Selasa, 11 Februari 2014

HARI VALENTINE HARAM

Hari Valentine Haram disambut Umat Islam

February 11th, 2012

Amalan merayakan Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih yang tiba setiap 14 Feb tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
“Roh perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam,” inilah kata putus Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke-71, hampir enam tahun yang lalu berkaitan Valentine Day.
“Islam tidak menolak apa sahaja yang baik yang datang dari Barat apatah lagi jika ia berkaitan dengan berkasih sayang,” kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz. 



“Kita menerima dan meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa yang mengingatkan kasih sayang kepada ibu dan bapa kita,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day pada Jumaat.
Namun katanya Islam juga pada masa yang sama akan menolak sesuatu yang datang waima dari Timur sekalipun jika ia bertentangan dengan prinsip dan amalan agama Islam.
“Ia bukan persoalan atau isu asal tempat kedatangan sesuatu sambutan sesuatu perayaan dan keraian itu, tetapi amalan atau ritual yang dilakukan untuk merayakan hari-hari tertentu itu,” katanya.
Wan Mohamad berkata Islam bukan agama yang menyekat atau menghalang untuk penganutnya meluahkan kasih sayang tetapi apa yang disekat adalah perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu.
“Jika kita kasih pada orang, itu bukan maksiat tetapi kalau kita adakan hubungan diluar pernikahan, itu maksiat. Itu bezanya,” ujarnya.
Katanya beliau yakin bukan sahaja Islam, agama lain juga meletakkan batasan dan etika yang perlu penganutnya patuhi.
Beliau berkata bagi Hari Valentine, meraikannya sangat jelas ia terarah kepada amalan maksiat.
“Itulah sebabnya fatwa dikeluarkan untuk menyekat dan menasihati orang Islam supaya tidak menyambut Hari Valentine dengan melihat dari segi sejarah dan realiti sekarang ini, di mana-mana pun ia sinonim dengan amalan maksiat,” katanya.
Sebagai perbandingan, Wan Mohamad berkata fatwa juga memutuskan sekiranya rakan bukan beragama Islam mengadakan majlis menyambut hari perayaan mereka, orang Islam boleh menghadirinya.
Namun jika majlis sosial itu menyajikan minuman beralkohol, “majlis itu sudah rosak dan kita tidak boleh hadir,” katanya.
“Kita juga boleh meraikan kawan kita yang meraikan hari perayaan agama mereka tetapi kita ditegah daripada terlibat dengan ritual agama itu sebab itu sudah masuk ke dalam isu akidah,” jelasnya.
Beliau berkata penjelasan juga perlu dibuat agar Islam tidak difitnah dengan mengatakan agama itu tidak boleh meraikan rakan bukan Islam yang meraikan Hari Natal, Hari Diwali, Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan sebagainya.
“Kita hanya tidak boleh terlibat dengan ritual ibadat agama lain. Acara sosial, kita berhimpun dengan mereka yang bukan Islam, itu tidak ada masalah.
“Pemimpin kita juga hadir majlis sebegitu. Malah Mufti-mufti kita hadir ke majlis jamuan teh yang dianjurkan oleh jiran yang menyambut Hari Natal,” katanya.
Pelancaran Kempen Awasi Jerat Hari Valentine tersebut adalah untuk mengajak umat Islam terutamanya golongan remaja supaya tidak meraikan sambutan Hari Kekasih Isnin ini.
“Islam menganjurkan umatnya supaya menjadikan jalinan kasih sayang sesuatu yang abadi. Ungkapan kasih sayang bukan seminit untuk sehari dan sehari untuk setahun. Ia adalah sepanjang hayat,” kata Wan Mohamad

Jakim: Satu perceraian pada setiap 15 minit

March 8th, 2011

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit di kalangan umat Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim.
Beliau berkata jumlah itu meningkat daripada tahun ke tahun akibat daripada kurangnya penghayatan agama di kalangan suami isteri termasuk mengabaikan solat.
“Jika solat lima waktu sehari semalam tidak dapat dilaksanakan, sudah tentu dapat kita bayangkan mereka juga sukar untuk melaksanakan peranan dan tanggung jawab sebagai suami dan isteri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar sempena Maulidur Rasul: Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia di Putrajaya, semalam.
Seramai 1,200 penjawat awam hadir pada seminar itu dengan anggota panelnya terdiri daripada pakar motivasi Datuk Mohd Fadzilah Kamsah dan pendakwah Datuk Fatma Zahrah Mohd Ramadan.
Mashitah berkata Jakim akan memperbanyakkan lagi program-program pemantapan keluarga yang menerapkan kesedaran terhadap peranan suami dan isteri, kemahiran keibubapaan, pendidikan serta pengurusan ekonomi keluarga.



Setakat ini, Jakim telah menganjurkan sebanyak 900 program kekeluargaan dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri-negeri dalam usaha untuk memperkasakan institusi rumah tangga, katanya.
Dalam perkembangan lain, Mashitah berkata Jakim masih memantau pergerakan saki baki pengikut ajaran Al-Arqam yang didakwa mengadakan perjumpaan dikenali sebagai ”Sidang Parlimen Roh” selepas kematian pengasasnya Ashaari Mohamad atau Abuya pada 13 Mei tahun lepas.
“Kita masih mengikuti apa yang mereka buat. Jadi minta kepada rakyat supaya berhati-hati dan tidak mengkuti kepada ajaran itu,” kata beliau.
-Bernama

Jakim sahkan HP Sauce, Tabasco Pepper Sauce mengandungi DNA babi

July 5th, 2011

Semua pemegang dan pemohon baru Sijil Halal Malaysia yang menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce diarahkan menukarnya kepada produk lain yang memiliki sijil halal berikutan penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam produk berkenaan.
Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sazali Harun, mereka juga diminta melakukan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan samak daripada Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing kepada Jakim.
“Jakim sebelum ini telah mengambil sampel produk tersebut dan keputusan Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan terdapat DNA babi di dalamnya.



“Mereka juga dikehendaki untuk mengemukakan resit pembelian produk baru kepada pihak kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kenyataan yang berasingan, beliau turut memberitahu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi Syarikat Lucky Food Processing Sdn. Bhd., ditarik balik berkuat kuasa serta-merta berikutan penemuan DNA babi dalam produk Chicken Burger Patties dan Chicken Taiwan Sausage keluarannya.
Penarikan sijil halal terhadap syarikat tersebut dilakukan berdasarkan keputusan mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia yang diadakan pada 22 April lalu.
Utusan Malaysia

Gambaran Kehidupan Orang Yang Beriman

September 21st, 2011

SABDA Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling cinta mencintai samalah seperti anggota tubuh yang jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota lain yang tidak tidur malam dan demam”.
Riwayat Ahmad dan Muslim
Huraian Hadith & Pengajaran Hadith:



  1. Kerjasama adalah kunci kejayaan dalam segala aspek kehidupan. Ia boleh mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni dan stabil kerana daripada kerjasama akan menerbitkan kemesraan berkomunikasi, kasih sayang serta saling bersimpati di antara satu sama lain. Bak kata pepatah cubit peha kiri, peha kanan terasa sakit.
  2. Makhluk Allah adalah saling perlu memerlukan di antara satu sama lain di mana manusia tidak mungkin hidup tanpa alam persekitarannya dan alam persekitaran pula tidak akan membangun tanpa ada manusia yang mengusahakannya.
  3. Kejayaan Rasulullah s.a.w. melahirkan masyarakat yang berkasih sayang dapat dijadikan contoh yang paling baik bagi mewujudkan suasana bekerjasama dalam masyarakat masa kini. Ia berpunca daripada sikap dan suasana positif yang dibentuk oleh Rasulullah menerusi pendidikan dan program motivasi yang berjalan secara berterusan sehingga wujudnya individu yang berperibadi mulia dan kukuh sehingga naluri kerjasama dan saling memerlukan itu berkembang subur menjadi satu tenaga yang mampu menggerakkan masyarakat Islam membawa perubahan besar kepada tamadun dunia.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Kajian bukti puasa tak jejas perkembangan bayi dalam kandungan

August 10th, 2011



KAJIAN kesihatan mendapati ibu mengandung yang berpuasa tidak menjejaskan kandungan walaupun kadangkala tidak selesa terutama pada tahap tiga bulan pertama kandungan. Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar Ampang Putri, Dr Ariza Mohamed, berkata ibu hamil masih boleh berpuasa kerana ia tidak memberi kesan kepada perkembangan bayi.
“Ibu mengandung boleh berpuasa, membaca al-Quran terus menerus dan doa untuk kesihatan bayi dalam kandungan,” katanya yang tidak menafikan cabaran ibu mengandung terutama loya, muntah, pening dan gastrik pada tiga bulan pertama menyebabkan badan kekurangan air hingga ada terpaksa menerima rawatan di hospital.
Beliau berkata demikian pada seminar Penghayatan Ramadan anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Hospital Pakar An Nur dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia di Bangi, baru-baru ini.
Dr Ariza berkata, proses dehidrasi menjadikan ibu lemah, berat berkurangan tetapi biasanya keadaan itu tidak menjejaskan bayi. Begitu juga bagi ibu pada peringkat tiga bulan terakhir terpaksa berhadapan dengan keletihan, sukar untuk fokus, tidak dapat tidur dengan baik dan berat badan mungkin statik atau berkurang.
“Dalam keadaan itu bayi tidak terjejas kerana mereka mendapat cukup makanan daripada ibu. Jika mampu ibu mengandung boleh berpuasa tetapi boleh berbuka apabila mengalami muntah yang teruk. Cuma dari segi menggantikan puasa, ada perbezaan pendapat,” katanya.



Beliau berkata, risiko ibu yang menyusukan anak apabila berpuasa ialah kurang susu dan menyebabkan anak menangis. Sedangkan susu ibu adalah makanan lengkap bayi dan WHO menyarankan enam bulan pertama eksklusif susu ibu tanpa dicampur susu formula.
“Bagi ibu menyusukan anak, dibolehkan berbuka puasa seperti ibu mengandung. Cuma bagi yang mengandung, ada berpendapat tidak perlu berpuasa tanpa berusaha sedangkan Ramadan memberi banyak manfaat,” katanya sambil menasihatkan wanita hamil melewatkan sahur, makan tamar serta susu ketika sahur dan makanan tinggi serat, berehat tengah hari dan memastikan berbuka dengan makanan yang memberi tenaga segera.
Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Hospital Pakar An Nur, Dr Norshinah Kamarudin meminta penghidap kencing manis bersahur, jangan melewatkan berbuka dan tidak makan berlebihan. Pesakit boleh mengubah dos ubat. Jika dos biasa diambil waktu pagi boleh ditukar kepada berbuka sementara dos diambil sebelum makan malam ditukar kepada waktu bersahur.
“Pengubahsuaian dos insulin perlu dilakukan dengan bimbingan doktor selain melakukan ujian tahap gula dalam darah pada waktu tertentu seperti sebelum bersahur, tiga hingga empat jam kemudian atau sebelum berbuka dan tiga hingga empat jam selepas itu.
“Minum cukup air, menggantikan air selepas buang air dan elak minuman manis,” katanya.

Lalai Solat Kerana Pengaruh Dunia

March 8th, 2011


PERNAHKAH kita bersedih kerana tertinggal sembahyang, terlewat mengerjakannya atau pernahkah perasaan rugi kerana tidak sempat melakukan solat secara berjemaah?
Pernahkah kita terasa berdosa tidak ‘beradab’ menghadapi Allah? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Kali ini penulis ingin menyentuh soal lalai dalam solat.
Lawan lalai ialah khusyuk dan ia bukan setakat dapat menumpukan perhatian dan faham apa yang dibaca dalam sembahyang tetapi menimbulkan rasa-rasa dengan Tuhan.
Kalau tidak ada rasa-rasa yang berubah dalam sembahyang seperti gerun, hebat, cinta, takut, berharap kepada Tuhan maka itu tanda tidak khusyuk.
Lalai dalam sembahyang ada beberapa peringkat seperti berikut:



  1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.
  2. Dalam sembahyang. Ada masa lalai dan ada masanya ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang. Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia.
  3. Boleh ikut dan menyorot apa yang dia baca dalam sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang dibaca dan dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai. Bila tidak faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak menghayati, masakan boleh merasa apa-apa dengan Tuhan.
  4. Boleh faham segala apa yang dibuat, dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang. Sembahyang seperti ini sudah agak baik. Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang kerana belum ada apa-apa rasa dengan Tuhan. Khusyuk adalah rasa bukan setakat tahu atau faham.
  5. Faham akan segala apa yang dibaca dan dilafazkan dalam sembahyang dan kadang-kadang ada rasa tetapi tidak pada sepanjang masa dan waktu di dalam sembahyang. Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada lalai. Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang tetapi rasa-rasa dengan Tuhan tidak wujud sepanjang waktu dalam sembahyang.
  6. Sembahyang yang tidak lalai itu ialah yang sentiasa mempunyai rasa dengan Tuhan yang berubah-ubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan, bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. Inilah sembahyang yang tidak lalai. Inilah sembahyang yang benar-benar khusyuk.
Lalai berpunca daripada pengaruh dunia. Kalau dunia berada di hati amat sukar untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang. Dunia akan terbawa dalam sembahyang.
Sebab itu kalau dalam sembahyang hanya ada rasa-rasa keduniaan seperti seronok baru berjumpa kawan, teringat polis saman kereta kita salah parking atau bimbang tak sempat pergi ke bank sebelum bank tutup dan sebagainya.
Rasa-rasa ini ialah rasa dunia yang melalaikan, bukan rasa-rasa khusyuk. Sekiranya kita tidak kenal Tuhan, hanya setakat tahu dan percaya sahaja,
kita tidak akan dapat rasa khusyuk.
Paling tinggi ketauhidan kita hanya di peringkat akal atau fikiran sahaja kerana tahu dan percaya itu perkara akal. Kita dikatakan orang yang berfikiran tauhid, bukan yang berjiwa tauhid.
Mengenal Tuhan ialah langkah pertama untuk mendapat khusyuk. Setelah mengenali Tuhan barulah kita akan dapat merasakan kehebatan dan keagungan Tuhan di hati kita kerana kenal itu perkara hati.
Barulah kita akan dapat rasa bertuhan. Selagi hati kita tidak dapat rasa bertuhan, ia tidak akan dapat rasa kehambaan dan ia tidak akan dapat rasa khusyuk.
Ada hadis berbunyi: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah” Maksudnya, selagi kita tidak kenal Allah, agak sukar untuk kita beragama. Kita tidak akan boleh khusyuk.
Selagi kita tidak boleh khusyuk kita sebenarnya belum berjiwa Tauhid. Kalau kita belum berjiwa Tauhid kita tidak akan mampu mengamalkan dan menegakkan syariat Islam secara lahir dan batin.
Mungkin kita boleh laksanakan syariat lahir tetapi batinnya kosong. Tidak ada khusyuk, tidak ada roh dan tidak ada jiwa. Padahal Islam itu mesti ada lahir dan batinnya.
Oleh: Ustaz Mohd.Zawawi Yusoh
Source: Harian Metro Online

Urus masa dalam Islam

April 16th, 2012
PEPATAH Arab menyebut, ‘Masa adalah ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya , maka ia akan memotong kita.’ Ini menggambarkan kepada kita bahawa masa itu sesuatu yang sangat penting dan amat berharga. Sehinggakan dalam kehidupan kita ada ungkapan masa itu ibarat emas.
Masa sebenarnya adalah nyawa kerana apabila kita diberikan peluang untuk terus bernafas, kita sebenarnya mempunyai masa untuk memperbanyakkan sumbangan dalam kehidupan, memperbaiki kesilapan dan sebagainya.
Di dalam al-Quran, apabila Allah bersumpah dengan sesuatu, maka ia antara lain untuk menggambarkan perkara tersebut sangat penting dan perlu diberi perhatian.



Masa adalah antara banyak perkara yang Allah bersumpah dengannya. Ini membuktikan bahawa masa adalah perkara yang sangat penting. (rujuk al-’Ashr: 1-3)
Malah bukan itu sahaja, sekiranya kita membuka lembaran al-Quran, kita akan dapati di sana terdapat banyak ayat yang menunjukkan Allah SWT bersumpah dengan masa. Antaranya rujuk surah al-Lail: 1-2, adh-Dhuha: 1-2, al-Fajr: 1-2 dan asy-Syams: 1-2.
Namun, apa yang menyedihkan, walaupun telah diperingatkan dengan kepentingan menguruskan masa, berapa ramai di kalangan kita yang lalai dan leka dalam menjaga masanya.
Masa berlalu dengan sia-sia tanpa dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Akhirnya, apabila sudah terlewat, barulah mereka menyesal sehingga meminta untuk diundurkan masa, ibarat kata pepatah ‘Sudah terhantuk baru hendak terngadah.’
Sayangnya, semua itu adalah mustahil. Ibarat kata pepatah ‘nasi sudah menjadi bubur.’ Penyesalan dan rintihan mereka yang mengabaikan masa di dunia telah dimuatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran sebagai pengiktibaran kepada kita semua supaya benar-benar menghargai masa yang ada. (rujuk al-Munafiqun: 10)
Nabi SAW juga banyak mengingatkan kita supaya sentiasa menjaga masa. Orang yang tidak mementingkan masa dan tidak menguruskannya dengan baik, pasti akan rugi di dunia dan di Akhirat.
Rasulullah SAW bersabda: Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan. (riwayat al-Bukhari)
Peringatan yang diberikan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW ini sebenarnya memberikan penekanan tentang bagaimana kita dapat menguruskan masa dengan lebih efisien dan berdisiplin.
Biasanya, kita akan dapat melihat orang yang paling baik dalam menguruskan masa ialah orang yang paling sibuk. Ini dibuktikan melalui pemerhatian kita kepada kehidupan Rasulullah SAW yang terlalu sibuk menguruskan agenda dakwah serta perjuangannya, menjadi pemimpin di negara Islam Madinah, menjadi ketua turus angkatan tentera, menjadi suami kepada isteri-isteri, menjadi ayah kepada anak-anak, menjadi teman kepada sahabat-sahabat dan sebagainya.
Akan tetapi, Baginda dapat menguruskan masa dengan cemerlang untuk melaksanakan urusan dan amanahnya sehingga semua manusia berpuas hati.
Setiap orang ditunaikan haknya dan tiada yang diabaikan oleh Rasulullah SAW. Lalu, persoalan yang perlu ditanya, adakah kita lebih sibuk daripada Rasulullah SAW sehingga kita mengabaikan sebahagian tanggungjawab kita?
Penulis ingin berkongsi di sini bagaimana menguruskan masa secara efisien dan efektif.
Mudah-mudahan dengan beberapa tip ini akan memberikan garis panduan kepada pembaca untuk menjadikan masa yang digunakan lebih berkualiti.
Semoga kita menjadi orang yang lebih berdisiplin dalam menggunakan masa kerana seperti yang diwasiatkan oleh Al Syahid Hassan Albanna bahawa, “Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada. Oleh itu, bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya.”

Tiada ulasan: