Selasa, 12 Mac 2013

BUBAR AJE....JANGAN CAKAP JE...TAPI TAK BUAT...NANTI ORANG TEMPELAK LAGI HARU

Ustaz Azhar berlakon di bawah arahan Pierre Andre?

Harakahdaily, 11 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Ulama selebriti, Ustaz Azhar Idrus dilaporkan bakal menjadi pelakon di bawah arahan Pierre Andre?


(Ustaz Azhar bersama Pierre Andre)

Menurut laporan blog Beautifulnara, Pierre sudah memaklumkan perkara itu kepada Ustaz Azhar, namun kata putus belum diberikan lagi.

"Mengikut perancangan, filem terbitan MIG yang bertajuk “Ustaz, Mung Tunggu Aku Datang” akan diterajui oleh Shiro dan Ustaz Azhar Idrus," lapor blog itu.

Namun begitu, menurut Pierre Andre sendiri, Ustaz Azhar Idrus masih belum memberikan kata putus sama ada mahu terlibat atau tidak dengan filem ini.

Seorang lagi jeneral sertai Pakatan

Roketkini.com, 11 Mac 2013
SHAH ALAM: Walaupun konflik berdarah di Lahad Datu terus dimanipulasi media kawalan UMNO-Barisan Nasional (BN) mengaitkannya dengan pimpinan Pakatan Rakyat (PR), tetapi semakin ramai pula mantan jeneral tentera menyertai PR.


(Anwar bersalam dengan Jen (B) Tan Sri Md Hashim Hussein yang mengisytiharkan sokongan kepada Pakatan)

Terkini ialah penyertaan Ketua Turus Angkatan Tentera Darat, Jen (B) Tan Sri Md Hashim Hussein bersama PKR pada 6 Mac lalu.

Sebelum ini Lt Jen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid, Brig Jen (B) Datuk Abdul Hadi Al-Khatab, Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid dan Brig Jen (B) Datuk Najmi Ahmad secara terbuka mengisytiharkan sokongan mereka kepada PR.

Fenomena ini sudah tentu memberi gambaran jelas wujudnya krisis keyakinan yang parah terhadap pentadbiran BN berhubung isu pertahanan dan keselamatan negara.

“Siapa dua tahun lalu terfikir bahawa lima orang Jeneral (tentera) termasuk yang berpangkat tertinggi memilih untuk menyokong Pakatan Rakyat? Siapa dua tahun lalu yang terfikir Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin, pendakwa kes saya pada 1998 dan ketua pendakwa kes pada 2008 sekarang menjadi peguambela saya?

“Siapa yang menjangka bapa Saiful (Azlan Lazim) tiap hari keluar masuk mahkamah sekarang memohon maaf kepada saya, Azizah dan keluarga, dengan menyatakan ada konspirasi yang melibatkan pegawai pejabat Perdana Menteri dalam kes Liwat II. Semua ini tidak akan berlaku tanpa iringan doa dari rakyat,” ujar Anwar.

Mengulas isu pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumpahan darah boleh dielak jika kerajaan bertindak segera menghantar pasukan tentera.

“Mana boleh kita biarkan (pencerobohan), ini soal maruah dan kedaulatan rakyat dan negara yang kita kena pertahankan,” tegasnya ketika berucap pada Majlis Sambutan 5 Tahun Kerajaan Negeri Selangor, malam tadi.

Menurut Anwar, seperti yang dijelaskan kepadanya oleh seorang daripada bekas jeneral angkatan tentera, kerajaan lewat menghantar pasukan tentera sehingga menyebabkan pertumpahan darah.

Sehubungan itu, Anwar kecewa apabila isu keselamatan negara terus dijadikan mainan politik media kawalan UMNO-BN dengan memberi gambaran buruk sehingga lagu “Tanya sama Najib” yang sering dinyanyikan beliau di majlis PR dikaitkan dengan pencerobohan gerombolan bersenjata ‘Sultan Sulu’ di Lahad Datu.

“Dalam lagu itu, saya maksudkan rakyat Sabah nak tolak BN pada pilihan raya dan bukannya nak bagi Sabah kepada kumpulan penceroboh. Itupun (lagu) ditayangkan tidak habis,” jelas beliau di hadapan lebih 5,000 orang.

Justeru itu pada 8 Mac baru-baru ini, beliau memfailkan saman berjumlah RM100 juta terhadap Utusan Melayu Bhd dan TV3 berikutan laporan fitnah yang mengaitkannya dengan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.

Hadir sama dan turut berucap ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul khalid Ibrahim, Yang Dipertua PAS Selangor, Dr Abdul Rani dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Kata Pierre Andre,"Saya bukannya mencipta kontroversi murahan, menjual nama Ustaz Azhar Idrus.

"Sebaliknya saya memang sudah menyampaikan hasrat kepada beliau dan dalam perbincangan tersebut, beliau nampak senang dengan jalan cerita tersebut.

"Justeru, saya berharap ALLAH SWT permudahkan urusan saya kerana filem ini adalah filem dakwah dan ustaz juga dapat turut serta dalam filem ini," katanya.

Ustaz Azhar sebelum ini beberapa kali menggamatkan penonton dengan penampilannya yang bersahaja dengan artis tempatan.

Di majlis sambutan Ambang 2013, Piere tampil bersama Ustaz Azhar di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Setahun sebelum itu, Ustaz Azhar bersama dengan Zizan di majlis yang sama berjaya mengumpulkan lebih 100,000 anak muda di majlis anjuran kerajaan negeri Selangor itu.

Kebetulan pula kedua-duanya berasal dari negeri penyu bertelor, Terengganu.

16 Mac ini, Ustaz Azhar dijangka akan bersama dengan beberapa artis di majlis kesenian untuk perubahan di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Najib langgar prinsip asas demokrasi

Harakahdaily, 11 Mac 2013
KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai tidak menghormati prinsip-prinsip asas demokrasi apabila mengecam parti pembangkang di hadapan  kakitangan awam ketika beliau hanya peneraju kerajaan sementara.

Demikian kata anggota Pasukan Pemantau Pilihan Raya Kelantan, Mohammad Faizal Che Yusof (gambar).

Datuk Seri Najib sebagai peneraju 'caretaker government' hari ini dalam ucapan bersama penjawat awam secara jelas membuat suatu pernyataan yang bersifat kecaman, pengaruh tak berpatutan dan perdayaan terhadap parti selain Barisan Nasional.

Beliau dianggap telah mendorong suatu tindakan prejudis kepada parti selain BN di kalangan penjawat awam, kata Mohammad Faizal dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Najib disifatkan sebagai peneraju kerajaan sementara selepas 8 Mac 2013 iaitu selepas lima tahun mandat yang diberikan rakyat.

Namun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata,  dari segi perlembagaan, kerajaan BN dikira masih kerajaan penuh kerana Parlimen belum dibubarkan lagi.

Bagi Mohammad Faizal, penjawat awam telah dilingkungi oleh suatu doktrin kepartian sekaligus menjadikan penjawat awam dikongkong dengan politik kepartian BN.

"Malang Malaysia mempunyai seorang PM yang hanya bermandatkan kerajaan sementara (caretaker government) sebegini," kata Mohammad Faizal.

Selangor sedia bubar Dun akhir Mac ini - Khalid

Harakahdaily, 11 Mac 2013
SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri sedia membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) selewat-lewatnya akhir Mac ini bagi mendapat mandat baru daripada rakyat.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia untuk tujuan itu dan satu keputusan telah dicapai bagi pembubaran DNS, lapor Selangorku.

“Sudah buat keputusan tetapi belum diumumkan,” katanya dalam sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya tiada halangan kemungkinan pembubaran itu akan berlaku pada akhir bulan Mac.

Sebelum ini, Menteri Besar pernah menyatakan kerajaan negeri merancang untuk membubarkan DNS selepas sambutan Chap Goh Meh.

Akhir Februari lalu, Abdul Khalid turut mengesahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menyatakan tiada halangan untuk pembubaran DNS.

Saya tak berniat khianati Saiful - Azlan

Hazayani Zakaria, 11 Mac 2013


PETALING JAYA: Bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim hari ini menyatakan pendedahan beliau berhubung kes Fitnah Liwat II sebelum ini bukan berniat mengkhanati anaknya itu.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini sebentar tadi, beliau juga turut memohon maaf kepada Saiful atas apa yang telah berlaku.

"Saya ingin meminta maaf kepada Saiful atas apa yang berlaku. Saya tak berniat menganiayai atau mengkhianati anak kandung saya sendiri," katanya sambil menambah beliau sangat menyayangi Saiful.

Terdahulu pada sidang media sama, beliau mengumumkan menyertai PKR dan menyerahkan borang permohonan menjadi ahli kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Azlan (gambar) juga tidak membuat sebarang kenyataan lanjut berhubung kes Saiful kerana sudah membuat kenyataan awal pada Jumaat lepas.

"Bukan bermakna saya menyertai PKR, saya akan menyisihkan Saiful dan anak-anak yang lain," katanya.

Beliau turut menjelaskan, keputusan menyertai PKR tidak ada kena-mengena dengan kes mahkamah melibatkan dakwaan liwat ke atas Saiful sebaliknya beliau sudah lama mengikuti perjuangan PKR.

"Saya sebagai rakyat Malaysia berhak buat keputusan tentang diri sendiri dan saya dah fikir sedalam-dalamnya dan implikasinya. Ini adalah masa yang tepat untuk saya sertai PKR untuk buat perubahan.

"Kita perlu profesional dalam hal ini. Apa yang saya lakukan sekarang ialah menyertai politik, tak ada kena mengena dalam kes mahkamah yang dihadapi anak saya.

"Kebetulan saya sertai PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar. Kalau saya sertai parti belah sana tentu tak timbul isu," katanya.

Tambah Azlan juga, beliau lebih mengetahui apa yang berlaku di sebalik kes tersebut.

"Sebagai bapa saya tahu dengan lebih jelas apa yang berlaku di belakang tabir yang orang lain tidak tahu," tegasnya.

Pada Jumaat lalu, Azlan mengejutkan banyak pihak apabila mengadakan satu sidang media khas mendakwa kes Fitnah Liwat II membabitkan anaknya terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu konspirasi pihak tertentu.

Beliau turut mendedahkan beberapa nama termasuk seorang pegawai khas kepada pemimpin tertinggi negara yang didakwanya sebagai dalang kepada konspirasi untuk memusnahkan karier Anwar

Pemerintah kuku besi, rakyat derita

Abdul Mu’izz bin Muhammad, 04 Mac 2013
Zaman kini merupakan zaman yang amat mencabar. Kejahatan diberikan kedudukan istimewa, kebaikan dilihat janggal. Gejala ini nyata terlihat dalam sinema Melayu yang lebih mengagungkan tajuk-tajuk filem Juvana, KL Gangster, Karlos dan sebagainya seolah-olah watak-watak itulah yang seharusnya menjadi inspirasi anak-anak muda. Budaya-budaya ini akibatnya bekal menjadi simbol panutan generasi muda yang bakal menggantikan kepimpinan di masa akan datang.

Ketika itu kejahatan subur melata kerana sang penguasa terdiri di kalangan penganut politik 'kuku besi', hasil dari paparan pembudayaan golongan autokrat terhadap generasi muda.

Makna Kuku Besi

Syeikh Abdul Rahman al-Kawakibi mendifinisikan kuku besi bermaksud sifat ghairah mencengkam manusia supaya menuruti segala kemahuannya. Amat benci mendengar nasihat dan pandangan. Sifat ini lebih sinonim dikaitkan dengan pemerintah kerana mereka yang paling berkuasa menaja segala kejahatan.

Pemerintah kuku besi bakal memangsakan semua lapisan manusia yang berada di bawah mereka. Sama ada rakyat biasa, penentang, bahkan pengikut dan pembodek. Sama ada sedar atau tidak, semua menerima nasib yang sama. Sentiasa ditindas dan dinafikan hak.

Siapakah Mereka?

Mari kita menyelak lembaran wahyu, bagaimana Islam membayangkan sifat-sifat penguasa kuku besi. Nabi Muhammad SAW telah menyenaraikan enam perbuatan jahat yang bakal menghancurkan manusia :

“Naiknya kepimpinan yang bodoh, banyaknya polis, berjual beli soal hukum, mudah menumpahkan darah, memutuskan hubungan kekeluargaan, mengambil al-Quran hanya sebagai lagu sedangkan hanya sedikit dalam kalangan mereka yang benar-benar faham hak al-Quran.”
- Riwayat Imam Ahmad dan Tabarani.

Pemimpin yang bodoh dengan istilah sufaha’ bermakna mereka yang buta membezakan antara hak dan batil. Kebodohan ini menyebabkan mereka akan bertindak dengan penuh zalim. Malah kebodohan itu dibiaskan kepada rakyat akhirnya semua lapisan masyarakat buta antara hak dan batil. Maka kekallah sang zalim dipilih terus berkuasa dengan rela oleh rakyat yang telah dibodohkan.

Banyaknya polis bukan bermakna bertambah makmur. Bukan untuk menjaga keselamatan rakyat. Sebaliknya diperbanyakkan polis semata-mata untuk berkhidmat menjaga tampuk kuasa penguasa. Digambarkan kejahatan jenayah yang paling besar adalah apabila rakyat tidak bersetuju dengan kerajaan. Dalam pada masa yang sama mereka melaung-laungkan konsep demokrasi yang dibangga-banggakan. Rakyat hidup dalam keadaan penuh ketakutan, bimbang didakwa tanpa bukti. Akhirnya terbentuklah "negara polis" tanpa disedari.

Berjual beli soal hukum dengan mengkhianati undang-undang sendiri yang telah diaktakan. Mereka bersifat dengan sifat yang ultra jahat apabila setelah mereka menetapkan undang-undang, mereka juga yang melanggar undang-undang. Hal ini disokong lagi dengan hadis lain yang menyatakan faktor sesebuah masyarakat hancur musnah kerana wujudnya amalan diskriminasi; berdasarkan sebuah hadis (bermaksud), “Sesungguhnya hancurnya generasi sebelum kamu kerana apabila golongan bangsawan yang mencuri mereka biarkan. Apabila golongan lemah yang mencuri, mereka kenakan hukuman.” - Riwayat Muslim

Mudah menumpahkan darah kerana mereka dirasuk sifat tamak kuasa. Golongan kuku besi bersedia bila-bila masa menyeksa sehingga membunuh demi mengekalkan kuasa. Asalkan dapat kekalkan kuasa, sanggup melakukan apa sahaja. Perangai jahat ini saling tidak tumpah dengan jenayah golongan jin yang asalnya dilantik oleh Allah sebagai khalifah di atas muka bumi. Oleh sebab mereka ketagih memporak-perandakan dunia dan menumpahkan darah, maka Allah melucutkan jawatan mereka sebagai khalifah. Jawatan khalifah tersebut kini disandang oleh manusia. Bermakna penguasa kuku besi sedang mengulang kegagalan jin untuk memakmurkan dunia.

Sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan. Jika sanggup menumpahkan darah, apalah sangat memutuskan hubungan sosial dengan saudara dan taulan. Itu merupakan soal yang sangat kecil bagi mereka.

Hanya tahu al-Quran sebagai puisi yang dilagukan, novel yang dibaca bersempena dan seni kaligrafi yang indah. Mereka menilai al-Quran hanya sebagai seni. Mereka buat-buat tidak faham bahawa al-Quran merupakan perlembagaan yang perlu didaulatkan. Jika ada golongan yang menyeru agar dilaksanakan al-Quran, maka tindakan yang keras akan dikenakan. Mereka Islam tetapi memerangi kitab orang Islam.

Faktor Mengapa Mereka Berkuku Besi
Mengapa manusia yang fitrahnya inginkan kebaikan dan keharmonian tiba-tiba berubah menjadi makhluk perosak yang tamak haloba merampas hak rakyat? Hal ini dijawab oleh Nabi SAW di dalam hadis, bermaksud,

“Sesungguhnya roda Islam berputar, ikutlah putaran roda Islam. Sampai satu ketika antara al-Quran dan pemerintahan akan dipisahkan. Jangan kamu pisahkan diri kamu dengan al-Quran. Kamu akan dapati penguasa kamu hanya bekerja untuk diri mereka bukan untuk diri kamu. Sekiranya kamu taat, kamu sesat. Sekiranya kamu lawan, kamu akan dibunuh.” - Riwayat Tabarani

Baginda Nabi SAW menjawab bahawasanya berlakunya kebejatan kuku besi apabila manusia membakulsampahkan Islam. Dengan memisahkan Islam dengan sistem pemerintahan, akhirnya melahirkan golongan penguasa yang mementingkan diri. Sehingga Nabi SAW menyebutkan ciri utama mereka hanya bekerja demi keuntungan diri sendiri, bukan untuk kepentingan rakyat.

Ciri ini amat sesuai dengan perangai penguasa kuku besi seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Abdul Rahman al-Kawakibi (maksudnya), “Golongan kuku besi memerintah rakyat ikut kehendaknya, bukan ikut kehendak rakyat. Mereka memerintah dengan nafsu bukan dengan syariat. Merekalah penentang kebenaran. Musuh kepada kebebasan.”

Dalam erti kata yang lain sekiranya kita merelakan golongan yang membakulkansampahkan Islam dalam hidup mereka sebagai pemimpin, maka sebenarnya kita sedang melahirkan penguasa kuku besi. Segala urusan bergantung kepada kepentingan mereka bukan kepentingan rakyat.

Merenung Kesalahan Kita


Timbul satu persoalan lain, mengapa kuasa kuku besi boleh kekal mencengkam hingga kini? Jawabnya, ini semua merupakan salah orang-orang yang mengangkat dan terus memilih mereka untuk terus kekal menjadi penguasa tanpa serik. Selagi ada golongan yang menyokong kejahatan, selagi itu kekallah penguasa kuku besi berkuasa menindas rakyat.

Nabi SAW telah menyenaraikan 15 dosa yang mengundang bala. Perkara ini telah direkodkan oleh Imam Tirmizi melalui sunannya, di dalam hadis yang bernombor 2210. Penulis meneliti, dosa-dosa yang disenaraikan adalah berkaitan salah laku politik yang menyebabkan munculnya penguasa kuku besi. Antaranya adalah:

“Apabila aset negara berlegar dalam kalangan orang-orang tertentu”. Allah mengurniakan perbendaharaan negara untuk dinikmati oleh semua. Malangnya ia dibolot oleh gerombolan penguasa kuku besi untuk terus menaja kejahatan mereka. Harta negara milik rakyat dijadikan sebagai modal untuk terus menipu dan menindas.

“Apabila amanah dijadikan sebagai keuntungan”. Di dalam bahasa wahyu, Allah dan Rasul SAW menggunakan istilah amanah dengan maksud jawatan dan kuasa. Islam mengajar bahawa jawatan merupakan tanggungjawab yang maha berat akan disoal di akhirat. Namun golongan penguasa kuku besi ghairah mencengkam kuasa. Hal ini kerana bagi mereka amanah kuasa sebagai peluang untuk memenuhkan tembolok sendiri seterusnya dikongsi oleh seisi kroni.

“Pemimpin mereka adalah dalam kalangan yang paling jahat dalam kalangan mereka”. Hal ini merupakan faktor utama mengapa penguasa kuku besi boleh kekal berkuasa. Mereka dipilih sendiri oleh rakyat yang buta kebenaran. Manusia telah disesatkan dari fitrah mereka yang mahukan orang yang paling baik diangkat sebagai pemimpin.

Gerakan menyesatkan minda manusia telah dibentangkan oleh Theodore Herzl di dalam Protokol Zionis yang menggariskan:

“Politik sama sekali tiada persamaan dengan moral. Pemimpin yang bermoral adalah pemimpin yang lemah dan kurang mahir. Orang yang mahu menjadi pemimpin perlu memiliki sifat licik dan pandai menyakinkan orang lain (walaupun dalam perkara batil).”


Amat jelas racun pemikiran yang telah disuntik oleh zionis. Hingga kini kita mudah mendengar pandangan ramai bahawa orang yang berakhlak dan bermoral adalah lemah dan tidak pandai mentadbir. Sedangkan Islam melihat akhlak dan kejujuran merupakan kekuatan utama seorang pemimpin. Kemahiran mengurus boleh diasah. Manakala amanah dan kejujuran tidak boleh dibuat-buat. Sangat pelik manusia boleh beriman dengan cara berfikir ‘tidak mengapa pilih orang yang jahat sedikit asalkan dia pandai mengurus’.

Maka disebabkan kecacatan dalam berfikir dan memilih, menyebabkan manusia terus melantik orang yang paling jahat dalam kalangan mereka sebagai penguasa.

Allah telah merakamkan kesalahan rakyat yang tidak serik memilih manusia yang jahat sebagai pemimpin mereka menyebabkan mereka turut dihumban ke dalam neraka:

“Dimuliakan seseorang kerana takut akan kejahatannya”. Apabila penguasa kuku besi terus diberi peluang berkuasa, mereka terus membuat onar yang menyebabkan rakyat terdidik dengan kejahatan lalu takut untuk melawan akhirnya lali dengan kejahatan. Semakin merasuah, semakin zalim, semakin menipu, semakin diberi ‘kurnia’ oleh rakyat agar kekal berkuasa.

Baginda Nabi SAW tegas tidak mengaku sebagai umat terhadap golongan yang takut menyatakan pendirian di hadapan penguasa yang zalim,“Apabila engkau melihat umatku takut untuk menyatakan penegasan terhadap orang yang zalim ‘Wahai orang zalim’. Maka diterima ucapan selamat tinggal buat mereka.” - Riwayat Imam Ahmad dan Tabarani

Berdasarkan apa yang telah dipesan oleh Nabi SAW, penguasa yang zalim akan terus berdiri kukuh selagi rakyat memilih mereka. Selagi kejahatan mereka diberi kerjasama oleh rakyat, selagi itulah mereka megah berkuasa.

Oleh itu, Allah turut menyeksa golongan pengundi yang memilih penguasa kuku besi atas kesalahan bersubahat dengan kezaliman.

“Mereka berkata wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami hanya mentaati pemimpin dan penguasa kami. Maka dengan sebab itulah mereka menyesatkan kami.”

“Wahai Tuhan kami, timpakanlah mereka azab yang berganda dan laknatlah mereka dengan laknat yang besar.” (Surah al-Ahzab ayat 67-68)


Maka tidak hairanlah Nabi SAW menyenaraikan antara dosa yang mengundang bala Allah adalah dengan memilih golongan jahat sebagai pemimpin. Hakikat yang perlu disedari, penguasa kuku besi itu sendiri merupakan bala bencana dari Allah. Bahana untuk semua.

Solusi

Islam mengajar kita supaya berani dan bertekad. Untuk menumbangkan penguasa kuku besi, tiada jalan lain melainkan dengan nekad. Ganjaran syahid antara cara Allah memotivasikan penolong agamanya supaya nekad menentang penguasa kuku besi yang memiliki segala kekuatan iblis.

Ya, memang mereka mampu lakukan apa sahaja. Tetapi jika kita tidak takut dengan mereka, apa yang mereka mampu buat? Inilah bagaimana kuasa-kuasa kuku besi dunia runtuh menyembah bumi apabila ‘kuasa nekad’ telah menguasai rakyat.

Oleh itu Nabi SAW telah menyatakan nekad merupakan satu-satunya jalan menumbangkan kuasa kuku besi dengan sabdanya (bermaksud), “Jadilah seperti pengikut setia Nabi Isa. Walaupun mereka tubuh mereka digergaji, walaupun tubuh mereka dipaku dengan kayu. Mati dalam ketaatan Allah lebih mulia dari hidup melawan Allah.” - Riwayat Tabarani.

http://blog.tarbawi.my

Tiada ulasan: