Khamis, 28 Mac 2013

BILA ORANG BAWAH TIADA KUASA DITINDAS....TAPI MASAK MENGUNDI DIDEKATI....DAPAT KUASA MEREKA DITINDAS LAGI...ADAKAH PATUT...ALLAH JUGA MENGHUKUM ORANG YANG ZALIM NI DENGAN PENYAKIT MUSIBAH DLL

Tiada tanah dirampas, sebaliknya geran diberi

Yaakub Dasan | Foto Zamani Md Zain, 28 Mac 2013

RANTAU PANJANG: Ketika Umno sibuk mendakwa kononnya kerajaan negeri merampas tanah rakyat, sebaliknya apa yang berlaku semakin ramai penduduk diberi geran hak milik.

Semalam seramai 123 peneroka Felcra Gual Dalam menerima geran tanah seluas 3.5 ekar setiap seorang disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. (Gambar atas)

Adun Gual Periok, Ustaz Mohamad Awang berkata, geran tanah tersebut meliputi kebun kelapa sawit seluas 430.5 ekar kini menjadi milik sah peneroka.

Katanya, kerajaan negeri memastikan usaha peneroka sejak sekian lama membangunkan tanah dengan aktiviti pertanian diberi hak sewajarnya.

“Kesungguhan mereka membangunkan kawasan hutan sehingga menjadi ladang kelapa sawit berbaloi sekarang kerana mendapat geran hak milik kebun secara sah.

“Sedangkan sebelum ini media milik Umno mendakwa kononnya kerajaan negeri merampas tanah rakyat. Itu tidak betul sama sekali. Kita boleh lihat apa yang berlaku hari ini,” katanya pada majlis berkenaan.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun, Adun Meranti, Datuk Nasuruddin Daud dan Ketua jajahan Pasir Mas, Ghazali Mohamad.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika berucap pada majlis itu berkata, sejak 1990 PAS mentadbir Kelantan mengikut peraturan Islam dan ia diterima majoriti rakyat.

Katanya, Nabi dan Rasul datang bersilih berganti membawa ajaran Allah SWT bagi membolehkan manusia hidup dengan aman tenteram.

“Ini secara jelas menggambarkan agama dan politik tidak boleh dipisahkan sama sekali dalam kehidupan manusia,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan negeri sentiasa memandang berat masalah rakyat terutamanya bagi menyelesaikan berkaitan pemilikan tanah, asalkan mereka mengikut peraturan ditetapkan.

Sementara itu di majlis lain Menteri Besar menyampaikan bantuan sosioekonomi kepada 200 penduduk termasuk masyarakat Siam di pejabat Dun Gual Periok, Banggol Kulim dekat sini.

Pada kunjungan berkenaan beliau juga merasmikan Markas Peti Undi Banggol Kulim, Dun tersebut.

Kilang Kualiti Alam: Bantahan 12 tahun lalu kini terbukti

Harakahdaily, 28 Mac 2013

SEREMBAN: Bantahan yang dibuat oleh PAS lebih 10 tahun lalu kini terbukti benar apabila kilang yang mengendalikan sisa berjadual, Kualiti Alam Sdn Bhd menelan dua mangsa Isnin lepas.

Semalam, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkifly Mohamad Omar buat kedua kalinya mengunjungi kilang itu.

(Zulkifly berbincang dengan balu K Segar, ibu dan anaknya di Taman Indah Jaya, Lukut petang semalam)

Kali ini beliau berjumpa dengan keluarga mangsa yang meniggal dunia akibat terdedah dengan gas toksid dari kilang itu.

Isnin lepas, dua pekerja kilang itu K. Segar, 42, dan pekerja Bangladesh Khalil Abdul Mozaid, 47, meninggal dunia selepas dipercayai terhidu hydrogen sulphid di kilang yang terletak di Bukit Nanas, Port Dickson itu.

Mendiang K Segar a/k Kandasamy. Umur 42 tahun anak ketiga dalam keluarga. Beliau meninggalkan isterinya Thilaga A/P Albin dan anaknya seorang perempuan umur 7 tahun serta ibu, Valiama A/P Arnasalam yang tinggal bersamanya.

Mereka sekeluarga tinggal di Taman Indah Jaya, Lukut, Negeri Sembilan

Mendiang telah bekerja di kualiti alam selama 16 tahun bermula daripada tahun 1997 sebagai general worker.

Setakat ini majikannya telah menanggung kos pengembumiannya.

"Saya mewakili PAS mengucapkan takziah kepada keluarga K Segar yang kehilangan beliau akibat dari kebocoran gas ini," kata Zulkifly.

Zulkifly pergi ke rumah Thilaga dan keluarganya bersama AJK Lajnah Alam Sekitar, Ahmad Zawawi bin Mat.

"Kami telah buat bantahan terhadap operasi kilang Kualiti Alam pada tahun 2001 lagi. Kita membantah operasi kilang tersebut didirikan dengan kediaman penduduk Felda Sendayan," kata Zulkifli kepada Harakahdaily.

Semasa itu penduduk Felda telah mengalami masalah penyakit asma dan sakit kulit.

Bila kilang melepaskan asap, gas dan debu ke udara, kawasan berhampiran akan mengalami debu dan habuk yg berwarna kuning dan hitam.


(Zulkifli dan Ahmad Zawawi bersama keluarga mendiang K Segar menunjukkan sijil-sijil yang pernah diterima mendiang)

Akibatnya, atap rumah, kenderaan termasuk kereta dan pokok serta tanaman diselaputi debu yang berwarna kuning.

"Saya sendiri melihat  bagaimana daun pokok atau bunga menjadi berlubang akibat kesan bahan buangan kilang itu ke udara," katanya.

Namun, bantahan penduduk ketika itu ditolak masa itu kerana kilang telah beroperasi dan mendapat kelulusan dari agensi kerajaan dan penguasa tempatan.

"Keadaan kin lebih kritikal lagi apabila lebih banyak taman perumahan baru yang telah siap dibina dan didiami oleh penduduk sekitar ini," kata Zulkifly.

Kini kilang itu ditutup buat sementara. Namun, penduduk sekitar dan pekerjanya terus dihantui pelbagai masalah yang tidak selesai sejak dahulu.

LAPORAN BERKAITAN


2 mati tersedut gas beracun, kilang tutup

Orang Asal nafi tanah mereka diceroboh

Aslani M | Foto Rizal Tahir, 28 Mac 2013


KOTA BHARU: Deretan bas diparkir di Dataran Muhammadi, sebahagian lagi berhampiran Tambatan Diraja di tepi Sungai Kelantan dan beberapa buah di belakang Masjid Muhammadi.

Lebih 60 bas kelihatan di banyak lokasi. Rupa-rupa bas terbabit diguna bagi mengangkut peserta demontrasi anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) dan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa).

Mereka diketuai Presiden MTRK, Azmi Ali menyerah memorandum kepada pegawai di Istana Balai Besar, dakwaan kononnya kerajaan negeri merampas tanah rakyat di hulu Kelantan.

Ramai pegawai dan anggota polis berkawal di pintu masuk ke Istana Balai Besar.

Berdasar kepada jumlah bas yang disewa khas dan banyak lagi kenderaan lain, sepatutnya lebih 10,000 hadir pada perhimpunan tersebut, namun dianggarkan sekitar 3,000 hadir.

Esok apa yang pasti media tajaan Umno dijangka menguar-uarkan 10,000 menyertai demontrasi tersebut.

Dua kenderaan dilengkap alat pembesar suara memasang kaset ceramah pemimpin Umno, MTRK dan Perkasa. Turut dipasang kaset dikir barat dan lagu yang pernah dikumandang pada perhimpunan Agung Umno tahun lepas.

Sebahagian besar yang hadir wanita-wanita Umno dan lelaki dewasa. Golongan muda hanya sebahagian kecil daripada jumlah peserta.

Setiap yang datang diberi naskah akhbar terbitan Gerakan Bertindak Selamatkan Tanah Rakyat Kelantan. Akhbar tak berkala itu pernah ditabur di merata tempat sebelum ini.

Gambar yang disiarkan tetap sama dan cuma ditambah beberapa keping gambar baru mewakili penduduk di kawasan hulu Kelantan.

Setiap peserta yang hadir pada perhimpunan berkenaan juga dibekalkan dengan bungkusan makanan.

Selepas bersurai ramai yang mencari tempat teduh membuka bungkusan makanan yang dibekalkan. Bagaimanapun beberapa pemimpin Umno dilihat memasuki restoran di kawasan berhampiran.

Dakwaan yang dilemparkan MTRK dan Perkasa tetap sama, mengitar semula isu lama biar pun sudah diberi penjelasan kerajaan negeri.

Malah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf kepada rakyat kerana berbohong isu tanah membabitkan dirinya di Gua Musang.

Pada sidang media di Ipoh hari ini Ngeh dilaporkan berkata, ucapan Najib di majlis Bekwoh Bersama Perdana Menteri di Tanah Merah 15 Mac lalu merupakan suatu pembohongan.

Sedangkan apa yang berlaku Ngeh hanya memiliki saham sebuah syarikat perladangan di Gua Musang.

Orang Asal nafi

Sementara itu beberapa pemimpin masyarakat Orang Asal di Gua Musang menafikan kerajaan negeri merampas tanah milik mereka bagi menjalankan aktiviti perladangan.

Pandak Panjang dari Kuala Betis berkata, sehingga sekarang tidak ada tanah yang dimiliki penduduk Orang Asal dibangunkan ladang oleh mana-mana pihak.

“Saya cabar pihak berkenaan membawa kes itu ke mahkamah kalau benar-benar tanah milik Orang Asal diceroboh bagi pembangunan ladang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Along Alang, 48, juga dari Kuala Betis pula mendakwa seorang pemimpin Umno dikatakan menceroboh tanah milik Orang Asal bagi membangunkan ladang miliknya.

“Pemimpin itu sendiri ketika berucap pada mesyuarat PIBG di Kuala Betis minggu lepas memberitahu dia mempunyai tanah untuk dijadikan ladang di kawasan tersebut,” ujarnya.

Forum 'Lahad Datu: Rakyat Berhak Tahu' pada 31 Mac

Harakahdaily, 28 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Forum 'Lahad Datu: Rakyat Berhak Tahu' 31 Mac ini akan memberikan penjelasan sebenar kepada rakyat mengenai insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Forum yang akan diadakan di Stadium Melawati bermula jam 9 malam itu akan menampilkan tiga bekas pegawai tinggi tentera, Lt. Jen. (B) Datuk Abd Ghafir Abd Hamid dari Angkatan Tentera Malaysia, Brig. Jen. (B) Datuk Abd Hadi Abd Khatab (TUDM) dan Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid (TLDM).

Selain bekas pegawai tentera, seorang lagi panel ialah ACP (B) Mohd Yousoff Babjee yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Khas (SB) PDRM Sabah.

Manakala Ahli Majlis Tertinggi PKR, Datuk Johari Abdul yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani akan bertindak sebagai moderator.

Bercakap pada sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam hari ini, Johari berkata, panelis juga akan menerangkan kesan dari penglibatan keterlaluan ahli politik dalam isu keselamatan.

“PR hargai pengorbanan pasukan keselamatan yang mengadaikan nyawa mereka demi tanah air, tetapi rakyat harus tahu isu sebenar,” kata Johari.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam sidang media sama memberitahu sebelum forum dijalankan, majlis tersebut akan dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah dan solat hajat.

“Munajat kita selama ini mula memberi kesan kepada Umno BN, sebab itu mereka semakin tertekan sehingga tidak nampak tarikh sesuai untuk membubarkan parlimen,” kata Khalid.

Forum yang diadakan pada sebelah malam itu nanti boleh diikuti secara langsung melalui TV Selangor di http://www.selangorku.com/TV Selangor.

Selain TV Selangor, media lain yang juga akan mengadakan siaran langsung, Ehsan TV, Impian TV, Ubah TV, Radio Suara Rakyat FM dan Radio Bangsar Utama.

PRU13: Peluang terbaik rakyat buat perubahan

Khairul Azlan Mohamad, 28 Mac 2013

Zakaria menyerahkan bendera PAS kepada Timbalan Ketua Pemuda Dun Seberang Takir, Hamidi Jusoh.

KUALA NERUS: PAS telah lama masuk politik dan berkecimpung dalam pilihan raya seawal tahun 1959 yang konsisten dengan dasar perjuangan Islam.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata pilihan raya merupakan satu cara bagi rakyat memilih pemerintah.

Sebab itu, katanya politik tidak dapat dipisahkan dengan agama yang akan menjadi pengawal serta pemandu sesebuah kerajaan.

“PAS masuk politik dan terlibat dengan pilihan raya. Kita (PAS) telah terlibat dengan pilihan raya seawal tahun 1959. PAS tetap konsisiten dan tidak berubah dasarnya.

“Pilihan raya satu cara untuk kita pilih pemerintah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Politik tidak dapat dipisahkan dengan agama,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana di Markas Besar Pemuda Dun Seberang Takir, Kampung Bukit Tok Beng, malam tadi.

Justeru, katanya, pilihan raya menjadi penting kepada orang Islam kerana melibatkan kuasa pemerintahan negara.
Beliau turut menyeru kepada rakyat dan pengundi agar dapat membuat keputusan yang terbaik dalam memilih kepimpinan negeri dan negara.

“Saya minta orang (pengundi) Seberang Takir buat keputusan yang baik dalam memilih pemimpin. PAS pernah diberi mandat memerintah Terengganu tahun 1999-2004 dan banyak perkara yang PAS buat sebagai kerajaan.

“Walau pun, Umno BN diberi kuasa yang panjang (lama) memerintah tetapi gagal dan tidak berjaya untuk gubal undang-undang Islam (Enakmen Hudud dan Qisas) di Terengganu,” jelasnya.

Katanya, perjuangan PAS selama ini menentang Umno kerana mahu membetulkan banyak kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan BN.

Tambahnya, inilah peluang dan ruang terbaik bagi rakyat untuk membuat perubahan ke arah sebuah pemerintahan yang lebih baik pada pilihan raya umum akan datang.
Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang dan mantan Penerbit & DJ Radio Ikim, Ustaz Zamri Zainal Abidin.

PAS Temerloh dan kesediaan Kit Siang

Ahmad Lutfi Othman, 28 Mac 2013
Pagi Ahad lalu, dalam tempoh tidak sampai dua bulan, sekali lagi saya berkunjung ke Temerloh. Selain berhasrat menyerahkan lebih 5,000 naskhah Bangkit untuk edaran negeri Pahang, saya cuba menyelami perkembangan mutakhir politik negeri yang seolah-olah "tidak begitu diperhatikan" itu.

Ketika ramai penganalisis lebih tertumpu ke selatan tanahair, khususnya Negeri Sembilan dan Johor, yang dilihat berupaya membentuk tsunami politik dari bahagian bawah Semenanjung melanda ke utara, hati kecil saya mengimpikan Pahang juga mampu melakar sejarah, sekali gus mengejutkan Najib Razak.

Temerloh yang popular dengan masakan tempoyak ikan patin ini memang menyimpan kisah suka duka pejuang Melayu zaman berzaman. Ia menjadi kubu pertahanan semangat nasionalisme menentang penjajah dan melahirkan ramai wira bangsa. Justeru, slogan perubahan bukan sesuatu yang aneh bagi warganya. Apatah lagi jarak yang relatif dekat dengan Lembah Klang dan faktor demografinya memungkinkan Temerloh menyalakan obor kemenangan Pakatan di Pahang.

Malah, kepada pendokong PAS, Temerloh yang menempatkan Pejabat Perhubungan Negeri dan menjadi pusat kegiatan parti, serta tunjang kekuatan mewakili kawasan tengah Pahang, memberi makna tersendiri. Temerloh mempunyai jumlah cawangan dan keahlian PAS paling ramai di negeri Perdana Menteri ini.

Kebetulan 24 Mac itu, Pejabat Dun Kuala Semantan, di Damai Courts, Jalan Damai, Temerloh, menganjurkan program Himpunan Rakyat Semantan, bermula 9 pagi hingga lewat tengah malam. Sambutan sekitar jam 12 tengah hari, ketika saya tiba, agak meriah. Ramai kanak-kanak dan ibu bapa terlibat dalam acara kekeluargaan. Malamnya dijadualkan pidato rakyat.

Sempat seorang warga emas, pembaca setia Harakah, beramah mesra dan seperti mahu bersembang panjang, sebelum saya diajak naik ke tingkat satu bersama Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus dan naibnya, Syed Hamid Syed Mohamed, yang juga Adun Kuala Semantan.

Perbincangan santai kami turut disertai Timbalan Yang Dipertua, Hassanuddin Salim, Ketua Pemuda, Ustaz Muhammad Shukri Shuib dan wartawan Harakah Pahang, Basiron Abd Wahab. Meskipun agak terganggu dengan kebingitan program di bawah pejabat, termasuk persembahan tabla yang rancak, saya tetap terkesan dengan harapan cukup tinggi agar wakil PAS terpilih sebagai calon Pakatan untuk kerusi Parlimen Temerloh.

(Lima tahun lalu, di saat-saat akhir menjelang hari penamaan calon PRU2008, pimpinan di peringkat pusat  memutuskan PAS perlu memberi laluan kepada calon KeADILan untuk bertanding di Temerloh. Dan tentunya arahan itu diterima kepemimpinan kawasan).

Saya lebih suka mendengar sambil cuba menyelami kegelisahan mereka menanti konsensus pimpinan tertinggi. Ya, ketika semua potensi kekuatan dikerah untuk berdepan pilihan raya paling sengit, tentu sekali soal dalaman tidak boleh dibiarkan menganggu konsentrasi, apatah lagi kawasan sekitar Temerloh, seperti Bera, Jerantut dan Kuala Krau, juga merupakan kerusi sasaran.

Sejumlah 42 kerusi Dun ditawarkan di Pahang dan PAS diberi kepercayaan bertanding separuh daripadanya, iaitu 21 kerusi, manakala KeADILAN, 14 dan DAP, 7. Bagaimanapun saya difahamkan, agihan kerusi di antara DAP dan KeADILan masih dalam perbincangan.

Di peringkat Parlimen, secara umumnya PAS dan KeADILan diperuntukkan masing-masing enam kerusi dan selebihnya, dua, kepada DAP. Namun, ada beberapa kerusi bertindih, melibatkan ketiga-tiga parti, belum diputuskan secara rasmi.


Berdasarkan laporan blog Selamatkan Pahang, menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Pahang (JPN), Cikgu Abdul Majid Hasan, kerusi Dun yang akan ditandingi PAS ialah N2 Jelai, N3 Padang Tengku, N8 Dong, N9 Tahan, N11 Pulau Tawar, N12 Beserah, N15 Tanjung Lumpur, N16 Inderapura, N17 Sungai Lembing, N19 Panching, N20 Pulau Manis, N21 Peramu Jaya, N24 Luit, N26 Chenor, N28 Kerdau, N29 Jengka, N32 Kuala Semantan, N36 Pelangai, N37 Guai, N40 Bukit Ibam dan N42 Tioman.

Selain empat Dun yang sudah dimenangi Pakatan, iaitu dua oleh PAS di Kuala Semantan dan Beserah, serta dua oleh DAP di Triang dan Tras, terdapat lapan kerusi Dun yang menyaksikan kekalahan di bawah 1,000 undi pada PRU2008, iaitu Sabai (145), Teruntum (293), Tanjung Lumpur (496), Damak (509), Tanah Rata ( 575), Jengka (596), Inderapura (873) dan Ketari (882).

Manakala lapan Dun lagi majoriti kekalahan Pakatan di bawah 1,500 ialah Luit (1,068), Bilut (1,108), Padang Tengku (1,188), Cheka (1,280), Tahan (1,357), Benta (1,358), Jenderak (1,374) dan Panching (1,444).

Untuk menguasai Wisma Sri Pahang, beberapa kerusi yang menyaksikan perbedaan undi sekitar 2,000, seperti Guai (1,941), Semambu (2,136), Lanchang (2,139) Batu Talam (2,415) dan Mentakab (2,439) juga harus diberi penekanan istimewa.

Dalam pertemuan sebelumnya dengan Pesuruhjaya Negeri, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Perhubungan, Roslan Zainal Al-Ahmadi, saya dimaklumkan, cabaran besar yang harus ditangani segera ialah penyampaian maklumat yang berkesan, terutama melalui media tradisi di kawasan yang masih sukar ditembusi internet.

II.

Sebagai penggerak utama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang prihatin dengan fungsi media dalam  pilihan raya, termasuk menganjurkan Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, di Hotel Nouvelle, pada 12 Mei 2012, saya dengan penuh minat memerhati  reaksi terhadap pengumuman Dr Rais Yatim yang menawarkan slot 10 minit  setiap parti untuk muncul di RTM menyampaikan manifesto yang siap dirakam.


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menolaknya sambil menyifatkan tawaran itu sebagai jenaka dan usaha BN untuk berlakon seolah-olah mereka melaksanakan kebebasan media. Ia juga seolah-olah memperlihatkan Pakatan seperti pengemis.

Menurutnya,  Pakatan menuntut diberi hak untuk menjawab pertuduhan dan fitnah yang disiarkan secara berterusan oleh media  yang dikawal Umno-BN, bukan sahaja sewaktu musim pilihan raya tetapi sepanjang masa.


Walaupun PAS menghargai keputusan kerajaan itu, namun Ketua Penerangannya, Tuan Ibrahim Tuan Man melihatnya tidak lebih sebagai 'ajak-ajak ayam'. Katanya, dalam  tempoh 10 minit, "pembaharuan" itu satu perkara yang mengaibkan.

"Apa pun, PAS masih belum ada keputusan dan perlu berbincang dan akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Bagi Pengarah Komunukasi KeADILan, Nik Nazmi Nik Ahmad, partinya juga menolak tawaran 10 minit itu. "Ia satu sandiwara hodoh pihak yang jahil peranan media dalam demokrasi," katanya.

"Peranan media dalam sistem demokrasi ialah memberi liputan dan laporan berita yang objektif, adil dan saksama.  Adalah tidak wajar media diperalatkan sebagai mesin propaganda untuk memaksakan pandangan Umno ke atas rakyat. Tawaran ini adalah penghinaan terhadap kepintaran rakyat," ujarnya.


Sebagai pengamal media, saya mengimpikan setiap parti diberi ruang dan masa munasabah, bukan saja dalam TV, tetapi juga radio dan akhbar, serta tidak terhad kepada penjelasan manifesto, iaitu merangkumi persoalan pokok yang perlu dimaklumkan kepada rakyat.

"Semasa siaran manifesto ini ada, semua media dituntut mematikan etika kewartawanan dipertahan dan dipelihara, termasuk hak untuk menjawab," kata seorang rakan saya, wartawan penyiaran berpengalaman. "Walaupun Pakatan menolak, saya masih harapkan slot di RTM itu menjadi kenyataan, dengan tempoh lebih lama," tambahnya.

"Ya," saya mencelah, "tapi isu besar dalam kebebasan akhbar, seperti konsep pemilikan media dan syarat-syarat karut-marut berkaitan permit dan sebagainya harus dimansuhkan."

KAMI juga menuntut tempoh kempen minimum selama 21 hari bagi memastikan setiap pngundi mendapat maklumat secukupnya agar dapat membuat pilihan yang rasional dan tepat.

Dalam pada itu, KAMI masih dalam kempen mendapatkan dana untuk menjayakan projek penerbitan PRU13; salurkan sumbangan ikhlas anda ke dalam  akaun Maybank KAMI MEDIA 514075606399.

III.

Sukar menelah apa yang menganggu dan meracau pemikiran  Najib Razak sehingga terlalu sukar menentukan tarikh pembubaran Parlimen meskipun berulang kali beliau melahirkan keyakinan bahawa Umno-BN bukan saja menang dalam PRU13, malah berjaya mengembalikan majoriti dua pertiga.

Seperti kata Lim Kit Siang, Najib bukan sekadar Perdana Menteri paling lama di tampuk kuasa tanpa mendapat mandat pengundi, malah beliau mengetuai kerajaan dan kabinet "yang telah tamat tempoh" selepas masa lima tahun berakhir 8 Mac lalu.

Di zamannya juga kita menyaksikan suasana atau mood berkempen paling paling lama bermula semenjak beliau dipilih menggantikan Abdullah Ahmad Badawi pada April 2009. Dalam waktu itu ratusan ringgit dihanguskan untuk mengupah firma perunding seperti Apco Worlwide dan FBC Media baik menaikkan imejnya dalam dan luar negara.

Ternyata Najib  belum selesa dengan sokongan yang diperolehinya, walaupun pelbagai insentif tunai dan habuan lain diagihkan kepada rakyat, selain memanipulasi sepenuhnya kes pencerobohan di Lahad Datu, demi survival politiknya, tidak terkecuali dengan cuba mengaitkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.


Sehingga kolum ini ditulis, iaitu tidak sampai 24 jam Dun Negeri Sembilan akan terbubar secara automatik pada tengah malam Khamis, 28 Mac, Najib secara tidak langsung seolah-olah tidak menghormati peranan dan fungsi politik Raja-Raja Melayu yang sedia terhad itu.

Hatta jika Menteri Besar Negeri Sembilan menghadap Yang Dipertuan Besar pada pagi Rabu untuk mencadangkan pembubaran Dun, baginda sebenarnya  tidak berpeluang untuk melaksanakan haknya bagi menolak tarikh yang diusulkan itu.

IV.

Lagi tentang Lim Kit Siang, ahli politik berpengalaman hampir lima dekad, yang melalui pelbagai rintangan dan pancaroba, termasuk ditahan ISA dan turun naik mahkamah.

Tokoh yang digeruni seteru politik dan dihormati kerana prinsip dan ketegasannya dalam perjuangan ini mencetuskan dua kejutan baru-baru ini. Pertama, beliau memilih Johor atau lebih tepat kerusi Parlimen Gelang Patah untuk bertanding dalam PRU13 sebagai bukti keseriusannya untuk meleburkan kubu kuat Umno itu.

Kedua, kesediaannya untuk bertanding  menggunakan lambang PAS sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran DAP ekoran kesilapan dalam pemilihan kepimpinan parti  tahun lalu.

"Jika BN salah guna kuasa (batalkan pendaftaran DAP), saya mungkin guna lambang PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat," kata Kit Siang.

Mengulas kenyataan itu, Setiausaha Agung KeADILan menegaskan: "“Umno cuba pecah=belahkan Pakatan dengan isu perkauman tapi bayangkan jika Lim Kit Siang bertanding dengan lambang PAS. Kita mahu tengok apa lagi hujah Umno untuk dimainkan. Umno hendak cakap apa lagi?"

"Jika berlaku pembatalan (DAP), PAS mengalu-alukan calon-calon DAP dan Kit Siang untuk bertanding menggunakan lambang PAS mahupun KeADILan,” kata Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali.

Segera saya terkenang perbualan dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di LCCT, KLIA, Sepang tidak lama selepas saya menjalani pembedahan pintasan jantung.

Sambil mengharapkan kesihatan saya cepat pulih, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyentuh isu-isu yang sengaja ditimbulkan untuk menimbulkan kecurigaan di antara PAS dan DAP.

Beliau berkata, selagi ada tokoh-tokoh lama kedua-dua parti, yang melalui perjuangan berliku puluhan tahun serta mendapat tekanan dahsyat pemerintah, misalnya Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Kit Siang, dia yakin PAS dan DAP akan terus bersama.

Tiada lagi isu boleh disembunyi

Abdul Shukur Harun, 28 Mac 2013



Pertanyaan bilakah tarikh PRU akan diumum telah mendominasi aliran perbualan pelbagai golongan rakyat. Ini menggambarkan bahawa PRU ke-13 ini bersifat luar biasa, menyebabkan begitu ramai orang ingin tahu dan menentukan sikap.

Ruang-ruang twitter dan face-book dan sms hampir dipenuhi perbincangan mengenai tarikh PRU ini dengan pelbagai ulasan - ada yang marah, sedih, lucu dan benci. Tidak kurang pula yang menyuruh bersabar menunggu.

Kata pepatah Melayu, ‘tak lari gunung dikejar, hilang kabut nampaklah ia’. Tetapi ini bukan gunung yang hendak dikejar dan bukan soal kabut yang melidunginya, tetapi soal mandate Umno-BN yang memerintah sudah hampir benar tarikh luputnya, iaitu sehingga 28 April depan, di mana parti itu hingga kini masih dalam dilema untuk menentukan tarikh PRU.

Dun Negeri Sembilan sudah dibubar pada 27 Mac lalu, Melaka dan Johor pada 22 April (tarikh sidang Dun pertama ialah pada 21 April 2008). Ini diikuti oleh Selangor pada 23 April (22 April) dan Perak 26 April (25 April). Selain itu, ada beberapa negeri yang boleh meneruskan kerajaan sehingga selepas Parlimen dibubarkan. Antaranya ialah Kedah, Sabah, Terengganu dan Pulau Pinang yang memulakan sidang Dun mereka pada bulan Mei 2008.

Apapun yang pastinya Parlimen akan bubar dengan sendirinya pada 28 April dan selepas itu SPR akan mengumumkan tarikh PRU Ke-13 bagi Parlimen dan Dun, kecuali Dun Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, PRU kali ini sangat luar biasa, bukan semata-mata kerana isu Lahad Datu, Sabah, khususnya isu Projek IC yang sangat menggemparkan dan berbahaya kepada negara, tetapi juga pelbagai isu besar yang lain. Antaranya isu perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu, isu rasuan, kronisme, nepotisme, pembaziran, ketirisan, isu kejadian jenayah yang sangat menakutkan, isu status pengundi yang masih berkecamuk, isu pengambilan tanah (terutama di Johor), isu sara hidup yang begitu tinggi dan sangat menekan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana serta pelbagai isu lagi.

Semua isu ini terdedah begitu rupa di pelbagai media baru, memberi peluang luas rakyat mengetahuinya. Ia terdedah melalui web-site, twitter, face-book, sms dan pelbagai lagi, hasil dari langit terbuka dunia siber.

Ramai tidak sedar bahawa komunikasi melalui internet ini dicetuskan di zaman Ronald Regan menjadi Presiden Amerika yang ke-40 dari Januari 1981 hingga Januari 1989. Inilah zaman bermulanya internet di Amerika.

Kini dengan penggunaannya yang begitu meluas seluruh dunia, termasuk di Malaysia, menyebabkan begitu banyak rahsia, khususnya di belakang tabir kuasa politik telah terdedah dan diketahui umum.

Oleh itu menjelang PRU Ke-13 ini banyak hal-hal dan isu yang tidak diketahui oleh orang ramai selama ini, termasuk pengundi di luar bandar telah terdedah. Media tradisional yang dikawal ketat oleh kerajaan telah ditewaskan oleh media baru menyebabkan semuanya sudah tidak ada rahsia lagi, semuanya sudah diketahui oleh pengundi bandar dan luar bandar.

Justeru, media baru ini dilihat oleh penganalisis sangat menolong Pakatan Rakyat menyebarkan maklumat yang diketahuinya, yang bukan bersifat fitnah. Skandal projek lembu, isu kapal selam, isu rasuah dan nepotisme sudah terdedah semuanya, bahkan isu Projek IC yang sangat menggemparkan terbongkar begitu rupa.

Semua ini memeranjatkan pelbagai pihak dan tentunya akan mempengaruhi aliran pengundian dalam PRU akan datang dan inilah yang mencemaskan parti yang memerintah.

Anak muda yang pulang ke kampung membawa alat komunikasi Tablets, umpamanya, menunjukkan berita dan gambar pelbagai peristiwa dunia politik yang tidak diketahui oleh ibu bapa di kampung yang selama ini hanya mendapat maklumat melalui media tradisional.

Ada ibu bapa di kampung yang terkejut sakan dan mulanya tidak percaya akan isu-isu yang didedahkan oleh anak mereka, tetapi selepas diterangkan barulah ibu bapa itu beransur percaya. Ini perkembangan menarik menjelang PRU Ke-13 dan inilah kelebihan media baru.

Oleh itu, PRU akan datang ini adalah sangat luar biasa dan critical, di mana parti yang memerintah tidak lagi berupaya mengawal maklumat, justeru semuanya terdedah. Rakyat dilimpahi banjir maklumat yang tidak pernah berlaku  dalam sepanjang sejarah pilihan raya tanah air.

Walaupun media tradisional meneruskan propagandanya siang dan malam, tetapi kesannya sangat minima dan ‘tumpul’, justeru ia telah ditewaskan oleh media baru yang sangat berpengaruh. Kemudian ada kesan psikologi dalam masyarakat bahawa mereka yang hanya mendapat maklumat dari sumber media tradisional adalah ketinggalan zaman.

Sementara itu, PRU akan datang ini amat berbeza dengan PRU 10 atau 20 tahun lalu. Ia bukan lagi berlegar mengenai isu pembangunan dan bukan lagi isu perkauman yang jahat di mana di masa lalu isu ini mudah dapat mempengaruhi pengundi.

Isu yang mendominasi pengundi dalam PRU akan datang ialah isu integriti parti dan calon yang bertanding, isu perjuangan keadilan dan kebebasan, isu sara hidup yang tinggi, isu rasuah, nepotisme, ketirisan perbelanjaan negara dan lain-lain.

Inilah yang menyebabkan suasana sekarang sangat memihak kepada Pakatan Rakyat. Oleh itu, dalam keadaan sekarang, pendukung Pakatan Rakyat perlu mempunyai kesabaran yang tinggi, bijaksana menangani isu yang ada dan sentiasa meletakkan diri sebagai pembela rakyat.

Dalam suasana kebangkitan rakyat ini, Pakatan mestilah dilihat mampu bersama mereka dalam gelombang ini, justeru PRU akan datang ini sudah terlalu dekat, hanya beberapa ela saja lagi dari garis kemenangan.

Itu bukan satu masalah

Tuan Ibrahim Tuan Man, 28 Mac 2013
Itu bukan satu masalah.
Malah ia bukan sesuatu yang merungsingkan.
Ia hanyalah cubaan Allah.
Pasti ada hikmah di sebaliknya.

Selesainya satu pertengkaran, baik semula, rasa sayang meningkat.
Selesainya satu tugasan berat, dapat pengalaman berharga.

Selesainya satu kekecewaan, dapat pemahaman baru.

Beramal-lah selalu. Jangan berkira sangat. Bantu selagi orang yang kita ingin bantu memerlukan bantuan kita.

Sekiranya bantuan kita menjadi satu masalah kepadanya, bantulah orang lain yang memerlukan bantuan tersebut.

Buat dengan niat baik dan tanpa mengharapkan sebarang pembalasan dari manusia walaupun orang terdekat.

Peganglah bahawa Allah akan membalas niat baik kita tersebut kerana sesungguhnya keikhlasan hati seseorang hanya Allah yang tahu kerana walaupun seikhlas mana hati seseorang bila dinilai manusia ada juga yang menaruh perasaan cemburu dan dengki.

Senyum.
Kita Senyum.

Umno hidup semula setahun saja?

Subky Latif, 27 Mac 2013
SETELAH UMNO diharamkan oleh mahkamah tahun 1988, maka Dr.  Mahathir Mohamad telah mendaftarkan semula parti itu atas nama UMNO (Baru) dan ia diluluskan.
Maka semua UMNO bahagian yang ada sebelum diharamkan ditaja  dan masing-masing menaja cawangan. Perti hidup semua dan bergerakan. Lepas itu kalimah Baru dalam kurungan disetuju dipadamkan, jadilah ia seperti UMNO sedia kala.

Lama kelamaan seorang ahli  UMNO yang jujur dan mematuhi undang-undang membuat carian dalam ROS mendapati tiada satu pun cawangan UMNO di bahagaian itu wujud dalam pendaftaran. Padahal UMNO Bahagian itu sudah menaja 126 cawangan dan setiap  cawangan bergerak mengikut keupayaannya.

ROS ada membuat tanyaan pada UMNO tetapi merasa ia kebal, tanyaan itu tidak diindahkan. Lalu ahli UMNO yang membuat carian itu mengemukakan kepada mahkamah, bertanya kesahihan UMNO  Bahagian itu.

Adapun UMNO yang diharamkan oleh Al-Marhum Hakim  Tan Sri Haron Hashim dulu ialah kerana ada ahli-ahli UMNO yang tidak sah menjadi perwakilan dalam Perhimpunana Agung UMNO dan mereka mengambil bahagian terhadap apa jua yang dibuat dan  diputuskan oleh perhimpunan itu. Maka sabit kesalahannya, lalu UMNO diharamkan.

Mahkamah akhirnya memutuskan UMNO Bahagaian Tanah Merah tadi haram kerana ia hidup sejak ditaja hinggalah menjadi perwakilan  dalam Perhimpunan Agung dengan 126 cawangan sebagai cawangan yang tidak wujud dalam pendaftaran. Cawangan seperti itu adalah  pertubuhan haram.

Ini bererti UMNO yang hidup semula hanya sah sehingga ia mengadakan perhimpunan agung yang pertama. Perhimpunan yang pertama itu dihadiri oleh perwakilan Tanah Merah yang haram yang sepatutnya diketahui oleh UMNO Bahagian. Ia sepatutnya tahu mana cawangannya yang tidak haram dan memastikan semua cawangan mengadakan mesyuarat agung dulu sebelum menghadiri mesyuarat perwakilan bahagian.
Apabila cawangan tidak memenuhi syarat maka ia tidak boleh menghantar wakil ke mesyuarat Bahagian. Apa wakil cawangan itu tidak sah mengambil bahagian dalam mesyarat Bahagian, maka Bahagian itu sendiri haram.

Perhubungan UMNO Kelantan sepatutnya memastkan setiap Bahagiannya sah. Ia patut melarang Bahagian yang haram menghadiri Perhimpunan Agung.

Apabila perhimpunan  disertai oleh perwakilan Tanah Merah yang haram, maka perhimpunan itu juga  jadi perhimpunan haram.

UMNO yang baru dihidupkan semula itu hanya sah sehingga ia mengadakan Perhimpunan Agung yang pertama. Apabila ia mengadakan Perhlimpunan Agung bersama UMNO Tanah Merah yang haram, maka ia pun haram serta merta. Cuma pada masa itu tidak orang yang mengambil tahu ia halal atau haram. Orang tidak tahu. Rupanya  UMNO Tanah Merah menghantar perwakilan  tiap-tiap tahun  dan ia bergiat setiap tahun dalam Perhubngan UMNO Kelantan. UMNO 126 cawangan di Tanah Merah haram, UMNO Tanah Merah haram, UMNO Perhubungan Kelantan haram dan UMNO Malaysia pun haram.

Itu yang diketahui. Dipercayai banyak lagi cawangan di seluruh negara wujud secara haram.

UMNO itu sudahlah malang. Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim yang menjadi pemimpin Semangat 46 pula membubarkan partinya menyertai semula UMNO haram itu.

Kalau UMNO haram, apakah BN tidak haram. BN wujud setelah ada UMNO.  Kalau parti haram memimpin BN patutnya BN tidak sah juga. Dari tahun 1988 Malaysia telah diperintah oleh pertubuhan haram.

Tiada ulasan: