Kubu bertukar 'kubur' untuk Umno di Johor?
Harakahdaily, | 31 Mac 2013 |
(Awang menyerahkan borang menyertai PAS kepada Mazlan Aliman)
JOHOR BAHRU: Jangan terkejut jika pilihan raya umum kali ini bakal menukarkan negeri Johor yang menjadi kubu Umno selama ini kepada 'kubur' untuk parti itu.
Ini kerana gelombang perubahan secara besar-besaran sedang berlaku di Johor pada setiap hari.
Kemasukan beramai-ramai pemimpin dan ahli Umno ke dalam PAS dan Pakatan Rakyat sedang rancak mutakhir ini.
Malam tadi 30 orang ahli Umno dari Kampung Sri Aman dalam Parlimen Tebrau menyertai PAS.
Ia diketuai oleh Awang Bakar, 55 tahun, bekas Ketua Cawangan Umno Sri Aman dan AJK UMNO Bahagian Tebrau. Beliau menyertai Umno sejak tahun 1981.
Kampung yang menjadi kubu Umno puluhan tahun telah ditubuhkan Cawangan Penaja PAS.
Baru dua minggu lalu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima kemasukan hampir 50 orang ahli Umno dalam majlis ceramah di Sungai Tiram, juga dalam Parlimen Tebrau.
Menurut Awang, Umno bukan lagi membela orang Melayu, sebaliknya hanya memperkayakan pemimpin sahaja.
"Pemimpin korup, salah guna kuasa dan menyeleweng. Sampai bila orang Melayu nak pertahankan pemimpin seperti ini?" katanya.
Beliau juga kesal dengan sikap pemimpin Umno yang mempergunakan ahli bawahan untuk kepentingan peribadi mereka.
"Ahli Umno di bawah kerja separuh mati, pemimpin senang lenang!" jelasnya.
Baginya, PAS adalah pilihan terbaik. Kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi terbukti mendidik rakyat dan memandu kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Beliau menyeru rakan-rakannya agar berhijrah kearah hidup lebih bermakna dengan menyokong perjuangan Islam yg di bawa PAS.
"Alhamdulillah, berbondong-bondong ahli Umno sertai PAS. Tsunami politik secara drastik di Johor. Umpan dan fitnah nampaknya tiada kesan," kata AJK PAS Pusat yang juga Ketua Penerangan PAS Johor ketika mengulas fenomena ini.
Bagi beliau, peluang untuk Pakatan kini semakin cerah dari hari ke hari di Johor.
Kit Siang ke Johor tingkat sokongan untuk Pakatan
Muhammad Faizal, | 31 Mac 2013 |
SEREMBAN:
Lonjakan sokongan pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina terus
meningkat kepada 85 peratus apabila Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit
Siang mengumumkan akan bertanding di Johor pada pilihan raya umum nanti.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menjelaskan, sebelum ini sokongan bukan Melayu berada pada paras 80 peratus.
"Saya selalu mengatakan bukan senang untuk kita menang di Johor atau tawan kerusi di sana, tetapi perkembangan muktahir ini saya berkeyakinan bahawa Johor akan menjadi milik Pakatan Rakyat," jelasnya pada program ceramah Jelajah Negara Berkebajikan di Paroi, malam tadi.
Malah menurut beliau lagi, perkembangan terkini selain Johor, Sabah dan Sarawak juga akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
"Tanda-tanda bahawa Barisan Nasional (BN) akan tumbang tidak lama lagi telah ada.
"Kita lihat bagaimana Perdana Menteri masih belum lagi dianugerahkan dengan keberanian untuk bubar parlimen, malah Perdana Menteri juga sanggup memalukan dirinya apabila membiarkan Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Beliau yang berucap di hadapan kira-kira 1,000 hadirin turut menjelaskan prestasi Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan jauh lebih hebat jika dibandingkan dengan BN.
KUALA LUMPUR: Para pembaca Facebook dan Twitter Harakahdaily paling meminati artikel blog tulisan Omak Kau bertajuk “Gambar samseng Umno kena cekup kacau program orang” bagi minggu ke-12, 2013.
Artikel bertajuk “Jika parlimen tidak bubar awal minggu ini” pula menjadi artikel kedua paling diminati minggu lepas. Artikel ini menceritakan desakan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) agar pembubaran parlimen diadakan segera.
Di tangga ketiga pula ialah berita artikel terhangat minggu ke 11 bertajuk “Najib pun tak kan berani tanya soalan ini, terhangat.”
Berikut ialah 10 artikel terhangat bagi minggu 24 hingga 30 Mac:
PASIR PUTEH: Perletakan batu asas Kompleks Stadium Kelantan yang menelan belanja RM237 juta akhirnya berjaya dilaksanakan semalam.
Stadium yang bakal dilengkapi dengan peralatan yang serba canggih itu terletak di Bukit Merbau, kira-kira 33 kilometer dari Kota Bharu.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, diberi penghormatan untuk melakukan majlis pecah tanah dan perletakan batu asas. (Gambar atas)
Kompleks sukan itu didirikan di atas tanah seluar 50 ekar milik kerajaan negeri berbanding keluasan keseluruhannya 75 ekar.
Pembinaan stadium ini menjadi hasrat dan cita-cita rakyat untuk terus maju dalam bidang sukan khususnya bola sepak.
Tuan Guru ketika berucap memberitahu, kerajaan Pusat tidak pernah berhenti daripada mengkhianati Kelantan dalam segala hal termasuk soal pembangunan.
Jelasnya, kerana keenganan Pusat untuk membantu Kelantan menyediakan stadium yang lebih canggih membuatkan kerajaan negeri terpaksa berusaha sendiri.
“Hasil mahsul kerajaan negeri sendiri seperti royalti disekat oleh golongan ini semata-mata bertujuan untuk melihat Kelantan tidak mampu membantu rakyat,” ujarnya.
Turut berucap pada majlis yang penuh bersejarah itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Datuk Abdul Fatah Mahmod.
Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dun, Datuk Mohd Nasaruddin Daud, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Meja B Md Anizam, Wan Ubaidah Omar.
Hampir 4,000 rakyat Kelantan hadir untuk meraikan majlis yang penuh bersejarah itu.
Terdahulu sebanyak 700 buah motosikal yang ditunggang anak muda mengiringi Tuan Guru masuk ke tempat perasmian.
Hadir sama pada majlis tersebut 20 orang pemain bola sepak lagenda Kelantan dan pemain antara tahun 70-an dan 80-an.
Husam ketika berucap pada majlis itu berkata, stadium tersebut bakal memuatkan 45,000 tempat duduk, ruang kemudahan untuk VIP dan VVIP, lapan ruang untuk solat.
Selain itu katanya, terdapat juga dewan, masjid yang boleh memuatkan 1,000 jemaah, kemudahan media, admin, keselamatan, dataran serbaguna dan berbagai lagi.
“Tempat parkir kereta sebanyak 4,000 buah dan bas 50 buah, tempat parkir untuk media, pasukan keselamtan dan VIP juga turut disediakan,” ujarnya.
SETELAH
UMNO diharamkan oleh mahkamah tahun 1988, maka Dr. Mahathir Mohamad
telah mendaftarkan semula parti itu atas nama UMNO (Baru) dan ia
diluluskan.
Maka semua UMNO bahagian yang ada sebelum diharamkan ditaja dan masing-masing menaja cawangan. Perti hidup semua dan bergerakan. Lepas itu kalimah Baru dalam kurungan disetuju dipadamkan, jadilah ia seperti UMNO sedia kala.
Lama kelamaan seorang ahli UMNO yang jujur dan mematuhi undang-undang membuat carian dalam ROS mendapati tiada satu pun cawangan UMNO di bahagaian itu wujud dalam pendaftaran. Padahal UMNO Bahagian itu sudah menaja 126 cawangan dan setiap cawangan bergerak mengikut keupayaannya.
ROS ada membuat tanyaan pada UMNO tetapi merasa ia kebal, tanyaan itu tidak diindahkan. Lalu ahli UMNO yang membuat carian itu mengemukakan kepada mahkamah, bertanya kesahihan UMNO Bahagian itu.
Adapun UMNO yang diharamkan oleh Al-Marhum Hakim Tan Sri Haron Hashim dulu ialah kerana ada ahli-ahli UMNO yang tidak sah menjadi perwakilan dalam Perhimpunana Agung UMNO dan mereka mengambil bahagian terhadap apa jua yang dibuat dan diputuskan oleh perhimpunan itu. Maka sabit kesalahannya, lalu UMNO diharamkan.
Mahkamah akhirnya memutuskan UMNO Bahagaian Tanah Merah tadi haram kerana ia hidup sejak ditaja hinggalah menjadi perwakilan dalam Perhimpunan Agung dengan 126 cawangan sebagai cawangan yang tidak wujud dalam pendaftaran. Cawangan seperti itu adalah pertubuhan haram.
Ini bererti UMNO yang hidup semula hanya sah sehingga ia mengadakan perhimpunan agung yang pertama. Perhimpunan yang pertama itu dihadiri oleh perwakilan Tanah Merah yang haram yang sepatutnya diketahui oleh UMNO Bahagian. Ia sepatutnya tahu mana cawangannya yang tidak haram dan memastikan semua cawangan mengadakan mesyuarat agung dulu sebelum menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian.
Apabila cawangan tidak memenuhi syarat maka ia tidak boleh menghantar wakil ke mesyuarat Bahagian. Apa wakil cawangan itu tidak sah mengambil bahagian dalam mesyarat Bahagian, maka Bahagian itu sendiri haram.
Perhubungan UMNO Kelantan sepatutnya memastkan setiap Bahagiannya sah. Ia patut melarang Bahagian yang haram menghadiri Perhimpunan Agung.
Apabila perhimpunan disertai oleh perwakilan Tanah Merah yang haram, maka perhimpunan itu juga jadi perhimpunan haram.
UMNO yang baru dihidupkan semula itu hanya sah sehingga ia mengadakan Perhimpunan Agung yang pertama. Apabila ia mengadakan Perhlimpunan Agung bersama UMNO Tanah Merah yang haram, maka ia pun haram serta merta. Cuma pada masa itu tidak orang yang mengambil tahu ia halal atau haram. Orang tidak tahu. Rupanya UMNO Tanah Merah menghantar perwakilan tiap-tiap tahun dan ia bergiat setiap tahun dalam Perhubngan UMNO Kelantan. UMNO 126 cawangan di Tanah Merah haram, UMNO Tanah Merah haram, UMNO Perhubungan Kelantan haram dan UMNO Malaysia pun haram.
Itu yang diketahui. Dipercayai banyak lagi cawangan di seluruh negara wujud secara haram.
UMNO itu sudahlah malang. Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim yang menjadi pemimpin Semangat 46 pula membubarkan partinya menyertai semula UMNO haram itu.
Kalau UMNO haram, apakah BN tidak haram. BN wujud setelah ada UMNO. Kalau parti haram memimpin BN patutnya BN tidak sah juga. Dari tahun 1988 Malaysia telah diperintah oleh pertubuhan haram.
Pagi Ahad lalu, dalam tempoh tidak sampai dua bulan, sekali lagi saya
berkunjung ke Temerloh. Selain berhasrat menyerahkan lebih 5,000 naskhah
Bangkit untuk edaran negeri Pahang, saya cuba menyelami perkembangan
mutakhir politik negeri yang seolah-olah "tidak begitu diperhatikan"
itu.
Ketika ramai penganalisis lebih tertumpu ke selatan tanahair, khususnya Negeri Sembilan dan Johor, yang dilihat berupaya membentuk tsunami politik dari bahagian bawah Semenanjung melanda ke utara, hati kecil saya mengimpikan Pahang juga mampu melakar sejarah, sekali gus mengejutkan Najib Razak.
Temerloh yang popular dengan masakan tempoyak ikan patin ini memang menyimpan kisah suka duka pejuang Melayu zaman berzaman. Ia menjadi kubu pertahanan semangat nasionalisme menentang penjajah dan melahirkan ramai wira bangsa. Justeru, slogan perubahan bukan sesuatu yang aneh bagi warganya. Apatah lagi jarak yang relatif dekat dengan Lembah Klang dan faktor demografinya memungkinkan Temerloh menyalakan obor kemenangan Pakatan di Pahang.
Malah, kepada pendokong PAS, Temerloh yang menempatkan Pejabat Perhubungan Negeri dan menjadi pusat kegiatan parti, serta tunjang kekuatan mewakili kawasan tengah Pahang, memberi makna tersendiri. Temerloh mempunyai jumlah cawangan dan keahlian PAS paling ramai di negeri Perdana Menteri ini.
Kebetulan 24 Mac itu, Pejabat Dun Kuala Semantan, di Damai Courts, Jalan Damai, Temerloh, menganjurkan program Himpunan Rakyat Semantan, bermula 9 pagi hingga lewat tengah malam. Sambutan sekitar jam 12 tengah hari, ketika saya tiba, agak meriah. Ramai kanak-kanak dan ibu bapa terlibat dalam acara kekeluargaan. Malamnya dijadualkan pidato rakyat.
Sempat seorang warga emas, pembaca setia Harakah, beramah mesra dan seperti mahu bersembang panjang, sebelum saya diajak naik ke tingkat satu bersama Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus dan naibnya, Syed Hamid Syed Mohamed, yang juga Adun Kuala Semantan.
Perbincangan santai kami turut disertai Timbalan Yang Dipertua, Hassanuddin Salim, Ketua Pemuda, Ustaz Muhammad Shukri Shuib dan wartawan Harakah Pahang, Basiron Abd Wahab. Meskipun agak terganggu dengan kebingitan program di bawah pejabat, termasuk persembahan tabla yang rancak, saya tetap terkesan dengan harapan cukup tinggi agar wakil PAS terpilih sebagai calon Pakatan untuk kerusi Parlimen Temerloh.
(Lima tahun lalu, di saat-saat akhir menjelang hari penamaan calon PRU2008, pimpinan di peringkat pusat memutuskan PAS perlu memberi laluan kepada calon KeADILan untuk bertanding di Temerloh. Dan tentunya arahan itu diterima kepemimpinan kawasan).
Saya lebih suka mendengar sambil cuba menyelami kegelisahan mereka menanti konsensus pimpinan tertinggi. Ya, ketika semua potensi kekuatan dikerah untuk berdepan pilihan raya paling sengit, tentu sekali soal dalaman tidak boleh dibiarkan menganggu konsentrasi, apatah lagi kawasan sekitar Temerloh, seperti Bera, Jerantut dan Kuala Krau, juga merupakan kerusi sasaran.
Sejumlah 42 kerusi Dun ditawarkan di Pahang dan PAS diberi kepercayaan bertanding separuh daripadanya, iaitu 21 kerusi, manakala KeADILAN, 14 dan DAP, 7. Bagaimanapun saya difahamkan, agihan kerusi di antara DAP dan KeADILan masih dalam perbincangan.
Di peringkat Parlimen, secara umumnya PAS dan KeADILan diperuntukkan masing-masing enam kerusi dan selebihnya, dua, kepada DAP. Namun, ada beberapa kerusi bertindih, melibatkan ketiga-tiga parti, belum diputuskan secara rasmi.
Berdasarkan laporan blog Selamatkan Pahang, menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Pahang (JPN), Cikgu Abdul Majid Hasan, kerusi Dun yang akan ditandingi PAS ialah N2 Jelai, N3 Padang Tengku, N8 Dong, N9 Tahan, N11 Pulau Tawar, N12 Beserah, N15 Tanjung Lumpur, N16 Inderapura, N17 Sungai Lembing, N19 Panching, N20 Pulau Manis, N21 Peramu Jaya, N24 Luit, N26 Chenor, N28 Kerdau, N29 Jengka, N32 Kuala Semantan, N36 Pelangai, N37 Guai, N40 Bukit Ibam dan N42 Tioman.
Selain empat Dun yang sudah dimenangi Pakatan, iaitu dua oleh PAS di Kuala Semantan dan Beserah, serta dua oleh DAP di Triang dan Tras, terdapat lapan kerusi Dun yang menyaksikan kekalahan di bawah 1,000 undi pada PRU2008, iaitu Sabai (145), Teruntum (293), Tanjung Lumpur (496), Damak (509), Tanah Rata ( 575), Jengka (596), Inderapura (873) dan Ketari (882).
Manakala lapan Dun lagi majoriti kekalahan Pakatan di bawah 1,500 ialah Luit (1,068), Bilut (1,108), Padang Tengku (1,188), Cheka (1,280), Tahan (1,357), Benta (1,358), Jenderak (1,374) dan Panching (1,444).
Untuk menguasai Wisma Sri Pahang, beberapa kerusi yang menyaksikan perbedaan undi sekitar 2,000, seperti Guai (1,941), Semambu (2,136), Lanchang (2,139) Batu Talam (2,415) dan Mentakab (2,439) juga harus diberi penekanan istimewa.
Dalam pertemuan sebelumnya dengan Pesuruhjaya Negeri, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Perhubungan, Roslan Zainal Al-Ahmadi, saya dimaklumkan, cabaran besar yang harus ditangani segera ialah penyampaian maklumat yang berkesan, terutama melalui media tradisi di kawasan yang masih sukar ditembusi internet.
II.
Sebagai penggerak utama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang prihatin dengan fungsi media dalam pilihan raya, termasuk menganjurkan Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, di Hotel Nouvelle, pada 12 Mei 2012, saya dengan penuh minat memerhati reaksi terhadap pengumuman Dr Rais Yatim yang menawarkan slot 10 minit setiap parti untuk muncul di RTM menyampaikan manifesto yang siap dirakam.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menolaknya sambil menyifatkan tawaran itu sebagai jenaka dan usaha BN untuk berlakon seolah-olah mereka melaksanakan kebebasan media. Ia juga seolah-olah memperlihatkan Pakatan seperti pengemis.
Menurutnya, Pakatan menuntut diberi hak untuk menjawab pertuduhan dan fitnah yang disiarkan secara berterusan oleh media yang dikawal Umno-BN, bukan sahaja sewaktu musim pilihan raya tetapi sepanjang masa.
Walaupun PAS menghargai keputusan kerajaan itu, namun Ketua Penerangannya, Tuan Ibrahim Tuan Man melihatnya tidak lebih sebagai 'ajak-ajak ayam'. Katanya, dalam tempoh 10 minit, "pembaharuan" itu satu perkara yang mengaibkan.
"Apa pun, PAS masih belum ada keputusan dan perlu berbincang dan akan dimaklumkan kemudian," katanya.
Bagi Pengarah Komunukasi KeADILan, Nik Nazmi Nik Ahmad, partinya juga menolak tawaran 10 minit itu. "Ia satu sandiwara hodoh pihak yang jahil peranan media dalam demokrasi," katanya.
"Peranan media dalam sistem demokrasi ialah memberi liputan dan laporan berita yang objektif, adil dan saksama. Adalah tidak wajar media diperalatkan sebagai mesin propaganda untuk memaksakan pandangan Umno ke atas rakyat. Tawaran ini adalah penghinaan terhadap kepintaran rakyat," ujarnya.
Sebagai pengamal media, saya mengimpikan setiap parti diberi ruang dan masa munasabah, bukan saja dalam TV, tetapi juga radio dan akhbar, serta tidak terhad kepada penjelasan manifesto, iaitu merangkumi persoalan pokok yang perlu dimaklumkan kepada rakyat.
"Semasa siaran manifesto ini ada, semua media dituntut mematikan etika kewartawanan dipertahan dan dipelihara, termasuk hak untuk menjawab," kata seorang rakan saya, wartawan penyiaran berpengalaman. "Walaupun Pakatan menolak, saya masih harapkan slot di RTM itu menjadi kenyataan, dengan tempoh lebih lama," tambahnya.
"Ya," saya mencelah, "tapi isu besar dalam kebebasan akhbar, seperti konsep pemilikan media dan syarat-syarat karut-marut berkaitan permit dan sebagainya harus dimansuhkan."
KAMI juga menuntut tempoh kempen minimum selama 21 hari bagi memastikan setiap pngundi mendapat maklumat secukupnya agar dapat membuat pilihan yang rasional dan tepat.
Dalam pada itu, KAMI masih dalam kempen mendapatkan dana untuk menjayakan projek penerbitan PRU13; salurkan sumbangan ikhlas anda ke dalam akaun Maybank KAMI MEDIA 514075606399.
III.
Sukar menelah apa yang menganggu dan meracau pemikiran Najib Razak sehingga terlalu sukar menentukan tarikh pembubaran Parlimen meskipun berulang kali beliau melahirkan keyakinan bahawa Umno-BN bukan saja menang dalam PRU13, malah berjaya mengembalikan majoriti dua pertiga.
Seperti kata Lim Kit Siang, Najib bukan sekadar Perdana Menteri paling lama di tampuk kuasa tanpa mendapat mandat pengundi, malah beliau mengetuai kerajaan dan kabinet "yang telah tamat tempoh" selepas masa lima tahun berakhir 8 Mac lalu.
Di zamannya juga kita menyaksikan suasana atau mood berkempen paling paling lama bermula semenjak beliau dipilih menggantikan Abdullah Ahmad Badawi pada April 2009. Dalam waktu itu ratusan ringgit dihanguskan untuk mengupah firma perunding seperti Apco Worlwide dan FBC Media baik menaikkan imejnya dalam dan luar negara.
Ternyata Najib belum selesa dengan sokongan yang diperolehinya, walaupun pelbagai insentif tunai dan habuan lain diagihkan kepada rakyat, selain memanipulasi sepenuhnya kes pencerobohan di Lahad Datu, demi survival politiknya, tidak terkecuali dengan cuba mengaitkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.
Sehingga kolum ini ditulis, iaitu tidak sampai 24 jam Dun Negeri Sembilan akan terbubar secara automatik pada tengah malam Khamis, 28 Mac, Najib secara tidak langsung seolah-olah tidak menghormati peranan dan fungsi politik Raja-Raja Melayu yang sedia terhad itu.
Hatta jika Menteri Besar Negeri Sembilan menghadap Yang Dipertuan Besar pada pagi Rabu untuk mencadangkan pembubaran Dun, baginda sebenarnya tidak berpeluang untuk melaksanakan haknya bagi menolak tarikh yang diusulkan itu.
IV.
Lagi tentang Lim Kit Siang, ahli politik berpengalaman hampir lima dekad, yang melalui pelbagai rintangan dan pancaroba, termasuk ditahan ISA dan turun naik mahkamah.
Tokoh yang digeruni seteru politik dan dihormati kerana prinsip dan ketegasannya dalam perjuangan ini mencetuskan dua kejutan baru-baru ini. Pertama, beliau memilih Johor atau lebih tepat kerusi Parlimen Gelang Patah untuk bertanding dalam PRU13 sebagai bukti keseriusannya untuk meleburkan kubu kuat Umno itu.
Kedua, kesediaannya untuk bertanding menggunakan lambang PAS sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran DAP ekoran kesilapan dalam pemilihan kepimpinan parti tahun lalu.
"Jika BN salah guna kuasa (batalkan pendaftaran DAP), saya mungkin guna lambang PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat," kata Kit Siang.
Mengulas kenyataan itu, Setiausaha Agung KeADILan menegaskan: "“Umno cuba pecah=belahkan Pakatan dengan isu perkauman tapi bayangkan jika Lim Kit Siang bertanding dengan lambang PAS. Kita mahu tengok apa lagi hujah Umno untuk dimainkan. Umno hendak cakap apa lagi?"
"Jika berlaku pembatalan (DAP), PAS mengalu-alukan calon-calon DAP dan Kit Siang untuk bertanding menggunakan lambang PAS mahupun KeADILan,” kata Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali.
Segera saya terkenang perbualan dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di LCCT, KLIA, Sepang tidak lama selepas saya menjalani pembedahan pintasan jantung.
Sambil mengharapkan kesihatan saya cepat pulih, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyentuh isu-isu yang sengaja ditimbulkan untuk menimbulkan kecurigaan di antara PAS dan DAP.
Beliau berkata, selagi ada tokoh-tokoh lama kedua-dua parti, yang melalui perjuangan berliku puluhan tahun serta mendapat tekanan dahsyat pemerintah, misalnya Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Kit Siang, dia yakin PAS dan DAP akan terus bersama.
Itu bukan satu masalah.
Malah ia bukan sesuatu yang merungsingkan.
Ia hanyalah cubaan Allah.
Pasti ada hikmah di sebaliknya.
Selesainya satu pertengkaran, baik semula, rasa sayang meningkat.
Selesainya satu tugasan berat, dapat pengalaman berharga.
Selesainya satu kekecewaan, dapat pemahaman baru.
Beramal-lah selalu. Jangan berkira sangat. Bantu selagi orang yang kita ingin bantu memerlukan bantuan kita.
Sekiranya bantuan kita menjadi satu masalah kepadanya, bantulah orang lain yang memerlukan bantuan tersebut.
Buat dengan niat baik dan tanpa mengharapkan sebarang pembalasan dari manusia walaupun orang terdekat.
Peganglah bahawa Allah akan membalas niat baik kita tersebut kerana sesungguhnya keikhlasan hati seseorang hanya Allah yang tahu kerana walaupun seikhlas mana hati seseorang bila dinilai manusia ada juga yang menaruh perasaan cemburu dan dengki.
Senyum.
Kita Senyum.
APA yang dapat kita bayangkan kalau pencerohonan di Lahad Datu itu berlaku di Jepun atau di India atau di Perancis?
Nescaya kejadian itu tidak sekadar polis dan tentera mengambil tindakan sewajar mengepung, menawan dan menumpaskan penceroboh dan penyusup, tetapi rakyat akan bangkit meminta pertangggungjawapan kerajaan.
Rakyat tidak akan biar Perdana Menteri dan kerajaan bersenang lenang membuat kenyataan itu dan ini bagi menyalahkan penceroboh saja, tetapi akan diminta beri tunjuk sebab mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan.
Jepun atau Korea Selatan tidak senang melihat Perdana Menterinya bercakap politik atas kejadian itu tetapi dia akan ditanya bagaimana boleh di bawah pentadbirannya nagara boleh dimasuki orang-orang bersenjata menuntut wilayah sebahagian dari wilayah kita secara kekerasan atau apa cara jua?
Kalau tsunami yang melanda Jepun lebih setahun lalu bukanlah disebabkan oleh kecuaian manusia, tetapi kerana kepayahannya menangani segala kesan tsunami itu termasuk logi nuklearnya, maka bukan sekadar Perdana Menteri dikenakan tindakan politik, bahkan kerajaan dan parti yang memerintah dihukum dengan menggantikannya dan kerajaan lailn dan Perdana Menteri lain.
Jika Lahad Datu itu berada di Jepun Perdana Menteri akan disalahkan kerana gagal menjaga keselamatan hingga wilayah boleh dimasuki militan asing. Kedua sesudah wilayah diceroboh mengapa mengambil masa berminggu-minggu untuk bertindak? Ketiga mengapa keselamatan seperti tidak diserah kepada tentera tetapi diserahkan kepada polis sebaik saja kejadian berlaku?
Perdana Menteri nescaya tidak boleh lebih lama duduk di kerusinya. Orang akan minta dia meletakkan jawatan dan beri kerusi itu kepada orang lain. Kalau dalam hal-hal yang tidak sesulit itu Perdana Menteri Jepun, Presiden atau menteri-mentenri Korea Selatan, Perancis dan India dituntut meletak jawatan, maka apa lagilah dalam hal yang melibatkan kedaulatan dan kemerdekaan negara.
Atau paling kurang Perdana Menteri mungkin boleh diselamatkan tetapi Perdana Menteri mesti bertanya menteri dalam negeri mengapa boleh pantai dan sempadan negara ini boleh dimasui bersenjata dari luar, bukan seorang dua tetapi mencapai angka ratus?
Sama ada menteri berkenaan buat kerja atau tidak buat kerja, sama dia lemah atau sebaliknya, dia mesti ditanya dan mesti menjawab dulu. Sama ada dia disuruh berhenti atau dia minta berhenti, dia akan disalahkan dulu dalam kecuaian seperti itu.
Itulah sebabnya kita selalu saksikan menteri di negara-negara tersebut meletak jawatan bukan tunggu dia salah dan cuai, tetapi dia mesti memikul tanggungjawab dan akauntabiliti.
Menteri itu mungkin seorang yang cekap, baik dan bertanggungjawab, tetapi dia ada maruah dan rasa malu, amanah telah diberi kepadanya, tiba-tiba amanah itu tidak dapat disempurnakan. Semua menteri yang bermaruah dalam dunia akan mengambil tanggungjawab atas kelemahan dan kepincangan jabatan di bawahnya dengan meletakkan jawatan.
Menteri Pertahanan juga akan tanya mengapa tidak mengambil tanggungjawab dari mula-mula lagi apabila ia berlaku dengan menyatakan kepada Perdana Menteri bahawa dalam hal seperti itu ia mesti diserahkan kepada tentera, bukan dibiarkan kepada menteri dalam negeri yang lembik.
Menteri Pertahanan tentu dengan nasihat para panglima beritahu Perdana Menteri dan kabinet hal itu mesti ditangani oleh tentera.
Apa pun mana-mana Perdana Menteri yang ada maruah dan tanggungjawab, tidak sekadar membiarkan orang memperleceh menteri-menterinya, dia dulu meletak jawatan. Dia mesti mengambil tanggungjawab menjaga maruah orang-orang di bawahnya.
Kerana Lahad Datu ini berada di Malaysia kerajaan tidak langsung menyalahkan dirinya atau bermuhasabah, tetapi mencari orang lain di luar kerajaan untuk jadi kambing berbagai bulu.
Pertanyaan bilakah tarikh PRU akan diumum telah mendominasi aliran perbualan pelbagai golongan rakyat. Ini menggambarkan bahawa PRU ke-13 ini bersifat luar biasa, menyebabkan begitu ramai orang ingin tahu dan menentukan sikap.
Ruang-ruang twitter dan face-book dan sms hampir dipenuhi perbincangan mengenai tarikh PRU ini dengan pelbagai ulasan - ada yang marah, sedih, lucu dan benci. Tidak kurang pula yang menyuruh bersabar menunggu.
Kata pepatah Melayu, ‘tak lari gunung dikejar, hilang kabut nampaklah ia’. Tetapi ini bukan gunung yang hendak dikejar dan bukan soal kabut yang melidunginya, tetapi soal mandate Umno-BN yang memerintah sudah hampir benar tarikh luputnya, iaitu sehingga 28 April depan, di mana parti itu hingga kini masih dalam dilema untuk menentukan tarikh PRU.
Dun Negeri Sembilan sudah dibubar pada 27 Mac lalu, Melaka dan Johor pada 22 April (tarikh sidang Dun pertama ialah pada 21 April 2008). Ini diikuti oleh Selangor pada 23 April (22 April) dan Perak 26 April (25 April). Selain itu, ada beberapa negeri yang boleh meneruskan kerajaan sehingga selepas Parlimen dibubarkan. Antaranya ialah Kedah, Sabah, Terengganu dan Pulau Pinang yang memulakan sidang Dun mereka pada bulan Mei 2008.
Apapun yang pastinya Parlimen akan bubar dengan sendirinya pada 28 April dan selepas itu SPR akan mengumumkan tarikh PRU Ke-13 bagi Parlimen dan Dun, kecuali Dun Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, PRU kali ini sangat luar biasa, bukan semata-mata kerana isu Lahad Datu, Sabah, khususnya isu Projek IC yang sangat menggemparkan dan berbahaya kepada negara, tetapi juga pelbagai isu besar yang lain. Antaranya isu perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu, isu rasuan, kronisme, nepotisme, pembaziran, ketirisan, isu kejadian jenayah yang sangat menakutkan, isu status pengundi yang masih berkecamuk, isu pengambilan tanah (terutama di Johor), isu sara hidup yang begitu tinggi dan sangat menekan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana serta pelbagai isu lagi.
Semua isu ini terdedah begitu rupa di pelbagai media baru, memberi peluang luas rakyat mengetahuinya. Ia terdedah melalui web-site, twitter, face-book, sms dan pelbagai lagi, hasil dari langit terbuka dunia siber.
Ramai tidak sedar bahawa komunikasi melalui internet ini dicetuskan di zaman Ronald Regan menjadi Presiden Amerika yang ke-40 dari Januari 1981 hingga Januari 1989. Inilah zaman bermulanya internet di Amerika.
Kini dengan penggunaannya yang begitu meluas seluruh dunia, termasuk di Malaysia, menyebabkan begitu banyak rahsia, khususnya di belakang tabir kuasa politik telah terdedah dan diketahui umum.
Oleh itu menjelang PRU Ke-13 ini banyak hal-hal dan isu yang tidak diketahui oleh orang ramai selama ini, termasuk pengundi di luar bandar telah terdedah. Media tradisional yang dikawal ketat oleh kerajaan telah ditewaskan oleh media baru menyebabkan semuanya sudah tidak ada rahsia lagi, semuanya sudah diketahui oleh pengundi bandar dan luar bandar.
Justeru, media baru ini dilihat oleh penganalisis sangat menolong Pakatan Rakyat menyebarkan maklumat yang diketahuinya, yang bukan bersifat fitnah. Skandal projek lembu, isu kapal selam, isu rasuah dan nepotisme sudah terdedah semuanya, bahkan isu Projek IC yang sangat menggemparkan terbongkar begitu rupa.
Semua ini memeranjatkan pelbagai pihak dan tentunya akan mempengaruhi aliran pengundian dalam PRU akan datang dan inilah yang mencemaskan parti yang memerintah.
Anak muda yang pulang ke kampung membawa alat komunikasi Tablets, umpamanya, menunjukkan berita dan gambar pelbagai peristiwa dunia politik yang tidak diketahui oleh ibu bapa di kampung yang selama ini hanya mendapat maklumat melalui media tradisional.
Ada ibu bapa di kampung yang terkejut sakan dan mulanya tidak percaya akan isu-isu yang didedahkan oleh anak mereka, tetapi selepas diterangkan barulah ibu bapa itu beransur percaya. Ini perkembangan menarik menjelang PRU Ke-13 dan inilah kelebihan media baru.
Oleh itu, PRU akan datang ini adalah sangat luar biasa dan critical, di mana parti yang memerintah tidak lagi berupaya mengawal maklumat, justeru semuanya terdedah. Rakyat dilimpahi banjir maklumat yang tidak pernah berlaku dalam sepanjang sejarah pilihan raya tanah air.
Walaupun media tradisional meneruskan propagandanya siang dan malam, tetapi kesannya sangat minima dan ‘tumpul’, justeru ia telah ditewaskan oleh media baru yang sangat berpengaruh. Kemudian ada kesan psikologi dalam masyarakat bahawa mereka yang hanya mendapat maklumat dari sumber media tradisional adalah ketinggalan zaman.
Sementara itu, PRU akan datang ini amat berbeza dengan PRU 10 atau 20 tahun lalu. Ia bukan lagi berlegar mengenai isu pembangunan dan bukan lagi isu perkauman yang jahat di mana di masa lalu isu ini mudah dapat mempengaruhi pengundi.
Isu yang mendominasi pengundi dalam PRU akan datang ialah isu integriti parti dan calon yang bertanding, isu perjuangan keadilan dan kebebasan, isu sara hidup yang tinggi, isu rasuah, nepotisme, ketirisan perbelanjaan negara dan lain-lain.
Inilah yang menyebabkan suasana sekarang sangat memihak kepada Pakatan Rakyat. Oleh itu, dalam keadaan sekarang, pendukung Pakatan Rakyat perlu mempunyai kesabaran yang tinggi, bijaksana menangani isu yang ada dan sentiasa meletakkan diri sebagai pembela rakyat.
Dalam suasana kebangkitan rakyat ini, Pakatan mestilah dilihat mampu bersama mereka dalam gelombang ini, justeru PRU akan datang ini sudah terlalu dekat, hanya beberapa ela saja lagi dari garis kemenangan.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menjelaskan, sebelum ini sokongan bukan Melayu berada pada paras 80 peratus.
"Saya selalu mengatakan bukan senang untuk kita menang di Johor atau tawan kerusi di sana, tetapi perkembangan muktahir ini saya berkeyakinan bahawa Johor akan menjadi milik Pakatan Rakyat," jelasnya pada program ceramah Jelajah Negara Berkebajikan di Paroi, malam tadi.
Malah menurut beliau lagi, perkembangan terkini selain Johor, Sabah dan Sarawak juga akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
"Tanda-tanda bahawa Barisan Nasional (BN) akan tumbang tidak lama lagi telah ada.
"Kita lihat bagaimana Perdana Menteri masih belum lagi dianugerahkan dengan keberanian untuk bubar parlimen, malah Perdana Menteri juga sanggup memalukan dirinya apabila membiarkan Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Beliau yang berucap di hadapan kira-kira 1,000 hadirin turut menjelaskan prestasi Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan jauh lebih hebat jika dibandingkan dengan BN.
Gambar samseng Umno kena cekup, terhangat
Harakahdaily, | 31 Mac 2013 |
Artikel bertajuk “Jika parlimen tidak bubar awal minggu ini” pula menjadi artikel kedua paling diminati minggu lepas. Artikel ini menceritakan desakan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) agar pembubaran parlimen diadakan segera.
Di tangga ketiga pula ialah berita artikel terhangat minggu ke 11 bertajuk “Najib pun tak kan berani tanya soalan ini, terhangat.”
Berikut ialah 10 artikel terhangat bagi minggu 24 hingga 30 Mac:
Pusat enggan, Kelantan bina sendiri stadium
Rizal Tahir, | 31 Mac 2013 |
PASIR PUTEH: Perletakan batu asas Kompleks Stadium Kelantan yang menelan belanja RM237 juta akhirnya berjaya dilaksanakan semalam.
Stadium yang bakal dilengkapi dengan peralatan yang serba canggih itu terletak di Bukit Merbau, kira-kira 33 kilometer dari Kota Bharu.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, diberi penghormatan untuk melakukan majlis pecah tanah dan perletakan batu asas. (Gambar atas)
Kompleks sukan itu didirikan di atas tanah seluar 50 ekar milik kerajaan negeri berbanding keluasan keseluruhannya 75 ekar.
Pembinaan stadium ini menjadi hasrat dan cita-cita rakyat untuk terus maju dalam bidang sukan khususnya bola sepak.
Tuan Guru ketika berucap memberitahu, kerajaan Pusat tidak pernah berhenti daripada mengkhianati Kelantan dalam segala hal termasuk soal pembangunan.
Jelasnya, kerana keenganan Pusat untuk membantu Kelantan menyediakan stadium yang lebih canggih membuatkan kerajaan negeri terpaksa berusaha sendiri.
“Hasil mahsul kerajaan negeri sendiri seperti royalti disekat oleh golongan ini semata-mata bertujuan untuk melihat Kelantan tidak mampu membantu rakyat,” ujarnya.
Turut berucap pada majlis yang penuh bersejarah itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Datuk Abdul Fatah Mahmod.
Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dun, Datuk Mohd Nasaruddin Daud, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Meja B Md Anizam, Wan Ubaidah Omar.
Hampir 4,000 rakyat Kelantan hadir untuk meraikan majlis yang penuh bersejarah itu.
Terdahulu sebanyak 700 buah motosikal yang ditunggang anak muda mengiringi Tuan Guru masuk ke tempat perasmian.
Hadir sama pada majlis tersebut 20 orang pemain bola sepak lagenda Kelantan dan pemain antara tahun 70-an dan 80-an.
Husam ketika berucap pada majlis itu berkata, stadium tersebut bakal memuatkan 45,000 tempat duduk, ruang kemudahan untuk VIP dan VVIP, lapan ruang untuk solat.
Selain itu katanya, terdapat juga dewan, masjid yang boleh memuatkan 1,000 jemaah, kemudahan media, admin, keselamatan, dataran serbaguna dan berbagai lagi.
“Tempat parkir kereta sebanyak 4,000 buah dan bas 50 buah, tempat parkir untuk media, pasukan keselamtan dan VIP juga turut disediakan,” ujarnya.
Umno hidup semula setahun saja?
Subky Latif, | 27 Mac 2013 |
Maka semua UMNO bahagian yang ada sebelum diharamkan ditaja dan masing-masing menaja cawangan. Perti hidup semua dan bergerakan. Lepas itu kalimah Baru dalam kurungan disetuju dipadamkan, jadilah ia seperti UMNO sedia kala.
Lama kelamaan seorang ahli UMNO yang jujur dan mematuhi undang-undang membuat carian dalam ROS mendapati tiada satu pun cawangan UMNO di bahagaian itu wujud dalam pendaftaran. Padahal UMNO Bahagian itu sudah menaja 126 cawangan dan setiap cawangan bergerak mengikut keupayaannya.
ROS ada membuat tanyaan pada UMNO tetapi merasa ia kebal, tanyaan itu tidak diindahkan. Lalu ahli UMNO yang membuat carian itu mengemukakan kepada mahkamah, bertanya kesahihan UMNO Bahagian itu.
Adapun UMNO yang diharamkan oleh Al-Marhum Hakim Tan Sri Haron Hashim dulu ialah kerana ada ahli-ahli UMNO yang tidak sah menjadi perwakilan dalam Perhimpunana Agung UMNO dan mereka mengambil bahagian terhadap apa jua yang dibuat dan diputuskan oleh perhimpunan itu. Maka sabit kesalahannya, lalu UMNO diharamkan.
Mahkamah akhirnya memutuskan UMNO Bahagaian Tanah Merah tadi haram kerana ia hidup sejak ditaja hinggalah menjadi perwakilan dalam Perhimpunan Agung dengan 126 cawangan sebagai cawangan yang tidak wujud dalam pendaftaran. Cawangan seperti itu adalah pertubuhan haram.
Ini bererti UMNO yang hidup semula hanya sah sehingga ia mengadakan perhimpunan agung yang pertama. Perhimpunan yang pertama itu dihadiri oleh perwakilan Tanah Merah yang haram yang sepatutnya diketahui oleh UMNO Bahagian. Ia sepatutnya tahu mana cawangannya yang tidak haram dan memastikan semua cawangan mengadakan mesyuarat agung dulu sebelum menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian.
Apabila cawangan tidak memenuhi syarat maka ia tidak boleh menghantar wakil ke mesyuarat Bahagian. Apa wakil cawangan itu tidak sah mengambil bahagian dalam mesyarat Bahagian, maka Bahagian itu sendiri haram.
Perhubungan UMNO Kelantan sepatutnya memastkan setiap Bahagiannya sah. Ia patut melarang Bahagian yang haram menghadiri Perhimpunan Agung.
Apabila perhimpunan disertai oleh perwakilan Tanah Merah yang haram, maka perhimpunan itu juga jadi perhimpunan haram.
UMNO yang baru dihidupkan semula itu hanya sah sehingga ia mengadakan Perhimpunan Agung yang pertama. Apabila ia mengadakan Perhlimpunan Agung bersama UMNO Tanah Merah yang haram, maka ia pun haram serta merta. Cuma pada masa itu tidak orang yang mengambil tahu ia halal atau haram. Orang tidak tahu. Rupanya UMNO Tanah Merah menghantar perwakilan tiap-tiap tahun dan ia bergiat setiap tahun dalam Perhubngan UMNO Kelantan. UMNO 126 cawangan di Tanah Merah haram, UMNO Tanah Merah haram, UMNO Perhubungan Kelantan haram dan UMNO Malaysia pun haram.
Itu yang diketahui. Dipercayai banyak lagi cawangan di seluruh negara wujud secara haram.
UMNO itu sudahlah malang. Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim yang menjadi pemimpin Semangat 46 pula membubarkan partinya menyertai semula UMNO haram itu.
Kalau UMNO haram, apakah BN tidak haram. BN wujud setelah ada UMNO. Kalau parti haram memimpin BN patutnya BN tidak sah juga. Dari tahun 1988 Malaysia telah diperintah oleh pertubuhan haram.
PAS Temerloh dan kesediaan Kit Siang
Ahmad Lutfi Othman, | 28 Mac 2013 |
Ketika ramai penganalisis lebih tertumpu ke selatan tanahair, khususnya Negeri Sembilan dan Johor, yang dilihat berupaya membentuk tsunami politik dari bahagian bawah Semenanjung melanda ke utara, hati kecil saya mengimpikan Pahang juga mampu melakar sejarah, sekali gus mengejutkan Najib Razak.
Temerloh yang popular dengan masakan tempoyak ikan patin ini memang menyimpan kisah suka duka pejuang Melayu zaman berzaman. Ia menjadi kubu pertahanan semangat nasionalisme menentang penjajah dan melahirkan ramai wira bangsa. Justeru, slogan perubahan bukan sesuatu yang aneh bagi warganya. Apatah lagi jarak yang relatif dekat dengan Lembah Klang dan faktor demografinya memungkinkan Temerloh menyalakan obor kemenangan Pakatan di Pahang.
Malah, kepada pendokong PAS, Temerloh yang menempatkan Pejabat Perhubungan Negeri dan menjadi pusat kegiatan parti, serta tunjang kekuatan mewakili kawasan tengah Pahang, memberi makna tersendiri. Temerloh mempunyai jumlah cawangan dan keahlian PAS paling ramai di negeri Perdana Menteri ini.
Kebetulan 24 Mac itu, Pejabat Dun Kuala Semantan, di Damai Courts, Jalan Damai, Temerloh, menganjurkan program Himpunan Rakyat Semantan, bermula 9 pagi hingga lewat tengah malam. Sambutan sekitar jam 12 tengah hari, ketika saya tiba, agak meriah. Ramai kanak-kanak dan ibu bapa terlibat dalam acara kekeluargaan. Malamnya dijadualkan pidato rakyat.
Sempat seorang warga emas, pembaca setia Harakah, beramah mesra dan seperti mahu bersembang panjang, sebelum saya diajak naik ke tingkat satu bersama Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus dan naibnya, Syed Hamid Syed Mohamed, yang juga Adun Kuala Semantan.
Perbincangan santai kami turut disertai Timbalan Yang Dipertua, Hassanuddin Salim, Ketua Pemuda, Ustaz Muhammad Shukri Shuib dan wartawan Harakah Pahang, Basiron Abd Wahab. Meskipun agak terganggu dengan kebingitan program di bawah pejabat, termasuk persembahan tabla yang rancak, saya tetap terkesan dengan harapan cukup tinggi agar wakil PAS terpilih sebagai calon Pakatan untuk kerusi Parlimen Temerloh.
(Lima tahun lalu, di saat-saat akhir menjelang hari penamaan calon PRU2008, pimpinan di peringkat pusat memutuskan PAS perlu memberi laluan kepada calon KeADILan untuk bertanding di Temerloh. Dan tentunya arahan itu diterima kepemimpinan kawasan).
Saya lebih suka mendengar sambil cuba menyelami kegelisahan mereka menanti konsensus pimpinan tertinggi. Ya, ketika semua potensi kekuatan dikerah untuk berdepan pilihan raya paling sengit, tentu sekali soal dalaman tidak boleh dibiarkan menganggu konsentrasi, apatah lagi kawasan sekitar Temerloh, seperti Bera, Jerantut dan Kuala Krau, juga merupakan kerusi sasaran.
Sejumlah 42 kerusi Dun ditawarkan di Pahang dan PAS diberi kepercayaan bertanding separuh daripadanya, iaitu 21 kerusi, manakala KeADILAN, 14 dan DAP, 7. Bagaimanapun saya difahamkan, agihan kerusi di antara DAP dan KeADILan masih dalam perbincangan.
Di peringkat Parlimen, secara umumnya PAS dan KeADILan diperuntukkan masing-masing enam kerusi dan selebihnya, dua, kepada DAP. Namun, ada beberapa kerusi bertindih, melibatkan ketiga-tiga parti, belum diputuskan secara rasmi.
Berdasarkan laporan blog Selamatkan Pahang, menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Pahang (JPN), Cikgu Abdul Majid Hasan, kerusi Dun yang akan ditandingi PAS ialah N2 Jelai, N3 Padang Tengku, N8 Dong, N9 Tahan, N11 Pulau Tawar, N12 Beserah, N15 Tanjung Lumpur, N16 Inderapura, N17 Sungai Lembing, N19 Panching, N20 Pulau Manis, N21 Peramu Jaya, N24 Luit, N26 Chenor, N28 Kerdau, N29 Jengka, N32 Kuala Semantan, N36 Pelangai, N37 Guai, N40 Bukit Ibam dan N42 Tioman.
Selain empat Dun yang sudah dimenangi Pakatan, iaitu dua oleh PAS di Kuala Semantan dan Beserah, serta dua oleh DAP di Triang dan Tras, terdapat lapan kerusi Dun yang menyaksikan kekalahan di bawah 1,000 undi pada PRU2008, iaitu Sabai (145), Teruntum (293), Tanjung Lumpur (496), Damak (509), Tanah Rata ( 575), Jengka (596), Inderapura (873) dan Ketari (882).
Manakala lapan Dun lagi majoriti kekalahan Pakatan di bawah 1,500 ialah Luit (1,068), Bilut (1,108), Padang Tengku (1,188), Cheka (1,280), Tahan (1,357), Benta (1,358), Jenderak (1,374) dan Panching (1,444).
Untuk menguasai Wisma Sri Pahang, beberapa kerusi yang menyaksikan perbedaan undi sekitar 2,000, seperti Guai (1,941), Semambu (2,136), Lanchang (2,139) Batu Talam (2,415) dan Mentakab (2,439) juga harus diberi penekanan istimewa.
Dalam pertemuan sebelumnya dengan Pesuruhjaya Negeri, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Perhubungan, Roslan Zainal Al-Ahmadi, saya dimaklumkan, cabaran besar yang harus ditangani segera ialah penyampaian maklumat yang berkesan, terutama melalui media tradisi di kawasan yang masih sukar ditembusi internet.
II.
Sebagai penggerak utama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang prihatin dengan fungsi media dalam pilihan raya, termasuk menganjurkan Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, di Hotel Nouvelle, pada 12 Mei 2012, saya dengan penuh minat memerhati reaksi terhadap pengumuman Dr Rais Yatim yang menawarkan slot 10 minit setiap parti untuk muncul di RTM menyampaikan manifesto yang siap dirakam.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menolaknya sambil menyifatkan tawaran itu sebagai jenaka dan usaha BN untuk berlakon seolah-olah mereka melaksanakan kebebasan media. Ia juga seolah-olah memperlihatkan Pakatan seperti pengemis.
Menurutnya, Pakatan menuntut diberi hak untuk menjawab pertuduhan dan fitnah yang disiarkan secara berterusan oleh media yang dikawal Umno-BN, bukan sahaja sewaktu musim pilihan raya tetapi sepanjang masa.
Walaupun PAS menghargai keputusan kerajaan itu, namun Ketua Penerangannya, Tuan Ibrahim Tuan Man melihatnya tidak lebih sebagai 'ajak-ajak ayam'. Katanya, dalam tempoh 10 minit, "pembaharuan" itu satu perkara yang mengaibkan.
"Apa pun, PAS masih belum ada keputusan dan perlu berbincang dan akan dimaklumkan kemudian," katanya.
Bagi Pengarah Komunukasi KeADILan, Nik Nazmi Nik Ahmad, partinya juga menolak tawaran 10 minit itu. "Ia satu sandiwara hodoh pihak yang jahil peranan media dalam demokrasi," katanya.
"Peranan media dalam sistem demokrasi ialah memberi liputan dan laporan berita yang objektif, adil dan saksama. Adalah tidak wajar media diperalatkan sebagai mesin propaganda untuk memaksakan pandangan Umno ke atas rakyat. Tawaran ini adalah penghinaan terhadap kepintaran rakyat," ujarnya.
Sebagai pengamal media, saya mengimpikan setiap parti diberi ruang dan masa munasabah, bukan saja dalam TV, tetapi juga radio dan akhbar, serta tidak terhad kepada penjelasan manifesto, iaitu merangkumi persoalan pokok yang perlu dimaklumkan kepada rakyat.
"Semasa siaran manifesto ini ada, semua media dituntut mematikan etika kewartawanan dipertahan dan dipelihara, termasuk hak untuk menjawab," kata seorang rakan saya, wartawan penyiaran berpengalaman. "Walaupun Pakatan menolak, saya masih harapkan slot di RTM itu menjadi kenyataan, dengan tempoh lebih lama," tambahnya.
"Ya," saya mencelah, "tapi isu besar dalam kebebasan akhbar, seperti konsep pemilikan media dan syarat-syarat karut-marut berkaitan permit dan sebagainya harus dimansuhkan."
KAMI juga menuntut tempoh kempen minimum selama 21 hari bagi memastikan setiap pngundi mendapat maklumat secukupnya agar dapat membuat pilihan yang rasional dan tepat.
Dalam pada itu, KAMI masih dalam kempen mendapatkan dana untuk menjayakan projek penerbitan PRU13; salurkan sumbangan ikhlas anda ke dalam akaun Maybank KAMI MEDIA 514075606399.
III.
Sukar menelah apa yang menganggu dan meracau pemikiran Najib Razak sehingga terlalu sukar menentukan tarikh pembubaran Parlimen meskipun berulang kali beliau melahirkan keyakinan bahawa Umno-BN bukan saja menang dalam PRU13, malah berjaya mengembalikan majoriti dua pertiga.
Seperti kata Lim Kit Siang, Najib bukan sekadar Perdana Menteri paling lama di tampuk kuasa tanpa mendapat mandat pengundi, malah beliau mengetuai kerajaan dan kabinet "yang telah tamat tempoh" selepas masa lima tahun berakhir 8 Mac lalu.
Di zamannya juga kita menyaksikan suasana atau mood berkempen paling paling lama bermula semenjak beliau dipilih menggantikan Abdullah Ahmad Badawi pada April 2009. Dalam waktu itu ratusan ringgit dihanguskan untuk mengupah firma perunding seperti Apco Worlwide dan FBC Media baik menaikkan imejnya dalam dan luar negara.
Ternyata Najib belum selesa dengan sokongan yang diperolehinya, walaupun pelbagai insentif tunai dan habuan lain diagihkan kepada rakyat, selain memanipulasi sepenuhnya kes pencerobohan di Lahad Datu, demi survival politiknya, tidak terkecuali dengan cuba mengaitkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.
Sehingga kolum ini ditulis, iaitu tidak sampai 24 jam Dun Negeri Sembilan akan terbubar secara automatik pada tengah malam Khamis, 28 Mac, Najib secara tidak langsung seolah-olah tidak menghormati peranan dan fungsi politik Raja-Raja Melayu yang sedia terhad itu.
Hatta jika Menteri Besar Negeri Sembilan menghadap Yang Dipertuan Besar pada pagi Rabu untuk mencadangkan pembubaran Dun, baginda sebenarnya tidak berpeluang untuk melaksanakan haknya bagi menolak tarikh yang diusulkan itu.
IV.
Lagi tentang Lim Kit Siang, ahli politik berpengalaman hampir lima dekad, yang melalui pelbagai rintangan dan pancaroba, termasuk ditahan ISA dan turun naik mahkamah.
Tokoh yang digeruni seteru politik dan dihormati kerana prinsip dan ketegasannya dalam perjuangan ini mencetuskan dua kejutan baru-baru ini. Pertama, beliau memilih Johor atau lebih tepat kerusi Parlimen Gelang Patah untuk bertanding dalam PRU13 sebagai bukti keseriusannya untuk meleburkan kubu kuat Umno itu.
Kedua, kesediaannya untuk bertanding menggunakan lambang PAS sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran DAP ekoran kesilapan dalam pemilihan kepimpinan parti tahun lalu.
"Jika BN salah guna kuasa (batalkan pendaftaran DAP), saya mungkin guna lambang PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat," kata Kit Siang.
Mengulas kenyataan itu, Setiausaha Agung KeADILan menegaskan: "“Umno cuba pecah=belahkan Pakatan dengan isu perkauman tapi bayangkan jika Lim Kit Siang bertanding dengan lambang PAS. Kita mahu tengok apa lagi hujah Umno untuk dimainkan. Umno hendak cakap apa lagi?"
"Jika berlaku pembatalan (DAP), PAS mengalu-alukan calon-calon DAP dan Kit Siang untuk bertanding menggunakan lambang PAS mahupun KeADILan,” kata Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali.
Segera saya terkenang perbualan dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di LCCT, KLIA, Sepang tidak lama selepas saya menjalani pembedahan pintasan jantung.
Sambil mengharapkan kesihatan saya cepat pulih, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyentuh isu-isu yang sengaja ditimbulkan untuk menimbulkan kecurigaan di antara PAS dan DAP.
Beliau berkata, selagi ada tokoh-tokoh lama kedua-dua parti, yang melalui perjuangan berliku puluhan tahun serta mendapat tekanan dahsyat pemerintah, misalnya Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Kit Siang, dia yakin PAS dan DAP akan terus bersama.
Itu bukan satu masalah
Tuan Ibrahim Tuan Man, | 28 Mac 2013 |
Malah ia bukan sesuatu yang merungsingkan.
Ia hanyalah cubaan Allah.
Pasti ada hikmah di sebaliknya.
Selesainya satu pertengkaran, baik semula, rasa sayang meningkat.
Selesainya satu tugasan berat, dapat pengalaman berharga.
Selesainya satu kekecewaan, dapat pemahaman baru.
Beramal-lah selalu. Jangan berkira sangat. Bantu selagi orang yang kita ingin bantu memerlukan bantuan kita.
Sekiranya bantuan kita menjadi satu masalah kepadanya, bantulah orang lain yang memerlukan bantuan tersebut.
Buat dengan niat baik dan tanpa mengharapkan sebarang pembalasan dari manusia walaupun orang terdekat.
Peganglah bahawa Allah akan membalas niat baik kita tersebut kerana sesungguhnya keikhlasan hati seseorang hanya Allah yang tahu kerana walaupun seikhlas mana hati seseorang bila dinilai manusia ada juga yang menaruh perasaan cemburu dan dengki.
Senyum.
Kita Senyum.
Jika Lahad Datu di Jepun
Subky Latif, | 30 Mac 2013 |
Nescaya kejadian itu tidak sekadar polis dan tentera mengambil tindakan sewajar mengepung, menawan dan menumpaskan penceroboh dan penyusup, tetapi rakyat akan bangkit meminta pertangggungjawapan kerajaan.
Rakyat tidak akan biar Perdana Menteri dan kerajaan bersenang lenang membuat kenyataan itu dan ini bagi menyalahkan penceroboh saja, tetapi akan diminta beri tunjuk sebab mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan.
Jepun atau Korea Selatan tidak senang melihat Perdana Menterinya bercakap politik atas kejadian itu tetapi dia akan ditanya bagaimana boleh di bawah pentadbirannya nagara boleh dimasuki orang-orang bersenjata menuntut wilayah sebahagian dari wilayah kita secara kekerasan atau apa cara jua?
Kalau tsunami yang melanda Jepun lebih setahun lalu bukanlah disebabkan oleh kecuaian manusia, tetapi kerana kepayahannya menangani segala kesan tsunami itu termasuk logi nuklearnya, maka bukan sekadar Perdana Menteri dikenakan tindakan politik, bahkan kerajaan dan parti yang memerintah dihukum dengan menggantikannya dan kerajaan lailn dan Perdana Menteri lain.
Jika Lahad Datu itu berada di Jepun Perdana Menteri akan disalahkan kerana gagal menjaga keselamatan hingga wilayah boleh dimasuki militan asing. Kedua sesudah wilayah diceroboh mengapa mengambil masa berminggu-minggu untuk bertindak? Ketiga mengapa keselamatan seperti tidak diserah kepada tentera tetapi diserahkan kepada polis sebaik saja kejadian berlaku?
Perdana Menteri nescaya tidak boleh lebih lama duduk di kerusinya. Orang akan minta dia meletakkan jawatan dan beri kerusi itu kepada orang lain. Kalau dalam hal-hal yang tidak sesulit itu Perdana Menteri Jepun, Presiden atau menteri-mentenri Korea Selatan, Perancis dan India dituntut meletak jawatan, maka apa lagilah dalam hal yang melibatkan kedaulatan dan kemerdekaan negara.
Atau paling kurang Perdana Menteri mungkin boleh diselamatkan tetapi Perdana Menteri mesti bertanya menteri dalam negeri mengapa boleh pantai dan sempadan negara ini boleh dimasui bersenjata dari luar, bukan seorang dua tetapi mencapai angka ratus?
Sama ada menteri berkenaan buat kerja atau tidak buat kerja, sama dia lemah atau sebaliknya, dia mesti ditanya dan mesti menjawab dulu. Sama ada dia disuruh berhenti atau dia minta berhenti, dia akan disalahkan dulu dalam kecuaian seperti itu.
Itulah sebabnya kita selalu saksikan menteri di negara-negara tersebut meletak jawatan bukan tunggu dia salah dan cuai, tetapi dia mesti memikul tanggungjawab dan akauntabiliti.
Menteri itu mungkin seorang yang cekap, baik dan bertanggungjawab, tetapi dia ada maruah dan rasa malu, amanah telah diberi kepadanya, tiba-tiba amanah itu tidak dapat disempurnakan. Semua menteri yang bermaruah dalam dunia akan mengambil tanggungjawab atas kelemahan dan kepincangan jabatan di bawahnya dengan meletakkan jawatan.
Menteri Pertahanan juga akan tanya mengapa tidak mengambil tanggungjawab dari mula-mula lagi apabila ia berlaku dengan menyatakan kepada Perdana Menteri bahawa dalam hal seperti itu ia mesti diserahkan kepada tentera, bukan dibiarkan kepada menteri dalam negeri yang lembik.
Menteri Pertahanan tentu dengan nasihat para panglima beritahu Perdana Menteri dan kabinet hal itu mesti ditangani oleh tentera.
Apa pun mana-mana Perdana Menteri yang ada maruah dan tanggungjawab, tidak sekadar membiarkan orang memperleceh menteri-menterinya, dia dulu meletak jawatan. Dia mesti mengambil tanggungjawab menjaga maruah orang-orang di bawahnya.
Kerana Lahad Datu ini berada di Malaysia kerajaan tidak langsung menyalahkan dirinya atau bermuhasabah, tetapi mencari orang lain di luar kerajaan untuk jadi kambing berbagai bulu.
Tiada lagi isu boleh disembunyi
Abdul Shukur Harun, | 28 Mac 2013 |
Pertanyaan bilakah tarikh PRU akan diumum telah mendominasi aliran perbualan pelbagai golongan rakyat. Ini menggambarkan bahawa PRU ke-13 ini bersifat luar biasa, menyebabkan begitu ramai orang ingin tahu dan menentukan sikap.
Ruang-ruang twitter dan face-book dan sms hampir dipenuhi perbincangan mengenai tarikh PRU ini dengan pelbagai ulasan - ada yang marah, sedih, lucu dan benci. Tidak kurang pula yang menyuruh bersabar menunggu.
Kata pepatah Melayu, ‘tak lari gunung dikejar, hilang kabut nampaklah ia’. Tetapi ini bukan gunung yang hendak dikejar dan bukan soal kabut yang melidunginya, tetapi soal mandate Umno-BN yang memerintah sudah hampir benar tarikh luputnya, iaitu sehingga 28 April depan, di mana parti itu hingga kini masih dalam dilema untuk menentukan tarikh PRU.
Dun Negeri Sembilan sudah dibubar pada 27 Mac lalu, Melaka dan Johor pada 22 April (tarikh sidang Dun pertama ialah pada 21 April 2008). Ini diikuti oleh Selangor pada 23 April (22 April) dan Perak 26 April (25 April). Selain itu, ada beberapa negeri yang boleh meneruskan kerajaan sehingga selepas Parlimen dibubarkan. Antaranya ialah Kedah, Sabah, Terengganu dan Pulau Pinang yang memulakan sidang Dun mereka pada bulan Mei 2008.
Apapun yang pastinya Parlimen akan bubar dengan sendirinya pada 28 April dan selepas itu SPR akan mengumumkan tarikh PRU Ke-13 bagi Parlimen dan Dun, kecuali Dun Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, PRU kali ini sangat luar biasa, bukan semata-mata kerana isu Lahad Datu, Sabah, khususnya isu Projek IC yang sangat menggemparkan dan berbahaya kepada negara, tetapi juga pelbagai isu besar yang lain. Antaranya isu perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu, isu rasuan, kronisme, nepotisme, pembaziran, ketirisan, isu kejadian jenayah yang sangat menakutkan, isu status pengundi yang masih berkecamuk, isu pengambilan tanah (terutama di Johor), isu sara hidup yang begitu tinggi dan sangat menekan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana serta pelbagai isu lagi.
Semua isu ini terdedah begitu rupa di pelbagai media baru, memberi peluang luas rakyat mengetahuinya. Ia terdedah melalui web-site, twitter, face-book, sms dan pelbagai lagi, hasil dari langit terbuka dunia siber.
Ramai tidak sedar bahawa komunikasi melalui internet ini dicetuskan di zaman Ronald Regan menjadi Presiden Amerika yang ke-40 dari Januari 1981 hingga Januari 1989. Inilah zaman bermulanya internet di Amerika.
Kini dengan penggunaannya yang begitu meluas seluruh dunia, termasuk di Malaysia, menyebabkan begitu banyak rahsia, khususnya di belakang tabir kuasa politik telah terdedah dan diketahui umum.
Oleh itu menjelang PRU Ke-13 ini banyak hal-hal dan isu yang tidak diketahui oleh orang ramai selama ini, termasuk pengundi di luar bandar telah terdedah. Media tradisional yang dikawal ketat oleh kerajaan telah ditewaskan oleh media baru menyebabkan semuanya sudah tidak ada rahsia lagi, semuanya sudah diketahui oleh pengundi bandar dan luar bandar.
Justeru, media baru ini dilihat oleh penganalisis sangat menolong Pakatan Rakyat menyebarkan maklumat yang diketahuinya, yang bukan bersifat fitnah. Skandal projek lembu, isu kapal selam, isu rasuah dan nepotisme sudah terdedah semuanya, bahkan isu Projek IC yang sangat menggemparkan terbongkar begitu rupa.
Semua ini memeranjatkan pelbagai pihak dan tentunya akan mempengaruhi aliran pengundian dalam PRU akan datang dan inilah yang mencemaskan parti yang memerintah.
Anak muda yang pulang ke kampung membawa alat komunikasi Tablets, umpamanya, menunjukkan berita dan gambar pelbagai peristiwa dunia politik yang tidak diketahui oleh ibu bapa di kampung yang selama ini hanya mendapat maklumat melalui media tradisional.
Ada ibu bapa di kampung yang terkejut sakan dan mulanya tidak percaya akan isu-isu yang didedahkan oleh anak mereka, tetapi selepas diterangkan barulah ibu bapa itu beransur percaya. Ini perkembangan menarik menjelang PRU Ke-13 dan inilah kelebihan media baru.
Oleh itu, PRU akan datang ini adalah sangat luar biasa dan critical, di mana parti yang memerintah tidak lagi berupaya mengawal maklumat, justeru semuanya terdedah. Rakyat dilimpahi banjir maklumat yang tidak pernah berlaku dalam sepanjang sejarah pilihan raya tanah air.
Walaupun media tradisional meneruskan propagandanya siang dan malam, tetapi kesannya sangat minima dan ‘tumpul’, justeru ia telah ditewaskan oleh media baru yang sangat berpengaruh. Kemudian ada kesan psikologi dalam masyarakat bahawa mereka yang hanya mendapat maklumat dari sumber media tradisional adalah ketinggalan zaman.
Sementara itu, PRU akan datang ini amat berbeza dengan PRU 10 atau 20 tahun lalu. Ia bukan lagi berlegar mengenai isu pembangunan dan bukan lagi isu perkauman yang jahat di mana di masa lalu isu ini mudah dapat mempengaruhi pengundi.
Isu yang mendominasi pengundi dalam PRU akan datang ialah isu integriti parti dan calon yang bertanding, isu perjuangan keadilan dan kebebasan, isu sara hidup yang tinggi, isu rasuah, nepotisme, ketirisan perbelanjaan negara dan lain-lain.
Inilah yang menyebabkan suasana sekarang sangat memihak kepada Pakatan Rakyat. Oleh itu, dalam keadaan sekarang, pendukung Pakatan Rakyat perlu mempunyai kesabaran yang tinggi, bijaksana menangani isu yang ada dan sentiasa meletakkan diri sebagai pembela rakyat.
Dalam suasana kebangkitan rakyat ini, Pakatan mestilah dilihat mampu bersama mereka dalam gelombang ini, justeru PRU akan datang ini sudah terlalu dekat, hanya beberapa ela saja lagi dari garis kemenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan