Isnin, 17 Februari 2014

ANGIN AHMAR

  TEKAN STOP JIKA INGIN HENTIKAN NASYID NI


Kehebatan doa menolak angin ahmar

Jan
2011
29
posted by Martinelli Hashim

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ 
Pengalaman cemas menghadapi suami diserang stroke atau angin ahmar tidak dapat saya lupakan. Kata doktor ada pendarahan dalam otak bahagian dalam. Risiko tinggi kalau dibedah. Longlai terasa seluruh badan. Dua hari lagi sepatutnya kami akan berada di Dewan CAC UIA menyaksikan dua orang anak bujang kami menerima ijazah serentak di Majlis Konvokesyen. Sehari selepas itu kami sepatutnya akan bertolak ke Tokyo menghadiri seminar. 

 "Prof mungkin tak boleh jadi pensyarah lagi...." kata doktor supaya kami bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku. 

Pada saat-saat begitu tiada siapa yang boleh membantu kecuali Allah swt. Memohon kepada Allah agar suami diberi peluang untuk sembuh dan beribadat dan mengharapkan agar saya ada peluang lagi menyempurnakan tugas sebagai isteri menjaga suami tercinta.

2 hari selepas diserang stroke
"Ibu bersabarlah, Insya Allah abah akan sembuh. Doa ini dari Jibril yang diajarkan kepada Rasulullah saw sewaktu cucu Baginda sakit. Jibril kata cucu Baginda diserang oleh sejenis jin bernama Rihul Ahmar yang pernah datang kepada Nabi Sulaiman as dengan bongkaknya sehingga Nabi Sulaiman as  pun menggeletar badannya melihat dahsyatnya rupa jin itu. Dia akan masuk ke dalam badan anak Adam dan merosakkan sistem saraf, otak, jantung. .Nabi saw berpesan supaya kiat membacanya sekurangnya2 sekali seumur hidup" Kata menantu saya, Iswandi, selepas membacakan doa menolak angin ahmar kepada bapa mertuanya yang sedang terbaring dalam wad kecemasan. 

Beliau membaca dengan khusyu' sambil memicit-micit ibu jari kaki suami saya.

Saya yakin dengan kata-kata menantu yang sangat wara' ini.

Dengan rahmat Allah, selepas beberapa jam kemudian, suami saya mula pulih. Pendarahan dikepala semakin mengecil dan terus hilang. Sekarang alhamdulillah beliau sudah benar- sembuh. Doktor pakar sendiri mengatakan ianya  suatu yang ajaib.

Kes ke dua.

Baru-baru ini anak saya, Liyana, memberikan salinan doa ini kepada seorang wanita yang sedang menunggu ibunya di wad ICU kerana ibunya sudah 3 hari tidak sedar akibat serangan stroke. Dengan rahmat Allah selepas saja selesai membacakan doa itu ke telinga ibunya, tiba2 ibunya membuka mata. Dia  datang menemui anak saya di luar wad mengucapkan terima kasih dengan linangan airmata.

Apabila meneliti makna doa, memang patutlah ia menjadi amalan kerana ia bukan saja menolak angin ahmar tetapi juga perlindungan dari segala penyakit dan mara-bahaya.

Angin ahmar boleh menyerang sesiapa saja, tanpa mengira usia dan keadaan badan mangsa. Suami saya seorang yang rajin melakukan jogging pagi dan petang. Seorang rakan sekolah anak saya diserang stroke pada umur 17 tahun dan terus meninggal. Seorang sahabat saya yang sangat menjaga pemakanan dan aktiviti harian mendapat stroke. 

Saya membuat kesimpulan jin laknat ini akan menyerang siapa saja yang dikehendakinya. Allah memberi kita peluang untuk memohon perlindungan maka rugilah sesiapa yang mensia-siakannya.

Dikatakan serangan stroke ke atas wanita adalah lebih berat impaknya berbanding dengan lelaki. Bermakna satunya2 pertahanan kita yang tinggal adalah doa yang diajarkan Rasullah saw yg dihadiahkan oleh Yan g Maha Esa ini

Di sini saya sertalkan ayat, makna dan sejarahnya untuk manfaat semua.
Maksudnya:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; dan dengan-Nya kami memohon pertolongan; dan dengan Allah; dan dari Allah; dan kepada Allah; dan segala pujian tertentu bagi Allah; dan tiada Tuhan melainkan Allah; dan Allah Maha Besar, yang Maha Mulia dan Maha Agung; yang aku takut dan bimbang terhadap-Nya. Allah Maha Besar dengan segala kebesaran-Nya; segala pujian tertentu bagi Allah, sebanyak-banyak pujian. 

Dan Maha Suci Allah pagi-pagi dan petang-petang. Dengan nama Allah yang menyembuhkan, dengan nama Allah yang mencukupkan; dan dengan nama Allah yang menyihatkan; dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tiada memberi mudharat sesuatu apa jua di bumi dan di atas langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan Kami turunkan sesetengah dari Al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat untuk orang-orang yang beriman.

Ya Allah, aku yang menjampi dan Engkau yang menyembuhkan. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang telah Engkau takdirkan. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Aku berlindung dengan Allah, Tuhanku dan Penciptaku, Pembentukku dan Pencipta Rupabentukku dan Pemberi Rezeki sekalian manusia. Aku berlindung dengan Allah daripada sekalian kebinasaan, dan segala maksiat, bala bencana, penyakit dan segala kesakitan, kemalasan, kemunduran dan kebinasaan.

Ya Allah, lindungilah penanggung (pengguna) suratku ini dengan nama-Mu yang Maha Mulia dan Maha Agung; dan sifat-sifat-Mu yang sempurna, wahai Yang Mempunyai Kebesaran dan Kekayaan. Wahai Tuhan yang memiliki kerajaan dan alam malakut; wahai Tuhan yang memiliki keagungan dan kegagahan.

 Maha Suci Engkau, alangkah besarnya Engkau wahai pencipta segala langit dan bumi. Wahai Tuhan tempat berlindung mereka yang menyesal (akan dosa-dosa mereka); wahai Tuhan yang Maha Pengasih terhadap orang-orang miskin; wahai Tuhan pemilik kebesaran dan kekuasaan, wahai Tuhan yang mempunyai belas kasihan dan memberi kebajikan dan Ihsan; wahai Tuhan yang banyak kasih sayang, wahai Tuhan yang banyak memberi; wahai Tuhan yang Maha Gagah dan tiada sesiapapun yang mampu mengalahkan-Nya; wahai Yang Melindungi dan Dia tidak memerlukan perlindungan, aku berlindung dengan-Mu dari azab ke atas badan dan kesempitan; dan aku berlindung dengan-Mu dari penyakit Angin Ahmar dan penyakit yang besar yang menimpa ke atas diri dan roh, darah dan daging, tulang dan kulit, urat dan urat saraf.

Maha Suci Engkau; yang apabila Engkau menghendaki sesuatu maka Engkau hanya mengatakan “Jadilah! Maka jadilah ia”. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Wahai Tuhan yang menjadikan; wahai Tuhan yang membuat kebajikan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan, wahai Tuhan yang Maha Gagah, wahai Tuhan yang Maha Adil, wahai Tuhan yang Berdiri dengan Keadilan, wahai Tuhan yang mendengar tangisan orang-orang yang meminta pertolongan. Wahai Tuhan yang memulakan (dari tiada kepada ada), wahai Tuhan yang mengembalikan, wahai Tuhan yang menolak, wahai Tuhan yang Mencukupkan. Wahai Tuhan yang menyembuhkan, wahai Tuhan yang meng’afiatkan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan terhadap orang yang memohon pertolongan.

Wahai Tuhan yang menerima kesyukuran, wahai Tuhan yang banyak memberi balasan atas kesyukuran. Wahai Tuhan yang Maha Kasih Sayang, wahai Tuhan yang Maha Belas Kasihan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan, wahai Tuhan yang Maha Berkuasa, wahai Tuhan yang Maha Gagah, wahai yang Maha Berkuasa, wahai Tuhan yang Maha Agung, wahai Tuhan yang mendahulukan, wahai Tuhan yang mengkemudiankan. Wahai Tuhan yang hidup, wahai Tuhan yang berdiri dengan sendiri-Nya, yang membalas mereka yang jujur dengan balasan ke atas tiap-tiap diri dengan apa yang mereka usahakan. Wahai Tuhan yang memerintahku, wahai Tuhanku yang memiliki aku, wahai Tuhan yang memberi perlindungan.

Wahai yang Maha Mengetahui sesuatu yang kami sembunyikan dan kami dedahkan; wahai Hakim yang menjatuhkan hukuman, wahai Tuhan yang memerintah sekalian orang-orang yang beriman; wahai Tuhan pembantu orang-orang yang dhaif dan miskin; wahai Tuhan yang Mencukupi keperluan orang-orang yang bertawakkal.

Wahai Tuhan yang mendatangkan malam ke atas siang dan siang ke atas malam; wahai Tuhan yang Gagah (mengalahkan) setiap syaitan yang sangat durhaka, wahai Tuhan yang mengalahkan setiap orang yang sombong lagi degil; wahai Tuhan sebaik-baik Pemerintah; wahai Tuhan yang sebaik-baik memberi pertolongan, wahai Tuhan yang memberi rezeki kanak-kanak yang kecil, wahai Tuhan yang Maha Pengasih terhadap orang tuan (yang sangat tua), wahai Tuhan yang memerintah orang-orang yang beriman; wahai Tuhan bagi orang-orang yang dahulu dan orang-orang yang kemudian; wahai Tuhan yang pengasih kepada orang-orang yang bertaubat, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari kalangan yang mengasihi. Wahai Tuhan sebaik-baik pengampun dari yang mengampuni; wahai Tuhan sebaik-baik pewaris; wahai Tuhan sebaik-baik Pemberi Keputusan; wahai Tuhan yang memerintah pada Hari Pembalasan.

Ya Allah, hanya Engkaulah yang aku sembah dan hanya kepada Engkaulah aku memohon pertolongan. Dan kepada-Mu aku bertawakkal. Dan kepada-Mu aku gemar dengan apa yang ada di sisi-Mu. Kepada-Mu aku berharap dan hanya Engkau yang aku takuti. Ya Allah, peliharalah aku dari segala kepayahan hidup dan penyakit-penyakit dan segala kesakitaan dan kesusahan dan darah hitam.

Ya Allah, peliharalah aku dari penyakit yang merbahaya dan dari penyakit Angin Ahmar dan penyakit darah kuning, dan segala kebinasaan dan segala maksiat dan pengsan, dan kerungsingan dan kesedihan dan dukacita dan dari di penjara. Ya Allah, peliharalah aku dari kejahatan binatang buas, dan binatang yang melata, serta permusuhan (benci membenci) orang awam, dan dari kekalahan dan kejahatan syaitan; dan raja, kemarau, kemahalan barang keperluan, dan gempabumi, dan bala bencana, dan keruntuhan bangunan, dan serangan musuh. Ya Allah, peliharalah aku dari kejahatan orang-orang yang jahat dan tipudaya orang-orang yang melampau, dan dari sesuatu yang silih berganti atasnya oleh malam dan siang melainkan yang datang itu adalah dengan baik, wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan setiap kejadian yang Engkaulah pemegang ubun-ubunnya; sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang tegak dan lurus. Engkau ialah Tuhanku dan di atas Engkau jua aku bertawakkal, dan Engkaulah yang Mencukupkan aku, dan sebaik-baik yang Mewakili, sebaik-baik Pemerintah dan sebaik-baik yang Memberi Pertolongan. Dan tiada daya upaya bagiku melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Dan cukuplah kami oleh Allah, dan sebaik-baik yang mewakili sebagai Pemerintah dan Engkau sebaik-baik pemberi pertolongan. Allah yang mencukupkan, Allah yang menyembuhkan, Allah yang memberi a’fiat. Dan ucap selawat oleh Allah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya; selamat sejahtera; dan segala pujian bagi Allah Tuhan Pemerintah Seluruh Alam. Amiin…

SEJARAH DOA ANGIN AHMAR (dipetik dari blog .srikasih.)l
Pada satu ketika semasa Nabi Sulaiman A.S. di atas singgahsana kerajaannya di hadapan manusia, jin dan juga binatang, ia merasai bahawa ia berkuasa memerintah semua makhluk Allah di dunia ini. Dalam keadaan demikian itu, tiba-tiba datang satu Lembaga yang besar lagi dasyat rupanya. Nabi Sulaiman merasa takut dan gementar melihatnya. Lalu ia bertanya siapakah sebenarnya Lembaga itu dan apakah tujuan kedatangannya.


Lembaga itu menjawab, ia bernama ” Rihul Ahmar”. Satu penyakit yang merbahaya diantara lain-lain penyakit. Allah mencipta dirinya sedemikian rupa dan diberi kuasa mendatangkan kesakitan kepada anak-anak Adam. Ia boleh meresap di tubuh manusia seperti darah mengalir di dalam urat saraf. Tatkala Allah hendak memberi azab kepada sesiapa yang dikehendakiNya ia memberi kuasa kepadanya supaya masuk ke dalam badan. Jika ia masuk ke dalam otak hilanglah akal seseorang itu. Kalau ia masuk menerusi hidung maka akan lahir penyakit bengkak-bengkak, sembam dan sehingga binasalah keseluruhan anggotanya.


Mendengar itu Nabi Sulaiman memerintahkan mereka yang berada di sekelilingnya membunuh dan membakar Lembaga itu. Rihul Ahmar menjawab bahawa tidak ada seorangpun yang dapat menghalangnya berbuat demikian kerana Allah telah menjadikannya sedemikian rupa dan melanjutkan umurnya.

Kemudian Lembaga itu pun ghaib hingga ke zaman Rasulullah S. A.W. Telah diriwayatkan bahawa cucu Rasulallah Al-Hassan Bin Ali telah mengidap sakit rongga dan keluar darah daripadanya. Apabila Rasulullah dan sahabat-sahabatnya menerima khabar tersebut Malaikat Jibrail pun datang dan memberitahu bahawa cucu baginda itu terkena sakit Rihul Ahmar.

Bila ditanya tentang ubatnya malaikat Jibrail mengatakan ada, lalu ia ghaib sebentar kemudian datang kepada Rasulullah. Jibrail mengatakan bahawa Allah S.W mengurniakan satu hadiah doa yang mustajab kepada sesiapa yang membacanya satu kali seumur hidupnya. Insyallah ia akan selamat daripada penyakit Rihul Ahmar.
Rasulullah pun membacanya untuk cucunya. Tiba-tiba ia sembuh ketika itu juga dan bangun berdiri dalam keadaan yang cukup sihat.
Rasulullah telah bersabda kepada sahabat-sahabatnya supaya mempelajari doa tersebut dan mengajarnya kepada umatnya yang lain supaya mereka mendapat manfaat serta terpelihara diri dari serangan penyakit Rihul Ahmar (Angin Ahmar). Insyaallah.


Katakanlah; 'Aku beriman kepada apa yang datang dari Allah dan RasulNya.'

ARTIKEL LAIN

 Doa Menghindari Dari Angin Ahmar
بِسْمِ الله الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
الْحَمْدُ لله رَبِّ العَالمَِيْنَ، اللّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُبِكَ وَبِكَلِمَاتِكَ التَّآمَاتِ كُلِّهَا مِنَ الرِّيْحِ الأَحْمَرِ وَمِنَ الدَّآءِ الأَكْبَرِ فِي النَّفْسِ وَالدَّمِ وَالْعَظْمِ وَاللَّحْمِ وَالْجُلُوْدِ وَالْعُرُوْقِ، سُبْحَانَكَ إِذَا قَضَيْتَ أَمْرًا أَنْ تَقُوْلَ لَهُ كُنْ فَيَكُوْنَ، الله أَكْبَرُ، الله أَكْبَرُ، الله أَكْبَرُ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ وَالْحَمْدُ لله رَبِّ العَالمَِيْنَ، بِسْمِ الله، وَبِالله، وَالله أَكْبَرُ، وَرَبُّ المَلآئِكِ وَالرُّوْحِ وَرَبُّ الْعَرْشِ العَظِيْمِ، وَرَبُّ الأَنْبِيَآءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ، وَرَبُّ الْخَلآئِقِ أَجْمَعِيْنَ، لآإِلهَ إِلاَ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنَّا كُنَّا مِنَ الْظَالِمِيْنَ، وَنُفَوِّضُ أَمْرِنَا إِلَى الله، إِنَّ الله بَصِيْرٌ بِالْعِبَادِ، رَبِّ إِنَّا مَسَّنَّا الْضُرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمَ الْرَاحِمِيْنَ، نَعُوذُ بِالله مِنْ قَضَآءِ الله مِنْ شَرِّ البَلآءِ الرِّيْحِ الأَحْمَرِ فِي الْبَدَنِ وَالشَّحْمِ وَالرُّوْحِ وَالْجَسَدِ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِالله الْعَلِىُ الْعَظِيْمِ.
 Ertinya:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Ya Allah Tuhan Kami, kami berlindung kepadaMu dan dengan seluruh kalimah-kalimahMu yang sempurna dari penyakit angin ahmar dan penyakit berat yang ada dalam badan, darah, tulang, daging, kulit dan urat. Maha suci Engkau apabila Engkau, menghendaki sesuatu, maka Engkau hanya mengatakan 'Jadilah, maka jadilah ia'. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani. Salam sejahtera ke atas junjungan kita Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam dan ke atas ahli keluarga baginda dan sahabat-sahabat baginda. Dan segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Dengan nama Allah dan disamping Allah dan Allah Maha Besar, Tuhan para malaikat dan ruh, Tuhan Arasy yang mulia, Tuhan para nabi dan para rasul, Tuhan seluruh makhluk. Tiada Tuhan selain Engkau, Maha suci Engkau sesungguhnya kami termasuk di kalangan orang yang menzalimi diri sendiri. Kami menyerahkan urusan kami kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya, Ya Tuhan sesungguhnya kami telah ditimpa mudharat dan Engkau Tuhan yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani. Kami berlindung kepada Allah dari ketentuan Allah dari kejahatan dugaan angin ahmar di dalam badan, otot-otot (lemak-lemak) roh dan jasad. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Strok/Angin Ahmar

Written by Super User. Posted in Sample Data-Articles
Apa itu Strok/Angin Ahmar?

Strok/Angin Ahmar adalah satu keadaan dimana berlakunya penyempitan salur darah ke bahagian otak atau salur darah pecah. Sebahagian dari tisu otak akan rosak disebabkan kekurangan bekalan oksigen. Apabila bahagian tisu otak tersebut rosak, ia akan mati lalu fungsi otak akan hilang. Diantara simptom/gejala yang ketara adalah pengsan, tidak sedarkan diri dan/atau lemah sebahagian anggota.

Strok/Angin Ahmar adalah penyakit yang merbahaya yang boleh mengakibatkan kecacatan kekal diperingkat dewasa.Statistik hospital-hospital kerajaan menunjukkan peningkatan ketara pesakit Stroke/Angin Ahmar dan kematian akibat Strok/Angin Ahmar.Di Hospital Kuala Lumpur data statistik mencatatkan 30-35 peratus kematian daripada 1000 kes penghidap Strok/Angin Ahmar yang dirawat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada Tahun 2001 terdapat 20.0 juta penghidap stroke seluruh dunia, 5.5 juta membawa maut.

Apakah faktor risiko yang menyumbang kepada Strok/Angin Ahmar?
Faktor risiko penyumbang kepada Strok/Angin Ahmar yang tidak boleh dikawal adalah: 

■Umur - peningkatan umur anda, terutama apabila meningkat umur hingga 65 tahun ke atas, risiko mendapat Strok/Angin Ahmar lebih tinggi. 
■Jantina - Lelaki lebih berisiko tinggi dari wanita. 
■Sejarah keluarga - Risiko anda lebih tinggi jika terdapat ahli keluarga yang menghidap Strok/Angin Ahmar atau Angin Ahmar Ringan (Minor Stroke/Transient Ischaemic Attack) 
Faktor risiko untuk anda mendapat Strok/Angin Ahmar adalah: 

■Tekanan Darah Tinggi (sila rujuk penyakit HYPERTENSION) 
■Kencing manis (sila rujuk DIABETES MELLITUS) 
■Paras kolesterol tinggi (sila rujuk HYPERCHOLESTRONEMIA) 
■Merokok 
■Berat badan yang berlebihan 
■Cara hidup tidak aktif (sedentari) 
■Tekanan/stress 
■Pemakanan - kurang serat dan tinggi lemak 
■Minuman keras - minum minuman keras yang berlebihan 
Bagaimana saya tahu yang saya diserang Strok/Angin Ahmar?


Bila anda mengalami salah satu atau lebih gejala Strok/Angin Ahmar, sila berbincang dengan petugas kesihatan atau pergi mendapatkan nasihat di klinik kesihatan berhampiran.
Doktor anda akan mengesahkan gejala yang anda alami dengan membuat pemeriksaan dan ujian tertentu. Selepas itu doktor akan menentukan diagnosa samada anda mengalami Strok/Angin Ahmar bergantung pada hasil ujian dan pemeriksaan yang telah dilakukan.

Apakah gejala Stroke/Angin Ahmar?


Gejala Stroke/Angin Ahmar yang terjadi tiba-tiba termasuk yang berikut:

■Rasa semut-semut dan kebas secara tiba-tiba pada sebahagian badan 
■Rasa lemah, kebas atau lumpuh bahagian muka, kaki atau tangan secara tiba-tiba 
■Celaru/keliru, susah bertutur atau memahami pertuturan orang awam secara tiba-tiba 
■Sakit kepala yang kuat tanpa sebab tertentu 
■Penglihatan kabur tiba-tiba pada sebelah mata atau kedua-dua mata 
■Sukar berjalan, pening atau hilang imbangan atau koordinasi secara tiba-tiba 
■Sukar menelan 
Apakah jenis-jenis Strok/Angin Ahmar?
Terdapat 2 jenis Strok/Angin Ahmar utama: 

•Thrombotic/ischaemic stroke 
◦Ia berlaku apabila salur darah ateri ke bahagian otak tersumbat. 


•Haemorrhagic stroke 
◦Ini berlaku apabila salur darah ateri ke bahagian otak pecah

Apakah rawatan untuk Strok/Angin Ahmar?
Seseorang yang disahkan mendapat Strok/Angin Ahmar perlu : 

■Dimasukkan ke hospital untuk pengesahan punca strok dan berapa luas tisu otak yang telah rosak 
■Dirawat dengan pemberian ubat jika perlu 
■Pembedahan untuk menghentikan perdarahan otak jika berkaitan ■Mulakan rawatan pemulihan/rehabilitasi secepat mungkin seperti senaman menguatkan otot yang terlibat, latihan pertuturan dan penyesuaian kepada aktiviti harian(ADL) 
■Nasihat amalan pemakanan sihat 
Bolehkah saya mengelak dari serangan Stroke/Angin Ahmar?
Faktor risiko yang menyumbang Strok/Angin Ahmar boleh dikurangkan seperti : 

■Kawal tekanan darah 
■Kawal tahap Kolesterol 
■Kawal penyakit Diabetes 
■Amalkan cara pemakanan sihat 
■Berhenti merokok 
■Kerap bersenam 
■Menangani tekanan mental 
■Kurangkan pengambilan minuman keras 
Rehabilitasi/pemulihan untuk pesakit Strok/Angin Ahmar
Kesan angin ahmar ringan selalunya mudah diatasi tetapi jika sebaliknya, ia mungkin mengakibatkan hilang upaya yang teruk dan mungkin kekal.

Oleh kerana itu, sokongan dan bantuan emosi dari keluarga, kawan-kawan dan petugas kesihatan amatlah mustahak kerana ia boleh membantu dalam proses pemulihan pesakit angin ahmar. Petugas Kesihatan akan dapat membantu dalam hal-hal seperti:

■Jurupulih Pertuturan 
■membantu mengekalkan dan memulihkan pertuturan serta menilai tahap kebolehan menelan
■Jurupulih Perubatan (Cara Kerja) 
■mengajar cara mengendali dan menunjuk ajar kemahiran baru, mencadangkan pengubahsuaian rumah bagi memudahkan pergerakan mengikut keupayaan pesakit Strok/Angin Ahmar 
■Jurupulih Perubatan (Anggota) 
■mengekalkan atau membantu meningkatkan pergerakan dan fungsi badan
Dimanakah Kumpulan Sokongan Pesakit Strok/Angin Ahmar boleh diperolehi?

•Nasam - National Stroke Association of Malaysia

 

 STROK (ANGIN AHMAR)
Wednesday, 11 September 2013 15:57

Soalan:

Assalamualaikum Tuan Haji. Dua minggu yang lepas ayah saya telah diserang angin ahmar yang teruk. Doktor menerangkan berlaku pendarahan yang besar di dalam otak ayah saya. Sekarang ini ayah saya masih terlantar di hospital dan lumpuh di badan sebelah kanan dia. Ayah saya juga masih tidak boleh bercakap dan bergantung kepada kami sekeluarga untuk mengurus dirinya. Saya ingin meminta tolong Tuan Haji Lokman menerangkan rawatan al-Quran untuk penyakit angin ahmar  ini.  Terima kasih. (En Khairul, Permatang Pauh)

Jawapan:

Penyakit angin ahmar atau strok berlaku apabila bekalan darah ke sebahagian otak terputus secara tiba-tiba. Otak kita memerlukan bekalan oksigen yang berterusan daripada darah. Maka, jika bekalan darah tersebut terputus, sel-sel otak yang terjejas akan rosak atau mati. Kadangkala strok ini dipanggil sebagai ‘serangan otak’. Terdapat dua jenis strok iaitu Strok Iskemia dan Strok Haemoragik.
Strok Iskemia berlaku apabila terdapat darah beku di dalam saluran darah di otak yang menyebabkan saluran tersebut tersumbat. Iskemia bermaksud pengurangan bekalan darah dan oksigen ke bahagian badan yang tertentu. Dalam sesetengah penyakit strok, darah beku boleh terbentuk di dalam saluran darah otak itu sendiri dan menyebabkan strok iskemia. Dalam sebahagian kes-kes strok iskemia yang lain, darah beku boleh terbentuk di luar otak dan kemudian darah beku itu bergerak ke otak dan seterusnya menyumbat saluran darah otak.
Strok Haemoragik (pendarahan) berlaku apabila saluran darah otak yang lemah atau rosak pecah dan menyebabkan pendarahan di dalam otak. Terdapat dua jenis pendarahan otak iaitu Pendarahan Intracerebral dan Pendarahan Subarachnoid.
Pendarahan Intracerebral berlaku apabila saluran darah pecah di dalam otak itu sendiri. Kemudian darah mengalir keluar ke dalam otak. Perkara ini menyebabkan bekalan darah ke sel-sel otak terputus dan ini seterusnya menyebabkan sel-sel otak tersebut akan rosak ataupun mati. Pendarahan jenis ini berlaku dalam satu daripada 10 kes strok.
Pendarahan Subarachnoid pula berlaku jika saluran darah pecah di ruang antara otak dan tengkorak. Ruang tersebut kebiasaannya diisi oleh cecair otak yang dipanggil sebagai cecair cerebrospinal. Setiap satu strok daripada 20 kes adalah disebabkan oleh pendarahan jenis ini.

Strok Di Malaysia

Menurut Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM), setiap seorang daripada enam orang di Malaysia akan diserang penyakit strok. Setiap tahun dianggarkan terdapat 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok. Malah, di Malaysia penyakit strok ini adalah punca kematian ketiga terbesar selepas penyakit jantung dan kanser. Strok menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, jantina, agama dan usia. Namun, majoriti pesakit strok adalah orang dewasa.

Punca-Punca Strok

Punca-punca yang berisiko tinggi untuk berlakunya strok terbahagi kepada dua. Risiko yang tidak boleh diubah dan risiko-risiko yang boleh diubah.
Risiko yang tidak boleh diubah adalah:
  • Umur – Risiko untuk mengalami serangan strok dianggarkan berganda selepas umur 55 tahun
  • Genetik – Risiko untuk serangan strok adalah lebih tinggi jika salah seorang daripada ahli keluarga terdekat seperti ayah, nenek atau adik pernah mengalami serangan strok
  • Jantina – lebih ramai kaum lelaki yang diserang strok berbanding dengan kaumm wanita. Namun, lebih ramai kaum wanita yang meninggal dunia akibat daripada serangan strok berbanding dengan kaum lelaki
  • Sejarah serangan jantung atau strok – Risiko bagi mereka yang pernah mengalami strok atau serangan jantung adalah lebih tinggi berbanding mereka yang tidak pernah mengalami masalah tersebut

Risiko yang boleh diubah adalah seperti berikut:
  • Tekanan darah tinggi – Mereka yang mengalami masalah tekanan darah tinggi selalunya tidak ada sebarang simptom. Maka, adalah penting untuk selalu membuat pemeriksaan tekanan darah
  • Merokok – Berhenti merokok boleh menurunkan risiko serangan strok serta-merta
  • Kencing manis – Penyakit ini meninggikan risiko serangan strok
  • Kolesterol – Saluran darah boleh tersumbat akibat daripada kolesterol di dalam badan. Maka, boleh mengganggu bekalan darah ke otak dan menyebabkan strok
  • Obesiti – Risiko strok adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang obese berbanding dengan mereka yang mempunyai berat badan yang normal.

Simptom-Simptom Serangan Angin Ahmar

Setiap fungsi tubuh badan kita yang berbeza dikawal oleh bahagian-bahagian otak yang berbeza juga. Oleh itu, setiap simptom strok berbeza mengikut bahagian otak mana yang terjejas dan saiz kawasan otak yang rosak. Simptom-simptom ini berlaku secara tiba-tiba dan selalunya melibatkan satu atau lebih simptom yang berikut:
  • Tangan dan kaki lemah atau lumpuh sepenuhnya
  • Sebelah muka menjadi lemah. Air liur akan sentiasa meleleh tanpa kawalan
  • Masalah dengan kestabilan dan koordinasi badan, percakapan, penglihatan atau sukar untuk menelan
  • Rasa pening atau sakit kepala
  • Kebas-kebas di sebahagian daripada badan
  • Pengsan atau menjadi keliru

Kesan Jangka Panjang Serangan Strok

Jenis dan kadar kelumpuhan yang disebabkan oleh serangan strok adalah berbeza-berbeza mengikut kadar kerosakan otak selepas serangan strok. Serangan yang teruk boleh menyebabkan kematian. Jenis-jenis kesan jangka panjang serangan strok adalah seperti berikut:
  • Sebelah badan lemah - Ini akan menyebabkan masalah untuk berjalan jika melibatkan kaki atau masalah untuk menggunakan tangan
  • Masalah kestabilan dan koordinasi badan
  • Masalah menelan - Ini merupakan masalah yang sangat biasa berlaku dan juga boleh menjadi sangat merbahaya dalam sesetengah kes. Makanan yang ditelan boleh turun ke saluran pernafasan dan bukannya saluran makanan di tekak apabila makan. Perkara ini boleh menyebabkan pesakit tercekik dan seterusnya pesakit sukar untuk bernafas. Jika masalah menelan ini sangat serius, makanan dan minuman terpaksa disalurkan melalui tiub terus ke perut
  • Masalah percakapan dan komunikasi - Pesakit mungkin akan susah untuk bercakap dengan lancar kerana sukar mencari perkataan yang sesuai semasa bercakap atau langsung tidak boleh bertutur. Malah, keupayaan untuk memahami percakapan orang lain, membaca atau menulis turut terjejas
  • Masalah penglihatan – Jika bahagian otak yang melibatkan keupayaan melihat telah terjejas, pesakit mungkin mengalami masalah penglihatan berganda (double vision).
Apa yang tersenarai di atas adalah contoh-contoh apa yang mungkin berlaku selepas serangan strok. Setiap strok adalah berbeza dan kesan strok harus diteliti untuk setiap seorang pesakit.
Dalam minggu-minggu terawal selepas strok, bengkak di sekeliling bahagian otak yang rosak, akan berkurangan. Masa itu sebahagian daripada simptom mungkin akan berkurang ataupun hilang. Dengan rehabilitasi dan terapi yang sesuai, keadaan pesakit mungkin akan bertambah baik.

Rawatan Moden Untuk Strok

Rawatan untuk strok melibatkan rawatan kecemasan sebaik sahaja serangan strok berlaku dan juga rawatan rehabilitasi atau “physiotherapy” selepas pesakit strok sudah stabil.
Setiap pesakit strok yang didapati mengalami simptom-simptom awal serangan strok, harus dihantar ke wad kecemasan secepat mungkin. Rawatan yang segera adalah sangat penting untuk mengelak keadaan bertambah teruk yang boleh menyebabkan kematian. Malah, rawatan kecemasan awal boleh mengurangkan kadar kerosakan otak dan ini boleh meningkatkan kadar kesembuhan yang tinggi. Rawatan kecemasan melibatkan penggunaan ubat-ubatan dan/atau pembedahan yang akan mengeluarkan darah beku dari otak.
Rawatan rehabilitasi akan dilakukan selepas pesakit sudah stabil. Rehabilitasi bertujuan untuk membantu pesakit untuk mendapat kekuatan fizikal semula, mengembalikan keupayaan fungsi-fungsi badan dan untuk membolehkan pesakit untuk berdikari seperti sebelum serangan strok. Malah, rehabilitasi ini turut bertujuan untuk mengembalikan keyakinan diri kepada pesakit strok untuk kurang bergantung kepada orang lain urusan harian.

Rawatan Strok Menggunakan Al-Quran

Ayat-ayat al-Quran turut memiliki mukjizat untuk membantu dalam penyembuhan penyakit strok ini. Daripada pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah dalam mengubati pesakit-pesakit strok, ramai yang sudah mengalami perubahan yang sangat positif selepas menerapkan rawatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran.
Selain itu, kami turut mendapati ada unsur-unsur gangguan makhluk halus yang boleh menyebabkan serangan strok dalam sebahagian pesakit-pesakit kami. Ada sejenis jin yang digelar Jin Ahmar yang boleh masuk dalam badan pesakit dan merosakkan saluran-saluran darah dalam otak pesakit yang menyebabkan pendarahan berlaku dan mengakibatkan pesakit itu mendapat strok. Perubatan moden mengakui strok disebabkan oleh pendarahan dalam otak, tetapi kadangkala sukar untuk menerangkan punca pesakit itu mendapat strok.  Kita selalu mendengar pesakit yang berusia muda, tidak ada sejarah dalam keluarga yang pernah mendapat strok, sihat tubuh badan, tidak ada penyakit darah tinggi atau kencing manis, tetapi mendapat penyakit strok.  Dalam kes-kes demikian selalunya mereka ini diganggu oleh Jin Ahmar, dan jin-jin ini perlu dikeluarkan daripada badan pesakit  sebelum rawatan selanjutnya diberi.
  
Maka, setiap pesakit strok yang datang berubat, akan diperiksa terlebih dahulu jikalau ada sebarang gangguan makhluk Jin Ahmar didalam badan mereka.  Selalunya jin-jin Ahmar ini akan berada didalam otak atau tulang belakang pesakit.  Perawat Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah dengan keizinan Allah swt akan mengeluarkan jin-jin Ahmar ini sekiranya ada, dan seterusnya memberikan ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah swt untuk memohon penyembuhan. Inshallah dengan keizinan Allah sw, ayat-ayat Al-Quran yang dibaca oleh pesakit ini dapat merangsang atau “stimulate” sel-sel otak yang rosak akibat strok untuk berfungsi semula.
Ayat-ayat tersebut adalah:
  • Surah Al-Israa’ ayat 40 hingga 55
  • Surah An-Nahli  ayat 81 hingga 89
  • Surah Az-Zumaar ayat 24 hingga 37
  • Surah An-Nahli ayat 35 hingga 47
Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Israa’ tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah An-Nahli tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah swt untuk penyembuhan. Pesakit haruslah ingat bahawa apa-apa penyembuhan hanyalah dengan izin daripada Allah swt. Oleh itu, kita janganlah berputus asa dan sentiasalah berdoa kepada Allah swt.
“….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.”- Surah Yusuf : 12

Penutup

Kita sebagai umat Islam yang telah diberi akan nikmat Islam dan iman seharusnya berpegang teguh, beramal dan yakin akan mukjizat al-Quran. Keistimewaan al-Quran pasti akan membantu setiap insan di dalam kehidupan dunia ini yang sentiasa silih berganti antara kebahagiaan dan kesengsaraan. Apabila kita atau insan yang kita sayangi ditimpa dengan serangan strok dan lalu mengalami pelbagai masalah kesihatan akibat strok, kita kena kuatkan semangat dan tabah dalam menghadapi perasaan gelisah, murung dan marah dalam diri kita. Perasaan negatif ini hanya akan bertambah teruk jikalau kita membiarkan sahaja perasaan tersebut bergolak tanpa sebarang usaha untuk melawan dan menukar perasaan negatif kepada yang positif.
Kadangkala keluarga pesakit juga turut merasa tertekan untuk menjaga pesakit strok.  Ramai keluarga pesakit yang mengadu kepada saya betapa susah untuk menjaga pesakit strok. Kadang-kadang pesakit akan hilang kawalan akal fikiran dan bersikap agresif dan ini memberi tekanan kepada ahli keluarga atau orang-orang yang bertugas untuk menjaga mereka.  Bersabar dan berikhtiar dan percayalah semua dugaan dan ujian dari Allah swt ini ada hikmah disebaliknya.
Antara cara untuk memperkuatkan rohani dan hati kita apabila dilanda penyakit hati akibat musibah strok adalah amalan membaca al-Quran pada setiap hari. Selalunya di zaman moden ini, ramai di kalangan kita yang suka untuk bersenam atau melepak dengan tujuan untuk menenangkan jiwa, menghilangkan stres atau mengawal emosi yang bergolak. Namun, penawar rohani yang paling mujarab sudah lama diberi kepada manusia, iaitu al-Quran.
“Wahai manusia, telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuhan bagi penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” - Surah Yunus : 57
Maka, bacalah surat istimewa daripada Allah swt kepada hamba-hambaNya pada setiap hari. Jadikan amalan ini sebagai rutin dan semoga kita semua mendapat keberkatan.
Sekian.

2 ulasan:

WONG MEDICAL CENTRE berkata...

Thank you for the information. We are provide rehabilitation for stroke patient. we are using two method which is combination of physiotherapy treatment and acupuncture. For further information can call us at 0124520077

Daud Mohamad berkata...

Assalamualaikum..terima kasih atas perkongsian tuan.