Khamis, 7 Mac 2013

LAGI TENTANG DI LAHAD DATU

Ismail: Tembak menembak berlaku di tiga lokasi Tanjung Batu, Lahad Datu

6 Mac 2013
Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
KUALA LUMPUR - Tembak menembak antara anggota keselamatan dan kumpulan pengganas berlaku di tiga lokasi di kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah petang ini tatkala pasukan keselamatan meneruskan operasi susulan dan penggeledahan dalam Op Daulat.

Pasukan keselamatan negara mula membuat pemeriksaan di perkampungan itu pada pukul 3 petang untuk menjejaki musuh yang memasuki kawasan kampung berkenaan.

"Pada kira-kira 4.15 petang berlaku tembak menembak di tiga lokasi kampung itu dan kami percaya ada musuh yang gugur, tetapi waktu ini saya tidak dapat sahkan jumlah musuh yang terkena tembakan," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Ismail, pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain pada pukul 6 petang ini, berkata tiada anggota keselamatan yang cedera dalam kejadian itu dan tiada yang dijadikan tawanan pihak musuh.

Semalam, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Feb lepas.

Sesudah itu, gerakan susulan dan penggeledahan dilakukan rumah ke rumah bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di kampung itu bagi memburu kumpulan pengganas itu.

Kawasan operasi kini diperluas setiap dua kilometer berikutan pasukan keselamatan mengesan kumpulan pengganas sedang bergerak ke tempat-tempat tertentu

Zulkifeli berkata pasukan keselamatan kini memperluaskan kawasan operasi dan penggeledahan untuk mencari senjata api yang dipercayai ditanam di kawasan terbabit.

"Kami yakin masih ada saki baki pengganas di kawasan Kampung Tanduo," katanya.

Kedua-dua pimpinan tertinggi pasukan keselamatan negara itu turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak menghantar SMS kepada mereka memberi sokongan dan semangat serta diiringi doa untuk keselamatan dan kejayaan pasukan keselamatan dalam Op Daulat.

"Kami berdua ucap berbanyak terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan sokongan dan doa untuk meningkatkan semangat kami," katanya. - Bernama
Presiden Filipina: Kedegilan pengikut Sultan Sulu boleh cetus 'perang propaganda'
Wartawan Sinar Harian
6 Mac 2013
Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
GENERAL SANTOS CITY - Presiden Benigno S. Aquino III menegaskan kedegilan pengikut Sultan Sulu yang mahu kekal di Sabah boleh membawa kepada 'perang propaganda'.

Beliau berkata, tindakan menceroboh Sabah dan membawa senjata telah mengheret Filipina ke ambang bahaya.

“Bukan itu saja, saya juga bimbang hubungan diplomatik antara Malaysia dan Filipina terjejas kerana tindakan ganas yang dicetuskan oleg pengikut Kesultanan Sulu ini,” ujarnya.

Kata beliau, ini kerana hubungan di antara kedua-dua negara sudah lama terjalin dan Malaysia sendiri membantu rundingan damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Aquino hari ini turut meminta pengikut Sultan Sulu menyerah diri dan berjanji akan turut akan mempertimbangkan kebajikan sebahagian besar rakyat Filipina yang terjejas.

Tambah Aquino, beliau juga bimbang nasib 800,000 rakyat Filipian yang bekerja di Sabah ketika ini ekoran krisis dicetuskan oleh Sultan Sulu.
Seorang anggota kumpulan ceroboh terbunuh di Lahad Datu

6 Mac 2013
Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
KUALA LUMPUR - Seorang penceroboh bersenjata dipercayai mati ditembak ketika cuba menyerang hendap pasukan keselamatan pada hari kedua 'Op Daulat' di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pagi ini.

Bagaimana pengganas yang ditembak itu sempat dibawa lari oleh rakan-rakannya yang lain, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pagi ini.

Ismail mengesahkan kumpulan penceroboh kini menyamar dengan berpakaian seperti orang awam untuk melepaskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan.

Dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, pasukan polis dan tentera yang meneruskan operasi susulan dan penggeledahan ditembak oleh kumpulan pengganas itu, sebelum pasukan keselamatan membalas tembakan.

"Seorang musuh telah ditembak," kata Ismail, pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Ismail juga mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan negara yang terkorban atau cedera dalam operasi pagi ini.

Semalam, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari lepas.

Sesudah itu, gerakan susulan dan penggeledahan dilakukan rumah ke rumah bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di kampung itu bagi memburu kumpulan pengganas itu.

Kawasan operasi kini diperluas setiap dua kilometer berikutan pasukan keselamatan mengesan kumpulan pengganas sedang bergerak ke tempat-tempat tertentu.

Ismail sekali lagi menasihatkan penduduk di kawasan sekitar agar berhati-hati dan dapatkan apa-apa maklumat di pos taktikal pasukan keselamatan dan balai polis berdekatan.

"Sekali lagi saya minta kerjasama orang ramai agar tidak cemas walaupun musuh bergerak lebih luas kerana pasukan keselamatan masih mengawal," katanya. - Bernama
Malaysia pohon ekstradisi Jamalul Kiram jika ada bukti

6 Mac 2013
Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
KUALA LUMPUR - Pejabat Peguam Negara akan mengemukakan permohonan bagi 'Sultan Sulu' Jamalul Kiram III dari Filipina diekstradisi ke negara ini jika terbukti ada kes terhadapnya, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini.

Beliau berkata, pejabatnya telah meneliti perkara itu (ekstradisi) sejak minggu lepas.

"Perkara paling penting ialah siasatan terhadap perkara itu oleh polis perlu diselesaikan terlebih dahulu, kes perlu dibuktikan terhadap seseorang sebelum membuat permohonan bagi ekstradisi," katanya kepada Bernama semasa dihubungi hari ini.

Pegawai tertinggi pejabat pendakwa raya itu menjelaskan perlu dibuktikan ada kes terhadap seseorang itu sebelum Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk mengambil sebarang tindakan seperti memohon ekstradisi atau mendakwa seseorang itu di
mahkamah.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memberi ruang kepada polis menjalankan tugas mereka menyiasat kes itu.

"Jika terbukti ada kes, kami (Pejabat Peguam Negara) pasti akan melakukannya (memohon ekstradisi)," tegas Abdul Gani.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media mengenai ekstradisi Jamalul Kiram yang didakwa mengarahkan pencerobohan bersenjata di Sabah, yang mengakibatkan lapan anggota polis terbunuh. - Bernama
Balu Allahyarham Sjn Azis Sarikon rayu pengganas henti bunuh polis

6 Mac 2013
SEMPORNA - "Saya merayu sangat-sangat, cukuplah pengganas membunuh pasukan keselamatan kita, saya tidak mahu ada lagi yang terkorban."

Itulah luahan Siti Badorah Mahalil, 39, isteri kepada Allahyarham Sjn Azis Sarikon, antara anggota polis yang terkorban dalam insiden berbalas tembakan di Kampung Simunul, Sabtu lepas.

"Saya tidak sanggup lagi mendengar berita ibu bapa kehilangan anak, isteri kehilangan suami dan anak-anak kehilangan bapa mereka," katanya kepada pemberita dalam keadaan sebak ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Beliau berkata tindakan penceroboh yang memasuki kawasan Kampung Tanduo nyata memporak-perandakan kehidupan penduduk yang sebelum ini dalam keadaan aman.

Katanya kekejaman penceroboh pada Sabtu lepas menggambarkan sifat sebenar mereka yang ingin membuat kekacauan di negara ini.

Siti Bandorah, yang juga anak jati Semporna, berkata kehidupan selepas pemergian arwah suaminya penuh dengan cabaran dan dugaan terutama dalam membesarkan anak-anaknya yang masih bersekolah.

Namun, Mohd Farid Zulhelmy, 18, bangga kerana arwah ayahnya terkorban sebagai perwira negara.

"Saya percaya dengan janji Allah bahawa setiap yang syahid itu tempatnya di syurga," kata penuntut semester akhir Kolej Matrikulasi Labuan itu.

Sebagai anak sulung, tanggungjawabnya kini lebih besar untuk menjaga adik-adiknya selepas ini, terutama dalam memastikan mereka mendapat pendidikan yang terbaik, katanya.

Allahyarham Azis yang berasal dari Batu Pahat, Johor, meninggalkan seorang balu dan empat anak berumur antara tujuh dan 18 tahun. - Bernama
13 mayat penceroboh ditemui, kata Zahid

6 Mac 2013
Serangan di Sabah
.
LAHAD DATU - Tiga belas mayat pengganas bersenjata ditemui di Kampung Tanduo dalam operasi susulan dan penggeledahan hari ini selepas gerakan ofensif dilancar pasukan keselamatan negara terhadap kubu kumpulan penceroboh di kampung itu.

Satu daripada mayat itu adalah pengganas yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan pasukan keselamatan pada pukul 6.45 pagi ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada pukul 4 petang ini, Ahmad Zahid berkata sembilan daripada mayat itu ditemui dalam sebuah liang kubur yang ditutup dengan kepingan papan.

Beberapa keping gambar Op Daulat yang dirakam pasukan keselamatan diedar kepada media, antaranya mayat pengganas yang di dalam sebuah kubur.

Turut diedar ialah gambar anggota forensik diserang penceroboh ketika memeriksa sebuah kubur di kampung itu dan senjata yang dirampas pasukan keselamatan.

Serentak itu, Ahmad Zahid membidas sikap media sosial yang memperlekehkan barisan hadapan pasukan keselamatan kononnya ia adalah sandiwara.

"Gambar-gambar ini menunjukkan pasukan keselamatan kita mempunyai kebolehan yang tinggi dalam menjalankan operasi ini. Ia bukan sandiwara," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata berlaku dua pertempuran di sekitar kampung berkenaan ketika anggota tentera dan polis menjalankan operasi susulan dan penggeledahan.

"Pada 6.45 pagi tadi pasukan kita telah bertempur dengan pasukan penceroboh dan pasukan keselamatan kita menembak mati seorang anggota kumpulan penceroboh itu.

"Pada 1.45 tengah hari pasukan forensik kita diserang kumpulan penceroboh ketika menjalankan siasatan di kawasan kubur di mana mayat anggota mereka ditanam di kawasan kampung itu," katanya yang mengesahkan tiada anggota pasukan keselamatan yang cedera.

Beliau berkata operasi bersama polis dan tentera itu turut menemui pelbagai senjata api milik kumpulan pengganas rakyat asing itu.- Bernama
Seorang pengganas ditembak mati, 9 mayat ditemui di Lahad Datu

6 Mac 2013
Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
KUALA LUMPUR - Hari kedua Op Daulat hari ini menyaksikan seorang anggota kumpulan pengganas ditembak mati dan sembilan mayat ditemui di
dalam lubang di kawasan ladang dekat Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Pengganas itu maut dalam kejadian berbalas tembak dengan anggota keselamatan yang menjalankan operasi susulan dan penggeledahan di kampung itu selepas gerakan ofensif oleh pasukan keselamatan negara di kampung yang menjadi kubu kumpulan pengganas itu semalam.
Selain kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, pasukan forensik juga diserang kumpulan penceroboh ketika menjalankan siasatan di kawasan mayat-mayat itu
ditanam.
Kejadian berbalas tembak antara pasukan keselamatan dan kumpulan pengganas turut berlaku di tiga lokasi di kampung Tanjung Batu, pada pukul 4.15 petang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Berikutan operasi berterusan anggota keselamatan, Ismail berkata saki-baki kumpulan itu kini bergerak ke kawasan kampung berhampiran dan menyamar dengan berpakaian seperti orang awam untuk melepaskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan.
Sehubungan itu, kawasan operasi yang sebelum ini bertumpu di sekitar kawasan seluas empat kilometer, kini diperluas berikutan kumpulan pengganas dikesan bergerak ke tempat-tempat tertentu.
Tiada anggota keselamatan yang cedera atau dijadikan tawanan, kata Ismail sambil sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak mendengar khabar angin
dan menasihati penduduk di kawasan sekitar berhati-hati dan mendapatkan maklumat di pos taktikal pasukan keselamatan dan balai polis berdekatan.
Operasi hari ini juga menyaksikan empat lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh ditahan dalam pemeriksaan di Jalan Lapangan Terbang, kira-kira lima kilometer dari pekan Semporna.
Mereka yang ditahan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan penceroboh yang terlibat dalam kejadian serangan hendap di Kampung Simunul, di sini Sabtu lepas yang mengakibatkan enam anggota keselamatan terkorban dan enam musuh maut.
Semalam, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari lepas.
Sesudah itu, gerakan susulan dan penggeledahan dilakukan rumah ke rumah bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di kampung itu bagi memburu kumpulan pengganas itu.
Operasi susulan dan penggeledahan perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan keselamatan anggota keselamatan dan berikutan faktor bentuk muka bumi di kawasan itu.
Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, operasi susulan dan penggeledahan oleh polis dan tentera itu turut
menemui pelbagai senjata api milik kumpulan pengganas rakyat asing itu.
Sejak isu pencerobohan sekumpulan lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata di Lahad Datu 12 Februari lepas, lapan anggota polis terkorban iaitu dua
dalam pertempuran di Lahad Datu Jumaat lepas dan enam dalam serangan hendap di Simunul, Semporna Sabtu lepas.
Dalam tempoh itu, 12 pengganas terbunuh dalam pertempuran di Lahad Datu pada Jumaat dan seorang dalam pertempuran hari ini, manakala enam lagi maut dalam pertempuran di Simunul dan seorang pengganas dibelasah hingga mati oleh penduduk Kampung Senallang Lama di Semporna awal pagi Ahad lepas. - Bernama
'Mak, ini perang mak' kata-kata terakhir Baharin Hamit
SYAIRI SHAARI
6 Mac 2013
Jariah Abu
Jariah Abu
KUALA LUMPUR - "Mak, ini perang mak!” Itulah kata-kata terakhir Allahyarham Sarjan Detektif, Baharin Hamit, 49, kepada ibunya, Jariah Abu, 66,  menerusi telefon sehari sebelum beliau terkorban dalam serang hendap kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah, 2 Mac lalu.

Jariah berkata, perkataan ‘perang’ yang diucapkan oleh anaknya itu masih terngiang-ngiang di telinganya apabila mendapat tahu arwah ditugaskan bagi menghadapi penceroboh di Sabah.

Katanya, pada mulanya, dia tidak dimaklumkan anaknya itu ditugaskan di sana sehinggalah hatinya tergerak untuk menghubungi arwah sehari sebelum dia terkorban ditembak di kepala.

“Sehari sebelum dia terkorban, hati saya tergerak untuk menghubungi arwah pada jam 10 malam selepas melihat berita beberapa anggota keselamatan mati ditembak oleh penceroboh di televisyen kerana menyedari anak saya memang bertugas di Sabah sejak 30 tahun dan berkahwin di sana.

“Dalam perbualan terakhir itu, saya bertanyakan keadaannya dan di mana dia berada dan terkejut apabila diberitahu arwah berada di kawasan tersebut.

“Kami tidak sempat berbual panjang dan saya hanya dapat menasihatinya supaya jangan gopoh, baca Al-Fatihah dan arwah pula meminta saya jangan bimbang,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Kampung Cheras Baru selepas majlis doa selamat kelmarin.

Allahyarham Baharin, anak kedua daripada empat beradik yang merupakan salah seorang daripada enam anggota keselamatan yang terkorban dalam serangan hendap kumpulan penceroboh bersenjata di Semporna, Sabah.

Allahyarham yang berkhidmat sejak 1994 meninggalkan isteri, Sumiati Suara, 51, dan dua anak Muhd Izzat Syafiq, 15, dan Nur Syafiqah 11.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Dua, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu kelmarin.

Jariah berkata, dia menerima berita kematian anaknya pada keesokan harinya selepas seorang lagi anak lelakinya memberitahunya, selepas menunaikan solat Asar dan pengsan di atas kerusi selepas itu.

Bagaimanapun, Jariah berkata, dia sehingga sekarang berasa terkilan kerana jenazah anaknya tidak dikebumikan di kampung halamannya sendiri namun tetap reda dengan ketentuan ALLAH.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah pada cuti sekolah baru-baru ini bersama dengan anak-anaknya,” katanya.

Menurutnya, arwah merupakan seorang yang tegas dan berprinsip serta tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai seorang anak kepada keluarga selepas suaminya meninggal dunia sejak tujuh tahun yang lalu.

Jariah berkata, dia tetap berbangga dengan arwah yang berjuang mempertahankan negara walaupun hatinya sering bimbang dengan keselamatan anaknya setiap hari.

“Saya tetap menerima ketentuan Ilahi ini tetapi sebagai mak yang mengandungnya rasa terkilan kerana tidak dapat melihat anaknya kali terakhir,” katanya.

Sementara itu Adun Teratai, Jenice Lee Ying Ha memberikan sumbangan RM1,000 kepada kepada Jariah sebagai penghargaan kepada keluarga mangsa yang berjuang mempertahankan negara.

“Seluruh rakyat Malaysia bersimpati dengan apa yang berlaku, tetapi tetap bangga mempunyai seorang perwira yang mempertahankan kedaulatan dan maruah negara,” katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut.

Tiada ulasan: