Jumaat, 15 Mac 2013

DAH KATA SESAT...PELAMPAU...GUNA AGAMA DLL...SERANAH DAN KUTUK HABIS...NAK BERSATU PULAK...MACAM DAH TERDESAK...HUKUM HUDUD TAK DIPERJUANGKAN...AKHIRAT JAWAB

Fathul Bari: Perpaduan Umno dan Pas perlu disegerakan

14 Mac 2013
Fathul Bari
Fathul Bari
KOTA BAHRU - Perpaduan antara Umno dan Pas perlu segera diwujudkan untuk kepentingan Islam dan orang Melayu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya.
  
Beliau berkata perpaduan itu bukan untuk mana-mana pihak membubarkan parti tetapi mewujudkan kerjasama ke arah kebaikan untuk kekuatan kepada Islam dan orang Melayu.
  
"Umno telah lama hulur tangan untuk perdamaian dan perpaduan ke arah kebaikan, sewajarnya Pas menimbang dan menerima tawaran tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah isu-isu semasa kepada Penceramah Penerangan Negeri Kelantan di sini, hari ini.
  
"Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda "Susulilah perkara yang buruk dengan perkara yang baik"," katanya sambil menjelaskan dalam konteks ini perkara yang buruk ialah perpecahan dan yang baik adalah perpaduan.
  
Beliau berkata tuntutan perpaduan itu adalah tuntutan syarie maka perkara syarie perlu dilaksanakan segera mungkin. - Bernama
Polis tubuh pasukan khas siasat kes samun, rogol wanita Amerika

15 Mac 2013
SHAH ALAM - Polis Selangor menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes membabitkan seorang wanita warga Amerika Syarikat yang dilaporkan disamun dan dirogol pada Isnin lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata, polis sedang giat memburu beberapa suspek yang dipercayai terbabit dengan
kejadian itu.
"Berdasarkan maklumat daripada mangsa, polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada kira-kira 5 pagi semalam (kelmarin)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, semalam.
Wanita berusia 20-an itu menaiki teksi dari sebuah pusat beli-belah di Mutiara Damansara, dekat sini sebelum dibawa ke sebuah lokasi di Sungai Pelek,
Sepang sebelum dirogol.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata ia memandang serius kes berkenaan.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak polis bagi mengesan individu terlibat.
Syed Hamid berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu dan pengendali teksi itu jika siasatan mengesahkan dakwaan itu.
Beliau juga meminta orang ramai memastikan teksi yang dinaiki memaparkan kad pemandu di ruangan papan pemuka. - Bernama
Pelancong warga Amerika disamun, dirogol pemandu teksi
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2013
SHAH ALAM - Seorang pelancong wanita warga Amerika Syarikat bukan sahaja disamun dan dikurung, lebih malang dia dipercayai dirogol bergilir-gilir selepas menaiki sebuah teksi di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Isnin lalu.

Sumber berkata, ketika kejadian wanita berusia 25 tahun itu baru selesai membeli barang di sebuah pusat beli-belah dan mengambil teksi untuk pulang ke hotel.

Menurutnya, selain mangsa dan pemandu teksi, terdapat seorang lagi 'penumpang' lelaki dalam kenderaan terbabit.

"Pemandu teksi dan lelaki terbabit dipercayai bersekongkol membawa mangsa ke sebuah homestay di kawasan Sungai Pelek, Sepang.

"Mangsa dikurung selama dua hari dan dirogol. Barangan berharga serta wang miliknya turut disamun," katanya.

Menurut sumber, mangsa berjaya melepaskan diri petang semalam, sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelek.

Katanya, susulan laporan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan dan sedang mengesan beberapa individu lagi yang disyaki ada kaitan dengan kes tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed dan Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Superintendan Zaldino Zaludin mengesahkan terima laporan berhubung kes tersebut.

Pada 6 Mac lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan seramai lima pemandu teksi ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan culik penumpang bagi meminta wang tebusan di sekitar ibu negara baru-baru ini.

Beliau berkata, polis turut mengenal pasti tiga kumpulan pemandu teksi aktif melakukan jenayah tersebut sejak enam bulan lalu dengan menyasarkan penumpang wanita yang menaiki teksi bersendirian sebagai mangsa.

Katanya, sebanyak 13 kes dilaporkan berlaku sejak Januari lalu dan modus operandi penjenayah adalah menyewa teksi dan berpura-pura mengambil penumpang sebelum menyamun atau menculik mereka.
Perogol bersiri Amran dihukum lagi
ADILA SHARINNI WAHID
26 Februari 2013
KOTA BHARU - Perogol bersiri yang pernah menggemparkan negara sebelum ini dihukum lagi apabila Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan ke atasnya.

Hukuman diputuskan Hakim Azman Mustapha selepas Amran Che Jaafar didapati bersalah merogol seorang penuntut kolej di sini, tiga tahun lalu.

Dia kini sedang menjalani hukuman penjara 28 tahun dan 17 sebatan.

Dengan keputusan hari ini, Amran perlu menjalani hukuman 48 tahun di penjara dan 27 sebatan.

Dia masih mempunyai beberapa kes yang sedang dalam perbicaraan.
Wanita dalam pantang dijel 2 bulan tawar khidmat seks

26 Februari 2013
KUALA LUMPUR -  Seorang wanita dalam tempoh berpantang hari ini dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis, Ahad lepas.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin memerintahkan Rosmalini Hussin, 31, menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap pada 24 Februari lepas.
Rosmalini dari Triang, Pahang didakwa menawarkan perkhidmatan seks bagi maksud persundalan kepada Sarjan Major P. Ravidran, 50, dari cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di hadapan sebuah hotel di Jalan Raja Laut di sini pada 8.05 malam pada tarikh tersebut.
Dia didakwa mengikut Seksyen 372(B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Rosmalini yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia hanya seorang suri rumah dan masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak sebulan yang lepas.

Dia juga mempunyai empat lagi anak yang berumur antara 2 tahun hingga 10 tahun manakala suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Zuraimi Kamarozzaman. - Bernama
Mahkamah Rayuan jel penoreh getah rogol gadis bawah umur

1 Mac 2013
PUTRAJAYA - Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh mahkamah rayuan di sini hari ini kerana merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di sini lima tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Seri Abu Samah Nordin membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk membebaskan Mohamad Malek Ridhzuan Che Hassan, 25, di akhir kes pembelaan.

Panel itu mensabitkan Mohamad Malek terhadap dua pertuduhan merogol gadis itu yang ketika kejadian berumur 12 tahun sembilan bulan di sebuah hotel di Jalan Pudu, pada 1 pagi dan 3 pagi pada 23 April 2008. Dia diperintah menjalani hukuman penjara itu secara serentak dari hari ini.

Bagaimanapun, penoreh getah dari Kuala Lipis, Pahang itu dikecualikan daripada sebatan kerana hukuman itu bergantung kepada budi bicara dan Timbalan Pendakwa Raya Kwan Li Sa tidak mendesak bagi hukuman itu.

Dalam mengenepikan pembebasan Mohamad Malek, Hakim Abu Samah berkata, hakim Mahakmah Sesyen telah terkhilaf semasa memutuskan Mohamad Malek telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah Sesyen membebaskan Mohamad Malek daripada pertuduhan itu pada 9 November 2010 dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 23 Februari tahun lepas.

Hakim Abu Samah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azahar Mohamed dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh, berkata terdapat kes di mana mahkamah mendapati sukar untuk membuat keputusan.

Terdahulu, peguam Amrit Pal Singh yang mewakili Mohamad Malek, semasa mengemukakan rayuan bagi anak guamnya, merayu mahkamah memberikan hukuman ringan dan menggesa anak guamnya dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik.

Beliau memberikan contoh keadaan anak guamnya itu dengan kes pemain boling kebangsaan yang diberikan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM25,000 oleh Mahkamah Rayuan pada tahun lepas.

Tertuduh yang ketika kejadian berumur 19 tahun, telah merogol remaja perempuan 13 tahun itu dalam sebuah bilik hotel pada 2010 tetapi mengaku salah semasa dihadapkan ke mahkamah.

Amrit Pal berkata, ini juga merupakan kes "suka sama suka" kerana mereka merupakan pasangan kekasih dan tidak wujud paksaan terhadap gadis itu.

"Ia merupakan kesilapan di pihak tertuduh kerana masih muda," katanya dan menurutnya anak guamnya telah memohon maaf kepada mangsa dan meminta mahkamah menaruh belas kasihan terhadapnya dan memberi peluang kepadanya untuk menjalani kehidupan baru.

Timbalan Pendakwa Raya Kwan meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara antara 12 dan 15 tahun kerana ia merupakan kes serius dengan mengambil kira umur remaja perempuan itu. - Bernama
'Kasanova maya' didakwa tipu tiga wanita

27 Februari 2013
GEORGETOWN - Seorang juruteknik komputer hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap tiga pertuduhan menipu tiga wanita, tahun lepas.

K.K. Prabaharan, 45, didakwa memperdayakan warga emas T. Suppamal, 68, untuk menyerahkan enam utas rantai leher, enam pasang subang, dua pasang gelang, lima bentuk cincin dan seutas rantai tangan bernilai RM60,000 untuk tujuan dicuci.

Dia melakukan kesalahan itu di rumah nombor T-3-32, Taman Hamna Lorong Helang 1, Sungai Dua, Gelugor di sini pada 10 pagi, 7 November lepas.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdayakan A. Vanija, 31, untuk menawarkan tender kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Green Lane di sini dan meminta mangsa menyerahkan RM2,000 untuk tujuan itu.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan Hospital Lam Wah Ee, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim di sini, pada 3 petang, 8 Oktober lepas.

Prabaharan turut didakwa memperdaya B. Vikneswary, 29, untuk menyerahkan wang RM16,000 sebagai bayaran balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Bank Rakyat, Jalan Magazine di sini pada 3 petang, 6 Disember lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Majistret Norhayati Ibrahim membenarkan Prabaharan diikat jamin RM20,000 dengan tiga penjamin dan menetapkan 16 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairul Fairuz Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Md Yusuf Idris.

Prabaharan ditahan 4 Januari lepas di rumah sewanya di Bukit Gambir di sini setelah polis menerima aduan mengenai kegiatan seorang kasanova yang memperdaya lebih 20 wanita menerusi laman web sosial dan dipercayai mengaut lebih RM500,000 sejak 2001. - Bernama
Padah tempias nafsu songsang
ADILA SHARINNI WAHID
26 Februari 2013
KOTA BHARU - Padah tempias gelora nafsu songsang terhadap seorang kanak-kanak lelaki, seorang penganggur dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hukuman diputuskan oleh Hakim Azman Mustaph selepas tertuduh didapati bersalah di akhir kes pembelaan.

Wan Mokhtar Wan Sidek, 34, didakwa meliwat mangsa yang berusia 12 tahun tiga bulan berdekatan jambatan Sungai Rasau, Pasir Puteh, dua tahun lalu.

Kesalahan dilakukan pada jam 2.30 petang, 29 Jun 2011.
Bersekedudukan hingga hamil
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2013
Bersekedudukan hingga hamil
Salmah berharap dapat melalui prosedur pernikahan sah menurut syariat Islam selepas memeluk Islam sebulan lalu
ROMPIN – “Saya tak tahu prosedur, malah saya bimbang jika anak dilahirkan ini tidak boleh dibin atau dibintikan bapanya yang sebenar kerana saya telah mengandung lapan bulan,” demikian luahan seorang saudara baru yang memeluk Islam, kira-kira
sebulan lalu.

Salmah (bukan nama sebenar), 30, berkata, dia mengandung anak luar nikah hasil hubungan sulitnya dengan seorang lelaki warga asing yang bekerja di sebuah projek tanaman buah-buahan tempatan berhampiran tempat tinggalnya.

Menurutnya, dia dan lelaki yang dikenali sebagai Mahmud (bukan nama sebenar), 30, mula menjalani kehidupan sebagai ‘suami isteri’ selepas dia disahkan mengandung dua bulan.

“Akibat keterlanjuran kami, saya mengandung, dan dia sanggup bertanggungjawab atas segala yang berlaku, malah mahu memperisterikan saya secara sah melalui ikatan perkahwinan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, katanya, dia berdepan masalah untuk berkahwin secara sah kerana ‘suami’ warga asing itu beragama Islam, sedangkan dia masih berpegang kepada ajaran animisme dianutinya selama ini.

“Saya pergi ke Pejabat Agama Islam Daerah (Paid), namun mereka meminta kami memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Imigresen memandangkan suami bukan orang tempatan,” katanya.

Salmah berkata, disebabkan urusan mendaftar perkahwinan rumit, mereka mengambil keputusan untuk berkahwin mengikut istiadat masyarakat Orang Asli.

“Setelah berbincang dengan keluarga saya, kami mengambil keputusan untuk berkahwin mengikut adat Orang Asli, malah ketika perkahwinan itu dilangsungkan saya masih belum memeluk Islam,” katanya.

Menurutnya, dia memeluk Islam sebulan lalu di Paid Rompin, bagaimanapun terpaksa menyembunyikan kandungannya.

Salmah yang mempunyai enam orang anak hasil perkahwinan terdahulu berkata, dia mahu mengikut prosedur pernikahan sah menurut syariat Islam kerana bimbang masa depan anak yang bakal dilahirkannya itu.
“Saya memohon Paid menikahkan saya dengan segera kerana tidak sanggup bergelumang dosa, apatah lagi saya sudah menjadikan Islam sebagai pegangan hidup,” katanya.

Menurutnya, sejak hidup bersama Mahmud, lelaki warga asing itu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, malah dia yakin perkahwinan keduanya itu menemui kebahagiaan yang dicarinya selama ini.

“Saya mahu terus hidup bersamanya. Biarpun berlainan keturunan. Saya yakin lelaki ini bertanggungjawab dan ikhlas menerima saya seadanya,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Paid Muadzam Shah berkata, perkahwinan yang dijalankan mengikut adat Orang Asli itu tidak sah di sisi syarak, sedangkan lelaki itu beragama Islam.

Menurutnya, pasangan itu perlu datang ke Paid Muadzam Shah untuk membetulkan semula pernikahan tersebut seandainya semua syarat termasuk kelulusan dan kebenaran daripada kedutaan negara dan Jabatan Imigresen diperoleh.

“Bagaimanapun, status anak dikandungkannya tidak sah dan tidak boleh dibin atau dibintikan dengan nama lelaki terbabit,” katanya.

Tiada ulasan: