Khamis, 21 Mac 2013

BUKAN SALAH SAPE2...SEBENARNYA DIRI SENDIRI YANG SALAH...SEDARLAH ALLAH SEDANG MENGHUKUM

Pengerang: Mahkamah tolak bantahan Peguam Negara

Harakahdaily, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Zaleha Yusuf hari ini membenarkan empat orang penduduk Pengerang untuk mencabar kesahan (legality)  projek Rapid Pengerang.

Hakim tersebut menolak bantahan Peguam Negara dan memberikan kebenaran penduduk Pengerang tersebut meneruskan semakan kehakiman mereka ke atas Kerajaan Negeri Johor dan 2 yang lain.

Pada pendengaran di kamar Hakim pagi ini, Peguam Negara telah membuat bantahan ke atas permohonan semakan kehakiman 4 penduduk tersebut atas dua alasan iaitu permohonan tersebut difailkan di luar masa dan permohonan itu bersifat remeh (frivolus) serta tidak bermerit.

Peguam  penduduk tersebut pula berhujah permohonan semakan kehakiman tersebut difailkan dalam masa yang ditetapkan kerana tarikh permohonan yang perlu difailkan dalam masa 3 bulan perlu dikira dari tarikh penduduk menerima notis pengambilan tanah mereka bukan dari tarikh di dalam Warta.

Peguam juga berhujah jika sekalipun ada kelewatan ianya bukan satu kelewatan melampau dan disengajakan kerana adalah tidak munasabah untuk orang kampung untuk tahu tentang tarikh warta Kerajaan.

Mengenai bantahan tentang dakwaan bahawa permohonan semakan kehakiman adalah remeh dan tidak bermerit, peguam berhujah bantahan itu yang sebenarnya remeh dan tidak bermerit.

Peguam berhujah, terdapat isu bermerit yang dibangkitkan oleh para penduduk iaitu isu ketidakpatuhan seksyen 3 (1) (b) Akta Pengambilan Tanah.

Ini kerana jika dilihat di dalam perisytiharan pengambilan tanah di dalam Warta bertarikh 18 Julai 2012 tidak dinyatakan secara jelas adakah pendapat Pihak Berkuasa Negeri iaitu Y.M Tuanku Sultan Johor telah diambil kira sebelum keputusan mengambil tanah orang kampung dibuat.

Peguam juga berhujah tidak dinyatakan secara jelas di dalam Warta  projek Rapid tersebut adalah bermanfaat untuk siapa sedangkan seksyen 3 (1) (b) memperuntukkan secara jelas pengambilan tanah di bawah seksyen tersebut mesti mengambil kira pendapat Sultan.

Ianya juga mestilah memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia atau orang awam atau mana mana kelas penduduk. Dalam warta tidak dinyatakan itu semua.

Peguam berhujah Mahkamah perlu bezakan pengambilan tanah di bawah seksyen 3 (1) (a) kerana di bawah seksyen tersebut isu keperluan mengambil kira pendapat Y.M Sultan Johor tidak diperlukan maka atas prinsip anggapan Parlimen tidak gubal undang-undang secara sia sia (the legislature does not legislate law in vain), Mahkamah perlu ambil perhatian penggunanaan perkataan yang berbeza antara seksyen 3 (1) (a) dan 3 (1) (b) Akta tersebut.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak Mahkamah memutuskan permohonan 4 penduduk tersebut bukan suatu yang remeh sebaliknya ianya bermerit dan Mahkamah juga putuskan jika pun ada kelewatan, Mahkamah telah guna budibicara melanjutkan masa untuk penduduk memfailkan permohonan tersebut di luar masa.

Mahkamah juga telah menetapkan tarikh 4 April ini untuk pengurusan kes tersebut.

Untuk rekod pada 9 Januari yang lalu 4 orang penduduk Pengerang iaitu Loh Back Seng, Lim Goo Kia, Khairiyah Md Yunus dan Sutinah bt Abu telah melalui peguam Mohamed Hanipa & Associates memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapat antara lain perintah certiorari bagi membatalkan keseluruhan projek Rapid di Pengerang tersebut.

Pada pendengaran pagi ini, 4 penduduk tersebut diwakiki oleh Encik Mohamed Hanipa Maidin bersama sama Encik Nasar Khan dan Azhana Mohd Khairudin manakala Peguam Negara diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Cik Kogilamabigai dan Kerajaan Negeri Johor pula diwakili oleh Tuan Sharizan Shaari.

Internet percuma 30 minit bukan kehendak rakyat

Salmiyah Harun, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Pemberian internet percuma untuk 30 minit pertama sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak mencapai apa yang dikehendaki rakyat.

Inisiatif yang diberikan kerajaan itu, jelas Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil ianya terlalu jauh berbanding tawaran Buku Jingga Pakatan Rakyat yang menawarkan internet atau wifi secara percuma kepada seluruh rakyat negara ini.

"Setengah jam pertama tidak ada erti apa-apa hanya sekadar boleh buka internet sahaja. Setiap individu mengambil masa paling minima selama empat jam menghadap internet, selepas waktu kerja, ini tidak termasuk waktu siang. Setengah jam pertama terlalu sedikit," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, ramai sedia maklum rangkaian internet di luar bandar masih lagi tidak meluas malah masalah kelajuan internet hingga kini terus dipersoalkan.

"Macam mana hendak bagi percuma 30 minit pertama, nak buka internet d iluar bandar pun merangkak-rangkak, sudah tentu 30 minit pertama rugi macam tu sahaja. Kalau betul-betul hendak mendahulukan rakyat, bagilah betul-betul," katanya.

Khairul turut mempersoalkan kerajaan yang tiba-tiba sahaja mengumumkan insentif itu sedangkan sebelum ini Perdana Menteri sendiri mengatakan janji Pakatan Rakyat membanrupkan negara termasuk memberi wifi percuma.

"Perdana Menteri sendiri yang meniru janji Pakatan Rakyat, mengapa dia pula membuat perkara yang sama dengan janji Pakatan Rakyat. Kalau dia kata bankrup kenapa perlu laksana internet percuma," katanya.

Sebelum ini, Buku Jingga Pakatan Rakyat menawarkan wifi percuma kepada seluruh rakyat negara ini, tawaran itu mendapat keceman Umno BN yang mengatakan janji yang ditawarkan itu boleh membankrapkan negara.

Semalam, Najib Tun Razak hari ini mengumumkan perkhidmatan Internet percuma bagi setengah jam pertama kepada warga miskin di bandar dan luar bandar.

Butiran lengkap mengenai perkara itu akan disediakan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Tak boooo baaaaa lagi ni memang sah salah Anwar!

Harakahdaily, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Ekoran khabar angin Parlimen dibubarkan hari ini tidak menjadi, tersebar juga mesej, "Ini semua salah Anwar" kerana apa-apa saja yang berlaku di negara ini semuanya salah Anwar.

Sejak pagi tadi, khabar angin tersebar kononnya Parlimen akan dibubarkan hari ini. Malah ada yang mengatakan, Perdana Menteri akan mengumumkan pembubarannya tepat 12.35 tengahari.

Ini ekoran berita bergambar konvoi kenderaan PM memasuki Istana Negara jam 8.31 pagi tadi.

Berita angin Parlimen akan dibubarkan hari ini, 20 Mac tersebar sejak beberapa hari lalu.

Menurut berita angin itu, penamaan calon akan berlangsung 30 Mac manakala pilihan raya akan berjalan pada 13 Mac nanti.

Namun dengan berlalunya masa-masa yang disebutkan itu, Parlimen tidak lagi dibubarkan hari ini.

"Tak boooo baaaaa lagi ni memang sah salah Anwar!! Boooo baaaaa lah," tulis Khalid Samad, anggota Parlimen Shah Alam dalam Twitternya.

Tepat jam 1.00 tengahari tadi, Pejabat Media Perdana Menteri Malaysia (gambar atas) menyebarkan maklumat melalui Twitter memaklumkan khabar angin yang menyatakan Parlimen akan dibubarkan hari ini, oleh Perdana Menteri tidak benar sama sekali.

Bagaimana pun menurut sumber, mesyuarat Kabinet Malaysia yang berlangsung hari ini adalah mesyuarat kabinet terakhir untuk penggal ini.

Harakahdaily dimaklumkan, tidak ada sebarang kertas Kabinet diluluskan sebagaimana biasa.

Beberapa hari lalu, Najib bersama timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin mengadakan perbincangan marathon dengan ketua-ketua BN setiap negeri dari seluruh negara.

Menurut sumber, muka Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said paling masam sebaik sahaja keluar dari perbincangan itu.

Keselamatan: Jangan salahkan polis, tentera

Hazayani Zakaria, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan semua pihak agar tidak menyalahkan pembangkang, polis dan tentera dalam soal keselamatan negara.

Sebaliknya tegas beliau, menjadi tanggungjawab kerajaan iaitu parti pemerintah memastikan kedaulatan negara terjamin khususnya dalam peristiwa pencerobohan Lahad Datu.

"Sepatutnya apa yang berlaku dalam negara sama ada keselamatan, ekonomi yang bertanggungjawab ialah parti yang memerintah. Tidak boleh dipersalahkan pembangkang, jangan disalahkan polis dan tentera (kerana) mereka adalah jentera kerajaan (dan) bergantung kepada dasar dan polisi yang diamalkan oleh kerajaan," kata beliau pada sidang media Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut semalam.

Beliau juga berkata, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut bertanggungjawab di atas kepincangan yang berlaku dalam negara ketika ini.

"Khususnya mereka yang masih hidup sejak Tun Mahathir sehingga selepasnya di mana kebocoran berlaku adalah kerana kealpaan mereka dalam mengendalikan urusan negara ini.

"kita terus menghadapi bukan sahaja masalah inflasi yang tidak turun tetapi sentiasa naik, walaupun kenaikan gaji imbuhan tidak selaras dengan kenaikan harga barang.

"Isu keselamatan negara kita lihat sendiri keselamatan ini bukan sahaja polis dan tentera termasuk jiwa rakyat. Lahad Datu dan kawasan  sekitarnya masih lagi hidup dalam kampung air. Tun Mahathir buat kenyataan media nak selesai kampung air, itu masa (zaman) dia dah ada kenapa tak selesai masa (zaman) dia?" soalnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu terus mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan berhubung jumlah warga asing yang didaftarkan sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Katanya, beliau yakin senarai nama tersebut ada dalam rekod SPR.

"Saya bertanya kepada dalam ratusan yang dapat kad pengenalan itu, sudah berapa yang didaftar masuk sebagai pengundi dan berapa yang ada di semenanjung. Pengerusi SPR kata ia tidak boleh memberi penjelasan kerana kes itu dalam siasatan ertinya ada angka-angka itu dalam SPR.

"Bahkan pengerusi kata kalau ada pengundi muka Bangladesh tak boleh apa-apakan kerana mereka ada kad pengenalan yang sah. Saya yakin SPR ada angka itu dan kita nak tahu," katanya.

Sebelum itu, Pakatan Rakyat memutuskan akan menubuhkan Majlis Penasihat Keselamatan bagi membincangkan soal-soal keselamatan yang berlaku di dalam negara ini.

Azzimuddie Kiram bekas ADO dan rakyat Malaysia

Muhammmad Faizal, 20 Mac 2013

(Rafizi dan Derell dalam sidang media hari ini)

PETALING JAYA: PKR mendakwa Raja Muda Sulu yang mengetuai Kesultanan Sulu menceroboh Sabah sekarang, Agbimudin @ Azzimuddie Kiram merupakan seorang bekas kakitangan awam dan juga merupakan rakyat Malaysia setelah diberi kad pengenalan.

Dakwaan ini dibuat Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pada satu sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi ini. Beliau menyertakan dokumen berkaitan bagi menyokong dakwaannya itu.

Rafizi yang menjelasksan sejak pencerobohan di Lahad Datu berlaku banyak spekulasi timbul akibat maklumat yang samar-samar yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai penjawat awam tertinggi yang bertanggungjawab kepada rakyat.

Menurutnya lagi, sejak tercetusnya pencerobohan itu, PKR telah mengadakan pertemuan dengan penduduk tempatan untuk cuba memdapat maklumat lanjut mengenai latar belakang tokoh-tokoh yang berada dalam kumpulan penceroboh, yang antaranya adalah ketua kumpulan itu sendiri yang mengelarkan dirinya sebagai Raja Muda.

"Salah satu persoalan yang paling besar ialah latar belakang kumpulan bersenjata ini, walaupun secara rasminya mereka diisytiharkan sebagai orang asing dari satu kumpulan yang mewakili Kesultanan Sulu.


(Dokumen yang menunjukkan Agbimudin @ Azzimuddie Kiram bekas kakitangan awam)

"Namun maklumat yang kita perolehi dari penduduk setempat adalah Azzimuddie Kiram ini pernah bertugas sebagai pegawai kerajaan di Pejabat Daerah Kudat dan mengesahkan beliau adalah rakyat Malaysia," jelasnya.

Menurut Rafizi lagi, Timbalan Setiausaha Agong PKR, Darell Leiking telah menjejaki maklumat kakitangan Kerajaan Negeri Sabah di beberapa tempat termasuklah di Jabatan Arkib Negara Sabah.

Dari maklumat 'Senarai Kakitangan 1975, Perkhidmatan Awam Sabah' seperti yang disimpan di Jabatan Arkib Negara Sabah mengesahkan Datu Agbimudin Kiram tersenarai sebagai Pengawai Pentadbir Muda di Daerah Kudat dengan lantikan bermula 1 Mac 1974 bergaji RM610 sebulan.

PKR mendesak agar Najib tampil memberi menjelaskan berapa ramai di kalangan penceroboh bersenjata merupakan rakyat Malaysia.

"Kita juga ingin tahu dari kalangan penceroboh bersenjata berapa ramaikan mereka merupakan ahli Umno.

"Kenapa Najib tidak berterus terang dengan rakyat bahawa ketua kumpulan bersenjata ini adalah rakyat Malaysia berasal dari Filipina yang diberikan kad pengenalan biru," sambung Rafizi lagi.

Rafizi yang turut menegaskan penemuan ini membuka dimensi baru mengenai pencerobohan ini jelas mengesahkan hubung kait di antara pencerobohan bersenjata dengan projek IC yang dikaitkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Umno.

PKR akan turut menganjurkan Bicara Kedaulatan dan Keselamatan Negara (BKKN) dalam bentuk forum bagi memgupas perkara tersebut yang akan disertai Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid (Mantan Timbalan Panglima Tentera Darat) dan Yusuf Barji (mantan Penolong Pesuruhjaya Polis / ACP dan Pengarah Cawangan Khas PDRM Sabah) di Kuala Lumpur, Sungai Petani dan Johor Bahru.

Rupanya harta mewah Rosmah adalah hadiah, bukan dibeli

Harakahdaily, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Kini jelaslah bahawa kesemua harta mewah yang dipakai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bukan dibeli, tetapi dihadiahkan oleh tetamunya.


“Timbul pula keraguan di hati rakyat, siapakah individu terbabit dan apakah niat mereka menghadiahkan semua perhiasan mewah itu?” tanya Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Katanya, sebagai isteri Perdana Menteri, Rosmah perlu mengetahui bahawa beliau adalah individu berprofil tinggi.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Datin Seri Rosmah Mansor menjawab segala tohmahan mengenai perhiasan yang dipakainya selama ini dengan beliau mengaku segala perhiasan yang dipakainya adalah hadiah dari para tetamunya, dan beliau memakainya demi menjaga hati individu berkenaan.

Sebegitu jujur isteri PM membuat pengakuan. Kini jelaslah bahawa kesemua harta mewah yang dipakainya bukan dibeli, tetapi dihadiahkan oleh tetamunya.

Timbul pula keraguan di hati rakyat, siapakah individu terbabit dan apakah niat mereka menghadiahkan semua perhiasan mewah itu?

Sebagai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah perlu mengetahui bahawa beliau adalah individu berprofil tinggi.

Perdana Menteri adalah pemilik kuasa tertinggi eksekutif di negara ini, yang mampu menentukan sesuatu perkara. Beliau boleh mengatakan tidak atau ya jika mahu apa sahaja yang dikehendakinya.

Justeru, ramai yang memasang angan-angan mahu bertemu dengan PM, terutama mereka yang mempunyai kepentingan tertentu dalam perniagaan, sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Tidak mungkin Datin Seri Rosmah tidak tahu atau tidak diberitahu bahawa menerima hadiah dari mana-mana individu boleh menimbulkan suatu persepsi buruk kerana ia boleh dianggap menerima rasuah.

Beliau harus sedar, selaku isteri PM beliau telah menerima hadiah semahal atau sebanyak itu.

Bagaimana sekiranya beliau adalah isteri kepada rakyat biasa di peringkat bawahan.

Semahal itu jugakah hadiah yang diperolehinya?

Terlalu pemurahkah individu terbabit untuk menghadiahkan sesuatu kepada Datin Seri Rosmah sekiranya suami beliau bukan Perdana Menteri Malaysia?

Apakah kerana namanya Datin Seri Rosmah, yang disayangi dan dikasihi maka beliau mendapat hadiah tersebut dan bukan kerana statusnya sebagai isteri PM?

Bayangkan sekiranya pengakuan tersebut lahir dari pegawai kerajaan atau isteri mereka, yang berkuasa meluluskan atau tidak sesuatu projek kerajaan.

Sudah pasti mereka akan ditangkap dan dituduh dengan pelbagai dakwaan menerima suapan atau rasuah.

Dalam hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memberi respons segera bagi memastikan integriti badan tersebut dipelihara.

Rakyat melihat apakah SPRM benar-benar telus terhadap rakyatnya dengan tidak mangamalkan sikap ‘dwi standard’.

Sekiranya benar segala perhiasan beliau dihadiahkan oleh individu tertentu maka dia perlu menjaga hati mereka, beliau perlu mendedahkan siapa individu terbabit, meskipun mereka adalah ketua-ketua negara atau tetamu luar negara.

Ia perlu dijelaskan supaya tidak timbul kekeliruan mengenai pemberian hadiah tersebut.

Apakah hadiah dari tetamu khususnya dari luar negara adalah miliknya sebagai koleksi peribadi atau milik kerajaan kerana biasanya beliau dan suaminya hadir atas kapasiti mewakili kerajaan Malaysia?

Datin Seri Rosmah atau PM sendiri perlu menjawab bagi memastikan diri mereka benar-benar bersih dari anasir rasuah.

Rakyat tidak mahu pemimpin negara terpalit dengan sebarang unsur rasuah yang merosakkan negara.

Ribuan rakyat Terengganu bantah tarik balik saman Petronas

Harakahdaily, 20 Mac 2013

(Antara rakyat Terengganu yang berarak ke pejabat Ahmad Said di Wisma Darul Iman hari ini - Gambar Yahya Ali)


KUALA TERENGGANU: Ribuan rakyat Terengganu hari ini turun bagi membuat bantahan terhadap tindakan kerajaan negeri menarik balik saman terhadap Petronas berkaitan royalti minyak negeri itu.

Mereka berarak kira-kira setengah kilometer dari perkarangan Ibu Pejabat Polis Terengganu hinggalah ke perkarangan Wisma Darul Iman.

Perarakan ini dibuat sempena genap setahun Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad said menarik balik saman yang dikemukakan oleh kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat dahulu.

20 Mac 2012 lalu, Ahmad Said mengumumkan kerajaan negeri Terengganu menarik balik saman ke atas Petronas dan Kerajaan Pusat yang dikemukakan kerajaan negeri sebelum itu.

Kerajaan Pusat pimpinan Tun Dr Mahathir telah memansuhkan royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu.

Ia digantikan dengan wang ehsan dari kerajaan Pusat kepada Terengganu yang tidak lagi disalurkan kepada kerajaan negeri tetapi Umno atau pihak-pihak yang dikehendaki olehnya.

Ekoran itu, hari ini kumpulan yang menuntut royalti untuk Terengganu, 'R' mengadakan perhimpunan dan menyerahkan memorandum kepada Ahmad Said.

Perhimpunan ini dipimpin oleh Bapa Saudara kepada Sultan Terengganu, Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ismail.

Dari 'tepi reban ayam' ke 'di reban ayam'

Harakah, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: “Apa yang saya kata sebelum ini ialah, jika tentera tidak membuat risikan dengan proper (kemas), maka tentera terpaksa cari musuh di tepi rumah orang, tepi reban ayam.

“Saya menyentuh kegagalan perisikan. Utusan dah spin (putar belit) kenyataan saya. Saya akan saman mereka,” kata Lefternan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid (gambar).

Utusan Online pada 13 Mac lalu melaporkan Ghafir sebagai memperlekeh cara polis dan tentera menangani pengganas sehinggakan “hanya duduk di bawah rumah orang dan di reban ayam”.


Dapatkan laporan penuh dalam Harakah cetak mulai esok.

Tiada ulasan: