Ribuan himpun di Perak bantah Kassim Ahmad
- Feb 21, 2014
- MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR
IPOH: Ribuan Umat Islam hari ini berkumpul selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Negeri, Ipoh bagi mengutuk kebiadaban tokoh anti hadis, Kassim Ahmad.
Himpunan yang dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Perak itu dihadiri oleh beberapa pimpinan PAS termasuklah Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, Timbalan Pesuruhjaya, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Ketua Penerangan Ulamak PAS Perak, Ustaz Norazli Musa dan Exco Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri.
Ianya turut disertai oleh badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Angkatan Belia Insan Malaysia (Abim) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dalam ucapannya berkata, sebagai sebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam selaras dengan agama rasmi, maka kesucian agama Islam wajib dijaga oleh seluruh umat terutama pemerintah.
Tegas beliau, sebarang tindakan sama ada perkataan atau perbuatan yang boleh menimbulkan salah faham terhadap Islam wajib diambil tindakan sewajarnya.
"Kenyataan Kassim Ahmad sebagai ilmuan sesat yang diketahui umum wajib diambil tindakan kerana disamping merosakkan aqidah dirinya, ia juga boleh mempengaruhi dan merosakkan aqidah masyarakat umat Islam ini di negara ini.
"Kerajaan tidak boleh berdiam diri walaupun beliau (Kassim Ahmad) adalah ahli Umno," tegasnya kepada hadirin dan disambut dengan laungan Allahu akbar.
Beliau mempersoalkan dimana badan bukan kerajaan (NGO) pro Umno yang sebelum ini lantang mahu menjadi hero mempertahankan Islam namun dalam hal ini senyap membisu apabila ianya membabitkan kepimpinan Umno.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Idris Ahmad menyelar tindakan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang mempertahankan Kassim Ahmad.
Mahathir juga katanya bertindak biadap mendakwa para ulamak tidak dapat menjawab segala hujah daripada Kassim.
"Hujah dan dakwaan yang dikekumakakan oleh beliau (Kassim) pelajar PASTI pun boleh jawab.
"Dakwaan Mahathir yang mengatakan ulamak tidak dapat menjawab hujah Kassim adalah satu pembohongan yang besar," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss kesal pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan kepada Kassim Ahmad yang ketika ini bebas bermaharaja lela menyebarkan dakyahnya.
Beliau hairan kenapa Kassim Ahmad tidak berani 'disentuh' oleh mana-mana pihak sedangkan terang-terangan menghina Islam dan Rasulullah.
"Apabila ada pihak didakwa menghina pemimpin kerajaan, laju sahaja mereka diambil tindakan tetapi Rasulullah dan Islam dihina tiada sebarang tindakan diambil. Inilah yang berlaku di negara kita,"tegasnya.
Dalam nada yang sama, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Norazli Musa menyeru seluruh umat Islam bersatu mempertahankan kesucian agama Islam dan Rasulullah daripada dihina daripada mana-mana pihak termasuklah golongan anti hadis.
Kata beliau, tindakan beberapa pimpinan Umno mempertahankan Kassim sangat dikesali dan membuktikan Umno menyokong fahaman yang dibawa oleh Kassim.
"Ramai para ustaz dan ulama yang pulang daripada belajar agama di luar negara ditahan oleh sebab tiada tauliah, tetapi Kassim bebas berbicara tentang agama sedangkan tiada langsung asas ilmu agama,"jelasnya lagi.
Tahun-tahun yang menipu
- Feb 21, 2014
- USTAZ HASRIZAL ABDUL JAMIL
“Semua benda macam ada berlapis-lapis maklumat hingga tidak pasti mana yang betul mana yang salah,” tambah seorang lagi.
Mereka berdua tidak sendirian.
Ia bukan keluhan pinggiran.
Ia menjadi apa yang dirasakan ramai. Malah ia bukan sekadar rasa. Ia kenyataan.
Mengapa susah sangat hendak memahami mana yang betul, mana yang salah? Jika di suatu ketika kesusahan ini berpunca daripada kekurangan maklumat, kini kesusahan yang sama diakibatkan oleh maklumat yang berlambak. Terlalu berlambak. Tambah-tambah pula hal politik, hal ekonomi. Kalau lemah stamina untuk mencantum kepingan puzzle, mungkin jawapan akhirnya ialah, “arghh. Sama sahaja semuanya!”
Mana mungkin sama.
“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan” [Surah Fussilat : ayat 34]
Kalau semua sama, itu bahasa putus asa.
Putus asa dibenci Allah dengan penuh murka.
Sesungguhnya kita sedang hidup pada era tahun-tahun yang menipu. Penipuan yang tidak dapat ditunjuk siapa penipunya. Yang jelas, mangsa penipuan itu kita semua. Kecelaruan ini bukan kecelaruan main-main. Ia ujian Allah untuk umat akhir zaman. Renungi pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih]
Segalanya jadi terbalik.
Orang yang bercakap benar dianggap pendusta.
Orang yang berdusta dianggap berkata benar.
Orang yang khianat dianggap amanah.
Orang yang amanah, dikhianati.
Semua jadi terbalik.
Kalau boleh, mahu sahaja saya sarankan satu kaedah mudah iaitu apa sahaja yang diwar-warkan oleh media, carilah yang sebaliknya. Kebenaran ada di situ! Tetapi saya tidak boleh memandu hidup semudah itu. Kita perlu kembali kepada kaedah. Cari panduan. Namun isunya ialah panduan siapa?
Jika SIAPA yang jadi kaedah, siapa itu adalah lubuk masalah.
“…dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh yang berucap tentang urusan orang ramai.”
Ketika kita dahagakan bimbingan, yang rancak membimbing adalah al-Ruwaibidhah.
Al-Ruwaibidhah ini, para sahabat juga tidak arif mengenainya. Mereka meminta penjelasan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menggelar mereka sebagai AL-SAFEEH, si bodoh. AL-SAFEEH ini juga bukan sekadar orang bodoh, tetapi si bodoh yang tidak malu untuk menzahirkan kebodohannya melalui apa yang diucapkan. AL-SAFEEH inilah yang memberi penjelasan, penerangan, huraian, agar manusia dapat membezakan antara yang dusta dan benar, antara yang khianat dan amanah, antara yang batil dengan yang hak.
Lalu dengan kebodohannya yang tersebar dalam kepetahan, semakin bingunglah masyarakat. Semakin tertipulah orang ramai dalam tahun-tahun yang menipu ini.
PENYELESAIAN
Saya tiada jawapan mudah.
Oleh kerana tahun-tahun yang menipu ini adalah muqaddimah era Dajjal, maka kita perlu kembali kepada benteng yang dibekalkan oleh Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam. Kita perlu membaca, meneliti, menghayati dan mengangkat tinggi SUNTIKAN IMUNISASI diri yang wujud di dalam SURAH AL-KAHF.
Menurut Sahib Tafseer fee Dhilaal al-Quran, Surah al-Kahf berfungsi melindungi orang-orang yang beriman daripada fitnah Dajjal kerana ia menyediakan ‘tools’ untuk menghasilkan tiga perkara:
i.Membetulkan sistem kepercayaan (Aqidah)
ii.Membetulkan metod memerhati dan berfikir (Pandangan Hidup)
iii.Membetulkan sistem nilai dengan pertimbangan kepercayaan (Nilai)
Justeru, semaklah perkara-perkara berikut:
i.Apakah yang engkau percaya, dan bagaimanakah cara engkau mempercayainya?
ii.Bagaimanakah cara engkau memerhatikan sesuatu kejadian dan memikirkannya? Apakah pandangan hidup kamu sesuai dengan siapa kamu, siapa Allah dan apa makna kehidupan ini?
iii.Apakah nilai yang engkau pegang dalam hidup ini? Adakah apa yang penting di sisi Allah, penting dalam hidupmu? Apakah apa yang engkau sanggup lakukan, ia sebenar-benarnya ada harga di sisi Allah?
Untuk menjawab soalan itu, jawapannya tidak perlu dikongsi dengan orang lain.
Tanyalah diri masing-masing, adakah aku mangsa, adakah aku pemangsa, adakah aku al-Ruwaibidhah itu, atau adakah aku calon Dajjal yang maha menyesatkan itu?
Lindungilah kami dan zuriat kami di era fitnah ini ya Allah.
“Ya Allah tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai benar dan kurniakan rezeki untuk kami mengikutnya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai batil dan rezekikanlah kami untuk menjauhkan diri daripadanya. Jangan jadikan ia keliru terhadap kami hingga kami tersesat, dan jadikanlah kami ikutan orang-orang yang bertaqwa” [Surah al-Furqan : ayat 74]
http://saifulislam.com/
Polemik UG, Konsensus dan penoreh menanti kebuluran?
- Feb 21, 2014
- AHMAD LUTFI OTHMAN
"Saya tidak bimbang konflik di antara parti, termasuk dengan Anwar Ibrahim, tetapi lebih risaukan pertembungan sesama atau dalaman PAS sendiri," kata seorang teman, juga wartawan politik.
Dia tidak menyorok kerisauannya terhadap kesepaduan Pakatan melalui usia enam tahun, Mac ini. "Sekarang, heboh pula isu Konsensus Nasional, apatah lagi bila dibangkitkan semula soal Kerajaan Perpaduan, UG. Semua ini langsung tidak membantu misi kita ke Putrajaya," ujarnya, berhati-hati.
"Eloklah, PRU14 pun masih jauh lagi, boleh kita selesai perbalahan ini secara baik, lagipun percanggahan tidak bermakna perseteruan. PAS sudah masak melaluinya," pintas saya, sambil ketawa kecil, bertujuan meredakan ketegangan pada raut wajah teman saya itu.
"Hal Kajang ini jangan takutlah... Anwar akan dapat majoriti lebih tinggi nanti, lagi pun bila Dr Mahathir Mohamad dan Umno takut sangat Anwar bertanding, bermakna elok sangatlah Anwar di situ buat kepentingan Pakatan," usik saya.
Hari itu, rakan saya ini nampaknya susah ketawa, tanda dia memang serius memikirkan masalah dalaman parti. Seterusnya dia menyebut perbedaan ketara dalam tulisan dua AJK PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dan Ustaz Idris Ahmad, serta membandingkannya dengan rakan sejawat mereka, Khalid Samad.
"Ada yang menyamakan konsep UG dengan Konsensus Nasional (KN), tetapi saya lebih tertarik dengan hujah Khalid yang sentiasa vokal itu," tambahnya. Beliau menunjukkan petikan dari blog Khalid: "KN membawa erti pemerintah dan pembangkang duduk bersama berbincang mengenai isu-isu tertentu dengan tujuan mencari titik persamaan dan persetujuan terhadap cara mengusahakan sesuatu penyelesaian secara bersama. Ini dilakukan dalam keadaan parti pemerintah tetap sebagai parti pemerintah dan parti pembangkang kekal sebagai parti pembangkang dan masing-masing terus dengan peranan masing-masing."
Dia turut menggariskan poin Khalid seterusnya: "UG pula adalah pembentukan sebuah kerajaan bersama di antara BN dan Pakatan. Walaupun ada yang berpendapat di antara Umno dan PAS, tetapi saya memahaminya sebagai BN dan Pakatan. Dan dalam masa yang sama pembangkang ditiadakan. Semua duduk sebagai kerajaan dan persaingan parti pemerintah dan pembangkang secara terbuka ditiadakan."
(Manakala Ustaz Nasruddin mempertahankan konsep UG cetusan Presiden PAS tapi "belum sempat idea besar ini diwacana, dibahas dan dikaji secara tulus dan akademi, ia telah dibunuh dengan meletuskan satu persepsi jahat bahawa Ustaz Abdul Hadi mahu mengheret PAS menyertai Umno dan polemik ini berlanjutan sehingga tiga siri muktamar tahunan PAS selepas itu".)
Saya sekadar mengangguk, sekali gus memahami bahawa tidak mudah sesuatu isu dapat disepakati bersama, tanpa sedikit pun perbedaan. Masing-masing ada perspektif, nas dan hujah tersendiri. Sudut pandangan berdasarkan, bukan saja, dari sudut mana ia dilihat tetapi juga latarbelakang dan kecenderungan seseorang pemimpin itu. Khilaf itu tidaklah sampai memecahkan, dan sememangnya ia cabaran besar buat parti Islam yang matang dan tahan uji dengan seribu satu pergolakan seumpama PAS.
Dalam pada itu, saya agak terganggu dengan komentar seorang lagi rakan, dalam usia akhir 60-an, bekas pemimpin Umno bahagian, kini aktif dalam PAS peringkat kawasan dan cukup prihatin dengan situasi siasah di Selangor: "Dulu-dulu Menteri Besar Selangor tersingkir kerana rasuah, skandal seks dan lain-lain yang negatif. Tan Sri Khalid berjimat dan tidak rasuah, duit negeri pun banyak, tetapi dia nak disingkirkan gara-gara pimpinan parti tak dapat banyak projek dan jadi ahli lembaga pengarah GLC."
Saya kira rakan saya yang ramai kenalan politik dalam Umno, PAS dan KeADILan ini tentu memahami pergolakan sebenar kerajaan Selangor. Beliau juga bimbang sekiranya gejala yang memusnahkan Umno turut menghinggap PAS, terutama apabila diasak hebat hambatan keduniaan selepas menjadi rakan kongsi dalam pemerintahan di negeri termaju itu.
Ketika rakan-rakan sibuk membincangkan kontroversi Konsensus Nasional dan UG, fikiran saya lebih terarah dengan masalah dan kemelut harian, yang menyentuh soal survival kehidupan, terutama berkaitan cabaran peningkatan kos sara hidup, khususnya membabitkan golongan pesawah padi dan penoreh getah.
Belum pun dicapai formula penyelesaian yang dituntut NOG BelaTani, mengenai harga lantai padi sehingga RM1,355/tan metrik atau kadar subsidi yang tidak pernah berganjak, beberapa siri demonstrasi penoreh tidak boleh dipandang ringan. Apabila perut memulas dan dapur tidak berasap, amarah sukar dibendung lagi.
Berdasarkan laporan wakil Harakah di Kedah, perjuangan pesawah dan penoreh memang perlukan sokongan dan hebahan meluas agar tekanan meningkatkan harga lantai padi dan getah diberi perhatian elit pemerintah.
Kedah pernah menyaksikan demonstrasi besar-besaran penoreh di Baling pada 1974 ekoran harga getah menjunam dan lebih kurang 35 tahun lalu, di hadapan Wisma Negeri, Alor Setar, ribuan petani menunjuk perasaan, menyebabkan kerajaan terpaksa menaikkan harga subsidi padi.
Mungkin elit pemerintah lebih memahami bahasa aksi protes daripada memorandum ataupun keluhan melalui media?
Di sekitar Kuala Ketil, Sik, Padang Terap dan Sungai Petani, Kedah, penoreh mula turun ke jalan raya dan berkumpul di tengah kebun getah yang luruh dan kering sekarang. Mungkin menunggu masa untuk 'mengamuk" dan mencipta sejarah Baling II?
Harga merudum ke paras terendah, RM2.30 sekilo lebih mahal daripada sekilo gula, dan kebanyakannya terpaksa bahagi dua dengan tuan kebun, disebabkan majoriti menoreh secara pawah.
Saya juga masih belum dapat melupakan luahan hiba seorang isteri muda melalui panggilannya ke sebuah stesen radio. Dia menceritakan keadaan suaminya yang berubah drastik, menjadi murung dan mudah panas baran.
Puncanya kerana kesempitan hidup berdepan kenaikan kos hidup, dengan harga barangan keperluan harian meningkat terus. Berdasarkan nada percakapan, si isteri kedengaran tambah terapi bimbang jika suaminya gagal mengawal tekanan perasaan.
Ia tentu sekali bukan kes terpencil. Memang secara luaran realiti masyarakat nampak berjalan secara biasa tetapi jika kita mendekati setiap isi rumah, menyelami denyut nadi pergolakan harian, tidak kira di tengah kekalutan kota raya ataupun jauh di hujung desa terpencil, tekanan sama adalah situasi lumrah.
Ya, sesekali berkunjung ke pasar, usah terkejut melihat harga ayam, ikan dan sayur. Belum dihitung perbelanjaan lain lagi. Media pula tidak menghebahkannya lagi, mungkin menganggapnya bukan berita besar lagi. Ia sudah dianggap realiti yang mesti diterima, 'kan?
Namun, himpitan tekanan hidup telah mengancam kesejahteraan hidup berkeluarga, sehingga boleh menyebabkan kes perceraian meningkat. Begitu juga dengan perkembangan keperibadian anak-anak. Ramai tidak dapat menyerap himpitan dengan baik.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dalam perhimpunan agung Umno 2013, pernah mendedahkan kajian bahawa 75 peratus daripada belia bandar yang berpendapatan bulanan RM3,000 terjejas dan "selepas mereka bayar kereta, rumah dan perbelanjaan makanan harian, mereka langsung tiada baki sesen pun di akhir bulan”.
Mengikut Jabatan Perangkaan, lebih 55 peratus pendapatan isi rumah di negara ini berada di bawah RM4,000 sebulan dan bagi warga kota, perolehan sekitar itu tidak dapat menjamin keselesaan. Golongan miskin bandar juga perlu didekati gelodak rasa mereka.
Dan untuk menyelami lebih dekat tekanan hidup penoreh getah, wartawan Harakah Kedah, Sarina Ismail menemui beberapa orang daripadanya.
Rosli Md Lazim, 48, dari Kampung Panjang, Jenun, menceritakan: "RM2.30 kena bahagi dua pula, banyak mana boleh dapat? Saya terpaksa memukat ikan untuk tampung pendapatan. Sekurang-kurangnya saya boleh jual ikan dengan harga yang lebih tinggi dari getah.
"Anak saya empat orang, kalau hanya pendapatan RM15 sehari, bagaimana saya tampung perbelanjaan. Barang keperluan mahal, ikan temenung pun sekilo RM12."
Shafie Ahmad, 49, dari Kampung Kubang Teradeh yang bersama-sama isteri menampung kehidupan sepenuhnya dengan menoreh getah meminta kerajaan tidak memandang mudah nasib mereka.
"Kerajaan kena kaji, jangan pandang mudah pada kami. Kalau sehari, kami hanya mampu dapat RM15 sedangkan nak datang kekebun pun, kos minyak motor pun dah hampir RM2.50, itu tak termasuk makan pagi. Sudahlah pula kami keluar rumah seawal 6.30 pagi.
"Jangan hanya dekat pilihan raya sahaja penoreh getah diberi umpan, naikkan harga getah tapi bila selesai mengundi, harga getah jatuh. Nasib penoreh getah tak terbela," ujar Shafie.
"Kalau musim hujan bolehlah juga dapat 20 kilo sehari tapi kemarau seperti ini hanya boleh dapat separuh dari itu. Sedangkan perbelanjaan seharian lebih dari RM20. Mana kami nak cari? "Saya harap harga getah dinaikkan paling rendah RM5.00 sekilo, jangan kurang," tambahnya.
Wartawan Izwan Abd Halim turut menemui seorang penoreh. Saarin Osman, di Kuala Ketil. "Pesawah dapat subsidi 0.35 sen sekilogram padi, nelayan ada subsidi disel. Penoreh getah tak dapat apa pun. Ditekan lagi dengan harga barang naik, contoh 6 kilogram sekerap getah baru boleh beli sekilogram ikan temenung yang harga RM12.00 sekilo," katanya.
"Secara purata setiap penoreh kini memperolehi pendapatan maksimum RM25.00 sedangkan keperluan hidup tidak terbatas pada makan dan minum. Tambahan, harga barangan juga kian melambung di samping utiliti di bawah seliaan kerajaan turut mengalami kenaikan harga."
Siasatan ke atas Kassim Ahmad masih berjalan - Jawi
- Feb 21, 2014
- HARAKAHDAILY
Pengarahnya, Paimuzi Yahya berkata Bahagian Penguatkuasaan Jawi yang bertanggungjawab dalam penyiasatan kes itu masih menjalankan tugas mengumpul bukti berkaitan perkara tersebut, dan sedang melengkapkan kertas siasatan.
"Kita belum dapat memberi apa-apa maklum balas kerana pasukan penyiasat masih menjalankan siasatan. Mereka (pasukan penyiasat) akan tengok bukti dan bila akan selesai (siasatan) juga kita tidak dapat beri jaminan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas perkembangan siasatan Jawi berhubung seminar itu dengan Kassim dilaporkan mengkritik golongan ulama Islam yang disifatkannya sebagai 'kasta paderi', mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak perlu dimuliakan, serta rambut wanita bukan aurat.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kepada waris bekas guru Jawi, Rohayati Osman, yang maut dalam kemalangan jalan raya.
Pada Rabu lepas Paimuzi berkata Jawi telah membuka kertas siasatan berhubung seminar tersebut dan kenyataan Kassim dalam seminar itu.
Paimuzi berkata fahaman songsang yang dibawa Kassim, seorang aktivis sosial yang juga karyawan, bukanlah perkara baharu, kerana beliau pernah menimbulkan isu yang sama pada tahun 1986.
Beliau berharap masyarakat Islam tidak terpengaruh dengan fahaman songsang itu serta tidak mempertikaikan kedudukan hadis sebagai satu sumber perundangan Islam.
"Kalau dia (individu) tidak percaya pada hadis, secara tidak langsung dia juga tidak percaya pada al-Quran kerana tidak mengamalkan apa yang al-Quran suruh," katanya.
Pada majlis hari ini, Paimuzi menyampaikan sumbangan hasil kutipan Jawi daripada masjid dan surau di Wilayah Persekutuan berjumlah RM12,403 untuk membantu meringankan bebanan tiga anak Rohayati.
Rohayati, 42, bersama suaminya, Norhairy Ahmad, 42, dan dua lagi anak mereka yang berusia 17 dan 6 tahun maut dalam kemalangan di KM451.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Sungai Buloh pada 30 Dis lepas.
Pasangan itu meninggalkan tiga anak Afifah, 17, Ahmad Athirul Hadi Khairi, 13, dan Ahmad Kashrul Hadi, 11, yang kini tinggal bersama datuk mereka di Kampung Hilir, Kepala Batas, Kedah. - Bernama
Wartawan cerita detik cemas dikepung 5 jam di Myanmar
- Feb 21, 2014
- HARAKAHDAILY
Wartawan yang juga penolong penerbit, Mohd Muhaimin Samad, 28, berkata kejadian berlaku kira-kira 8 malam semalam ketika beliau dan jurukamera Mohd Fithri Ahmad, 42, berada di luar hotel penginapan.
"Ketika itu kami baru lepas bertemu sebuah kumpulan kemanusiaan yang lain sebelum dikepung," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Yangon, Myanmar malam ini.
Kedua-dua mereka berada di Myanmar sejak Selasa lepas bagi menyertai misi kemanusiaan anjuran Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) selain merakam dokumentari mengenai kehidupan masyarakat Rohingya di sana.
Beliau berkata kumpulan polis tersebut terus mengiringi mereka masuk ke dalam hotel untuk memastikan keselamatan terjamin daripada dicederakan kumpulan terbabit.
Mohd Muhaimin berkata mereka turut disoal jawab mengenai tujuan kedatangan mereka.
"Masyarakat di situ turut mempersoalkan kedatangan kami namun mujur terdapat seorang dari mereka yang memahami bahasa Melayu, antara persoalan mereka apakah tujuan kami ke situ," katanya.
Setelah keadaan reda, mereka berdua di bawa ke balai polis kira-kira pukul 1 pagi dan berada di situ sehingga pukul 5 petang hari ini sebelum berlepas pulang ke tanah air, katanya.
Katanya walaupun sebelum ini telah beberapa kali pergi ke negara bergolak itu namun ini kali pertama kejadian menakutkan berlaku namun bersyukur kerana rakaman di sana sempat diselamatkan. – Bernama
Bantah PBS: Cikgu Mohd Nor diarah tukar sekolah
- Feb 21, 2014
- SALMIYAH HARUN
Beliau yang merupakan guru di sebuah sekolah di Jerantut memaklumkan telah mendapat surat pertukaran sekolah daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), semalam.
"Saya diarah bertukar ke sebuah sekolah di luar Jerantut, di daerah lain," katanya.
Namun katanya, pihak JPN tidak pula menyatakan sebab utama pertukaran sekolah berlaku.
Namun, Izzat melahirkan rasa kecewa apabila hari ini terbukti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menggunakan kuasa diluar batasan mereka dalam usaha mematahkan semangat guru untuk mendidik anak bangsa dengan acuan yang betul.
"Saya tonggak utama bagi usaha memansuhkan PBS setelah mendapati sistem ini sangat merugikan masa dan tenaga.
"Walaupun pihak KPM hendak kenakan tindakan biarlah pada saya seorang jangan pada guru-guru lain, anggaplah ini yang terakhir pihak kementerian buat sesuka hati mereka," katanya kepada Harakahdaily.
Justeru, beliau merayu kepada semua guru agar jangan takut dan jangan patah semangat kerana mereka berada di pihak yang benar.
"Saya mohon guru-guru sama-sama menyatakan kesepakatan kita demi masa depan anak murid kita. Himpunan 222 akan tetap diteruskan esok," katanya.
Sebelum ini Izzat telan mendapat surat peringatan pertama daripada Pejabat Pendidikan Daerah berikutan, Himpunan 222 yang akan diadakan esok di Masjid Al Hasanah, Bandar Baru Bangi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan