Khamis, 20 Februari 2014

KASSIM AHMAD

Sebelum ni kecoh di alam maya mengenai sebuah maahad tahfiz yang memperkudakan kanak-kanak untuk kepentingan individu yang rakus.. boleh rujuk post aku sebelum ni...
Alhamdulillah.. maahad tu sekarang dah diambil tindakan tegas..

ALOR SETAR
- Pusat Tahfiz Amal di Km 17, Jalan Kuala Kedah-Yan telah diarah menghentikan operasi melalui notis arahan tutup oleh Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) pada 10 Februari lalu.

Timbalan Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama Jaik, Mohd Fadil Ab Rahman berkata pihaknya akan melakukan pemantauan susulan bagi memastikan pengurusan sekolah mematuhi arahan notis tutup itu.

"Mengenai notis tutup ini juga kita sudah laporkan kepada pihak polis dan kita nanti apa tindakan yang boleh kita ambil jika mereka enggan mematuhi notis berkenaan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata notis itu telah ditandatangani Pengarah Jaik, Datuk Noh Dahya yang dikeluarkan mengikut Seksyen 12(1) Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Kedah Tahun 1988.

"Notis berkuat kuasa serta-merta itu dikeluarkan Jaik sebagai susulan kepada notis bertarikh 1 Januari 2007, selepas Jaik mendapati pusat berkenaan masih menjalankan operasi sebagai sekolah Islam tanpa pendaftaran," katanya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini mengesahkan pusat tahfiz tersebut bernaung di bawah ajaran Azhar Wahab atau ajaran Al-Mansur yang difatwakan sesat.

Difahamkan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 membincangkan mengenai ajaran Azhar Wahab dan memutuskan ia bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada Islam.

Isu mengenai pusat itu yang memperalatkan pelajar mengutip derma menjadi tumpuan apabila beberapa laman web termasuk Facebook mendedahkan beberapa keping gambar individu yang didakwa sebagai pengetuanya sedang berhibur dan hidup mewah hasil kutipan derma yang dilakukan para pelajar. - Bernama

Pusat Tahfiz Amal diarah tutup
  • Pusat Tahfiz Amal diarah tutup - Foto Oleh Sinar Harian
1 / 1
ALOR SETAR - Pusat Tahfiz Amal di Km 17, Jalan Kuala Kedah-Yan telah diarah menghentikan operasi melalui notis arahan tutup oleh Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) pada 10 Februari lalu.

Timbalan Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama Jaik, Mohd Fadil Ab Rahman berkata pihaknya akan melakukan pemantauan susulan bagi memastikan pengurusan sekolah mematuhi arahan notis tutup itu.

"Mengenai notis tutup ini juga kita sudah laporkan kepada pihak polis dan kita nanti apa tindakan yang boleh kita ambil jika mereka enggan mematuhi notis berkenaan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata notis itu telah ditandatangani Pengarah Jaik, Datuk Noh Dahya yang dikeluarkan mengikut Seksyen 12(1) Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Kedah Tahun 1988.

"Notis berkuat kuasa serta-merta itu dikeluarkan Jaik sebagai susulan kepada notis bertarikh 1 Januari 2007, selepas Jaik mendapati pusat berkenaan masih menjalankan operasi sebagai sekolah Islam tanpa pendaftaran," katanya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini mengesahkan pusat tahfiz tersebut bernaung di bawah ajaran Azhar Wahab atau ajaran Al-Mansur yang difatwakan sesat.

Difahamkan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 membincangkan mengenai ajaran Azhar Wahab dan memutuskan ia bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada Islam.

Isu mengenai pusat itu yang memperalatkan pelajar mengutip derma menjadi tumpuan apabila beberapa laman web termasuk Facebook mendedahkan beberapa keping gambar individu yang didakwa sebagai pengetuanya sedang berhibur dan hidup mewah hasil kutipan derma yang dilakukan para pelajar. - Bernama

 Azhar Mahab Pengetua Pusat Tahfiz Amal Yan Kedah Penipu. Sebarkan!
Posted on Wednesday, February 19 @ 21:21:40 MYT
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu



Selongkar
azhar wahab
Azhar Wahab, Pengasas Pengetua Pusat Tahfiz Amal Yan Kedah Penipu : Orang Malaysia terkenal dengan sikap pemurah. Cepat menghulur bantuan melihatkan kesusahah orang lain walaupun yang datang meminta bantuan, tidak tahu “asal-usulnya”. Malangnya….


Malangnya keprihatinan rakyat Malaysia telah disalahguna oleh golongan yang sanggup mengambil kesempatan dengan memperhambakan anak yatim bagi memuaskan misi mengaut kemewahan dengan cara mudah dan juga keji. Inilah yang dilakukan Azhar Wahab, pengasas Pusat Tahfiz Amal Yan Kedah.
Azhar Wahab inilah yang mengumpul & mengaut keuntungan duit anda-anda semua yang prihatin semasa menghulur bantuan & derma.
Azhar Wahab, Pengasas Pengetua Pusat Tahfiz Amal Yan Kedah Senang Lenang VS Pelajar Sengsara Anak Yatim di bawah kendalian Azhar Wahab, Pengasas Pengetua Pusat Tahfiz Amal Yan Kedah ada sahaja di mana.
  • Stesen Minyak
  • Kedai Makan
  • Dan di merata-rata tempat sehingga ke lewat malam tanpa pengawasan
Berusaha memenuhi tuntutan nafsu serakah pengasas Pusat Tahfiz Amal Yan Kedah, Azhar Wahab bagi mencapai sasaran kutipan yang dikehendaki setiap hari. Akhirnya kanak-kanak dan anak yatim ini digunakan sewenang-wenangnya.
Setiap hari buat kutipan? Jadi bila masa mereka ke sekolah, belajar? Bila masa mereka mengaji dan manghafaz? Pernah ada seorang hamba Allah soal mereka dengan memberi ayat lazim yang mudah pun pun tak hafal. Kata Pusat tahfiz Amal Yan Kedah. Erm…..
Gambar Azhar Mahab Pengetua Pusat Tahfiz Amal Yan Kedah & “Kanak-kanak Suruhannya” Nasihat Berita Semasa, jikalau berjumpa dengan mana-mana kanak-kanak yang kutip derma termasuklah daripada Pusat Tahfiz Amal Yan Kedah jangan diberikan duit tetapi hulurkan bantuan dalam bentuk makanan atau apa-apa selain daripada duit.
Individu seperti inilah yang merosakkan nama Pusat tahfiz di malaysia. memalukan dan membusukkan nama Islam. Apa respon balas anda pula?

Sumber Link

 JAWI Buka Kertas Siasatan Kes Kassim Ahmad
Posted on Thursday, February 20 @ 06:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo



KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran Seminar "Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian", di Putrajaya pada 15 dan 16 Feb lalu.

Pengarah Jawi Paimuzi Yahya dalam satu kenyataan Rabu berkata pihaknya sedang menyiasat dan mengenalpasti beberapa orang saksi yang menghadiri seminar berkenaan.

"Saya menasihatkan orang ramai terutamanya umat Islam supaya memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menanganinya. Orang ramai juga dinasihatkan supaya menghentikan sebarang provokasi bagi mengelakkan sebarang ketidakharmonian," kata kenyataan itu.

Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi bagi membantu siasatan.

Pada Ahad lepas, Kassim dilaporkan mengkritik golongan ulama Islam yang disifatkannya sebagai 'kasta paderi' dan mendakwa Nabi Muhammad s.a.w. tidak perlu dimuliakan, serta rambut wanita bukan aurat.

Di IPOH, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan Kassim Ahmad dan umat Islam yang bersetuju dengan ucapan yang disampaikannya di seminar itu agar bertaubat kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam.

Beliau turut menasihatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan ucapan Kassim yang bertajuk "Halatuju Negara untuk Tiga Puluh Tahun Akan Datang" kerana ia juga mengandungi perkara sangat berbahaya kepada aqidah mereka.

"Asasnya beliau bukan orang yang berkeahlian dalam membicarakan ayat-ayat hukum di dalam Al-Quran kerana sangat kurang ilmu asas bahasa Arab dan ilmu usul Fiqh yang merupakan mekanisme penting dalam menginstinbat hukum, sebaliknya beliau hanya menggunakan ilmu logik dan ilmu bahasa yang mudah sifatnya," kata Harussani kepada pemberita.

Katanya dalam ucapan itu, Kassim menyangkal beberapa perkara pokok dan asas dalam Islam iaitu mempertikaikan dua kalimah syahadah serta selawat, menafikan hadis sebagai sumber syariat Islam serta mengatakan umat Islam mengikut satu "kasta paderi" yang dipanggil ulama, selain rambut wanita bukan aurat.

Ini terserlah apabila rujukan Kassim hanya kepada orang bukan Islam dan beberapa orang Islam yang tidak dikenali dalam dunia akademia umat Islam dan ulama.

Harussani berkata mempertikaikan dua kalimah syahadah adalah perkara yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam kerana ini bertentangan dengan hadis Nabi serta mempertikaikan Nabi Muhammad sebagai Pesuruh Allah juga bertentangan dengan ajaran Allah dalam Al-Quran - ayat 29 surah al-Fath.

"Dalam ucapannya juga (Kassim) menafikan hadis sebagai satu sumber pensyariatan. Ini secara langsung menafikan kerasulan dan kenabian Nabi Muhammad kerana baginda tidak memperkatakan sesuatu mengenai agama Islam mengikut kemahuan dan pendapatnya sendiri, semua itu...adalah wahyu yang disampaikan oleh Allah melalui malaikat Jibril," katanya.

Harussani berkata mempertikai selawat ke atas Nabi juga bertentangan dengan firman Allah dalam ayat 56, surah Al-Ahzab.-bernama




Monday, February 17, 2014

UCAPAN KEPADA KONFERENSI POLITIK NASIONAL


Di bawah disiarkan ucapan K.A. yang telah disampaikan beliau pada 16 Februari, 2014 di dewan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. -- K.A.





Ucapan Kepada Konferensi Politik Nasional
Untuk Menentukan Halatuju Negara Malaya
Untuk Tiga Puluh Tahun Akandatang
1.     Pendahuluan
Hari ini hari istimewa bagi saya. Hari ini saya akan meluahkan isi hati saya tanpa sekatan, insya Allah. Hari ini hari saya akan mempertanggungjawab-
kan kehidupan saya di dunia. Saya ada satu dua kerja lagi yang ingin saya lakukan , tetapi selepas hari ini, saya reda kalau dipanggil Tuanku untuk diadili.
Saya tidak mendakwa saya seorang yang baik. Saya melakukan banyak kesilapan dalam kehidupan saya. Saya jangka saya bukan keseorangan. Tidak ada manusia yang sempurna. Hanya Tuhan yang sempurna. Tetapi saya boleh mengatakan saya telah cuba hidup sebagai seorang patriot bagi bangsa saya dan bagi bangsa manusia. [1]
Ketika saya seorang muda, saya bersumpah untuk berkata-kata dengan bebas. [2] Saya bersumpah saya akan mendedahkan segala kepalsuan. [3]
Semua orang tahu saya bermula sebagai seorang remaja berhaluan kiri berjuang untuk rakyat marhaen menentang parti kebangsaan Melayu, UMNO, yang pada waktu itu saya anggap reaksioner, walaupun akhirnya saya pulang ke akar ke-Melayuan saya dan memasuki UMNO.
Pada 9 September tahun lalu, saya menjengkau umur 80 tahun tanpa apa-apa perayaan. Hanya sahabat-sahabat saya di Kuala Lumpur, antara lain Dr. Chandra Muzaffar, Sasterawan Negara Dato’ Baha Zain  dan Nik Aziz Hassan, telah bermuafakat untuk mera’ikan harijadi itu dengan satu majlis penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Majlis ini dijadualkan pada 15 Februari, 2014.  Dalam pada itu, saya telah merancang untuk bercakap dalam satu Konferensi Politik Nasional tentang halatuju negara kita untuk tiga puluh tahun akandatang. Ucapan ini dijadualkan pada pada hari berikutnya, iaitu 16 Februari, 2014.
Inilah latar belakang majlis harijadi saya yang ke-80.
2.     Keadaan Dunia Sekarang
Negara kita Malaysia sedang melalui satu zaman yang penuh pancaroba. Sistem komunisme sudah runtuh pada akhir abad ke-20. Sistem liberalisme yang kita anuti sekarang juga sedang runtuh di depan mata kita—di Eropah dan Amerika Syarikat.
Keruntuhan sistem komunisme  kerana sistem ini menafikan hak kebebasan individu. Ia melebihkan hak kolektif, yang dipergunakan oleh kepimpinan untuk melaksanakan sistem diktator! Sistem liberalisme melebihkan hak kebebasan individu dengan menafikan hak kolektif.
Kedua-dua sistem ini melanggar konsep “sempadan Allah”, atau apa yang disalah-ertikan sebagai “hukum hudud”.  Konsep ini langsung tidak ada kena-mengena dengan hukuman. Ia merujuk kepada suatu undang-undang universal, iaitu dalam tiap-tiap perbuatan, manusia tidak boleh melampaui batasan undang-undang alamiah. [4] Umpamanya, dalam hal makan: mudarat kalau kita tidak makan, tetapi kalau kita makan terlalu banyak pun mudarat juga. Demikianlah bagi tiap-tiap perbuatan wujud suatu sempadan yang tidak boleh kita lampaui.  
3.     Masa Depan
Apa akan berlaku dalam masa 30 tahun akan datang? Apakah sistem ganti yang harus kita pilih sekarang? Mengikut kitab suci yang terakhir kepada manusia iaitu Quran, satu-satunya kitab suci yang dijamin oleh Tuhan Sendiri [5], dan yang mengesahkan dan mengatasi semua kitab suci lain,[6] hanya ada satu jalan yang lurus yang Dia restui di antara jalan-jalan yang menyeleweng. Jalan-jalan yang menyeleweng itu disebut jalan-jalan mereka yang Dia murkai, dan jalan-jalan mereka yang sesat.
Apakah jalan yang Dia murkai? Tuhan pasti murkai kumpulan-kumpulan manusia yang memberontak terhadap-Nya. Dalam zaman moden, kumpulan itu kaum marxis komunis yang menafikan Dia serta mengamalkan cara hidup yang menafikan Dia. Dengan perkataan lain, dalam kehidupan mereka, mereka menafikan dimensi-dimensi moral dan spiritual. Oleh kerana ini, cara hidup ini
berlawanan dengan undang-undang alamiah, dan pasti musnah. Sistem komunisme sudah pun musnah.
Satu lagi jalan menyeleweng kita panggil sistem teokrasi, yakni kepimpinan satu kasta paderi yang melantik diri mereka sendiri serta mendakwa mentadbirkan negara atas nama Tuhan. Contohnya dari zaman pertengahan Eropah, sistem Paus. Dalam dunia moden, Eropah sudah menyingkirkan sistem Paus ini, tetapi dalam dunia Islam, negara Iran dan Arab Saudi sedang melaksanakan sistem ini.
 Nyatalah sistem ini gagal menyelesaikan masalah-masalah  sosio-ekonomi menghasilkan pekerjaan dan makanan untuk rakyatnya dan dengan itu gagal menyelesaikan masalah-masalah lain dalam masyarakat.
4.     Negara Malaysia
Negara kita Malaysia, walaupun dikatakan negara Islam, sebenarnya mengamalkan sistem liberalisme. Mengikut kata-kata Kerajaan Pusat, ekonomi Malaysia baik dengan pengangguran sifar dan peratusan inflasi pada tahap minima. Namun demikian, Malaysia boleh dikatakan tiap-tiap hari menunjukkan ketegangan antara kaum dan agama. Apakah caranya untuk menyelesaikan perkara ini secara muktamad ?
Jalan yang lurus yang dirujuk dalam surah Al-Fatihah tadi – apakah jalan itu? Tadi telah kita nyatakan ada tiga jalan yang menyeleweng : sistem marxis komunis, sistem teokrasi dan sistem liberalisme. Seperti yang telah kita nyatakan, ketiga-tiga sistem ini telah atau sedang menuju kehancuran. Maka semestinyalah masyarakat manusia dalam abad-abad ke-21 dan mendatang mencari sistem jalan yang lurus ini. Dengan perkataan lain, inilah sistem hidup yang dirujuk dalam Quran dalam surah 3 ayat 19, yang berbunyi, “Sesungguhnya agama yang Tuhan reda itu Islam”.
5.     Keadaan Orang Islam Sekarang
Orang Islam berjumlah 2.1 bilion di seluruh dunia. Bolehkah kita katakan mereka semuanya mengikut cara hidup Islam yang sebenar? Sekiranya benar, umat Islam hari ini harus berada pada kedudukan nombor 1 dalam dunia, seperti yang berlaku dalam sejarah. Sejarah mencatat dalam zaman pemerintahan Uthman Ibni Affan, khalifah Islam ke-3, setelah 60 tahun Nabi Muhammad wafat , orang Arab yang tidak terkenal itu melonjak naik  menjadi kuasa nombor satu dalam dunia, mengalahkan Empayar Parsi dan sebagian besar Empayar Baizantium, dua kuasa besar dunia pada zaman itu. [7]
Tetapi umat Islam sekarang duduk di bawah daripada Britain, Perancis,  Amerika Syarikat, Rusia, China dan India, semuanya  negara bukan Islam.
6.      Gerakan Pembaharuan Islam
Gerakan pembaharuan Islam moden, dikira dari Sheikh Muhammad Abduh (m.  1903) dan Jamaluddin Al-Afghani (m. 1897) yang diharapkan untuk membersihkan Islam dari kepercayaan-kepercayaan  khurafat dan membangkitkan semula Islam sudah berusia lebih 100 tahun, sedangkan umat Islam masih di tahap bawah di belakang negara-negara yang kita sebut tadi. Dengan sendirinya, ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh dunia tidak mengikut sistem hidup Islam seperti yang diajar oleh semua nabi dan disempurnakan oleh Nabi Muhammad, penyudah segala nabi.
7.     Kesilapan-kesilapan Umat Islam
Di manakah kesilapan-kesilapan besar mereka? Saya akan senaraikan beberapa kesilapan besar itu di sini.
(1) Umat Islam pada hari ini tidak mengikut ajaran-ajaran nabi Muhammad dalam Quran. Inilah kesilapan yang besar yang telah mereka lakukan. Mereka ikut satu kasta paderi yang dipanggil ulama, seperti penganut-penganut agama Hindu dan Kristian dulu. Kasta paderi ini tidak wujud dalam zaman Nabi dan empat khalifah rasyidun. Mereka muncul kira-kira 300 tahun kemudian dan melantik diri mereka sendiri sebagai pentafsir ugama kepada umat Islam.
(2) Khususnya, kesilapan-kesilapan itu boleh saya senaraikan seperti berikut:
(a)  Mereka mendewa-dewakan pemimpin ugama yang mereka anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka – apa yang dikatakan ‘penutupan pintu ijtihad’. Dalam puak ahli sunnah wal jamaah, empat pemimpin besar boleh dikenal pasti, iatu : Imam Shafi’e (767-820), Imam Hanafi (699-767), Imam Hanbali (780-855) dan Imam Maliki (711-795). Dalam mazhab Syiah, mereka ada imam-imam mereka pula. Imam-imam ini telah mereka dewa-dewakan berlawanan dengan perintah Tuhan melarang pendewaan seseorang pemimpin atau sarjana, dan, malah, berlawanan dengan ajaran imam-imam besar itu sendiri.
(b) Mereka mendewa-dewakan Nabi Muhammad. Syahadah yang kedua itu satu bukti. [8] Juga di kebanyakan rumah orang Islam, perkataan-perkataan ‘Allah’ dan ‘Muhammad’ ditulis sama besar dan sama paras. Apabila disebut nama Muhammad, frasa ‘sa’al-Lallahu ‘alaihi wasallam’ (SAW) disebut sekali, sedangkan apabila disebut nama nabi-nabi lain, disebut ‘alihissalam’. Pada hal frasa SAW itu ditujukan juga kepada orang mukmin juga dalam Quran. [9] Juga perkataan ‘salla/yusalli’ bermakna ‘restu’, ‘bantu’ dan ‘sokong’, bukan selawat, seperti yang dibuat sekarang.
(c)  Perhatikan satu perubahan baru dalam ‘aurat wanita. Perkataan ‘aurat’ berasal dari bahasa Arab. Ertinya ‘kebogelan’. Tiga puluh tahun dulu, wanita-wanita Islam tidak memakai tudung. Mereka pakai selendang, sehelai kain yang mereka letak di bahu, atau pun di atas kepala tanpa menutup semua rambut, kerana rambut bukan ‘aurat wanita. Menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut. Dengan itu rambut menjadi busuk. Dengan lain perkataan, ia tidak sihat. Anehnya, wanita-wanita yang bertudung menganggap diri mereka lebih suci! [10] 
Sebab-sebabnya nyata mengapa umat Islam jatuh. Mereka telah mengabaikan ajaran-ajaran Tuhan yang sebenar serta mengikut ajaran-ajaran kasta paderi.
Tiap-tiap generasi diperintah oleh Tuhan mengkaji semula ajaran-ajaran pemimpin mereka yang terdahulu; yang betul diterima dan diteruskan, yang salah ditolak. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh generasi-generasi Islam kemudian. Malangnya, penilaian semula ini tidak dapat mereka lakukan persis kerana pendewaan tadi. Maka itu apabila saya menulis buku  Hadis - Satu Penilaian Semula pada tahun 1986, langit Malaysia runtuh menimpanya! Selama dua bulan, perbincangan berlaku dalam televisyen, radio, akhbar dan majalah tentang buku ini. Sesetengah menyokong saya dan sesetengah membantah. Selepas dua bulan, buku ini diharamkan oleh pihak berkuasa atas hasutan pihak yang berkepentingan.
Siapakah yang mewajibkan hadis sebagai satu sumber undang-undang sama seperti Quran dalam masyarakat Islam? Jawabnya, Imam Shafi’e (767-820). Beliaulah yang bertanggungjawab membuat doktrin baru menyatakan hadis satu sumber hukum sama seperti Quran. [11]  Sebelum beliau, apa yang dikatakan hadis sudah muncul, tetapi bilangannya sedikit sekali dan tidak diwajibkan diikut oleh umat Islam. Sejarah mencatat khalifah-khalifah Abu Bakr, Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni Affan dan Ali Abi Thalib memiliki buku-buku nota yang mereka tulis perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan Nabi. Catitan-catitan ini tidak banyak dan hanya menjadi ikutan, jika sesuai, tetapi tidak diwajibkan.
Setelah doktrin baru oleh Imam Shafi’e ini diterima oleh masyarakat Islam,  timbullah pengumpul-pengumpul hadis seperti Imam Bukhari (m. 870), Imam Muslim (m. 875) dan lain-lain. Imam Bukhari dilaporkan telah mengumpul 600,000 hadis dan beliau menapis hadis-hadis ini sehingga akhirnya tinggal 7,275  hadis yang beliau isytiharkan sebagai hadis sahih. [12]
ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) melalui setiausaha agungnya pada waktu itu, Encik ( sekarang Dr.) Sidek Baba, telah datang ke rumah saya dan meminta satu dialog tentang buku saya. Saya memberi persetujuan dengan syarat keputusan tidak diambil dalam dialog itu. Saya meletakkan syarat itu kerana pegangan umat Islam kepada hadis sangat kuat dan tidak boleh dihapuskan dalam masa sehari. Pihak ABIM bersetuju dengan syarat itu. Malangnya, apabila dialog itu diadakan di Universiti Islam Antarabangsa pada 28 Jun, 1986, saya terlupa untuk menyatakan kepada majlis dialog itu tentang syarat yang saya kenakan. Apabila dialog itu selesai, pihak ABIM telah mengeluarkan sehelai kertas dari saku ketua mereka yang mencatat bahawa buku saya menyeleweng dari ajaran Islam dan saya juga dianggap menyeleweng dari ajaran Islam sebenar!
Akibat dari dialog ini buku saya diharamkan oleh Kerajaan. Nyatalah pengharaman buku ini satu muslihat yang sudah diatur oleh pihak yang berkepentingan. 
Kembali kepada soal Islam agama Persekutuan Malaysia atau Islam sebagai agama rasmi, ingin saya menyatakan bahawa pernyataan ini dalam Perlembagaan Malaysia menyalahi ajaran Quran dan menyalahi Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri. Dari segi logika, sesebuah negara-bangsa tidak ada ugama. Ugama dianut oleh penduduknya, sama ada Islam, Buddhist, Hindu atau Kristian.  Ajaran Quran mengisytiharkan dengan jelas tidak ada paksaan dalam agama. [13]   Ini bermakna warganegara Malaysia boleh menganut apa juga agama yang mereka suka tanpa halangan undang-undang.
            Dalam Piagam Madinah, agama itu urusan penganut-penganutnya secara autonomi. [14] Ini bermakna orang Muslim mentadbirkan urusan-urusan agamanya secara autonomi. Demikian juga orang Buddhist, orang Hindu dan orang Kristian, dan lain-lain. Dengan ini, tidak akan berlaku konflik atau ketegangan antara agama dan kaum. Dengan ini perpaduan dan harmoni antara kaum di Malaysia akan menjadi lebih mantap dan stabil.
Kembali kepada soal jalan yang lurus yang harus dipilih oleh rakyat Malaysia untuk dijadikan sistem hidup mereka, perkara utama tidak lain dan tidak bukan pemerintahan yang adil yang ditubuhkan melalui perundingan.[15]  Sistem dwi-parti yang kita import dari Eropah tidak sesuai, pada dasarnya, dengan ajaran Islam. Kita diberikan Tuhan dua tangan: mengapa kita gunakan satu tangan untuk merosakkan kerja satu tangan lain? Tidak bolehkah kedua-dua tangan bekerjasama untuk melakukan kebaikan bagi masyarakat kita? Jelaslah teori sekat dan imbang (Ing.: cek and balance) ini satu teori yang tidak ada kebenarannya.
 Sebuah pemerintahan mestilah diwujudkan di Malaysia melalui kaedah muafakat dan mentadbirkan negara-bangsa Malaysia dengan adil. Inilah perintah Tuhan dan keperluan yang utama bagi rakyat Malaysia. Dengan demikian, walaupun Malaysia dari segi sejarah, lahir dari Kesultanan Melayu Melaka dalam abad ke-15, hari ini sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) pada tahun 1957, ia telah menjadi sebuah negara berbilang kaum dan agama dengan semua kaum mempunyai hak yang sama.
Tadi telah saya nyatakan penyelewengan khusus yang telah dilakukan oleh umat Islam itu memecahkan masyarakat kepada sistem agama dan sistem sekular. Ini bersalahan dengan ajaran Nabi Muhammad dalam Quran yang menggabungkan kedua-dua sistem ini secara harmonis.[16]  Namun demikian, ajaran Quran juga menasihatkan umat Islam mengutamakan kediaman akhirat tanpa mengabaikan hak-hak mereka yang sah di dunia. [17]  Perkara yang akhir ini menunjukkan perbezaan antara dunia dan akhirat. Alam akhirat itu tidak lain dari alam dunia ini di peringkat yang lebih tinggi, yakni dari segi moral dan spiritual. Nyatalah satu kasta paderi telah bertindak sebagai diktator kepada masyarakat Islam tanpa membenarkan perbezaan fikiran. Perbuatan ini melanggar perintah Tuhan yang terang yang berbunyi, “Dengar semua pendapat dan ikut yang paling baik”.[18]
Harus diingat bahawa Islam yang datang ke dunia Melayu pada abad ke-15 dan 16, Islam pasca kejatuhan Baghdad, yakni Islam yang telah kalah. Walaupun ini fakta sejarah, telah dicatat oleh seorang sejarawan Melayu bahawa kota pelabuhan Melaka dalam abad ke-15 sebuah kota pelabuhan yang termasyhur di dunia, sama dengan Venice. [19] Malah telah dinyatakan oleh penulis Portugis, Tome Peres, bahawa Melaka pada zaman itu begitu penting dan kaya ia tiada lawannya di dunia. [20]  Dinyatakan oleh sejarawan Melayu tadi, 84 bahasa dipertuturkan di pelabuhan Melaka dan bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan atau lingua franca. Fakta ini menyalahi anggapan kita yang pertama tadi. Kemungkinan besar ada dua aliran Islam yang sampai ke Melaka dalam abad ke-14 dan 15.
Di awal tadi, telah kita petik sebuah ayat suci yang berbunyi, “ Rasul akan berkata:  ‘Tuanku, umatku telah membelakangkan Quran ini. Kami juga telah mewujudkan musuh-musuh bagi rasul-rasul kami dari kalangan mereka yang berdosa. Tuan kamu cukup sebagai pembimbing dan penolong’”.[21]  Amaran yang dahsyat ini telah wujud dalam Quran selama 1400 tahun lebih. Saya tidak pernah bertemu dengan huraian yang panjang lebar atau sederhana panjang lebar tentang makna ayat-ayat yang menakutkan ini.
Apabila ayat-ayat Quran dibaca,  kerap kali kaum agamawan Islam melagukan mereka dengan tajwid-majwidnya yang sungguh enak didengar. Saya  teringat zaman remaja saya apabila saya sendiri terpengaruh dengan lagu-lagu Quran dibacakan. Saya telah mensifatkan perbuatan ini sebagai kaedah yang paling bijak untuk menyembunyikan Quran kepada umat Islam, yakni lagu mengatasi makna.[22]  
Hari ini saya telah menjengkau umur 80 tahun. Saya berfikir inilah masanya saya mahu bercakap secara langsung kepada kepimpinan politik dan intelektual rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia tentang penyelewengan-penyelewengan yang telah mereka lakukan serta membetulkan kesilapan-kesilapan kita supaya 30 tahun yang akan datang dan seterusnya kita boleh mencapai jalan yang lurus yang telah diperintahkan oleh Tuhan kepada kita.
Harus diingat bahawa pertama sekali Quran itu bimbingan untuk orang-orang yang bertakwa. [23]  Bimbingan ini hanya diberi oleh Tuhan sahaja  kepada pencari-pencari yang jujur. Jadi, rakyat Malaysia yang beragama Islam dan umat Islam di seluruh dunia mestilah bertekad untuk mencari bimbingan ini dengan jujur. Kedua, Quran itu bukan untuk dilagukan dengan tajwid-majwidnya berdengung-dengung. Quran itu perutusan Tuhan yang terakhir kepada dunia. Ia bimbingan kepada seluruh manusia. Kita mesti ada satu kaedah yang saintifik untuk mentafsirkan ayat-ayat Quran itu supaya ia benar-benar menjadi bimbingan kepada umat Islam dan seluruh dunia. Kaedah saintifik ini pada dasarnya bermakna Quran itu menjelaskan dirinya sendiri, yakni ayat mentafsirkan ayat, bukan seperti kaedah tradisional yang mendakwa Hadis mentafsirkan Quran. [24]
Ketiga, kediktatoran kasta paderi (baca: ulama) harus disingkirkan. Kaedah saintifik dan demokratik, yakni perdebatan yang rasional dan bijaksana, mestilah diutamakan.
Keempat, Quran itu mesti ditafsirkan semula oleh generasi yang mendatang, mewarisi tafsiran yang betul dan menolak tafsiran yang silap daripada generasi yang terdahulu.
Kelima, mengikut ajaran Tuhan Sendiri, Quran itu diwariskan kepada mereka yang Tuhan pilih daripada pelbagai kalangan, bersalahan dengan pegangan tradisional bahawa pewaris Quran itu para ulama. [25]  
Keenam, nyatalah sistem hidup yang dianjurkan oleh Quran itu bersifat republikan dan demokratik. Ini nyata daripada asal-usul nabi Muhammad dan empat khalifah ar-rasyidun ( Abu Bakr, Omar Ibni Khattab, Uthman Ibni Affan dan Ali Abi Talib). Apabila Muawiyah merampas kerajaan Islam dari tangan kaum republikan dan demokratik ini, bermulalah zaman feudalisme dalam sejarah Islam awal membawa kepada abad ke-20. Umat Islam perlu kembali kepada zaman republikan dan demokratik yang telah kita sebutkan. Hanya dengan demikian, Islam yang sebenar akan kembali semula ke dalam dunia serta memimpin umat Islam dan seluruh dunia kepada alam kejayaan dan kebahagiaan, seperti yang dijanjikan oleh Tuhan kepada umat Islam. [26]
8.     Langkah-langkah Yang Perlu Diambil
UMNO, parti nasionalis, yang menjadi tulang belakang pemerintahan di Malaysia sekarang berasal sebagai sebuah gerakan massa pada 1946. Namun tiap benda yang hidup akan merosot. Demikianlah UMNO telah merosot. Hanya anggota UMNO dan rakyat Malaysia seluruhnya melalui Perhimpunan Agung UMNO boleh membaiki UMNO, melalui apa yang diperintahkan oleh Tuhan “menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan”.  Perhimpunan Agung UMNO Tahunan mestilah menjadi sekat dan imbang atau penjaga kepada sistem pemerintahan di Malaysia. Rasuah, pembaziran dan kejahatan lain mestilah dikoreksi dari dalam oleh kita yang sedar sendiri.
Inilah yang harus dilakukan oleh rakyat Malaysia. Inilah juga yang harus dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia. Inilah juga yang harus dilakukan oleh rakyat di seluruh dunia. Tiada seorang Imam Mahdi atau Nabi Isa turun kali kedua boleh tolong mereka. Manusia tiada penolong dan pembantu kecuali diri mereka sendiri. Dengan izin Allah!
Saya telah menyatakan pada awal tadi bahawa saya akan meluahkan isi hatinya tanpa sekatan. Saya ingin menyatakan dengan rendah hati bahawa saya memohon kepada Tuhan Azza-Wajalla memberi taufik dan hidayah kepada saya dan menjauhkan diri saya daripada kesombongan dan kebanggaan. Saya ingin menyatakan terima kasih yang tidak terhingga banyaknya kepada sahabat-sahabat saya dalam Jawatankuasa Penaja yang dipimpin oleh Sdr Nik Aziz Hassan dan juga dari pelbagai bangsa dan agama yang telah mera’ikan  hari jadi saya yang ke-80 dengan seminar penilaian kritis terhadap karya-karya saya. Saya mengucap berbanyak terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana sudi merasmikan upacara ini.  Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak dewan yang membenarkan kami menggunakan dewan yang permai ini  
Ucapan ini tidak kena-mengena dengan peringatan harijadi saya yang ke-80. Saya fikir sudah sampai masanya kita, rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia, berdepan dengan realiti kita secara realistik dan bijaksana untuk menentukan masa depan kita semua, bukan sahaja untuk 30 tahun akan datang, tetapi untuk selama-lamanya.  
Saya bercakap ini langsung kepada elit kepimpinan politik dan intelektual dan kepada massa rakyat. Saya harap mereka ambil peduli.
Pendekata, ini satu seruan untuk revolusi untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Contoh-contohnya sudah ada dalam sejarah: revolusi yang dilancarkan oleh nabi-nabi besar Ibrahim dan Muhammad, oleh Revolusi Amerika, Revolusi Perancis dan Revolusi Komunis, kedua-dua bengis dan berperikemanu-siaan. Kita mesti pilih yang kedua. 
Terima kasih.
                                                                                          KASSIM AHMAD
16 Februari, 2014
1504, Persiaran Kulim Golf,
Kulim Golf & Country Resort,
09000 Kulim, Kedah Darul-Aman.
012-4291152/604-40318771


[1] Lihat sajak saya, “Satu Sumpahan”, dalam Kemarau di Lembah, Saudara Sinaran Brothers, Pulau Pinang, 1967. hlm. 46.
[2] Lihat sajak “Pidato” dalam Ibid., hlm. 67
[3] Lihat Kassim Ahmad, “Pembangunan Intelektual Bangsa” dalam Koleksi Pidato Penghargaan Siswazah Kehormat Konvensyen  Universiti Kebangsaan Malaysia (Bangi: 1997) hlm. 87.
[4] Lihat risalah saya, Kontroversi Hukum Hudud, Forum Iqra’, Pulau Pinang, 2002.
[5] Lihat Quran, 15: 9.
[6] Quran, 5: 48.
[7] Sejarawan Inggeris Philip K. Hitti berkata tentang peristiwa ini, “Jika ada seseorang dalam dekad ketiga abad ketujuh berani meramalkan bahawa dalam satu dekad suatu kuasa yang tidak ditetahui dan tidak disangka dari tanah Arab yang masih dalam zaman gasar dan tidak dikenali akan muncul dan merempuh dua kuasa besar dunia pada ketika itu serta mewarisi Empayar Parsi dan merampas dari Empayar Baizantium tanah jajahannya yang elok, dia tentu akan dicop seorang gila. Namu demikian, itulah yang berlaku …” (Philip K. Hitti, History of the Arabs (Edisi ke-10: 1970: London), hlm. 142.) 
[8] Lihat Quran. Surah 63, ayat satu membatalkan syahadah kedua.
[9] Rujuk Quran, 33: 43.
[10] Bahawa rambut wanita bukan ‘aurat dan kepala wanita tidak ditutup disebut dalam Quran. Pertama, apabila mengambil wuduk kita perlu menyapu kepala. Ini menunjukkan kepala wanita tidak ditutup. Kedua, ayat Quran tentang pakaian wanita berbunyi: “Beritahu kepada wanita muslim untuk menundukkan mata mereka dan memelihara kehormatan mereka. Hendaklah mereka jangan memperlihatkan mana-mana anggota badan mereka, kecuali yang mustahak. Hendaklah mereka tutup dada mereka dan jangan buka kecuali di hadapan suami mereka, bapa mereka …” (Quran, 24: 30-31). Frasa “kecuali yang mustahak” di sini bermakna muka, tangan dan kepala. Apabila kita mengambil wuduk, muka dan tangan disuruh basuh dan kepada disuruh sapu.  
[11] Lihat Majid Khadduri (pent.) Islamic Jurisprudence: Shafi’I’s  Risalah, hlm 75-76.
[12] Lihat Kassim Ahmad, Hadis—Satu Penilaian Semula, Media Intelek, Petaling Jaya, 1986,  hlm. 93.
[13] Lihat Quran, 2: 225.
[14] Lihat esei penulis bertajuk “The Madinah Charter – A Short Note” dalam blog penulis  
[15] Tentang menghukum dengan adil, rujuk 4: 58. Tentang membuat keputusan melalui perundingan, rujuk 42: 38.
[16] Quran, 2: 201.
[17] Quran, 28: 77.
[18] Quran, 39: 18.
[19] Lihat Muhammad Yusoff Hashim, Kesultanan Melayu Melaka, Dewan Bahasa dan Pustaka (1990: Kuala Lumpur), hlm. 275.
[20] Lihat B. W. Andaya dan L. Y. Andaya, A History of Malaysia (London: 1982); hlm. 37.
[21] Quran, 25: 30-31.
[22]  Lihat Kassim Ahmad, Mencari Jalan Pulang, ZI Publications (2008: Petaling Jaya), hlm. 177.
[23] Quran, 2: 2.
[24] Lihat Kassim Ahmad, Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik,Media Indah, Kuala Lumpur, 1992, Bab 7.
[25] Lihat Quran, 35: 32.
[26] Ada beberapa ayat. Satu daripadanya 9: 33.  Cara hidup Islam sebenar itu sempurna dari semua segi, material, moral dan spiritual. Ini bukan saja bermakna tiada kezaliman, tetapi kejahilan dan kemiskinan juga tidak wujud lagi. 

Rambut Bukan Aurat - Islam Cara Dr. Kassim Ahmad, Tokoh Pemikir


Memang satu keputusan yang bijak apabila Nurul Izzah memilih untuk tidak hadir dalam satu program bersama Kassim Ahmad yang pernah dilabel sebagai anti hadis.

Sekiranya Nurul Izzah hadir dalam program sebegini yang jelas satu pemikiran baru tentang islam, pastinya beliau akan menerima padah yang buruk.

Beliau akan dituduh sebagai golongan yang anti hadis seperti mana dituduh ke atas Kasim Ahmad.

Semoga pandangan sebegini dapat dihujah balas oleh mana-mana ilmuan agama bagi menjelaskan kekeliruan yang dibawa oleh Kassim Ahmad ini.

Kassim Ahmad ini tidak diketahui salah silahnya perguruannya. Tiba-tiba muncul dengan menyatakan Islam amalan kita hari ini salah. Terlalu memuja Nabi Muhammad berbandiing Allah, rambut bukan aurat wanita dan ulama adalah tiruan kasta paderi.

Setelah senyap untuk beberapa ketika, pemikir kontroversi Dr Kassim Ahmad muncul pada usia 80 tahun dengan ideanya untuk menentukan hala tuju negara untuk tiga puluh tahun akan datang. 


Beliau, bekas ketua Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) sebelum memasuki Umno, kini hadir mengajak Rakyat Malaysia dan parti politik kembali kepada Islam sebenar.
Bagaimanapun idea beliau tetap kontroversi apabila mendakwa Islam sebenar di negara ini telah diseleweng kerana mengikut satu sistem “kasta paderi” yang dipanggil ulama. 
"Kasta paderi ini tidak wujud dalam zaman Nabi dan empat Khalifah ar-Rasyidun. Mereka muncul kira-kira 300 tahun kemudian dan melantik diri sendiri sebagai pentafsir agama kepada umat Islam. 
"Mereka (umat Islam) mendewa-dewakan pemimpin agama yang mereka anggap maksum dan yang telah memutuskan semua soalan dalam kehidupan mereka," kata beliau ketika memberi ucapan dalam "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" di Putrajaya hari ini. 
Kassim turut membentangkan beberapa lagi kesalahan umat Islam seperti mendewa-dewakan Nabi Muhammad dengan syahadah kedua serta rambut bukanlah aurat wanita. 
Beliau berhujah berdasarkan tafsiran terhadap ayat pertama dalam surah al-Munafiqun.
Sementara itu, berkaitan aurat, Kassim berkata ia bukan aurat kerana ia anggota biasa seperti muka dan tangan yang perlu digunakan untuk mengambil wuduk. 
Tiga puluh tahun dahulu, katanya, wanita Islam tidak memakai tudung, sebaliknya hanya sehelai selendang “kerana rambut itu bukan aurat”. 
Kassim yang berdepan tuduhan anti-hadis – tuduhan yang dinafikannya – turut mengajak agar al-Quran diletakkan sebagai sumber tertinggi agama dan ditafsir kembali bagi menyesuaikan kepada keadaan semasa. 
"Saya pernah cakap yang al Quran menjelaskan ia sendiri. Method lama ialah menggunakan Hadis untuk menjelaskan al Quran kurang baik kerana bermakna menganggap Nabi Muhammad itu tahu segala-galanya. Ini ridiculous, beliau hanya utusan Allah," kata beliau. 
Sumber : Gendang Perang

ASHAMSURI : Ermmm..macam macam hal..dulu bapak aku pernah tanya soalan, dia kata kenapa kalau belajar Matematik, bila bila di tanya pun 1 + 1 akan jadi 2, takkan mahu lain jawapannya walaupun di tanya pada cikgu cikgu yang berbeza. Namun bila hal agama, kenapa bila di tanya lain - lain Ustaz, jawapannya berbeza beza walaupun soalan yang dikemukakan sama sebijik - sebijik. Dia suruh aku cari jawapan tu dulu, then baru bercerita soal agama dengan dia. setakat subjek Pendidikan Islam dapat A1 dalam SPM, dia cakap jangan nak sembang la huhu..

Wednesday, February 19, 2014

Pengikut ajaran sesat Kasim Ahmad dikenal pasti...ini dia gambarnya!

Tidak mungkin yang pakai tudung macam ini pengikut ajaran sesat Kassim Ahmad yang memfatwakan bahawa  rambut itu bukan aurat.... 
 Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang berdua ini? Suami yang sorang tu dikatakan ada kaitan dengan penganjuran seminar pemikiran Kassim Sabtu dan Ahad lalu. Beriya-iya benar dia mempertahankan Kassim di sini

    
Korang buatlah penilaian sendiri.Kalau korang nak beli periuk, tentu korang tidak akan beli periuk yang tidak ada tudungnya kan? Suami adalah pembimbing isteri. Kalau bab tudung isteri pun suami menunjukan kegagalannya, bagaimana nak memimpin sebuah negara yang mahu menegakan Islam?

Kassim Ahmad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Dr Kassim Ahmad merupakan ahli politik sosialis di Malaysia dan terkenal kerana gerakan 'anti hadis'.

Keluarga

Anaknya Aida pernah belajar di Penang Free School 1979 dan menjadi guru di Sekolah Menengah Teknik Nibong Tebal. Beliau dan isterinya Sharifah Fawziah Bt. Syed Yussoff tinggal di Persiran Kulim Golf. Kulim Golf & Country Resort, Kulim, Kedah. Beliau berasal dari Hutang Kampong, Langgar, Kedah. Mendapat pendidikan di Sekolah Melayu, Bandar Baharu, Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar dan Universiti Malaya di Singapura. Berkerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, di Young Road, Kuala Lumpur dan kemudian ditawarkan menjadi pensyarah di School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London. Oleh sebab tarikan politik, beliau menolak tawaran bekerja tetap dengan SOAS. Kembali ke Malaysia, beliau bekerja sebagai guru sementara di Sekolah Abdullah Munshi, Pulau Pinang sambil aktif dalam Parti Rakyat Malay yang diketui oleh Ahmad Boestaman. Selepas peristiwa berdarah Mei 13, beliau bekerja sebagai guru dan penterjemah bebas sehingga belau berpindah ke Kulim pada 31 Ogos, 2007.

Pendidikan

Beliau berasal dari Kulim, Kedah tapi bekerja di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Beliau belajar di Universiti Malaya,Singapura dan aktif dalam University Socialist Club.Disertasi beliau bertajuk 'Perwatakan Hang Tuah' pada 1950-an mencabar persepsi tradisional Melayu bahawa Hang Tuah seorang hero.
Beliau dan Hassan Ahmad antara 13 mahasiswa UM Singapura yang menentang cara pengajaran dan sistem pengajian Melayu di universiti ketika itu. Malah pernah berucap bagi pihak kumpulan 13 menyeru supaya diwujudkan suatu sistem pengajian terbuka.[1]
Beliau melalui puisi dan kegiatan sastera, menggesa masyarakat yang tertindas sangat memerlukan pembelaan. Tokoh lain yang sealiran ialah Usman Awang, Baha Zain, Kemala, Ali Ahmad, Nik Mohammad Zain, Alis Murni, Yahya Ismail, Mohd Affandi Hassan dan Abdul Ghafar Ibrahim yang menghasilkan puisi Telok Gong (1967), Suara Tujuh (1973), Kemarau Di Lembah (1967) dan Keranda 152.

Kerjaya

Beliau pernah menjadi pegawai penyelidik DBP dan menyusun buku Hikayat Hang Tuah. Selepas itu bertugas sebagai pensysrah di School of Oriental and African Studies, Universiti London, London.

Politik

Beliau memimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia bersama Syed Hussin Ali selama 18 tahun. Kemudian beliau menyertai UMNO.Tindakannya turut dikesali oleh penulis dan penyair Usman Awang (Tongkat Warrant). Kassim Ahmad pernah percaya bahawa pemimpin Vietnam Utara, Ho Chi Minh boleh menjadi contoh seorang pemimpin sosialis yang baik di Asia.
Beliau pernah melawat makam Karl Marx di London.Beliau juga bergambar semasa ditahan di bawah ISA pada 3 November 1976. Gambar pembebasan dan tahanan pada 30 Julai 1981 dan gambar bersama Presiden Iraq,Saddam Hussein.

Hang Jebat adalah hero Melayu

Kassim Ahmad berani menentang arus apabila mengemukakan fakta bahawa Hang Jebat seorang hero orang Melayu, bukannya Hang Tuah.

Tahanan ISA

Beliau ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama lima tahun (1976-1981) kerana dikaitkan dengan perjuangan sosialis/ komunis. Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu ialah Tan Sri Ghazali Shafie dan Perdana Menteri Malaysia ialah Hussein Onn. Beliau ditangkap pada 2.30 pagi pada 3 November 1976 di rumahnya di Petaling Jaya. Syed Husin Ali telahpun ditangkap pada 1974 .
Selepas Barisan Sosialis dibubarkan dan ramainya pemimpinnya dihumban ke dalam penjara ,Parti Sosialis Rakyat Malaysia ditubuhkan dan beliau menjadi Ketua 1 bagi mengisi kekosongan (1965-1980). Tahun-tahun tersebut dianggap sebagai kebangkitan komunis kedua seperti meletupkan Tugu Negara dan membunuh Ketua Polis Perak 1975.
Beliau dibebaskan menjelang Hari raya Haji pada 30 Julai 1981 ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia (15 Julai 1981). Dr Mahathir telah membebaskan tahanan ISA .Dr Mahathir adalah sahabat beliau dan pernah menulis kata pengantar bagi buku-bukunya .Semua pengalaman itu dicatat dalam buku 'Universiti Kedua - Kisah Tahanan di Bawah ISA' selepas beliau keluar dari penjara. Buku ini diterbitkan oleh Media Intelek pada 1 Jun 1983.
Pada 1979, dalam [[1]] Kassim Ahmad mempertahankan ISA berdasarkan ayat Quran, 18: 60-82. Maksudnya kemudaratan kecil boleh mencegah kemudaratann yang lebih besar.

Anti Hadis

Gerakan Anti Hadis dianggap dipelopori oleh Dr Kassim Ahmad dan dibantu oleh Osman Ali pada 1985. Beliau terpengaruh dengan Dr Rashad Khalifa lalu menulis buku kontroversi 'Hadis : Satu Penilaian Semula'. Buku ini diharamkan oleh Pusat Islam mengikut keputusan Muzakarah Mufti-Mufti Negeri pada 6 September 1995. Selepas itu beliau menubuhkan pertubuhan Jemaah Quran Malaysia tetapi pendaftarannya ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia.
Selepas banyak berdebat dengan pelbagai pihak berwibawa, akhirnya beliau menulis buku bertajuk 'Hadis : Jawapan Kepada Pengkritik'. Beliau sebenarnya mengkritik penggunaan hadis sebagai sumber perundangan Islam.

Hasil karya

Beliau banyak menulis rencana berhubung sastera Islam dan berdebat dengan Shahnon Ahmad juga sasterawan Negara dari Kedah.
  • Hikayat Hang Tuah - diusahakan oleh Kassim Ahmad semasa menjadi pegawai penyelidik DBP.
  • Characterisation in Hikayat Hang Tuah - 1966 diterbitkan oleh DBP.
  • Perwatakan dalam Hikayat Hang Tuah (1973)
  • Universiti Kedua (1983) oleh Media Intelek
  • Quo Vadis Bangsaku ?
  • Hadis: Satu Penilaian Semula (1986) -Buku menyebabkan beliau dicap anti hadis.
  • Hadis : Jawapan Kepada Pengkritik (1992)
  • Polemik Sastera Islam - ditulis bersama Shahnon Ahmad.
  • Kemarau di Lembah - Kumpulan sajak pertama diterbitkan oleh Saudaran Sinaan Bhd., Pulau Pinang, 1967
  • Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme Kepada Islam
  • Sajak 'Pengembara Dalam Perjalanan' (1978)
  • Jalan Ke Parlimen - sajak yang menyindir ahli parlimen Malaysia pada 1960-an yang tidak membela nasib rakyat marhaen.
  • Lamumba Mati - sajak yang mempertikaikan kuasa imperialis seperti Amerika Syarikat.[2]


 Baca Hadith! Jangan Anti Hadith!
Posted on Thursday, February 20 @ 05:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo



"Pada saat ada manusia menolak hadith, ayuh sahabat-sahabat kita cuba kenal beberapa kitab hadith asas yang mesti menjadi dampingan kita semua.  Melawan Golongan Anti Hadith lebih bermakna jika kita kenal dan biasa dengan hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.  Setuju tak?

1) Kitab Al-Arba`un An-Nawawiyyah (Hadith 40 An-Nawawi)

- Kitab ini telah disusun oleh al-Imam an-Nawawi dengan meletakkan sebanyak 42 hadith-hadith asas agama Islam. Kalau kita faham dan pegang hadith-hadith yang telah disusun ini, in shaa' ALLAH banyak persoalan harian kita dapat tangani. Kita akan terpandu dengan kalam Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.

2) Kitab Riyadhus Solihin

- Kitab ini disusun oleh al-Imam an-Nawawi juga. Disusun mengikut bab dengan disertakan ayat-ayat Al-Quran dan hadith2 Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam. Terdapat 2 jilid. Jilid pertama banyak mengenai nas-nas mengenai hubungan kita dengan ALLAH, dengan Nabi, dengan kaum muslimin dan akhlaq sebagai muslim. Jilid kedua lebih kepada kelebihan2 amal, ibadat, larangan2 dan cerita2 dan sebagainya. Itulah lebih kurangnya.


3) Asy-Syama'il Al-Muhammadiyyah

- Kitab ini disusun oleh al-Imam at-Tirmidzi. Hadith-hadith yang disusun di dalam kitab ini lebih kepada menceritakan rupa paras, bentuk, cara kehidupan Nabi, cara Nabi bercakap, duduk, berjalan, makan, minum, berpakaian, sifat tawadhu`nya, kemesraannya dan sebagainya. Pendek kata kalau nak kenal batang tubuh Nabi dan apa2 berkaitannya, inilah kitabnya.

Itulah 3 kitab hadith yang asas yang saya rasa sangat mudah untuk kita orang awam berdampingan dengannya sebagai pengenalan. Kitab2nya nipis, ringan bahannya dan agak ringkas. Dan kalau nak sedap lagi, milikilah juga:

1) Kitab Sahih AL-Bukhari oleh al-Imam al-Bukhari

2) Kitab Sahih Muslim oleh al-Imam Muslim

3) Bulughul Maram oleh al-Imam Ibnu Hajar al-Asqolani

4) Dan lain-lain...

Ayuh sahabat2. Mana nak tahu ajaran Nabi? Mana nak kenal suruhan dan tegahan Nabi? Mana nak datang rasa cinta kat Nabi? Kalau hadith2 Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam kita tak kenal, tak baca, tak faham dan tak amal??!

Allahumma solli `ala Muhammad wa `ala aali Muhammad.


*Sumber: https://www.facebook.com/bukuagamapilihan

"


................................
Dihantar untuk paparan TKO (Tranungkite)
Oleh:
al-bahanj
Posted on Thursday, February 20 @ 05:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo

Tiada ulasan: