Orang kemudian lebih mulia...?
Mohd Azmir bin Maideen, | 28 Feb 2013 |
Pertempuran ini terjadi semasa pemerintahan Umar al-Khattab, khalifah Islam ke-II. Pertempuran ini juga merupakan salah satu kemenangan bagi Khalid al-Walid yang paling gemilang, dan mengukuhkan lagi reputasinya sebagai salah seorang panglima yang berkebolehan. Berdasarkan hal itu, ada pendapat mengatakan Umar mengambil keputusan memecat Khalid dari jawatan panglima perang kerana khuatir ketokohannya, kehebatannya, pengalamannya yang disanjung setiap kali pertempuran didakwa orang sebagai punca segala sebab kemenangan Islam. Pemecatan yang dilakukan oleh Umar itu kemudiannya disambut penuh redha oleh Khalid al-Walid tanpa sebarang bantahan.
Begitupun sejarah tidak dapat menafikan kehebatan seorang tokoh pejuang Islam yang tersohor dengan gelaran "Saifullah" ini, terutama sekali sewaktu peperangan Yarmouk. Khalid al-Walid telah mengendalikan perang ini dengan bertahan (defensive) dan kemudian melakukan serangan balas (counter attack) secara mengejut. Selama enam hari peperangan berlangsung akhirnya Rom berjaya dikalahkan pada hari itu juga. Kejayaan ini juga antara siri-siri kejayaan al-Quds dikembalikan ke tangan umat Islam.
Antara keistimewaan lain yang turut berlaku dalam perang tersebut ialah, kerajaan Islam yang dipimpin Khalifah Umar pada waktu itu mempertaruhkan sejumlah pasukan tentera yang jauh lebih kecil iaitu seramai 30 000 orang + 10 000 ekor kuda, berbanding tentera Rom seramai 240 000 orang. Namun pasukan Islam mampu bertahan, bahkan menang melawan pasukan yang sangat besar jumlahnya.
Peperangan Yarmouk ini membuktikan jumlah tentera yang ramai bukan elemen sebenar mengalahkan musuh. Kejayaan peperangan itu mesti dibuktikan dengan keazaman, ketaqwaan dan semangat jitu untuk mempertahankan agama Allah dan menyebarkan dakwah Islam.
Di sebalik kemenangan itu, turut tercatat bagaimana Islam begitu menghormati hak musuh. Mereka yang ditawan tidak sewenang-wenangnya dilayan seperti hamba abdi, sebaliknya hak mereka dipelihara menurut syariat. Apabila prinsip dan akhlak ini dijaga, hal itu membuatkan musuh yang menentang Islam menerima agama Allah ini dengan hati yang redha.
Dalam peperangan Yarmouk, seorang panglima Rom bernama George memeluk agama Islam setelah mendapat penjelasan daripada Khalid al-Walid mengenai Islam. George yang pada awalnya mengetuai unit serangan sayap kanan tentera Rom, meluru mara di hadapan pasukan tentera Islam dan melaung-laung nama Khalid Saifullah, seolah-olah ingin mencabarnya bersemuka satu lawan satu.
Taktik itu kemudiannya digunakan George sebagai peluang untuk bertemu Khalid al-Walid, tokoh panglima Islam yang digelar pedang Allah itu dan bertanya:
"Wahai Khalid, aku meminta kamu berbicara dengan jujur dan jangan berdusta, jangan kamu menipu dan kerana sesungguhnya orang yang budiman (orang yang beriman kepada Allah seperti kamu) itu tidak berdusta. Adakah benar bahawa Allah telah memberikan kepadamu sebilah pedang dari syurga kepada Nabi-mu? Kemudian pedang tersebut diserahkan pula kepadamu? Maka, atas sebab itu setiap kali pertempuran kamu tidak pernah tewas, bahkan kamu-lah yang menewaskan musuh (dengan pedang itu)?"
Khalid tersenyum menjawab, "Tidak. Kenyataanmu itu tidak benar."
"Lalu apakah sebabnya kamu dikenali Saifullah (Pedang Allah)?" George bertanya sambil merenung perdu mata Khalid yang dalam.
Khalid kemudian menjawab, "Ketika Allah mengutus Nabi Muhammad, seluruh kaumnya kerabatnya sangat memusuhinya, termasuklah aku. Aku adalah orang yang paling membencinya. Namun, selepas Allah memberikan hidayah-Nya kepadaku, maka aku pun masuk Islam. Ketika aku masuk Islam Rasulullah SAW menerimaku dan memberi gelaran kepadaku `'Saifullah' (pedang Allah). Bukanlah gelaran itu ku galas untuk berperang dengan orang bukan Islam, tetapi ingin mengajak kamu menjadi saksi..."
"Apa yang kamu panggil kepadaku tadi?," tanya George.
"Untuk menjadi saksi...," Khalid menyambung jawapannya, "Untuk menjadi saksi... bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah utusan-Nya. Kami juga ingin mengajak kamu supaya mempercayai bahawa segala apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu adalah benar (memahami dan mendekati ajaran Islam)."
"Kalau aku tidak mahu menerimanya?" George bertanya lagi.
"Kamu diharuskan membayar jizyah, dan selama kamu membayar jizyah - nyawamu, hartamu dan segala milikmu berada di dalam pengawasan umat Islam. Selama kamu membayar jizyah, kami tidak akan membiarkan sesiapapun menumpahkan darahmu dan merosakkan harta bendamu, bahkan kamilah yang akan menuntut bela dan mempertahankan kamu dari segala ancaman."
"Bagaimana jika aku tetap tidak mahu membayarnya?," George cuba mencungkil jawapan yang lebih mendalam dari mulut panglima Islam itu.
"Apa jua perkara yang menimpamu, kami tidak akan membela dan memangku apa-apa tanggungjawab ke atas hal itu," kata Khalid.
"Bagaimanakah kedudukan seseorang jika ada yang memeluk Islam pada hari ini? Adakah keislaman orang itu sia-sia kerana tiada ganjaran pahala yang diterima olehnya di sisi Allah," George mengharap jawapan yang mencerahkan persoalannya.
Khalid menjawab, "Di hadapan Allah, kita sama semuanya, sama ada dia orang yang kuat, orang yang lemah, yang terdahulu atau yang terkemudian masuk Islam. Orang yang datang kemudian lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang terdahulu memeluk Islam, kerana kami yang terlebih dulu masuk Islam, yakni menerima Islam ketika Rasulullah masih hidup dan kami dapat menyaksikan turunnya wahyu kepada Baginda SAW. Sedangkan orang yang masuk Islam kemudian, tidak menyaksikan apa-apa yang kami saksikan. Oleh itu, sesiapa sahaja yang memeluk Islam yang datang terakhir, maka dia akan lebih mulia kedudukannya, malah lebih besar pahalanya kerana dia memeluk Islam tanpa menyaksikan bukti yang lebih meyakinkannya terlebih dulu."
Kemudian George berkata, "Jika begitu, mulai saat ini aku bertaubat untuk tidak lagi memusuhi Islam dan aku menyatakan diri masuk ke dalam agama Islam, wahai Khalid tolonglah ajarkan aku mengenai Islam."
Dengan wajah gembira Khalid mengajak George masuk ke dalam khemah dan mengajarnya menyebut 'syahadatain', kemudian Khalid mengajar George berwuduk dan mengerjakan solat dua rakaat bersamanya. Apabila tentera Rom mendapati George tidak keluar-keluar dari khemah tersebut, mereka mengira bahawa George telah dibunuh oleh Khalid al-Walid lantas mereka terus melancarkan serangan besar-besaran terhadap pertahanan umat Islam.
Selepas selesai mengerjakan solat, Khalid, George bersama tentera-tentera Muslimin meneruskan peperangan sehingga dalam pertempuran tersebut, George yang menyertai barisan kaum Muslimin terbunuh dan syahid di medan peperangan. Mulanya kafir, kemudiannya Mukmin dan diakhir hayatnya syahid.
Kisah ini mengenangkan kembali lembaran hadis tentang pertanyaan Rasulullah SAW kepada para sahabatnya, "Siapakah yang paling menakjubkan imannya?"
"Para Malaikat," jawab Sahabat.
"Tentu sahaja keimanan Para Malaikat dikagumi, kerana mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah menyatakan jawapan para sahabat kurang tepat.
Para Sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka menjawab lagi, "Para Nabi".
"Tentu sahaja Para Nabi itu hebat imannya, bukankah wahyu diturunkan kepada mereka?" Baginda mempersoalkan jawapan Sahabat.
"Mungkin kami (para sahabat Nabi)," celah seorang Sahabat.
"Masakan tidak, sedangkan kamu berada bersamaku," pintas Rasulullah SAW menyangkal hujah sahabatnya.
"Jika begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang Sahabat lagi, mengakui jawapan mereka yang tidak menepati kehendak Rasulullah.
"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka, mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membenarkan al-Quran dan beriman (melaksanakan) semua isi kandungannya (berjihad dengan harta dan nyawa). Merekalah orang yang paling menakjubkan imannya," jelas Rasulullah SAW. (Riwayat al-Bazzar)
Adakah kita termasuk dalam hadis yang dibicarakan oleh Baginda Rasulullah SAW di sini?
http://blog.tarbawi.my
Selepas 5 tahun, menanti momentum 308
Ahmad Lutfi Othman, | 11 Mac 2013 |
Pagi 8 Mac 2008, saya dan keluarga baru tiba di Kampung Raja, Tunjang, dalam daerah Kubang Pasu, Kedah. Penat memandu dan keletihan menahan mengantuk, ditambah hujan sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke desa kelahiran, membuatkan saya tertidur hingga tengahari.
Biasa saja hari itu. Langit cerah. Jiran-jiran dan saudara-mara lebih awal turun membuang undi di Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, sekitar 2km dari rumah. Saya sendiri terasa malas untuk menunaikan tanggungjawab lima tahun sekali itu.
Dan, akhirnya, selepas makan tengahari dan solat Zuhur, tanpa dirancang, saya terdorong untuk mengoyak kertas undi, tanda protes terhadap kepincangan sistem dan proses pilihan raya di Malaysia.
Tiada apa yang pelik berlaku selepas itu sehinggalah menjelang maghrib. Sebenarnya, sepanjang hampir dua minggu berkempen -- tempoh yang agak panjang berbanding pilihan raya di zaman Dr Mahathir Mohamad -- saya tidak melihat pun petunjuk bahawa Malaysia rupa-rupanya berada di babak baru sejarah yang sedang dilakar.
Banyak panggilan telefon dan SMS dari rakan-rakan seluruh negara memaklumkan bukan saja satu demi satu kerusi, Dun dan Parlimen, kebanyakannya di kawasan yang tidak pernah diduga, telah dimenangi oleh PAS, DAP dan KeADILan, malah BN tumbang mengejut di beberapa negeri.
Apabila anak saya memberitahu kawannya di Ampang menghantar pesanan ringkas tentang kemenangan Khasim Abd Aziz di Lembah Jaya, Selangor, secara spontan dapat terkesan ia bukan keputusan yang terpencil.
Sebelum menzahirkan kegembiraan, saya minta anak lelaki itu mengesahkan dahulu. Kesyukuran berganda apabila dimaklumkan dua lagi kerusi, iaitu Dun Bukit Antarabangsa dan Parlimen Ampang, turut dimenangi KeADILan.
Saya menetap di Ampang sejak 1998 tetapi masih setia balik kampung setiap kali pilihan raya. Terlintas bahawa dua undi untuk PAS dari saya dan isteri hanya sia-sia saja di Selangor. Sekurang-kurangnya di Kedah, walaupun daerah Kubang Pasu dianggap kawasan kelabu buat pembangkang, saya masih dapat berangan-angan untuk melihat perubahan.
Begitulah politik. Ia bukan saja cukup dinamik tetapi sering mengejutkan. Mudah terdedah kepada perubahan luar jangka. Bukan saja Kedah menjadi milik PAS dan KeADILan, negeri termaju Selangor turut menyaksikan BN dan Dr Khir Toyo "menggigit jari".
Jika pada 1999, pengundi Cina dilihat menjadi penyelamat BN sehingga Dr Mahathir memperbanyakkan kerusi-kerusi Parlimen pengundi campuran dan tidak menambah kerusi di Kelantan, Kedah dan Terengganu, tetapi pada 2008, sebahagian besar masyarakat Tionghua dan India bertindak nekad menghukum BN.
Malam 8 Mac itu begitu hening dan syahdu. Menyelinap satu perasaan luar biasa aneh dan lazatnya. Ketika rakan saya, pemberita Harakah Perak, Johari Jaafar menelefon, jantung hampir berhenti berdegup.
Pertama, BN Perak kalah dan ia sudah cukup memeranjatkan. Kedua dan ini lebih tidak terduga, walaupun mempunyai wakil paling kecil bilangannya, kemungkinan besar calon PAS akan dilantik menteri besar. Satu lagi iktibar dapat dikutip.
Mulanya saya ketawa kecil, menganggap khabar itu tidak lebih spekulasi, tetapi selepas Johari atau lebih popular dipanggil JJ menjelaskan, saya terdiam mencari ruang untuk menarik nafas dalam-dalam. Subhanallah.
Saya pasti anda sendiri sukar mendefinisikan perasaan yang berbaur ketika menghadap televisyen ketika itu. (Apatah lagi jika bersama-sama berada di pusat penjumlahan undi). Tentu masih terbayang wajah pengacara dan pengulas TV yang kaget dan kehilangan bicara selepas mereka mendapat tahu BN tumbang satu demi satu negeri.
Bersama abang yang menetap lama di kampung, saya bergegas ke Kompleks PAS Kedah, di Kota Sarang Semut untuk merayakan kemenangan. Beberapa hari sebelum itu, di lokasi sama, saya bertemu Ustaz Azizan Abd Razak, Pesuruhjaya PAS Negeri untuk menyiapkan tugasan buat keluaran terakhir Harakah sebelum hari mengundi.
Sampai hari ini, sebaik selesai sidang akhbar Ustaz Azizan, saya tidak dapat melupakan perasaan sebak dan terharu amat sangat apabila melintasi kawasan berdekatan kediaman Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, bekas Presiden PAS yang cukup disayangi ahli-ahli parti.
Malam itu Alor Setar cukup damai, tenang dan indah. Kali kedua saya menitis air mata mengingati Ustaz Fadzil, ketika berada di tingkat atas Stadium Darulaman, malam 1 JUn 2012, menyaksikan puluhan ribu hadirin memeriahkan Himpunan Hijau ke Putrajaya.
Selepas genap lima tahun, nikmat perubahan itu wajar dikongsi oleh lebih ramai warga. Najib Razak masih belum menemui tarikh sesuai untuk cadangan pembubaran Parlimen. Jelas, dia diselaputi keluh-kesah menanti hukuman rakyat.
Ya, benar sekali, 308 (8 Mac) hanya satu permulaan.
Malaysia tidak akan berpatah surut ke belakang lagi. Acara sambutan tahun kelima kemenangan Pakatan Rakyat mungkin tidak begitu meriah. Rakyat lebih menantikan tarikh gemilang untuk menyambut pembebasan Putrajaya.
Sepatah rumusan Anwar Ibrahim: "Hari ini 8 Mac, genaplah tempoh maksima pemerintahan Datuk Najib Razak sebagai Perdana Menteri, walaupun beliau sendiri tidak pun mendapat mandat sebagai Perdana Menteri pada 2008 kerana ketika itu dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi.
"Sekarang sudah sampai ketika di mana rakyat bangkit mempertahankan hak kuasa. Jangan dihina maruah mereka, hak mereka, harta mereka, khazanah negara jangan dirampas. Kebangkitan rakyat ini harus diteruskan dan saya yakin, InsyaAllah kita dapat merampas Putrajaya."
Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!
II. Nyanyian Anwar pun digeruni
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim terus dilanyak dan dilutu. Media di bawah kawalan dan pemilikan Umno-BN tidak pernah membiarkannya selesa. Segala yang dilihat membawa masalah besar kepada negara (sebenarnya bermasalah kepada elit penguasa) akan cuba dipamerkan sebagai berpunca daripada karenah Anwar.
Terbaru, kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang mengakibatkan konflik bersenjata dan tragedi berdarah. Ketika rakyat dituntut bersatu menghadapi ancaman yang menggugat kedaulatan negara, sebaik berlaku pembunuhan anggota keselamatan, Anwar terus diangkat sebagai dalang atau pengkhianat.
Maka dicari dan dicipta daleh untuk mengukuhkan dakwaan. Pelik juga pendekataan yang diambil strategis kempen BN-Najib, dengan jumlah individu dan biayaan dana awam
yang besar itu.
Saya seakan-akan tidak percaya apabila media cetak dan siaran berita televisyen (apa lagi kalau bukan Utusan Malaysia dan TV3) seolah-olah mendapat peluru ajaib untuk mengaitkan Anwar, hanya melalui lagu yang sering dinyanyikan Ketua Umum KeADILan itu di pentas-pentas ceramah, di seluruh pelosok negara.
Selama ini saya jarang menonton YouTube tetapi publisiti percuma media talibarut Umno itu mendorong saya mengikuti klip video nyanyian spontan Anwar.
Boleh tahan juga mendengar lenggok suara Anwar, siap dengan lunak dan merdu secukup rasa.
Saya yakin anda akan tersenyum puas menikmatinya. Sekurang-kurangnya dapat juga melepaskan tension dan stress!
Melalui carian mudah di internet, baru saya perasan, ada beberapa lagu yang menjadi kegemaran Anwar, dan menjadi siulan penonton apabila dinyanyi rangkap tertentu yang telah diubah suai itu.
Malah, dalam banyak majlis ceramahnya, hadirin sendiri meminta Anwar nyanyikan lagu-lagu tersebut, misalnya "Tanya sama Najib" dan "Madu di tangan kananmu, Pakatan; Racun di tangan kirimu, BN!"
Menariknya, sebelum menyanyi, Anwar, bagai lagak seorang guru, seperti mengajar hadirin lirik lagu tersebut. Ya, santai dan menghiburkan.
Melalui lagi "Tanya sama Najib", Utusan dan TV3, melalui pencacai mereka -- bekas pemimpin KeADILan yang keluar parti -- cuba mengaitkan Anwar dengan pencerobohan di Kampung Tanduo. Lalu dihubungkan dengan laporan Reuters yang memetik dakwaan pegawai tinggi Filipina bahawa insiden itu berlaku atas jemputan pemimpin pembangkang Malaysia.
Waduh, mudah sekali sifirnya! Cuba teliti lirik yang dipinda Anwar itu:
Tanya sama Najib
Apa sebab goyang
Nanti jawab Najib
Sabah nak hilang!
Lirik asalnya ialah:
Tanya pada pokok
Aapa sebab goyang
Nanti jawab pokok
Angin yang goncang
Sebenarnya Anwar menyanyi lagu tersebut lama sebelum berlaku pertumpahan darah di Lahad Datu. Lagu itu hanya dinyanyikan selepas beliau menjelaskan senario terkini politik Sabah, menunjukkan negeri yang dianggap kubu kuat Umno itu mulai goncang.
Sambil berceramah, Anwar juga kerap menunjukkan foto sambutan hebat orang Sabah dalam setiap ceramahnya. Secara jelas Ketua Pembangkang itu merujuk gambar orang ramai yang bersesak di lokasi berbeda, di antaranya Papar, Tawau, Pensiangan dan Keningau.
Melalui YouTube, saya menonton satu program politiknya dan Anwar berkata: "Dan perkembangan mengejutkan di Lahad Datu, yakni kubu terkuat umno di Sabah, lihat sendiri bagaimana ramai orang hadir. Mana ada kubu Umno lagi sekarang ini?"
Pandir sekali untuk mengaitkan lagu "Tanya sama Najib" itu dengan pencerobohan di Lahad Datu. Lucu, pelik dan tak masuk akal.
Masakan jenaka melalui lagu pun sukar diterima Najib dan konco-konconya. Ataupun mereka tidak tahan mendengar bait yang akhir, yang dicipta Anwar sendiri:
Bila Sabah hilang
Umno melayang!
III. Sisipan "BANGKIT! Sekarang" dan poster Pakatan Rakyat
Sisipan khas menjelang PRU13, "BANGKIT! Sekarang" atau "Bangkit" telah menemui pembaca setia Harakah minggu lalu. Sudah dua keluaran diterbitkan. Selepas ini ia akan dikembarkan bersama setiap Harakah edisi Jumaat. Dan sebaik saja Parlimen dibubarkan, kekerapannya sama seperti Harakah, iaitu untuk edisi Jumaat dan juga Isnin.
Sebenarnya untuk tujuan kempen yang lebih menyeluruh, pihak yang berminat boleh membuat tempahan untuk mencetak "Bangkit" secara berasingan, dengan kos minimum. Untuk mendapat maklumat lanjut boleh hubungi saya atau pihak pencetak sendiri.
Saya menerima cadangan agar "Bangkit" diedarkan secara percuma, khususnya kepada audien yang belum mengenali Harakah. Bagi mereka, kandungannya cukup sesuai untuk menolak dakyah UMno-BN, selain mempromosikan produk Pakatan, terutama yang terkandung dalam Manifesto Rakyat.
Poster yang kami siarkan, dengan tema "Pakatan Harapan Rakyat" juga mendapat respons positif.
Sementara itu, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) juga membuat rayuan sumbangan orang ramai bagi membiayai proses penerbitan bahan-bahan bercetak khusus untuk PRU13. Sama-samalah kita memberi sokongan. Salurkan bantuan anda ke dalam akaun KAMI MEDIA Maybank 514075606399.
Bahan bercetak -- contohnya, sisipan "Bangkit" -- amat diperlukan dalam situasi kritikal menjelang PRU13. Ia diharapkan dapat sampai ke setiap rumah pengundi. Tajaan pihak yang berminat dan bermurah hati amat diperlukan, selain dapat membantu merancakkan lagi kempen melalui pelbagai bentuk bahan-bahan bercetak.
Bilakah perbezaan pendapat mampu memperkaya ilmu?
Prof. Dato' Dr Haron Din, | 24 Feb 2013 |
Imam fekah yang utama sering berbeza pandangan dalam sesuatu perkara. Sifat zaman yang berubah dan banyak perkara baru muncul memerlukan jawapan dan pendekatan menanganinya. Imam Shafie umpamanya tidak taksub dengan pandangannya malah terbuka diikuti atau sebaliknya asal saja yang selari dengan maksud syarak. Beliau menganjurkan supaya yang terbaik dan benar yang harus diikuti. Kaedah ini memperkayakan khazanah ilmu dalam tradisi Islam dan perbezaan tidak menjadi isu yang mempertajamkan hubungan atau menuding jari dengan pandangan bahawa, "Aku saja yang betul dan orang lain semuanya cacat atau salah belaka".
Prof. Dr Yusof al-Qaradawi dan Almarhum Sheikh Muhammad al-Ghazali sering memberikan pandangan dari sudut fekah dan syarak supaya masalah masa kini dapat diatasi tanpa perlanggaran batas syarak namun, adab berbeza pandangan tetap dipelihara.
Akhir-akhir ini sangat nyata perbezaan pendapat dalam kalangan ahli dalam hal agama atau dalam kalangan ulama yang mempunyai latar pendidikan berbeza atau dalam kalangan orang Islam yang tidak memiliki keahlian, cuba memberikan pandangan terhadap sesuatu isu yang menuntut keahlian dan kepakaran. Cara perbezaan itu berlaku boleh mengelirukan orang awam khususnya generasi muda.
Ulama adalah pewaris Para Nabi. Ulama adalah lambang keteguhan ilmu, prinsip dan hukum hakam Islam, namun apabila ada isu baru maka sering wujud perbezaan mendekatinya. Yang merisaukan ialah ada dalam kalangan mereka yang cuba mendekati isu kerana populariti. Ia pula diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang sentiasa ingin melagakan pandangan dengan maksud tertentu. Sepatutnya pandangan berbeza boleh diselesaikan di meja muzakarah (perbincangan). Sudah tentu dalam negara kita ada lembaga dan institusi bagaimana perbezaan pandangan itu dapat diselaraskan.
Pada prinsipnya, ulama faham nas mengenai isu berkaitan. Perbezaan kadang-kadang hanya bersifat teknikal bukan substantial, tetapi cara sesetengah pihak mempermainkan boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham hingga menyebabkan khalayak menjadi bercelaru. Malah, ada tokoh merelakan dirinya menjadi umpan mempertajamkan lagi masalah berbangkit dan ia menjadi popular dengan maksud tersendiri. Lebih mengelirukan ialah sudut pandangan tidak didekati secara kaedah Islam. Ia didekati secara barat atau mengambil pendekatan seperti dilakukan oleh orientalis.
Dalam hal membabitkan hukum atau pengkhususan, ia menuntut di kalangan ahli memperjelaskannya supaya ada kuasa dalam membuat keputusan. Seorang doktor pakar dan ahli dalam bidangnya memiliki kelayakan untuk berbicara mengenai penyakit. Orang awam yang bukan ahli dalam penyakit itu sudah tentu perlu merujuk kepada pakar terbabit. Rasulullah berpesan pentingnya sesuatu itu diletakkan pada tempatnya (berasaskan keahlian atau kepakaran). Kalau tidak kehancuran dan kerosakan akan menyusul.
Ia tidak bermakna ulama tidak perlu dinamik. Ulama dalam maksud yang sebenarnya mendukung imej Islam, berpegang kepada prinsip, memahami zaman dan realiti dan mengambil pendekatan bijaksana supaya umat dipandu ke arah jalan agama yang betul di tengah cabaran semakin rencam. Apabila timbul dalam kalangan ulama atau ilmuwan atau dalam kalangan tokoh yang berlagak seperti ulama membuat kenyataan kontroversi, ia tidak menyumbang ke arah kesatuan fikiran yang amat dituntut oleh umat.
Tidak dapat dinafikan, ada kerencaman dan kelainan orientasi bagaimana seseorang ulama dan ilmuwan Islam itu lahir di sepanjang sejarah umat Islam. Tetapi titik persamaan yang boleh menyatukan fikrah dan ummah harus dijadikan keutamaan. Tidak harus ada pihak yang ingin menjadi juara konon dia tahu segala-galanya dengan menafikan kebolehan orang lain. Lebih tidak wajar lagi apabila seseorang yang berlagak tokoh, tahu sedikit mengenai pemikiran dan falsafah lalu berlagak sebagai ahli fekah atau syariah dan menyebabkan khalayak menjadi keliru.
Adab terhadap kelainan pendapat perlu ada. Adab al-ikhtilaf yang boleh membawa kepada perbezaan pendapat harus tegak dengan prinsip dan nas yang sepakat. Hikmah di sebalik kelainan pendapat yang didekati dengan adab yang tinggi melahirkan tradisi bijaksana untuk mencerahkan lagi isu yang berbangkit bukan menambahkelirukan keadaan akibat kegopohan.
Maslahah ummah dan imej Islam harus dipelihara supaya kelainan pendapat memperkaya cara pendekatan bagaimana isu yang berbangkit didekati secara ilmu dan keahlian. Asas ini penting supaya kelainan pendapat yang dilakukan secara berhemah mampu mendidik masyarakat dan memperjelaskan lagi arah dan maksud sesuatu isu berbangkit.
Intipati Jawapan:
Perbezaan pandangan ulama harus diselesaikan di meja muzakarah atau di gelanggang yang tidak membangkitkan fitnah.
Ulama dilarang mendekati isu kerana populariti kerana ia boleh mengelirukan ummah.
Persamaan yang boleh menyatukan fikrah dan ummah harus dijadikan keutamaan.
Maslahah ummah dan imej Islam harus dipelihara supaya kelainan pendapat memperkaya cara pendekatan bagaimana isu yang berbangkit didekati secara ilmu dan keahlian.
http://blog.tarbawi.my
Awasi penyambung lidah syaitan
Abdul Mu’izz bin Muhammad, | 26 Feb 2013 |
Oleh itu, Islam telah meletak garis panduan yang absah sepanjang zaman sejak ia diturunkan. Al-Quran menekankan bahawa tugas penerangan merupakan tugas yang amat mulia. Orang yang dipilih oleh Allah untuk menyampaikan wahyu diberi gelaran Nabi yang bererti pembawa berita dan Rasul bermaksud utusan. Malah Syeikh Sa’id Hawwa menegaskan bahawa 90 peratus dari kerja dakwah merupakan tugas berbentuk penerangan.
Begitu pun juga syaitan turut berusaha menggagalkan kerja para Nabi dan Rasul, memilih sektor penerangan sebagai modal utama menyesatkan manusia.
“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.” (Surah al-Ana’am : ayat 112)
Kerja-Kerja Syaitan Memanipulasi Pemberitaan
Apabila dirujuk sirah Nabi SAW, kita mendapati terdapat sejarah keterlibatan syaitan dalam bidang kewartawanan secara langsung. Syaitan secara terlibat menyebarkan berita jahat yang tujuannya memporak-perandakan saf pejuang-pejuang Islam.
Lihat bagaimana sejarah perang Uhud yang menyaksikan kekalahan umat Islam. Antara faktor yang menyebabkan tentera Islam kalah, adalah kerana mereka termakan dengan berita palsu. Propaganda itu diusahakan oleh syaitan yang ‘turun padang’ mencetuskan konflik menjejaskan motivasi pejuang Islam ketika itu. Dalam klimaks mendepani peperangan, syaitan menyebarkan berita palsu bahawasanya Nabi SAW telah wafat terbunuh.
Berita palsu yang dianggap sensasi tersebut jelas telah menjejaskan motivasi percaya dan setia antara satu sama lain. Maka lemahlah ketumbukan tentera Islam dek kerana termakan dengan berita palsu syaitan. Ada golongan sudah mula menunjukkan rasa berminat menyertai kem Bapa Munafik Abdullah Bin Ubai yang tugasnya tidak lain mengganggu konsentrasi tentera Islam dengan fitnah dan ejekan. Semakin disegarkan berita-berita sensasi yang belum pasti. Sudah sememangnya ciri munafik yang menyertai saf tentera Islam hanya sebagai pembakar obor sengketa dan persepsi negatif sesama sendiri.
Sejarah terus berulang. Jika dahulu syaitan terlibat secara langsung dalam menyebarkan berita palsu. Begitu juga kini zaman langit terbuka segala maklumat berada di hujung jari, kita lebih terdedah dengan berita-berita palsu. Jika yang menyebarkan fitnah terdiri daripada musuh, itu bukanlah perkara yang pelik. Kerana syaitan sememangnya konsisten dengan kerjanya. Cuma yang dibimbangkan ada dalam kalangan saf pejuang Islam yang turut terlibat dan termakan dengan berita yang memporak-perandakan kesatuan berfikir dan keselarasan bertindak.
Lebih malang dari itu, wujud penyakit spastik yang tidak seimbang memberi kepercayaan. Secara ‘default’ kita diajar supaya jangan mempercayai media laporan dari pihak musuh. Tiba-tiba muncul liputan dari mereka tentang perihal sahabat seperjuangan kita, tiba-tiba kita percaya. Maka porak-perandalah saf perjuangan. Hasilnya kita ketagih menanti berita sensasi dari pihak musuh, pada masa yang sama kepercayaan sesama kita kian terhakis. Akhirnya hilanglah nilai kemanisan dalam berjuang, lenyaplah nikmat ukhwah.
Kepada Siapa Harus Kita Berikan Kepercayaan?
Imam Hasan al-Banna telah menggariskan bahawa ‘kepercayaan’ – thiqah – merupakan antara sikap yang menunjangi perjuangan. Kata beliau (maksudnya), “Apa yang saya maksudkan berkenaan ‘percaya’, ialah setiap aktivis gerakan Islam mestilah percaya kepada pengorbanan dan keikhlasan pemimpin mereka. Sikap kepercayaan yang dipupuk kuat bakal mencambahkan rasa sayang, hormat dan taat.”
Mungkin terlalu ghairah menyambut era kemenangan, ramai dalam kalangan kita yang sudah mula hilang kewarasan. Lebih percaya blog yang bertugas sebagai batu api berbanding pimpinan sendiri. Seolah-olah rela melahap hidangan berita syaitan berbanding mempercayai kalam pimpinan sendiri. Ini adalah bala seperti yang telah diingatkan oleh Nabi SAW (maksudnya), “Tidak sesat sesuatu kaum setelah beroleh hidayah, melainkan mereka diasyikkan dengan kontroversi persengketaan.” (Riwayat Tirmizi).
Budaya terbaru yang kian membarah kini adalah menuduh orang-orang tertentu akan khianat dengan perjuangan ini sebentar lagi. Ironinya batang tubuh yang diacukan fitnah tersebut, telah bersama dengan perjuangan ini sejak ‘zaman bertanding hilang deposit’.
Mereka bukan calang-calang orang. Mereka konsisten dengan perjuangan ini sejak zaman kalah. Tiba-tiba muncul zaman hampir mencapai kemenangan, mereka akan lompat parti. Bukankah itu satu dakwaan yang kelakar?
Namun malangnya cakap-cakap itu dipercayai ramai kerana telah dijadikan sebagai propaganda syaitan. Jika diamati, usaha ini amat jelas digerakkan oleh mereka yang ghairah dengan kemenangan. Sewaktu kalah kita tidak nampak muka-muka ini beria-ia bersama perjuangan ini. Tiba-tiba di waktu menang kita lihat merekalah yang sibuk menuduh orang yang berjuang sejak ‘zaman bertanding hilang deposit’ akan khianat.
Oleh itu, Tuan Guru Harun Taib telah mengingatkan kita, "Menyayangi ahli kita adalah satu tanggungjawab syar'ie dan kita hendaklah berusaha agar mereka tidak lari daripada ikatan jemaah Islam, usaha ke arah menyayangi mereka dan mengekalkan mereka dalam jemaah adalah satu yang wajib dilakukan dalam hidup berjemaah, ini adalah prinsip perjuangan PAS yang bersandarkan kepada ajaran Islam. Kita telah berusaha sedaya upaya untuk mencari ahli untuk menambahkan keahlian PAS, maka sudah tentu kita bertanggungjawab di sisi Allah untuk menjaga ahli dan menyayangi mereka sebagai ahli jemaah sepertimana yang terkandung dalam dalam prinsip perjuangan kita yang berdasarkan kepada tuntutan Islam."
Sila Bersikap Waras, Jangan Jadi Bodoh
Penulis pernah diajukan soalan-soalan kontroversi yang diasaskan dengan persepsi negatif, bahawa si fulan dan si fulan dilihat akan khianat masuk Umno. Penulis berpesan agar bersabar dan bersangka baik. Selagi mereka bersama dalam saf perjuangan kita, mereka tetap sahabat dan saudara seperjuangan yang perlu diperuntukkan kepercayaan untuk mereka. Si penanya masih tidak berpuas hati dengan terus mendesak agar penulis menghemburkan laknat dan ‘harapan’ agar apa yang diperkatakan biar benar-benar terjadi. Biar ‘cakap-cakap’ itu benar-benar berlaku. Biar orang itu benar-benar masuk Umno.
Penulis menjawab, “Kita terlibat dengan perjuangan ini semata-mata inginkan ganjaran dari Allah. Saya sedikit pun tidak merasa dapat pahala dengan kita mendoakan pengkhianatan kepada orang yang masih bersama kita. Dengan mengulang-ulang ratib si fulan dan si fulan akan masuk Umno, saya sedikit pun tidak yakin perbuatan itu beroleh pahala. Boleh jadi dosa fitnah. Boleh jadi dosa sangka buruk. Sebaliknya saya amat yakin jika kita mendoakan diri kita dan semua sahabat seperjuangan agar konsisten dengan jalan ini, kita berolah pahala.”
Biarlah dalam perjuangan ini, kita waras dalam berfikir. Mengapa kita terlibat? Semua akan menjawab ingin mendapatkan ganjaran redha dari Allah Taala. Namun terkadang, kita lupa asas dosa dan pahala menyebabkan kita buat ‘gaya bebas’ sewenang-wenangnya berperangai buruk serta berakhlak jahiliah. Hasilnya kita hilang fokus dengan melakukan kerja yang tidak beroleh pahala. Menganggap ‘tidak mengapa’ menjadi agen separuh masa menyebarkan fitnah dan prasangka buruk terhadap sahabat seperjuangan. Budaya ini menyebabkan hilang roh dakwah dalam perjuangan ini. Akhirnya kita jadi penghalau, bukan penyeru.
Mencari Solusi Permasalahan
Marilah kita kembali kepada etika yang telah ditetapkan oleh al-Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka periksalah dengan teliti. Agar kamu tidak mengenakan sesuatu hukuman kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu.” (Surah al-Hujurat : ayat 6)
Di ambang pertembungan yang bakal meletus, sepatutnya kita merapatkan saf bukan mencipta jurang. Hati-hati dengan mainan syaitan yang dikenali mahupun syaitan yang tidak dikenali. Seperti sirah ketika klimaks perang Uhud, syaitan ‘turun padang’ menyebarkan berita palsu yang memecahkan kesatuan tentera Islam dan melunturkan motivasi mereka. Begitu juga sekarang di ambang PRU, tidak mustahil kerja syaitan itu dilancarkan kembali.
Kita pupuk kasih sayang bukan menanam syak wasangka. Seseorang itu tidak akan bersalah selagi tidak dikemuka bukti kukuh yang mensabitkan kesalahannya. Diam lebih baik dari menyesal selepas dakwa. Hidupkan budaya dosa dan pahala di dalam perjuangan ini, mudah-mudahan kita tidak tersasar. Ingat, kita adalah penyeru dan pemelihara, bukan penghalau!
http://blog.tarbawi.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan