Aktivis NGO Badrul Hisham Shaharin disaman ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok bagi menjawab pertuduhan terhadapnya bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 ekoran penganjuran perhimpunan mempertikaikan keputusan pilihan raya Black 505 di Petaling Jaya pada 25 Mei lalu.

Pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu dituduh kerana gagal memaklumkan kepada pihak polis sepuluh hari lebih awal, seperti disyaratkan dalam akta itu.

Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard dituduh bawah Seksyen 9 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000.
DAP: Politikkan pelaburan, Utusan main api
11:53AM Jun 4 2013
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng nampaknya tiada mood untuk mengulas tindakan mengaitkan DAP dengan kumpulan tentera siber misteri "Red Bean Army".

"Tanya soalan itu esok (hari ini)," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Komtar semalam.

Beliau bagaimanapun menyelar Utusan Malaysia yang didakwa "mempolitikkan pelaburan" apabila cuba mengaitkan Ketua Eksekutif Phison Electronics Corporation Pua Khein Seng - yang popular dengan gelaran father of the Pendrive - dengan usaha membentuk pasukan itu.

"Utusan bermain permainan yang bahaya, bermain dengan api. Selepas DAP, mereka kini mengkritik pelabur, mereka tidak patut politikkan pelaburan," kata Lim.

Beliau mengulas laporan harian milik Umno itu pada Sabtu bertajuk "Penglibatan syarikat elektronik Taiwan disiasat".
Rampasan: Edaran Harakah turun 17,000 naskhah

Pengedaran akhbar dua minggu sekali PAS Harakah turun kira-kira 17,000 naskhah ekoran rampasan oleh Menteri Dalam Negeri, sekali gus menyebabkan kerugian kira-kira RM25,000, kata ketua pengarangnya Lutfi Othman.

djz convention 101205 ahmad lutfiBercakap kepada Malaysiakini, Lufti berkata, pengedarannya mulai turun sejak minggu lalu dan belum diambil oleh penjual dan pengedar yang takut mengambil risiko menjual penerbitan popular parti Islam itu.

"Bukan hanya merampas Harakah, pegawai Kementerian Dalam negeri juga memberitahu penjual, jika Harakah ditemui di premis mereka lagi, mereka akan didakwa di mahkamah.

"Terdapat penjual yang hanya menjual kira-kira 10 naskhah dan hanya mendapat untung 20sen senaskhah. Jika mereka didakwa di mahkamah, mereka boleh didenda antara RM4,000 hingga RM5,000. Mereka tidak akan ambil risiko itu," katanya.
Himpunan 15 Jun ini boleh diteruskan jika...

Himpunan Blackout 505 di Kuala Lumpur pada 15 Jun ini boleh diteruskan jika Akta Perhimpunan Aman 2012 dipatuhi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sekiranya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengadakannya di kawasan yang ditetapkan dalam akta tersebut, maka polis akan membenarkannya.

Ahmad Zahid menjawab berhubung himpunan yang dirancang itu walaupun Yang di-Pertuan Agong bertitah agar semua pihak menerima keputusan pilihan raya umum yang lalu.

Semalam Anwar berkata keputusan sama ada himpunan itu akan dibuat di dalam stadium atau di jalan raya masih belum diputuskan.

Akta Perhimpunan Aman 2012 memperuntukkan supaya pihak berkuasa perlu diberikan notis sepuluh hari sebelum sebarang himpunan diadakan manakala kebenaran bertulis perlu diperolehi daripada pemilik tapak himpunan.