Selasa, 12 Mac 2013

BILA KERJANYA MEMBURUKKAN MUSUH...BURUK KAWAN SENDIRI TUTUP SEMUA LUBANG...TAPI MEREKA TAK TAHU LUBANG TERBUKA JUGA...KALAU INGIN BUKAKAN OLEH ALLAH SWT

Ambil iktibar insiden Lahad Datu - Syura PAS

Harakahdaily, 11 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak PAS mahu semua pihak mengambil iktibar dengan insiden pencerobohan bersenjata yang berlaku di Sabah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Majlis Syura Ulamak Datuk Nik Muhammad Zawawi Saleh mengharapkan, insiden seperti itu sebolehnya tidak lagi berlaku pada masa akan datang dan kerajaan Malaysia perlu memastikan kawalan keselamatan negara pada tahap terbaik.

"Majlis Syura Ulamak menganggap kewajipan menjaga keamanan negara adalah tanggungjawab bersama. Majlis Syura Ulamak juga menentang sebarang ancaman keselamatan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, samaada  dari dalam mahupun luar negara.

"Majlis Syura Ulamak menyarankan agar Kerajaan Malaysia memastikan tiada lagi ancaman keselamatan terhadap rakyat dan negara di masa hadapan. Jika berlaku juga, Majlis Syura Ulamak mendesak agar tindakan diambil dengan penuh kebijaksanaan dan lebih segera, agar keselamatan rakyat dan negara terjamin," katanya.

Pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah sejak sebulan lalu telah menyaksikan lapan anggota polis terkorban ditangan kumpulan tersebut.

Di pihak penceroboh bersenjata itu pula, seramai 54 orang mati di tangan anggota keselamatan manakala 97 ditahan kerana disyaki terbabit.

Pasukan keselamatan turut menahan 122 orang kerana berada dalam zon larangan Operasi Daulat.

Dalam pada itu, Majlis Syura Ulamak turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban dan menganggap mereka wira negara.

"Kita memandang serius peristiwa Lahad Datu dan merakamkan doa dan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa," kata Zawawi.

Fitnah: Tian Chua akan ambil tindakan

Harakahdaily, 11 Mac 2013
KUALA LUMPUR: “Blogger seperti Papagomo seharusnya mengambil iktibar daripada tindakan undang-undang ini dan berhenti menerbitkan artikel-artikel fitnah tanpa asas atau bukti,” ujar Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya telah diserangi secara bertubi-tubi oleh media dan para blogger pro BN sejak Mac 2 lalu, terutamanya blogger Papagomo yang telah menerbitkan beberapa artikel yang mendakwa saya menghina Pasukan Keselamatan yang kini menjalankan tugas mereka di Sabah.

Saya ingin menyatakan bahawa saya akan mengambil tindakan undang-undang di mahkamah terhadap blogger Papagomo berkenaan dengan siri artikelnya yang menyerang nama saya dan kini menyebabkan siri ancaman dan ugutan terhadap keselamatan peribadi saya.

Tuduhan menghina Pasukan Keselamatan adalah suatu fitnah dan pembohongan semata-mata. Untuk menjelaskan sekali lagi saya tidak pernah menghina Pasukan Keselamatan dan tugas mereka, saya telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang.

Para blogger seperti Papagomo seharusnya mengambil iktibar daripada tindakan undang-undang ini dan berhenti menerbitkan artikel-artikel fitnah tanpa asas atau bukti.

MPAG arah turun kain rentang di halaman rumah

Hazayani Zakaria, 11 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Seorang penduduk Kampung Paya Rumput, Melaka  tidak berpuas hati apabila Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengarahkan beliau menurunkan kain rentang di premis miliknya.

Zakaria Daud menerima notis meminta beliau berbuat demikian ekoran beliau memasang kain rentang dengan gambar Penyelia PAS Parlimen Masjid Tanah, Nasaei Ismail dan tawaran Pakatan Rakyat di hadapan rumahnya.

Beliau berkata, tiga buah kenderaan MPAG datang ke rumahnya kira-kira jam 11.15 malam kelmarin, meminta beliau menurunkan kain rentang tersebut sebelum tindakan undang-undang diambil.

Namun Zakaria bertegas tidak mahu menurunkannya kerana ianya dipasang di hadapan rumahnya dan tidak mengganggu laluan orang ramai.

"Kenapa saya nak turunkan pula sedangkan saya pasang kemas-kemas di hadapan rumah saya. Tak ganggu orang lalu lalang.

"Saya tanya orang MPAG kenapa datang tengah malam mereka kata hari itu mereka diarahkan untuk turunkan kain rentang," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada pihak yang membuat aduan kepada MPAG berhubung perkara itu kerana rumahnya dikelilingi rumah orang kuat Umno termasuk ahli jawatankuasa keselamatan kampung (JKKK).

Tambah beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Masjid Tanah, MPAG meminta beliau memohon lesen untuk memasang kain rentang yang disifatkan berunsurkan politik.

"Mereka suruh saya ke Masjid Tanah untuk buat permohonan untuk naikkan kain rentang tetapi saya tak mahu sebab ini kawasan rumah saya," tegasnya yang juga Ketua PAS Cawangan Paya Rumput.

MB ziarah SU DHPP Kelantan di HUSM

Zamani Mohd Zain, 11 Mac 2013


KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan, Tharuman Arjunam yang masih tidak sedarkan diri akibat kemalangan jalan raya semalam.

Menteri Besar meluangkan masa menziarahinya di wad rawatan rapi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian sekembali daripada menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur tengahari tadi.

Ketika menemui ayah mangsa, Arjunam Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta beliau dan keluarga bersabar ekoran kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Saya berharap Tharuman cepat sembuh,” katanya kepada keluarga mangsa. Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadhli Shaari dan Pengerusi DHPP Kelantan, Lim Guan Seng.

Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan peribadi dan kerajaan negeri kepada Arjunam.

Tharuman, 35 terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira 2.30 pagi semalam di jalan Pasir Mas-Kota Bharu, dekat Salor ketika memandu sendirian pulang ke rumah di Jalan Kubur Kuda.

Sementara itu Arjunam kelihatan tidak dapat menahan sebak di atas kunjungan Tuan Guru Nik Abdul Aziz biar pun sibuk dengan tugasan harian.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kunjungan Menteri Besar. Menurutnya juga, biar pun anaknya masih tidak sedarkan diri namun keadaannya stabil.

Tharuman yang juga kakitangan Urussetia Penerangan Kerajaan Negeri turut patah tangan kiri akibat kemalangan tersebut.

Kelantan cungkil bakat seni wanita muda

Salmah Mat Husain, 11 Mac 2013
KOTA BHARU: Tiga artis hijrah Najwa Latif, Noryn Aziz dan Yatt Hamzah akan bergabung tenaga memeriahkan Wanita Kelantan Got Talent 2013 pada 16 Mac ini.

Mereka akan membuat penampilan sempena pertandingan akhir mencari bakat wanita dalam pelbagai persembahan yang akan diadakan di Kelantan Trade Centre (KTC).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, hanya wanita sahaja dijemput hadir pada program yang bermula jam 9 pagi.

“Ia hanya untuk wanita sahaja. Bukan hanya peserta adalah wanita tetapi penonton, petugas, keselamatan dan semuanya terdiri kalangan wanita,” katanya di sini.

Menurutnya, program kali kedua diadakan bagi memberi peluang kepada mereka yang berbakat sama ada dalam seni tarian, nyanyian, nasyid, berlakon dan berbagai lagi menguji kebolehan masing-masing.

Kata beliau sambutan tahun ini begitu membanggakan di mana seramai 73 peserta menghantar permohonan menyertai pertandingan berbanding hanya 35 orang tahun lepas.

Tahun lepas seorang beliawanis dari Kota Bharu, Nik Farah Aina Nik Hariman muncul johan Wanita Kelantan Got Talent 2012.

Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Zainiah Halim berkata, hanya 10 peserta akan membuat persembahan nyanyian dipilih ke peringkat akhir di sebelah petang.

Manakala tiga kumpulan bagi persembahan tarian dan dua lagi lain-lain kategori termasuk sketsa. Noryn Aziz dilantik sebagai ketua juri dan dibantu pegawai dari Jabatan Kebudayaan Negeri Kelantan.

Penduduk kesal janji PRK Kerdau tidak ditepati

Khairil Abdul Rahim, 11 Mac 2013


Mohamed (kanan) menunjukkan barang-barang yang tertimbus.

TEMERLOH: Penduduk Kampung Bakah, Kerdau dekat sini tampil dengan bukti bagaimana kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya sekadar pandai berjanji tetapi tidak ditepati.

Wakil penduduk Mohamed Deris, 81, berkata janji pembinaan jalan tar ke tanah perkuburan kampung berkenaan telah dibuat pihak kerajaan semasa kempen Pilihan raya Kecil (PRK) Kerdau pada 2011 lalu.

Dakwanya, kontraktor telah dianugerahkan projek membina jalan tar ke tanah kubur kampung berkenaan sepanjang 880 meter di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) Temerloh.

“Malangnya kontraktor yang hanya mementingkan diri itu hanya menyiapkan kerja-kerja sepanjang 200 meter saja sebelum ditinggalkan terbengkalai. Bukan itu saja, sebahagian barang yang sepatutnya digunakan untuk projek itu seperti culvert habis dipunggah untuk projek yang lain.

“Kami penduduk kampung yang tidak berpuas hati, telah pergi ke Pejabat Tanah dan Daerah dan didapati kontraktor telah menerima bayaran kontrak sebanyak RM60,000 serta wang tambahan,” katanya kepada Harakahdaily yang dibawa melihat jalan berkenaan.

Beliau turut menunjukkan sisa-sisa simen yang telah keras membeku, batu kuari dan batu bata sudah berlumut terkambus dalam semak samun di sepanjang projek jalan terbengkalai itu.

Kata Mohamed, kegagalan kontraktor tersebut dan ketiadaan pemantauan daripada pihak kerajaan menyebabkan kerugian kepada wang rakyat dan menyusahkan orang kampung yang mahu berziarah kubur.

“Sekarang akhirnya yg rugi rakyat juga kerana wang kerajaan dikeluarkan tetapi projek gagal dilaksana sepenuhnya. Penduduk kampung juga tidak dapat menziarahi kubur orang tua mereka termasuk datuk nenek Ahli Parlimen Kuala Krau kerana semak.

“Kolam ikan penduduk kampung juga dimasuki lumpur akibat longkang yang gagal disiapkan kontraktor,” ujarnya.

Mohamed yang juga pesara kerajaan berkata, kontraktor yang sama juga membiarkan projek membina longkang sepanjang satu kilometer sehingga menimbulkan pelbagai kerumitan dan masalah kepada penduduk terutama apabila musim hujan.

Selain daripada itu, penduduk juga mengadu tiang-tiang lampu dan tiang telefon di kampung tidak diselenggarakan sejak tahun 2001 sehingga menyebabkan dipenuhi semak samun.

Sementara itu Penyelaras PAS Dun Kerdau, Kamal Ashaari yang turut hadir, berkata beliau kesal dengan pembaziran sehingga merugikan wang rakyat.

“Akibat pihak kontraktor dan kerajaan tidak betanggungjawab boleh dianggap sebagai satu penganiayaan kepada penduduk sehingga menyusahkan mereka untuk ziarah dan tahlil ke kubur orang-orang tua mereka.

“Mana slogan 1Malaysia rakyat didahulukan pencapaian diutamakan serta janji ditepati jika projek untuk orang kampung macam ini pun tak boleh dikendalikan?” soalnya.

Sultan negeriku buat kejutan

http://mountdweller.blogspot.com, 11 Mac 2013
Tuanku Sultan membuat kejutan kepada ahli qariah Masjid Mukim Gunong dengan Tuanku Sultan memandu sendiri ke masjid pada waktu Solat Asar yang kebetulan Tuanku Sultan lalu di Kampung Gunong dari Bachok, Tuanku Sultan tidak memberitahu kepada mana-mana pegawai dan imam masjid tentang kehadirannya untuk solat di masjid tersebut.

Imam hanya sedar bila Tuanku Sultan bergegas pergi mengambil wudu' dan pada waktu itu kelihatan pegawai-pegawai Tuanku Sultan dan jawatankuasa masjid keresahan kerana tidak ada persediaan langsung bahkan tidak dihamparkan karpet kuning dan sejadah berwarna kuning kepadanya kerana tidak bersedia. Sungguh, sangat bersederhana Tuanku Sultan dan memahami raut wajah imam yang keresahan, Tuanku Sultan bersalam seolah-olah mahu menenangkan.

- sumber fb

Tiada ulasan: