat tata-kelola kewangan adalah antara teras penghayatan Islam yang penting.

Tunggak budaya yang berteraskan nilai sejagat, menjulang kemuliaan ilmu, mendokong perkembangan bahasa serta menggalak pemuliharaan pelbagai cabang seni. Ini akan serentak  mengangkat jati diri bangsa, membina harmoni serentak menjadi teras positif hidup bermasayarakat rakyat Malaysia.

Manifesto Pakatan Harapan Rakyat dalam menentukan ‘Kesejahteraan Rakyat’ punya kelainan yang ketara sekaligus merupakan model ‘Ekonomi Rakyat’ agi sebuah Malaysia Baru yang lebih adil dan makmur.

Kewujudan jurang dan kesenjangan kaya-miskin adalah natijah buruk dari urus- tadbir pembangunan yang mendahulukan segelintir kroni sehingga mengepong kelancaran dan efisiensi pasaran dengan pelbagai amalan monopoli dan oligopoli dan perjanjian konsesi utilti yang menguntungkan serta memperkayakan kroni dan membebankan rakyatdengankos saraan hidup yang tinggi.

Berbeza degan cara UBN, Kesejahteraan Rakyat dalam misi Manifesto Pakatan adalah untuk meningkatkan ‘pendapatan dan pendapatan boleh berbelanja' dengan mengurangkan bebanan kos utama saraan hidup dalam bakul Indeks Harga Pengguna (CPI) serta  mengurangkan perbelanjaan rakyat di segi tanggungan kesihatan, pendidikan dan perumahan.

Pendekatan berteraskan ‘Income-Based’ jelas berbeza dengan fokas Ekuiti atau pegangan Saham (Equity-Based) yang menjadi matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Nyata dalam pacuan 30% ekuiti bumiputera yang telah memasukki dekad ke-5, bukan sahaja ia gagal dicapai tetapi telah memburukkan kesejangan pendapatan dan kekayaan (Income and Wealth disparity) khususnya dalam etnik Melayu-Bumiputera itu sendiri. Lebih malang lagi atas nama DEB, ia telah dipesalahgunakan untuk memperkayakan segelintir kroni Melayu ketika mengkesampingkan etnik Melayu teramai.

Pendekatan Kesejahteraan Rakyat dalam Manifesto Pakatan bakal menyaksikan bagaimana keseluruhan tawaran penurunan harga petrol dan diesel, tariff air dan elektrik, dengan kaedah penstrukturan semula ekonomi termasuk pencukaian dan mendayakan subsidi ‘progresif’ yang bertepatan dengan sasaran rakyat yang memerlukan.

Serentak manifesto mewawarkan penamatan subsidi ‘regresif’ yang bersifat ‘borong’ atau ‘blanket’ yang tidak menguntungkan sasaran rakyat golongan berpendapatan rendah khasnya golongan nelayan, petani, golongan kelainan upaya dan golongan terpinggir seperti etnik India di estate-estate.

Keseluruhan tawaran manifesto Pakatan kerap diserang seteru dan medianya, bakal memufliskan Negara. Wajar ditegaskan bahawa keseluruhan tawaran-tawaran manifesto telah dihitung dan dijumlah dengananggaran aliran tunai atau ‘cashflownya’.

Ini berbeza dengan tadbir urus UBN yang menggurus pembangunan dan perolehan secara tidak telus (opaque) dengancara runding-langsung seperti pemberian kontrak infrastrukur mega dalam penswastaan.

Kos pembangunan semua menggelembong (bloated) termasuk dengan tanggungan ‘cost-overruns’.Contoh khusus adalah MRT dan terkini kos Keretapi Laju (HSR) yang pertama-tama disebut  dengan RM8 bilion kini telah melambong kepada RM80 bilion.

Kerajaan Pakatan Rakyat telah buktikan bahawa kita telah membuat penjimatan sebanyak 20-25 % berbanding UBN apabila dikelolakan dengan pengurusan yang baik seperti di negeri Selangor.

Oleh kerana itu meskipun seluruh tawaran Manifesto Pakatan berjumlah besarRM45.75 bilion, kami yakin untuk menjana RM49.5 bilion dalam 3 kaedah utama yakni:

1. Penjimatan melalui tadbir-urus yang berkesan dan bebas rasuah- ketirisan

2. Menyusukan kembali keutamaan bagi mengelak perbelanjaan mengakayak krooni dan

3.hasil dari penjanaan pertumbuhan hasil galakan perbelanjaan oleh rakyat (domestik) dan kerancakan sektor swasta yang tidak terkepong dengan pelbagai kekangan yang mengherotkan pasaran dan persaingan yang dari pihak GLCs sendiri. Sekaligus ia menjana kerancakan Pelaburan luar (FDI) dan dalaman (DDI).

Sasaran RM4000 bagi seisi rumah akan tetap menjadi cita-cita kerajaan Pakatan Rakyat bagi membuktikan bahawa mendayakan rakyat bukanlah satu utopia seperti dituduh. Pendekatan kami mengurangkan kos saran hidup dan mengizinkan pendapatan meningkat adalah jauh lebih ‘superior’ dan berkesan daripada ‘menampal koyok’ atau ‘band-aid’ yang bermusim dengan pemberian BRIM yang bersifat ‘one-off’.

Andainya kami berhasil mencapai 50% dalam penggal pertama parlimen setelah kami mengambil alih Putrajaya maka ia satu prestasi yang baik. Andainya kami berjaya mencapai 75% pencapaian maka ia satu yang cemerlang. 30% ekuiti bumiputera telah memasukki dekad ke-5  dan RM52 bilion pegangan saham Melayu-Bumiputera telah hangus dan kembali kepada paras RM2 bilion. Persoalannya ialah Melayu-Bumiputera mana yang memegang ekuiti ini bagi pihak Melayu-Bumiputera teramai?

Sayugia diingatkan bahawa pendekatan penstrukturan ekonomi, termasuk percukaian dan subsidi adalah dasar fiskal yang penting dan tentunya punya impak kepada pendapatan dan perbelanjaan kerajaan. Namun suka juga dingatkan kepada pengkritik kami bahawa kehilangan pendapatan cukai contohnya RM3.5b (kalau 50% penurunan cukai eksasi), kini akan beralih kepada tangan dan saku rakyat yang sekaligus meningkatkan ‘pendapatan boleh berbelanja’ mereka.

Perbelanjaan isirumah (domestik)akan meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan sekaligus meningkatkan faktor Perbelanjaan (Consumption) dalam KDNK. Begitu juga seterusnya apa jua pengurangan kos kepada rakyat (tariff air, elektrik, kesihatan, pendidikan) meningkatkan keupayaan pendapatan serta kuasa berbelanja-membeli mereka.

‘Pakatan Harapan Rakyat’ adalah tawaran Pakatan Rakyat bagi menamatkan pelbagai kebejatan pengurusan tempang dan khianat UBN. Manifesto ini bercita-cita bukan sahaja menambaik baik Negara ini bahkan menampilkan satu formula satu impian yang lama tertangguh bagi membina sebuah Malaysia Baru yang lebih adil, berdaya-saing dan berkebajikan untuk semua rakyat.

-------------------------------

* Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen dan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

Labelkan juga botol arak

Syed Abdullah Syed Osman,
Bagi penghisap rokok yang tegar, sudah tentu kita dapati setiap kotak rokok ada dicatatkan amaran tegas bahawa merokok akan menjuruskan diri untuk mendapat berbagai penyakit kronik saperti jantung tersumbat dan kanser yang boleh membawa maut.

Saya cadangkan supaya setiap botol arak yang dijual dipasaran juga diletakkan label amaran saperti, meminum arak boleh mendatangkan berbagai penyakit terutama jantung dan limpa. Di samping itu, letakkan juga bahawa arak adalah diharamkan oleh agama Islam serta catatkan juga bahawa arak adalah umpama kencing syaitan dan sesiapa juga umat Islam yang meneguknya, tidak diterima segala amalannya selama 40 hari serta dalam masa yang sama hilang imannya semasa meneguknya.

Dalam pada itu, diharap pihak JAKIM yang mengendalikan hal-ehwal logo Halal hendaklah lebih serius lagi apabila memantau dan membuat penyelidikan untuk memastikan segala makanan sama ada yang diimport atau makanan tempatan yang diproses din egara ini benar-benar halal. Hal ini kerana banyak kali saya terbaca dan mendapat sumber maklumat daripada Persatuan-Persatuan Pengguna Islam di negara ini bahawa masih lagi banyak makanan yang diragui halal haramnya kerana mengandungi lemak babi.

Terbaik...petugas kapal dagang kibar panji PAS

http://omakkau.blogspot.com, 13 Mac 2013

TERBAIK!!!!!..PETUGAS KAPAL DAGANG MALAYSIA DENGAN MEGAH MENGIBARKAN PANJI PAS!!!!!!


Semangat anak watan yang harus diberikan kepujian.

Berani menonjolkan sokongan secara terbuka, berani dan ikhlas.

Petanda hayat UMNO kini semakin hampir tamat.

PRU13 BAKAL MENYAKSIKAN SATU PERUBAHAN DALAM LANSKAP POLITIK NEGARA...BERUBAH KEDUDUKAN.. UMNO DARI PARTI PEMERINTAH KE PARTI PEMBANGKANG..INSYA ALLAH.

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Tiada ulasan: