Sabtu, 8 Februari 2014

JAGA TIPU DAYA MANUSIA DAN TIPU DAYA SYAITAN

Isu Anti Islam di Myanmar Semakin Parah
Posted on Saturday, February 08 @ 10:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Sentimen agama anti Islam di Myanmar yang berlangsung lebih 18 bulan telah berada di tahap parah. Laporan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 Januari 2014 menunjukkan situasi terkini umat Islam di Rakhine berada dalam keadaan yang kronik.

2. Menurut laporan PBB pada 13 hb Jan yang lalu 40 orang Islam termasuk wanita dan kanak-kanak dibunuh di perkampungan Du Cheer Yar Tan tambahan kepada 8 orang yang dibunuh sebelumnya pada 9 hb jan 2014 di perkampungan sama.

3. Sebagai sebuah kerajaan umat Islam, Kerajaan Malaysia mesti memainkan peranan lebih aktif dalam menangani isu antara kaum dan agama di Myanmar. Permintaan Kementerian Luar Negeri agar Kerajaan Myanmar mengambil tindakan konkrit terhadap isu ini pada Oktober lalu masih belum cukup.

Ini kerana rakyat telah dikecewakan oleh Kerajaan Malaysia apabila kerajaan dilihat gagal memberikan mesej penting menerusi Sukan SEA yang berlangsung di Myanmar Disember lalu.

4. Justeru, bagi memperbaharui tanggungjawab kemanusiaan ini, nota bantahan rasmi kerajaan perlu dikemukakan segera. Usul juga perlu dikemukakan oleh kerajaan di Parlimen yang bakal bersidang bermula 10 Mac nanti bagi mengecam sikap dingin kerajaan Myanmar dalam menangani isu ini.

5. Saya yakin, jika mahu, Kerajaan Malaysia mampu melakukan lebih jauh lagi sepertimana yang dilakukan dalam proses damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) tahun lalu.

YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat

 
[admin] Melayu yang cerdik dia faham ayat ini setelah sekian lama diperbodohkan dengan ajaran sekularisme & nasionalisme.
Untung ada ekor
pada 08-02-2014 04:02 
Post Pic
BENGAL: Seorang lelaki yang mempunyai ekor berbulu sepanjang hampir 37 sentimeter mungkin boleh dianggap ‘bernasib baik’ kerana dianggap sebagai dewa oleh penduduk kampungnya.
Chandre Oraon, 35, dilahirkan dengan rerambut yang tumbuh berhampiran punggung dan enggan memotongnya sejak kecil.
Keanehan itu menyebabkan penduduk tempatan yang menganut kepercayaan Hindu percaya dia adalah kelahiran semula dewa monyet, Hanuman.
Sesetengah penganut Hindu yang ingin “menyembah” Chandre sanggup datang dari jauh ke rumahnya dan menghabiskan masa beratur bagi mendapatkan restu dengan menyentuh ekornya.
Rumah Chander terletak di Alipurduar, Bengal Barat.
Chandre yang bekerja sebagai pemetik daun teh berkata, dia tidak keberatan mendapat penghargaan sebagai dewa.
“Saya tak kisah kerana ia anugerah tuhan,” katanya.
Selain ekor itu, reputasi Chandre semakin tinggi kerana keupayaannya memanjat pokok dengan mudah dan pantas seolah-olah seekor monyet. Antara orang yang datang ingin mendapatkan ‘restu’ Chandre ialah Monika Ladka.
Kata Monika, bayi lelakinya sentiasa mengalami masalah kesihatan walaupun sudah diberi pelbagai ubat.
“Selepas bertemu Chandre, bayi abang saya pulih dalam masa yang singkat,” katanya.
Justeru, kata Monika, mereka percaya Chandre adalah kelahiran semula Dewa Hanuman.
Tambahan pula, katanya, menurut cerita masyarakat setempat Chandre lahir pada Hari Hanuman. Sementara itu Chandre berkata, ada doktor pernah menawarkan untuk membuang ekornya tetapi dia menolak.
“Ketika kecil ibu pernah memotong ekor ini namun tidak lama kemudian saya demam panas dan sakit teruk. “Kata ibu, saya hampir mati,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Keadaan berkenaan menyebabkan penduduk kampung terbabit mencadangkan kepada mereka supaya membiarkan saja ekor itu tumbuh memanjang dan sehingga kini ia berukuran kira-kira 36.8 sentimeter. - Agenda
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat merekodkan penghargaan di atas jasa-jasa Allahyarham Datuk Harun Taib dalam mengemudi kepimpinan dewan itu dari tahun 1995  hingga 2007 dan 2009 hingga 2014.

Penghargaan kepada Allahyarham Ustaz Harun itu adalah antara keputusan pada mesyuarat bulanan Dewan Ulamak PAS Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, di sini malam tadi.

Ketua Penerangannya, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri memberitahu, mesyuarat juga sebulat suara melantik pengarah pilihan raya dewan itu, Datuk Ustaz Nik Muhammad Zawawi Saleh sebagai Pemangku Naib Ketua dan AJK PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS (Pindaan 2011).

“Dewan Ulamak PAS Pusat mengalu-alukan keputusan Lajnah Politik PAS Pusat sepertimana kenyataan Presiden bahawa PAS Pusat dan PAS Selangor akan membantu PKR dalam PRK Kajang berdasarkan keperluan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
ALOR GAJAH: Seorang lelaki yang menyerang anggota polis dengan senjata tajam mati ditembak di Machap Umboo, Durian Tunggal di sini malam tadi.
  
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Mohamad Laham berkata lelaki yang berumur 37 tahun itu meninggal semasa dibedah untuk merawat kecederaannya di Hospital Melaka.
  
Beliau berkata pihak polis pada mulanya menerima panggilan daripada jiran suspek pada pukul 3.00 petang semalam memberitahu suspek telah datang ke rumahnya dengan bersenjatakan pisau dan mengugut mahu mencederakannya.
  
"Sepasukan polis lalu dihantar ke lokasi kejadian namun suspek telah mengurung diri di dalam rumahnya. Anggota polis telah ditempatkan di kawasan rumah suspek bagi mengawasinya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di sini hari ini.
  
Beliau berkata pada pukul 9 malam, suspek telah keluar daripada rumahnya dengan memegang senjata tajam di kedua-dua belah tangan dan melibaskan senjata itu kepada orang awam dan anggota polis.
  
Mohamad berkata lelaki itu kemudiannya menaiki motosikal dan lari bersembunyi di sebuah kebun kelapa sawit di kawasan berhampiran.
  
"Pihak polis cuba memujuk mangsa untuk menyerah diri selama kira-kira 10 minit dan pada pukul 9.30 malam, suspek tiba-tiba meluru keluar lalu cuba menyerang anggota polis.
  
"Untuk mempertahankan diri, anggota polis terpaksa melepaskan sedas tembakan ke arah suspek mengakibatkan suspek rebah ke tanah," katanya.
  
Dipercayai suspek mahu mencederakan jirannya kerana marah jirannya itu pernah mengintai isterinya mandi. – Bernama
KUALA LUMPUR: Rupa-rupanya dalam cuaca jerebu, hujan turun juga di tengah hari, tanpa angin dan tanpa banyak spekulasi, tiba-tiba anak perempuan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi yang bernama Nurul Hidayah muncul meluahkan hasratnya mahu menawarkan diri bertanding menentang Anwar Ibrahim pada PRK Kajang.

Demikian tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Dengan alasan tinggal di Kajang kerana rumah Zahid Hamidi terletak di Country Height, Nurul bagaimanapun berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan terserah kepada pucuk pimpinan menentukannya.

Nurul juga turut memberitahu mengenai hasratnya itu kepada rakan-rakannya.

“Jika akhirnya BN memilih anak perempuan Zahid bertanding di Kajang, bermakna pilihanraya kecil ini akan mencatat sejarahnya yang tersendiri di mana kedua-dua calon BN dan PKR iaitu Nurul Hidayah dan Anwar Ibrahim, sama-sama menggunakan alamat tempat tinggal di Country Height, sebuah kawasan kediaman elit dan mewah di pinggir ibu kota,” tulis blogger itu lagi.

Bagi beliau, walaupun mungkin hasrat Nurul Hidayah hanya suka-suka untuk menguji UMNO dan BN yang seolah-olah ketandusan pemimpin untuk berhadapan dengan Anwar dan barangkali sebagai isyarat awal penonjolan dirinya dalam dunia politik selepas ini, tetapi semua ini akan menjadikan perbualan mengenai Kajang tambah hangat lagi.

Cuma, menurutnya jangan sampai keghairahan anak Zahid menonjolkan diri ini akan menjadikan masa depan politik bapanya turut ‘kejang’ akhirnya.

Baca di sini
BUKIT MERTAJAM: Sebahagian kawasan pintu masuk dan pos pengawal di Balai Polis Bukit Tengah, di sini rosak selepas beberapa suspek yang tidak dikenali melontar sejumlah bahan letupan dipercayai mercun awal hari ini.
  
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang ACP Nasir Salleh berkata dalam kejadian 4.50 pagi itu empat anggota polis yang sedang bertugas tidak mengalami sebarang kecederaan.
  
"Dua anggota berada dalam balai polis manakala dua lagi sedang buat rondaan di kawasan balai. Mereka hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian pintu masuk balai.
  
"Mereka bergegas melihat kawasan kejadian dan mendapati beberapa cermin tingkap dan siling di pintu masuk balai polis itu pecah manakala pos pengawal berhampiran pagar juga rosak akibat letupan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Katanya kerugian akibat kejadian itu dianggarkan antara RM10,000 hingga RM15,000.
  
"Berdasarkan siasatan awal, beberapa suspek yang dipercayai menaiki motosikal membaling mercun bola yang diikat dalam jumlah yang banyak ke arah pintu hadapan balai berkenaan dan melarikan diri sebaik berbuat demikian.
  
Kejadian itu berlaku dengan pantas, kata Nasir.
  
Setakat ini polis belum mengetahui motif sebenar kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
  
"Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di balai berkenaan tetapi kita akan  mendapatkan rakaman CCTV yang terdapat di kawasan berhampiran bagi mengenal pasti suspek terlibat," katanya.
  
Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 5 Akta Bahan-bahan Hakisan dan letupan.
  
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), DSP Aziz Ahmad di talian 04-5382222 atau mana-mana balai polis berdekatan. - Bernama
Pemuda PAS Malaysia (PPM) kesal dengan kajian tinjauan awam (survey) mengenai kecenderungan dan aktiviti seksual yang dijalankan terhadap para pelajar sekolah 10 tahun di sebuah sekolah rendah di Nilai minggu lalu.

Daripada pendedahan kes yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan, YB J Arulkumar, kajian tersebut tidak diselia secara rasmi oleh pihak jabatan pendidikan termasuk pakar. Perkara ini dibimbangi boleh mengelirukan responden dalam kalangan para pelajar sekolah rendah termasuk ibu bapa mereka.

Meskipun mungkin objektif kajian itu adalah baik, namun tindakan tersebut kurang sesuai dan boleh memberikan implikasi negatif. Seharusnya, mereka diberikan pendedahan kepada asas-asas pembinaan kualiti insan bukan membuka persoalan-persoalan yang kurang sesuai dengan umur mereka.

Kajian seumpama ini dijangka berkaitan dengan cadangan pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kepada Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 untuk menggubal kurikulum modul pendidikan seks ekoran peningkatan kes buang bayi dikalangan remaja. Namun, modul tersebut masih dalam pendebatan.

Pada bulan Jun 2010, sekumpulan pakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalankan kajian bertajuk ‘Keterlibatan Remaja Dalam Salah Laku Seksual’ dan telah mendedahkan 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar terdedah kepada seks bebas sehingga menggugurkan janin. Ia berpunca daripada kekurangan penerapan latihan akhlak yang baik.

Oleh hal yang demikian, kami berharap agar pihak sekolah terus menyuburkan agenda pendidikan Islam dan moral dikalangan pelajar untuk mengukuh jatidiri mereka bagi mendepani cabaran semasa yang terlalu rencam hari ini.

Islam menegaskan dalam peringkat usia kanak-kanak sekitar 7 hingga 14 tahun, mereka seharusnya ditekankan kepada aspek pelaksanaan ibadah dengan penuh bertanggungjawab. Malah, adalah lebih efektif sekiranya ibu bapa mengambil peranan dan memberikan pendedahan awal mengenai perkara-perkara ini terhadap para pelajar di rumah. 

Pemuda PAS Malaysia menyeru rakyat Malaysia seluruhnya supaya kita dapat bersama-sama memberikan usaha yg terbaik dalam mengawal selia penglibatan anak-anak kita. Didiklah mereka dgn agama dgn mengenal Tuhannya kerana itulah yang akan menjadi ketahanan jatidiri mereka.

Ir Khairil Nizam Khirudin,
Naib Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia
Jika YTM Tunku Abdul Rahman Putra masih hidup, usia beliau genap 111 tahun hari ini. Saya tidak pernah lupa 8hb Februari setiap tahun kerana itu adalah hari jadi beliau. Beliau lahir pada tanggal 8hb Februari 1903 dan mangkat pada 6hb Disember 1990 ketika berusia 87 tahun. Beliau meninggalkan untuk rakyat Malaysia sebuah negara yang merdeka dan beliau adalah penyambung dan penyempurnaan kepada gerakan kemerdekaan negara pada 1957 dahulu setelah melalui liku-liku politik dengan segala masam dan manis perjuangan beliau.
(Di antara foto penulis dengan Tunku yang dirakam pada tahun 1988.)

Tunku telah berjaya membina sebuah negara merdeka setelah berjuang bersama rakan-rakan seangkatan beliau dengan menjawat jawatan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu Merdeka pada 31 Ogos 1957. Semasa beliau menjadi Perdana Menteri jugalah Persekutuan Malaysia terbentuk setelah Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung dengan Semenanjung Tanah Melayu pada 16 September 1963 dahulu.

Beliau bersara sebagai Perdana Menteri pada 1970 setelah beliau merekodkan kecemerlangan sebagai Perdana Menteri Pertama Malaysia Merdeka. Dalam masa yang sama beliau merupakan seorang Perdana Menteri yang mashyur terutamanya di kalangan negara-negara Komanwel dan merupakan seorang Perdana Menteri yang dihormati masyarakat antarabangsa. Di antara sumbangan beliau ialah penyingkiran Afrika Selatan dari Komanwel dengan cadangan dan desakan Tunku Abdul Rahman. Tunku merupakan seorang penyumbang besar kepada tamatnya kerajaan apartheid Afrika Selatan itu.

Tunku seorang yang minat dalam bidang sukan dan semasa beliau menjadi Perdana Menteri, tahap kecemerlangan sukan amat tinggi di kalangan negara serantau. Di antara acara sukan yang sangat dikenang ramai ialah Pesta Bola Merdeka setiap tahun, mengambil sempena tarikh dan waktu menyambut kemerdekaan negara setiap tahun. Banyak lagi acara sukan antarabangsa telah diusahakan oleh Tunku. Sukan yang beliau minat secara peribadi adalah golf dan beliau bermain golf hampir sepanjang usia beliau yang sihat dan bertenaga.

Sepanjang hayat Tunku, beliau telah mengorbankan seluruh kehidupan beliau kepada negara dan semasa beliau meninggal, beliau tidak mempunyai apa-apa kekayaan seperti bekas-bekas pemimpin negara sekarang ini. Dan rekod kecemerlangan perjuangan beliau, telah diketahui umum yang beliau telah mengorbankan segala harta yang beliau ada untuk membiayai perjuangan kemerdekaan di samping mendapat bantuan rakyat yang bersama bergolok dan bergadai untuk mencapai sebuah negara merdeka yang kita semua perolehi hari ini.

Sebagai generasi yang jauh muda dari beliau, saya secara peribadi merupakan peminat kepimpinan yang amat kuat terhadap Tunku dan saya sempat berkenalan dan berbaik dengan beliau semasa pengakhir hayatnya. Saya berbangga sebagai seorang individu yang beliau kenali, walaupun saya mengenali beliau hanya semasa beliau sudah lama bersara dan dalam kesihatan yang sudah menurun.

Saya sempat berulang kerumahnya di Bukit Tunku beberapa hari dalam setiap minggu untuk memberikan penghormati kepada beliau. Walaupun beliau sudah kurang jarak penglihatan beliau, saya tetap merasakan kebanggaan untuk bersama Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, beberapa tahun akhir hayat beliau.

Sikap dan sifat ‘magnanimous’ beliau susah untuk dicari ganti dan beliau sebenar-benarnya menyayangi rakyat berbilang kaum di negara ini Tunku orang yang sangat sederhana dan begitu tinggi nilai kemanusiaannya. Tunku amat susah untuk dicari ganti.

Sifat periang beliau amat menyenangkan semasa berada bersama beliau walaupun dalam usia beliau yang sudah lanjut dan tidak lagi mempunyai kesihatan yang seperti sedia kala semasa saya mendekati beliau.

Tunku pernah bercerita yang beliau semasa mudanya sangat nakal dan malas belajar. Tunku pernah berkata beliau pernah mendapat kad ucapan tahniah dari ramai kawan-kawan semasa di London kerana beliau lulus peperiksaan yang beliau tidak dudukinya. Beliau hairan bagaimana mereka mengucapkan ‘congratulations’ kepada beliau sedang beliau tidak pun duduk peperiksaan itu.

Rupa-rupanya yang berjaya cemerlang itu ialah Tunku Abdul Rahman Tuanku Muhamad (Yang di-Pertuan Agong Pertama) dari Negeri Sembilan yang berjaya dan bukannya beliau. “Depa ingat ayah yang lulus periksa, depa tak tau yang lulus periksa tu ialah Tuanku Abdul Rahman dari NS. Ayah periksa pun tak duduk, macam mana boleh luluih!” katanya tersenyum kepada saya.

Satu lagi peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila saya bertanya kepada beliau kenapa masih hisap rokok dalam usia 85 tahun. “patik nak tanya, kenapa ayah hisap rokok lagi. Ayah kan dah tua?” Tunku dengan pantas menjawab, “Biak pi lah… memang patut mati pun, umur ayah sudah 85 tahun. Dulu ada sorang doktor selalu minta ayah berhenti hisap rokok, takut kalau ayah mati cepat. Tapi ayah buat tak tau aja. Sampai sekarang ayah hidup lagi”

“Doktor mana yang nasihat tu ayah?” saya terus bertanya. Tunku jawab, “Adalah sorang doktor tu. Dia pun dah mati lama daah!” jawabnya sambil gelak kecil dalam keadaan kurang tahap penglihatan itu. Sesungguhnya beliau mempunyai ‘sense of humor’ yang tinggi dan amat selesa bersama beliau dalam keuzuran beliau itu.

Saya tidak dapat melupakan pemimpin ulung kita ini walaupun saya hanya mengenali beliau semasa hujung hayat beliau dan kita wajar mendoakan roh beliau agar sentiasa berada sebaris dengan roh-roh syuhada dan sentiasa dalam keampunan Allah swt. Hasil perjuangan dalam kehidupan, beliau meninggalkan negara yang merdeka.

Mangkatnya Tunku dalam keadaan sebagai orang biasa, tiada harta dan anak-anak beliau tidak mempunyai apa-apa kekayaan yang beliau tinggalkan untuk mereka. Beliau tidak ada jet mewah dan beliau tidak meninggalkan anak-anak dengan ‘business empire’ yang besar-besar dan tidak ada keturunan beliau yang beliau letakkan sebagai pemimpin besar negara dan negeri. Tunku tidak pernah menggunakan kedudukan beliau untuk menyusahkan rakyat membayar hutang perniagaan anak-anaknya.

Jasa Tunku amat besar kepada negara dan kita bersyukur dengan apa yang ada pada kita hasil perjuangan beliau dengan rakan-rakan seperjuangan beliau yang semuanya sudah tiada lagi bersama kita kini. Kehadiran Tunku dalam dunia ini semata-mata untuk negara Persekutuan Tanah Melayu, Persekutuan Malaysia dan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Tunku juga memainkan peranan di kalangan negara-negara Islam dengan usaha gigih beliau menubuhkan OIC selepas beliau bersara dari jawatan awam negara kita sebagai Perdana Menteri. Amat besar jasa beliau kepada dunia dengan ubudiah yang bernilai tinggi kepada kehendak agama dan umat keseluruhannya. Beliau tiada slogan yang besar-besar dan tiada retorik dalam kepimpinan beliau.

Al-fatihah - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Harga barang: Sedarkan rakyat yang tak faham



KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan rakyat agar tidak leka dengan isu ketegangan kaum dan agama yang sedang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Sebaliknya beliau menegaskan, rakyat harus terus memberikan tumpuan kepada isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang cuba ditutup Umno-BN.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab ahli-ahli Pakatan Rakyat untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang masalah kos sara hidup yang semakin menghimpit.

"Malangnya setelah rakyat tidak disedarkan dengan apa yang menimpa mereka, rakyat dilalaikan dengan isu yang sengaja diadakan-adakan.

"Isu kelemahan Kerajaan BN, isu harga barang naik, isu gejala sosial dan kegagalan pendidikan ini merupakan kelemahan BN.

"BN nak tutup kelemahan dia buat satu isu iaitu isu agama dan perkauman supaya kita ralit dengan isu ini dan tenggelamkan masalah sebenar rakyat.

"Kita jangan terperangkap dengan permainan yang liar dan menipu ini tapi marilah kita bersama kepimpinan yang membuktikan kesetiaan mereka kepada perjuangan membela rakyat walaupun memakan masa berpuluh-puluh tahun," kata beliau swaktu berucap merasmikan Pelancaran Roadshow Kempen Jom Turun di Desa Pandan, dekat sini malam tadi.

Ustaz Hadi juga menggesa ahli PAS yang memahami isu sebenar untuk menyebarkan kesedaran kepada rakyat agar maklumat yang diperoleh tidak hanya berlegar dalam kalangan mereka yang faham sahaja.

"Malangnya kesedaran dan keinsafan tidak berlaku dalam kalangan rakyat dan tanggungjawab kita menyedarkan rakyat, menyampaikan penjelasan kepada mereka supaya mereka faham.

"Kepada saudara-saudara yang hadir tidak menjadi masalah, yang selalu dengar ceramah tapi apa yang penting maklumat perlu disampaikan kepada rakan yang tak ada maklumat, sedarkan dan insafkan mereka.

"Kita tidak boleh buat perubahan kalau tiap-tiap malam hadir ceramah syok sendiri sahaja tapi maklumat tidak sampai kepada pihak lan," katanya di hadapan kira-kira 500 hadirin.

Beliau turut menyentuh mengenai kegagalan BN melaksanakan sistem percukaian yang mematuhi syariat Islam sebaliknya mengenakan cukai yang turut membebankan orang miskin.

Katanya, sistem pembahagian zakat di negara ini juga gagal menyelesaikan masalah kemikinan dalam kalangan rakyat kerana zakat diberi bukan bertujuan memulihkan ekonomi mereka.

"Mengikut kaedah Islam beri bantuan mestilah boleh memulihkan ekonomi seseorang dan dia tidak perlu minta sedekah lagi. Kecuali orang miskin yang cacat yang tidak ada penjaga dan tidak boleh dipulihkan.

"Adapun orang muda yang menganggur yang tidak ada pendapatan, ini perlu dipulihkan ekonomi dengan bantuan yang membebaskan mereka daripada kemiskinan.

"Apa yang berlaku pada hari ni yang miskin tak dibebaskan tapi ditambah miskin yang baru, bertalu-talu dari semasa ke semasa," katanya.

Mengambil contoh negara Jepun, beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara Islam harus berasa malu kepada Jepun yang mengamalkan sistem ekonomi seperti yang diajar dalam Islam.

"Ada negara dalam dunia mengikut contoh Islam contohnya negara Jepun memberikan subsidi kepada petani-petani 99 peratus kerana kerajaannya nak menggalakkan makanan yang cukup bagi negara Jepun.

"Kalau berlaku peperangan atau bencana, makanan dia cukup, harga barang makanan boleh dibeli oleh rakyat miskin. Ini cara subsidi Jepun ditambah kemajuan industri. Kilang-kilang kereta, kapal yang dimiliki oleh orang kaya dikenakan cukai berganda dan tidak membebankan orang miskin. Ini cara yang Islam ajar. Malangnya negara Islam tidak ikut cara Islam dan ini sangat memalukan," katanya.

Berbeza dengan Malaysia katanya, yang sentiasa menaikkan cukai dan harga barang apabila berlaku krisis kewangan.

"Kita apabila tidak cukup duit naikkan cukai. Apabila naikkan cukai naikkan harga barang. Kedudukan ekonomi rakyat tidak meningkat, gaji tidak cukup, ini menempah jenayah maksiat, kemungkaran dan berlakulah gejala yang tidak sihat disertakan pendidikan yang gagal.

"Pendidikan yang membodohkan rakyat supaya mengabdikan diri kepada kerajaan sama ada benar atau salah," katanya.

Tiada ulasan: