Rabu, 13 Mac 2013

RAKYAT TAHU MANA PARTI YANG BERGUNA DAN MANA YANG TAK BERGUNA SERTA TAK BOLEH DIHARAP

Lahad Datu: Korban terbaru, PAS ucap takziah

Harakahdaily, 12 Mac 2013
KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, yang menjadi korban terbaru dalam misi menghapuskan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS mendoakan Allahyarham memperoleh ganjaran setimpal dari Allah atas tugas mulia mempertahankan negara.

"Saya merakamkan takziah kepada keluarga seorang tentera Malaysia yang menjadi korban terbaru di Sabah dalam insiden tembak menembak pagi tadi.

"Saya dimaklumkan Allahyarham berasal dari Kelantan dan jenazahnya akan tiba pagi esok di Pengkalan Chepa.

"Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran yang besar kepada Allahyarham yg terkorban mempertahankan kedaulatan negara," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan melalui Facebook petang ini.

Seorang lagi wira Malaysia terkorban di Lahad Datu. Takziah buat keluarga Prebet Mohd Hurairah dari Kelantan yang bertugas di Kem Kukusan Tawau, Sabah. Moga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang beriman.

Dalam insiden pagi tadi, Mohd Hurairah yang berasal dari Kelantan dan bertugas di Kem Kukusan Tawau, Sabah terkorban ketika bertempur dengan penceroboh di Sungai Nyamuk, dekat Tanjung Batu di sini.

Dalam pertempuran itu juga, tiga orang penceroboh turut ditembak mati oleh pasukan keselamatan Malaysia.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan itu berlaku pada 10.45 pagi.

Zulkifeli berkata, pasukan keselamatan diserang hendap oleh kumpulan pengganas pada 7.45 pagi dan selepas itu mereka melarikan diri sebelum dijejaki pasukan keselamatan dan berlaku pertempuran.

Korban terbaru hari ini menjadikan jumlah keseluruhan anggota keselamatan yang terkorban seramai sembilan orang dipihak penceroboh seramai 57 orang.

Allahyarham Prebet Mohd Hurairah merupakan anggota tentera pertama yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah.

Tuduhan kepada Anwar terungkai satu-satu

Subky Latif, 12 Mac 2013
Dengan bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim membuat kenyataan memihak kepada Anwar Ibrahim, ia tambah meringankan beban yang  dihadapi oleh ketua pembangkang berhubung dakwaan liwat olehnya.

Dalam kemunculannya di khalayak umum tidak yakin anaknya tidak diapa-apakan oleh Anwar. Dalam kemunculan pertamanya dia minta maaf kepada Anwar dan menyeru rakyat menyokong Pakatan Rakyat. Dalam kemunculan keduanya, dia menyertai PKR.

Dia bukan seorang saksi dalam kes melibatkan anaknya, maka tindakannya tidak mengganggu kes yang sedang dirayu itu. Tetapi beban Anwar dapat diringankan sementara menunggu keputusan rayuan itu.

Walau  apa pun beban yang dihadapi Anwar, mengikut pegangan undang-undang di negara kita, Anwar sebagai seorang yang dituduh tidak dikira bersalah selagi mahkamah tidak membuktikannya bersalah.

Adalah benar Anwar telah dipenjara selama enam tahun, tetapi dalam kedua-dua tuduhan liwatnya dia dibebaskan oleh mahkamah. Yang orang fikir  tentang Anwar tentulah bermacam-macam tetapi dalam kes liwatnya yang pertama, dia  dibebaskan. Ini bererti telah terungkai bebannya itu. Dari sudut undang-undang dia orang yang merdeka.

Dalam liwat kedua, apabila dia dibebaskan oleh mahkamah, ertinya orang yang mahkamah belum buktikan bersalah. Ertinya dia orang belum bersalah. Yang sangkut dalam perkara ini ialah keputusan itu sedang dirayu. Apakah dia bersalah atau tidak, tunggulah keputusan rayuan itu. Selagi  rayuan itu tidak membuktikan dia bersalah, dia adalah orang merdeka.

Lain-lain beban seperti video klip yang diketengahkan oleh kumpulan tiga Dato T, selain daripada imej ketiga-tiganya tidak dillihat bersih oleh umum, maka ia tidak dimahkamahkan. Walaupun ia tidak benar-benar mati, tetapi ia tidak pula betul-betul hidup.

Kembalinya penyiasat bersendirian Balasubramaniam ke dalam negeri, membuat pengakuan kepada umum betapa kenyataan bersumpahnya adalah betul dan yang kedua adalah tidak betul, telah menambah segarkan semangat Anwar walaupun ia tiada kait dengan masalah dirinya. Demikian juga kemunculan Deepak.

Kedua-dua Balasubramaniam dan Deepak tidak bersangkut dengan  Anwar, tetapi dalam suasana tertekan oleh satu kuasa atau pengaruh yang membelenggunya, apa juga yang boleh mengganggu kuasa itu akan meringan beban yang menimpa Anwar.

Deepak dan Bala adalah beban buat Perdana Menteri Najib. Najib adalah belenggu yang dihadapi Anwar. Apa-apa jua yang membebankan Najib, maka ia meringankan masalah Anwar.

Paling akhir adalah kemunculan  Azlan, bapa Saiful Bukhari. Secara langsung ia menambahberatkan belenggu yang dihadapi Najib. Bukan saja Azlan menerima kesan semangat daripada tindakan Azlan yang ditujukan langsung kepadanya, Azlan pula tampil menyokong Anwar.

Nampaknya satu demi satu beban yang menimpa Anwar terungkai. Selama sekitar 15 tahun Anwar dilanda yang bukan saja menghinanya, bahkan mengaibkannya. Jika ia satu ujian, terlalu besar ujian yang terpaksa ditanggungnya.

Dia dipercayai bersabar menghadapinya.

Jika Wong Tack menang: Bukan saja kerusi, telinga pun dapat

Harakahdaily, 12 Mac 2013

KUALA LUMPUR: DAP mengumumkan akan meletakkan pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack untuk bertanding di Parlimen Bentong atas tiketnya.

(Wong Tack diumumkan sebagai calon DAP di Bentong hari ini)

"Kami akan berdepan dengan gergasi di Bentong, jadi kita tidak boleh meletakkan sebarangan calon, jadi meletak seluruh organisasi Himpunan Hijau," umum Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang medianya hari ini.

Beliau yakin, jika Pakatan Rakyat menang di Bentong, BN akan jatuh di Putrajaya.

“Jika Pakatan Rakyat boleh menang di Bentong, sudah pasti BN akan jatuh di Putrajaya," kata Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulang Pinang.

Sebelum ini, Wong mengumumkan sedia untuk bertanding atas tiket Pakatan Rakyat di Parlimen Bentong.

Jika BN kalah di Bentong, BN bukan sahaja bakal kehilangan Bentong dan Putrajaya, bahkan Pengerusi BN Pahang bakal kehilangan telinga.

Ini kerana, Datuk Seri Adnan Yaakub sebelum ini pernah berkata, jika BN kalah di Bentong, "Potong telinga saya."

Namun selepas itu beliau menjelaskan ia hanya gurauan dan analogi sahaja tentang betapa kuatnya BN di Bentong, tempat beliau bertanding.

Wong dalam sidang media hari ini berkata, dia akan mempastikan kilang Lynas di Kuantan akan ditutup jika dia menang di Bentong.

Bagaimanapun, beliau menambah, jika kilang milik syarikat Austaralia itu berjaya memenuhi segala prosedur dan syarat, barulah ia akan dibenarkan beroperasi.

Syarat ini juga telah dinyatakan oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Lagi saman dikemukakan kepada Utusan

Harakahdaily, 12 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Che'GuBard atau nama penuhnya Badrul Hisham Shaharin telah menghantar notis saman kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau menuntut gantirugi berbentuk pampasan dari Utusan Malaysia dengan menuntut bayaran RM5 juta di atas fitnah yang telah dilemparkan.

Notis itu telah dikeluarkan oleh syarikat guaman Sazali & Lim dan dihantar ke pejabat Utusan di Cheras pada jam 3 petang tadi.

Notis tersebut juga telah diakui penerimaannya oleh wakil ketua pengarang Utusan.

Ketika notis ini dihantar, Md Sani Md Shah dan juga Yaser Sheikh Abdul Rahman yang mewakili beliau tidak dibenarkan masuk ke pejabat utusan dan hanya berlegar di luar.

Setelah beberapa kali berbincang dengan pengurusan, akhirnya wakil utusan yang juga dikatakan setiausaha kepada Ketua Pengarang setuju untuk cop dan tandatangan akuan terima.

Utusan Malaysia sebelum ini telah menyiarkan sebuah rencana bertarikh 14.01.2013 di atas tajuk "Medan Perah Duit Rakyat".

Rencana tersebut disiarkan di dalam portal Utusan Online yang boleh diakses di alamat berikut;

http://www.utusan.com.my/utusan/rencana/20130114/re_01/medan-perah-duit-rakyat


Kandungan rencana tersebut khususnya di perenggan ke 13 telah menyebut;

"Apa yang menimbulkan persoalan ialah CheguBard (Badrul Hisham Shaharin) sebelum itu telah membuat pengumuman pada awal majlis bahawa kutipan derma pada malam menjelang Himpunan Shamsidar ialah RM30,000."


Petikan dari rencana seperti di atas bukan sahaja tidak benar, merupakan manipulasi dan putar belit serta terjumlah kepada fitnah jahat kepada Chegubard dan juga SAMM.

Justeru, antara yang gantirugi dan pampasan yang dituntut kepada utusan adalah seperti berikut;

1. Membayar gantirugi dan pampasan sejumlah RM 5,000,000 (Ringgit Malaysia: Lima Juta) sahaja.

2. Permohonan maaf tanpa 'reservation' daripada pihak Utusan dan permohonan maaf ini hendaklah disiar secara bertulis dalam akhbar Utusan Malaysia versi cetak dan juga Utusan Online muka hadapan tiga hari berturut-turut

3. Utusan adalah dilarang dari menulis dan/atau menyiarkan tulisan yang sama yang berbentuk fitnah kepada Chegubard dan SAMM.

4. Rencana tersebut hendaklah ditarik balik dari portal tersebut.

Notis juga menyebut dua penama iaitu Ketua Pengarang Utusan sebagai penama pertama dan juga Mohd Asron Mustapha yang juga penulis rencana sebagai penama kedua

PM baru umum perkara yang sudah lama

Harakahdaily, 12 Mac 2013
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menaikkan taraf pangkat dalam tentera dan polis semalam hanya perkara lama yang baru diumumkan sahaja.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) berkata, perkara ini hanya perkara lama yang baru diumumkan kerana mulai tahun 2010, perkhidmatan polis mensyaratkan ijazah sarjana muda  bagi kemasukan ke pangkat inspektor sedangkan sebelum itu, mereka yang lulus SPM layak untuk menjawat jawatan inspektor.

Husam berkata demikian ketika mengulas pengumuman Najib semalam yang kononnya ia satu perkara baru yang dibuat untuk kepentingan tentera dan polis.

Berikut adalah kenyataan penuh Husam.

Saya merujuk kenyataan PM semalam mengenai perkhidmatan awam, polis dan tentera.

Antara lain, PM mengumumkan "Sementara itu, bagi jawatan Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41 disetarakan dengan gred jawatan 44. Untuk jawatan Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41, diletakkan dengan gred jawatan baru iaitu 46A sementara Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dalam kelompok gred jawatan 48 disetarakan dengan gred 52.".

Seperti dilaporkan oleh Sinar Harian : http://www.sinarharian.com.my/nasional/pangkat-dalam-atm-pdrm-disetara-dengan-perkhidmatan-awam-1.138619

Penjelasan saya: Pada masa lalu, entry point kemasukan graduan ke dalam perkhidmatan tentera dan polis ialah di pangkat Kapten(tentera) dan ASP (polis), jadi mereka ini diberi point kemasukan mata gaji gred 41.

Mulai tahun 2010, perkhidmatan polis mensyaratkan ijazah sarjana muda  bagi kemasukan ke pangkat inspektor. Sebelum ini, kemasukan ke pangkat inspektor hanya perlukan SPM dan latihan di Kuala Kubu Baru sahaja.

(rujuk di sini http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_07.htm)

Kemudian mulai Januari tahun ini, perkhidmatan tentera juga mengubah syarat kemasukan dengan meletakkan ijazah sarjana muda bagi lantikan ke pangkat leftenan muda (yang sebelum ini hanya memerlukan SPM dan latihan di Maktab Tentera Diraja (rujuk http://www.malaysiakini.com/news/220867)

Dengan perubahan ini, secara automatik berarti entry point bagi Leftenan Muda dan Inspektor ialah gred gaji 41, iaitu entry point lazim bagi kemasukan pemegang ijazah ke dalam perkhidmatan awam.   Sehubungan dengan itu, pelarasan yang sama akan berlaku kepada pangkat kapten dan ASP.

Dahulunya pangkat kapten diberi gred gaji 41, dan sekarang oleh kerana gred gaji 41 telah diperuntukkan kepada Leftenan Muda, maka Kapten diberikan gred gaji 44. Pelarasan yang sama dipakai untuk jawatan ASP (Penolong Penguasa Polis).

Oleh yang demikian, secara hakiki sebenarnya pengumuman yang dibuat oleh PM semalam hanyalah pengumuman terhadap sesuatu yang memang telah sedia digunapakai di dalam perkhidmatan polis dan tentera  sejak 2010. Pada hakikatnya tidak ada apa-apa INSENTIF baru yang diperolehi oleh tentera dan polis.


CADANGAN

Saya mencadangkan penjawat tertinggi dalam tentera dan polis juga menikmati gred gaji turus 1,2 dan 3 SPA dinikmati oleh KSN / KPPA dan sebahagian KSU sekarang memandangkan perkhidmatan tentera dan polis diurus oleh dua suruhanjaya tersendiri dan bukannya SPA.

Penjawat tertinggi di bawah ketiga-tiga suruhanjaya sepatutnya layak kepada terma perkhidmatan yang selari.   Saya  sebaliknya  mencadangkan agar perkhidmatan tentera dan polis dikira sebagai perkhidmatan kritikal dan mendapat elaun perkhidmatan kritikal seperti doktor dan sebagainya kerana mereka mendedahkan diri   kepada bahaya  sepanjang masa bertugas.

Bagi menarik lebih banyak graduan yang berkualiti ke dalam perkhidmatan tentera dan polis, sepatutnya skim perkhidmatan graduan tentera dan polis disamakan dengan perkhidmatan PTD. Sementara itu, bagi pegawai-pegawai lain-lain pangkat (Leftenan Muda dan Inspektor ke bawah), mereka juga sepatutnya mendapat kelayakan elaun dan skim perumahan yang sama tarafnya dengan pegawai2 pelaksana di dalam perkhidmatan awam.

Menyanyikan lagu lama untuk tentera dan polis jelas mempermainkan anggota tulang belakang keamanan negara.   Ia juga menunjukkan terputusnya PM dengan isu dan masalah yang dihadapi khususnya oleh anggota tentera.

Pada hal, antara perubahan yang ditunggu-tunggu oleh anggota tentera antara lain penetapan band gaji yang sama iaitu band 5. Pada waktu ini, kor infantri ditetapkan dalam band 5 sedangkan kor yang lain sehingga band 5.

Begitu juga kenbaikan pangkat yang lambat sedangkan bagi kor MP, selepas rekrut terus diberikan pangkat LKPL.   Bagi anggota tentera yang bertukar ketukangan kepada ketukangan baru, mereka diturunkan umpamanya dari ketukangan 4 kepada ketukangan 3. Begitu juga pangkat, diturunkan dari KPL kepada LKPL. Mereka mencadangkan anggota yang menukar ketukangan dikekalkan dalam band dan pangkat yang sama.

Banyak lagi cadangan penambah baikan skim perkhidmatan tentera yang ditunggu oleh anggota tetapi langsung tidak disentuh oleh PM.

Di bawah saya perturunkan jadual perbandingan Skim Asal dan Skim Baru yang telah diguna pakai sejak beberapa tahun yang lalu bagi menunjukkan apa yang diumumkan oleh PM adalah perkara lama yang telah diamalkan;

Skim Asal:
Polis Tentera Awam
ASP (Penolong Penguasa) Kapten 41
DSP (Timbalan Penguasa) Major 44
Superintenden (Penguasa) Leftenan Kolonel 48
ACP (Asisten Komisioner/Penolong Pesuruhjaya) Kolonel 52
SAC (Senior Assistant Commisioner) Brigadier General (1 star general) 54
Deputy Commissioner Major General (2 star general) Jusa C
Commisioner Leftenan General (3 star general) Jusa B
IGP dan Timbalan IGP General Penuh (4 star general) Jusa A





Skim Baru (Yang digunapakai sejak sekian lama ekoran kemasukan Ijazah ke Inspektor dan Leftenan Muda):
Polis Tentera Awam
Inspektor Leftenan Muda 41
ASP (Penolong Penguasa) Kapten 44
DSP (Timbalan Penguasa) Major 46A
Superintenden (Penguasa) Leftenan Kolonel 48
ACP (Asisten Komisioner/Penolong Pesuruhjaya) Kolonel 52
SAC (Senior Assistant Commisioner) Brigadier General (1 star general) 54
Deputy Commissioner Major General (2 star general) Jusa C
Commisioner Leftenan General (3 star general) Jusa B
IGP dan Timbalan IGP General Penuh (4 star general) Jusa A




Husam Musa
13 Mac 2013

Kenaikan gaji tentera patut diselaras bawah JPA

Salmiyah Harun, 12 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Pengumuman kenaikan gaji dan pemberian dividen sebanyak 16 peratus kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilihat tidak sesuai pada masanya dan sekali gus ianya disifatkan sebagai umpan politik.


Demikian tegas Presiden Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (Kerabat), Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (gambar)

Katanya, pengumuman itu dibuat kerana kerajaan Umno BN merasakan undi tentera bakal memihak kepada mereka memandangkan lebih 20 kerusi parlimen mempunyai undi pos.

Nazari juga tidak menolak berita baik yang bakal dinikmati oleh tentera itu ekoran pelbagai tawaran dibuat oleh Kerabat termasuklah menaikkan elaun RM300 kepada RM500 kepada bekas tentera dan menyediakan perumahan percuma melalui Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau turut mempersoalkan pengumuman 16 peratus dividen antara jumlah yang paling besar yang mana sepatutnya diumumkan dan diberikan pada setiap akhir tahun.

"Pengumuman yang tidak kena pada masa, biasanya diberi paling lewat akhir November ke Disember setiap tahun.

"Kenyataan ini adalah umpan kerajaan BN, tambahan pula tentera kita berhempas pulas menggadai nyawa dalam Ops Darurat, dalam masa yang sama kerajaan bagi imbuhan dan kononya kerajaan prihatin kepada tentera," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun katanya, tentera berterima kasih kepada kerajaan kerana duit yang diberikan untuk kenaikan gaji itu adalah duit daripada pencarum LTAT.

Tambahnya, kenaikan gaji kakitangan tentera sepatutnya diselaraskan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan ianya dibentangkan dalam kabinet terlebih dahulu.

"Kenapa JPA tidak terlibat, hanya tentera dan polis sahaja. Sebab mereka hendak beli undi pilihan raya," tegasnya.

Hari ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pencarum LTAT akan menerima dividen dan bonus 16 peratus bagi tahun kewangan 2012, naik satu peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bayaran itu merangkumi dividen tujuh peratus, bonus satu peratus dan bonus khas lapan peratus dalam bentuk unit amanah, yang turut mencerminkan kenaikan 11.6 peratus di dalam pembayaran keseluruhan berbanding RM680.4 juta yang dicatatkan pada 2011.

Semalam pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penyelarasan perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji bagi pasukan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kenaikan gred gaji itu dilakukan melalui Sistem Saraan Transformatif yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion, katanya.

PAS Johor sumbang 10 kerusi tawan Nusajaya

Anis Nazri, 12 Mac 2013
KUALA LUMPUR: PAS Johor bersedia menyumbangkan lebih 10 kerusi Dun bagi membantu Pakatan Rakyat menawan Nusajaya pada Pilihan raya Umum ke-13 akan datang.

Malah, PAS Johor juga bersiap-siaga menghadapi pilihan raya biarpun teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum masih belum terjawab.

Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad, berkata Johor sebagai negeri terawal yang akan terbubar secara automatik jika Perdana Menteri terus mendiamkan diri mengenai tarikh pembubaran parlimen.

"Dun Johor akan terbubar pada 21 Mac ini.  Johor ini negeri terawal yang akan terbubar. Namun, kita harapkan tak perlu tunggu terbubar sendiri," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Justeru, beliau berpandangan adalah wajar Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berbuat sesuatu bagi memujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk segera membubarkan parlimen.

Johor, yang dikatakan sebagai kubu kuat Umno itu, berjaya memecah tradisi apabila calon PAS, Dr. Ramli Kari pernah memenangi Dun Senggarang pada Pilihan raya Umum ke-11 lalu.

Manakala, pada Pilihan raya Umum ke-12 pula, PAS berjaya menawan dua kerusi Dun, iaitu Sg. Abong dan Maharani, masing-masing diwakili Dr. Sheikh Ibrahim Salleh dan Dr. Mohammad Taslim.



Tiada ulasan: