Ahad, 24 Mac 2013

AGAK2 SAPE YANG ALLAH AMBIK DULU...BERTAUBATLAH...KEMBALILAH KEJALAN ALLAH...BERTAMBAH HARI...BERTAMBAH DEKAT DENGAN TARIKH KEMATIAN

DAP tanding guna lambang PAS dialu-alukan

Harakahdaily, 23 Mac 2013
KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengalu-alukan cadangan Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang untuk bertanding di bawah logo PAS sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan partinya menjelang PRU13.

“Jika berlaku pembatalan, PAS mengalu-alukan calon-calon DAP dan Kit Siang untuk bertanding menggunakan lambang PAS mahupun PKR,” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali hari ini kepada Harakahdaily.

Mustafa memberikan reaksi kepada cadangan Lim yang menyatakan kesediaannya untuk bertanding di bawah lambang PAS sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan partinya ekoran kesilapan dalam pemilihan pada tahun lalu.

Di Twitter, bagaimanapun Ahli Parlimen Ipoh Timur itu melahirkan kebimbangan timbul konspirasi untuk mengelakkan partinya bertanding di PRU13.

“Tiada sebab untuk ROS untuk membatalkan DAP! Tapi konspirasi tertinggi di dalam jabatan mainan kotor BN akan menggantung/membatalkan DAP supaya lambang Roket tidak boleh digunakan pada PRU13 kerana BN takut pada PRU13.

"(Saya telah) memberitahu wartawan bahawa BN bersalah menyalahgunakan kuasa untuk membatalkan DAP dengan tidak mengikut perlembagaan supaya simbol roket tidak dapat digunakan di PRU. Maka dengan itu, calon-calon DAP akan bertanding sebagai calon bebas atau meminjam logo PAS/PKR. Jika BN salahguna kuasa, saya mungkin akan guna logo PAS di PRU13 untuk menguatkan PR,” tulis Lim di Twitter.

Semalam, bekas Naib Presiden DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menggesa DAP diambil tindakan oleh ROS kerana gagal mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP selepas berlaku kesalahan dalam pengiraan undi.

Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman pula berkata ia menghadapi kesukaran menyelesaikan siasatan tidak mendapat kerjasama daripada pemimpin tertinggi parti itu.

Rahman dipetik berkata notis telah diberi kepada seorang pemimpin tertinggi DAP untuk memberi keterangan tapi pemimpin tersebut memberi pelbagai alasan seperti tiada masa.

Sementara itu, Mustafa menegaskan bahawa adalah tidak adil untuk mengambil tindakan terhadap DAP menjelang PRU13.

“Adalah tidak adil untuk membatalkan DAP di saat menjelang pilihanraya umum ke 13. PAS melihat tindakan itu lebih bermotif politik,” tegas beliau

Siapa yang berhenti dulu, Najib atau Taib?

Aspan Alias, 23 Mac 2013
Najib sedang berhadapan dengan satu lagi tekanan, iaitu berhubung dengan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak. Pembenterasan rasuah merupakan salah satu dari NKRA yang dilaung-laungkan oleh pentadbiran Najib sejak beliau mengambil alih jawatan dari Abdullah Badawi. Video Global Witness yang tersebar luas tidak boleh menyorokkan apa yang sedang berlaku dalam pentadbiran Taib Mahmud, dan itu pun persepsi lama rakyat terhadap Ketua Menteri tertua dan terlama sekali mentadbir sesebuah kerajaan negeri itu.
Rakyat sedang menunggui tarikh pilihanraya untuk membuat penentuan dan isu ini sudah tentu menjadi isu yang boleh mempengaruhi sikap pengundi dalam pilihanraya yang akan datang tidak lama lagi ini. Sejak akhir-akhir ini BN sedng menghadapi terlalu banyak isu yang bakal membawa mala petaka kepada kerajaan yang diterajui BN ini.

Dalam pilihanraya negeri tahun lepas Najib telah berjanji akan menyediakan pelan persaraan Taib Mahmud tetapi sekarang janji-janji beliau itu tetap tinggal janji dan Taib masih melakukan apa yang sangat dibenci dan diisuka oleh rakyat sekian lama. Apa yang berlaku yang terlihat di dalam video Global Witness itu adalah satu perkara yang tidak mengejutkan sesiapa. Video itu hanyalah menambah keyakinan dan bukti yang tuduhan rakyat terhadap BN sebagai parti yang terlalu sarat dengan rasuah dan salah guna kuasa itu seratus peratus benar.

Di mana-mana Ketua Kerajaan demokrasi di seluruh dunia mengambil etika dan nilai demokrasi itu sebagai elemen terbesar dalam sesuatu pentadbiran kerajaan. Jika tahap demokrasi sebuah negara itu tinggi pemimpin seperti Taib ini sewajarnya berhenti secara sukarela dan jika tidak berhenti, maka kuasa yang lebih besar wajar memaksa Taib untuk berundur sehingga penyiasatan ke atas beliau selesai.

Sesungguhnya Taib sudah tidak wajar lagi untuk menjadi Ketua Menteri lebih lama dan beliau sepatutnya mempunyai maruah dan berhenti sahaja dari jawatan beliau selaku Ketua Menteri Sarawak. Jika Najib tidak mampu untuk meminta Taib berhenti dan bersara, maka Najib pula lah yang terpaksa membuktikan kesungguhan beliau dalam isu memerangi rasuah ini.

Jika Taib masih berada ditampuk kuasa dan tidak mahu berundur maka Najib terpaksa mengambil ‘accountability’ dan beliau sendiri wajar meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Ini bukannya isu kecil dan Najib perlu menentukan tindakan terhadap Taib dilaksanakan. Isu Taib ini sudah terlalu banyak dan tidak boleh dibendung lagi. Kerajaan negara ini tidak boleh ditadbir seperti mentadbir persatuan sepak takraw Pekan, Pahang.

Negara ini negara berdaulat dan pencerobohan terhadap khazanah negara dan rakyat itu adalah satu pembelotan dan pengkhianatan terhadap negara dan kita boleh takrifkan sebagai memerangi Yang di-Pertuan Agong. Ia lebih bahaya dari pengganas yang telah memasuki persempadanan kita di Lahad Datu dan Semporna lima minggu yang lepas. Pencerobohan pengganas asing boleh diselesaikan dengan tindakan peperangan dengan pasukan keselamatan kita, tetapi dalam isu rasuah ia memerlukan ‘political will’ yang sungguh-sungguh untuk  menyelesaikannya.

Seperti yang sudah lama dirasai umum, keadaan dan perlakuan seperti Taib ini sudah menjadi budaya pemerintah bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di negeri-negeri lain dalam Persekutuan ini. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa sudah di‘institutionalized’kan dan membudayakan rasuah ini sudah tidak menjadi kesalahan lagi.

Inilah saat bagi kita melihat setakat mana kemampuan Najib sebagai pemimpin yang memegang amanah rakyat. Najib mempunyai satu piihan sahaja, iaitu untuk melakukan sesuatu bagi Taib meletakkan jawatan dalam kadar yang serta merta. Seandainya Najib tidak berani melakukannya maka Najib pula lah yang terpaksa meletakkan jawatan serta merta. Najib mesti menerima ‘accountability’ kepimpinan sebuah negara demokrasi ini.

Jika kita mendengar rakyat ramai bercakap, mereka tidak yakin boleh memaksa atau memberitahu Taib yang beliau (Taib) tidak boleh lagi mengetuai pilihanraya umum Sarawak nanti dan beliau (Taib) wajar menyelesaikan isu moral beliau yang sangat besar ini serta merta. Rakyat sudah tidak tertahan lagi melihat pimpinan BN terlibat dalam isu rasuah yang tidak kunjung padam ini.

Tetapi pandangan dan persepsi rakyat terhadap kekurang-mampuan Najib menyelesaikan isu ini mungkin banyak kebenarannya. Isu Najib seperti pimpinan Sarawak itu juga banyak yang sedang dipersoalkan oleh rakyat. Bagaimana Najib hendak memberitahu Taib untuk berhenti kerana isu rasuah sedangkan Najib sendiri sedang berperang menghadapi isu yang sama terhadap beliau.

Najib juga dikaitkan dengan pembelian Scorpene yang sangat besar isunya. Najib sendiri mempunyai rangkaian masalah sendiri. Takut-takut jika Najib menasihati Taib supaya berhenti, Taib akan memberikan ‘middle finger’ beliau terhadap Najib. Bukan mudah untuk meminta Najib menasihati Taib untuk berhenti. Itu sebabnya saya selalu menulis dalam blog ini yang hanya rakyat sahaja yang mampu untuk memberhentikan semua pimpinan BN yang sama seperti Taib dan Najib itu.

Jika Najib mengundurkan diri siapa yang agak ‘viable’ untuk menggantikan beliau kerana jika diikutkan cara pengambilalihan jawatan Perdana Menteri yang bersara ia selalunya diambil alih oleh Timbalannya, yang sekarang iaitu Muhyiddin Yassin. Jika Muhyiddin Yassin dikehendaki mengambil alih kepimpinan Najib, Muhyiddin akan melompat kegirangan kerana boleh menjadi Perdana Menteri.

Tetapi pula Muhyiddin adalah pemimpin yang datang dari acuan yang sama, maka beliau tidak akan ada perbezaan dan kelainan dengan Najib dan masalah yang sama akan berlarutan. Stigma buruk terhadap semua kepimpinan UMNO dan BN itu adalah menyeluruh dan hanya segelintiran pemimpin sahaja yang terlepas dari dihinggapi oleh stigma yang sama itu.

Tiada siapa dalam kabinet Persekutuan sekarang yang tidak sama dengan Najib dan Muhyiddin itu lebih-lebih lagi dengan Taib Mahmud. BN dan rasuah 'berpisah tiada', saling menyandar di antara satu dengan lain. Ia ibarat aur dengan tebing. Tiada BN kurang rasuah, tiada rasuah BN tidak akan kekal.

Sekarang ini kita perlu memerhatikan apa yang bakal berlaku dan bagaimana pucuk pimpinan negara menyelesaikan masalah yang gila ini. Kita tunggu… - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Pilihan raya tanpa keganasan adalah hak anda

Bersih 2.0, 23 Mac 2013
Sejak tempoh beberapa bulan menghampiri Pilihan Raya Umum ke-13, BERSIH 2.0 berasa cemas apabila menyaksikan peningkatan mendadak insiden-insiden yang berkaitan dengan keganasan dalam berpolitik. Keganasan-keganasan ini termasuklah dari gangguan di majlis-majlis ceramah sehingga ke serangan fizikal yang dilakukan oleh individu-individu yang mempunyai kaitan dengan parti-parti politik. Jelas, kejadian-kejadian ini tidak lagi boleh dianggap sebagai kejadian terpencil sebaliknya adalah sebahagian daripada trend yang lebih besar di mana keganasan telah dijadikan senjata politik yang utama.
Sejak dari Januari 2013, berikut adalah beberapa insiden keganasan yang pernah dilaporkan melalui media:

Pada 4 Februari di Hulu Selangor, Selangor, sekumpulan individu yang didakwa sebagai ahli PERKASA dan penyokong UMNO telah mengganggu sebuah majlis ceramah yang diadakan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak). Kumpulan tersebut telah melakukan serangan fizikal ke atas beberapa ahli Unit Amal PAS dan mengadakan sekatan jalan untuk menghalang orang ramai dari mengunjungi ceramah yang diadakan.

Pada 12 Februari di Pekan, Pahang, 16 orang individu telah melakukan serangan fizikal ke atas ahli-ahli Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) yang sedang mengedarkan risalah kepada orang awam. Pengerusi GM13, Syis Abdul Kadir mendakwa bahawa sebahagian dari penyerang terbabit telah dilihat keluar dari Bangunan Pejabat UMNO Pekan sebelum kejadian tersebut berlaku.

Pada 20 Februari di Sembrong, Johor, beberapa individu yang didakwa sebagai ahli UMNO telah mengganggu sebuah ceramah yang melibatkan Anwar Ibrahim di pejabat PKR di situ dengan membaling batu, kayu, dan mercun. Mereka turut menyerang kenderaan beliau, mencerca dengan bahasa kesat, serta mengganggu ucapan beliau dengan bunyi bising dari hon dan enjin motosikal.

Pada 26 Februari di Gambang, Pahang, sekumpulan individu yang didakwa sebagai penyokong UMNO telah mengganggu sebuah majlis ceramah Pakatan di Felda Lepar Hilir 1 dan membuat cubaan serangan fizikal ke atas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar. Mereka turut menggunakan bahasa kesat ke atas beliau. Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa bahawa pemimpin PKR tempatan telah menerima ugutan melalui SMS sebelum kejadian tersebut.

Pada 3 Mac di Teluk Intan, Perak, sekumpulan individu telah menyerang sebuah majlis ceramah oleh YB M. Manogaran dengan menggunakan bahasa kesat ke atas beliau dan akhirnya memaksa beliau untuk keluar dari majlis tersebut dengan diiringi pegawai polis.

Pada 7 Mac di Bukit Katil, Melaka, sekumpulan individu yang didakwa sebagai penyokong UMNO telah menyerang bas “Jelajah Merdeka Rakyat” dalam sebuah program ceramah di sana dengan membaling batu dan objek-objek lain yang telah menyebabkan kecederaan kepada dua orang anggota polis, beberapa orang awam, dan kerosakan serius ke atas bas tersebut.

Pada 15 Mac di Pulau Pinang, beberapa individu yang didakwa sebagai ahli kepada beberapa pertubuhan pelampau kanan telah menyerang kenderaan yang dinaiki Naib Presiden PKR, Tian Chua. Mereka bertindak menendang dan menumbuk kenderaan tersebut, serta membaling topi keledar dan botol air ke arahnya. Mereka turut mengancam dan menakut-nakutkan orang awam yang hadir di majlis yang melibatkan Tian Chua tersebut.

Pada 16 Mac di Pulau Pinang, individu tidak dikenali telah membaling batu ke arah Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang yang menyebabkan kerosakan ke atas bangunan tersebut.

Pada 17 Mac di Penanti, Pulau Pinang, sekumpulan individu yang didakwa sebagai penyokong PKR dan penduduk kampung tersebut telah membaling telur ke arah pengunjung ceramah pro-Barisan Nasional yang diadakan di sebuah sekolah awam dan turut menggunakan bahasa kesat ke arah pengunjung majlis tersebut.
Menggunakan keganasan sebagai alat politik adalah sebahagian dari amalan politik kotor. BERSIH 2.0 kesal dengan sikap pemimpin politik yang membiarkan keganasan ini dengan memberi alasan untuk melindungi penyerang atau sengaja mendiamkan diri. Kami mengingatkan semua pihak bahawa keganasan politik adalah pencabulan hak buat bukan sahaja calon yang bakal bertanding, sebaliknya juga bakal-bakal pengundi. Keganasan politik sebegini boleh menjejaskan pengundi dari membuat pilihan yang bebas dan adil. Jika tidak dibendung, ia dikhuatiri akan sebati dan diterima sebagai amalan biasa dalam politik arus perdana yang akhirnya merosakkan proses demokrasi dalam negara ini.
Berhadapan dengan situasi insiden-insiden keganasan politik yang semakin meningkat ini, BERSIH 2.0 akan melancarkan kempen “Tolak Keganasan Politik”, yang disasarkan ke arah calon-calon pilihan raya, parti-parti politik, dan masyarakat awam.
Dalam minggu yang akan datang, kami akan melancarkan tatacara kelakuan untuk calon-calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya ke 13. Tatacara kelakuan ini digariskan berdasarkan piawai antarabangsa yang diterima pakai termasuk oleh Inter-Parliamentary Union yang turut dianggotai oleh Malaysia sejak 1967. Kami menggesa kesemua calon dan pemimpin parti-parti politik untuk menunjukkan komitmen mereka terhadap pilihan raya yang bersih dan adil dengan mengecam keganasan politik secara terbuka dan menyatakan sokongan kepada tatacara kelakuan yang akan dilancarkan nanti.
Dan yang paling utama, BERSIH 2.0 juga menggesa rakyat Malaysia untuk menunjukkan bantahan ke atas keganasan politik dengan menolak ahli-ahli politik yang melindungi pelakuan ganas atau berdiam diri mengenainya. Kami juga menggalakkan rakyat Malaysia untuk menulis surat kepada bakal-bakal calon yang akan bertanding di kawasan masing-masing supaya menyokong tatacara kelakuan yang akan dilancarkan.
Pilihan raya tanpa keganasan adalah hak anda.

Jawatankuasa Pemandu

Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 terdiri daripada:

Dato’ Ambiga Sreenevasan (Pengerusi Bersama), Datuk A. Samad Said (Pengerusi Bersama), Ahmad Shukri Abdul Razab, Andrew Ambrose, Andrew Khoo, Anne Lasimbang, Arul Prakkash, Arumugam K., Awang Abdillah, Dr Farouk Musa, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Matthew Vincent, Niloh Ason, Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato’ Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato’ Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.

Samseng simbah cat pada pelancaran manifesto PR

Bashir Ishak, 23 Mac 2013


KANGAR: Budaya samseng menyimbah cat kini sudah menular ke Perlis apabila beberapa buah kereta yang diletakkan di tepi jalan semasa program ceramah dan pelancaran manifesto Pakatan Rakyat Perlis malam tadi telah disimbah cat. (Gambar)

Kejadian dipercayai berlaku di antara jam 10.30 malam hingga 11.00 malam itu disedari oleh petugas Jabatan Amal yang meronda di sekitar kawasan program yang diadakan di Dataran Restoran Anjung Keli, Behor Pulai dekat sini.

Ketika itu pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sedang menyampaikan ucapan.

Lokasi kejadian adalah berhampiran Institut Kemahiran Memandu Perlis iaitu kira-kira 200 meter dari tapak program diadakan.

Cat tersebut dipercayai dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sambil menunggang motosikal mengakibatkan sebuah kereta Proton Wira terkena cat manakala tiga buah kereta lagi turut terkena tempias cat yang dilemparkan.

Kira-kira 5,000 orang hadir ke program tersebut mengakibatkan orang ramai terpaksa meletakkan kereta jauh di pinggir jalan sehingga menjangkau jarak 400 hingga 500 meter dari tapak program berlangsung

PRU13: ‘Perlis Era Baru - Mensejahterakan Rakyat’

Bashir Ishak, 23 Mac 2013

Mohamad bersama pimpinan Pakatan Rakyat Perlis selepas melancarkan manifesto.

KANGAR: Pakatan Rakyat Perlis melancarkan manifesto malam tadi yang bertemakan ‘Perlis Era Baru - Mensejahterakan Rakyat’ sempena PRU13.

Majlis pelancaran manifesto berlangsung di Dataran Restoran Anjung Keli di Behor Pulai dekat sini telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin yang memulakan ucapan dalam majlis tersebut telah membentangkan mukadimah manifesto, diikuti wakil-wakil parti yang membentangkan tawaran-tawaran Pakatan Rakyat Perlis.

Pengerusi PKR Perlis, Mohamad Faisol Abdul Rahman; Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Anuar Tahir dan Pengerusi DAP Perlis, Teh Seng Chuan mengambil giliran masing-masing untuk membentangkan intipati manifesto kepada sekitar 5,000 orang yang hadir dalam majlis tersebut.

Dalam manifesto tersebut, Pakatan Rakyat Perlis berjanji untuk berusaha bersungguh-sungguh mensejahterakan rakyat; mempertahankan undang-undang tubuh kerajaan negeri dan memperkasakan amalan Ahli Sunnah-Wal Jamaah serta menjanjikan sebuah pentadbiran professional yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

Untuk itu, Pakatan Rakyat Perlis membentangkan tujuh agenda awal kepada rakyat Perlis iaitu:

1. Menginstitusikan Jaringan Keselamatan Sosial bagi melindungi dan memastikan bantuan sampai kepada golongan miskin, berpendapatan rendah dan rentan (kumpulan yang berpendapatan mudah terjejas)
2. Mengusahakan hak pemilikan tanah dan lot-lot kediaman menerusi pemberian geran dan prasarana asas.
3. Mengkaji semula kadar cukai pintu bagi mengurangkan beban rakyat.
4. Memilih ketua dan ahli jawatankuasa kampung tradisional, kampung baru dan taman-taman perumahan secara demokratik.
5. Kajian sistem pengairan pertanian sekaligus menangani masalah banjir.
6. Mewujudkan pusat sehenti dan patusan petugas khas bagi mempercepatkan proses dan mengurangkan birokrasi pentadbiran.
7. Memperkukuhkan badan dan lembaga pendidikan Sekolah Agama Rakyat, Cina dan Tamil.

Presiden PAS kunjungi keluarga Sarjan Sabarudin

Muhammad Faizal, 23 Mac 2013


SABAK BERNAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menghulurkan bantuan kepada keluarga anggota polis yang terkorban di Lahad Datu, Allahyarham Sarjan Sabarudin Daud.

Pemberian tersebut sempena program beliau di Sabak Bernam dan Sungai Besar hari ini.

Sumbangan yang berupa duit dan barangan keperluan harian telah diterima oleh abang allahyarham, Mad Sam Daud di rumah keluarganya di Sungai Lias. Turut serta ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Salehin Muhyi.

Nurunnisa Abu Bakar, isteri kepada anggota polis yang terkorban itu tidak dapat hadir sewaktu pemberian sumbangan kerana ada urusan lain.

Sebelum pemberian sumbangan, Tuan Guru Abdul Hadi juga turut mengadakan majlis tahlill buat allahyarham. (Gambar atas)

Program yang dianjurkan PAS Kawasan Sungai Besar dan Sabak Bernam sempena lawatan Presiden PAS turut diisi dengan kuliah subuh di Masjid Makmuriah Sungai Besar selepas solat subuh tadi.

Beliau turut bersarapan di Sungai Besar sebelum bertolak ke Sungai Lias bagi memberkan sumbangan kepada keluarga allahyarham Sabarudin.

Ahli Parlimen Marang itu turut mengadakan program dialog di Dewan Tun Razak, Sabak Bernam dan menjelaskan isu semasa, antaranya hubungan PAS di dalam Pakatan Rakyat dan isu yang ditimbulkan oleh Barisan Nasional terutamanya kalimah Allah.

Tiada ulasan: