Selasa, 19 Mac 2013

BUAT GILER2 SIKIT TENTANG CINTA NI...SUKA@CINTA.....TERUS PINANG TAK KIRA LELAKI ATAU WANITA...KAHWIN...TAK YAH COUPLE2 DULU.....NANTI TERZINA@BERZINA DULU

Panduan penyampaian ceramah dalam konteks PRU

Ustaz Nasrudin bin Hasan, 18 Mac 2013
Seseorang tidak akan berubah melainkan setelah ada maklumat. Kita tidak akan dapat membeli sesuatu barang melainkan setelah kita mengetahui dan meyakini khasiat dan kebaikannya, mudah dan efektif. Ini menggambarkan betapa pentingnya penerangan dalam suatu hal untuk meyakinkan seseorang bagi mendapat sesuatu.

Menyampaikan ceramah seumpama hendak menjual sesuatu produk kepada orang lain, produk yang baik dan berkualiti sekalipun, kalau tidak diterangkan dengan teknik dan strategi yang berkesan pasti tidak ada pembelinya, malahan produk yang tidak berkualiti pula, kalau disampaikan, dipromosi dan dikempen dengan hebat  pasti akan menarik orang ramai untuk membelinya.

Orang yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk ialah jurujual itu sendiri. Bagi menarik orang ramai membeli produk tersebut, jurujual akan menggunakan kepetahan bercakap, penampilan diri yang kemas, bahasa yang cukup menawan dan berbagai-bagai aksi lagi. Sudah pasti cara ini akan menarik minat orang ramai membelinya.

Begitulah para penceramah, produk yang kita hendak pasarkan ialah Islam, PAS dan calon PAS. Produk yang akan kita pasarkan ini memerlukan teknik, taktik dan strategi yang sesuai dengan suasana setempat, situasi semasa, budaya dan sebagainya. Begitupun promisi kita terhadap content dakwah yang diperjuangkan adalah semata-mata kerana Allah Taala, bukannya sekadar memenuhi 'market demand' ataupun dasar matlamat menghalalkan cara seperti menipu dan sebagainya.

Dalam Islam, Rasulullah SAW merupakan role model yang terbaik dalam menerangkan kepada manusia akan ajaran yang dibawa oleh Baginda pada waktu itu yang dianggap dagang (asing). Baginda menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan antaranya tamsil alam sekitar, logik, pujukan, tawaran, amaran, lisanul hal, khutbah dan lain-lain lagi.

Konsep Penerangan

Segala kegiatan penerangan menggunakan apa jua media yang ada hendaklah mengandungi ciri-ciri berikut:

1. Penerangan sebagai I’LAM, iaitu proses untuk menyalurkan maklumat (to inform) mengenai fakta, sesuatu yang baru, menarik atau bagaimana sesuatu perubahan itu wujud dan berlaku.
2. Penerangan sebagai TA’LIM, bermatlamat ke arah memberi pengajaran dan pelajaran untuk mempengaruhi (to influence) bagi mengubah fikiran dan pendirian atau untuk menggerakkan mereka agar aktif.
3. Penerangan sebagai IRSYAD, bermatlamat ke arah membimbing dan tunjuk ajar. Suatu tugas untuk inspirasi (to inspire) tentang kebaikan (makruf) supaya dihayati dan kemungkaran supaya dihindari.
4. Penerangan sebagai DAKWAH, bermatlamat ke arah menyeru dan mengajak kepada perubahan sikap serta bertindak membangun yang makruf dan meruntuhkan yang mungkar.

Kesimpulannya, konsep penerangan ialah untuk menerangkan dasar perjuangan untuk menarik sokongan orang ramai kepada perjuangan PAS. Konsep penerangan bukan sahaja melalui mulut tetapi juga tingkah laku (Lisaanul Hal), penulisan dan edaran risalah. Yang penting ialah penceramah mesti menjadi orang yang berjaya menarik orang lain untuk bersama dengan perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Banyak bidang penerangan yang belum diterokai secara meluas oleh PAS antaranya seperti risalah, kain rentang, laman web dan sebagainya. Janganlah kita hanya mengharapkan ceramah umum semata-mata kerana kita kekurangan penceramah yang boleh menarik orang ramai untuk datang ke program ceramah yang dianjur. Justeru itu, untuk menampung kekurangan ini hendaklah kita pelbagaikan program penerangan selain daripada rapat umum yang sememangnya menjadi agenda penerangan yang berkesan.

Ceramah Dalam Konteks Kempen Pilihan Raya

Dalam musim pilihan raya, ceramah yang dianjurkan agak berbeza sedikit dengan ceramah sebelum musim pilihan raya. Sebelum pilihan raya jentera penerangan boleh menganjurkan ceramah besar-besaran, kehadiran audiens pula mengikut populariti penceramah yang diundang. Mereka juga datang dari seluruh pelosok tempat. Ulasan terhadap isu lebih menyeluruh, daripada isu tempatan, nasional hinggalah kepada isu antarabangsa.

Sedang ceramah yang dianjurkan dalam musim pilihan raya hanya tertumpu kepada pengundi sasaran sahaja. Lantaran itu, pendekatan ceramah yang paling sesuai di musim pilihan raya ialah ceramah kelompok yang diadakan dari rumah ke rumah atau seumpamanya.

Tujuan Ceramah

Ceramah yang dianjurkan oleh PAS bertujuan :

1. Menjelaskan konsep Islam yang syumul sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.
2. Menjelaskan dasar parti dan membetulkan pandangan dan sangkaan negatif terhadap PAS.
3. Mengulas dan mengupas isu semasa dan menjawab segala tohmahan terhadap Islam dan PAS.

Dalam musim pilihan raya, tujuan utama ceramah ialah menjelaskan kepada pengundi mengapa pengundi perlu memilih atau mengundi PAS. Di sinilah para penceramah PAS perlu menggunakan segala kebijaksanaan dan keupayaan menyampaikan ceramah untuk mengajak, merayu dan memujuk pengundi melakukan perubahan dalam pilihan raya dengan mengundi calon PAS.

Persiapan Asasi dan Etika Penceramah PAS

1. Ikhlas kerana Allah.
2. Memahami agama Allah.
3. Memiliki ilmu dan fakta yang tepat.
4. Memiliki Qudwah Hasanah.
5. Sabar dan Tabah.
6. Lemah lembut dan penyayang.
7. Tawadhuk dan merendah diri.
8. Manis muka dan indah tutur bicara.
9. Menjaga akhlak, adab sopan dan tata susila.
10. Sentiasa senyum dan mesra.
11. Berpakaian menarik, kemas serta sesuai dengan suasana setempat.
12. Menjaga nama baik parti.
13. Menyampaikan ucapan dengan tertib, beradab dan sopan.
14. Tidak mengeluarkan perkataan dan kenyataan yang menimbulkan fitnah.
15. Tidak kasar dalam ucapan dan tindakan.
16. Elakkan maki hamun dan caci nista tanpa asas.
17. Menepati janji dan waktu.

Pendekatan Penyampaian Dalam Ceramah

a. Memilih Isu yang Sesuai

Para penceramah perlu menyenaraikan isu yang ingin diulas dan disampaikan dalam ceramahnya. Pemilihan isu mestilah sesuai dan boleh membangkitkan minat pengundi untuk mendengar. Tidak semua isu boleh membangkitkan kesedaran kepada pengundi setempat walaupun isu tersebut dianggap besar dan penting seperti isu ekonomi, pembaziran wang rakyat dalam projek mega dan sebagainya. Pastikan apa yang disebut itu berasas dan benar dari segi faktanya.

Adakala isu yang dianggap kecil dan remeh tetapi kalau diolah dengan baik dan berkesan, ia boleh mengubah minda rakyat. Sebab itu para penceramah mesti menguasai dan memahami isu semasa. Isu tempatan yang melibatkan kebajikan rakyat wajar diberi fokus dalam ceramah pilihan raya seperti isu kemiskinan, kenaikan harga barang dan sebagainya. Penceramah jangan ghairah mengulas isu besar sehingga lupa isu tempatan yang pengundi sendiri terlibat dengan isu tersebut.

b. Kemukakan Tawaran PAS

Penceramah PAS sewajarnya tidak lupa untuk menjelaskan tawaran PAS kepada rakyat sebagaimana yang termaktub di dalam manifesto PAS jika rakyat memberi mandat kepada PAS untuk memerintah. Melalui pendekatan ini, penceramah mestilah terlebih dahulu memahami kandungan manifesto PAS.

c. Menampilkan Kelebihan Calon PAS

Penceramah mestilah memperkenalkan calon PAS dengan menampilkan keperibadiannya, keupayaan dan kemampuannya menjadi wakil rakyat. Tonjolkan kelebihan calon secara benar dan adil.

d. Menonjolkan Kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR)

Keupayaan PAS dan kemampuannya memerintah, memimpin dan mentadbir di negeri-negeri PR. Khususnya negeri Kelantan selama 22 tahun oleh PAS melalui amanah dan mandat rakyat, ia mestilah dikemukakan kepada pengundi sebagai menjawab tohmahan kononnya PAS tidak boleh memerintah sekali gus menjadi perbandingan antara kerajaan PAS dan kerajaan Umno.

e. Mendedahkan Kelemahan dan Ketidakupayaan Kerajaan BN

Pendedahan dibuat berasaskan fakta bukan fitnah. Ia bertujuan agar rakyat tidak terpedaya dengan keburukan Kerajaan BN yang sering berselindung disebalik momokan pembangunan dan umpan material.

f. Mengemukakan Hujjah Berasaskan Nas dan Fakta

Kekuatan hujah adalah kelebihan utama Pas dalam menghadapi Umno yang kaya dengan tipu helah. Ayat-ayat suci al-Quran dan Hadis menjadi sumber tulen perjuangan PAS yang tidak boleh ditinggalkan sepanjang kempen atau dakwah PAS kepada pengundi.

Apa yang Perlu dielak oleh Penceramah

a. Ketika menyentuh isu-isu sensitif

Penceramah selayaknya berhati-hati mengungkap kata agar tidak menyinggung perasaan pengundi. Masa singkat sepanjang tempoh berkempen tentu sahaja kita tidak mampu menjelaskan isu yang sensitif dan kontroversi. Adalah wajar penceramah memilih isu yang mewujudkan kebersamaan kita dengan pengundi dan penyokong.

b. Menggunakan Bahasa yang kesat dan Kasar

Penceramah adalah pendakwah. Uslub mendidik, membimbing dan menasihati adalah lebih baik dan lebih mendekatkan pengundi kepada risalah perjuangan kita berbanding ucapan yang sarat dengan maki hamun.

c. Memperbodohkan Pengundi

Hargai mereka dan jangan sekali-kali memperkecilkan mereka sekalipun mereka dalam pilihan raya yang lalu tidak mengundi PAS. Berikan harapan kepada mereka dan masa untuk mereka berfikir dan membuat perubahan. Merendah dirilah di hadapan mereka , bahawa kita yang gagal menyampaikan maklumat yang jelas kepada mereka atau maklumat kita terhalang sehingga mereka tidak mengundi PAS.

d. Menghukum Pengundi

Sekali lagi penceramah adalah pendakwah bukan penghukum. Justeru itu banyakkan pendekatan memberi nasihat, galakan dan motivasi untuk mereka menerima perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Jangan menjatuhkan hukum seperti berdosa, sesat atau kafir kepada pengundi.

Penutup

Iringi setiap ucapan atau ceramah dengan doa dan munajat agar Allah mengurniakan petunjuk dan kekuatan kepada kita dan pengundi agar satu perubahan (dari bathil kepada hak, dari jahiliyyah kepada Islam, dari kufur kepada Iman) dapat dilakukan.

Jauhi maksiat atau mungkar sebaliknya tingkatkan prestasi takwa, taat dan ubudiyyah kita kepada Allah Taala. Serta hiasi diri dengan akhlak mahmudah dan imej mesra rakyat atau mesra pengundi.

http://www.tarbawi.my

Umno BN penaja politik longkang

Mohd Rashidi Hassan, 18 Mac 2013
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga hari ini berdolak-dalik dan enggan menjawab soalan wartawan yang meminta bukti bahawa pembangkang akan mencetuskan huru hara pada Pilihan Raya Umum ke-13.

"Nantilah sampai masa yang sesuai," jawab Muhyiddin sewaktu sidang media selepas mengumumkan nama Sasterawan Negara ke-12 di Putrajaya baru-baru ini.

Ketika berucap di majlis sepetang bersama masyarakat di kawasan Parlimen Hulu Selangor, di Bandar Bukit Sentosa dekat Kuala Kubu Baru sebelum ini, Muhyiddin mendakwa menerima beberapa dokumen.

Beliau berkata, dokumen yang boleh dipercayai itu mendakwa pembangkang merancang untuk menggagalkan pilihan
raya umum ke-13.

Hakikatnya kenyataan yang dibuat Muhyiddin ini, sebenarnya adalah manifestasi daripada ketakutan seluruh kepimpinan BN, bahawa saat mereka hendak tumbang semakin hampir.

Tidak lain tidak bukan, yang boleh menyelamatkan kerajaan BN, hanyalah jika negara berada dalam keadaan yang kucar kacir dan tidak stabil.

Negara tidak stabil, keamanan negara akan terancam jika wujud anasir-anasir pengacau yang menimbulkan keributan dalam sistem demokrasi.

Siapa yang menjadi pengacau? Siapa yang mencetuskan keganasan dalam negara? Mereka adalah samseng-samseng yang mendakwa mereka mewakili Umno dan Perkasa.

Apa yang mereka tidak buat? Daripada mengheret kepala lembu, membawa hadiah tahi, goyang bontot, baling kayu dan botol, sehingga yang terakhir membaling telur.

Mana tempat yang mereka tidak mengganas? Di Shah Alam, Georgetown, Gombak, di kawasan Felda, di Melaka dan yang akhir sekali di Temerloh.

Mereka menyerang dan mengganas sehingga ke pejabat Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang. Menyerang bas Jelajah Merdeka Rakyat, menyerang konvoi Anak di Felda, menyerang ceramah Pakatan Rakyat.

Sehingga kini kita telah mengumpulkan ratusan bukti bergambar 'pengganas-pengganas' yang menghuru-harakan sistem demokrasi kita.

Kita telah berjaya buktikan ramai antara mereka mempunyai jawatan dalam Umno, dan terang-terangan penyokong tegar BN.

Malangnya tiada tindakan daripada pihak keselamatan. Malang bagi kita apabila anggota keselamatan yang bertugas di lokasi kejadian, hanya 'berpeluk tubuh'. Mengapa pihak keselamatan tidak mahu menyiasat dan bertindak terhadap samseng-samseng Umno-BN ini?

Puluhan laporan polis yang dibuat, tetapi mengapa sehingga kini tiada satu pun tindakan yang diambil oleh pihak keselamatan? Kita percaya jika pihak keselamatan membuat tindakan susulan lebih awal, mendakwa mereka yang bersalah, maka peristiwa keganasan tidak akan berulang.

Hal ini mencetuskan persoalan, apakah ada tangan-tangan kotor orang politik Umno-BN yang membuat arahan supaya samseng-samseng ini dilindungi hanya kerana mereka orang Umno-BN.

Sekarang ini samseng-samseng tidak banyak membantu, maka mereka menggunakan artis pula sebagai tukang kempen.

Artis-artis 'cari makan' ini diupah dengan menerbitkan drama lawak yang dinamakan 'Bangkang dari longkang'. Mereka melakonkan watak pemimpin pembangkang, dengan lambang mirip PAS, KeADILan dan DAP.

Mereka juga melakonkan watak bagi sketsa menghina Pakatan Rakyat yang berhasrat menawan Putrajaya.

Ada kalangan artis yang mengakui terbabit dengan pembikinan 'Bangkang dari longkang' mendakwa adengan tersebut sudah lama dirakam. Mereka mengakui bukan orang politik, tetapi berkarya mengikut skrip pihak penaja.

Tidak lain tidak bukan, penajanya adalah Umno. Umno menggunakan artis, menghina pembangkang, khususnya Pakatan Rakyat dengan tajuk sketsa yang amat menghina sekali.

Mereka dengan sengaja cuba merendahkan idealisme dan tahap intelektualisme pemimpin serta pendokong Pakatan Rakyat.

Bangkang dari longkang cuba menggambarkan kepada rakyat bahawa idea dan perjuangan pembangkang adalah kotor dan jijik.

Sedangkan hakikat sebenarnya merekalah bapa penaja politik longkang yang cuba memalitkan kebusukan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

Umno-BN bukan sahaja penaja dan penjaja politik longkang, tetapi mereka adalah unsur-unsur najis sebagaimana yang digambarkan Dato' Shahnon Ahmad dalam novel satira bertajuk SHIT.

Helah semangat patriotisme di Lahad Datu

Ahmad Lutfi Othman, 18 Mac 2013
Saya kerap diperingatkan agar lebih cermat dan berhati-hati apabila mengulas isu Lahad Datu. Beberapa artikel yang disumbangkan oleh rakan-rakan, menyentuh tragedi berdarah di Sabah itu, terpaksa ditolak.

Saya sendiri mengedit berkali-kali catatan di kolum ini sehingga banyak perenggan dipotong dan mungkin kehilangan makna asal.

"Elakkan bahan-bahan sensitif dan boleh mengundang salah tanggapan. Ia membawa natijah buruk kepada parti, jika Harakah dilihat merendah-rendahkan pasukan keselamatan," begitulah salah satu peringatan yang saya terima.

Saya cuba mematuhi nasihat itu, selain memegang amanat Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, agar "berpantang" di waktu kritikal menjelang PRU13, iaitu jangan mendedahkan diri dan parti dengan kesilapan -- walaupun kecil --  yang boleh membawa padah.

Semasa kita berusaha mengelak daripada terjerumus dalam polemik yang berisiko ini, pihak Umno-BN semakin ghairah mempolitikkannya. Tiba-tiba saja isu ini menjadi senjata utama untuk menggagalkan usaha Pakatan Rakyat ke Putrajaya. Sudahlah cadangan mengadakan sidang khas Parlimen membincangkan kes Lahad Datu ini ditolak, tiada usaha mengumpulkan setiap potensi kekuatan yang ada, bagi menanganinya dengan tuntas.

Justeru, tidak pelik jika bidasan Dr Abd Aziz Bari, bekas profesor undang-undang UIAM,  terhadap pengendalian kes di Lahad Datu, dalam Harakah keluaran Jumaat lalu, ditanggapi sebagai usaha memperlekeh pihak tentera dan polis.

Sedangkan pakar perlembagaan itu mempunyai hujah kuat: "Prestasi angkatan tentera dan pasukan polis boleh dinilai dan kalau tidak memuaskan boleh dikritik. Kalau badan kehakiman sendiri pun boleh dikritik, apa alasan yang menjadikan kedua-dua organisasi yang merupakan sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan itu kebal daripada kritikan?"

Saya perhatikan kebanyakan teguran itu, seperti banyak diluahkan dalam media sosial, adalah berdasarkan kepentingan awam dan semangat cintakan tanahair, serta lebih ditujukan kepada "keputusan politik".

Mereka tidak mahu lebih ramai perajurit terkorban hanya disebabkan kesilapan atau kealpaan pihak atasan. Lebih penting, maruah dan kedaulatan negara tidak boleh dipertaruhkan dengan pelbagai strategi dan langkah taktikal yang "nampak mengelirukan". Malang sekali, luahan tidak puas hati itu mudah dilabelkan sebagai "pengkhianat negara".

Kritikan sebenarnya lebih ditujukan kepada kelemahan agensi perisikan negara dan bagaimana kes pencerobohan itu ditangani "secara salah" bermula sejak hari pertama lagi. Rakyat menuntut tahap profesionalisme yang tinggi tanpa campur tangan politik.


Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Dato' Ghafir Abdul Hamid menyifatkan faktor risikan tentera yang lemah dan diguna untuk matlamat politik menyebabkan musuh menceroboh perairan dan membolos masuk.

Beliau mendakwa, mulai tahun 2000, aset dan keupayaan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Angkatan Tentera Malaysia cenderung digunakan untuk operasi politik. "Selama 13 tahun mereka hilang kepakaran dan aset untuk melaksanakan tugas utama untuk merisik," tambahnya.

BSSP dilihat sibuk memantau aktiviti Pakatan Rakyat dan mengekori pemimpinnya, malah perisikan tentera dikatakan mempunyai kemahiran (dan ketepatan) jauh lebih tinggi daripada Polis Cawangan Khas dalam "kajian politik" mereka.

Ia bukan saja diperalat untuk berdepan oposisi dalam pilihan raya umum tetapi juga dipergunakan pemimpin Umno untuk bersaing sesama sendiri, terutama menjelang perhimpunan agung parti itu. Dato' Seri Najib Razak yang pernah menjadi Menteri Pertahanan dalam tempoh yang lama amat arif hakikat ini.


Sebelum itu, Brigadier Jeneral (B) Dato' Abdul Hadi Abdul Khatab turut mengkritik kelewatan membuat keputusan, termasuk menyerahkan operasi awal kepada pihak polis. Keputusan menentukan menyerang musuh juga mengambil masa lama. Lebih buruk, perisikan juga  gagal mengenal pasti identiti dan keupayaan persenjataan musuh.

Berbicara soal integriti pasukan keselamatan kita, ia turut mengingatkan  tentang pendedahan rasuah dan gosip meluas membabitkan kelengkapan persenjataan -- lubuk korupsi melibatkan dana awam yang cukup besar. Rujukan klasiknya sudah pasti kes pembunuhan kejam warga Mongolia, Altantuya Shaariibu, yang dikaitkan dengan Najib dan isterinya.

Ramai pembaca menggesa agar Harakah membongkar korupsi berkaitan perbelanjaan Kementerian Pertahanan. Atas nama keselamatan negara, dana awam banyak dihanguskan melalui transaksi yang tidak telus, tanpa tender terbuka.

"Saya bukan mahu menyalahkan pegawai-pegawai atasan tentera kita, namun ada segelintir daripadanya, saya lihat hanya ghairah melihat peluang bisnes atas angin selepas pencen," kata salah seorang pembaca tersebut.

Ghafir juga berkata  tentera Malaysia berpotensi untuk menjadi pasukan keselamatan terbaik di di Asia Tenggara jika setiap peruntukan digunakan dengan telus. "Saya dah cakap berulang kali mengenai peruntukan yang banyak hilang di tengah jalan," katanya.


Semua maklum, isu melibatkan soal keselamatan dan kedaulatan negara, apatah lagi dikaitkan dengan pencerobohan luar, sering dimanipulasi demi kepentingan politik pemerintah, menggunakan  sentimen patriotisme atau demam nasionalisme.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar mengulas dengan baik  hal ini: "Semangat patriotisme dalam krisis sebegini (Lahad Datu) sering akan menguntungkan parti kerajaan. Patriotisme ini dipacu oleh rasa ingin bersatu bersama pasukan keselamatan dalam memenangi krisis ini, sekali gus bersama kuasa politik yang menggerakkan jentera pasukan itu.

"Pasukan keselamatan dan kuasa politik (baca: pemerintah) dianggap setaraf dengan "negara" dan "tanah air" yang wajar dicurahkan sepenuh kesetiaan (tanpa kritik) dan pengorbanan (tanpa batas)."


Sudah pasti insiden yang mengorbankan sepuluh anggota keselamatan itu tidak dapat dipisahkan daripada iklim politik yang menggelegak sekarang. Ia bukan sesuatu yang sukar difahami memandangkan Parlimen sepatutnya sudahpun dibubarkan. Cuma, yang merisaukan, soal keselamatan negara diperjudikan demi kepentingan politik sempit Umno-BN.

Lihat saja bagaimana Naib Presiden KeADILan, Tian Chua digambarkan seolah-olah musuh utama negara, melebihi penceroboh Sulu sendiri. Penjelasan beliau langsung tidak dipedulikan. Begitu juga dengan serangan melulu terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim hanya disebabkan ada hubungan dengan pemimpin MNLF, Nur Misuari, sehingga timbul ura-ura beliau mungkin ditangkap.

Jumaat lalu, beberapa NGO mesra-Umno, seperti Jati, JMM dan Perkasa, memulakan siri Jelajah "Anwar Dalang Lahad Datu", berdepan Masjid Negara. Peliknya, tiada pula reaksi segera pihak polis, walaupun secara jelas, melalui banner di atas pentas lori (mungkin mahu meniru treler atau bas Pakatan) dan ceramah berapi-rapi Dr Hasan Ali misalnya, Anwar bukan saja menjadi mangsa fitnah, tetapi isu keselamatan telah dipersendakan secara terbuka.


Apa pun, Secara peribadi, saya agak resah dengan kritikan terbuka terhadap prestasi dan keupayaan pasukan keselamatan kita.

Meneliti perkembangan dari hari ke hari, serta mengikuti sidang akhbar Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera, timbul pertanyaan: Apakah kita terlalu daif atau pihak musuh (penceroboh Sulu) begitu hebat, sehingga sukar sekali kumpulan kecil itu ditumpaskan? Mungkinkah kes ini bakal berpanjangan menjadi "perang saudara", didorong dendam kesumat tidak berkesudahan?

Mengapa jumlah kematian yang diuar-uarkan jauh lebih besar daripada penemuan mayat musuh? Di peringkat awal, saya menggambarkan, daripada corak serangan ofensif dan agresif, termasuk pengeboman dari udara, dan  membabitkan 7 batalion tentera -- selepas lapan polis terbunuh, kebanyakannya dalam keadaan ngeri -- kemungkinan tiada seorang pun penceroboh terselamat.

Realitinya, berdasarkan lagak Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri, dalam sidang akhbar kemudiannya, mereka seperti masih tercari-cari tentera musuh yang mati. Orang ramai keliru dengan kesan serangan balas pasukan keselamatan kita.

Lebih mengejutkan, dan saya menerima puluhan SMS yang mempersoalkan kawalan perairan kita, apabila dilaporkan tentera laut Filipina berjaya menahan 35 warganya berhampiran Pulau Tawi-Tawi. Ketua Pemerintah Tentera di Mindanao Barat, Lt Jen Rey Ardo dipetik sebagai berkata mereka yang ditangkap itu dipercayai saki-baki penceroboh Sulu yang memasuki Lahad Datu.

Malam Sabtu lalu, seorang rakan, meminta pandangan saya terhadap laporan berita yang memetik kenyatan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd Zin bahawa ketua penceroboh, Azzimudie Kiram dipercayai telah meloloskan diri daripada Malaysia dan kembali ke tempat asalnya di selatan Filipina.

Sekali lagi dipersoalkan kemampuan kita mengawal sempadan negara walaupun ketika segala kekuatan dikerahkan ke sana. Tertanya-tanya juga bagaimana seorang yang digambarkan sudah uzur, berusia 72 tahun, boleh melepasi tiga lapisan kawalan sempadan perairan kita?

"Aku tak dapat bayangkan, misalnya jika serangan  datang dari negara luar, dan tidak tertumpu hanya kepada satu lokasi, apatah lagi berpengkalan di seberang Tambak Johor ...." Begitulah sedutan emel yang saya terima. Kandungan penuhnya sensitif untuk disiarkan, selain bersifat provokatif. 



Kolumnis Tan Sri Abdullah Ahmad turut menimbulkan persoalan menarik: "Sedih dan memalukan kerajaan terpaksa tergesa-gesa menghantar segera 5 batalion tentera dan PDRM tambahan dari Kelantan – Pengkalan Chepa/Kok Lanas – selain bantuan tambahan anggota pasukan keselamatan dari Sarawak dan tempat lain.

"Ini baru satu pencerobohan oleh "Rag Army" atau "Dad’s Army" di satu lokasi sahaja! Adakah kita mempunyai kemampuan andainya pencerobohan berlaku serentak di beberapa lokasi di seluruh negara?"

Meskipun berdepan perang psikologi media yang dikawal ketat penguasa, saya masih menaruh keyakinan majoriti rakyat tidak mudah diperbodohkan, termasuk oleh "semangat patriotisme".


Namun begitu,  saya tetap risau dengan rumusan rakan saya, Fathi Aris Omar: "Jika angin patriotisme ini bertiup kencang ke seluruh negara tanpa dapat dihadang-hadang lagi, pembangkang akan tersudut dalam fantasi Putrajayanya sendiri.

"Apatah lagi patriotisme Lahad Datu ini disusuli pula dengan kempen anti-Anwar yang digambarkan sebagai dalang pencerobohan atau anti-Tian Chua  sebagai simbol penghinaan pasukan keselamatan."

Ya, pertarungan merebut hati dan minda pengundi semakin rancak ....


II.


Bagi pihak Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan setingginya kepada pembaca Harakah yang menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank, KAMI MEDIA  5140 7560 6399 bagi membiayai proses penerbitan bahan bercetak untuk kegunaan kempen PRU13.

Insya-Allah, dana tersebut akan dimanfaatkan sebaiknya, terutama untuk membekalkan maklumat mencukupi kepada pengundi agar dapat membuat pilihan rasional dan bijaksana. Saya merayu agar bantuan tersebut dapat disalurkan terus.

Sementara itu, khusus buat mereka yang berminat untuk mencetak sisipan Bangkit secara berasingan, tempahan boleh dibuat terus kepada pihak pencetak, dengan harga berpatutan. Maklumat lanjut sila hubungi Angkatan Edaran (03-55237985, 55196373),  Husin (013-3400229) atau Maria (012-3747794).

Cinta ditolak, bomoh bertindak!

Dr Juanda Jaya , 18 Mac 2013
Di dunia ini ada empat kategori ‘mangsa cinta’ yang sentiasa dialami anak manusia dari zaman berzaman.

1. Menjadi mangsa kerana kekasih yang curang.
2. Cinta menjadi layu kerana pasangan yang sakit atau jatuh miskin.
3. Cinta yang diputuskan secara paksa oleh pakatan jahat orang-orang yang membenci.
4. Mencintai orang yang tidak mencintai anda. Kategori keempat ini adalah cinta yang tak bersambut, ditolak dengan kejam oleh orang yang anda cintai.

Tragedi percintaan selalunya membuat seseorang menjadi lebih dewasa. Tapi ramai juga yang tersungkur umpama menahan perihnya sayatan sembilu di hati. Mangsa cinta kategori keempat agaknya yang paling dahsyat. Seseorang yang terobses oleh bayangan kekasihnya padahal dia tidak pernah dianggap sebagai kekasih oleh orang tersebut. Kadang-kadang wang dan khidmat telah diperah untuk orang yang dikasihi tetapi tak jua cinta berputik. Apabila kejahatan telah memerangkap orang yang dikasihi itu maka dia tidak segan-segan memanfaatkan segala apa yang ada di dalam poket si mangsa. Dengan rela hati si mangsa akan memberi apa saja untuk kekasihnya. Cinta itu buta, nafsu itu serakah dan angan-angan itu selamanya tak pernah berhujung.

Kemelut percintaan sering menumpahkan darah dan memutuskan silatur rahim. Orang yang tiada iman dalam hatinya mahu membalas dendam atas perbuatan kekasih yang mempermain-mainkan cintanya. Bomoh atau dukun menjadi pilihan untuk menyiksa bekas kekasih. Seseorang hanya boleh dikuasai oleh sihir apabila imannya tipis, hati dan lidahnya lalai daripada mengingati Allah Taala. Untuk menghindari kemudaratan yang berpunca daripada cinta apakah tip yang baik untuk menyatakan ‘saya tidak mencintai kamu’? Bagaimanakah cara memutuskan hubungan cinta dengan selamat dan aman tanpa menyakiti perasaan orang lain?

1. Meminta maaf, bersedia menebus kesalahan anda yang pasti bersedia untuk menjadi sahabat yang baik. Cinta tak selamanya berhujung manis tetapi persahabatan akan kekal selama-lamanya. Bukankah persahabatan itu lebih jujur dan ikhlas berbanding percintaan yang dipaksa-paksa?
2. Jangan menggunakan kekerasan dan menyatakan kebencian secara terang terangan walaupun anda rasa meluat sungguh melihat dirinya.
3. Jatuh cinta adalah sejenis penyakit yang boleh merosak pemikiran dan perasaan seseorang. Anda sepatutnya berterus terang bahawa anda tidak boleh memaksa diri mencintainya, agar penyakit itu tidak semakin merebak. Jangan lengah-lengahkan masa untuk menyatakan sikap anda dengan bertanggung jawab. Jangan jadi penjenayah cinta kerana mempermain-mainkan perasan orang lain.
4. Jangan menerima sebarang pemberian atau khidmat pertolongan daripadanya, jika terpaksa nyatakannya atas nama persahabatan bukan atas nama cinta.
5. Pintar bergaul dengan ramai kawan dengan batas-batas pergaulan mengikut syariat Islam. Iaitu menjaga pandangan, tidak berdua-duaan di tempat yang sunyi, menutup aurat, bertutur kata sopan dan tegas sehingga tidak menimbulkan penyakit di dalam hati orang yang mendengar. Bersahabat kerana Allah Taala dan berpisah kerana Allah juga.
6. Jangan memancing perhatiannya sehingga dia merasa diberi keistimewaan, layanlah semua kawan dengan sikap yang sama, tidak melebihkan seseorang daripada yang lain.

Bagaimana jika orang itu tetap mengejar cinta anda walaupun pelbagai kaedah menjauhinya telah anda lakukan?

Berilah masa untuk meruntuhkan mahligai cinta yang teguh di hatinya, sepanjang tempoh itu anda sentiasa memberi nasihat tentang takdir Ilahi yang merupakan rahsia kehidupan manusia. Anda mesti mempengaruhi pemikiran dan perasaannya dengan ayat-ayat Allah dan sunnah Rasul-Nya. Membuka mata hatinya dengan nasihat dan pengajaran bahawa jodoh, ajal dan rezeki semua telah dituliskan di dalam kitab masing-masing. Setiap manusia tidak boleh memaksakan kehendaknya, semua bergantung kepada pilihan Allah Taala. Boleh jadi apa yang kita sukai adalah yang dibenci Allah dan apa yang dibenci adalah yang disukai Allah Taala. Hidup ini adalah proses pencarian takdir masing-masing, kita hanya diharuskan berusaha tetapi yang berhak menentukan hanyalah Allah Taala.

Akhirnya anda faham bahawa cinta itu hanya memilih dua keadaan, bahagia atau tersiksa. Ia juga merupakan penawar dan boleh jadi racun yang mematikan, jika seseorang tidak percaya dengan kuasa pilihan Allah Taala, dia akan memaksakan kehendaknya.

http://drjuanda.com/

Najib pun tak kan berani tanya soalan ini

http://lianglahad.blogspot.com/, 17 Mac 2013
Mazidul Akmal Sidik tersilap langkah apabila membuat satu status dengan pertanyaan "Siapa Sokong Anwar Ibrahim? di laman facebook beliau.

Mungkin Mazidul mengharapkan facebokers yang lain akan komen "saya memang tak sokong Anwar" atau pun "saya sokong Najib"...

Tapi pertanyaan Mazidul itu mendapat respons di kalangan facebookers dengan majoriti menyatakan sokongan kepada Anwar dan ada yang jawab A.B.U....

Najib pun sure takkan berani punya untuk menanyakan soalan yang sebegini..













Tiada ulasan: