Isnin, 18 Mac 2013

LAGI LAMA BUBAR...RAKYAT LAGI NAMPAK SENGAL NYA KERAJAAN...RAKYAT BERUBAH SOKONGAN...TERIMALAH JIKA ITU TAKDIR DARI ALLAH SWT

Pengerusi, AJK Persatuan Kerabat Perak sertai PAS

Muhammad Faeez Azahar, 18 Mac 2013


BERUAS: Pengerusi Persatuan Kerabat dan Waris Negeri Perak, Raja Rozmal Raja Yaacob mengisytiharkan menyertai PAS.

Beliau menyerahkan borang permohonan keahlian PAS bersama 30 AJK dan ahli persatuan itu kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam satu program ceramah politik di Beruas, dekat sini malam tadi.

Dalam ucapannya, Raja Rozmal berkata, penyertaan tersebut tidak didorong oleh sesiapa tetapi atas kesedaran sendiri setelah melihat perjuangan PAS adalah benar.

Menurutnya, penyertaannya juga akan memberi ruang kepada beliau dan ahli jawatankuasa membantu PAS dan Pakatan rakyat untuk memenangi PRU13 nanti.

Di akhir ucapannya, Raja Rozmal membacakan ikrar dengan mengatakan akan memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat.

“Saya mewakili anak-anak Raja dan Waris Negeri Perak akan menyatakan sokongan penuh tidak berbelah bahagi demi memastikan kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan melalui perjuangan yang dibawa oleh PAS,” katanya dan disambut dengan laungan takbir oleh ribuan hadirin. (Gambar atas.)

Sementara itu, Mohammad Sabu berkata, kemasukan Raja Rozmal itu memberi isyarat jelas bahawa rakyat di semua peringkat dan golongan inginkan perubahan.

Kata beliau, Umno tidak senang dengan suasana sekarang kerana ia telah menggugat impian mereka untuk terus berkuasa di negara ini.

Tegasnya, momentum perubahan tersebut telah memuncak dan tiada sesiapa yang boleh menghalang rakyat untuk terus membuat perubahan.

PRU13: PAS lancar web khas dan hijau.fm

Harakahdaily, 18 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat dengan kerjasama Jabatan IT PAS Pusat (JITP) membangunkan satu laman web PRU13 untuk menyebarkan maklumat-maklumat  berkaitan dengan PAS bagi Pilihanraya Umum ke-13 melalui capaian http://pru13.pas.org.my
Ketua Penrangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, laman PRU13 ini akan diisi dengan maklumat-maklumat seperti biodata calon-calon Dun dan Parlimen yang PAS bertanding serta berita-berita dan aktiviti pilihanraya yang berkaitan yang dihubungkan dengan laman web induk, PAS yang boleh dicapai melalui http://www.pas.org.my

Katanya, selain daripada perkhidmatan-perkhidmatan media baru yang telah sedia ada sebelum ini seperti webtv, facebook dan twitter, mulai 16 Mac juga Lajnah Penerangan PAS Pusat dan Jabatan IT PAS Pusat menerusi Urusetia Media Baru (UMB) telah memulakan perkhidmatan radio internet di bawah jenama Hijau.fm dengan menyiarkan liputan Xpresi Ulama Muda dari Gunung Semanggol.

”Radio hijau.fm ini boleh dilayari menerusi http://www.hijau.fm akan beroperasi 24 jam sehari untuk menyampaikan maklumat-maklumat khususnya berkaitan dengan PAS dan Pakatan Rakyat serta program-program dan aktiviti-aktiviti pilihanraya setelah parlimen dibubarkan,” ujarnya.

Menurutnya, mulai 16 Mac laman utama PAS versi2 juga dipertingkatkan dari menggunakan aplikasi Joomla 1.5 kepada Joomla 2.5 dengan design baru yang lebih segar untuk menyebarkan maklumat-maklumat parti dan kenyataan-kenyataan rasmi sebagai rujukan semua pihak yang berminat.

Malaysia Harini mohon maaf kepada YDP PAS Jeli

Salmah Mat Husain, 18 Mac 2013
KOTA BHARU: Selain memohon maaf, akhbar Malaysia Harini perlu membayar sejumlah ganti rugi kepada Yang Dipertua PAS Jeli, Mohd Apandi Mohammad berhubung kes saman fitnah.

Mahkamah Tinggi di sini juga memutuskan defenden perlu membayar ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif kepada plaintif.

Kes itu yang sepatutnya dibicarakan hari ini, bagaimanapun diselesaikan secara rundingan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Defendan yang disaman iaitu wartawan Rudysham Abdul Raof, Razali Yahya (Ketua Pengarang Eksekutif), Izwan Mat Yasir (Eksekutif Pemasaran), Jurnal Agrotani (penerbit) dan Percetakan Kembara Sdn Bhd.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, defendan juga bersetuju membuat permohonan maaf secara bertulis kepada Apandi dan diiklankan dalam akhbar Sinar Harian tempoh tujuh hari tarikh perintah dibuat.

“Akhbar Malaysia Harini juga perlu menyiarkan di muka utama akhbar berkenaan permohon maaf itu dan di mana-mana bahagian lain akhbar terbabit selama enam hari.

“Defendan juga bersetuju membayar sejumlah gantirugi kepada Apandi sebagai gantirugi penyelesaian dan kos,” katanya di sini. Kelima-lima defendan diwakili peguam Bhag Singh.

Akhbar Malaysia Harini bertarikh 21 Mei 2012 sehingga 3 Jun 2012 menyiarkan berita bertajuk ‘PAS Kelantan sangat buas jual tanah’ dan ‘Nik Aziz hanya bela pemimpin bukan rakyat’.

Dalam berita yang ditulis akhbar itu mendakwa “Terbaru hasil siasatan dan maklumat dalaman mendapati Yang Dipertua PAS Jeli, Mohd Apandi Mohamad ‘dihadiahkan’ tanah seluas 392 ekar di Mukim Kuala Pahi, Kuala Krai."

Tulisan itu juga mendakwa tanah yang rakyat usahakan sejak berpuluh tahun dirampas kerajaan PAS Kelantan kononnya bagi membangunkan ladang tetapi pemimpinnya rakus bagi dijadikan harta peribadi.

“Bahaya kejawen” dan prahara politik Indonesia

Ahmad Muhajir, 18 Mac 2013
Kejawen adalah agama Jawa Kuno, yang generasi hari ini tidak banyak tahu, apalagi kalau di Malaysia, agama penuh tahyul, khurafat dan kemusyrikan ini sudah ada jauh sebelum kedatangan agama Budha dan Hindu ke Pulau Jawa dan Nusantara ini, namun dalam kenyataannya mereka boleh menumpang dengan kemegahan dan kebesaran kerajaan Hindu Majapahit, sebelum Majapahit dikalahkan oleh kerajaan Islam Demak.

Mereka begitu bangga dengan leluhur dan falsafahnya Sabdo Palon Pandito Ratu. Dan kekalahan Majapahit dengan Demak itu, membuat mereka dendam dan marah sampai ke hari ini, dan bagi mereka majoritinya umat Islam di Indonesia yang kini berjumlah 88 peratus dari seluruh  penduduk Indonesia adalah kekeliruan fakta sejarah yang harus diputar kembali, bagaimana mahu menjadikan umat Islam minoriti.

Kejawen ini yang kemudian diubah di zaman Suharto berkuasa menjadikan Aliran Kebatinan, yang pada persidangan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) yang memilih presiden dan timbalannya pada tahun  1978 dan juga ingin menetapkan dasar pembangunan  negara yang disebut Garis-garis Besar Haluan Negara (GBHN).

Suharto dan orang-orangnya ingin memasukkan Kebatinan ke dalam bidang pembangunan agama namun ditentang oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) dimana ketua umumnya masa itu Prof Dr Hamka, Dewan Dakwah Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII) ketua umumnya Dr M ohd Natsir, Muhammadiyah, Nahdlatul Ulama (NU) serta hampir semua pertubuhan dan gerakan Islam  serta Parti Perrsatuan Pembangunan (PPP).

Akhirnya ditetapkan Kebatinan  sebagai kebudayaan. Namun  Suharto dan konco-konconya begitu marah, apakah Suharto masa itu sudah penganut kebatinan kerana dia percaya dengan klenik dan perdukunan sebagaimana Sukarno, dan kemudian jauh sesudahnya Gus Dur. Ratusan pemimpin dan aktivis gerakan Islam ditangkap termasuklah Dr Andi Mappatehang Fatwa, Abdul Qadir Jaelani dan lain-lainnya di daerah-daerah.

Namun bila kita telusuri sejarah kebelakang zaman perjuangan kemerdekaan tokoh Kejawen yang terkenal adalah seperti Dr Radjiman Widiodinigrat, Wongsonegoro, nama-nama inilah yang banyak
mempengaruhi polisi, dasar dan falsafah pemikiran Sukarno, tidak mustahil juga dibuatnya dasar negara Pancasila, kerana inspirasi daripada tokoh-tokoh ini, yang kemudian disusun dengan begitu lihai dan cerdik oleh cendikiawan sekular dari Minangkabau Prof Dr Muhd Yamin.

Gonjang-ganjing politik atau prahara politik Indonesia sangat dimanipulir oleh kalangan Kejawen dengan lihai dan halus, memang ulama dan  pendakwah Islam dengan sabar terus mendakwahi mereka untuk kembali kejalan Islam yang betul, namun  dendam dan kebenciannya terus membara sampai ke hari ini. Makanya sejarah politik dan demokrasi Indonesia, walaupun masa itu zaman revolosi antara tahun 1945 sampai 1956, berjalan begitu indah, damai dan mengkagumkan, namun apabila komunis (Parti Komunis In donesia-PKI) serta Kejawen ini, suasana politik Indonesia mulai berubah.

Dr Mohd Hata, cendekiawan, negarawan yang jujur dan sangat intelektual, serta penganut Islam yang baik berhenti menjadi timbalan Sukarno sebagai timbalan presiden tahun 1957. Kerana Sukarno sudah mulai menjadi diktator dan mulai menunjukkan kebencian kepada gerakan Islam serta mengamalkan “demokrasi terpimpin”. Sampai kemuncaknya dengan memaksa pembubaran Parti Islam  Masyumi, hanya kerana alasan dicari-cari dengan tuduhan pimpinan Masyumi terlibat dalam pemberontakan melawan pemerintahan pusat.

Padahal yang ikut melawan dengan Jakarta, adalah Mohd Natsir, Sjafruddin Prawiranegafra, Burhanuddin  Harahap, Haji Abdul Malik Ahmad. Sedangkan mereka itu sudah tidak berada lagi dalam kepengurusan parti, namun “ijtihad politik” Mohd Natsir dan para sahabatnya, baru dirasakan dan diakui pada hari ini, kerana alasan yang sangat rasional kenapa Natsir bergabung dengan Pemerintahan Revolusioner Republik Indonesia (PRRI), kerana ingin mengingatkan Sukarno yang sudah mesra dengan komunis dan melupakan nasib dan pembangunan daerah-daerah di luar Pulau Jawa.

Berapa ribuan orang Sumatera dan Sulawesi mati, kerana pemboman tentera Jakarta. Masa itulah jeneral Dr A Haris Nasution dan jeneral Ahmad Yani “tangannya berlumur darah” membunuh orang tidak berdosa, rakyat Sumatera dan Sulawesi memberontak kerana mengingat Sukarno yang cenderung kek iri, namun sejarah membuktikan kemudian jeneral Yani mati dipotong-potong oleh PKI dan anak Nasution terbunuh oleh PKI pada pemberontakan PKI yang gagal di Lubang Buaya, pinggiran Jakarta dan insya-Allah ini sejarah hitam yang terakhir. PKI hancur, Yani terbunuh, Nasution disingkirkan Suharto, Sukarno juga jatuh dalam keadaan hina, dan 32 kemudian diktator yang tirani dan zalim Suharto juga jatuh dalam keadaan hina tahun 1998.

Presiden Indonesia mulai dari Sukarno, Suharto, Gus Dur, Megawati dan kini SBY penuh bergelumang kurafat dan tahyul, percaya klenik dan keris sakti, bahkan mengamalkan ruwatan (dimandikan air limau dan sebagainya). Yang rasional hanyalah Prof Dr Ir BJ Habibie, seorang ilmuwan-teknokrat, yang rajin  berpuasa sunat Isnin  dan Khamis dan mesra dengan amalan tahajud. Hebatnya SBY baru dua minggu pulang dari umrah, terus terbang ke Gunung Slamet Jawa Tengah, meminta restu leluhur dan hyang saktinya, agar presiden Indonesia setelah dia adalah keluarganya juga.

Amalan Kejawen sembahyangnya cukup eling menggelengkan kepala saja boleh dibuat di mana saja, di tandas atau di jalan dan tempat tidur. Kitab sucinya dikenal dengan serat Hidayat Jati, Dr Simuh bekas rektor Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sunan Kalijaga Yogyakarta, tesisnya mengenai Hidayat Jati ini, yang menggambarkan seseorang yang khusuk beribadah, bagaimana nikmat hubungan suami isteri, agak lucah memang, tetapi itulah yang tersurat dalam Hidayat Jati.

Prahara politik hari ini, kenapa Luthfi Hasan Ishak bekas presiden PKS ditangkap mungkin  dia ikut makan 10 peratus wang keuntungan impot lembu, namun kenapa Kyai Haji Helmi Aminuddin Ketua Majlis Syura PKS dan anaknya Ridwan Mansur yang disyaki mempunya villa mewa di Lembang Bandung dan punya ladang lembu yang luas, dibiarkan begitu saja, apakah kerana dia dekat dengan SBY. Begitu pula Anas Urbaningrum, mantan ketua umum Parti Demokrat partinya SBY disuruh meletak jawatan sebagai ketua umum  dan dijadikan pesalah kerana terlibat rasuah pembangunan  gedung sukan Hambalang dekat Bogor.

Tidak mustahil Anas terlibat, kerana walaupun dia bekas ketua umum Himpunan Mahasiswa Islam (HMI), namun dia sudah memasuki wilayah atau samudera flamboyan dan fatamorgana. Tetapi Anas ini cerdas dan pintar, rasuah Hambalang mungkin  dia makan 10 peratus tetapi dia akan bongkar kerugian bank Century, yang kesnya terlunta-lunta sampai hari ini, yang merugikan  rakyat dan   negara sekitar RM 6.7 juta. Yang memakannya adalah mereka yang berada di sekitar istana presiden.

Kwelompok Kejawen memang tidak suka Anas, yang berasal dari kalangan Islam, dan Kejawen kini ingin  menonjolkan calon presiden seperti Prof Dr Mahfud MD, kini ketua mahkamah perlembagaan atau Dahlan Iskan, bos Jawa Pos group yang kini menteri yang menguruskan syarikat GLC.

Keduanya orang Islam yang baik, namun boleh dikendalikan oleh Kejawen. Lain pula dengan  Leftenan Jeneral (B) Prabowo Subianto, seorang jeneral yang cerdas dan pandai, bekas menantu Suharto, dan satu-satunya anak arwah Prof Dr Sumitro Djoyohadikusumo, yang Islam ikut Sumitro yang tiga orang lagi kakak dan adiknya beragama Katholik ikut ibunya yang berasal dari Manado,Sulawesi Utara. Prabowo memang tidak bersimpati sepenuhnya dengan perjuangan Islam, namun dia figur calon  presiden yang tidak disukai oleh Kejawen.

Begitu pula antara Ir Hatta Radjasa, ketua umum Partio Amanat Nasional (PAN) dan menteri penyelaras ekonomi dan Taufik Kiemas, suami Megawati yang kini ketua MPR. Namun Hatta yang keluarga Muhammadiyah dan Masyumi sedangkan Taufik Kiemas adalah keluarga Masyumi dan Parti
Nasional Indonesia (PNI), PNI adalah partinya Sukarno yang sangat anti dengan Islam.  Makanya kumpulan Kejawen lebih suka kepada Taufik Kiemas daripada Hatta, walaupun  Hatta adalah besan presiden SBY. Bagaimanapun SBY tidak terlalu terang-terangan memusuhi Islam dan gerakan  Islam, malah memberi ruang yang agak selesa.

Tinggal sejauh mana gerakan Islam, ulama dan pendakwah menggunakan peluang ini dan para aktivis, ulama serta pendakwah ini mampu dan sabar berdakwah kepada elit politik serta penguasa, contohnya siapa ulama Jakarta yang sabar dan diam-diam berdakwah kepada gabenur Jakarta Ir Joko Widodo, seorang muslim yang baik perlu didampingi, juga timbalannya Basuki Tjahaya Purnama, seorang Katholik, namun tidak suka anjing dan keluarganya tidak makan babi, siapa yang akan “mengetuk” hatinya, kerana kini yang ramai adalah pendakwah yang pandai “mengutuk”, tidakkah psikologi dakwah mengajarkan sebagai keteladanan Baginda Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW tidak pernah mengutuk dan menghardik orang yang didakwahinya, dengan lemah lembut dan senyum serta penuh kesabaran menyampaikan seruannya, namun  ada masa apabila Islam dihina dan dimaki Rasulullah akan keluar izzah dan wibawanya, bersedia melawan orang yang tidak sopan apalagi kurang hajar dengan Allah, Islam dan Rasul-Nya.

Kalau tukar kerajaan Islam tunggulah pembalasan – Dr Asri

Aslani M, 18 Mac 2013
KOTA BHARU: “Kalau kita tukar kerajaan Islam kepada yang lebih teruk, tunggulah pembalasan di akhirat kelak,” kata mantan Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Asri Zainal Abidin.

Beliau berkata, rakyat semestinya mengekalkan kerajaan yang ada di Kelantan sekarang.

“Sepatutnya Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) turut sama mempertahankan Kelantan,” katanya pada Wacana Perdana bertajuk ‘Pasca PRU13: Di Mana Melayu Islam?’ di Dewan Jubli Perak MPKB di sini kelmarin.

Wacana itu turut menampilkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha ISMA, Mohd Hazizi Abdul Rahman, manakala seorang lagi penalis, Datuk Shamsul Najmi sebagai mewakili Umno tidak hadir.

Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusof bertindak sebagai moderator. Orang ramai memenuhi segenap ruang dewan berkenaan.

Ramai lagi mengikuti wacana itu di atas padang di luar dewan. Hadir sama pengarah program, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Dr Asri juga berkata, PAS bergerak seiring dengan pertubuhan Islam di seluruh dunia yang semakin mendapat tempat selepas kebangkitan Arab.

Tuan Ibrahim pula menyifatkan ISMA sebagai kacau daun apabila bercadang meletak calon di kawasan tertentu pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya, kalau sekadar hendak tanding tujuh kerusi parlimen sudah tentu ISMA tidak mampu menjadi sebuah parti yang dominan.

Mohd Hazizi sebelum itu menyifatkan kuasa tawar menawar orang Melayu sekarang semakin lemah selepas PRU 2008.

“Sekiranya situasi itu terus kekal kuasa politik orang Melayu akan bertambah lemah. Ini kerana hanya apabila ada kuasa barulah boleh buat peraturan untuk Islam,” ujarnya.

Namun hujah itu ditolak Tuan Ibrahim apabila menyebut pada PRU 2004 kerusi yang dimenangi calon Islam sebanyak 123 kerusi, namun telah bertambah kepada 130 kerusi pada PRU 2008.

Bagaimanapun kata beliau ada pihak cuba mengelirukan keadaan sebenar apabila DAP menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu.

“Kalau disebut DAP ramai orang seolah-olah nampak macam Cina sangat, sedangkan MCA dan Gerakan mereka tidak lihat macam parti Cina pula,” tambahnya.

Live Forum Lahad Datu di Radio Suara Rakyat malam ini

Harakahdaily, 18 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Forum Mahkamah Rakyat: Kisah dari Lahad Datu, Siapa Pengkhianat Sebenar? di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) bermula jam 8.45 malam ini boleh diikuti secara langsung menerusi Radio Suara Rakyat.

Forum tersebut menampilkan dua saksi, Siti Aminah dan Mat Swadi yang akan sepentas dengan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Yahya Lampong dan bekas Timbalan Panglima Tentera Darat Lt. Jen. (B) Dato' Ghafir Abd Hamid.

Program anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan kerjasama Angkatan Perubahan Sabah itu akan turut menampilkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Tian Chua, bekas Timbalan Menteri Kabinet, Datuk Kalakau Untol, bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, pengerusi SAMM, Che'GuBard dan wakil SAMM Sabah, Boby.

Siaran boleh diikuti menerusi radio berkenaan di laman Harakahdaily atau
FACEBOOK
https://www.facebook.com/radiosuararakyatFM
TWITER
https://twitter.com/FMSuaraRakyat
Zello Live conversation : Suara Rakyat
BLOG : http://suararakyatfm.blogspot.com/
HOW TO LISTEN RADIO SUARA RAKYAT FM?
Blog : http://suararakyatfm.blogspot.com/
Quick Listen Link:
http://station.voscast.com/50d5a07bcb35a/
TUNEIN RADIO On MOBILE DEVICE
Clik HERE http://tunein.com/mobile/

Tiada ulasan: