Ahad, 3 Mac 2013

JANGAN JADI AJAIB BIN PELIK....HAIRAN BINTI TAKJUB...KESUDAHAN TERBONGKAR JUA...INSYAALLAH

Lahad Datu: Kenapa polis bukan tentera kendali

Harakahdaily, 03 Mac 2013
KOTA KINABALU: PAS mendesak agar pihak kerajaan tampil memberikan penjelasan sebenar berhubung insiden yang berlaku di Lahad Datu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, ketelusan pihak kerajaan memberikan penjelasan adalah penting bagi menjaga integriti dan maruah Malaysia.

“Kita harap kerajaan kena telus, kena bertanggungjawab... kerana ini melibatkan masalah integriti dan maruah negara.

“Apa lagi sudah sampai ke tahap ada yang sudah terbunuh dalam kejadian ini. Jadi, tak boleh dianggap sebagai satu perkara yang tidak serius,” jelas beliau.

Tambah beliau, isu tersebut seolah-olah ada sesuatu yang hendak disembunyikan oleh pihak kerajaan apabila melibatkan polis dibarisan hadapan pertahanan negara.

“Pada pandangan kita, isu ini sepatutnya ditangani oleh tentera bukan polis. Kenapa sebaliknya, adakah ada sesuatu yang cuba disembunyi oleh kerajaan. Ini penjelasan yang kita minta," kata beliau.

Mustafa berkata demikian kepada Harakahdaily selepas menyertai program dengan bakal-bakal calon PAS di sebuah hotel dekat sini semalam.


5 lagi polis mati


Insiden di Lahad Datu naik ke fasal yang sangat membimbangkan sekarang apabila lima lagi anggota polis diberitakan terkorban di Semporna.

Bernama melaporkan, seorang pegawai dan empat anggota polis meninggal dalam serangan di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah semalam.

Menurut Bernama, ia disahkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar pada sidang media di Lahad Datu pagi ini.

Lahad Datu: Gambar penceroboh bersenjata M16 dibunuh penduduk disebar

http://shalehudin.blogspot.com, 03 Mac 2013


Terkini dari rakyat Sabah..!

Seorang anggota penceroboh MATI ditembak oleh penduduk kampung Senallang Laut Semporna. Dilaporkan penduduk kampung penuh berani merampas M16 si penceroboh dan terus membedil menyebabkan penceroboh tersebut terbunuh.

Lihat di sini.

Kantoi: Pemimpin utama Sulu hadir Perhimpunan Agung Umno 2012?

http://omakkau.blogspot.com, 03 Mac 2013

RAKAMAN GAMBAR PEMIMPIN UTAMA SULU HADIR PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2012 SEBAGAI TETAMU AGUNG JEMPUTAN KHAS TERSEBAR LUAS!!!!!!

Rupa-rupanya pemimpin penceroboh Sulu yang membunuh tidak kurang 6 anggota keselamatan negara kita di Lahad Datu, Sabah adalah tetamu agung dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 di PWTC baru-baru ini.

Mereka dijemput khas oleh UMNO sebagai tanda sahabat dan rakan karib intim.

Cuba memburukkan pencerobohan Lahad Datu dengan DSAI tetapi rupa-rupanya pemimpin agung Sulu adalah tetamu agung Najib Razak semasa PAU 2012.

SEKARANG APA MACAM.. APA NAK CERITA SEKARANG?

Lahad Datu: Kerajaan digesa bentang kertas putih

Anis Nazri, 03 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membentangkan kertas putih berhubung krisis di Lahad Datu, Sabah yang mengakibatkan dua anggota komando negara terkorban.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar, berkata kertas putih tersebut perlu dibentangkan bagi rakyat mengetahui keadaan sebenar insiden tersebut.

"Ia juga bagi mengelakkan orang awam dari terus membuat pelbagai spekulasi berkenaan krisis ini," tegas Mahfuz pada satu sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada kedua-dua keluarga komando yang terkorban dalam serangan di Lahat Datu itu.

Pada 9 Februari lalu, kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung dan berlabuh di Kampung Tandaou, 100 kilometer dari Lahat Datu.

Pihak keselamatan negara bertindak mengepung perkampungan itu sejak 11 Februari lalu, dengan melakukan beberapa siri rundingan dengan kumpulan tersebut.

Najib perlu segera ke Sabah, sidang parlimen tergempar

Harakahdaily, 03 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Satu sidang tergempar Parlimen yang sepatutnya diadakan dalam minggu ini, walaupun pada 8 Mac 2013 yang menandakan ulang tahun kelima Pilihan raya Umum 2008.

Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang berkata, ini untuk memberitahu negara dan dunia bahawa walaupun negara berdepan dengan Pilihan raya Umum ke-13, rakyat Malaysia tidak mengira gabungan politik, kaum, agama dan kawasan, bersatu padu mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat melibatkan krisis Sulu di Sabah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur dalam satu kenyataan juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat lawatan segera ke Sabah untuk meredakan kebimbangan dan kerasahan rakyat terhadap pelbagai insiden pencerobohan ke negeri dan keselamatan rakyatnya.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Di kala rakyat Malaysia masih berkabung  untuk kematian dua wira negara, komando polis Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Sabaruddin Daud, 46, yang terbunuh di dalam insiden tembak menembak dengan penceroboh bersenjata Sulu di Kampung Tanduo Lahad Datu pada pagi Jumaat, tiga lagi komando cedera, negara dikejutkan lagi pagi ini dengan berita bahawa terdapat dua lagi polis maut di Semporna malam semalam.

Rakyat Malaysia bangun pagi ini dengan berita sedih bahawa “Polis terbunuh bertempur dengan militan Filipina di Semporna” tetapi menjelang tengah hari, pihak polis mengesahkan terdapat dua pegawai polis yang terbunuh di dalam serang hendap di Kampung Seri Jaya Siminul, sebuah perkampungan atas air, di Semporna pada sekitar 6.30 petang semalam – dan yang ketiga sedang bertarung nyawa di hopistal awam di Semporna.

Namun yang lebih buruk bakal terjadi, apabila rakyat Malaysia mendapati berita sidang akhbar bersama pertama oleh polis dan tentera di Felda Sahabat Residence, Lahad Datu selepas tiga minggu stand-off dengan penceroboh bersentaja Sulu di Kampung Toudou, seperti yang digambarkan di dalam laporan Malaysiakini:

·         Lima anggota polis terbunuh di Semporna, kata IGP

·         IGP: Lebih ramai penceroboh mendarat di Sabah

·         Panglima ATM kata penceroboh ada kemahiran

Turut dilaporkan terdapat satu lagi pendaratan oleh penceroboh di Kunak.

Malam semalam saya menerima laporan kematian dua orang polis di dalam pertempuran di Semporna dan saya pasti maklumat ini sudah pun berlegar sekitar Sabah petang semalam, menimbulkan tanda tanya terhadap kewibawaan maklumat rasmi berkenaan krisis Sulu di Sabah.

Pihak berkuasa sepatutnya sedar bahawa di era maklumat  dan komunikasi serba pantas ini, terdapat keperluan untuk melihat kembali dan memodenkan dasar dan amalan era pra-informasi mereka bagi memastikan kewibawaan mereka.

Semakin ramai rakyat Malaysia yang patriotik tertanya-tanya tentang pengurusan stand-off selama tiga minggu dengan penceroboh bersenjata Sulu di Lahad Datu dan sama ada korban pasukan keselamatan dapat dielakkan sekiranya seluruh situasi itu ditangani dengan betul sejak awal lagi.

Keraguan dan rasa ingin tahu ini, tidak kira betapa absah sekalipun, perlu diletakkan di tempat kedua, memandangkan tidak diragui lagi negara kini berdepan dengan krisis melibatkan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat yang mesti dijadikan keutamaan tertinggi.

Saya mencadangkan majlis semua pihak ditubuhkan, dengan perwakiland daripada kedua-dua perikatan pemerintah dan oposisi, untuk membantu menguruskan krisis Sulu Sabah bagi menunjukkan pada dunia bahawa rakyat Malaysia, tidak mengira gabungan politik, kaum, agama atau kawasan, bersatu dalam memelihara kedaulatan negara dan keselamatan rakyatnya.

Saya mempunyai dua cadangan berkenaan krisis Sulu Sabah untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada anggota polis dan tentera yang berada di barisan hadapan mempertahankan kedaulatan negara dengan nyawa mereka:

·         Satu sidang tergempar Parlimen yang sepatutnya diadakan dalam minggu ini, walaupun pada 8 Mac 2013 yang menandakan ulang tahun kelima pilihan raya umum 2008, untuk memberitahu negara dan dunia bahawa walaupun negara berdepan dengan pilihan raya umum ke-13, rakyat Malaysia tidak mengira gabungan politik, kaum, agama dan kawasan, bersatu padu mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat melibatkan krisis Sulu Sabah;

·         Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu membuat lawatan segera ke Sabah untuk meredakan kebimbangan dan keresahan rakyat Sabah terhadap pelbagai insiden pencerobohan ke Sabah dan keselamatan rakyat di Sabah.

Treler Negara Berkebajikan mula jelajah esok

Muhammad Faizal, 03 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Treler Jelajah Negara Berkebajikan PAS akan memulakan siri jelajahnya ke seluruh negara mulai esok, 4 Mac yang menjadikan Melaka sebagai destinasi pertama.

Jika sebelum ini Kedah merupakan destinasi sulung bagi program jelejah selepas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melancarkan jentera tersebut pada 21 Februari lepas.

Treler yang telah menamatkan program jelajahnya di Selangor sebelum ini dan malam ini merupakan program terakhir di Wilayah Persekutuan yang mana Kampung Pandan merupakan destinasi terakhir sebelum bergerak ke Melaka.

Sambutan yang menggalakkan diberikan oleh rakyat sepanjang di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Walaupun sewaktu treler berhenti di Putrajaya terdapat gangguan dari sekumpulan manusia yang memakai baju Barisan Nasional dan Umno, namun tiada kejadian di luar jangkaan berlaku.

Program yang bermula 4 hingga 29 Mac ini akan bermula dari negeri-negeri di selatan terlebih dahulu sebelum bergerak ke Pantai Timur, Utara dan seterusnya kembali ke ibu negara.

Jadual penuh jelajah:

Melaka : 4 - 5 Mac
Johor : 6 - 9 Mac
Pahang : 10 - 13 Mac
Terengganu : 14 - 17 Mac
Kelantan : 18 - 20 Mac
Kedah : 21 -22 Mac
Perlis : 23 Mac
Penang : 24 - 25 Mac
Perak : 26 - 29 Mac

Selain itu juga Negeri Sembilan merupakan destinasi terakhir selepas Perak apabila jadual asal terpaksa ditunda kerana permasalahan teknikal kepada treler jelajah tersebut.

PRU13: 'Perantau Pulang, Pakoh Pakatan' dilancar

Hazayani Zakaria, 03 Mac 2013

Tuan Guru Abdul Hadi menerima Deklarasi Shah Alam daripada Setiausaha Perantau.

SHAH ALAM: Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) hari ini berikrar akan menjatuhkan kerajaan Umno BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) selepas sekian lama negeri itu berada dalam kemiskinan dan kemunduran.

Ikrar tersebut terkandung dalam Deklarasi Shah Alam yang dibaca di Himpunan Anak Terengganu di Perantauan 2013 (HAT13) di Unisel, dekat sini hari ini.

Kira-kira 800 Perantau yang hadir dari seluruh Lembah Klang itu berikrar akan melaksanakan lima perkara iaitu:

1. Untuk terus berusaha membawa rakyat Terengganu keluar dari kemelut kemunduran, kemiiskinan dan kos sara hidup yang tinggi dalam segala bentuk yang kami mampu.

2. Membawa pulang ilmu, kemahiran dan pengalaman yang ditimba demi kemajuan dan kemakmuran Terengganu.

3. Terus menuntut agar hak royalti rakyat negeri Terengganu dikembalikan kepada kerajaan dan rakyat Negeri Terengganu sebagai hak rakyat Terengganu, dan bukannya sebagai belas ihsan.

4. Untuk terus mengembeling usaha bersama rakyat Terengganu mengembalikan kegemilangan dan maruah rakyat Terengganu melalui kedaulatan Islam dalam sebuah negeri yang penuh dengan kebajikan serta kemakmuran.

5. Untuk menyeru dan mengajak rakyat Terengganu seluruhnya agar menumbangkan pemerintahan Umno dan BN yang telah terbukti gagal dalam membawa kemakmuran, kemajuan dan kedaulatan Islam di Negeri Terengganu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapannya berkata, PAS sangat mengharapkan undi Perantau  pada PRU13 kerana Terengganu berperanan penting memperkasa politik Melayu Islam.

"Dalam memperkasa politik Melayu Islam Terengganu memainkan peranan besar.

"Kita perlu sedar Terengganu merupakan negeri yang diperkasa dengan Islam melalui dengan kewujudan  batu bersurat.

"Terengganu juga merupakan negeri yang paling akhir dijajah," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Ustaz Hadi turut melancarkan kempen 'Perantau Pulang, Pakoh Pakatan'.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Terdahulu, program diisi dengan diskusi 'Terengganu Maju: Impian dan Harapan Rakyat yang dibarisi lima ahli panel.

Mereka ialah  Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah, Pengerusi Amanah Terengganu, YM Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad, Anggota GLC Selangor, YM Raja Idris Raja Kamaruddin, Pengarah Institut Kajian Polisi (IKP) PAS, Prof Dr Mohd Khazani Abdullah dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Mohamad.

Sebelum itu, YM Raja Kamarul Baharin juga membentangkan kertas kerja 'Harapan Orang Terengganu' (Hot).

Manakala Prof Dr Mohd Khazani membentangkan kertas kerja 'Terengganu Maju: Harapan dan Cabaran.

Polis diminta lindungi JMB dari ugutan politik

Harakahdaily, 03 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, beliau telah menerima laporan bahawa terdapat Pengerusi JMB yang diugut oleh sebuah parti politik kerana mengeluarkan notis bahawa mana-mana parti politik yang mahu menampal poster di dalam kawasan pentadbiran JMB itu perlu mendapat kelulusan JMB.

Katanya, Pengerusi JMB tersebut, Hazni Harun, Pengerusi JMB Pangsapuri Kos Rendah Taman Cahaya, Pandan telah membuat laporan Polis di Cyberjaya pada 27 Februari lepas sehubungan ugutan tersebut.

“Ugutan yang diterima adalah berapa ugutan untuk membakar. Laporan dibuat di Cyberjaya kerana ugutan diterima melalui telefon ketika beliau di Cyberjaya.

“Menurut beliau ugutan itu dibuat pada 26 Februari oleh seorang individu yang mengenalkan dirinya sebagai Azmi dan mengaku sebagai Penyelaras Kawasan Dewan Negeri Chempaka sebuah parti politik,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, JMB atau MC bertanggung jawab mengurus dan menyelenggara sesebuah pembangunan berstrata seperti pangsapuri atau kondominium.

Justeru, jelasnya sebarang notis yang dikeluarkan oleh JMB atau MC agar kelulusan mereka diperolehi sebelum poster-poster ditampal di tempat awam adalah wajar kerana menjadi tanggung jawab mereka untuk menentukan kebersihan kawasan-kawasan tersebut, ianya bukan tanggung jawab Pihak Berkuasa Tempatan.

“Adalah juga menjadi tugas JMB dan MC untuk melakukan sebarang kerja-kerja baikpulih seperti mengecat semula sekiranya penampalan poster-poster itu mengakibatkan kerosakan kepada hartabenda milik bersama (common properties) di sesebuah pembangunan,” katanya.

Beliau menjelaskan, lazimnya JMC dan MC akan mengenakan deposit kepada pemilik-pemilik kediaman yang ingin menjalankan kerja-kerja "renovation" kepada kediaman mereka.

Menurutnya lagi, deposit itu akan dipulangkan setelah kerja-kerja tersebut selesai.
Oleh itu, ujar beliau notis daripada JMB di Ampang itu adalah bukan sesuatu yang tidak munasabah.

Walau bagaimanapun, kata Iskandar JMB dan MC hendaklah bertindak adil, sesuai dengan amalan demokrasi di negara kita.

“Parti-parti politik hendaklah juga memahami tugas dan tanggung jawab JMB dan MC. Tindakan mengugut seperti di Pandan itu mesti dianggap sebagai satu jenayah yang serius oleh pihak polis.

“Pihak Polis mesti menyiasat kes ini dan melindungi mana-mana JMB atau MC yang diugut,” katanya yang juga Adun Chempaka.

Nasrudin 'berjakuk' Iban di Kota Samarahan

Hashim bin Adam, 03 Mac 2013

(Tetamu lain juga tergelak mendengar Nasrudin 'berjakuk' Iban)

KOTA SAMARAHAN: Satu lagi sejarah telah tercipta semasa lawatan kerja Ketua Dewa Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nasruddin Hassan ke Sarawak malam tadi apabila menyampaikan ucapan dalam bahasa Iban.

Perkara ini ternyata mengejutkan hadirin yang hadir termasuk barisan pimpinan PAS yang menyertai majlis itu.

Di dalam ucapan itu beliau menegaskan bahawa arus perubahan telah berlaku di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak.
Rakyat sudah mula muak dengan berita berat sebelah yang disiarkan di media arus perdana.

Beliau mengajak rakyat Sarawak agar bersatu hati memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat pada PRU yang ke 13 nanti.

"PAS udah dikerembai bak menua Sarawak ari taun  1996. PAS tuk sitik parti politik enggau dakwah untuk semua rakyat. Maya ke bepilih kunsil negeri Sarawak 2001 mula pertama kali PAS bertanding di menua Sarawak. Mayanyak walaupun baru pertama bertanding enda nyau ilang duit deposit."

(Yang bermaksud PAS melebarkan sayapnya di Sarawak pada tahun 1996. PAS adalah sebuah parti politik dan dakwah untuk semua rakyat. Pilihanraya negeri sarawak pada tahun 2001 merupakan titik tolak dan langkah pertama Pas terlibat di dalam pilihanraya di Sarawak. Walaupun pertama kali bertanding di Sarawak, PAS tidak hilang duit deposit)

Ratusan masyarakat setempat hadir memeriahkan Program Pentas Anak Muda malam tadi.

Turut menyampaikan ucapan Abang Ahmad Kardee dan Ketua Pemuda PAS Sarawak, Mohamad Arifiriazul Paijo.

Ucapan kedua-dua anak Sarawak yang menggunakan bahasa Melayu Sarawak ini menarik perhatian masyarakat yang hadir malam tadi.

Respon daripada hadirin jelas menunjukkan keyakinan mereka terhadap kepimpinan Pemuda PAS Sarawak yang terdiri daripada anak tempatan.

Selain ucapan, Program Pentas Anak Muda Sayang Sarawak ini turut dimeriahkan lagi dengan persembahan Mel Wings yang dijemput khas PAS Kota Samarahan.

Program yang berlangsung di hadapan perkarangan Pejabat PAS Kota Samarahan ini menyaksikan perasmian kata laungan semangat PAS Sarawak, "Mansang Ngelaban" yang bermaksud mara berjuang.

"Mansang Ngelaban"!!!

Tiada ulasan: