Khamis, 20 Februari 2014

JIKA RAGU2 LEBIH BAIK TINGGALKAN...TAK YAH MASUKLAH







Hukum Melabur dalam ASB

Pautan e-fatwa:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 – 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.
***
Para pembaca blog saya yang setia barangkali sudah mengetahui saya ada mencatat beberapa kali tentang hukum pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). Malah, dalam buku Rancang Wang Dari Sekarang, mukasurat 42-43 saya ada menghuraikan selaku orang awam (yang tidak dilatih dalam disiplin usul fiqh khususnya) apakah sikap yang mesti kalian ambil dalam isu ini.
Hari ini saya terbaca catatan seorang rakan FB mengenai isu ini, lantas membawa saya kepada catatan di website Prof. Dr Mahmood Zuhdi yang merupakan seorang pensyarah di UIAM yang juga terlibat menjadi panel Shariah dan fatwa di beberapa institusi fatwa, instusi kewangan di dalam dan luar negara.
Tulisannya bertajuk Hukum Melabur Dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). Saya salin semula tulisan beliau dalam blog ini untuk bacaan kalian. Sekiranya ada permasalahan, komen dan sebagainya saya sarankan agar terus disalurkan kepada beliau sendiri melalui website beliau. Saya tidak menjawab bagi pihak beliau.
Hukum Melabur Dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB)
Oleh: Prof. Dr Mahmood Zuhdi
Pendahuluan:
Amanah Saham Bumiputra (ASB) adalah satu jenis saham amanah yang bertujuan untuk membantu kaum Bumiputra meningkatkan ekuiti mereka dalam kekayaan negara. Caranya ialah dengan mengumpulkan dana dari kaumbumiputra untuk dilaburkan dalam syarikat-syarikat yang menguntungkan. Malah berbagai inisiatif telah dilakukan bagi menjadikan pelaburan berkenaan sangat menguntungkan, termasuk dengan menggunakan hak istemewa kaum bumiputra sebagaimana yang dijamin oleh perlembagaan.
Sebagaimana maklum, pegangan kaum bumiputra dalam kekayaan negara berada pada paras yang sangat rendah berbanding dengan sesetengah kaum di negara ini. Antara sebabnya ialah kedudukan ekonomi kaum Bumiputra telah diabaikan begitu lama sekali oleh kaum penjajah, sementara beberapa pihak lain mendapat peluang yang jauh lebih baik berasaskan polisi penjajahan yang begitu lama sekali diamalkan dalam Negara ini.

Sehingga hari kemerdekaan,ekuiti kaum Bumiputra dalam kekayaan Negara boleh dikatakan sebagai kosong peratus. Bagi mengatasi keadaan yang sangat tidak adil ini kerajaan telah menetapkan pencapaian 30% bagi kaum bumiputra melalui Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan di Negara ini. Salah satu daripada program yang dilaksanakan bagi memenuhi agenda Dasar Ekonomi Baru berkenaan ialah skim amanah untuk Bumiputra yang dinamakan ASB ini.
Sejak mula ia dilancarkan, skim amanah ini telah memainkan paranan yang berkesan, di samping berbagai skim lain lagi dalam mempertingkatkan pegangan ekuiti kaum Bumiputra di Negara ini. Walaupun matlamat 30% belum dicapai sehingga Daras Ekonomi Baru sudah tamat tempohnya namun kaum Bumiputra di Negara ini boleh dikatakan sudah mempunyai tapak untuk berpijak dalam ekonomi Negara. Sehingga pada suatu peringkat matlamat itu hampir dapat dicapai dengan sepenuhnya.
Malangnya kekalutan ekonomi dunia pada akhir tahun sembilan-puluhan telah meninggalkan kesan buruk kepada pegangan ekuiti kaum bumiputra di Negara ini. Malaysia sendiri sebagai sebuah Negara mengalami kesan negatif yang parah daripada kemelut yang datang secara mendadak itu. Namun kesan buruk itu dapat diatasi dengan jayanya. Lain ceritanya tentang kaum Bumiputra. Sudahlah matlamat 30% belum tercapai, apa yang sudah dicapai pun tidak dapat dipertahankan. Sebelum ekonomi dunia merudum kaum Bumiputra di Negara ini boleh dikatakan telah mencapai lebih 20% dari keseluruhan kekayaan Negara. Malangnya angka tersebut telah menjadi kurang daripada 20% selepas krisis berkenaan. Sampai kehari ini ternampak sukar sekali angka tersebut untuk ditingkatkan. Salah satu daripada sebabnya ialah sikap negatif kaum Bumiputra sendiri dalam hal ekonomi dan kewangan.
Menyedari pentingnya pencapaian matlamat 30% ekuiti Negara oleh kaum Bumiputra ini, bukan sahaja untuk mereka tetapi juga untuk kestabilan Negara, kerajaan telah menegaskan semula untuk mencapai angka tersebut melalui berbagai cara dalam tempoh pelaksanaan wawasan 2020. Antara acara tersebut ialah melanjutkan program-program amanah seperti ASB ini.
Permasalahan
Walau bagaimana pun, pelaksanaan skim amanah ASB ini dengan segala cara dan objektif yang ada menghadapi berbagai rintangantermasuk daripada kaum Bumiputra sendiri. Antara rintangan tersebut ialah persoalan tentang hukum menyertainya dalam Islam. Ada terdapat dikalangan umat Islam di Negara ini yang meragui kehalalannya dari segi Syarak memandangkan keterlibatan skim amanah tersebut dengan pelaburan di beberapa kaunter haram, misalnya yang melibatkan penjualan arak, perjudiaan, pengambilan riba dan sebagainya.
Sebagaimana maklum, skim ASB ini terbentuk berasaskan kepada dasar perkongsian keuntungan, iaitu suatu alternatif yangmemberi jaminan halal berbanding kaedah konvensional yang berasaskan kepada peratus tetap keuntungan. Mengikut hukum Syarak, kaedah peratus tetap boleh melibatkan riba yang diharamkan oleh Islam. Sedangkan kaedah perkongsian untung tidak melibatkan hal seperti itu. Oleh yang demikian status halal bagi skim ini, dari perspektif ini tidak berbangkit. Malah inilah kaedah yang sentiasa digunakan oleh skim-skim yang berlabelkan Islam dalam Negara ini, juga di Negara-negara Islam yang lain, seperti perbankan Islam dan sebagai nya.
Apa yang menjadi persoalan, sepertimana yang telah disebut di atas ialah penyertaan ASB dalam pelaburan di beberapa kaunter haram. Mengikut pendapat sesetengah umat Islam di Negara ini penyertaan yang tidak sepatutnya itu telah menjadikan skim yang berasaskan kepada kaedah halal berkenaan menjadi haram.
Antara alasan yang diberikan ialah adanya percampuran antara yang halal dan yang tidakhalal dalam skim itu. Kaedah yang digunakan ialah “ ??? ????? ??? ?????? ??????? ???? ??????“ yang bermaksud “apabila berlaku percampuran antara yang halal dan yang haram maka yang haram akan diutamakan (dalam menentukan hukum). Dengan kata lain, sesuatu yang halal itu akan dengan sendirinya menjadi haram apabila bercampur dengan sesuatu yang haram.
Antara contoh yang diberikan sebagai aplikasi kepada kaedah tersebut ialah apabila sekawah gulai dimasuki oleh sedikit tahi ayam maka gulai yang sekawah itu walaupun banyak akan menjadi najis kerana tahi ayam yang sedikit itu. Bandingannya samalah dengan pelaburan ASB di kaunter-kaunter haram. Walaupun nisbahnya sangat sedikit tetapi ia boleh menjadikan nisbah pelaburan di kaunter halal yang merupakan majoriti besar dalam skim berkenaan menjadi haram.
Kekeliruan
Walau bagaimana pun pandangan tersebut tidak berasaskan kepada metod penentuan hukum yang sebenar sepertimana yang terdapatdalam pengajian hukum Islam. Ia lebih berasaskan kepada sikap umum Syariat Islam yang sangat tidak suka kepada perkara haram. Sikap umum ini merupakansuatu prinsip yang sangat baik. Kerana ia menggambarkan idealisme Islam itu sendiri yang unggul. Bagaimanapun dalam merialisasikan idealisme ini dalam kehidupan sebenar, dalam Islam sendiri terdapat berbagai kaedah dan cara untuk menjadikan aplikasi tersebut benar-benar rasional dan praktikal. Dengan kata lain, pandangan di atas adalah benar sebagai suatu idealisme yang tinggi tetapi sebaliknya bila dilihat dari sudut praktikal yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.
Secara ringkasnya, hubungan anatara ASB sebagai satu skim amanah pelaburan dan para pelabur sebagai peserta dalam skim tersebut adalah bersifat hubungan antara dua pihak yang bermuamalah dalam suatu kontrak yang halal, iaitu pelaburan berasaskan perkongsian untung. Dalam hubungan ini ASB adalah satu badan halal yang berniaga berasaskan kaedah yang halal. Iabukan suatu badan tidak halal, seperti kilang arak atau kedai judi yang tabiat kerjanya sendiri haram.
Bandingannya samalah dengan penyertaan seseorang dalam skim perkhidmatan awam di Negara ini. Asasnya ialah memberi khidmat berasaskan upah, iaitu satu kontrak yang jelas halal. Dalam hubungan ini, kerajaan sebagai majikan merupakan badan halal. Kerana ia menawarkan khidmat kepadamasyarakat secara halal. Ia bukan badan tidak halal seperti gerakan bawah tanah yang menjalankan kerja-kerja yang haram.
Apabila ASB melabur dalam beberapa kaunter haram sifatnya sebagai badan halal tidak boleh bertukar dengan begitu sahaja. Seorang muslim yang menerima akidah dan kehidupan Islam secara umum tidak akan bertukarmenjadi kafir apabila melakukan sedikit sebanyak maksiat yang tidak menukarkan identitinya daripada seorang muslim kepada bukan muslim. Cuma orang itu berdosa dan perlu bartaubat. Urusan muslim lain dengannya tetap sah di sisi Syarak. Isteri atau suaminya tidak tertalak dengan kerana itu. Kalau bapanya mati dia masih tetap boleh menerima pusaka dan banyak lagi contoh yang boleh difahami secara mudah.
Samalah juga denga kerajaan yang mengambil cukai arak, cukai pelacuran dan sebagainya. Ia tetap kerajaan yang sah dan halal di sisi Islam. Perbuatannya itu adalah dosa untuknya sahaja dan tidak menjadikan kerajaan berkenaan sebagai badan tidak halal dari segi Syarak. Semua pegawai kerajaan tidak boleh bertukar menjadi orang yang makan harta haram kerana perbuatan kerajaan seperti itu, apalagi perlu meletakkan jawatan masing-masing.
Satu aplikasi mudah bagi prinsip percampuran antara yang halal dengan yang haram ini boleh dilihat kepada banyak contoh prinsip Istihalah dalam hukum Islam. Antaranya ialah air musta’mal menjadi mutlaq apabila bercampur dengan air mutlaq yang lebih dua Qullah. Ucap Salam assalamu alaikum kepada khalayak yang bercampur antara orang Islam dan bukan Islam dibolehkan, bangkai dalam air mutlaq yang banyak tidak boleh menjadikan air itu najis selagi ia tidak mengubah warna, rasa atau baunya, lalat mati dalam secawan teh tidak boleh menjadikan teh itu najis dan banyak lagi contoh- contoh yang sangat mudah difahami.
Malah kalau kita bijak menganalisis Maqasid al-Syariah dalam hukum Islam dan kedudukan ASB sebagai salah satu cara untuk menjamin survival umat Islam di Negara ini tentu sekali kita merasa tidak bijak untuk mengatakan ASB itu haram. Cuma ulasannya sangat panjang dan perlukan kepada kefahaman asas dalam teori hukum Islam untuk memahaminya.


ASB/ASN Haram – Jabatan Mufti Negeri Selangor

June 8th, 2011 | 6:21 pm | Harta, Isu Semasa, Muamalat


Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan seumpamanya adalah tidak halal. Hal ini kerana ia masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:
  1. Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputra (ASB) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.
  2. Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputra (ASB) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.
  3. Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.
Update: 09/06/2011, 0:14Nabi dah pesan supaya jauhkan yang syubhah dan yang haram. Orang beriman bila dengar benda haram datang rasa taqwa dalam hatinya manakala orang munafiq akan marah-marah dan mencari jalan untuk melepaskan diri dari kelihatan bersalah – Ustaz Azhar Idrus

Update: 13/06/2011, 17:09
Salinan surat rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor terpaksa dikeluarkan dari website ini atas sebab-sebab tertentu. Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu ini boleh berhubung terus dengan Jabatan Mufti Negeri Selangor seperti di bawah:

Jabatan Mufti Negeri Selangor
Tingkat 7 & 8, Menara Utara,
Bangunan Sultan Idris Shah,
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Tel: 603-5514 3400
Mufti: 603-5514 3738
Timb. Mufti: 603-5514 3730
Fax: 603-55197584
Email: mufti_sel@selangor.gov.my

Web: www.muftiselangor.gov.my

Amanah Saham Bumiputra (ASB) haram atau halal?

15 Ogos 2013

Semalam saya menulis mengenai hukum pelaburan Amanah Saham Bumiputra atau ASB di Facebook.
Saya memutuskan mahu mengongsinya di sini pula.


Kenapa ada banyak majlis fatwa di Malaysia?

Terlebih dahulu, suka saya memaklumkan bahawa berdasarkan Perlembagaan Malaysia, hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Maka itulah setiap negeri termasuk wilayah persekutuan ada kuasa pentadbiran agama islam sendiri.
Setiap negeri ada Majlis Fatwa sendiri.

Di peringkat kebangsaan pula, ada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Setiap majlis fatwa mempunyai ulamak mereka sendiri yang layak mengijtihad hukum.
iaitu mengeluarkan hukum pada perkara yang tidak wujud semasa zaman Rasulullah SAW.

Mereka mahir dalam bidang agama.
Jika di dalam ijtihad ini, mereka memerlukan pandangan dan penerangan pakar dalam bidang yang terlibat, pakar itu akan dipanggil.
Dalam kes ASB, wakil dari PNB dipanggil.

Setiap majlis fatwa mengeluarkan fatwanya sendiri.



Perbezaan Fatwa ke atas Pelaburan di ASB

Semasa membuat Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan, saya dan rakan kumpulan dipertanggungjawabkan menyiapkan tugasan mengenai perbezaaan fatwa ke atas pelaburan ASB.

Maka kami kumpulkan semua fatwa berkenaan dan persembahkan dalam gambarajah di bawah.




Ada 4 fatwa mengatakan ia harus atau tidak haram. 
Iaitu fatwa dari Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur dan Majlis Kebangsaan.
Manakala, ada 3 fatwa menghukumkan ia haram iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Pahang.
Surat dari Suruhanjaya Sekuriti mengenai ASB pula mengatakan ia tidak patuh syariah.
Terdapat perbezaan fatwa dan pandangan di sini terhadap hukum pelaburan ASB.
Kenapa perbezaan ini boleh timbul?
Perbezaan pandangan ulamak ini dipanggil Khilaf ulamak.
Khilaf boleh berlaku disebabkan :
1) Kemampuan menguasai ilmuan tidak sama dari segi akal fikiran dan kefahaman. Sebahagian fuqaha’ mempunyai kemampuan yang tinggi dari segi hafazan dan kefahaman.
2) Perbezaan tentang syarat-syarat yang wajib dipenuhi pada hadith shahih yang boleh dijadikan hujah
3) Perbezaan tentang beberapa qawaid Ushuliyyah
4) Khilaf tentang Qiraat dalam al-Quran al-Karim
5) Khilaf disebarkan percanggahan dalili-dalil
Pada tahun 2012, saya menghadiri Seminar Pengurusan Harta dalam Islam.
Jika berminat membaca perkongsian saya ketika menghadiri seminar tersebut DI SINI dan DI SINI.
Di dalam seminar ini, saya dimaklumkan oleh Prof Madya Dr, Mohamad Akram Laldin bahawa keseluruhan dana ASB tidak cukup jika diletakkan di Bank Islam sahaja. 
Ini kerana dana ASB besar. 
Oleh yang demikian, mereka terpaksa meletakkannya di Maybank. 
Sedangkan di Maybank, ada percampuran perbankan islam dan konvensional. 
Maka di situlah punca ada ulamak kata percampuran ini tidak boleh dielakkan dalam keadaan masa kini dan memfatwakan ASB sebagai harus atau tidak haram. Tapi ada ulamak tidak menerimanya.
Fatwa yang mengharuskan atau tidak mengharamkannya memandang dari sudut maslahat, umum balwa dan percampuran unsur tidak patuh syariah yang kecil.
mereka melihat dari sudut makro.
Fatwa yang mengahramkannya pula melihat dari sudut mikro.
Saya difahamkan, wang ASB TIDAK dilaburkan dalam kegiatan perjudian, arak atau aktiviti tidak patuh syariah. Hanya isu di mana dana disimpan yang menjadi punca percanggahan.

Apa yang patut kita lakukan apabila khilaf ini berlaku?

Sebagai orang islam, wajib kita mematuhi adab kepada khilaf, iaitu:

1. Setiap orang mesti membersihkan dirinya daripada sebarang sentiment ta’asub mazahab secara buta tuli kerana mazhab bukanlah sebagai faktor memecah-belahkan Islam.

2. Kita menghormati dan beradab dengan mereka serta kita percaya bahawa mereka akan diberi pahala sama ada betul atau pun salah, seterusnya kita berdoa untuk kebaikan mereka.

3. Kita tidak harus memaksa orang lain untuk menerima pandangan kita dalam masalah khilafiyyah.

3. Kita mesti beradab dengan ulama yang berbeza pandangan dengan kita.

4. Jangan menuduh orang yang mengamalkan amalam yang kita tidak sependapat dengannya sebagai sesat, pembuat bid’ah, khurafat dan sebagainya kerana masing-masing ada hujah dan alasan yang perlu kita hormati.

5. Kita jangan terpengaruh dengan pendekatan sebahagian anak muda yang berlagak alim besar menghentam ulama-ulama silam yang tidak selairan dengannya sambil menyeru masyarakat menentang amalan-amalan yang sudah mantap dalam masyarakat sedangkan amalan itu adalah merupakan khilaf yang lama.
Pilihan dan Hormat
Saya hanya mengongsi dapatan dari kajian saya dan rakan-rakan saya.
Saya tidak bermaksud menggalakkan atau menegah anda dari membuat pelaburan di ASB.
Terpulang kepada anda untuk berpegang pada fatwa yang mana.
Kerana semua fatwa bukan dibuat dengan sambil lewa. 
Ulamak telah menggunakan pendekatan paling terperinci di dalam mengijtihad hukum ini.
Yang paling penting, pulang kepada adab terhadap khilaf ini.
Hormat pandangan ulamak tersebut, hormat pengikut pandangan ulamak tersebut dan jangan memaksa orang lain menerima pandangan kita pada perkara yang ada khilaf ini.
terima kasih kepada Leeya, Atie dan Herni yang merupakan ahli kumpulan saya bagi tugasan ini. Kredit kepada mereka juga.
Wallahu a'lam


Perbincangan Hukum Pelaburan ASB
: Versi Kemaskini 
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Hukum Pelaburan Amanah Saham Bumiputra telah diperdebatkan sejak sekian lama dan ia juga mendapat respond berbeza dari majlis Fatwa negeri-negeri di Malaysia.
ASB?

Apa yang akan saya nyatakan di sini adalah semata-mata pandangan peribadi dan ia bukannya fatwa dan hukum yang putus bagi orang ramai. Ia merupakan satu pandangan yang dilihat dari sudut akademik dan fakta yang ada disekeliling kita.
1)  Pandangan Yang Mengharuskan
Antara yang mengharuskan adalah Majlis Fatwa Perak, Majlis Fatwa Sarawak dan beberapa tokoh akademik.
Teks keputusan fatwa Perak berbunyi [1] :-
Untuk makluman tuan mesyuarat jawatankuaa syariah perak yang berlangsung pada 1 Ogos 1992, membuat keputusan berdasarkan pendapat terbanyak serta dengan alasan-alasan syarak yang dikemukakan adalah seperti berikut :
"Bermuamalah dengan skim ASN dan ASB adalah harus dan segala keuntungannya berupa dividen atau bonus hukumnya HALAL".
Antara alasan-alasan yang dikemukakan ialah :
1. Penglibatan umat Islam dengan skim ASN dan ASB yang ditaja oleh kerajaan begi membiak, mengembang dan meningkat ekonomi orang Islam di Negara ini yang bermuamalah atas jalan ‘Qirad. Apabila didapati pelaburannya kepada yang halal lebih banyak daripada yang haram hukumnya adalah HARUS sepertimana nas yang terdapat didalam kitab.
a-      Ihya Ulumiddin
b-      Al-Fawaid al-Janiah Fi Al-Ashbah Wa An-Nazair ‘Ala Mazhab  As-Syafie
2. Kedudukan ekonomi anak bumi khasnya umat Islam di negara ini dalam keadaan tenat dan sampai ke tahap darurat. Darurat yang dimaksudkan itu ialah dilihat dari aspek. ekonomi umat secara berkelompok bukan dari sudut individu.
Teks fatwa Negeri Sarawak pula berbunyi [2] :-
Ahli mesyuarat bersependapat bahawa bermuamalah dengan skim ASN adalah harus dan hasil yang diperolehi daripadanya (dividen atau bonus) adalah halal. Amanah Bumiputra ASB pelaksanaannya sama seperti ASN yang dahulu (sebelum diurusniaga di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) bahkan ia adalah kesinambungan kepada ASN bermuamalah atau melabur saham kepada ASB adalah juga harus dan hasil keuntungan daripadanya adalah halal. Tidak harus bagi seseorang itu meminjam wang secara berfaedah yang bertujuan untuk membolehnya membeli saham (ASB & ASN)
1.        Fatwa Yang Mengharamkan
Antara fatwa yang mengharamkan adalah Majlis Fatwa Selangor. Teks mereka adalah seperti berikut [3] :-
1. Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti dan panjang lebar dan mengambil keputusan seperti berikut :

1.1. Zakat Daripada Wang Bonus Dan Dividen ASB
Keputusannya :
" Wang bonus dan dividen yang diterima daripada hasil pelaburan ASB adalah tidak diwajibkan zakat kerana pelaburan bercanggah dengan hukum syara' "

1.2. Bolehkah wang digunakan pergi menunaikan Haji ke Tanah Suci Mekah
Keputusannya


" Ahli Jawatankuasa yang hadir bersetuju memberi pandangan bahawa oleh kerana pelaburan ASB pada masa ini, terdapat pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syara', maka ia tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dan tempat-tempat tersebut.

Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara'(Fatwa) yang hadir bersetuju memberi pandangan bahawa. oleh kerana pelaburan ASB pada masa ini terdapat pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syara'. maka ia tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dari tempat-tempat tersebut.

Demikianlah dua aliran pendapat dan fatwa berkenaan Amanh Saham Bumiputra, namun dengan hormat kepada kesemua badan fatwa, secara ringkasnya, saya menyokong pendapat yang mengharamkan di atas asas berikut :-

1) Aqad Pelaburannya Tidak Jelas
Aqad pelaburannya tidak jelas dan tidak jelas samda menuruti ‘Qirad' atau ‘Mudarabah' atau Musharakah. Jika ia menggunakan mudarabah sebagai yang didakwa oleh Majlis Fatwa Perak pelaburan ini disyaratkan menentukan kadar nisbah pembahagian keuntungan seperti 80 : 20 dan sebagainya di awal pelaburan. Namun hal ini tiada dinyatakan langsung di dalam pelaburan ASB.
Perlu disedari bahawa jika sesebuah aqad itu tidak sah dari sudut syara' maka seluruh pelaburan adalah batal tanpa mengira pelaburannya diletakkan di dalam industri halal atau haram.


2) Jaminan modal atau ‘capital' juga menyebabkan aqad pelaburannya bermasalah dari sudut Shariah.
Termaktub bahawa capital (modal) pelaburan ASB adalah di jamin oleh PNB. ini bermakna syarat dalam aqad pelaburan ini telah bercanggah dengan syarat pelaburan Mudarabah dalam Islam yang tidak membenarkan pengusaha ‘Mudarib" (dalam hal ini adalah PNB) menjamin selamatnya modal para pelabur.

Malah menurut mazhab As-Syafie, aqad pelaburan tadi dikira batal. Modal pelaburan sememangnya tidak boleh dijamin oleh pihak yang menguruskan pelaburan juga difatwa kan oleh Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) atau OIC Islamic Fiqh Academy dalam konvensyen mereka yang kesembilan dimana mereka telah memutuskan bahawa jaminan modal hanya dibenarkan jika ia datang dari pihak ketiga (dalam hal ASB, yang menjamin bukan datang dari pihak ketiga) malah jika ia jaminan dari pihak ketiga sekalipun Majlis Fiqh Dunia bersepakat mensyaratkan ia tidak dimasukkan di dalam kontrak pelaburan. Malangnya, klausa ini dimasukkan di dalam aqad pelaburan ASB yang diwakili oleh borangnya.
Keistimewaan jaminan modal ini adalah tidak sah menurut SELURUH ULAMA EMPAT mazhab juga. Ini kerana dalam konsep Pelaburan Islam yang dikenali sebagai Mudarabah dan Musyarakah, tiada sebarang jaminan dari pengusaha bahawa modalnya terjamin.
Menurut Mazhab Maliki dan Syafie menganggap kiranya terdapat dalam kontrak mana-mana pelaburan mudarabah yang mana pihak pengurus menjamin bahawa modal tidak akan lupus walau apapun keadaan berlaku (samada akibat kelalaian atau tidak), maka aqad atau kontrak itu terBATAL. (Hashiyah Ad-Dusuqi, 5/284 ; Mughni al-Muhtaj, As-Syarbini, 3/419 ).
Manakala menurut Mazhab Hanafi dan Hanbali, syarat seperti ini terbatal dan kontrak adalah sah (Bada' as-Sanai, al-Kasani, 5/115 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 5/313)

Menurut Shariah, hanya dua jenis jaminan modal di izinkan dalam aqad Mudarabah iaitu:-

a- Jaminan modal dikembalikan jika pihak ‘mudarib' ( pengurus pelaburan) mengkhinati mana-mana isi kontrak, kecuaian yang jelas dalam pengurusan dan yang sepertinya.
b-  Jaminan dari pihak ketiga dan bukannya pihak pengurus pelaburan (mudarib)

3) Dana terkumpul dilabur secara bercampur di dalam industri halal dan haram.
Pelaburannya bercampur dengan yang haram lebih daripada 30 peratus. ASB juga TIDAK PERNAH DIBINCANGKAN OLEH Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti DAN OLEH KERANA ITU, ia tidak termasuk di dalam senarai kaunter yang jelas statusnya.
Ia bermasalah dari sudut Shariah kerana menurut statistic tahun 2005, dana ASB telah dilaburkan di beberapa tempat yang haram seperti :-

1- Sebanyak 37.30 % ke sebuah bank konvensional terbesar.
2- Commerce Asset Holdings Berhad (Konvensional) - 1.11 %
3- British American Tobacco berhad 1.07 %
Majlis Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang bertanggung jawab dalam mengenalpasti dan meletakkan fatwa berwibawa untuk menentukan sesebuah kaunter atau dana pelaburan itu halal disertai oleh umat Islam atau tidak, pernah meletakkan kadar 33 peratus industri haram sebagai had larangan melabur dalam syarikat atau pengurus dan bercampur halal haram.
Saya tidak bermaksud Pelaburan ASB telah dibincang dan ditolak oleh Majlis tersebut, tetapi ianya belum lagi iktiraf oleh Majlis Penasihat Shariah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang bertanggung jawab mengesahkan sesuatu pelaburan itu halal atau tidak. Iaitu, ia belum dibincangkan dan tidak pula di ‘table' untuk perbincangan mereka.
Namun, Majlis Penasihat Shariah ini pernah mengeluarkan keputusan garis panduan atau ukur rujuk berkenaan pelaburan dalam syarikat (secara beli sahamnya atau lainnya) yang mana perniagaannya bercampur seperti berikut ( agak panjang dan saya terpaksa menyertakan yang berkaitan sahaja):
 " The SAC (Shariah Advisory Council) at its second meeting on 21st August 1996, discussed the status of companies running a mix of permissible and prohibited activities. The SAC resolved that such companies with some prohibited elements which do not exceed the benchmark determined by SAC. ..............
..... iii. The core activiies of the company have importance and maslahah ( benefit in general) to the Muslim ummah and the country, and the haram element is very small and involves matters such as 'umum balwa ( common plight ), 'urf and the right of the non-muslim community which are accepted by Islam..
Based on the Prophet SAW word 1/3 or 33.33 % "is enough" and can be used as a guideline for the basis of formulating a benchmark. The question is whether this benchmark is suitable to be used for mixed companies, because it relates to the bequest of property and giving of alms. Even so, it cannot be denied that it can be used as a benchmark to set the upper limit of a mixture because an amount exceeding the percentage will be considered excessive"
Justeru, jika kita melihat jumlah peratusan pel;aburan ASB di bank konvensional iaitu 37 peratus, ia telah melebihi ‘benchmark' 1/3 yang ditetapkan badan berwibawa ini.
Hakikatnya, masih banyak lagi kaunter atau syarikat yang halal untuk dilabur oleh dana ASB walaupun mungkin tidak mampu memberikan keuntungan setinggi bank konvensional ini, yang terpenting biar halal walaupun sedikit, daripada banyak tapi haram

Ada sesetengah pihak berkata ianya dibenarkan di atas dasar maslahat kerajaan untuk beri kekuataan ekonomi dan sebahagian kekayaan negara kepada bumiputra secara mudah.
Namun bagi saya ia ternyata hujjah yang longgar. Ini kerana maslahat yang dicanagkan adalah merupakan kepentingan yang boleh diperolehi dengan cara halal. Masih banyak tempat yang halal untuk dilaburkan.
Imam Abu Ishak As-Syatibi (790 H), pakar ilmu maqasid Islam silam meletakkan panduan dan syarat berikut jika ingin mendakwa sesuatu itu sebagai maslahat:-

1-   Mestilah tidak hanya memandang maslahat duniawi sahaja, bahkan mesti meneliti maslahat ukhrawi juga.
2-   Maslahat hanya diterima pakai dalam hal kebaikan untuk Deenul Islam.
3-   Maslahat untuk menjaga hak ramai didahulukan dari menjaga hak sekelompok.
4-   Maslahat mestilah bersandarkan dalil-dalil yang jelas.
Justeru amat jelas tiada maslahah dalam menggunakan suatu kontrak dan kaunter pelaburan yang haram, sedangkan ianya boleh menggunakan kontrak Islam Mudarabah, dan boleh memilih kanter halal sahaja, seperti yang di lakukan oleh Public Ittikal, Unit Trust Islam, pelaburan GIPPS oleh RHB Asset Management dan banyak lagi. Ia juga memberi pulangan yang boleh tahan, dan yang lebih penting ianya HALAL.
Ini bukanlah fatwa tetapi hanya pendapat peribadi atas kajian peribadi, bagi sesiapa yang menyakini fatwa yang mengharuskan, ia terpulang kepada anda, dan bagi sesiapa yang menyakini fatwa Selangor dan tulisan ini, anda juga bebas.

PINJAM DUIT DARI BANK UNTUK SERTAI ASB
Walaupun isu di atas masih diperdebatkan oleh mereka yang berkenaan, namun jika anda meminjam dari Bank Konvensional untuk tujuan menyertai pelaburan ASB, ia telah disepakati haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan semua mufti-mufti Malaysia. Ini kerana pinjaman wang dari bank konvensional tersebut adalah riba. Tatkala itu, isu ASB tidak perlu diambil kira lagi kerana asal cara dapat duit untuk melabur itu pun sudah haram.
Sekian, Wassalam



[1] http://mufti.perak.gov.my/kemusykilan/asn.pdf
[2] http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=952
[3] http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_search_result.asp?keyID=1155


 

Tiada ulasan: