Jumaat, 22 Mac 2013

MASUK GERAKAN ISLAM HUKUMNYA WAJIB...MASUK GERAKKAN ISLAM YANG MULA2 DITUBUHKAN@DIWUJUDKAN

Memahami 'Amanat Tun Mahathir'

Abdul Hadi Awang, 22 Mac 2013
Amanat Tun Dr Mahathir Mohammad berbunyi, ”Lebih baik berkawan dengan syaitan yang dikenali daripada malaikat yang tidak dikenali” adalah satu sindiran tajam supaya rakyat jangan lagi menyokong Umno dan BN bersamanya.


Walaupun ada kalangan yang berhujah bahawa perkataan “devil” dan “angel” dalam ungkapan asal Tun Mahathir adalah suatu metafora atau kiasan, tetapi ianya tidak menafikan hakikat bahawa Tun Mahathir sendiri telah membuat dua cabang kelas bahawa Umno BN berada di pihak yang “buruk dan rosak” manakala Pakatan Rakyat berada di pihak yang “baik”.


Tun Mahathir adalah Tokoh Besar UMNO, Mantan Presidennya dan Mantan Perdana Menteri, yang paling lama memegang jawatan dalam UMNO. Tun Mahathir mendedahkan beberapa kali, dalam ayat dan perkataannya sendiri, bahawa UMNO adalah parti berpenyakit kronik, mungkin tidak dapat diubati kerana sudah melarat ke dalam usus. Penyakit rasuah dan gila mendapat kuasa. Sebagai seorang ahli perubatan yang tahu bagaimana parahnya sesuatu penyakit itu, sehingga beliau memberi gambaran penyakit kronik yang melarat ke dalam usus, atau dalam kata lain ianya tidak mampu diberi rawatan.


Penyakit politik wang (rasuah) menjalar dalam pemilihan UMNO daripada akar umbi sehingga ke hujung pucuk, tidak lagi menjadi rahsia kepada umum. Penyakit ini dimasukkan ke dalam gelanggang rakyat dalam setiap kali Pilihanraya Umum dan kecil dan membahayakan seluruh jentera kerajaan.


Betapa parahnya penyakit itu sehingga terpaksa diselamatkan dengan Amanat Tun Mahathir yang begitu jelas ucapan dan ungkapannya. Kalau mahu hidup mati bersama UMNO juga, maka begitulah konsepnya.


Sila fahami pula Firman Allah dalam surah An-Nas, ayat 1-6 :


Maksudnya : “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia, Tuhan Yang berhak disembah oleh sekalian manusia, "Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam (syaitan), Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".


Maksud peringatan Allah ini ialah supaya semua umat manusia berwaspada menghadapi tipu daya syaitan, sama ada yang dikenali atau tidak, samada terdiri dari kalangan makhluk manusia yang dapat dilihat, atau juga bisikan makhluk jin yang tidak dapat dilihat kerana termasuk kalangan alam ghaib yang wajib beriman wujudnya.


Adalah menjadi hikmat paling besar, surah ini diletakkan di akhir penyusunan al-Quran, dengan perhatian lebih khusus pula kepada ayatnya yang terakhir, mendedahkan adanya syaitan di kalangan manusia yang lebih mudah dikenali.


Permulaan al-Quran pula Surah al-Faatihah, yang menjadi rukun solat pada tiap-tiap rakaat, termasuk rukun solat jenazah yang tidak ada rakaat. Ianya adalah merupakan doa yang diulang, supaya Allah memberi petunjuk ke jalan yang benar. Selepasnya pula Surah al-Baqarah, yang menegaskan al-Quran adalah petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa. Seterusnya membahagikan manusia kepada tiga kumpulan : Beriman dan beramal soleh , kafir dan munafiq.


Berikutnya pula, dibawa kesah kejadian Adam a.s. dan tujuan kejadiannya di bumi, diikuti dengan pertarungan di antara Adam dan Iblis sehingga dihalau dari syurga dan bertarung di bumi sehingga hari kiamat.


Adam dilantik menjadi Rasul memimpin keluarganya berpegang teguh dengan ajaran Allah dan petunjuknya, dan seterusnya dilahirkan para Rasul untuk meneruskan perjuangan Adam dengan petunjuk Allah sehingga hari kiamat pula.


Iblis pula mengumpulkan pengikutnya yang dinamakan syaitan, terdiri daripada kalangan manusia dan jin, yang meneruskan perjuangan menentang Adam dan para rasul dan pengikutnya yang berpegang dengan petunjuk Allah.


Al-Quran bukan sahaja menyatakan petunjuk akidah, syariat dan akhlak serta sistemnya secara menyeluruh bahkan al-Quran juga membawa kisah syaitan manusia seperti al-Malaa, Namrud, Firaun, Abu Lahab, Abu Jahal dan lain-lain yang menentang para rasul di sepanjang zaman.


Semua syaitan itu kalah berhujah dengan para rasul yang membawa ajaran yang benar. Demi meneruskan cita-cita jahatnya, maka syaitan ini meneruskan juga kerjanya dengan cara menggoda seperti iblis pernah menggoda Adam a.s. di zaman dahulu, tetapi caranya berubah dari semasa ke semasa, zaman ke zaman yang berterusan, menggoda dengan fitnah, menipu, menggunakan harta dan kemewahan hidup.


Allah mengesahkan Iblis (bapa syaitan) menggoda Adam dan Hawa, seperti yang disebut dalam Surah Thoha ayat 120 – 121 :


Maksudnya : Setelah itu maka Syaitan (iblis) membisikkan (hasutan) kepadanya (Adam), dengan berkata: "Wahai Adam! Mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya (tidak mati), dan kekuasaan (kerajaan) yang tidak akan hilang lenyap?".


"Kemudian mereka berdua (Adam dan Hawa) memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya)."


Allah juga menceritakan para pemimpin yang tersebut nama-namanya di atas, menentang para rasul di zaman masing-masing, secara fitnah dan menuduh para rasul membawa ajaran sesat, serta menggoda dengan menawarkan kesenangan pangkat harta kepada sesiapa yang menyokongnya berkuasa dan menghalang para rasul membawa ajaran Allah yang sebenar.


Firaun menyampaikan ucapan bahawa dialah yang memberi segala kemudahan, seperti mengalirkan tali air yang menyuburkan bumi Mesir, mendirikan bangunan-bangunan dan lain-lain. Firaun juga menjelaskan bahawa Nabi Musa pula hanya membawa ajaran secara berucap tidak jelas dan tidak membawa apa-apa kesenangan bahkan tidak mengenang budi dan tidak bersyukur, kerana menjadi anak angkat yang pernah dibesarkan di bawah naungan istananya yang indah dan mewah.


Pendekatan yang sama dilakukan oleh mereka yang menentang Nabi Akhir Zaman Muhammad S.A.W. Firman Allah :


Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam al-Quran ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); Dalam pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran. Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (Wahai Muhammad), sehingga Engkau memancarkan mata air dari bumi, bagi kami. Atau (sehingga) Engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian Engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau (sehingga) Engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang Engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) Engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) Engkau mempunyai sebuah Rumah terhias dari emas; atau (sehingga) Engkau naik ke langit; dan Kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum Engkau turunkan kepada kami sebuah Kitab yang dapat kami membacanya".  Katakanlah (Wahai Muhammad):" Maha suci Tuhanku ! Bukankah Aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?. [al-Isra’ : 89 – 93]


Syaitan juga menggunakan para ulama yang mencari kesempatan hidup senang sehingga lupa hari akhirat. Firman Allah SWT :


Maksudnya : Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) kami (seorang yang alim ilmu kitab Allah). Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika Engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika Engkau membiarkannya : ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. [Surah Al A’araf : 175 – 176].


Semua kisah al-Quran itu adalah wahyu yang dibawa oleh malaikat yang wajib dikenali sifatnya paling baik, walau pun tidak mengenali wajahnya kerana mereka makhluk ghaib. Al Quran pula wajib dipercayai petunjuknya di sepanjang zaman. Sila bandingkan secara insaf dengan apa yang dilakukan oleh UMNO- BN sekarang.


Amanat Tun Mahathir adalah sindiran tajam supaya ahli UMNO dan penyokongnya, serta parti komponen yang bersekongkol dengannya secara nyata dan bersembunyi. Beliau sendiri sudah dua kali keluar masuk UMNO, secara sifat kemanusiaan yang wajib merawat pesakit walau pun tidak ada harapan sembuhnya.


Seruan saya kepada rakan taulan dalam UMNO-BN. Tinggalkanlah UMNO dan BN bersama syaitan yang dikenali atau tidak dikenali. Jadikan PAS Ganti UMNO, Pakatan Rakyat ganti BN. Disebabkan juga pendekatan berbeza, maka PAS bertahaluf dengan bukan Islam dan masyarakat majmuk bersama prinsip dan konsep Islam yang teguh. UMNO pula berwala’ dengan bukan Islam dan bukan melayu dengan prinsip dan konsep nasionalisma yang rapuh sehingga menghilangkan jati diri bersama syaitan yang dikenali dan tidak dikenali. Fahamilah secara ilmu dan ikhlas jangan menolak secara jahil murakkab.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Umno arah guru pantau pengundi luar

Harakahdaily, 22 Mac 2013
KOTA BHARU: Bukan lagi sekadar mengerah tenaga guru-guru Kelas Fardhu Ain, al Quran dan Bahasa Arab (Kafa), sebaliknya guru-guru lain juga dipaksa berkempen bagi pihak Umno.

Sebelum ini guru-guru Kafa dikerah hadir pada setiap program anjuran Umno dan mereka juga yang tinggal di Kota Bharu dipaksa memindah tempat mengundi ke Dun Bunut Payong.

Dan baru-baru ini Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu dikatakan memanggil 40 guru mewakili beberapa sekolah bagi membantu kempen Umno.

Bagaimanapun hanya seramai 27 orang sahaja difahamkan hadir pada perjumpaan yang diadakan di pejabat PPD Kota Bharu di Jalan Telipot. Taklimat tersebut dikendalikan Umno Kota Bharu.

Satu sumber memberitahu guru-guru terbabit diminta menelefon dan merayu pengundi-pengundi luar supaya balik mengundi.

“Guru-guru terbabit juga perlu memberitahu Umno akan membayar segala tambang untuk membolehkan mereka pulang mengundi nanti,” katanya di sini.

Menurut sumber berkenaan, guru-guru yang hadir akan diberikan nama pengundi luar sekurang-kurangnya seramai 30 pengundi bagi setiap guru.

(Pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

PAS: Gerakan Islam dan tuntutan tajdid

Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz, 22 Mac 2013
PAS hari ini sedang bergerak laju. Kelajuannya seiring dengan perubahan politik negara yang dilihat sedang mengalami proses transformasi yang akan, setidak-tidaknya mengeluarkannya daripada politik lama yang bersifat diktator dan kuno kepada politik baru yang lebih bebas, telus dan adil, jika tidak pun sampai mampu mengubah kerajaan dan pemerintahan sedia ada yang semakin lemah dan gagal.

Selain kesan positif yang diharapkan untuk PAS di dalam memperoleh sokongan rakyat yang lebih besar, seterusnya diterima rakyat untuk memperkenalkan dan melaksanakan Islam sebagai cara hidup yang satu dan ideal untuk negara ini, sedikit kesilapan hasil  kegelojohan dan ketidak telitian mungkin juga akan mengheret PAS ke dalam kancah konflik politik dan pertikaian yang akan merugikan dan melambatkan perjalanan PAS menuju matlamatnya.

Justeru adalah baik jika pengemaskinian kefahaman ahli PAS terhadap matlamat, peranan PAS selain tuntutan semasanya diberi keutamaan dan diperdalamkan.

Rencana ini akan mengupas peranan PAS sebagai sebuah harakah Islamiyyah atau gerakan Islam dengan memperincikan keutamaan yang harus dilaksanakan demi mengekalkannya terus relevan sebagai harapan umat yang akan menjadi kenyataan.

Definisi Harakah Islamiyah

Harakah Islamiyah difahami sebagai sebuah gerak kerja (amal) massa (sya’biy) secara berkumpulan (jamai’e) yang tersusun (munazzam) dengan matlamat kembali kepada Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh aspek kehidupan.

Ia mestilah sebuah gerak kerja yang berterusan, bukan sekadar ceramah verbal atau tulisan dan buku walaupun ia juga penting, tetapi itu hanya satu juzuk daripada gerak kerja yang dimaksudkan. Firman Allah:

“Dan katakanlah, beramallah kamu semua, pasti Allah, rasul-Nya dan orang-orang beriman akan melihat amalan kamu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (Surah at-Taubah : ayat 105)


Ia juga mestilah sebuah gerakan rakyat yang tertegak atas kesedaran dan kerelaan sendiri daripada keimanan teguh kepada Allah dan mengharapkan ganjaran daripada-Nya, bukan daripada manusia.

Kesedaran diri itu adalah berpunca daripada wujudnya pergolakan di dalam diri mereka akibat pertembungan dan percanggahan antara iman mereka yang mendalam terhadap kebenaran dan kekuatan agama Islam dengan realiti kehidupan umat yang menunjukkan sebaliknya.

Maka berlakulah satu kebangkitan dan revolusi dalam diri yang bertitik tolak dari rasa kasih terhadap agamanya, rasa cuainya diri dan umat di sekelilingnya dalam melaksanakan kewajiban terhadap agama dalam berhukum dengan syariat Allah, menyatukan umat atas kalimah tauhid, membebaskan tanah air Islam daripada segala bentuk penjajahan luar di samping mengembalikan kerajaan khilafah Islamiah untuk memimpin umat seluruhnya.

Justeru gerakan Islam mestilah bersifat rakyat, sukarela dan tersusun gerak kerjanya.

Adapun gerak kerja atau program rasmi Islam oleh pihak kerajaan ataupun agensinya, walaupun ia mungkin turut menyumbang ke arah kebaikan agama dan umat, tetapi tidak boleh dianggap sebagai  sebuah gerakan Islam. Hal ini kerana ia bergerak atas upah dan gaji, dilaksanakan oleh pegawai yang mungkin tidak ikhlas, tidak ahli dan tidak amanah, selain terikat dengan kehendak dan telunjuk politik pemerintah. Ia juga sering bertentangan dengan kehendak dan aspirasi umat sehingga mereka telah dicap sebagai ulama kerajaan (ulama al-sulthah). Semua ini menjadikan projek Islam kerajaan tidak akan mampu menjadi amal sebuah gerakan Islam.

Justeru perlu difahami bahawa jika gerakan Islam telah menguasai sesebuah kerajaan, maka segala program kerajaan hendaklah menjadi jentera yang akan melancarkan segala gerak kerja Islam yang telah disusun rapi oleh gerakan Islam tersebut demi mencapai matlamatnya yang murni dan agung.

Dalam bahasa hari ini disebut sebagai ‘parti menguasai kerajaan’.

Harakah Islamiyah juga mestilah sebuah gerakan yang berkumpulan dan bertanzim. Ia tidak menerima gerak kerja ramai yang ikhlas tetapi berselerak walaupun amalannya tetap diterima Allah. Kemestian ini disebabkan oleh dua faktor utama iaitu agama dan realiti. Adapun agama, maka ia disebabkan Islam menyeru kepada jemaah dan menolak bersendirian dan terpencil.

‘Tangan Allah di atas jamaah’. ‘Barang siapa memencil diri, dia akan terpencil di neraka’. ‘Orang mukmin saling kuat-menguat’. Islam menyeru ‘berkerja sama melakukan kebajikan dan takwa’ dan menyuruh untuk ‘saling mewasiat dengan kebenaran dan kesabaran’.

Manakala realiti pula, maka ia disebabkan oleh hakikat bahawa sesuatu hasil itu tidak akan sempurna kecuali jika dilakukan secara bersama. kerja yang besar tidak akan sempurna kecuali melalui usaha yang saling bergandingan. Sebelah tangan tidak boleh bertepuk. Firman Allah:

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang pada jalan-Nya dalam satu saf yang tersusun seolah-olah mereka bagai sebuah bangunan yang kukuh”. (Surah al-Shaff : ayat 4)

Gerakan yang bertanzim bermaksud hendaklah ia diterajui kepimpinan yang bertanggung jawab, dibina atas asas yang kukuh dan kefahaman yang jelas, menggariskan hubungan antara kepimpinan dan akar umbi yang diikat dengan syura yang wajib dan mesti didengari selain ketaatan yang jelas dan mesti.

Islam dalam apa bentuk pun tidak mengenal jemaah tanpa tanzim hatta dalam perkara yang kecil seperti halnya dalam solat berjamaah yang bermula dengan saf yang rapi dan berterusan dengan ketaatan penuh kepada imam yang benar sehinggalah rukun salam.

Bagaimana PAS Sebagai Sebuah Parti Politik?

Satu persoalan yang sering ditimbulkan mengenai PAS adalah kedudukannya sebagai sebuah parti politik dilihat lebih menyerlah berbanding sebagai sebuah gerakan Islam.

Sebenarnya ia tidak bertentangan, bahkan kita perlu melihatnya sebagai satu kelebihan jika dilaksanakan tuntutannya dengan tepat dan berkesan. Perhatikan sebabnya;

1.PAS lahir daripada krisis politik semasa di Malaysia pada saat negara sedang berjuang demi sebuah kemerdekaan. Kelahirannya atas pentas politik adalah cukup tepat untuk mengimbangi penguasaan golongan sekular di dalam Umno dan BN yang berusaha memenangi dan merosakkan akidah rakyat dengan ideologi kebangsaannya.

2. PAS adalah kelangsungan gerakan dakwah dan gerakan anti penjajahan yang dipelopori oleh para ulama sebelumnya. Para ulama yang berjuang menentang penjajah sebenarnya telah merujuk kepada gerakan tajdid Islam yang berpusat di negara Arab dan Turki. Justeru peranan awalnya sebagai gerakan haraki adalah jelas.

3. Dalam gerakan Islam, tarbiyah dan fikrah ibarat enjin yang mengerakkan jentera daripada dalam sedangkan tayar dan steringnya adalah politik. Justeru keaktifan PAS dalam politik hendaklah dilihat sebagai kekuasaannya menguasai masyarakat dan tidak menjadi sebab kepada terpinggirnya lapangan lain terutama tarbiyah dan fikrah.

4. Apabila PAS berdaftar sebagai sebuah pertubuhan parti politik, PAS mampu bergerak dalam medan yang lebih luas berbanding sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang non partisan.

5. Gerakan Islam seluruh dunia hari ini telah mula memajukan diri dalam politik hatta gerakan Ikhwanul Muslimun di negara-negara Arab. Maka PAS telah dilihat lebih terkehadapan mengharungi dan mendepani politik tanah air.

6. Jika PAS hanya gerakan politik yang bersifat ‘mesra sekular’ sudah pasti PAS telah berkubur di Malaysia bersama berkuburnya parti-parti politik pembangkang yang lain dek tekanan dan kezaliman pemerintah. Tetapi sebaliknya, PAS kekal. Hal ini adalah kerana kekebalannya yang merujuk kepada kekebalan sebuah gerakan Islam yang dibajai ruh Islami daripada al -Quran dan al-Hadis.

Peranan Harakah Islamiyah

Sebuah harakah Islamiyah seperti PAS mestilah memainkan peranan yang utama di dalam gerakan tajdid Islami dan mengembalikan semula hak Islam untuk memimpin kehidupan seluruhnya selepas berjaya menghilangkan segala halangan yang menghalang.

Apakah dia tajdid?

Tajdid al-din adalah satu istilah an Nabawi, termaktub dalam Hadis Rasulullah SAW sendiri yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah pasti akan mengutuskan untuk umat ini, di hujung setiap seratus tahun, orang yang (man) akan memperbaharui (tajdid) untuk mereka akan agama mereka.” – Riwayat Abi Daud dan al Hakim daripada Abi Hurairah dengan isnad yang sahih.
Walaupun kebanyakan ulama melihat bahawa kalimah ‘man’ itu merujuk kepada individu, tetapi beberapa ulama terkemuka seperti Ibn al-Athir dan Imam al-Hafiz al-Zahabi pula melihat ia bukanlah satu kemestian, bahkan mungkin bermaksud satu kumpulan ulama yang bersama-sama membawa tajdid agama.

Dan, alangkah benarnya jika kumpulan ulama yang melakukan tajdid ini membentuk satu madrasah atau gerakan pemikiran, diiringi amal yang tersusun dan saling bahu-membahu. Inilah syarah terhadap Hadis di atas yang paling baik dan realiti (waqi’e) untuk kebangkitan umat Islam hari ini mengikut pandangan al Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi.

Apakah yang perlu ditajdidkan?

Tajdid yang perlu dilaksanakan oleh gerakan Islam hendaklah tertumpu kepada tiga perkara utama:

1. Membentuk sebuah pasukan Islam yang mampu memimpin masyarakat hari ini dengan Islam yang benar dan menyeluruh dan merawati penyakit mereka dengan penawar bersumberkan Islam itu sendiri. Pasukan Islam ini hendaklah memiliki tiga sifat utama; iman yang mendalam, kefahaman yang jelas dan ikatan yang kukuh.
2. Membentuk pandangan umum rakyat majoriti yang menyokong pasukan Islam tersebut sehingga bersedia memberikan bantuan dan kasih sayang mereka kepadanya selepas mengenali matlamat perjuangan dan melihat keikhlasan dan kekuatan mereka.
3. Membentuk satu iklim sejagat yang mula menerima kewujudan dan hak umat Islam selepas mereka (non-Muslim) mula memahami hakikat risalah dan peradaban Islam dan mula bebas daripada ikatan lampau yang begitu pesimis, gelap dan tidak adil terhadap Islam disebabkan sejarah pertembungan yang berterusan di antara Islam dan kekufuran.

Pandangan umum sejagat yang positif inilah yang akan membuka dada mereka untuk menerima kehadiran dan hak umat Islam untuk menyusun kehidupan mereka berlandaskan hukum agama mereka sendiri di dalam negara umat Islam yang majoriti sebagaimana ia bertepatan dengan seruan demokrasi yang dilaungkan oleh dunia mereka sendiri.

Keutamaan Semasa Harakah Islamiyah

Medan kerja untuk gerakan Islam seperti PAS hari ini menjadi semakin luas dan adalah menjadi kewajiban ke atas pimpinan gerakan untuk mengkaji dan mendalaminya dengan penuh teliti berpandukan fakta dan statistik yang benar-benar segar.

Antara medan amal yang utama adalah seperti medan tarbiyah yang bertujuan membina pasukan dakwah yang cemerlng yang memiliki fikrah yang jelas, akidah yang teguh, akhlak yang baik, ibadah yang ikhlas serta manhaj perjuangan yang moden untuk menggerak dan menyatukan umat di atas tali Islam yang syumul.

Begitu juga dengan medan politik yang bertujuan membebaskan kuasa dan pemerintahan daripada tangan golongan yang lemah dan khianat kepada tangan mereka yang gagah dan amanah serta bersih daripada sifat takabbur yang mampu memimpin umat Islam dan kemanusiaan menuju kecemerlangan.

Termasuklah juga dengan medan ekonomi demi membangun kekayaan umat dan membebaskan diri daripada mengikut telunjuk musuh serta menanggung hutang ribawi seterusnya menubuhkan syarikat perniagaan dan yayasan yang akan memajukan ekonomi umat.

Selain itu adalah medan ijtima’ie dan kemasyarakatan yang bertujuan menyelami masalah umat dan membantu mereka keluar daripada kejahilan, kemiskinan dan penyakit serta menyelamatkan mereka daripada serangan golongan musuh yang menjadikan kemiskinan umat sebagai peluang menukar keyakinan dan akidah mereka.

Medan amal seterusnya adalah medan dakwah dan penerangan, medan jihad, medan pemikiran dan ilmu, medan hiburan dan seni serta medan sukan dan riadah yang semakin besar dan luas kesan dan pengaruhnya ke atas kehidupan umat Islam hari ini.

Dengan perluasan lapangan kerja yang semakin membesar dan kompleks, adalah menjadi tanggung jawab untuk kepimpinan gerakan Islam memastikan setiap medan itu dipenuhi dengan pengagihan tenaga kerja yang cukup dan seimbang bergantung keperluan di medan selain kemampuan gerakan. Pengabaian terhadap mana-mana lapangan amal tersebut akan memberikan kesan yang kurang baik selain membuka ruang untuk musuh melebarkan jaringan makar dan tipu daya mereka.

Empat Yang Utama

Dr Yusuf al-Qaradhawi berpendapat bahawa pemusatan dan kesegeraan hendak digerakkan kepada empat lapangan amal yang paling penting untuk diterokai dengan jayanya iaitu:

1. Di dalam lapangan pemikiran. Hendaklah diberi tumpuan yang mendalam dan pencerahan yang baru ke atas beberapa kefahaman Islam yang penting. Ini dinamakan al-fiqh al-jadid. Antara kefahaman yang mesti diketengahkan ialah fiqh al-awlawiyat, fiqh al-muwazanat, fiqh al-nusus dan fiqh al-maqasid.
2. Dalam lapangan dakwah hendaklah ditumpukan kepada beberapa sektor dan kelompok masyarakat yang tertentu yang berpengaruh. Rakyat marhaen mestilah diselami kehidupan mereka. Kelompok perniagaan, bidang melibatkan kaum wanita dan golongan akademik sebagai contoh adalah medan yang perlu dimedani dan dikuasai.
3. Dalam lapangan tarbiyah hendaklah ditumpukan kepada pembinaan kualiti yang tertentu atas kelompok kepimpinan masa depan terutama dalam sudut fikrah dan iman. Inilah medan paling utama. Inilah kumpulan hari ini yang mengambil peranan kumpulan sahabat di zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.
4. Dalam lapangan politik hendaklah ditumpukan kepada pemajuan pemikiran dan praktikalnya dalam politik hubungan dalam dan luar negari termasuk dengan non-Muslim agar dapat keluar daripada masalah dalaman dan sekatan oleh pihak luar selain merealitikan maksud kealamiahan Islam.

Kefahaman politik yang terlalu dibayangi ujian dan serangan musuh yang mewujudkan politik perang, politik ekslusif dan politik taqlid hendaklah diperbaharui kefahamannya agar gerakan Islam terus maju atau setidak-tidaknya tidak terus ketinggalan di dalam memahami tuntutan semasa, seterusnya memimpin umat.

Penutup

PAS adalah sayap dan jentera sebuah gerakan Islam sedunia yang lahir daripada sunnah perjuangan dan tuntutan agama. Ia lahir daripada keruntuhan yang menuntut binaan baru ke atas khilafah Islamiyah. Justeru PAS mestilah memiliki segala ciri-ciri gerakan hizbullah demi memperoleh janji kemenangan daripada Allah.

Gerakan Islam hendaklah sentiasa membuka pintu kepada lambaian tajdid Islami terutama pada zaman hari ini yang semakin cepat berkembang dan berubah. Apapun yang lebih penting adalah menjaga keaslian sebuah gerakan dakwah nabawiyah untuk umat manusia sejagat.

http://www.tarbawi.my

Ramadhan al-Buti, ulamak pencerah ummah

Harakahdaily, 22 Mac 2013
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan pemergian tokoh ulama terkenal Syria, al-Syeikh al-Allamah Dr. Said Ramadhan al-Buti sebagai kehilangan besar buat umat Islam seluruh dunia.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kematian ulamak itu tentunya dirasai oleh ummah yang dahagakan ilmu dari insan sepertinya.

"Kitabnya dan muridnya berjumlah jutaan di seluruh dunia. Lebih setengah abad usianya dimanfaatkan kepada ilmu dalam mencerahkan ummah di seluruh dunia.

"Pemergian beliau adalah satu kehilangan mutiara ummah. Bagi pihak PAS, saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan seluruh ummat Islam diatas pemergiannya," katanya kepada Harakahdaily.

Difahamkan Dr. Said Ramadhan al-Buti terbunuh dalam satu serangan bom ketika beliau sedang menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Iman, Damsyik, Syria semalam.

Dalam pada itu, Tuan Guru Abdul Hadi turut menyatakan pendirian PAS mengecam sekeras-kerasnya pihak yang terlibat dalam serangan terhadap ulamak itu semalam.

"PAS mengecam pembunuhan yang berlaku. Ia merupakan satu tragedi yang sukar dilupakan seumpama pembunuhan Assyahid Sheikh Ahmad Yasin pada tarikh yang sama tahun 2004 yang lalu.

"Semoga seluruh ahli keluarga beliau dan ummat Islam seluruh dunia bersabar diatas kematian ini. Semoga Allah SWT menempatkan beliau bersama dengan orang-orang yang soleh yang berjuang bagi menegakkan agamanya," katanya.

Membersih diari hidup dari catatan dosa

Dr Juanda Jaya, 22 Mac 2013
Perjalanan hidup manusia terlalu panjang. Bermula dari alam roh menuju ke alam rahim, dilahirkan ke alam dunia, masuk ke alam kubur dan bangkit semula di alam akhirat. Lima fasa telah ditakdirkan untuk kita lalui. Orang yang beriman percaya bahawa sebenarnya roh sentiasa hidup melalui setiap fasa kehidupan ini. Berbanggalah dengan roh anda yang beriman, bukan kerana jasad yang cantik rupawan dengan perhiasan yang dipamerkan di tubuh badan atau harta kekayaan yang disorokkan. Sepatutnya akal yang tajam itu digunakan untuk berfikir jauh ke hadapan. Semuanya yang kita miliki kini akan musnah kerana dunia umpama tempat mengeringkan peluh di muka, lalu kita akan kembali berjalan ke destinasi seterusnya.

Mengamati sejarah hidup manusia, kita seolah-olah membelek setiap halaman diari kehidupan. Pelbagai kejadian dan peristiwa yang dialami mendewasakan diri, walaupun kadang-kadang sebahagian manusia bertambah muda dan bersikap keanak-anakan menghadapi cabaran hidup ini. Berwaspadalah dengan usia tua yang mungkin menambahkan kerasnya hati, degilnya perangai dan sukar mengawal emosi. Apakah sebenarnya yang tersirat dari sabda baginda SAW yang bermaksud: “Allah SWT tidak menerima keuzuran seseorang yang dilanjutkan usianya sehingga sampai berumur 60 tahun.” Hadis riwayat al-Bukhari.

Ini bukan bermakna manusia boleh sesuka hati melakukan dosa hingga berhenti pada usia 60 tahun. Tetapi sebenarnya ia mengingatkan kita bahawa jika tak berubah juga perangai sampai mencecah usia 60 tahun, tanda-tanda kebinasaan telah nampak. Kerana manusia itu mengalami beberapa fasa untuk sampai pada usia matang. Kalau lahir pramatang pun merbahaya, apatah lagi terlebih bulan. Kalau tidak bertaubat juga sementara usia semakin meningkat, alamat tidak jumpa jalan Tuhan sebab mata dah rabun.

Kalau kita imbas kenangan manis semasa mula-mula berkahwin, proses penyesuaian diri dengan pasangan terasa susah tetapi kita jalani juga bahtera rumahtangga itu. Semakin lama semakin kukuh menerjang badai. Pahit manis menjadi pengajaran. Kita bertambah dewasa dan matang dalam berfikir, bertindak dan merasa. Kita telah sampai pada satu titik kesempurnaan peribadi ketika mahu berkongsi segalanya dengan pasangan. Setiap hari saling melengkapi dan saling menyelamatkan supaya tidak tenggelam dihentam gelombang.

Begitu juga dengan perkara iman dalam diri yang sentiasa harus diselamatkan seiring dengan bertambahnya usia. Seharusnya dengan bertambah usia maka bertambahlah imannya, berubah sedikit perangainya kepada kebaikan, mulia akhlaknya, lembut hatinya, terkawal emosinya dan tenang jiwanya. Bukan sebaliknya, biarlah tubuh badan saja yang uzur tetapi iman tetap segar, masih nampak lagi yang hak dan yang batil, tidak nyanyuk dan lupa mana yang Allah reda dan mana yang dimurkai-Nya.

Apabila anak sudah meningkat dewasa, tentunya kita mahu lebih matang daripada mereka dan lebih baik lagi iman dan amalnya. Setiap hari semakin penuh diari hidup kita dengan catatan amalan soleh. Hakikatnya, dosa dan pahala berlumba-lumba memenuhi setiap muka surat catatan diari kehidupan kita sepanjang masa, tanpa henti. Ada yang rugi, ada pula yang untung dalam perniagaan akhiratnya. Yang rugi hanyalah mereka yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat dipanjangkan umur.

Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Bersegeralah kamu melakukan amal kebaikan sebelum menemui tujuh perkara yang kamu tidak nantikan datangnya iaitu kefakiran yang melalaikan, kekayaan yang menyebabkan kamu zalim, sakit yang merosakkan badan, tua yang menggagapkan percakapan, mati yang melenyapkan segala sesuatu, atau tibanya dajjal atau datangnya kiamat yang lebih dahsyat dan lebih pahit dugaannya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)

Begitulah diari hidup manusia. Jika habis segala cerita dituliskan, maka sampai pula masanya pulang kepada Allah SWT. Tetapi harus diingat, di akhirat semuanya akan dibalas, dihitung dan ditimbang sehalus-halusnya. Cerita tentang hidup manusia bukan menjadi rahsia lagi di sana. Semuanya akan terungkap di Mahkamah Allah Rabbul Jalil.

http://drjuanda.com/

Tinggal kerusi selamat demi menangkan PR

Muhammad Faizal, 22 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang mengambil keputusan untuk tidak bertanding di parlimen yang telah dimenangi dan memilih kawasan baru, adalah bagi membantu menaikkan momentum sokongan di tempat lain.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, kesanggupan berdepan resiko oleh tokoh-tokoh tersebut merupakan satu semangat juang Pakatan Rakyat untuk memenangi pilihanraya nanti.

"Keputusan yang diambil oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat untuk beralih dari bertanding di tempat boleh menang kepada kawasan baru merupakan satu komitmen dalam menaikkan momentun kemenangan Pakatan Rakyat.

"Walaupun berdepan dengan risiko kekalahan tetapi tanggungjawab yang ditunjukkan sebagai pemimpin yang mahu memastikan kemenangan pada pilihanraya nanti perlu disambut oleh semua pihak dan ia juga merupakan satu lanskap baru dalam Pakatan Rakyat," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Salahudin adalah salah seorang yang bakal meninggalkan kawasan Kubang Kerian, Kelantan yang dimenanginya pada 2008 untuk bertanding di Johor pada PRU13 nanti.

Selain beliau beberapa lagi nama besar dalam Pakatan termasuk Penasihat DAP Lim Kit Siang yang akan meninggalkan Ipoh Timur, Perak untuk bertanding di Gelang Patah, Johor.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dikatakan akan bertanding sama ada di Perak atau Selangor iaitu keluar dari kawasan tradisinya Permatang Pauh.

Mengulas kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang menyifatkan Anwar sebagai lari dari Permatang Pauh kerana tidak yakin menang, Salahudin berkata kenyataan bekas perdana menteri itu satu kenyataan lapuk.

Malah katanya, tindakan Anwar itu melambangkan keterbukaan seorang pemimpin yang bersedia untuk berdepan pihak lawan di mana-mana kawasan yang ditentukan parti.

Tiada ulasan: