Tak lari gunung dikejar, perubahan berlaku juga
Aspan Alias, | 26 Mac 2013 |
Tidak usah kita membuat spekulasi tentang pilihanraya lagi kerana ia akan tetap datang. Tidak lari gunung dikejar, kata pepatah kita. Yang terpenting arus perubahan sudah tidak dapat dihambat lagi oleh pihak yang cuba menahan arus perubahan itu. Setiap hari arus itu semakin pantas berkembang. Perubahan jelas akan berlaku jika diizin Tuhan.
Bagi saya pilihanraya akan diadakan pada bulan Mei yang akan datang ini. Penggal kali ini adalah penggal yang penuh dan terpanjang dalam sejarah Malaysia Merdeka. Penggal yang terpendek ialah penggal 1978 sehingga 1982 yang hanya selama 3 tahun lapan bulan.
Kita sedang melalui pengalaman pertama kali di mana penggal pilihanraya yang dibawa sampai ke penghujung penggalnya kerana pihak yang berkuasa amat takut menghadapi kekalahan. Najib tidak dapat mengukur sejauh mana rakyat menyokong beliau dan partinya walaupun berbagai-bagai ‘hand-outs’ diberikan kepada rakyat sekarang ini.
Dengan penangguhan ini ia memberikan keyakinan penuh kepada sebilangan besar rakyat yang UMNO sudah sampai ke penghujung kuasa. Sikap dan perasaan takut UMNO itu merupakan penyumbang besar terhadap kehilangan keyakinan rakyat terhadap parti itu. Perasaan takut UMNO itu telah membuat rakyat juga dalam ketakutan untuk memberikan sokongan kepada parti yang sedang mengalami ketakutan itu.
Keadaan ini seolah-olah telah diatur untuk memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat pula untuk mengambil alih. Saya sendiri merasakan yang sudah sampai waktunya menggilirkan pusaka mentadbir negara kepada pihak ‘alternative’ dan melakukan perubahan itu bukannya satu tindakan jenayah seperti yang cuba diyakinkan oleh pihak UMNO dan BN. Masa untuk membuktikan tuduhan dan lekehan UMNO yang Pakatan tidak pandai untuk mentadbir negara itu salah, sudah hampir sampai masanya.
Rakyat negara mahu merasakan ‘ambience’ politik yang berbeza kerana rakyat sudah terlalu lama menghadapi tekanan dan dakyah dibina oleh UMNO itu. Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang membina pemikiran baru rakyat dan keluar dari ancaman dakyah busuk UMNO dan BN itu.
Saya ingin memberikan pandangan yang agak susah bagi mereka yang malas untuk berfikir. Pilihanraya kali ini kita akan menghadapi arus perubahan rakyat. Mana-mana parti mesti mengikut kehendak dan aspirasi rakyat yang sebenarnya. Rakyat bukan lagi terikut-ikut dengan dakyah yang dilakukan oleh UMNO dan BN yang menggunakan alat propaganda mereka seperti saluran TV dan akhbar Utusan dan sebagainya.
Rakyat berkehendakkan bukan setakat untuk memberikan kemenangan kepada pihak ‘alternative’ tetapi rakyat mahukan perubahan dalam segala-galanya. Kerosakan yang dilakukan oleh UMNO dan BN sejak Dr Mahathir mentadbir negara terlalu besar dan sudah melepasi sempadan kemampuan orang ramai untuk melakukan penyelesaiannya.
Kali ini ia bukan setakat mendapat kemenangan bagi pihak ‘alternative’ tetapi aspirasi dan kemahuan rakyat lebih besar dari mendapat kemenangan ke atas UMNO dan BN itu. Kini rakyat memerlukan parti atau pihak yang benar-benar seorang ‘planner’ teknokrat, dan berkemampuan untuk membina sebuah negara yang baru dengan memulakan dasar dan perancangan baru yang selari dengan kehendak waktu dan zamannya serta berteraskan kepada Perlembagaan yang ada.
Apa yang boleh menyelesaikan segala kekalutan negara ialah kegagalan pimpinan untuk membina ‘national unity’ yang betul dalam erti kata yang sebenarnya. Pimpinan hari ini tidak berusaha untuk menyatukan rakyat kerana penyatuan rakyat itu akan memisahkan mereka dari kuasa. Mereka sanggup untuk terus menyuburkan perasaan saling mencemburui dan membenci di antara satu dengan yang lain kerana kepentingan politik sempit dan haloba mereka.
Membersihkan siasah dan politik serta kerajaan hari ini bukan setakat menghapuskan rasuah dan penyalah gunaan kuasa sahaja. Membersihkan negara dari rasuah itu hanya ibarat menghilangkan sakit seperti pesakit yang memakan ubat tahan sakit (pain killer) semata-mata. Memakan ‘pain killer’ itu hanya boleh menahan sakit tetapi penyakitnya tetap tidak sembuh juga. Tugas yang lebih besar dari itu ialah untuk menyembuhkan penyakitnya, iaitu penyakit yang menyebabkan kesakitan itu.
Negara perlukan sebuah negara yang ditadbir dengan jujur dan mempunyai pelan jangka panjang yang mantap yang boleh diguna pakai buat jangka masa yang panjang. Rakyat sudah tidak termakan dan tertarik dengan ‘handouts’ yang ‘one off’ sahaja kerana itu bukanlah pentadbiran sebuah kerajaan yang progresif dan membeli perasaan dan jiwa rakyat tidak lagi laku di zaman moden dan yang penuh ‘competitive’ ini.
Rakyat tidak lagi mahu melihat segala projek yang melibatkan rakyat ditentu dan dilakukan secara ‘adhoc’ dan tidak membawa rakyat untuk bersama-sama menyokongnya. Itu sebabnya seperti yang disebutkan tadi pimpinan mestilah seorang ‘planner’ yang berpengalaman dan memahami roh politik negara yang mencukupi dan bukan setakat diberi tempat kerana mereka termasuk di dalam koridor mereka yang berkuasa.
Kita tidak lagi memerlukan pengumuman-pengumuman yang berbentuk ‘adhoc’ kerana itu akan memudharatkan tahap kewangan negara dan tidak mempunyai ‘prudence’ yang tinggi dalam sesuatu keputusan yang dibuat. Kita tidak mahu lagi setiap hari ada sahaja pengumuman yang boleh ditakrifkan sebagai membeli undi kerana ia membuatkan kos menyelenggara kerajaan terlalu tinggi.
Rakyat sudah begitu jemu dengan tindakan memaksa agensi-agensi kerajaan dipaksa membawa manusia yang ramai untuk menunggu kedatangan pemimpin-pemimpin besar negara kerana menunjukkan sokongan politik sebagai yang dialami oleh pegawai-pegawai kerajaan sekarang ini, lebih-lebih lagi semasa menunggu ketibaan pilihanraya.
Jika kerajaan sekarang ini benar-benar kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan tidak akan menggunakan tenaga dan waktu kerja pegawai kerajaan untuk menumpukan kepada usaha membawa rakyat ramai ke perhimpunan politik pimpinan kerajaan. Tindakan ini sesungguhnya merupakan satu tindakan yang tidak beretika dan amat rendah darjatnya di sisi demokrasi dan moral sebuah kerajaan berdaulat.
Semuanya ini amat digusari oleh penjawat-penjawat awam terutamanya mereka yang bertugas di Jabatan-Jabatan yang melibatkan orang awam yang ramai. Mereka juga mempunyai perasaan bersalah kerana terpaksa berbelanja wang rakyat yang banyak dengan menyewa ratusan bas dan kenderaan yang lain untuk memaksa rakyat menghadiri program lawatan pemimpin.
Kerajaan ini sesungguh nya ibarat kereta tua yang sangat tinggi kos penyelenggaraannya dan kos ini di tanggung oleh rakyat. Pihak yang mendapat sokongan ialah pihak yang menganjurkan program yang dihadiri oleh puluhan ribu manusia yang datang dari jauh dan dekat tanpa dibayar dan diberikan pengangkutan seperti yang dianjurkan oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
Budaya ini nampaknya hanya boleh dihapuskan jika rakyat beriltizam untuk melakukan perubahan kerana melakukan perubahan terhadap budaya buruk ini merupakan satu perjuangan yang sangat penting dilakukan. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Tandatanya isu tarikh lahir Papagomo terjawab
Harakahdaily, | 26 Mac 2013 |
KUALA LUMPUR: Semakan rekod Imigresen Papagomo mengesahkan bahawa tarikh lahir Wan Muhammad Azri Wan Deris di bawah kad pengenalan polis dan kad pengenalan biasa adalah sama, iaitu 21 Januari 1983.
Ini menimbulkan tanda tanya yang amat serius – apakah kesilapan nama dan tarikh lahir di bawah kad pengenalan polis yang sedikit berbeza adalah disengajakan untuk menyukarkan ia dikesan?
Demikian kata Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR ketika menjelaskan isu tarikh lahir berbeza antara kad pengenalan polis Papagomo dan kad pengenalan biasa beliau.
Ini membolehkan Papagomo didaftar mengundi di dua tempat iaitu sebagai anggota polis dan sebagai orang awam.
Sebelum ini, Rafizi telah mendedahkan bagaimana seorang individu yang bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris mempunyai 2 pendaftaran di dalam daftar mengundi – satu menggunakan kad pengenalan biasa dan satu lagi menggunakan kad pengenalan polis.
Pendaftaran mengikut kad pengenalan polis individu tersebut (yang juga dikenali sebagai Papagomo) telah dipadamkan dari daftar pengundi serta-merta apabila PKR menimbulkan perkara ini.
Namun, tindakan pantas SPR itu tidak meredakan syak wasangka mengenai kepincangan daftar pengundi yang dikelolakan oleh SPR.
Ramai yang bertanya kenapa tarikh lahir Papagomo adalah berbeza-beza mengikut pendaftaran kad pengenalan biasa dan polis, seperti yang ditunjukkan mengikut paparan skrin di bawah:
Semakan PKR dengan rekod Imigresen Papagomo mengesahkan bahawa tarikh lahir Wan Muhammad Azri di bawah kad pengenalan polis dan kad pengenalan biasa adalah sama, iaitu 21 Januari 1983.
PKR juga, katanya, telah berjaya mendapatkan paparan skrin rekod imigresen Papagomo yang menggunakan passport antarabangsa bernombor A20485305, seperti berikut:
"Ini menimbulkan tanda tanya yang amat serius – apakah kesilapan nama dan tarikh lahir di bawah kad pengenalan polis yang sedikit berbeza adalah disengajakan untuk menyukarkan ia dikesan?" soal Rafizi dalam kenyataannya.
Sebuah badan seperti SPR, katanya, tidak mempunyai alasan tidak dapat menangani maklumat yang ringkas seperti tarikh lahir, apabila jabatan-jabatan kerajaan lain dengan mudah sahaja merekodkan tarikh lahir yang tepat.
Baginya, penafian mudah Pengerusi SPR kini tidak boleh diterima bulat-bulat begitu sahaja.
"Beliau perlu menjelaskan apakah kegagalan menangani perkara yang mudah ini adalah sebahagian dari perancangan terancang untuk mengelirukan rakyat dalam usaha mengekalkan pengundi hantu di dalam daftar undi?" tegas Rafizi.
Tiada sebarang tindakan kepada Khairil Annas
Harakahdaily, | 26 Mac 2013 |
(Saiful bergambar dengan Khairil Annas ketika Najib adalah TPM)
Azlan Mohd Lazim (bapa kepada Saiful Bukhari) yang mengaku Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan menjadi mangsa fitnah pada pendedahan itu berkata, anaknya dipergunakan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab termasuk Kharil Annas untuk menjatuhkan Ketua Pembangkang.
Pada pendedahan 8 Mac lalu, Azlan mengakui semua kenyataan akhbar anaknya dan beliau sendiri dirancang dan diskripkan Khairil Annas bersama peguam Zamri Idrus.
Khairil Annas ialah Pegawai Khas Najib yang ditemui Saiful Bukhari di Jabatan Perdana Menteri pada 12 Februari 2008 untuk memohon biasisawa sedangkan Saiful dibuang dari Universiti Tenaga Nasional.
Khairil Annas yang juga Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan di Pejabat Perdana Menteri beberapa kali bertemu Saiful bersama isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.
Selain itu, Khairul Anas adalah ahli Majlis Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang sangat dibimbangi oleh pensyarah dan pelajarnya boleh menjejaskan nama baik universiti bernama Islam itu.
Di UIA, nama penuhnya adalah Prof. Dato' Wira Dr. Haji Khairil Annas bin Jusoh, mewakili orang Islam yang dihormati dan juga Pegawai Khas kepada Perdana Menteri.
Kerana takut kalah, semua cakap mengarut
Harakahdaily, | 26 Mac 2013 |
Sebelumnya Tan Seri Muhyiddin mengatakan beliau memiliki dokumen yang mengatakan ada pihak yang hendak mengadakan huru hara selepas PRU 13.
Manakala Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengatakan ajaran sesat akan menganggu pada hari mengundi.
Datuk Seri Hishamuddin pula mengatakan akan berlaku gangguan di dalam ceramah semasa kempen PRU 13.
Sehubungan itu, AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad meminta mereka janganlah menanamkan budaya takut kepada pengundi.
"Seolah-olah jangan bagi rakyat tukar selera daripada memilih BN kepada memilih PR. Hentikanlah tektik lapuk untuk menjatuhkan parti lawan," katanya.
Bagi beliau, PRU 12 menjadi bukti negeri yang dimenangi oleh PR berjalan dengan selesa.
Negeri Terengganu yang dimenangi oleh Umno berlaku sedikit kekecohan apabila penyokong Datuk Seri Idris Jusuh yang mengadakan tunjuk perasaan mengatakan Sultan Terengganu binatang.
Jika benar mereka ada dokumen dan bukti, maka perlu kena siasat dan ambil tindakan pencegahan segera sebelum terlambat.
Rakyat Malaysia tidak mahu tragedi Lahad Datu berulang kembali, apabila pemberontak sudah bertapak baru hendak bertindak, tegasnya.
Berkenaan dengan gangguan ceramah, Idris memberiakn peringatan, Hishamudin tidak perlu tunggu pilihanraya.
"Sekarang pun sudah ada gangguan dan pengganas yang menganggu ceramah PR. Apa tindakan yang telah diambil kepada pengacau?" tanya beliau.
Beliau meminta, pasukan polis bertindaklah secara profesional tanpa memilih bulu.
Jangan cemarkan institusi hukum di negara ini, angkara terlalu ikut telunjuk Umno-BN, katanya.
Menurut Idris, PR yakin peralihan kuasa berlaku dengan baik.
"Terbukti dan teruji kekecohan yang berlaku angkara penyokong Umno. Hampir 50 demontrasi di Pulau Pinang, demo kepala lembu di Selangor," katanya.
Nasib baik pemimpin PR berjaya menenangkan penyokongnya supaya tidak melayan provokasi penyokong Umno-BN yang tidak boleh menerima hakikat adat perlawanan.
"Mereka membuat kecoh kerana balang oksigen mereka bocor, sehingga sesak nafas," sindir beliau berdasarkan sikap serba tidak kena pemimpin Umno sekarang.
Pemuda PAS sampaikan sumbangan buat keluarga wira negara
Anis Nazri, | 25 Mac 2013 |
Rombongan tersebut diketuai ketuanya, Ustaz Nasrudin Hassan.
Dalam masa sama, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Abduh Nik Mat turut berkesempatan menziarahi keluarga allhyarham ASP Zulkifli Mamat, di Kubang Ikan, Besut, Terengganu.
Menurut Nasrudin, Pemuda PAS Malaysia akan terus bertemu dengan keluarga semua wira negara yang gugur di Lahad Datu tempohari untuk menyampaikan sumbangan orang ramai.
Katanya, sumbangan yang diperoleh melalui Tabung Perajurit Tragedi Lahad Datu yang ditubuhkan badan itu akan cuba sedaya-upaya disampaikan kepada waris wira negara.
"Sempena Hari Polis ke 206 ini, Pemuda PAS Malaysia berusaha menunaikan amanah orang ramai melalui tabung itu bagi menyalurkan bantuan kepada keluarga wira negara," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.
Dalam pada itu, selain mendoakan semoga roh para wira negara ini dikurniakan pahala syahid di sisi Allah swt, beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang ke tabung berkenaan.
Bagi sesiapa yang ingin menyumbang ke tabung itu, bolehlah berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke Maybank Islamic 'Tabung Rakyat Prihatin' di akaun bernombor 5460 2540 0414.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan