Ahad, 3 Mac 2013

SAMAN JANGAN TAK SAMAN....MEREKA SEKARANG PUN TAK SEKUAT PUN SEKARANG...PENAT DAN SESAK NAFAS....TUNGGU REBAH .....INSYAALLAH

Jangan fikir jawatan PM, TPM - TG Abdul Hadi

Abd Shukur Harun, 03 Mac 2013
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan bahawa buat masa ini tidak perlu timbul sebarang isu mengenai jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang PRU akan datang.


“Yang penting sekarang ini ialah memberitahu rakyat mengenai pemerintahan yang adil jika Pakatan berkuasa,” kata beliau ketika berucap di Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya PAS Negeri Selangor 2013 di sini semalam.

Berucap di depan lebih 800 petugas pilihan raya PAS Selangor dalam suasana yang sangat ceria, Presiden PAS itu dengan suara paling tegas berkata, “yang penting sekarang kita hendak menang pilihan raya dulu untuk memerintah secara adil.

“Jika menang, barulah kita fikirkan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.”

Menurutnya, masa ini tidak berbangkit lagi isu jawatan tersebut kerana kita hendak tumpukan perhatian kepada gerak kerja pilihan raya, memberitahu rakyat akan manifesto Pakatan Rakyat iaitu hendak memerintah dengan adil kepada semua rakyat berbilang kaum.

Selanjutnya beliau berkata, setiap petugas PAS dan Pakatan Rakyat perlu menumpukan perhatian untuk memberitahu kandungan manifesto Pakatan kerana manifesto tersebut adalah dokumen Pakatan untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan memerintah secara adil.

Presiden PAS itu berkata lagi bahawa perjuangan PAS/Pakatan rakyat bukan hendak merebut jawatan dan bukan kerana ketokohan seseorang individu, tetapi untuk menegakkan keadilan dan mereka yang mengundi Pakatan bukan mengundi individu tetapi mengundi dasar perjuangan yang dibawa oleh Pakatan.

“Kita menerima tahaluf siyasi dengan persetujuan Malis Syura Ulama dan Muktamar PAS, kerana itu ia adalah suatu jihad untuk melaksanakan cita-cita perjuangan yang telah kita sepakati,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang tegas disambut dengan takbir oleh para hadirin.

Menurutnya, sepanang sejarah PAS menyertai tahaluf siyasi sejak dengan Semangat 46 dulu hingga kini, PAS tidak pernah rugi, malah banyak menguntungkan Islam.

“Jika PAS banyak memenangi kerusi dalam PRU akan datang baik di peringkat Parlimen dan Dun, maka insya Allah, PAS akan dapat menggantikan Umno,” ujarnya.

Beliau seterusnya mengingatkan pendukung PAS, bahawa dalam perjuangan ini “kita hendaklah melakukannya dengan sungguh-sunguh, istiqamah, bertawakkal dan berserah kepada Allah menentukannya”.

Minta 20 tahun tak dapat elektrik, akhirnya pindah

Harakahdaily, 03 Mac 2013
KULAI: Lebih 10 penduduk dan peniaga di  Jalan Simpang Renggam-Kulai berhampiran Kampung Bukit Nyamuk, Simpang Renggam membuat keputusan berpindah selepas harapan mendapatkan bekalan elektrik sejak 20 tahun lalu tidak juga ditunaikan.

Mohd Ja’afar Sari peniaga buah-buahan yang dipetik NusajayaKini berkata, pelbagai kepayahan dihadapinya selama 20 tahun berniaga tanpa bekalan elektik.

Menurut Ja'afar, beliau terpaksa menanggung kos bahan api sebanyak RM300 sebulan untuk menghidupkan generator berbanding hanya RM100 jika menggunakan bekalan elektrik TNB.

Seorang lagi, Mohd Tan Chan Abdullah pemilik kilang papan terpaksa mengambil tindakan sama, dengan berpindah ke tempat lain.

Menurut Tan, beliau menghadapi masalah yang sama sejak 18 tahun yang lalu apabila terpaksa membelanjakan kos sebanyak RM 7,000 sebulan untuk membeli minyak diesel bagi menghidupkan generator berbanding kos hanya sekitar RM2,000 sekiranya menggunakan bekalan elektirk TNB.

Mereka mendakwa, permohonan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dilakukan sebanyak dua kali dan makluman juga telah dibuat kepada wakil rakyat berkaitan.

Namun sehingga kini kata mereka, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak terlibat.

Difahamkan juga, jarak antara kampung berkenaan dengan punca elektrik hanya berjarak dalam lingkungan 2 kilometer.

Tanah yang didiami penduduk di kampung ini juga didakwa berstatus Penempatan Berkelompok (GSA).

Masalah mereka ini turut diadukan kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat yang turut turun melihat kepayahan mereka.

Justeru Suhaizan mendesak pihak bertanggungjawab mengambil perhatian dan tindakan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk kawasan ini.

Ameerah santuni masyarakat Tebrau

Harakahdaily, 03 Mac 2013
TEBRAU: Hampir 50 orang terdiri daripada sayap muslimat, Ameerah dan anggota pemuda PAS Tebrau menyantuni masyarakat di sini dengan epal hijau mereka.

Program petang semalam itu diadakan di sekitar Pasaraya Today’s Mall dan Econsave Taman Desa Cemerlang dengan mengedarkan lebih 150 biji epal hijau kepada orang ramai yang berkunjung di situ, lapor NusajayaKini.

Selain epal, mereka turut mengedarkan penanda buku Ameerah serta bahan bercetak lain termasuk tawaran pakatan rakyat khusus kepada anak muda.

Selain itu, pemuda PAS kawasan Tebrau pula telah menganjurkan Program Derma Darah dengan kerjasama PASTI Al-Irfan dan Hospital Sultan Ismail Johor Bahru di Today’s Mall.

Ameerah kini giat menjalankan aktiviti bertemu masyarakat menjelaskan berhubung tawaran Pakatan Rakyat ke seluruh negara.

Mereka juga dilihat sering tampil dengan pendekatan segar dan mesra anak muda termasuk dengan pendekatan persembahan musik di tempat yang menjadi tumpuan awam.

P Pinang bina terowong laluan bawah laut

Mohd SabrI Said, 03 Mac 2013
BUTTERWORTH: Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan pembinaan terowong  dasar laut bernilai RM6.3 bilion bagi menghubungkan Gurner Drive di pulau dengan Bagan Ajam sebelah tanah besar.

Ia bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar).

Pembinaan itu akan menghubungkan Seberang Perai Utara dengan pulau bag memajukan kawasan itu selaras dengan kepesatan pembangunan sejak kebelakangan ini.

"Walaupun Seberang Perai Utara dikuasai pembangkang Umno dan BN namun Kerajaan Pakatan Rakyat tetap meningkatkan kemajuan di situ demi rakyat bukan kerana dendam politik.

"Kita mencadangkan laluan ketiga di situ di mana Terowong Dasar Laut menghubungkan Gurney  Drive dan Bagan Ajam yang menelan belanja RM6.3 bilion hasil pelaksanaan tander terbuka berbanding kos asal RM8 bilion diera pemerintahan BN," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang diadakan di Dewan Haji Ahmad Badawi, Butterworth pagi tadi.

Beliau percaya pembinaan itu nanti akan memberikan lonjakan ekonomi pada penduduk Seberang Perai Utara di samping memberikan peluang pekerjaan yang cerah kepada anak-anak muda.

Menurut Lim, walaupun sedar cadanganya menimbulkan kemarahan sesetengah pihak ekoran tidak menerima cadangan mereka yang mahukan kerajaan nmegeri mengenakan bayaran kepada kenderaan yang ingin memasuki Georgetown.

Mereka mendakwa cara tersebut, akan mengurangkan kesesakan serta berpeluang menambah pendapatan negeri.

"Kita tidak akan gunakan pendekatan mereka kerana ia akan menimbulkan kemarahan rakyat. Lebih baik kita buat terowong kerana ia dapat memberikan beberapa keistimewaan sebagai tarikan pelancung, " ujarnya.

Kontraktor berpengalaman telah dilantik untuk melaksanakan projek tersebut, jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Air Putih, Balik Pulau.

Proses keluar geran tanah dihalang?

Harakahdaily, 03 Mac 2013
KUALA SELANGOR: Kerajaan negeri Selangor kini berada di peringkat akhir memproses pemberian geran tanah kepada lebih 100 penduduk asal Kampung Seri Aman dekat sini.

Namun, ia cuba dihalang oleh pihak-pihak tertentu di negeri ini dengan memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan proses dan keputusan cabutan undi untuk permohonan berkenaan.

Menurut anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar atas), pihaknya sudah berada di peringkat akhir untuk mengeluarkan borang 5A bagi membolehkan pengeluaran geran kepada mereka yang layak.

"Namun kini ia terganggu sedikit," kata Dr Dzulkefly kepada Harakahdaily.

Kampung Seri Aman didiami oleh kebanyakannya penduduk India sejak 30 tahun lalu. Sudah sekian lama mereka cuba mendapatkan geran untuk tanah mereka.

Seramai 179 keluarga yang mendakwa sebagai peneroka asal Kampung Seri Aman, Batang Berjuntai, Kuala Selangor memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan proses dan keputusan cabutan undi di kalangan pemohon baharu untuk lot tanah berkenaan.


Permohonan semakan itu difailkan wakil penduduk, Balakrishnan Subramaniam di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, semalam  menerusi firma guaman Tetuan Kamarudin & Partners.


Mereka menamakan kerajaan Selangor, Pegawai Daerah Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor dan Pengarah Tanah dan Galian Selangor masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.


Peguam Kamarudin Ahmad ketika ditemui pemberita selepas memfailkan permohonan itu, berkata kesemua peneroka asal berkenaan yang menduduki lot tanah di Kampung Seri Aman lebih 60 tahun.

Video dakwa Umno upah RM15 tersebar di internet

Harakahdaily, 03 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Satu lagi rakaman video terlepas ke internet memaparkan rakaman sekumpulan remaja lelaki Kelantan sedang beratur mendapatkan upah mereka dari pihak tertentu.

Video yang berdurasi 1.25 minit itu dimuat naik ke Youtube dan Facebook oleh pengguna dengan tajuk "[Edisi kantoi] Umno Upah Mat Rempit Sambut TPM di Kelantan".

Dalam rakaman itu, beberapa orang remaja turut ditanya oleh perakam video terbabit, berhubung jumlah wang diperolehi.

"Lima belas ringgit," jawab beberapa remaja sambil menunjukkan wang tersebut.

Pemberian 'upah' itu dibuat di bawah sebatang pokok dihadapan sebuah rumah dengan beberapa bendera BN disekelilingnya.

Bagaimanapun aksi sebenar pemberian serta pihak yang terlibat memberikan upah itu tidak jelas kelihatan ekoran sudut rakaman yang dilindungi sebuah kereta.

Ianya boleh ditonton melalui pautan http://www.youtube.com/watch?v=NOzRqgj4qOI

Rakaman video itu juga dipercayai ada kaitan dengan lawatan sehari Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri ke Kelantan kelmarin.

Selain menghadiri majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Tunjong, beliau juga  menghadiri Himpunan Anak Muda Kelantan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di Tanjung Chat.

MB beri penghormatan terakhir anggota terkorban

Harakahdaily, 03 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam turut memberikan penghormatan terakhir kepada dua orang wira negara yang terkorban dalam pertempuran dengan penceroboh di Lahad Datu, kelmarin.

Abdul Khalid memberikan penghormatan terakhir itu di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejurus jenazah kedua-dua anggota komando polis yang terkorban itu tiba di sini jam 12.30 tengah hari dengan pesawat Charlie 130.

Dalam kejadian kelmarin, dua anggota komando polis VAT-69 itu, Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud, meninggal dunia dipercayai terkena tembakan mortar dalam kejadian tembak-menembak  dengan penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina.

Selain itu, 12 penceroboh juga terbunuh. Mereka sebahagian daripada 180 pengikut ‘Sultan Sulu’ yang dikepung pasukan keselamatan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo.

Kumpulan penceroboh itu telah berkampung di kawasan Lahad Datu selama lebih dua minggu bagi menuntut hakmilik kepada negeri Sabah yang mereka dakwa kepunyaan Kesultanan Sulu.

Dalam operasi tersebut juga, seramai tiga lagi anggota polis tercedera iaitu Koperal Mohd Tarmizi Hashim, Koperal Mohd Qaiyum Afzal Zulkifli dan Koperal Azman Ampong.

Lahad Datu: Anwar arah kaji saman ke atas media Umno

Harakahdaily, 03 Mac 2013


(Anwar di majlis ceramah malam tadi - foto Malaysiakini)

PULAU PINANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan peguamnya untuk mengkaji tindakan undang-undang terhadap dua media Umno iaitu Utusan Malaysia dan TV3 berikutan laporan yang mendakwa beliau terlibat dengan kes Lahad Datu.

Anwar dalam kenyataannya selepas memberikan ceramah dekat sini berkata, beliau tidak ada kaitan dengan kesultanan Sulu sebagaimana yang didakwa.

"Jika saya bertemu pun apa isunya? Siapa di dalam kerajaan yang tidak pernah bertemu dengan pemimpin Moro Islamic Liberation Front Haji Murad Ebrahim atau (Moro National Liberation Front leader) Nor Misuari?" tanya Anwar selepas memberikan ceramah kepada lebih 2,000 orang di Seberang Jaya.

"Apa yang pentingnya, adakah saya terlibat memberikan arahan agar berlaku kebangkitan di sana atau pencerobohan kepada sempadan kita," kata Anwar sebagaimana dilaporkan wartawan Malaysiakini.

Menurut Anwar, apa yang beliau pernah nyatakan dalam kes ini adalah mempersoalkan kenapa sempadan negara begitu mudah dicerobohi dan mengapa masa yang terlalu lama diambil kerana soal keselamatan tidak boleh dikompromi.

Utusan dalam laporannya memetik kononnya pemimpin politik pembangkang di Malaysia memberikan jaminan untuk memberikan kuasa otonomi kepada Sabah jika menang dalam pilihan raya nanti.

TV3 pula malam tadi memberikan 30 minit masa untuk melaporkan kes Lahad Datu dan 5 minit melaporkan dakwaan Anwar terlibat dalam pencerobohan itu.

TV3 juga mengecam kenyataan Tian Chua kononnya pencerobohan itu adalah sandiwara Umno menjelang pilihan raya.

Salih Yaakob umum bersara, terhangat

Harakahdaily, 03 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Para pembaca Facebook dan Twitter Harakahdaily paling meminati artikel bertajuk “Salih Yaacob umum bersara selepas dikritik hebat” bagi minggu kesembilan, 2013.
Di tempat kedua adalah berita bertajuk “Protes: Rosmah Mansor ‘diserang’ siswi UKM” yang mengisahkan keberanian sekumpulan mahasiswi daripada Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) telah melakukan protes aman di hadapan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Gambar bersejarah bagi Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud yang tidak mungkin disiar media kerana menerima protes ketika melakukan lawatan ke Long Lama sebuah bandar kecil yang terletak di kawasan Hulu Baram daripada blog http://darisungaiderhaka.blogspot.com adalah artikel ketiga paling diminati peminat Harakahdaily.

Berikut ialah 10 artikel terhangat bagi minggu 24 Feb hingga 2 Mac.

1

Salih Yaacob umum bersara selepas dikritik hebat
2

Protes: Rosmah Mansor ‘diserang’ siswi UKM
3

Gambar bersejarah buat Taib Mahmud yang tidak disiar
4

Episod baru di majlis penyampaian BR1M di Kelantan
5

Lawak Salih Yaacob, Sinar FM kena tempias
6

Panas: Ustaz Azhar dikerumuni pelumba LTdL 2013
7

14 terbunuh termasuk 2 polis di Lahad Datu
8

Blogger Umno edit gambar TGNA terima BR1M
9

Keluarga Zaidi terharu MB imam solat jenazah
10

Gadis seksi demo: Perkasa malukan umat Islam

Tiada ulasan: