Ahad, 16 Jun 2013

JADIKAN KITA SENTIASA MENDAPAT@DIBERIKAN SAKINAH DARI ALLAH SWT

Husam angkat sumpah pada sidang Belanjawan

Salmah Mat Husain, 15 Jun 2013
KOTA BHARU: Datuk Husam Musa, berkata beliau dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Adun Salor pada sidang Dun Belanjawan yang bakal diadakan Oktober nanti.


Ini kerana, katanya beliau memohon cuti untuk tidak menghadiri persidangan Dun Kelantan sejak 22 Mei lalu kerana berada di luar negara.

Katanya, program luar negara diatur lebih awal sebelum mendapat notis sidang Dun.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung percutiannya sepanjang tempoh persidangan Dun Kelantan yang bermula 13 Jun lalu.

Semua ahli dewan yang memenangi PRU13 lalu telah mengangkat sumpah jawatan masing-masing, kecuali tiga ahli dewan yang memohon surat percutian mereka.

Selain Husam, Datuk Che Abdullah Md Nawi (PAS-Wakaf Bharu) dan Datuk Seri Mustapha Mohamed (BN-Ayer Lanas) juga memohon cuti dan surat percutian mereka diluluskan dalam sidang Dun Khamis lalu.

Ketika menghubunginya melalui sistem pesanan ringkas (SMS), Husam memberitahu, pada 26 Mei hingga 9 Jun beliau menunaikan umrah.

“Kemudian saya dijadualkan ada beberapa atur cara rasmi di luar negara bermula 13 hingga 20 Jun ini.

“Kini saya berada di Amman dan juga sedang meninjau perkembangan Syria di sampingmemikirkan kaedah mana yang boleh dihulurkan bantuan untuk mereka,” ujarnya.

Menurut Husam, pada asalnya beliau perlu menghadiri program pembentangan sistem pembayaran elektronik antarabangsa e-dinar.

Bagaimanapun, tambahnya atas nasihat ia terpaksa ditangguhkan kerana ada pertempuran baru di Bengazi.

Husam menambah, beliau juga dijangka akan ke Kurdistan, Iraq bulan Ramadan ini.

Peserta Perak, Pahang johan tilawah al-Quran

Muhammad Yusri Amin, 15 Jun 2013


KOTA BHARU: Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia yang mrwakili negeri Perak, Anuar Hasin diumumkan johan qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-56 malam tadi, manakala Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Hanimzah Jalaluddin (Pahang) johan bahagian qariah.

Naib johan qari dimenangi guru, Amirahman Abas (Negeri Sembilan), manakala qariah pula dimenangi Pegawai Perancang Bandar dan Desa, Nor Azrah Ayub (Johor).

Tempat ketiga bahagian qari dimenangi pensyarah Institut Al-Quran Terengganu, Mohd Hafas Ali dan qariah pula, pensyarah Kolej Matrukulasi Kedah, Marzian Md Deli.

Pengerusi Jemaah Hakim Datuk Othman Mustapha ketika mengumumkan keputusan tilawah itu berkata johan qari dan qariah masing-masing menerima wang tunai RM15,000, menunaikan fardhu haji, piala iringan cenderamata dan sijil penyertaan serta piala pusingan.

Mereka juga menerima kereta Proton Preve tajaan Lembaga Tabung Haji. (Gambar atas)

Naib Johan qari dan qariah pula menerima wang tunai RM10,000, menunaikan fardhu haji, piala iringan cenderamata dan sijil penyertaan.

Sementara pemenang tempat ketiga qari dan qariah masing-masing menerima wang tunai RM7,500, menunaikan fardhu haji, piala iringan cenderamata dan sijil penyertaan.

Penyampaian hadiah kepada pemenang dan peserta disempurnakan Sultan Muhammad  V di Balai Islam, Lundang dekat sini.

Turut berangkat Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhamamd Fa-Iz  Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom,  Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Turut hadir Speaker Dewan Negeri Kelantan Abdullah Yakob, pemimpin negeri dan Persekutuan serta para kenamaan.

Anak mahu Exco Felda Pahang lunas janji PRU

Khairil Abdul Rahim, 14 Jun 2013
TEMERLOH: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menghargai pelantikan Exco Hal Ehwal Felda Pahang dari kalangan peneroka sendiri iaitu Datuk Abu Bakar Harun, namun mahukan janji-janji pilihan raya dilunaskan.
Timbalan Presiden Anak, Aris Fezul Ismail (gambar) berkata, pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu warga Felda telah memberikan amanah dan mandat yang besar kepada BN, justeru Abu Bakar wajar membalas balik dengan melunaskan setiap janji.

Tambahnya, ketika kempen PRU lalu telah diletakkan papan tanda aku janji BN di seluruh kawasan Felda iaitu janji untuk membina perumahan bagi generasi kedua dan ketiga Felda.

“Masalah perumahan bagi generasi kedua dan ketiga Felda memang kritikal bagi yang tidak bertanah sehingga banyak berlaku warga Felda tinggal sebumbung sehingga tiga generasi walau sudah beranak pinak.

“Selain daripada itu peneroka-peneroka Felda juga diselubungi banyak masalah seperti hutang tanam semula yang mencecah ratusan ribu, hak milik, masalah dengan Felda Technoplant, masalah pewarisan tanah mengikut faraid, gadaian, perebutan pesaka dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya, timbunan permasalahan yang tidah pernah selesai itulah yang diharap dapat diselesaikan oleh Abu Bakar.

Abu Bakar pada PRU lalu memenangi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chini mengalahkan calon PKR, Sitarusinah Ab Kadir dengan majoriti 4,524 undi.

Peneroka Felda Chini 3 itu mengangkat sumpah sebagai Exco minggu lalu setelah menang untuk penggal ketiga sejak PRU 2004.

Inilah kali kedua seorang peneroka dilantik sebagai Exco selepas kali pertama Datuk Zainal Hasan (Adun Jengka) selepas PRU 1995.

“Kita harap pelantikan Abu bakar bukan sekadar untuk memenuhi kuota Exco atau mengambil hati peneroka semata-mata selepas warga Felda memberi undi besar kepada BN.

“Apa yang lebih penting ialah pelaksanaan kepada janji-janji juga penyelesaian kepada timbunan masalah peneroka yang terbengkalai sejak sekian lama,” kata Aris.

Menurutnya, selama ini peneroka hanya dihiburkan dengan pelbagai ‘durian runtuh’ daripada Felda namun hakikatnya kehidupan peneroka kian terhimpit terutama pada musim harga komoditi yang terus menjunam pada masa ini.

Dalam PRU yang lalu, peneroka Felda d Pahang memberikan undi paling besar dalam sejarah kepada BN. Kecuali Triang, semua Dun yang ada Felda dimenangi BN dengan jumlah undi meningkat berbanding PRU 2008.

Pahang merupakan penempatan Felda paling besar iaitu 43% daripada keseluruhan kawasan, keluasannya sebesar negeri Kedah.

“Peneroka-peneroka Felda bukannya semua senang. Sebab itu kita harap Abu Bakar berani berhadapan dengan kuasa besar dalam Felda dan kerajaan pusat bagi menuntut dan menangani isu-isu tertangguh peneroka,” kata Aris.

Tambahnya, jika berjaya barulah berbaloi undi besar yang diberikan peneroka kepada BN.

Suruhanjaya Persempadanan dicadang ganti kuasa SPR

Harakahdaily, 14 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya pilihan raya Malaysia (SPR) dianggap tidak layak untuk mengendalikan persempadanan semula kawasan pilihan kerana ekoran rekod buruknya dalam pilihan raya lalu.

Sehubungan itu, kajian badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mencadangkan agar Suruhanjaya Persempadanan ditubuhkan bagi menjalankan tugas ini sebagaimana yang dibuat dibeberapa negara.

"Suruhanjaya Perwakilan yang diadakan di New Zealand, khususnya, boleh dijadikan sebagai rujukan bagi mengadakan sebuah badan yang berkebolehan dalam menyemak semula dan menggariskan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya yang saksama, sebagai langkah pertama merealisasikan prinsip satu orang satu undi yang sama nilai yang ideal dalam sistem pilihan raya yang demokrasi," cadang KPRU dalam kenyataannya.

Di bawah perkara 113 Perlembagaan Malaysia, pilihan raya di Malaysia adalah diuruskan oleh satu badan khas yang telah dilantik oleh Yang Dipertuan Agong dan badan ini dinamakan Suruhanjaya pilihan raya Malaysia (SPR).

Antara tugas SPR termasuklah menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri dan pilihan raya kecil, serta menyediakan daftar pemilih dan menjalankan urusan pendaftaran dan penyemakan daftar pemilih.

SPR juga bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan kawasan pilihan raya dengan melibatkan bidang kuasa pentadbiran pejabat tanah dan daerah dan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Namun, ekoran pelbagai pendedahan insiden penipuan dan ketidakadilan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei lalu yang baru tutup tirainya, kajian badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendapati bahawa SPR tidak sesuai bagi mengendalikan urusan.

"Ini ekoran ketidakupayaan SPR dalam menunaikan amanahnya bagi memastikan pilihan raya dijalankan secara bersih, bebas dan adil," kata kenyataan itu.

Sebuah badan yang neutral lagi bebas daripada pengaruh badan eksekutif terutamanya, harus ditubuhkan bagi mengendali urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya, seperti Suruhanjaya Persempadanan yang ditubuhkan di kebanyakan negara, kata kenyataan itu.

Dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, sebanyak enam kali proses persempadanan telah dilakukan, masing-masing pada tahun 1958, 1966, 1974, 1983, 1992, dan 2003.

Proses persempadanan berkait rapat dengan konsep “gerrymandering” yang merujuk kepada tindakan memanipulasi atau tindakan secara sengaja menyusun atau mengatur semula kawasan-kawasan pentadbiran bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya dengan mengurangkan undi parti oposisi.

Gerrymandering merupakan antara isu yang paling kronik dihadapi oleh sistem pilihan raya dan demokrasi dalam negara ini, kata KPRU.

Mengapakah persempadanan kawasan pilihan raya sentiasa menjadi suatu isu penting dalam sistem pilihan raya?

Jawapannya mudah sekali: persempadanan merupakan cara langsung bagi memanipulasi keputusan pilihan raya.

"Dengan kata lain, ia memberi ruang kepada “permainan kotor” dalam sistem pilihan raya yang dianggap adil dan bebas," kata KPRU.

Dalam sebuah sistem pilihan raya demokratik yang ideal, setiap orang pengundi berpeluang membuang undi yang sama nilai dan kepentingannya – prinsip satu orang satu undi yang sama nilai.

Undi yang diperolehi seharusnya secara langsung selaras dengan kerusi yang dimenangi dalam parlimen (Dewan Rakyat).

Di Australia, kaedah yang digunakan bagi menentukan bilangan kerusi yang harus diberikan kepada negeri masing-masing adalah seperti yang dinyatakan dalam seksyen 24 Perlembagaan dan seksyen 48 Akta Pilihan Raya Komanwel 1918.

Pada minggu ke-13 selepas persidangan Dewan Perwakilan penggal pertama, SPR Australia dikehendaki mengenalpastikan populasi di Australia, dan angka tersebut kemudiannya akan digunapakaikan bagi menentukan bilangan Ahli Parlimen bagi setiap negeri masing-masing.

Pertama sekali, kuota perlu dikenalpastikan melalui membahagikan jumlah populasi dalam negara dengan dua kali bilangan senator untuk semua negeri.

Kemudian, jumlah populasi dalam negeri masing-masing dibahagi dengan kuota bagi menentukan bilangan wakil rakyat yang harus diperuntukkan untuk setiap negeri.

Malaysia merupakan antara negara di mana persempadanan diuruskan oleh SPR.

Di sesetengah negara, SPR adalah bebas daripada pengaruh dan campur tangan daripada badan eksekutif dan perundangan.

Ia berlaku di Lithuania, Mexico, dan Poland, lantas dapat menunaikan amanahnya secara adil dan saksama.


Namun, situasi di Kenya, Nigeria, Tanzania dan Malaysia pula di sebaliknya, kata kenyataan itu.

Abby, Norman dan Memey bersiar bersama anak

http://omakkau.blogspot.com, 15 Jun 2013

RAKAMAN GAMBAR ABBY ABADI, NORMAN HAKIM DAN MEMEY BERSIAR BERSAMA-SAMA DENGAN ANAK-ANAK MEREKA, MENJADI PERBUALAN DI INTERNET!!!!

Dulu bukan main kecoh kisah rumah tangga Abby Abdi dengan Norman Hakim..Pelbagai cerita kurang enak didengar...Kini mereka berdua bersama-sama dengan isteri Norman terkini, Memey dan anak-anak mereka boleh bersiar-siar dengan penuh mesra sekali.

Semoga suasana keharmornian sebegini kekal abadi.

Tilawah Al-Quran: Sekalung tahniah buat Kelantan

Syed Abdullah Jamalullail,

Johan qari dan qariah beserta hadiah Proton Preve sumbangan Tabung Haji.

Tahniah kepada semua pemenang Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-56 yang telah diadakan di Dewan Kompleks Balai Islam Darulnaim,Lundang, Kota Bharu yang berakhir malam tadi.

Hadiah yang menarik terutama sekali dapat menunaikan haji dan hadiah pertama pula mendapat kereta Proton Preve yang disumbangkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji (TH) kerana meraikan sambutan tahun ke-50 Tabung Haji ditubuhkan.

Diharap pihak TH menjadikan hadiah kereta ini sebagai hadiah kekal tahunan kepada johan tilawah di masa-masa akan datang juga.

Tahniah dan syabas juga kepada Kerajaan Negeri Kelantan Darulnaim sebagai tuan rumah kali ini yang telah berjaya mengadakan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-56 dengan begitu baik sekali.

Nampak keseriannya kerana berduyun-duyun umat Islam terutama sekali rakyat Kelantan memenuhi setiap ruang Balai Islam hingga melimpah ruah ke ruangan pekarangan luar balai tersebut.

Ini menunjukkan bahawa apa juga aktiviti yang membabitkan agama rakyat Kelantan begitu komited di atas dasar sayangkan agama hingga ada yang sanggup berdiri disebabkan tiada lagi ruang kerusi untuk duduk.

Negeri-negeri lain hendaklah ambil contoh dari segi persediaan dan program yang disediakan oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan kerana bukan sahaja sambutan yang luar biasa dari rakyatnya tetapi juga dari segi persembahan seperti kumpulan nasyidnya tidak mempamerkan kumpulan 'penyanyi' wanita untuk mendendangkan alunan nasyid mereka dan ianya sudah tentu mengikut garis panduan yang dibenarkan dalam agama kita.

Junjung kasih juga kepada Ke bawah Duli Sultan Kelantan dan Tengku Mahkota yang sudi mencemar duli untuk bersama rakyat dimalam penyampaian hadiah dan penyampaian titah Duli Tuanku agar seluruh umat Islam supaya bersatu padu amat menyentuhkan perasaan kami sebagai rakyat yang sentiasa taat setia kepada Rajanya.

Wahai hakim, jadilah yang seorang itu

Akmal Musa,
Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional telahpun menghantar petisyen masing-masing bagi membantah beberapa keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu. Peringkat seterusnya ialah menunggu keputusan mahkamah sama ada petisyen itu berjaya atau gagal.

Apabila menyebut mahkamah, suka saya menzahirkan sebuah hadis yangn bermaksud;

“Hakim ada tiga; dua di antara mereka masuk neraka, sedangkan satu diantara mereka masuk syurga. iaitu seorang lelaki yang mengetahui Al Haq, lalu ia memutuskan perkara dengannya ( al haq), maka ia masuk syurga. Adapun lelaki yang mengetahui al-Haq, tapi ia tidak memutuskan perkara dengannya, maka ia masuk neraka. Sedangkan seseorang yang tidak mengetahui al haq lalu ia memutuskan perkara manusia dengan kebodohannya maka ia juga masuk neraka.” (Riwayat Abu Dawud, At-Thawawi).

Rupa-rupanya tanggungjawab seorang hakim itu maha berat sehingga diingatkan sedemikian rupa. Maklum sajalah, keputusan mereka ini menentukan hidup dan mati seseorang, menentukan hidup dan mati sebuah kerajaan. Jika hakim membuat keputusan dengan membelakangkan profesionalisme, maka natijah yang menanti di akhirat nanti sangat besar.

Namun, sebagai rakyat Malaysia yang menghormati kedaulatan undang-undang, saya percaya para hakim kita menolak mana-mana campur politik dalam setiap keputusannya khususnya dalam kes petisyen pilihan raya yang lalu. Saya percaya mereka akan membuat keputusan secara profesional.

Sebagai rakyat yang mendambakan keadilan, kami menerima dengan hati yang terbuka apa-apa keputusan yang diputuskan asalkan perbicaraannya berlangsung dengan adil.

Lebih 1,000 sertai bantahan di kedutaan Syria

Anis Nazri, Foto: Nasir Sudin, 14 Jun 2013


KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 umat Islam hari ini berarak dan berhimpun di hadapan kedutaan Syria, Kuala Lumpur bagi membantah kekejaman tentera regim Bashar Assad terhadap rakyat negara itu.

Bantahan anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia itu turut disertai wakil NGO Islam serta hak asasi manusia yang turut sama membantah kekejaman berterusan di negara bergolak itu.

Antaranya, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), NGO Muslim Care serta Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis).

Mengetuai bantahan itu Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasrudin Hassan, Timbalannya Nik Mohd Abduh Nik Aziz, Ketua Penerangan Pemuda Riduan Mohd Nor dan pimpinan serta exco dewan itu yang lain.

Sebelum itu, mereka berarak hampir dua kilometer dari Masjid Tabung Haji menuju ke bangunan kedutaan sejurus selesai solat Jumaat bagi menunjukkan solidariti kepada rakyat Syria..

Biarpun cuaca ada ketikanya panas, para peserta himpunan aman itu tidak berganjak sementara menunggu enam wakil selesai menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan Syria.

Malah, turut kelihatan menyertai himpunan solidariti itu juga bukan hanya di kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga beberapa rakyat Syria ada ketikanya mendominasi perhimpunan dengan slogan perjuangan mereka.

Sementara itu, pada sidang media yang diadakan sejurus selesai urusan penyerahan memorandum, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan berkata kesal dengan tindakan kedutaan Syria yang enggan menerima memorandum yang diserahkan mereka.

Malah, delegasi mereka juga tidak dibenarkan masuk.

"Memorandum ini antara lainnya membantah kekejaman yang dilakukan kerajaan Syria terhadap penduduknya hampir tiga tahun.  Kita juga tidak mendapat satu sumber maklumat yang jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku di Syria. Malangnya, kita tidak dapat bertemu pada hari ini untuk emndapatkan gambaran sebenar.

"Tapi apa yang penting, banyak campur tangan dari kerajaan luar yang menyebabkan rakyat makin tertindas dan akhirnya menjadi pelarian. Justeru, kerajaan Syria perlu menolak campur tangan asing yang tidak membantu ke arah pendamain dan keamanan negara itu," tegas beliau.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Rahman, berkata tindakan kedutaan Syria yang enggan menerima memorandum bantahan itu menunjukkan sikap tidak demokratik negara itu dalam menangani isu sensitiviti semua pihak membabitkan rakyatnya sendiri.

Katanya, ia berbeza dengan sikap yang ditunjukkan kedutaan Turki di Malaysia yang turut menerima memorandum daripada delegasi berhubung pembinaan Taman Gezi, di Istanbul yang mewujudkan konflik di kalangan rakyat yang menyebabkan ribuan rakyat mengadakan protes ke jalan raya.

Tegas Amidi, berdasarkan pertemuan dengan wakil Turki tadi, delegasi itu dimaklumkan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, bertindak menemui para demonstran dan kemudiannya memulangkan isu taman tersebut ke mahkamah bagi memutuskan sama ada taman itu boleh dibina atau sebaliknya.

"Kami memuji sikap Perdana Menteri Turki yang sanggup turun berbincang dengan demonstran, bukan hanya mengadakan pembantaian semata-mata.  Sayangnya, ia tidak berlaku di kedutaan Syria yang bukan sahaja tidak mahu menerima memorandum kami, tetapi tidak membenarkan kami masuk ke kedutaan," tegas beliau.

Sementara itu, peserta himpunan bersurai kira-kira jam 3.35 petang tadi dengan suasana aman.

Tiada ulasan: