Selasa, 12 Mac 2013

BUDAYA SAMSENG RUGIKAN PARTI...BURUKKAN PARTI...RAKYAT BENCI DAN MENYAMPAH...KERANA PARTI TAK BERTAMADUN SERTA GANAS

Macai Pro-Umno serang pejabat PKR

Harakahdaily, 11 Mac 2013

(Pekerja am pejabat PKR memerhatikan telor dan batu bertaburan manakala papan tanda PKR pecah diserang hari ini)

PETALING JAYA: Telor, kayu, batu dan kon plastik berterbangan ke arah bangunan ibu pejabat PKR petang ini, dipercayai dibuat oleh macai pro-Umno.

Ekoran itu, beberapa bahagian bangunan itu pecah dan telor bertaburan di depan pintu masuk pejabat PKR itu.

Serangan ini dipercayai untuk mengukuhkan dakwaan kononnya Tian Chua menghina pasukan keselamatan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pembelot negara ekoran tragedi Lahad Datu.

Setiausaha Kerja Wanita PKR Pusat, Maisuri Zainal, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu sekumpulan 40 orang berbaju merah berhimpun di hadapan pejabat parti itu, di Tropicana.

Difahamkan, kumpulan tersebut diketuai Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah.

"Kumpulan itu mula berhimpun dengan beberapa sepanduk yang dibawa oleh sekumpulan mat motor yang mengatakan 'Anwar pengkhianat' dan mengecam Tian Chua.

"Ia berkaitan krisis Lahad Datu, kononnya. Selepas itu, mereka mula membaling telur dan memecahkan papan tanda pejabat kami," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekesalan kerana tiada sebarang tindakan dilakukan pihak polis yang turut berada di situ, biarpun sedar insiden tersebut.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di balai polis berhampiran .

JMM, sebuah NGO yang menyokong Umno sebelum ini juga yang bertindak menghantar kek najis kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

MB diminta pujuk PM bubar Parlimen lebih awal

Anis Nazri, 11 Mac 2013
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan wajar 'memujuk' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membubarkan parlimen lebih awal sebelum mandat di negeri itu berakhir 26 Mac ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani (gambar), berkata adalah lebih baik jika Datuk Seri Mohamad Hasan dapat memujuk Najib untuk membubarkan parlimen lebih awal supaya dilihat lebih bersopan.

"Jika dibubarkan lebih awal, sebelum 26 Mac ini, lebih nampak terancang dan lebih sopan. Mengadap Yang DiPertuan Agong, mohon perkenan. Lebih beradab, berbanding jika terbubar sendiri," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Najib yang masih berteka-teki untuk membubarkan parlimen, sedangkan mandat Dewan Undangan Negeri Sembilan akan berakhir 26 Mac ini.

Namun, beliau yang juga Adun Paroi berkeyakinan Najib akan membubarkan parlimen sebelum 26 Mac ini.

"Saya secara peribadi berkeyakinan Najib akan bubar parlimen sebelum 26 Mac. Mungkin antara 18 Mac hingga 20 Mac ini beliau bubar," tegas beliau.

Dalam pada itu, Taufek berkata PAS negeri sudah bersiap siaga bagi menghadapi pilihan raya sejak dua tahun lalu.

PAS Negeri Sembilan bersama Pakatan Rakyat, katanya mensasarkan untuk menyumbang lebih empat kerusi, dengan mengekalkan 15 kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-12 lalu untuk menawan negeri tersebut.

400 pendatang keluar Sabah - Media Filipina

Harakahdaily, 11 Mac 2013

(Petikan laporan portal berita Philippine Daily Inquirer)

KUALA LUMPUR: Media Filipina melaporkan 400 pendatang di Sabah telah melarikan diri menuju ke parairan Filipina namun kini terkandas di Pulau Penyu (Taganak Island).

Laman Philippine Daily Inquirer menyebut, mereka adalah antara yang melarikan diri selepas pasukan keselamatan Malaysia menjalankan operasi memburu saki-baki penceroboh dan menahan ramai pendatang asing sejak 8 Mac lalu.

Portal itu turut memetik sumber Tentera Laut Filipina semalam bahawa 400 pelarian telah terkandas di  Pulau Penyu sejak malam Sabtu dan menunggu untuk diselamatkan.

Kapten Tentera Laut Rene Yongque, Komander Tentera Laut Pasukan Petugas 62, dipetik sebagai berkata, semua pelarian adalah dari Sandakan, mencapai perairan Filipina jam 7 petang Sabtu lalu dengan menaiki bot kayu.

Yongque juga dilapor berkata kapal tentera laut Sultan Kudarat telah dihantar untuk menyelamatkan pelarian tersebut.

Sementara itu di Malaysia, polis hari ini mengumumkan Kampung Tanduo, kawasan pendaratan penceroboh militan sebulan lepas, kini bersih daripada kumpulan itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pada sidang media pagi tadi berkata, tumpuan operasi pasukan keselamatan kini adalah di kawasan Kampung Tanjung Batu dan Sungai Bilis.

Dalam perkembangan terbaru juga, Hamza berkata 22 mayat pengganas militan telah dibawa keluar dan dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

Mayat-mayat tersebut adalah yang ditembak mati selepas pasukan keselamatan melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh bermula 8 Mac lalu.

Semalam seorang penceroboh ditembak mati di Kampung Tanjung Batu menjadikan jumlah pengganas militan yang mati setakat ini ialah 54 orang manakala 97 ditahan kerana disyaki terbabit dengan pengganas militan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Pasukan keselamatan turut menahan 122 orang kerana berada dalam zon larangan Operasi Daulat.

Menjawab soalan pemberita, Hamza turut menegaskan pihak keselamatan sedang berusaha untut menamatkan operasi ini secepat mungkin.

"Kita ada 'timeline'. Takkan nak tunggu berkampung di sini sampai hujung tahun ini. Tapi 'timeline' itu kita tak boleh bagitahu la," katanya.

PAS akan bertanding di Sg Acheh

Mohd Sabri Said, 11 Mac 2013
PULAU PINANG: Ekoran keputusan untuk  bertanding di DUN Sg Aceh,  PAS kawasan Nibung Tebal disaran melipat gandakan aktiviti untuk memastikan Dun itu dapat ditawan daripada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dengan itu juga, ia dapat membantu jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kekal di Sungai Bakap dan merampas Dun Jawi.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man (gambar) memberitahu, pada pilihanraya umum ke 12 lalu PAS tidak bertanding ketiga-tiga Dun di Parlimen Nibung Tebal sebaliknya memberikan laluan kepada PKR untuk menguburkan UMNO dan BN.

"Saya tahu jentera kita telah lama digerakan malahan sehingga tahap maksima. Oleh itu, lipat gandakan lagi supaya Pakatan Rakyat capai kemenangan yang mutlak, " ujarnya.

Beliau yakin PAS dapat bergerak bersama PKR dan DAP kerana tanpa kerjasama yang erat apa kerja pun tidak akan menjadi.

Beliau difahamkan PAS Nibung Tebal berjaya menambah beberapa cawangan baru sejak kebelakangan ini termasuk cawangan di kubu kuat Umno.

Maka, dengan ini satu lonjakan telah berlaku di mana masyarakat telah lama menunggu masa untuk mengubah pentadbiran yang diamggap longgar dan terlalu banyak penyelewengan.

"Inilah masa yang paling sesuai untuk rakyat mengubah segala-galanya terutamanya memastikan kita ke Putrajaya, " terangnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir.

Syria ke arah demokrasi

Syafiq Shafii, dari Halab, Syria, 11 Mac 2013

Di dalam situasi berperang yang masih berlarutan, serangan tidak henti-henti dilakukan oleh rejim Assad ke Halab, rakyat Syria di Halab telah menjalankan satu pilihanraya bagi memilih dan membentuk Majlis Tempatan Wilayah Halab, pilihanraya pertama selepas revolusi Syria dua tahun lepas.


(Ibrahim paling kiri, antara yang mendapat undi paling banyak)

Pada 1 hingga 3 Mac, saya telah dijemput untuk menghadiri satu konferans dan pilihanraya Local Administration Council of Aleppo sebagai tetamu khas dari Malaysia dan pemerhati pilihanraya mewakili  Malaysia Lifeline for Syria.

Konferans dan pilihanraya ini telah diadakan di Gaziantep, Turkey 40 kilometer dari sempadan Syria berikutan isu keselamatan iaitu serangan terbaru yang dilakukan oleh tentera Assad, meggunakan roket Skud.
Seramai 225 wakil daripada setiap kawasan Halab, yang datang dari dalam Syria untuk menghadiri konferens ini seterusnya membuang undi pada pilihanraya kecil Halab.

Perjalanan pilihanraya



Wilayah Halab dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu Utara Halab, Selatan Halab, Timur Halab, Barat Halab dan Bandar Halab.

Wakil yang terdiri daripada 224 orang itu akan mengundi bagi memilih 25 orang bagi kerusi Bandar Halab dan 29 orang bagi kerusi Wilayah Halab.
Daripada 54 orang yang memenangi kerusi ini akan memilih seorang gabenor dan 10 orang exco yang akan memegang badan masing-masing seperti badan kesihatan, pendidikan, kecemasan, kejuruteraan, perkhidmatan air dan elektrik, kebersihan dan ekonomi.

4 kuasa yang terpisah daripada majlis ini adalah badan kehakiman, media, Free Syria Army dan pihak pengaman polis.

Jelasnya, Majlis Tempatan Halab ini bukannya mewakili mana-mana pihak seperti tentera pembebasan Syria (FSA), ianya adalah daripada rakyat awam Syria sendiri. 


Kepentingan pilihanraya dan majlis tempatan

Walaupun pilihanraya ini tidak begitu sempurna dan masih jauh daripada proses demokrasi kerana tidak mewakili seluruh penduduk Halab dan tiada masa untuk calon berkempen, namun ini adalah satu langkah awal ke arah proses pendemokrasian Syria.
Halab telah memulakan langkah ini, dan seterusnya akan diikuti oleh wilayah-wilayah lain di Syria.

Di dalam situasi yang teruk di Halab akibat peperangan yang masih berterusan, mereka memerlukan satu majlis untuk mengurus proses kehidupan harian mereka.

Sampah yang merata-merata yang tidak diurus dengan baik, sehingga telah tersebar satu wabak yang baru bagi penduduk Halab terutamanya kanak-kanak.

Elektrik telah terputus selama lebih 6 bulan, dan mereka terpaksa menggunakan generator yang memerlukan petrol yang agak mahal.

Ekonomi juga telah lumpuh, dan mereka memerlukan pusingan duit untuk meneruskan kehidupan. Bantuan-bantuan yang datang dari luar tidak diurus dengan baik disebabkan tiada kesatuan.

Masalah-masalah seperti inilah yang terpaksa diuruskan dengan telus oleh Majlis Tempatan Halab selepas ini, malah seribu satu masalah lagi yang terpaksa mereka selesaikan.

Selain itu, proses pilihanraya ini juga bagi menolak tangkisan penganilis politik yang mengatakan bahawa sekiranya rejim Assad jatuh, Syria juga akan menghadapi masalah kerana perpecahan yang berlaku di dalam tentera dan tiada pengalaman demokrasi sebelum ini.


"Pilihanraya ini adalah mesej kepada Basyar Assad dan seluruh dunia bahawa rakyat Syria sudah sedia ke arah negara yang demokrasi.

"Jika sebelum ini kami mampu hidup tanpa diskriminasi, tak pernah ada masalah diantara Islam dan Kristian, Arab dan Kurdi.


(Penulis bersama Muaz Khatib)

"Kami tidak mahu negara kami diperintah oleh rejim yang hanya tahu memusnahkan dan merosakkan negaranya sendiri. Kami sudah sedia untuk memerintah," kata Muaz Khatib, presiden National Coalition for Opposition force and the Syrian Revolution.

"Kami hanya mahu tidur tanpa rasa takut," tambahnya lagi, merujuk kepada rakyat Syria sebelum ini didalam ketakutan dan tiada kebebasan setelah diperintah lebih 40 tahun oleh Assad.

Tahniah saya ucapkan kepada rakyat Syria yang telah berjaya menjalankan pilihanraya telus yang pertama setelah lebih 40 tahun mereka ditipu di dalam pilihanraya.

Jikalau sebelum ini, pilihanraya presiden yang berlaku, Bashaar Assad telah memenangi 99 peratus undi daripada calon-calon palsu yang lain.
Kata pensyarah saya "Jikalau Nabi sekalipun yang bertanding, tidak akan menang dengan 99 peratus undi".


* Penulis merupakan seorang sukarelawan Save Syria dan Malaysia Lifeline For Syria. Sedang menuntut di Necmettin Erbakan University (M.A Philosophy and Religion), Turkey.

Tiada ulasan: