Sabtu, 9 Mac 2013

BILA TINDAKAN KITA MENJURUS KEPADA TAKDIR YANG KITA AKAN DAPAT....KETAHUILH KITA TAK MAMPU MELAWAN TAKDIR ALLAH SWT

TG Nik Aziz syukur kebenaran semakin terserlah

Rizal Tahir, 09 Mac 2013


(TG Nik Aziz ketika bercakap dengan veteran di Kota Bharu)


KOTA BHARU: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa syukur apabila kebenaran terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini difitnah sebagai ‘peliwat’ semakin jelas kebenarannya.

Malah dia turut berkata, sebarang pendustaan tidak akan kekal lama, tiba waktu kebenarannya akan terdedah dengan sendiri.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung ayah Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim, yang mendakwa anaknya itu diperalat oleh pihak tertentu semalam.

Azlan pada sidang medianya berkata anaknya itu diperalatkan oleh pihak terbabit dan konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim.

Tuan Guru berkata demikian ketika ditemui pada majlis Himpunan Vateran 2013 di Perkarangan Infra Quest, Jalan Datuk Lundang, dekat sini.

Sambil melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga, Tuan Guru berkata walau selicik mana sekalipun sesaorang  merangka plan tertentu, namun kebenarannya pasti akan terbongkar suatu hari nanti.

Beliau juga turut menolak dan tidak percaya dakwaan yang mengatakan Anwar membayar kepada ayah Shaiful, sesuatu yang tidak mungkin.

“Dia (Anwar) mana ada duit, sebanyak-banyak duit Anwar Ibrahimpun, banyak lagi duit menteri atau Perdana Menteri,”ujarnya.

Dengan pendedahan itu, katanya diharapkan nama baik Ketua Umum PKR itu semakin baik dan rakyat juga semakin sedar tentang pembohongan yang dibuat pihak tertentu sebelum ini.

“Semoga dengan fitnah yang menimpa dirinya (Anwar) sebagai penghapus dosa dirinya yang pernah bersekongkol dengan Umno dan BN sebelum ini,”ujarnya.

Terdahulu beliau beramah mesra dengan 500 orang veteran PAS dalam Parlimen Kota Bharu.

Jalan Kebun Sultan kini Jalan Haji Cheng Ho

Rizal Tahir, 09 Mac 2013


(TG Nik Aziz ketika melaksanakan majlis tradisi  kepada singa hijau)

KOTA BHARU: Jalan Kebun Sultan di Kota Bharu kini dikenali sebagai Jalan Haji Cheng Ho China Town.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada majlis peristiharan itu malam tadi di Jalan Kebun Sultan, di sini tepat jam 11.14 malam tadi.

Sewaktu peristiharan itu, Tuan Guru meminta orang ramai mengulangi nama jalan itu sebanyak tiga kali ‘Jalan Haji Cheng Ho China Town' dan ianya diikuti oleh warga Bandar Kota Bharu tanpa mengira warna kulit pada malam bersejarah itu.

Walaupun namanya telah ditukar, namun nama asalnya masih dikekalkan sebagai memperingati sejarah asalnya.

Turut hadir pada majlis itu anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Wan Ubaidah Omar, timbalan exco kerajaan negeri, Rohani Ibrahim, Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Nama Haji Cheng Ho dipilih untuk diabadikan pada jalan itu sebagai menghargai jasa pelayar berbangsa Cina muslim yang berasal dari Tanah Besar Negara China.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu peristiharan jalan berkenaan berkata, peristiharan itu dibuat bagi menzahirkan rakyat Kelantan termasuk golongan menoriti di negeri itu hidup dalam aman di bawah pentadbiran pemimpin Islam.

“Ianya juga sebagai membuktikan nasib golongan berkenaan termasuk India, Siam serta lain-lain bangsa tidak dipinggirkan oleh kerajaan negeri,”ujarnya.

Terdahulu Tuan Guru disambut oleh 23 ekor singa bagi melambangkan 23 tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah pentadbirannya.

Pelbagai persembahan menarik diadakan pada malam itu antaranya tarian pelbagai budaya yang dipersembahkan oleh kanak-kanak dari masyarakat Cina, India dan Siam.

Turut menjayakan pertunjukan persembahan muzik klasik Cina oleh pelajar dari Sekolah Menengah Chong Hawa Kok Lanas, chingey, silap mata dan lain-lain.

PAS Sabah sumbang kepada keluarga polis terkorban

Harakahdaily, 09 Mac 2013

(Pesuruhjaya PAS Sabah serta lain-lain bergambar kenangan dengan keluarga Allahyarham Sarjan Mejar Baharin Hamit yang terkorban)

KOTA KINABALU: Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah hari ini menghulurkan sumbangan kepada balu Allahyarham Sarjan Mejar Baharin Hamit yang terkorban dalam serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata ketika operasi di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabtu lalu.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Naib Ketua Muslimat PAS Sabah, Faizah Antong di rumah Allahyarham di Kampung Darau, dekat Menggatal di sini pagi tadi. (gambar)

Turut serta ke rumah Allahyarham adalah Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling dan beberapa pimpinan PAS Sabah bagi memberikan sokongan moral kepada keluarga Allahyarham.


Baharin, 50, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, mula bertugas sebagai anggota polis pada tahun 1984, meninggalkan seorang balu, Sumiati Suarah, 40 dan dua anaknya Mohd Izzat, 16 dan Nur Izzaty, 11 tahun.

Lima lagi yang terkorban ialah ialah Supritendan Ibrahim Lebar dari Bukit Aman, Asisten Supritendan Michael Padel Sano dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Sarjan Aziz Sarikun dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Koperal Salam Tongiran (IPD Tawau) dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran (PGA Tawau).

Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu dan Semporna.

Suasana sekarang memihak kepada Pakatan - Idris

Harakahdaily, 09 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Suasana politik yang berlaku sekarang disifatkan sebagi memihak kepada PAS, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar)

"Suasana sekarang permainan dikuasai oleh PR. Hanya menunggu masa untuk menyumbat gol sahaja," kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Bagi beliau, Najib hanya berlagak hero di media kuno, konon BN kuat tetapi tidak berani membubar Parlimen.

Tarikh PRU 13 masih kabur, Najib tidak nampak petanda untuk bubar.  Strategi melambatkan tarikh nampaknya menyebelahi PR, kata Idris lagi.

Lambakan isu dan masalah terpaksa dipikul oleh Najib dan BN, sedangkan bagi beliau, PR mara  dengan bergaya dan meyakinkan.

"Pendedahan Deepak, kepulangan Balasubramaniam, isu keselamatan Lahad Datu telah menyulitkan Najib untuk kekal berkuasa.

"Lebih parah lagi tawaran menifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan pada 25 Febuari 2013 amat menekan Najib," katanya.

Semalam negara  pula di kejutkan dengan pendedahan En Azlan, bapa Saipul Bukhari yang mengatakan anaknya diperalatkan untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu liwat.

"Mungkin salah satu daripada transformasi Najib ialah Parlimen dan DUN bubar secara sendiri.

"Rekod yang tidak pernah dibuat oleh Perdana Menteri terdahulu," kata beliau dalam tulisannya.

Siapa luluskan Festival Future Music Asia Sepang?

Benci hendonisme,
Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dengan perkembangan muda – mudi masa kini saya hairan kenapa dibenarkan berlangsungnya  konsert parti “rave” berkonsepkan konsert terbuka dengan persembahan utama ialah DJ memutarkan lagu untuk pesta tarian sambil diselang seli dengan persembahan artis yang melibatkan budaya muzik house dan techno yang membawa budaya arak, dadah, dan pergaulan bebas.

Juga bukankah pengharaman promosi di tempat awam terbuka diharamkan kepada jenama minuman keras? Penaja dan tema utama sebegini melibatkan pihak syarikat arak. Bayangkanlah juga muda-mudi kita penuh penghayatan sambil di kelilingi oleh arak dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang sudah pasti menimbulkan ransangan sesama mereka. Untuk durasi 6 – 8 jam apa-apa boleh berlaku.

Yang paling mengejutkan penaja utama ialah Pelancongan Malaysia yakni Kementerian Pelancongan Malaysia.

Adakah Majlis Perbandaran Sepang dan kerajaan Malaysia yang berteraskan konsep 1 Malaysia akan membenarkan menularnya pengaruh sosial bebas ini? Kenapa diluluskan acara sebegini?

Apakah kerana hiburan lantas dibenarkan lalu membelakangi dan mengabaikan lunas asas sebuah negara Islam malah mana-mana jua amalan ajaran agama yang menentang budaya hidup negatif sedemikian?

Muzik budaya DJ juga berteraskan arak, dadah dan pil mengkhayalkan. Tidak cukupkah kerajaan membenarkan kelab-kelab malam dan disko (yakni tempat tertutup) menjadi medan hiburan penggemar muzik dan kini diberi kebenaran untuk  di anjurkan dikhayalak umum?

Tambah pula, dengan pengalakkan amalan minuman keras sambil berhibur di medan awam yang terbuka. Bukankah pengharaman promosi di tempat awam terbuka diharamkan kepada jenama minuman keras?

Inginkah pihak yang meluluskan kosert terbuka ini menjadi pencetus budaya tidak sihat dikalangan muda-mudi generasi 1Malaysia yang akan datang?

Kes Lahad Datu: Najib rendahkan martabat PM

Ahmad Lutfi Othman, 08 Mac 2013
Ketua Polis Negara, Ismail Omar pada petang 5 Mac lalu mengakui misi menentang puak bersenjata Sulu yang menawan Kampung Tanduo, Lahad Datu, masih belum berakhir meskipun pasukan keselamatan, membabitkan angkatan tentera dan pihak polis, telah melancarkan serangan udara, bermula jam 7 pagi, Selasa lalu, menggunakan jet pejuang F-18 dan Hawks.

Sambil memberikan sokongan sepenuhnya ke atas sebarang langkah mempertahankan kedaulatan negara, terdetik kebimbangan di hati saya, apakah tindakan ofensif melibatkan tujuh batalion tentera itu mampu menyelesaikan kes yang sememangnya tidak ditangani secara profesional dan berkesan di peringkat mulanya?

Ataupun tragedi berdarah itu baru di peringkat permulaan, dan Sabah bakal menyaksikan lebih banyak adegan tragis  berpanjangan, khususnya berdepan perang gerila. Namun begitu, lebih penting daripada segalanya adalah mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

Walaupun Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada bukti bahawa Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) - yang dikatakan  masih mempunyai simpanan senjata yang banyak di Sabah - akan menyertai tuntutan Kesultanan Sulu, namun kegusaran itu telah merebak.

Ketika maklumat cuba "diselaraskan" pihak berkuasa, masyarakat yang dahagakan informasi terkini lebih memilih media baru yang menyalurkan perkembangan langsung dari Filipina. Terbukti daripada beberapa insiden sebelum ini, banyak berita mengejutkan yang dihebohkan dalam internet dan cepat dinafikan pihak berkuasa, tetapi beberapa hari selepas itu terpaksa diakui benar dan sahih.

Rupanya kerisauan saya itu dikongsi oleh lebih ramai rakan-rakan, terutama apabila menyedari punca masalah ini bukan hanya berakar di seberang sempadan, malah turut difaktorkan oleh isu-isu tempatan, dan antara lain "Projek IC" yang ditimbulkan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga dibangkitkan. Bagaimana mudahnya warga jiran memperoleh kerakyatan hanya untuk "menyelesaikan" kemelut politik ketika itu.

"Apakah mungkin ada antara penceroboh itu yang sudah menjadi warga Malaysia, atau sekurang-kurangnya terdapat ramai anggota keluarga atau kerabat mereka yang sudah menetap lama di Sabah? Saya kira isu ini tidak mudah ditamatkan begitu saja, banyak implikasi yang terpaksa kita tanggung nanti," kata seorang rakan yang pernah bekerja di Kota Kinabalu.

Seorang wartawan veteran pula menyimpulkan: "Saya tidak suka menyalahkan pasukan keselamatan walaupun nampak ada masalah besar dalam perisikan kita. Kes ini jelas membuktikan kegagalan pimpinan politik untuk bertindak pantas, khususnya Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri."

Saya terpaksa akur dengan rumusan sahabat baik saya itu walaupun menyedari isu keselamatan - apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa agak besar di pihak polis - tidak wajar dilihat dalam konteks politik  yang sempit. Dalam saat-saat sukar ini seluruh negara harus bersatu serta memberi dokongan, manakala sentimen kepartian perlu dielakkan.

Namun begitu, bahang panas PRU13 tidak dapat menghalang orang ramai mengulas kes di Lahad Datu, Kunak dan Semporna itu menurut persepsi masing-masing, apatah lagi yang dilihat memulakan "polemik politik" ini  ialah Najib Razak dan media Umno sendiri.

Ironinya, dalam suasana berkabung susulan kehilangan lapan wira negara, Perdana Menteri masih meneruskan Jelajah Janji Ditepati, di Perlis, pada 3 Mac. Ia sebenarnya merupakan kempen politik Umno-BN yang terancang dan menggunakan dana awam, dengan mood "pesta-pestaan" dan sarat dengan acara hiburan.

Lebih buruk apabila Najib, yang sepatutnya meletakkan dirinya pada kedudukan seorang negarawan, telah menggunakan pentas meraih populariti itu untuk menyerang pembangkang dengan mengekspolitasi kes di Sabah.

Saya bersetuju dengan pandangan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Perlis, Anuar Tahir: "PM sepatutnya menangguhkan segera program beliau dan turun sendiri meninjau keadaan di Sabah. Kalau di negara lain, pemimpin tertinggi negara akan memberikan tumpuan kepada isu keselamatan terlebih dahulu dan membatalkan program lain, sedangkan  Najib lebih menumpukan program politik."

Tidak cukup dengan itu, di majlis perhimpunan perdana ulama-umara bersama Asnaf, pada 5 Mac, sekali lagi Najib turut mengulangi "kebebalannya", termasuk mengecam usaha pihak tertentu mahu "menukar regim" seumpama Arab Spring.

Beliau ternyata mahu bermain emosi apabila menghubungkan dakwaan sandiwara dengan situasi sedih-pilu balu dan anak-anak anggota keselamatan yang terkorban. Cuma, saya tidak pasti apakah istilah "tidak ada isi perut" yang diulang Najib di Arau dan Stadium Putra Bukit Jalil bermaksud "tidak ada hati perut"!

Apa pun, liputan TV3, bagi saya, cukup buruk dan sarat dengan motof jahat politik. Bayangkan, masih di tanah perkuburan, selesai upacara pemakaman, seorang anak pegawai polis yang terkorban telah ditanya perasaannya terhadap dakwaan sandiwara.

Melampau sekali kaedah pemberitaan seumpama itu. Di kala anggota keluarga masih terkejut dirundung kepedihan amat sangat, mereka diajukan persoalan yang boleh membangkitkan kemarahan, iaitu mengaitkan kematian orang tersayang dengan "sandiwara", sedangkan maksud Naib Presiden KeADILan, Tian Chua  tiada kaitan langsung dengan pembunuhan perajurit negara itu.

Sejak awal banyak pihak mengesan siri kepelikan dan keanehan yang berlaku. Bagaimana pihak penceroboh, dengan jumlah yang ramai, lebih 200 orang, lengkap bersenjata, boleh dengan mudah membolosi perairan negara tanpa dapat dikesan.

Mulanya, media menggambarkan kumpulan penceroboh begitu daif, hampir kebuluran, bertelingkah sesama sendiri dan terpaksa makan umbut kelapa. Akhirnya ia bertukar menjadi ancaman yang begitu besar, yang perlu dimusnahkan melalui ketumbukan tujuh batalion tentera!

Kita pula dilihat terlalu bertolak ansur, namun sukar dipastikan apakah tuntutan sebenar kumpulan penceroboh sehingga bermacam-macam cerita tersebar, termasuk mengaitkan janji-janji Najib.

Misteri kes Lahad Datu ini belum tersingkap sepenuhnya. Dalam sehari dua ini saya kira banyak lagi kisah memeranjatkan mungkin terbongkar. Ia bagai menyimpan bom peledak. Semoga tiada lagi korban ditagih.

Dalam pada itu, saya cadangkan buku Almarhum Dr Nik Anuar Nik Mahmud, Tuntutan Filipina Ke Atas Borneo Utara (Penerbit UKM, 2009) elok dijadikan rujukan kerana karya ilmiah penuh berfakta oleh bekas profesor sejarah ini memaparkan dengan jelas tuntutan kesultanan Sulu terhadap Sabah.

Takziah buat keluarga anggota keselamatan yang terkorban.  Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un.

Tiada ulasan: