Ahad, 31 Mac 2013

YANG UNTUNG KAKI BELASAH TAK KIRA HALAL HARAM...CUMA AKHIRAT RUGI...TAPI MEREKA NI MUNGKIN TAK FIKIR AKHIRAT DAN MATI

Perjanjian senjata oleh PM 'luput' mungkin tak sah
 
Jika berjaya menawan Putrajaya, Pakatan Rakyat akan menyemak semula semua kontrak yang ditandatangani oleh kerajaan persekutuan selepas 8 Mac dan mungkin membatalkannya jika tidak adil dan melibatkan penyalahgunaan kuasa, kata ketua anggota parlimen DAP.

Lim Kit Siang berkata, kerajaan sebenarnya tiada urusan dalam menandatangani perjanjian selepas tamat lima tahun mandat pemerintahan kerana ia dikira perjanjian sementara dan tertakluk kepada pengesahan kerajaan selepas itu.

Mengetengahkan isu perjanjian senjata bernilai RM4.3 juta yang ditandatangani di Langkawi kelmarin, Lim berkata:

lim kit siang story 1"Kita tidak terikat dengan perjanjian ini kerana ia dilakukan selepas 8 Mac, ketika perdana menteri tiada keabsahan dan kewibawaan, dan ia hanya perdana menteri yang sudah 'luput'."

"Beliau tidak boleh tandatangan perjanjian ini," katanya sambil menambah, kerajaan persekutuan patut mengisytiharkan setiap perjanjian selepas tarikh itu kerana ia tidak sepatutnya dibenarkan.

Lim (kiri) berkata demikian sewaktu measmikan bilik gerakan pilihan raya DAP Seputeh.

Ditanya dalam sidang media selepas itu bahawa kerajaan secara undang-undang masih berkuasa kerana sesi pertama parlimen untuk penggal ini bermula pada 28 April 2008, Lim menolaknya dengan berkata ia persoalan legitimasi, bukan legaliti.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Khamis lalu mengumumkan 24 perjanjian membabitkan pelbagai aset dan perkhidmatan pertahanan bernilai RM4.2 bilion, ditandatangani antara Kementerian Pertahanan, syarikat industri pertahanan tempatan dan antarabangsa serta kerajaan Pahang, pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2013 (LIMA 2013).

Bernama melaporkan beliau sebagai berkata, ia termasuk enam kontrak kerajaan, tiga surat penerimaan oleh Kementerian Pertahanan, 11 Memorandum Perjanjian (MoA) dan empat Perjanjian Persefahaman (MoU) antara pelbagai pihak.

Menurut Ahmad Zahid, perjanjian yang dimeterai itu bagi memperkukuh industri pertahanan negara dan mewujudkan penempatan bagi syarikat Eropah di Taman Teknologi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MDSTP) di Sungkai, Perak.

Mengulas perkara yang sama, Ahmad Zahid berkata sebanyak sembilan perjanjian ditandatangani membabitkan MDSTP bernilai RM2.7 bilion.
MB arah prosiding hina mahkamah pada Ahmad Said
7:15PM Mac 30 2013  
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibraim mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap bekas ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan kerajaan Malaysia.

Beliau juga mengarahkan Sankara Nair mengambil apa-apa tindakan yang difikirkan sesuai dan setimpal dengan tindakan yang dilakukan defendan apabila gagal, enggan dan ingkar terhadap perintah mahkamah yang dimaterai secara persetujuan pada 19 Mac lalu.

NONEAntara terma persetujuan yang direkodkan di hadapan hakim Datuk Lau Bee Lian: Ahmad Said (kanan) melafazkan permohonan maaf di mahkamah terbuka dan menyiarkan permohonan maaf tersebut di muka depan dua akhbar harian berbahasa Inggeris, New Straits Times dan The Star dalam tempoh empat hari dari tarikh tersebut.

"Mereka sehingga hari ini masih gagal melaksanakannya walaupun peguam saya telah menuntut defendan berbuat demikian.

"Ahmad Said, SPRM dan Kerajaan Malaysia secara terang-terangan telah menghina mahkamah kerana dengan sengaja tidak mematuhi dan menghormati perintah mahkamah," kata Khalid.

Ahmad Said pada 19 Mac lalu memohon maaf di mahkamah terbuka kepada Khalid berhubung kenyataan yang dibuatnya pada 2009 dan bersetuju membayar kos RM10,000.
Sengit di kerusi 3 pemimpin PKR, ramal Anwar
 
Dalam keghairahan mahu menawan Putrajaya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu memandang remeh terhadap saingan sengit yang mampu diberikan musuh politik mereka BN.

Dalam ceramahnya di Gombak, Kuala Lumpur malam tadi, ketua umum PKR itu meluahkan sikap hati-hatinya itu untuk kerusi Gombak, Pandan dan Lembah Pantai.

Ketiga-tiga kerusi itu akan ditandingi tokoh heavyweight PKR, iaitu Azmin Ali (timbalan presiden), Rafizi Ramli (pengarah strategi) dan Nurul Izzah (naib presiden yang juga anaknya) dalam pilihan raya umum akan datang.

"Fokus yang Umno mesti tumbangkan (adalah) Azmin di Gombak, Rafizi di Pandan dan Nurul Izzah di Lembah Pantai," katanya.

Dalam pilihan raya umum 2004, Azmin menewaskan calon BN Said Anuar Said Ahmad dengan majoriti 6,867 undi.

Nurul Izzah membuat kejutan dengan memalukan penyandang kerusi Lembah Pantai Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang juga ketua Wanita Umno dan menteri kabinet pada masa itu dengan majoriti 2,895 undi.

Manakala Rafizi pula akan membuat penampilan sulungnya dalam pilihan raya dengan turun ke kerusi yang disandang bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tek Kiat.

Ong bagaimanapun belum tentu terpilih mempertahankan kerusi itu daripada asakan Pakatan.

'Lagi kacau, lagi dahsyat 2, 3 minggu lagi'
Sementara itu, tanpa memberikan sebarang perincian, Anwar mendakwa mendapat maklumat daripada sumber "sebelah perdana menteri" bahawa terdapat lebih banyak "fitnah" berkaitannya akan disebarkan dalam masa terdekat.

"Saya dapat maklumat dari sebelah Datuk Seri Najib, (dalam masa) dua tiga minggu lagi, lagi kacau, lagi dahsyat, lagi teruk dia (dari sebelah sana) punya caci dan fitnah," kata Anwar.

Kata Anwar, taktik itu tidak mensasarkan untuk mengolah krisis keyakinan terhadap beliau tetapi sekadar cukup "menimbulkan kecurigaan" bagi merencatkan kebangkitan rakyat.

"Mereka tidak mahu timbulkan krisis keyakinan dan mereka juga tidak kisah sama ada ia benar atau tidak benar.

"Mereka cuma mahu timbulkan sedikit kecurigaan sahaja," katanya.

Terbaru, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa menerima maklumat bahawa video seks palsu menampilkan Nurul Izzah dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim (dalam dua video berasingan) akan disebarkan.

Anwar malam tadi turut mengumumumkan Azmin dan seorang lagi naib presidennya Tian Chua akan mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka dalam pilihan raya lalu di Gombak dan Batu.

Pengumuman pemilihan Tian Chua dibuat di kawasan Parlimen itu dalam ceramah sebelumnya.
Cui bono, siapa untung?
 
Minggu ini saya memperkenalkan satu ayat dalam bahasa Latin - Cui bono - siapa untung. Ayat ini muncul di kota Rom dalam tahun 1604. Hari ini ayat ini sedang digunakan oleh FBI, CIA, Mossad, MI5, MI6 atau FSB badan risik yang menggantikan KGB di Rusia. Ayat ini menjadi kunci untuk apa sahaja bentuk siasatan intel, jenayah dan analisa politik.

Cui bono - siapa untung - adalah teknik dan cara untuk menjalankan siasatan. Kalau FBI di Amerika membuat siasatan ke atas Mafia pembawa dadah atau kartel dadah dari Colombia maka cui bono ini adalah ‘Al-Fatihah' pembuka surah. Semua badan risikan dan polis dalam dunia ini akan menggunakan cui bono - kecuali polis Malaysia dalam kes pembunuhan Altantuya.

Cui bono atau siapa untung ini dijadikan mantra. Apa sahaja tindak tanduk manusia semuanya berasaskan cui bono. Gadis Iran membawa dadah ke Malaysia untuk mendapat untung ringgit dan dolar. Mahathir mengubah identitinya untuk kelentong orang Melayu. Justeru manusia akan melakukan apa sahaja untuk keuntungan diri. Dengan ini jika kita mengkaji dan melakukan siasatan maka cui bono ini adalah kunci.

Setelah memahami apa itu cui bono maka saya buka kembali analisa terhadap apa saya panggil sandiwara Al-Lahad Datu. Saya cukup yakin apa yang berlaku semuanya adalah sandiwara. Kenapa saya berani berkata sedemikian? Jawabnya cukup senang: cui bono - siapa untung.

Sebelum kita meneliti keuntungan itu biar saya bogelkan beberapa fakta lawak. Kita diberitahu satu gerombolan 100 orang warga Sulu yang lengkap bersenjata telah masuk ke Lahad Datu. Bagaimana warga Sulu ini datang tidak jelas.

Kemudian akhbar dan media milik United Malays National Organisation mula memuntah berita-berita lawak lagi bodoh. Jumlah 100 orang menjadi 40. Kenapa demikian tidak jelas. Wartawan dalam dan luar negara TIDAK dibenarkan melapor. Wartawan AL-Jazeera telah ditangkap dan ditendang keluar. Yang boleh melapor hanya media milik Ketuanan Melayu.

Najib dan sepupunya Hishammuddin kurang sedar bahawa Ronald Reagan telah menghadiahkan kepada dunia apa yang dipanggil Internet. Melalui sistem Internet ini kita semua dapat membaca laporan-laporan dari media Filipina dan media dunia.

Dari media Filipina kita tahu bahawa sosok yang berkaca mata hitam seperti rupa Mat Daud Kilau ialah Sultan Sulu yang tinggal di Manila. Sultan ini sedang menuntut hak terhadap Sabah. Dari media Filipina untuk pertama kalinya rakyat Malaysia mendapat tahu secara resmi bahawa dalam perlembagaan Filipina, Sabah adalah sebahagian dari negara Filipina. Untuk pertama kalinya rakyat Malaysia tahu bahawa setiap tahun kerajaan Malaysia membayar sewa kepada Sultan Sulu kerana memakai Sabah.

Internet juga memberi kita tahu bahawa Sultan Sulu ini ramai. Kita juga tahu bahawa Lokman Adam ialah penasihat salah seorang dari Sultan Sulu ini. Kita juga tahu pemimpin 100 penceroboh bersenjata itu dikatakan bekas ADO di Sabah dan warga Malaysia.

Pada hari kedua sesudah 100 penceroboh masuk kita diberitahu bahawa mereka ini adalah delegasi dari Sulu yang ingin berbincang dengan seorang ‘personaliti'. Mengikut media milik Ketuanan Melayu sesudah berbincang dengan ‘personaliti' ini maka gerombolan 100 orang ini akan beredar. Siapa personaliti ini hingga ke hari ini tidak pula diberitahu.

Maka spekulasi timbul walaupun ketua polis negara melarang kita semua berspekulasi. Orang ramai tertanya-tanya apakah Sultan Sulu menghantar delegasi untuk meminang Ziana atau datang untuk meminang adik Ziana. Untuk rakyat Malaysia perkara ini masuk akal kerana pemimpin tertinggi negara dan sepupunya amat rapat dengan keluarga Zain ini.

Selama 23 hari delegasi Sultan Sulu ini ‘ bermastautin' di Lahad Datu. Satu Malaysia tidak tahu apa yang dibincangkan. Apa yang mereka labonkan berminggu minggu. Kelambatan Najib dan sepupunya mengambil tindakan telah menjadikan bekas MB Selangor menyinga marah. Khir Toyo telah menyelar Najib kerana gagal bertindak. Dalam bahasa anak muda Khir Toyo telah berkata: Najib ini poyo!

Tetiba sandiwara ini menjadi gempak apabila berlaku tembakan dan kematian. Jeng jeng jeng... suasana kini beralih. Maka diumumkan secara resmi bahawa PDRM sedang menjalankan apa yang dipanggil panggil Ops Sulu. Warga Sulu yang mungkin datang untuk melamar Ziana kini dianggap sebagai penceroboh. Lawak bodoh ini terus menjadi lawak seram kerana si penceroboh memakai pakaian seragam dan bersenjata lengkap. Dari mana senjata ini datang wallahu 'alam bissawab - tidak pernah rakyat Malaysia diberitahu.

Dari awal lagi satu persoalan hakiki telah muncul. Kenapa hantar polis. Kenapa tidak dihantar tentera walhal penceroboh ini lengkap bersenjata. Untuk membodohkan Bani Melayu maka diumumkan bahawa Malaysia tidak boleh menghantar tentera kerana ini melanggar ‘Geneva Convention'. Kah, kah, kah! Kenyatan Najib tentang ‘Geneva Convention' membuktikan bahawa Najib ini bukan sahaja poyo tetapi betul-betul bangang.

Najib dan sepupunya menjangkakan rakyat Malaysia ini bodoh macam telur, menerima apa sahaja yang dilaporkan oleh TV3. Ini silap besar kerana rakyat Malaysia secara logik akan bertanya kenapa Tentera DiRaja Thai datang menyerang Gerakan Pembebasan Petani. Atau kenapa Tentera Rusia menyerang Chechen? Kalau mengikut lojik Geneva Convention Najib, serangan tentera Siam ini bermakna kerajaan Siam di Bangkok mengitiraf kerajaan Melayu Petani. Kah kah kah!

Skrip ini bertambah bodoh apabila jet pejuang mula menjatuhkan bom. Skrip di sini bukan tentang bom ini sengaja dijatuhkan di tempat yang salah hingga menggangu tupai dan cikah. Babak bom ini menjadi pelik kerana semenjak bila PDRM memiliki jet pejuang.

Perhatikan betul-betul media Ketuanan Melayu sekarang. Secara di rancang Ops Sulu tetiba berubah menjadi Ops Daulat. Penceroboh kini menjadi militan dan pengganas. Kenapa begini? Untuk memahami ini mari kita kembali kepada cui bono - siapa untung dalam pementasan skrip ini.

Satu Malaysia tahu bahawa United Malays National Organisation akan bungkus dalam PRU13 ini. Kemenangan dalam PRU12 dahulu didakwa hanya dibantu oleh undi haram dari Sabah. Ketika Al-Lahad Datu dipentaskan parti Kertuanan Melayu ini sedang nyawa-nyawa ikan. Siasatan diraja tentang kad pengenalan segera sedang berjalan di Kota Kinabalu. Balasubramaniam baru sahaja pulang dari India dan membuka kisah keluarga Najib. Adik angkat Rosmah Mansor, Deepak Jaikshan sedang meroyan ke hulu ke hilir membawa kisah ‘cintanya' dengan Rosmah Mansor. Muhyiddin Yassin pula sedang mengumpulkan bala tentera - lebih besar dari Tentera Diraja Sulu - untuk menendang Najib.

Jelas Cui bono memerlukan motif. Bukan seperti Azilah dan Sirul membunuh Altantuya tanpa motif. Motif pementasan Al-Lahad Datu ialah untuk memadam dan memesongkan pandangan rakyat Malaysia terhadap realiti politik yang sedang berlaku. Sesak nafas yang dihadapi Najib hilang apabila Ops Sulu aka Ops Daulat dipentaskan.

Dengan sekelip mata kesah Bala, kesah Deepak, kisah Scorpene, kisah Najib akan didakwa di Paris - hilang dari pembacaan umum. Setiap hari media United Malays National Organisation memaparkan sentimen sedih. Media mengajak Bani Melayu agar bersatu menyokong United Malays National Organisation kerana ada Mat Sulu yang dulunya diberi kad pengenalan segera kini sudah berani melawan tauke.

Ops Daulat ini mengingatkan saya kepada PRU tahun 1964 di mana United Malays National Organisation dengan MIC dan MCA telah menang besar kerana pada ketika itu ada musuh luar bernama Bung Karno. Kali ini dalam tahun 2013 nampaknya teknik 'mewujudkan musuh luar' sedang digunakan untuk mengembalikan kesetiaan anak semua bangsa yang sudah bangun untuk menerajang mampus parti Ketuanan Melayu.

Lihat bagaimana laporan membawa jenazah disiar TV terus menerus dari lapangan terbang ke tanah perkuburan. Ini bertujuan untuk menimbulkan simpatai kepada United Malays National Ornagisation. Belas kasehanlah kepada parti ini kerana sedang berjuang melawan musuh dari luar. Najib dan United Malays National Organisation sedang meraih untung dari simpati orang ramai.

Yakinlah tidak lama lagi akan diadakan perhimpunan besar-besarkan untuk membakar semangat patriotik anak semua bangsa untuk terus menyokong kerajaan haram ini. Semua ini adalah skrip Al-Lahad Datu ini. Saya juga tidak hairan jika akan dipentaskan beberapa skrip lagi- seperti Prebet Adam, Al-Maunah dan, dan, dan.... Semua ini untuk mengolah persetujuan agar rakyat akan terus menyokong kerajaan.

Najib Razak berhujah bahawa Lahad Datu bukan sandiwara kerana adanya kematian. Untuk ini saya membawa pembaca kepada sandiwara Mei 13. Mei 13 dipentaskan kerana United Malays National Organisation telah hilang kuasa di Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Hari ini kita faham bahawa Mei 13 ini dikatakan dirancang untuk menyelamatkan kuasa elit politik. Kematian hanya memperkukuhkan lagi skrip itu.

Statistik resmi: Antara tahun 2000 hingga Februari 2010 menunjukkan seramai 144 kes kematian dalam lokap dilaporkan melibatkan 64 orang Melayu, 30 orang Cina, 28 orang India, 8 bagi kaum-kaum lain dan 14 kes kematian bagi warga asing. Soalannya kenapa Najib tidak tunggang langgang bersedih bila membaca angka kematian ini?

Kita menghadiahkan Al-Fatihah kepada yang gugur. Kita bersimpati kepada yang terkorban. Kita sama bersedih dengan anak, isteri dan kaum keluarga soldadu dan mata-mata yang gugur. Kita juga sama bersedih atas kematian dari pihak musuh. Tetapi adanya kematian bukan bermakna Lahad Datu tidak berskrip.

Ini kerana cui bono - yang untung ialah Najib Razak dan memberi nafas untuk United Malays National Organisation.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Politik baru lepas PRU ke-13
 
Saya teringatkan keadaan Saidina ‘Ali bin Abi Talib RA yang menjadi khalifah selepas krisis paling besar dalam sejarah umat Islam iaitu peristiwa pembunuhan khalifah ketiga, Saidina ‘Uthman bin ‘Affan.

Umat Islam terpinga-pinga dengan keadaan politik baru ketika itu. Suatu pengalaman yang cukup baru, khalifah dibunuh dan pemberontak menguasai negara.

Dalam celahan itu, dengan desakan pemberontak dan umat Islam juga sebahagiannya bersetuju maka terlantiknya ‘Ali bin Abi Talib memegang jawatan khalifah.
Gawat
Suasana prasangka memenuhi dunia Islam ketika itu. Ini persis kata-kata Abu al-Hassan ‘Ali al-Nadwi:

"Pelantikan Saidina ‘Ali sebagai khalifah dibuat dalam keadaan yang paling gawat dan penuh dengan ujian getir dalam sejarah. Ini kerana apabila ‘Ali dilantik sebagai pimpinan kerajaan dan masyarakat atau dibai'ah sebagai khalifah dalam keadaan peristiwa syahidnya Khalifah al-Muslimin ‘Uthman ibn ‘Affan RA baharu sahaja berlaku dengan cara yang paling keji, kejam dan ganas.

"Pada zaman itu terkumpul faktor-faktor negatif seperti ketidakpuasan hati, sentuhan perasaan dan jiwa. Banyak pula khabar angin, persoalan dan salah faham yang timbul. Perasaan ingin tahu dan meminta penjelasan semakin melonjak-lonjak. Berita syahidnya ‘Uthman menjadi tajuk perbualan di mana-mana.

"Suara orang ramai kedengaran di sana-sini meminta pelaksanaan hukuman bunuh balas terhadap pembunuh ‘Uthman. Begitulah keadaan masyarakat manusia pada setiap masa dan zaman apabila berlakunya kejadian yang asing bagi mereka. Maka hilanglah ketenteraman dan ketenangan". (Al-Nadwi, Al-Murtadha, ms 141. Dar al-Qalam: Damsyik)
'Ali menerima jawatan tersebut dalam keadaan yang demikian. Hasilnya, berlakulah pergolakan politik yang dahsyat. Perpecahan rakyat, kemunculan pelbagai aliran mazhab, pertumpahan darah dan seumpamanya.

Saya tertarik dengan jawapan Abdullah bin ‘Abbas apabila ‘Ali bertanya pandangannya tentang keadaan polisi-polisi yang ‘Ali ambil pada masa tersebut.

Antaranya, Abdullah bin ‘Abbas berpendapat sepatutnya semasa pembunuhan ‘Uthman, ‘Ali keluar ke Mekah dan tinggal di sana. Apabila orang ramai tidak dapat mencari pengganti khalifah mereka akan mencari ‘Ali dan menjemputnya ke Madinah lalu melantiknya sebagai khalifah.

Ini tentu tidak akan menimbulkan sebarang sangkaan buruk Bani Umayyah. Namun apa yang berlaku sekarang ialah ‘Ali menggantikan jawatan khalifah yang dibunuh ketika beliau sendiri berada di Madinah. Sudah tentu ada pihak yang menganggap ‘Ali perlu dipertanggungjawabkan (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/438-439. Rawa‘i al-Turath al-Islami: Beirut).
Tempoh perubahan
Pandangan Ibn ‘Abbas itu ada benarnya. Ketika negara dalam krisis kepimpinan, pemimpin yang selamat ialah pemimpin yang berkemampuan yang digesa oleh rakyat untuk memimpin mereka.

Ini lebih baik dari pemimpin yang mengambil kedudukan dalam keadaan rakyat masih terpinga-pinga. Ya, walaupun pemimpin penyelamat semasa gawat juga diperlukan, namun sangat terdedah kepada pelbagai fitnah dan ketidakpuasan hati rakyat. Hal yang sama kita lihat berlaku kepada Presiden Morsi di Mesir sekarang.

Oleh kerana banyak dan tingginya ‘expectation' rakyat, di samping kekangan pelaksanaan yang ada disebabkan saki baki regim yang lepas dan pengalaman yang belum cukup baik, maka ia merupakan saat yang paling mencabar dan mudah disalahfahami.

Dr Morsi akhirnya dilihat terpaksa bertindak dengan gaya yang sedikit sebanyak ada persamaan dengan regim Mubarak yang lepas. Di samping al-Ikhwan al-Muslimin yang berpecah dan mempunyai beberapa pendekatan yang kontraversi dalam politik perubahan.
Keadaan ini kadang-kala menunjukkan ada baiknya tokoh-tokoh gerakan Islam dan ilmuwan dalam masa transisi politik berjalan hendaklah bersabar dengan memberi laluan kepada pihak lain terlebih dahulu.

Apa yang penting hendaklah dipastikan pihak lain tersebut mendokong hasrat perubahan kepada yang lebih baik. Selepas tempoh yang rumit dan mood rakyat hendakkan perubahan yang seterusnya, maka di situ mungkin peranan tokoh-tokoh yang berwibawa akan lebih berkesan.

Mungkin laluan terpaksa diberikan kepada orang yang kurang kualiti tetapi mampu menjayakan perubahan yang seterusnya.

Nabi menyatakan kadang-kala orang yang jahat secara tidak langsung dapat membantu agama.

Sabda Nabi SAW: "Tidak akan masuk syurga melainkan orang yang beriman, dan sesungguhnya Allah (kadang-kala) menolong agama ini dengan lelaki jahat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Cabaran
Keadaan dalam masa transisi mungkin banyak perkara tidak dapat dilaksanakan. Suasana yang tidak kondusif akan menggagalkan banyak idea-idea yang baik. Hal ini dirasai oleh Khalifah ‘Ali bin Abi Talib apabila dia dipersoalkan tentang kegagalan melaksanakan undang-undang ke atas pembunuh khalifah ‘Uthman bin ‘Affan.

Para sahabat Nabi SAW termasuk Talhah dan al-Zubayr telah menemui ‘Ali meminta kepadanya:

"Wahai ‘Ali! Kami mengisyaratkan agar engkau menegakkan hukum bunuh balas. Mereka adalah kaum yang terlibat dalam konspirasi pembunuhan ‘Uthman dan menghalalkannya.

Jawab ‘Ali: "Wahai saudaraku! Sesungguhnya aku bukannya jahil tentang apa yang kamu semua tahu. Namun apa yang boleh aku lakukakn terhadap suatu kaum yang menguasai kita dan kita tidak mampu menguasai mereka.

"Hamba kamu dan golongan badawi yang ada telah menyertai mereka. Hamba kamu dan golongan badawi yang ada telah menyertai mereka. Mereka berada di tengah-tengah kamu dan bertindak apa sahaja yang mereka suka. Apakah kkamu melihat adanya kemampuan terhadap apa yang kamu mahu?" (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/ 437).

Akhirnya, Ali yang diheret ke dalam kancah perbalahan sesama sahabah Nabi SAW yang padahal kesemua mereka mempunyai hasrat baik yang sama.

Proses perubahan yang paling mencabar ialah setelah sesuatu regim ataupun kuasa yang dinyahkan rakyat itu tumbang.
Seringkali mengisi kemenangan jauh lebih sukar dan mencabar dibandingkan merebahkan sesuatu kuasa. Saki-baki kesan kuasa yang lepas, mentaliti rakyat, mentaliti dan sikap pendokong perubahan itu sendiri setelah mencapai kemenangan, kemampuan idealisme dan kewibawaan kepimpinan menjadi cabaran bagi sesebuah kerajaan baru.

Congakan politik hendaklah kemas kepada sesiapa yang membuat keputusan yang menjadi pemimpin utama sebaik sahaja mana-mana regim ataupun kuasa ditukar. Al-Rabi' al-‘Arabi (Arab Spring) memberi banyak pengajaran kepada pejuang perubahan.
Pasca PRU-13

Kita inginkan landskap baru politik bagi negara ini setelah nanti berlangsungnya ibu segala pilihan raya bagi negara ini iaitu PRU-13. Kita ingin melihat tamatnya krisis politik warisan kepada kemunculan urus tadbir yang sangat baik sebuah kerajaan (good governance).

Bermula dari kita tidak ingin lagi mendengar kisah pertarungan politik Mahathir-Anwar yang tidak habis-habis dan memakan korban pelbagai pihak, kepada tamatnya monopoli kerajaan terhadap harga diri rakyat, kronisme, rasuah, penyalah gunaan kuasa seperti di Sarawak dan seumpamanya.

Kita tidak ingin lagi memilih pemimpin yang kurang buruk secara perbandingan, tetapi ingin memilih pemimpin yang terbaik antara yang terbaik. Era dan warisan krisis politik Mahathir-Anwar mestilah diakhirkan kepada nafas politik baru yang lebih segar.
Kita mesti pencenkan dinasour-dinasour politik yang sedia ada samada di pihak BN ataupun Pakatam. Di samping semua mereka ada sumbangan tersendiri dan kita menghargainya, tetapi mereka telah membawa dendam warisan, politik era lama yang tidak sesuai lagi bagi generasi yang mahu ke hadapan.

Kita mahu politik yang lebih segar bukan politik selak kain, tetapi politik telus dan idea yang bernas.

Ini harapan kita. Masih banyak kerja yang perlu dibuat selepas PRU-13. Masih banyak ruang untuk diisi dan perjuangan yang mesti dilangsungkan.

Kita ingin melihat Malaysia baru yang segar dan bebas dari mimpi-mimpi buruk semalam. Namun kita sedar semua itu tidak boleh berlaku melainkan PRU13 mesti mencetus satu perubahan besar yang memberi ruang dan peluang untuk perubahan seterusnya dapat dilakukan.

PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinnya menggambarlan pendirian rasmi Malaysiakini.

Tiada ulasan: