Jumaat, 22 Mac 2013

TAK BOLEH AMBIK SEBAHAGIAN KEMUDIAN TOLAK SEBAHAGIAN...NI MENGAJI TAK ABIS...NI KES NAYA

Program Deklarasi Pendidik Se-Malaysia di Shah Alam esok

Harakahdaily, 22 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor dibawah Jawatankuasa Tetap Pendidika, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor akan menganjurkan Majlis Hi-Tea dan Deklarasi Pendidik Se-Malaysia.

Program bertemakan Bangkit Pendidik Memartabatkan Pendidikan  itu akan diadakan di Hotel De Palma Inn, Shah Alam esok bermula jam 2 hingga 5 petang.

Program ini adalah anjuran bersama dengan Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) dan Majlis Pemuafakatan Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS).

"Kita mengalukan penyertaan dari semua pihak termasuk mahasiswa, wakil-wakil parti politik dan juga NGO yang memperjuangkan profesionalisma perguruan," kata Presiden Pendidik Normala Sudirman kepada Harakahdaily.

Program ini dijangka dirasmikan oleh EXCO Pendidikan Kerajaan Selangor Dr. Halimah Ali.

PAS tolak alasan SPR kempen 21 hari membazir

Anis Nazri , 22 Mac 2013
KUALA LUMPUR: PAS menolak pandangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak membenarkan tempoh kempen 21 hari atas alasan membazir.

Sebaliknya, SPR perlu sedaya-upaya mengendalikan pilihan raya yang adil untuk memberi peluang kepada semua parti yang bertanding untuk berkempen.

Lebih-lebih lagi, dalam suasana media perdana yang tidak bersedia memberikan akses kepada Pakatan Rakyat untuk menerangkan perjuangan parti tersebut.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr. Hatta Ramli, berkata jika calon-calon daripada Pakatan Rakyat diberikan akses sama seperti calon Barisan Nasional, pihaknya bersedia untuk bersetuju dengan tempoh kempen yang diamalkan sekarang.

"Masalahnya, akses media hanya meliputi calon BN.  Sama ada tv, surat khabar mahupun radio.  Perdebatan terbuka secara langsung tidak pernah ada. Jadi, kami tiada pilihan melainkan terpaksa menjelajah seluruh negara, yang sudah pasti memerlukan tempoh yang panjang," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, jika calon BN menjelajah negara dan kemudiannya disiarkan di televisyen, seluruh rakyat Malaysia dapat melihatnya berbanding calon Pakatan yang tidak diketengahkan kepada umum.

Mengulas lanjut tentang alasan SPR bahawa kecanggihan teknologi sudah mencukupi untuk berkempen, Dr. Hatta  berkata ia masih belum memadai memandangkan capaiannya yang tidak menyeluruh, khususnya di kawasan luar bandar.

Justeru, beliau mengharapkan SPR untuk mempertimbangkan semula tuntutan Pakatan Rakyat untuk tempoh kempen 21 hari.

"Bagaimanapun, Pakatan Rakyat sentiasa dalam siap-siaga bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, jika tempoh kempen 11 hari dikekalkan SPR," kata Dr. Hatta.

Kajian: Orang muda bakal penentu PRU 13

Harakahdaily, 22 Mac 2013
PETALING JAYA: Pengundi pertama kali dan pengundi muda dijangka akan menjadi pengundi penentu dalam pilihan raya ke 13 apabila jumlah mereka 24.6 peratus dari semua pengundi.

Angka ini adalah paling tinggi dalam sejarah pilihan raya di negara ini, kata Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Sufian (gambar kanan) dalam satu seminar dekat sini semalam.

Menurut Ibrahim, pengundi muda pula dianggarkan 25 peratus dari jumlah pengundi yang berdaftar sehingga bulan Disember 2012.

Pengundi di bawah 30 tahun dalam daftar kali ini adalah 27 peratus dan dibawah 40 tahun adalah 52 peratus.

Profesor Dr Ridhuan Othman (gambar bawah) pula dalam kajian Pusat kajian Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) berkata, 21 peratus pengundi di negara ini belum membuat keputusan siapa yang akan mereka pilih dalam pilihan raya ini nanti.

Dari 21 peratus itu pula, 53 peratus adalah berbangsa Cina dan 37 peratus Melayu.

Dari segi umur pula, 51 peratus dari mereka adalah berumur 21 - 30 tahun manakala dari segi pendidikan pula, 49 peratus dari mereka adalah pemegang ijazah.

48 peratus dari mereka yang belum membuat keputusan ini adalah pengundi pertama kali, kata Ridhuan yang menjadi penal dalam seminar itu.

Data ini diperolehi berdasarkan kajian UMCEDEL dua bulan lalu (Januari) melalui kajian bersemuka dengan 1,409 respondan, beritahu Ridhuan.

Tubuh RCI siasat skandal Ketua Menteri Sarawak

Harakahdaily, 22 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Perdana Menteri menubuhkan suatu Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan rasuah di Sarawak oleh Ketua Menteri dan ahli keluarga beliau.


Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, ini ekoran pendedahan video bertajuk 'Inside Malaysia's Shadow State' yang dihasilkan oleh sebuah NGO antarabangsa, Global Witness mengenai skandal balak di negeri Sarawak baru-baru ini,”.

“Pendedahan ini pastinya menggemparkan negara kerana ia menggambarkan magaimana modus operandi yang dilakukan secara terancang oleh keluarga pemimpin kerajaan di negeri tersebut menggunakan mekanisme tertentu bagi menghalalkan kegiatan mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, ujarnya DPPM merasa terkejut bagaimana kumpulan aktivis tersebut boleh menghasilkan dokumentari berdasarkan hasil penyamaran dan pengintipan mereka terhadap kegiatan keluarga Ketua Menteri Sarawak.

Ini, kata beliau menandakan masyarakat antarabangsa juga sudah lama memerhati terhadap penyelewengan dan salah laku pemimpin negara, khususnya KM Sarawak.

“Bayangkan sekiranya video ini tidak didedahkan untuk tatapan umum, dimanakah rakyat akan mengetahui kebenaran di sebalik penyelewengan ini?” ujarnya lagi.

Beliau menambah, rakyat yang menonton video ini pastinya merasa malu, marah dan terkejut melihat bagaimana pemimpin sebuah kerajaan menyelahgunakan kuasa dan kekayaan yang mereka miliki untuk kepentingan diri dan keluarga mereka.

Justeru, beliau bertanya di mana hendak diletakkan air muka tatkala masyarakat dunia menonton skandal yang tidak bermaruah ini yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpn negara.

Justeru, rakyat tidak lagi boleh menutup mata melihat segala penyelewengan yang berlaku.

Katanya, dalam keadaan rakyat di Sarawak hidup dalam serba kedhaifan, miskin dan melarat, pemimpinnya pula bermewah dengan kekayaan yang melampau.

Bahkan, ujarnya harta kekayaan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat hanya diagih-agihkan antara sanak saudara dan keluarga mereka sahaja.

“Beginilah sikap yang dipamerkan oleh pemimpin parti pemerintah yang telah memerintah negara ini berpuluh tahun lamanya.

“Pendedahan ini membuktikan bahawa kerajaan BN sekarang terlalu parah. Amalan rasuah, korupsi, kronisme serta penyelewengan kuasa untuk kepentingan peribadi telah menjadi budaya dan membarah dalam pemimpin-pemimpin negara,” ujarnya lagi.

Tambahnya, rakyat perlu meletakkan noktah terakhir kepada BN pada PRU13 tanpa ragu lagi.

“Menafikan kekuasaan BN untuk terus memerintah bererti menyelamatkan negara dari dipimpin oleh pemimpin yang korup dan tidak amanah,” katanya.

Tidak boleh ambil Islam sebahagian dan tolak sebahagian

Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, 21 Mac 2013
Lengkap dan menyeluruhnya ajaran Islam adalah kerana ia merangkum aspek rohani, akidah dan wacana kehidupan lain yang pelbagai dan rencam.

Aspek teologinya dicerakinkan oleh Syeikh Abu Zahrah, Dr Abdullah Darraz, Syeikh Abd Rahman Hassan al-Habanakah, Abu al-A’la al-Maududi, Said Hawwa, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dan lain-lain lagi.

Dari sudut ibadah pula metodologinya telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Syeikh Abdul Karim Zaidan, Syeikh Mohammad al Ghazali, Syeikh Hasan Ayub, Dr Wahbah al-Zuhaili, Syeikh Sayyid Sabiq dan lain-lain lagi.

Dari sudut pendidikan nama-nama besar seperti Dr Omar al-Toumi al-Syaibani, Dr Majid 'Irsan al-Kailani, Dr Miqdad Yalchin, Dr Adnan Hasan Saleh.

Dari sudut politik Dr Abd Salim al-Awwa, Dr Azam Tamimi, Dr Othman Abdul Mu’iz Raslan, Dr Abdul Aziz al Khayyat.

Dari sudut ekonomi buku-buku karangan Baqir al-Sadr (al Marhum), Dr Ref’at Sayyid al-'Iwadhi, Dr Hussin Shehata dan lain-lain.

Dari sudut psikologi Dr Hasan Langgulung, Dr Hasan al Syarqawi dan lain-lain.

Mana kala dari sudut harakah dan gerakan Islam dihuraikan oleh Imam Hassan al Banna, Syed Qutub, Syeikh Omar al-Telmesani, Fathi Yakan, dan lain-lain lagi.

Pendek kata terdapat deretan nama-nama besar dalam setiap bidang ilmu yang mencerakinkan perspektif Islam dalam berbagai bidang hidup. Usaha menggarap dan meneroka konsep yang lebih terperinci ini akan berterusan hingga hari kiamat selaras dengan pesanan Rasulullah bahawa; "Agama Islam ini sangat utuh dan kukuh dan terokalah untuk mendalami ajarannya secara perlahan-lahan, lemah lembut dan bijaksana."

Program penghayatan Islam kaffah adalah demi mengenengahkan sudut pandangan Islam dalam berbagai bidang untuk difahami, digarap dan dihayati oleh berbagai-bagai kalangan umat berdasarkan posisi dan peranan mereka dalam masyarakat.

Asas Penghayatan Islam Secara Kaffah

Dalil pokok dalam hal ini ialah firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan; sesungguhnya Syaitan memang  musuh kamu yang nyata." (Surah al- Baqarah : ayat 208)


Kehidupan yang rencam di samping pergaulan yang luas dengan manusia daripada pelbagai agama, budaya dan warna kulit telah menyebabkan terdapat umat Islam yang lemah keyakinan serta iltizam mereka kepada agama ini sehingga bertindak memusuhinya secara sedar atau tidak sedar. Walaupun wacana dan ungkapan lahir mereka menegaskan tentang keislaman mereka, malah mereka bersumpah untuk meyakinkan tentang keimanan mereka kepada orang Islam namun mereka disisi Allah tetap dianggap musuh. Inilah yang ditegaskan oleh ayat 208 dalam surah berkenaan.

Golongan ini apabila memegang tampuk kuasa mereka merosakkan asas-asas kehidupan beragama yang mantap sebelumnya dengan niat untuk melemahkan komitmen umat kepada Islam. Bahkan polisi dan arah pentadbiran yang merosak ini sampai merosakkan juga alam, tanaman dan persekitaran dalam jangka panjang. Ini digadai kerana tujuan mendapatkan keuntungan yang segera para kroni dan kaum kerabat.

Golongan berkenaan tidak boleh ditegur atau dinasihati. Mereka berterusan melakukan penyimpangan dan kezaliman. Tegur nasihat dihadapi dengan tindakan agresif menindas rakyat dan sebagainya. Mereka merasa serba betul dan pandai. Mereka tidak dapat dipulihkan lagi. Hati mereka tertutup rapat kerana lumuran noda dan dosa perbuatan mereka.

Bertentangan dengan golongan ini terdapat pula dalam masyarakat kumpulan yang bersedia berkorban untuk kepentingan agama dan masyarakat. Golongan ini perlu dibantu dan diperkasa demi kebaikan umat dan negara. Mereka adalah golongan yang istiqamah berpegang teguh dengan Islam yang bersifat menyeluruh.

Melaksanakan Gerak Kerja Penghayatan Islam Syumul

Gerak kerja ini bertemakan kepada firman Allah yang bermaksud:

"Berpegang teguhlah kalian dengan agama Allah. Jangan berpecah belah. Ingati nikmat Allah. Sebelum ini kalau bermusuhan namun Allah bibitkan rasa kasih dalam hati dan tautkan kemesraan sesama kamu sehingga kamu bersaudara. Sebelum ini kamu ditubir neraka tapi Allah selamatkan kamu daripadanya. Demikianlah penjelasan Allah kepada kamu tentang bukti kebenaran agama-Nya, semoga kamu mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-Imran : ayat 103)

Seruan berpegang teguh kepada agama yang padu ini adalah kerana mengelakkan terungkainya perasaan kasih sayang dan timbul krisis pertelingkahan sesama umat kerana penyimpangan dan keingkaran kepada ajaran agama ini. Sebab itu Allah mengingatkan tentang bencana hukuman dan bala Allah kepada para pendusta dan pengabai agama Allah dalam berbagai peringkat sejarah.

Allah mengingatkan dalam al-Quran bermaksud:

"Tetapi jika kamu menyimpang, sesudah datang bukti-bukti yang nyata kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana (untuk bertindak ke-atas kamu)." (Surah al-Baqarah : ayat 209)


Ayat seterusnya menjelaskan bahawa para penyeleweng yang tegar itu hanya mahu menunggu datangnya azab Allah, nasib (malang) mereka sudahpun Allah putuskan dengan tuntas. Memang segala urusan terpulang kepada Allah menentukannya.

Contoh nyata penyimpangan ini ialah kaum Bani Israel. Mereka telah mendapat rahmat kedudukan,  kurnia yang sangat baik dan banyak daripada Allah. Tetapi mereka tidak bersyukur. Malah mereka tukar sifat bersyukur yang sepatutnya dengan sifat kufur kepada rahmat Allah. Iaitu nikmat agama yang telah diturunkan oleh Allah kepada mereka. Mereka mengikut fahaman dan ajaran yang membawa mereka kepada kejahatan dan penentangan terhadap nilai, hukum dan undang-undang Allah. Justeru mereka digodam oleh Allah dengan bala bencana dan berbagai jenis wabak penyakit.

Segala bencana dan petaka di dunia ini ada kaitannya dengan penderhakaan dan maksiat kepada Allah. Sebab itu manusia perlu segera bertaubat kepada Allah. Mereka mesti kembali ke hadhrat-Nya demi mematuhi semua titah perintah yang tidak boleh diderhakai. Allah menegaskan dalam al-Quran, bermaksud:

"Apa jua kebaikan yang kamu dapati maka itu adalah daripada rahmat Allah. Sebaliknya apa jua keburukan yang menimpa kamu maka sumbernya adalah daripada diri kamu sendiri. Manakala engkau pula (wahai Muhammad) Kami lantik menjadi Rasul. Cukuplah Allah sebagai saksi (kerasulanmu)." (Surah al-Nisa’ : ayat 79)


Allah menegaskan tentang keperluan berjihad melawan penderhakaan kepada Allah serta kemungkaran. Umat mesti diajak turut serta untuk mencegah kejahatan, keingkaran kepada perintah Allah. Mereka mesti diingatkan bahawa mereka tidak mungkin masuk syurga tanpa usaha dan jihad melawan kejahatan dan kezaliman. Mereka mesti bersedia menanggung kegetiran hidup dan pedih perit perjuangan kerana Allah. Mereka wajar menggembeleng tenaga dalam suatu atau pelbagai gerakan yang menumpaskan kebatilan. Tanpa penggembelengan usaha ke arah itu mereka sukar untuk masuk syurga Allah Taala.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepada kamu ujian seperti yang dialami oleh orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digegarkan dengan berbagai-bagai cubaan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya tertanya-tanya; Bilakah akan datang pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir jua." (Surah al-Baqarah : ayat 214)


Kesimpulan yang dapat diraih dalam menyorot ulasan tajuk ini ialah;

Umat Islam wajib menerima pakai seluruh ajaran syariat Islam. Haram meninggalkannya atau memilih-milih sebahagian dan menolak sebahagian yang lain. Penerimaaan secara “kaffah” dan “syumul” ini suatu kemestian.

Orang yang menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang diwajibkan oleh Allah adalah para pengikut syaitan dalam hal itu.

Kita wajib mengandaikan hampir turunnya bala dan hukuman Allah apabila berleluasa kejahatan, maksiat dan dosa-dosa besar dalam masyarakat. Kita tidak boleh menjadi orang yang lalai dan sentiasa merasa selamat tanpa bersungguh-sungguh berusaha mencegah maksiat dan kezaliman. Kita tidak boleh merasa selamat daripada bala Allah kalau lalai bertindak.

Allah tetap akan berperanan di dunia dan di akhirat menangani permasalahan manusia. Allah akan menyelesaikan pertelingkahan mereka secara tuntas pada hari kiamat kelak.

Haram menunda dan melengah-lengahkan taubat dan menangguhkan kepulangan kepada jalan kebenaran setelah nyata dan jelas kebatilan faham kufur dan kebenaran jalan Islam.

http://www.tarbawi.my

Isteri vs teman wanita: mana yang hebat?

Dr Juanda Jaya , 20 Mac 2013
Jika sedang tertekan, Zaini pulang dengan membawa muka tak sedap, anak-anak dan isterinya merasakan perubahan itu. Semuanya serba tak kena, jemu melihat keadaan di rumah. Kalau isterinya membuat suatu kesalahan mulalah ia bandingkan isterinya itu dengan kawan-kawan wanita di pejabatnya. “Awak ni tak tahu nak layan suami, asyik-asyik susahkan saya, tengok tu si Fauziyah anak lima orang, kerja sampai petang suami selalu tak ada di rumah, semua dia yang uruskan tak bising pun mulutnya merepek macam awak ni. Dahlah tak kerja, kerja habiskan duit suami adalah!”

Siti faham dengan perangai suaminya itu, siapalah dia dibandingkan kawan-kawan wanita di pejabat suaminya yang hebat-hebat belaka. Adakalanya dalam bergaya pun suami akan suruh dia ikut gaya kawan wanitanya. “Cuba awak pakai cermin mata, mesti lebih cantik.” Siti tahu Zaleha, staff suaminya pakai cermin mata nampak cantik. Atau jika dia balik tugasan luar daerah terkeluar juga cerita: “Abang tengok awek cantik pakai tudung fesyen baru, Siti tak mahu cuba?”

Perangai suami yang suka membanding-bandingkan keadaan isterinya dengan wanita lain sungguh tidak logik. Mengapa dia pilih wanita itu sebagai isterinya kemudian asyik fikir kesempurnaan wanita lain? Tetapi isteri pun tidak boleh menyalahkan suami seratus peratus, adakalanya suami mahu isteri berubah ke arah yang lebih baik dari yang dulu. Apa salahnya jika demi kebahagiaan rumah tangga? Tetapi cara dan teknik menyuruh isteri berubah kadang-kadang tidak berhikmah perasaan langsung, main hentam dan langgar saja. Tak kira hati dan perasaan isteri yang terluka, akhirnya terjadilah konflik yang makin teruk.

Kadang-kadang kritikan lebih sering kedengaran di telinga isteri berbanding pujian. Ramai suami yang tidak biasa memuji isterinya. Takut isteri naik atas kepala, minta macam-macam dan tak sedar diri, kononnya kalau dah kena puji melambung susah nak terima celaan. Mengapa kalau dengan teman wanita boleh memuji, cakap pun bukan main mesra, berhati-hati melayan mereka, takut mereka merajuk, kecil hati, silap faham. Oh, bukan main pandai menjaga hati kawan, isteri sendiri tak payah jaga dia mesti faham kehendak saya! Begitulah persepsi suami yang berat sebelah.

Sesungguhnya pujian merupakan alat perangsang yang paling efektif untuk berubah ke arah yang lebih baik. Walaupun tidak dinafikan isteri perlu dikritik apabila buat salah, jika bahasa yang anda gunakan terbit dari hati yang ikhlas, Insya-Allah Tuhan akan tolong sampaikan terus ke hati isteri anda. Tetapi apabila anda merepek tak tentu pasal, sebut semua nama awek yang hebat-hebat berprestasi, cuba bandingkan kelebihan orang dengan kekurangan isteri, minta maaflah…semua perempuan tidak akan sudi dirinya dihina sebegitu.

Isteri bukan malaikat, dia manusia biasa yang boleh merasa sakit, terluka dan putus asa. Tidak selamanya dia baik, hebat dan sempurna di mata anda, jika dia mengalami perubahan yang bagi anda adalah kelemahan dan aib sudah menjadi kewajipan anda menasihati dengan cara yang berhikmah. Semasa anda menasihati isteri, anda mesti melihat pada diri sendiri. Anda pun bukanlah sempurna sangat, kalau isteri mahu tunjukkan kelemahan anda pasti banyak lagi aib dan cela anda. Masalahnya bukan mahu mencari siapa lemah siapa hebat, tapi jangan saling melukai perasaan jika mahu berubah!

Mengapa suka memuji kawan wanita dan kedekut memuji isteri? Yang anda lihat pada diri wanita di luar sana hanya zahirnya saja, sedangkan isteri, anda kenal luar dalam seratus peratus. Tidak adil meletakkan kesempurnaan pada orang yang tidak anda kenal sedangkan isteri asyik diberi ’markah C’. Ingatlah, hanya isteri anda yang sanggup tumpahkan darahnya untuk melahirkan anak-anak anda. Kadang-kadang dia membuang hati dan perasaannya semata-mata mengalah demi kemahuan suami yang tidak sekepala dan sehati dengannya.

Memang tidak dinafikan kadang-kadang isteri pun bermasalah. Suka merajuk, mengongkong, cemburu tidak tentu pasal, tidak disiplin menguruskan rumah tangga. Semua itu bukan bermakna dia manusia tidak berguna yang tidak boleh berubah. Peranan suami sebagai pemimpin yang adil, penuh kasih sayang, sabar dan berilmulah yang diperlukan disamping isteri yang bermasalah ini, bukan suami yang menyimpan masalah juga dalam keperibadiannya. Kadang-kadang suami suruh isteri berdisiplin, tetapi suami sendiri tidak memberi contoh disiplin yang baik, suruh isteri berjimat tapi suami suka hati guna duit.

Tidak adil meletakkan kesalahan seratus peratus pada isteri, mesti ada kelemahan suami yang menyebabkan isteri pun terjerumus dalam kesalahan. Begitu pula sebaliknya jika suami bermasalah isteri juga mesti merasa dialah salah satu puncanya. Kita tidak boleh menafikan setiap pasangan saling mempengaruhi satu sama lain. Tidak kira pengaruh itu positif atau negatif. Tak payah nak mencari siapa yang paling baik, atas nama cinta dan kasih sayang ubahlah komunikasi verbal anda. Kadang-kadang satu kalimah yang anda lafazkan begitu bermakna bagi pasangan anda dengan kalimah itu dia boleh berubah, bersemangat, gembira, bangga di sisi anda dan yang paling penting semakin mencintai anda. Tetapi ada kalanya dengan disengaja ataupun tidak satu lafaz boleh membuat pasangan anda berfikiran negatif, cemburu, pesimistik, murung dan rendah diri berada di samping anda.

http://drjuanda.com/

SPM: 73 pelajar Maahad Perempuan cemerlang

Salmah Mat Husain | Foto Rizal Tahir, 22 Mac 2013


KOTA BHARU: Maahad Muhammadi Perempuan mencipta rekod baru apabila seorang pelajarnya mendapat 11A+ dalam sejarah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumum semalam.

Nurul Ain Afifah Shaharuddin mengejutkan sekolah dan keluarga apabila muncul pelajar terbaik Maahad Muhammadi Perempuan.

Manakala pelajar yang memperolehi 11A juga meningkat kepada 31 orang berbanding 23 pelajar tahun 2011. Begitu juga pencapaian 10A meningkat kepada 22 calon berbanding 13 orang sebelumnya.

Pengetuanya, Mansur Daud berkata, sekolah tersebut mengekalkan pencapaian 100 peratus sejak 2009.

“Seramai 73 pelajar yang cemerlang dengan mendapat 9A ke atas pada SPM tahun lepas. Mereka pastinya layak menerima insentif kerajaan negeri sebanyak RM500 seorang.

“Seramai 412 calon menduduki SPM tahun lepas di Maahad Muhammadi Perempuan,” katanya pada majlis pengumuman keputusan SPM 2012 semalam.

Berucap pada majlis itu beliau berharap pelajar lepasan SPM yang tidak berhasrat menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun ini dapat mencipta nama baik sekolah ketika belajar di universiti nanti.

Mansor juga berkata, Maahad Muhammadi Perempuan mencatat keputusan terbaik peringkat negeri dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama dan STAM tahun lalu.

Manakala bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah menduduki tempat kedua.

Bagaimana pengganas Sulu jadi pegawai kerajaan?

Harakahdaily, 22 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Persoalan yang lebih besar perlu dijawab, bagaimana seorang warga asing boleh dengan begitu mudah diberi kad pengenalan dan akhirnya diberi pula hak mengundi.

Demikian dinyatakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

“Apa keistimewaan Azzimudie sehingga beliau diberi layanan istimewa menjadi hak warganegara malah dibenarkan berkhidmat dengan pegawai kerajaan?” tanya beliau kepada Harakahdaily.

Kenyataan penuh beliau sebagaimana di bawah.

Di sebalik krisis pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, di mana aspek keselamatan dan kedaulatan negara menjadi perhatian utama, timbul pula isu identiti Agbimudin @ Azzimudie Kiram, ketua pengganas Sulu serta adik ‘Sultan Sulu’ Jamalul Kiram yang sebenarnya pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah (ADO) di Kudat, Sabah sekitar tahun 1970-an.

Pendedahan terbaru itu pastinya mengheret satu lagi lembaran baru dalam kes penyiasatan ini. Bagaimana seorang pengganas yang menceroboh masuk ke negara ini adalah bekas seorang pegawai kerajaan di negara ini.

Bukankah ia bermakna Azzimudie Kiram juga memiliki kad pengenalan Malaysia?

Persoalan yang lebih besar perlu dijawab, bagaimana seorang warga asing boleh dengan begitu mudah diberi kad pengenalan dan akhirnya diberi pula hak mengundi?

Apa keistimewaan Azzimudie sehingga beliau diberi layanan istimewa menjadi hak warganegara malah dibenarkan berkhidmat dengan pegawai kerajaan?

Pendedahan Rafizi Ramli mengimbau kembali pendedahan beberapa orang bekas kerajaan termasuk bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat skandal pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah sekitar tahun 1980-an dahulu.

Dilaporkan sejumlah berpuluh ribu kad pengenalan diproses dan diserahkan kepada waga asing, yang tujuannya adalah bagi memastikan mereka mendapat kerakyatan dan seterusnya mengundi dalam pilihanraya.

Isu ini akhirnya menjadi senjata makan tuan, apabila pengganas tiba-tiba mendarat di Lahad Datu dan menuntut Sabah kepada mereka.

Siapakah yang harus dipersalahkan tatkala melihat beberapa orang tentera Malaysia gugur syahid di medan perang

Papagomo pengundi hantu, daftar di 2 lokaliti

Harakahdaily, 22 Mac 2013

(Penyata SPR tentang tempat mengundi Papagomo sebagai anggota polis)

PETALING JAYA: PKR mendakwa, pengendali blog Papagomo, Wan Muhammad Azri Wan Deris adalah  bekas anggota polis trafik berpangkat koperal yang kini bakal mengundi di dua tempat, sebagai anggota polis dan pengundi awam.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa, Wan Muhammad Azri tersenarai sebagai pengundi pos di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

Papagomo juga, katanya, turut tersenarai sebagai pengundi biasa dengan menggunakan kad pengenalan 830121-03-5019.

"Dengan menggunakan kad pengenalan itu, Papagomo disenaraikan sebagai pengundi di Parlimen Wangsa Maju," dakwa Rafizi.

Papagomo yang lebih dikenali sebagai blogger seks Umno sebelum ini didedahkan sebagai bekas pesalah rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didapati bersalah meminta suapan dari orang awam.

Semakan PKR mengesahkan nombor pengenalan polis Papagomo yang bernombor RF142863.

Dengan nombor tersebut, pasukan KEADILAN telah menyemak pula rekod Papagomo dengan sistem semakan daftar undi SPR.

Hasil semakan sangatlah mengejutkan kerana Papagomo yang telah pun tidak lagi berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia kerana kesalahan rasuah masih lagi tersenarai sebagai pengundi pos di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

Oleh kerana tarikh lahir yang berbeza digunakan di dalam sistem semakan daftar undi SPR, pasukan PKR kemudiannya menyemak pula alamat-alamat yang pernah digunakan oleh Papagomo dalam dokumen-dokumen rasmi.

"Saya mengesahkan bahawa kami ada dokumen yang membuktikan bahawa Papagomo memang menggunakan dua alamat yang berbeza secara seiringan di dalam dokumen-dokumen rasmi bersabit peguam dan mahkamat seperti berikut:

Alamat Pertama dalam Parlimen Wangsa Maju yang kini didiami:

F-1-9, Villa Danau Apartment, Jalan 5/23E, Taman Danau Kota, 53300 Kuala Lumpur


Alamat Kedua dalam Parlimen Ampang:

SD6, Jalan Nilam, Taman Bukit Ampang, Ampang, Selangor.


"Penemuan ini membuktikan bahawa pengundi hantu memang wujud di dalam daftar pengundi apabila Papagomo dibenarkan mengundi dua kali," kata Rafizi.

Kehadiran pengundi-pengundi hantu seperti Papagomo ini perlu dijawab sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana rakyat mahu tahu berapa ramai lagi petugas Umno seperti Papagomo yang mempunyai pendaftaran berganda di dalam daftar pemilih, tegas Rafizi.

"Saya juga menyeru rakyat Malaysia supaya menolak individu yang bankrap moral dan akhlak seperti Papagomo yang bukan sahaja seorang penerima rasuah, tetapi menjadi penyebar fitnah utama di dalam masyarakat kita.

"Rakyat Malaysia juga perlu menolak budaya Umno yang mendokong dan menggunakan individu seperti Papagomo untuk menyebarkan fitnah terhadap musuh politik kerana Umno tidak berani berdepan dalam isu rakyat seperti ekonomi, pendidikan, keselamatan dan lain-lain.

"Sekiranya SPR tidak menjawab pertuduhan ini, ia hanya menguatkan persepsi masyarakat bahawa SPR sedang bertungkus lumus cuba memastikan kemenangan Umno/BN melalui daftar undi yang tidak bersih," tambah beliau.

Tiada ulasan: