Selasa, 26 Mac 2013

TAKZIAH DAN AL FATIHAH...PAPAGOMO NAK LARI MANA...DENGAN MANUSIA MUNGKIN BOLEH...HUKUMAN ALLAH TAK BOLEH LARI...KITA SAMA2 TUNGGU

Kuala Nerus: Peluang PAS sangat cerah

Harakahdaily, 25 Mac 2013
Kuala Nerus disambungkan dengan Kuala Terengganu melalui Jambatan Sultan Mahmud yang merentas Sungai Terengganu.

Setiap kali rakyat Terengganu mahu melalui jambatan ini, mereka dikenakan tol 50 sen. Namun itu kisah lama. Pada malam keputusan pilihan raya umum diumumkan pada tahun 1999, tol 50 sen itu telah dimansuhkan.

Ia berlaku sebagaimana janji PAS dalam pilihan raya itu, mahu menghapuskan tol di atas jambatan itu. Sebaik saja PAS menang dalam pilihan raya 1999, belum lagi kerajaan dibentuk, tol di situ sudah dimansuhkan melalui arahan pentadbiran. Kini yang tinggal hanya rumah tol sahaja.

50 sen bagi orang berada mungkin tidak besar tetapi bagi peraih ikan, petani atau nelayan, RM1 pergi dan balik melalui jambatan itu satu nilai yang besar.

30 hari atau sebulan bermakna RM30 mereka belanjakan untuk tol sahaja. Sebab itu selepas ia dimansuhkan, ia menjadi satu perkara yang melegakan banyak pihak.

Apabila naik ke jambatan ini dari Kuala Terengganu, kita boleh melihat arca-arca menarik yang dibina oleh bekas MB Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dengan menggunakan wang ehsan.

Namun ianya semua arca sahaja yang tidak boleh digunakan. Masjid kristal nama sahaja masjid tetapi tidak dibuat solat Jumaat di situ.

Kini pembangunan di Terengganu tertumpu kepada kawasan Parlimen Kuala Nerus. Banyak bangunan menarik dibina di sini termasuklah Stadium Sultan Mizan yang roboh itu.

Kini stadium itu tinggal bahagian konkrit sahaja kerana bumbungnya yang runtuh sudah mula dibuang (gambar). Pelik juga, bahagian konkrit hingga ke bawah gagah berdiri tetapi bumbungnya sudah hilang.

Rupa-rupanya, konkrit direkabentuk oleh arkitek terkenal Terengganu Datuk Raja Bahrin manakala bumbungnya direkabentuk dan dipasang oleh pihak lain iaitu syarikat Sohwon dari Korea.

Selain stadium, di Kuala Nerus juga ada dua universiti, Institut Pendidikan Guru (IPG) pusat latihan Petronas dan lain-lain. Pendekata Kuala Nerus bergerak laju bersama arus pembangunan negara.



Pilihan raya



Dalam pilihan raya 1999 juga, PAS buat pertama kali menang di Parlimen Kuala Nerus. Ia dimenangi oleh Mohd. Shukrimun Shamsuddin mengalah calon Umno.

Namun pada pilihan raya 2004 dan 2008, Shukrimun yang kini Yang Dipertua PAS Kuala Nerus gagal mempertahankan kerusi itu.

Pada amalan biasa PAS, mereka yang kalah dua kali berturut-turut jarang diletakkan sekali lagi sebagai calon. Jadi besar kemungkinan PAS akan meletakkan calon baru di kerusi itu dalam pilihan raya ini.

Nama yang paling popular adalah Dr Khairudin Aman Razali (gambar kiri) atau lebih dikenali dengan nama Khairudin At-Takiri. Beliau adalah Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat.

At-Takiri adalah sempena dengan nama kampung kelahirannya Seberang Takir, sebuah kampung yang terletak di kawasan Kuala Nerus. Seberang Takir terkenal dengan nelayannya dan keropok lekornya yang sedap.




Dewan Undangan Negeri



Di bawah Parlimen Kuala Nerus ada empat kawasan DUN iaitu Bukit Tunggal, Tepoh, Teluk Pasu dan Seberang Takir.

Kini PAS hanya menang di Bukit Tunggal melalui Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr Alias Razak. Dalam pilihan raya umum 2008, Dr Alias menang dengan majoriti 336 undi mengalahkan calon BN, Tuan Arif Sharibu Fadilah Tuan Ahmad.

Menurut desas desus di Pekan Batu Enam, Dr Alias akan kekal bertanding di Bukit Tunggal. Begitu juga calon PAS di Teluk Pasu pada tahun 2008, Ridzuan Hashim.

Dalam pilihan raya akan datang ini, seorang jurutera JKR, Mohamad Yasin dikatakan menjadi calon yang paling popular dari Umno untuk merampas kerusi Bukit Tunggal dari Dr Alias.

Calon PAS di Tepoh dikatakan akan bertukar kepada calon baru. Seorang tokoh baru yang merupakan Exco Pemuda PAS Terengganu, Hishamudin Abdul Karim (gambar bawah kanan) dilihat banyak memimpin program-program PAS di Tepoh.

Jika benar, beliau bakal bertembung dengan Ustaz Ramli Nuh, Timbalan Exco Agama Terengganu yang lebih dikenali Adun 10 peratus ini. Sudah beberapa kali Ramli Nuh mencabar tokoh muda ini berdebat melalui ceramah-ceramahnya.

Namun apabila dihantar surat rasmi untuk berdebat, Ramli tidak pula menerimanya. Beliau hanya diam dalam rumah besarnya sahaja. Yang pasti sejak itu, tidak ada lagi cabaran berdebat dari Ramli.

Jika benar ada dua muka baru PAS di Kuala Nerus ini, bermakna sasaran untuk mencalonkan 40 peratus muka baru PAS di Terengganu, ia bakal menghampiri kenyataan. Di Kuala Nerus saja, dua muka baru akan bertanding iaitu Tepoh dan Kuala Nerus.

Berdasarkan persetujuan 2008, DUN Seberang Takir akan ditandingi oleh calon PKR. Namun, sehingga kini tidak ada sebarang kelibat siapakah akan  bertanding di Seberang Takir dari PKR.

"Jika PKR tidak bersedia, PAS sedia untuk mengambil alih tempat ini," kata Penyelaras DUN Seberang Takir dari PAS, Zakaria Dagang.

Sejak dari dulu, Seberang Takir adalah kubu Umno. Ini kerana, di situ ada sebuah kem tentera yang selama ini menjadi 'deposit tetap' untuk BN.

Namun senario kebelakangan ini agak berubah. Tentera tidak lagi akan mengundi secara tertutup di dalam kem masing-masing. Wakil calon (polling agent) parti-parti yang bertanding kini dibenarkan memerhatikan proses pengundian.

Menurut Zakaria, undi tentera di kem itu kini hanya  kira-kira 1,600 sahaja kini berbanding dengan hampir 2,000 sebelum ini.

Dalam pilihan raya 2008, calon PKR Muzafeq Affyuzaifuzan Mamat kalah kepada calon BN Ahmad Razif Abdul Rahman dengan majoriti 2,430 undi.


Prospek Kuala Nerus

Menurut Dr Briget Welsh, pengkaji sains politik Asia Tenggara, PAS hampir pasti menang di  Parlimen Marang manakala BN hampir pasti menang di Kemaman, Besut dan Setiu di Terengganu.

Ini bermakna, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Hulu Terengganu masih kelabu. Ia boleh pergi ke PAS atau kepada Umno dalam pilihan raya umum kali ini.

Bagi satu kajian lain pula, PAS hampir pasti akan menang di Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.  Namun semuanya boleh berlaku dalam pilihan raya kali ini.

"Saya yakin kita (PAS) boleh menang dengan majoriti lebih 1,000 undi di Parlimen Kuala Nerus," kata Zakaria Dagang (gambar kiri), petugas veteran di Pejabat Perhubungan PAS Terengganu.

Di samping itu, Zakaria juga menjangkakan PAS akan menang di DUN Tepoh, Telok Pasu dan sudah pasti di Bukit Tunggal dalam pilihan raya ini.


LAPORAN BERKAITAN


P36 K Terengganu: Kawasan politik bergelora

Pemuda PAS sampaikan sumbangan buat keluarga wira negara

Anis Nazri, 25 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia, hari ini menziarahi keluarga allahyarham Koperal Ahmad Hurairah Ismail, yang terkorban ketika bertugas di Lahad Datu, di Bayu Lalang, Rantau Panjang.

Rombongan tersebut diketuai ketuanya, Ustaz Nasrudin Hassan.

Dalam masa sama, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Abduh Nik Mat turut berkesempatan menziarahi keluarga allhyarham ASP Zulkifli Mamat, di Kubang Ikan, Besut, Terengganu.

Menurut Nasrudin, Pemuda PAS Malaysia akan terus bertemu dengan keluarga semua wira negara yang gugur di Lahad Datu tempohari untuk menyampaikan sumbangan orang ramai.

Katanya, sumbangan yang diperoleh melalui Tabung Perajurit Tragedi Lahad Datu yang ditubuhkan badan itu akan cuba sedaya-upaya disampaikan kepada waris wira negara.

"Sempena Hari Polis ke 206 ini, Pemuda PAS Malaysia  berusaha menunaikan amanah orang ramai melalui tabung itu bagi menyalurkan bantuan kepada keluarga wira negara," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Dalam pada itu, selain mendoakan semoga roh para wira negara ini dikurniakan pahala syahid di sisi Allah swt, beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang ke tabung berkenaan.

Bagi sesiapa yang ingin menyumbang ke tabung itu, bolehlah berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke Maybank Islamic 'Tabung Rakyat Prihatin' di akaun bernombor 5460  2540 0414.

Pemergian Sheikh Muhammad Abdullah kehilangan besar buat PAS

Harakahdaily, 25 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Pemergian Ketua Dewan Ulama PAS Kedah Sheikh Muhammad Abdullah yang meninggal dunia tengah hari ini disifatkan sebagai kehilangan besar buat PAS.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Allahyarham adalah seorang guru dan ulamak yang tidak pernah jemu mengajarkan ilmu kepada masyarakat.

"Bagi pihak PAS, saya mewakili seluruh kepimpinan dan ahli-ahli mengucapkan takziah terhadap Allahyarham.

"Pemergian beliau satu kehilangan kepada PAS dan rakyat Kedah Amnya. Jasa beliau dalam mengembangkan ilmu kepada masyarakat melalui institusi pendidikan dan kuliah-kuliahnya dan penglibatan beliau dalam politik sangat dihargai," katanya.

Allahyarham Sheikh Muhammad Abdullah , 72, meninggal dunia kira-kira jam 2.45 petang tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar setelah dimasukkan ke wad hospital berkenaan, semalam.

Mengulas lanjut, presiden PAS juga berkata, Allahyarham  adalah salah seorang di antara wakil rakyat awal PAS di Kedah apabila memenangi pilihanraya Dun Langgar dalam pilihanraya 1985 bersama Ustaz Azhari Abdul Razak dan Ustaz Fadzil Noor.

"Semoga Allah SWT menempatkan roh beliau bersama orang-orang yang soleh dan diberi kesabaran kepada ahli keluarga dan seluruh pendokong PAS di Kedah," katanya.

Gerakan Teksi dakwa permit individu hanya gimik politik

Anis Nazri, 25 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Gerakan Tuntutan Pemandu Teksi (Teksi) mempertikaikan cara kerajaan memberikan lesen individu kepada pemandu teksi baru-baru ini, yang dianggap sebagai gimik politik.

Ia memandangkan pemberian lesen itu perlu diiklankan terlebih dahulu agar semua pemandu teksi mendapat manfaatnya.

Pengerusi Teksi, Mohd Ridzwan Mohd Daud, berkata biarpun pemberian lesen individu itu dialu-alukan, namun pemberian yang dilakukan ketika ini tidak memberikan manfaat kepada semua pemandu.

"Ini kerana ia tidak diiklankan kepada umum, dan hanya sebahagian pemandu teksi yang mendapat lesen tersebut, itupun selepas memohonnya sejak 2010," dakwa beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, jika kerajaan benar-benar prihatin dengan nasib pemandu teksi di negara ini, perkara ini (lesen individu) sudah lama perlu diberikan.

Sebaliknya, kata beliau sebarang permohonan untuk mendapatkan lesen individu ini telah dibekukan sejak tiga tahun lepas.

"Mengapa baru sekarang diberi?  Ketika boleh dikatakan waktu 'lampu merah?' Itupun tanpa pemberitahuan umum. Adakah untuk memancing undi?" soal beliau lagi.

Sebelum ini, beliau bertindak melancarkan kempen menuntut permit individu terhadap kerajaan, menyerahkan memorandum ke parlimen dan mengadu kepada pimpinan Pakatan Rakyat.

Husam fail semula kes saman terhadap “Papagomo”

Aslani M, 25 Mac 2013
KOTA BHARU: Memandangkan ada penemuan bukti baru kes saman Datuk Husam Musa terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris menyebabkan hakim menasihatkan kes itu difail semula.

Oleh itu bagi membolehkan kes tersebut difail semula, kes yang berjalan hari ini ditarik balik.

Berikutan itu Husam yang juga Naib Presiden PAS melalui peguamnya, Hisham Fauzi menyatakan persetujuan di atas cadangan hakim pada perbicaraan itu kes petang tadi.

Beliau pada keterangan sebagai saksi pertama kes itu memberitahu mahkamah beberapa saksi baru ditampilkan termasuk bekas isteri Wan Azri dan dua blogger pro Umno yang disapina.

Selain itu katanya, blogger-blogger lain juga telah menyatakan persetujuan menjadi saksi kes berkenaan.

Menurutnya juga gambar Wan Azri yang dianggap sebagai Papagomo banyak tersiar dalam laman-laman web dan dalam Utusan Malaysia beberapa hari lalu.

Ekoran itu peguam Jasbeer Singh yang mewakili Wan Azri turut meluahkan rasa kesal kerana akhbar terbabit mengaitkan penama terbabit sebagai Papagomo.

“Gambar-gambar yang disiarkan dalam internet dan terbaru dalam blog Erapasca memperlihatkan gambar Wan Azri bersama dengan Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussien,” kata Husam.

Bagaimanapun ketika soal balas peguam defendan membantah kerana beberapa saksi baru dikemukakan termasuk bekas isteri Wan Azri, yang disenarai sebagai saksi kedua.

Berikutan itu Hisham berkata, perbincangan di antara peguam plaintif dan defendan diadakan di dalam kamar berkaitan isu saksi baru yang disenaraikan.

Katanya, pada perbincangan itu hakim menasihatkan kes tersebut ditarik balik bagi membolehkan ia difail semula dengan penambahan saksi-saksi baru.

Husam ketika ditemui kemudian berkata, beberapa bukti baru ditemui selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan saman terhadap Wan Azri baru-baru ini.

“Lagi pun kita juga boleh menampilkan saksi iaitu Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia memandangkan mahkamah menolak untuk disapinakan Menteri Pertahanan berkaitan isu blogger terbabit dibenarkan memasuki Scorpene.

“Malah bekas isteri Wan Azri sudah menyatakan persetujuan untuk menjadi saksi pada Disember lalu. Sedangkan pada senarai awal namanya tidak disebut sebagai saksi dalam pengurusan kes sebelum ini,” katanya.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, fail baru kes saman tersebut akan dibuat dalam masa terdekat ini.

Gelombang Biru 'direka' mengaburi mata rakyat

Buletin Online, 25 Mac 2013
KUALA TERENGGANU: Program 'Gelombang Biru' yang mula diperkenalkan Umno dan Barisan Nasional semasa zaman pemerintahan kerajaan PAS di negeri Terengganu, bukanlah kebangkitan sebenar rakyat.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar), program tersebut sengaja di reka Umno-BN kerana mahu mengaburi mata rakyat daripada 'kerja kotor' memanupulasi daftar pemilih dan mendaftarkan 'pengundi hantu' dari negeri Selangor.

"Dia ambil orang-orang (Umno) Selangor puluh-puluh ribu, dia bawa mari daftar di Terengganu, naik daftar (undi) Terengganu berlipat kali ganda, bila mari pilihan raya tahun 2004.

"Dia mari mengundi di Terengganu, waktu petang balik mengundi di Selangor, SPR khusus untuk Selangor sahaja sambung waktu mengundi sampai pukul tujuh (malam).

"Kerana tu Umno menang di Terengganu, bukan sebab anak Terengganu yang lahir di Terengganu nak tukar kerajaan, (ketika itu) dia start (mula program gelombang biru, konon-kononnya orang (ramai) masuk Umno,"jelas Datuk Husam.

Beliau berkata, program gelombang biru tersebut dibuat supaya kelihatan di seluruh negara bahawa orang-orang Terengganu mahu berubah, pada hal ia tidak berlaku sedemikian.

Datuk Husam berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Hulu Besut baru-baru ini, bagi meraikan seramai 31 orang ahli dan aktivis Umno keluar dari parti itu dan menyerahkan borang permohonan seumur hidup menjad ahli PAS.

Menurutnya, takdir Allah SWT, Idris Jusoh yang menjadi 'dalang' penipuan tersebut telah menerima nasib buruk, dan tidak dilantik Menjadi Menteri Besar walaupun Umno-BN menang pada tahun 2008.
[Gambar - Idris walaupun menafikan, namun kelihatan amat sedih ketika Ahmad said dilantik Menteri Besar selepas PRU-12 tahun 2008]

Pembinaan Lebuh Raya Rakyat ikut jadual

Salmah Mat Husain, 25 Mac 2013
MACHANG: Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang bermula di Bukit Bakar, dalam Dun Kemuning berjalan lancar sejak ianya mula beroperasi awal Febuari lalu.

Dalam tempoh dua bulan, telah banyak perubahan yang berlaku di sekitar pembinaan lebuh raya terbabit yang diusahakan oleh kontraktor tempatan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, buat kali keduanya melawat tapak pembinaan itu.

Ketika ditemui di tapak pembinaan  beliau melahirkan rasa syukur di atas usaha berkenaan demi untuk keselesaan rakyat semua lapisan.

“Telah banyak perubahan yang berlaku berbanding kali pertama kunjungan saya baru-baru ini,”ujarnya.

Sambungnya, semoga pembinaan lebuh raya sejauh 73 kilometer itu siap mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurutnya, walaupun kerajaan negeri mempunyai sumber mineralnya untuk menampung kos pembinaan lebuh raya rakyat ini, namun sumbangan orang ramai dialu-alukan.

Adun Kemuning, Ustaz Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman, pernah melakukan lawatan ke tapak pembinaan lebuhraya itu.

Untuk fasa pertama ini, 43 kilometer akan disiapkan sebanyak empat lorong dua laluan.

Kepada yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan, boleh melakukannya melalui akaun Maybank Islamic no akaun, 553104558661.

Majlis perasmiannya telah dilaksanakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 28 Mei tahun lalu.

Tiada ulasan: