Selasa, 25 Jun 2013

LEMAHNYA IMAN...TIADA KUASA...GERUNNYA PADA MANUSIA

Kerjasama dengan bukan Islam dalam pemerintahan

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 25 Jun 2013
Soalan;
Saya ingin bertanya tentang hukum bekerjasama dengan orang bukan Islam dalam pemerintahan dan pentadbiran negara.

Jawapan;

1. Berkerjasama dengan orang bukan Islam untuk mencapai perkara yang menjadi maslahah bersama sesama manusia (kesejahteraan hidup duniawi, keadilan, membenteras kezaliman, penyelewengan, rasuah, menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik dan sebagainya) tanpa melanggar mana-mana hukum-hakam Syariat, hukumnya adalah harus. Dalam al-Quran, Allah menjelaskan bahawa Nabi Muhammad diutuskan sebagai rahmat untuk sekelian alam.

"Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam." (Surah al-Anbia : ayat 107)


Terdapat juga di dalam al-Quran ayat yang menegaskan tidak dilarang orang Islam untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang bukan Islam yang baik yang tidak memusuhi kaum muslimin sekalipun pada zahirnya sahaja.

"Allah tidak menegah kamu dari berbuat baik dan berlaku adil (kepada orang-orang bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengusir kamu dari tanah air kamu. Allah mengasihi orang-orang yang berlalu adil." (Surah al-Mumtahanah : ayat 8)
2. Dari segi praktik pula, Nabi Muhammad -sallalalhu 'alaihi wasallam- telah mengadakan perjanjian Madinah (Sahifah Madinah/Piagam Madinah) yang membabitkan bukan sahaja golongan Islam tetapi juga kabilah Yahudi di Madinah. Jika berpakat dengan orang bukan Islam haram secara mutlaknya, nescaya Nabi tidak akan mengadakan perjanjian dengan mereka. Adapun ada kabilah Yahudi yang diusir dari Madinah oleh Nabi. Hal itu kerana mereka melanggar perjanjian dengan Nabi dan mengkhianati baginda. Jika mereka terus setia dengan Nabi, nescaya mereka akan terus hidup aman damai di Madinah sebagai Ahlul-Zimmah.

Rasulullah pernah memberitahu para sahabatnya bahawa beliau pernah menyaksikan persepakatan yang dibuat oleh beberapa pemimpin Quraisy di Makkah sebelum baginda dilantik menjadi Rasul (iaitu persepakatan yang dipanggil Halful-Fudhul. Ketika itu usia Nabi 25 tahun). Persepakatan itu mereka meterai bersama untuk mempertahankan sesiapa yang dizalimi di Makkah atau dirampas haknya. Nabi berkata; "Jika aku diajak untuk turut sama menyertai persepakatan serupa, nescaya aku akan menyertainya. Ia lebih aku suka daripada unta merah." (al-Ahkam al-Sultaniyah, Imam al-Mawardi). Perhatikan, bagaimana Rasulullah berhasrat menyertai persepakatan yang baginda sendiri tahu bahawa mereka yang terlibat semuanya bukan Islam. Namun oleh sebab isi persepakatan itu sama dengan apa yang dituntut oleh Islam iaitu keadilan untuk manusia, maka baginda menyokongnya.

2. Kerjasama yang diharamkan ialah yang merugikan Islam dan kaum muslimin, antaranya untuk menegakkan mana-mana sistem pemerintahan yang bercanggah dengan Syariah Islam (sekular, sosialis, komunis dan sebagainya), membantu orang kafir untuk memerangi kaum muslimin (sebagaimana pemimpin-pemimpin Arab bersekongkol dengan Amerika untuk menyerang Iraq), menolak Syariat Allah atau mengambil pendekatan yang bercanggah dengan Syariat, menafikan hak kaum muslimin kerana lebih mengutamakan persepakatan dengan orang bukan Islam dan sebagainya lagi yang merugikan Islam dan umat Islam.  Dalam apa keadaan sekalipun, seorang muslim wajib mengutamakan Islam dan umat Islam. Jika suatu persepakatan boleh merugikan Islam dan umat Islam, haram orang Islam menyertai persepakatan sebegitu. Di dalam al-Quran Allah melarang orang beriman berteman rapat dengan orang-orang kafir dengan menyisihkan orang-orang beriman. Begitu juga, Allah melarang mengambil orang-orang yang memusuhi Islam dan umat Islam sebagai teman dan kawan.

"Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali." (Surah al-Imran : ayat 28)

"Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (surah al-Mumtahanah : ayat 9)


3. Dari segi pemerintahan negara, Ketua Negara (Khalifah/Sultan/Presiden) wajib dari kalangan orang Islam kerana kewajipan ketua negara dalam Islam bukan sahaja mentadbir negara, tetapi juga menegakkan agama. Imam al-Mawardi (salah seorang tokoh ulama silam dalam bidang politik Islam) tatkala mendefinisikan Khilafah (iaitu jawatan tertinggi dalam pemerintahan Islam), beliau menjelaskan; "Khilafah ialah pengganti kepada Rasulullah untuk melaksanakan tugas menegakkan agama dan mentadbir negara" (al-Ahkam as-Sultaniyah). Seorang bukan Islam sudah tentu tidak akan melaksanakan tugas menegakkan agama sekalipun mungkin mampu mentadbir negara dengan baik.

Selain itu, Allah berfirman (bermaksud); "Milik Allah lah kemuliaan, juga milik Rasul-Nya serta kaum muslimin". Jika ketua negara bukan berada pada tangan orang Islam, pasti kemuliaan yang disebut Allah dalam ayat ini tidak akan berlaku. Oleh itu, wajib kaum muslimin memperjuangkan kepimpinan Islam atau mempertahankannya sebagaimana mereka wajib memperjuang dan mempertahan kedaulatan Syariah dalam perlembagaan dan undang-undang.

4. Adapun menteri (wazir), para ulama membahagikannua kepada dua kategori;
i. Wazir at-Tafwidh; iaitu menteri yang diserah mandat oleh ketua negara untuk membentuk kerajaan (termasuk melantik menteri dan penjawat jawatan penting negara/negeri seperti ketua hakim, ketua tentera dan sebagainya) dan mentadbir urusan negara berdasarkan ijtihad dan pertimbangannya. Pada hari ini, yang masuk dalam kategori ini ialah perdana menteri, menteri besar atau seumpama mereka. Menteri dalam kategori ini wajib dari orang Islam dengan sepakat para ulama. Tidak harus dilantik dari kalangan orang bukan Islam.
ii. Wazir at-Tanfidz; iaitu menteri-menteri pelaksana. Mereka adalah pelaksana dasar-dasar yang telah diputuskan oleh ketua negara atau majlis syura (Ahlul-Halli Wal-'Aqdi) dan tertakluk dengan arahan perdana menteri (atau orang yang memegang Wazir at-Tafwidh tadi). Menteri dalam kategori ini, menurut ulama - harus dilantik daripada kalangan orang bukan Islam mengikut kesesuaian jawatan dengan mereka.   

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Mengurus sindrom pasca taubat

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, 25 Jun 2013
“Saya sangat kecewa. Mengapa seorang ustaz gagal solat berjemaah di masjid? Sedangkan saya bersusah payah…” keluh seorang lelaki.

Sedih.

Keluhan yang benar.

Kebenaran yang sukar untuk ditelan.

“Kalaulah dia tahu betapa deritanya hidup dalam kejahilan, tentu dia tidak akan bermain alasan untuk hadir ke majlis ilmu.” keresahannya berpanjangan.

Keluhan demi keluhan keluar daripada mulut lelaki tersebut. Dalam kesungguhannya memperbaiki diri, dia dirundung rasa duka kerana ‘dunia kebaikan’ yang baru dijenguk itu penuh dengan kekecewaan. Segalanya tidak mencapai jangkaan.

Keresahan ini sering melanda seorang insan yang baru bertaubat. Keinginannya terhadap kebaikan dan kekesalan terhadap masa silam menyebabkan harapannya begitu tinggi untuk melihat yang baik-baik mengelilingi hidupnya. Harapan itulah yang menyumbang kepada rasa kecewa, hingga kata-kata yang keluar dari mulutnya sentiasa berbau duka, murung dan adakalanya bernada kemarahan.

Mungkin dalam perbualan sehariannya.

Mungkin dalam ceramahnya.

Mungkin dalam penulisan.

Nasihat Sheikh Abd Al-Qadir Al-Jailani

“Jangan kamu mendakwa diri menjadi Tuhan. Jangan kamu mendakwa diri menjadi Nabi!” pesan Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani kepada muridnya.

Tergamam.

Anak murid yang lama mengaji dengan sheikh itu terkejut dengan nasihat yang diterima.

“Bagaimana mungkin engkau mengandaikan aku boleh membuat dakwaan sebegitu rupa, setelah aku lama menuntut ilmu denganmu?” tanya anak murid itu kepada gurunya.

Lalu Sheikh menceritakan sebuah kisah yang berlaku kepada seorang lelaki soleh di Delhi. Beliau telah menimbulkan kontroversi tatkala mengungkapkan kata-kata yang sungguh luar biasa.

“Engkau bukan Allahku dan aku bukan hambamu!” kata lelaki soleh itu.

Setiap yang mendengar terkejut.

Kata-kata itu sungguh berbunyi kekufuran dan seluruh mereka yang mendengarnya menghukum beliau dengan kufur.

Namun seorang hadirin datang kepada lelaki soleh berkenaan dan bertanya, “Mengapakah engkau berkata demikian?”

Lelaki tersebut menjawab, “Nafsuku menyuruh aku berbuat maksiat. Aku berkata kepadanya bahawa engkau bukan Allahku dan aku tidak akan menurut kehendakmu kerana aku bukan hambamu!’

Lalu Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani menyambung nasihatnya kepada si anak murid, “Jangan engkau mendakwa dirimu sebagai Allah, tatkala engkau mahukan semua kehendakmu berlaku. Engkau mahu semua yang engkau hajatkan menjadi kenyataan. Ketika engkau mempunyai harapan yang begitu, engkau seperti mendakwa dirimu Tuhan. Kerana hanya Tuhan yang berhak begitu!”

Harapan yang tinggi mesti disertakan dengan sifat kehambaan.

Jangan harapan itu menimbulkan rasa kecewa apabila tidak kesampaian, hingga kita terlupa kita hanyalah hamba. Hamba yang boleh berharap, namun segalanya pulang kepada kehendak Tuhan.

“Jangan pula engkau mendakwa dirimu seorang Nabi, yakni tidak kira setinggi mana engkau berusaha mencapai takwa dan pembaikan diri, jangan sesekali engkau merasakan dirimu tidak bersalah dan tidak berdosa. Sesungguhnya yang bersih dan terpelihara daripada dosa itu hanyalah seorang Nabi yang maksum."

"Oleh itu, tidak kiralah berapa lama engkau telah mendampingi gurumu, jangan sesekali engkau menyangka yang tiada kesilapan yang berlaku pada perjalanan hidupmu hingga engkau terjebak kepada apa yang telah aku nasihatkan kepadamu itu”

Demikianlah nasihat Sheikh Abd al-Qadir Jailani kepada anak muridnya.

Nasihat yang turut perlu dihayati oleh setiap kita yang sedang meniti jambatan taubat meninggalkan hitam semalam kepada kejernihan esok.

Kisah Penangkap Ular

Harus juga kita tidak lupa kepada kisah yang pernah dinukilkan oleh Maulana Jalaluddin al-Rumi tentang kisah seorang penangkap ular. Ketika suatu musim sejuk, penangkap ular itu memanjat gunung untuk mencari buruannya. Beliau terjumpa dengan banyak ular yang seperti mati dek cuaca yang sejuk. Ular-ular yang berhibernasi itu ditangkap dengan mudah, dimasukkan ke karung dan dibawa turun ke pasar.

Penangkap ular itu mahu menunjukkan kepada orang ramai kepakaran dirinya menangkap pelbagai jenis ular.

Semasa tiba di pasar, tatkala mentari yang bersinar dengan sedikit kepanasan haba yang datang, ular-ular yang tadinya beku seakan mati, hidup, liar dan bertempiaran lari meninggalkan penangkap ular dan menimbulkan ketakutan setiap mereka yang berada di situ.

“Demikianlah nafsu kita. Dengan didikan, ia menjadi jinak, lumpuh, malah membeku. Seperti ular itu tadi. Tetapi nantikan nafsu itu terkena sedikit tempias keenakan dosa dan nikmat dunia, bisa sahaja ia menjadi seperti ular berkenaan,” nasihat Maulana Jalaluddin al-Rumi.

Sesungguhnya taubat dan kesedaran kita hanya di satu peringkat kehidupan.

Kita masih berjuang mengejar Husn al-Khatimah.

Bersederhanalah dalam membina harapan.

Agar kecewa dan keluh kesah tidak menjadi bahasa harian.

(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” (Surah al-Imran : ayat 8)

Banyakkan berdoa, banyakkan berbicara yang positif, banyakkan memberi motivasi.

Bukan untuk sesiapa, lebih kepada diri sendiri.

http://saifulislam.com/

Ribuan sertai majlis Free Husam, Exco dakwa Umno terlibat

Muhammad Yusri Amin, 25 Jun 2013


(Orang ramai yang memenuhi majlis ceramah Free Husam di Pasir Tumbuh malam tadi)

KOTA BHARU: Dengan didengari oleh ribuan orang yang memenuhi sebuah dewan di sebuah sekolah, Umno didakwa terlibat dalam insiden penangkapan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Ketua Penerangan PAS Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohd Fadhli Hassan mendakwa insiden penahanan Husam merupakan antara permulaan perancangan Umno-Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum keempat belas (PRU-14).

Bagi beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu tidak sepatutnya ditahan.

“Dengan tuduhan yang dibuat ke atas Datuk Husam itu, dia tak sepatutnya ditahan.  Cukuplah dia dipanggil untuk memberi kerjasama kepada pihak polis," katanya.

Ketua Penerangan PAS Kelantan itu bercakap pada majlis ceramah perdana sempena pembebasan Husam di Dewan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Taqaddum Ma’rif, Pasir Tumboh malam tadi.

(Datuk Dr Fadhli berucap di majlis ceramah Free Husam malam tadi)

Turut hadir Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) Abdul Latiff Abdul Rahman yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri.

Hadir sama Adun Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus, Adun Kelaboran Mohamed Zaki Ibrahim, Adun Tawang yang juga Pemangku Dewan Ulama PAS Kelantan Hassan Mahmood, Adun Gual Periuk Mohamad Awang.

Ketua Lajnah Guaman PAS Kelantan Hisyam Fauzi, mantan Setiausaha Politik MB Kelantan Annual Bakri Haron dan Presiden Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) Nazeri Deraman turut hadir.

Husam yang ditahan dua hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu sejak 23 Jun dan dibebaskan kira-kira 5.00 petang 24 Jun semalam dibebaskan dengan jaminan RM3,000 serta jaminan polis, dalam tempoh sebulan.

“Sekarang ini setiap pergerakan yang dibuat (badan-badan kerajaan), mesti ada perancangan Umno-BN, tambahan pula dia (Umno-BN) sedar bahawa (prestasinya) pada PRU-14 nanti dia amat teruk.

"Jadi mereka akan buat perancangan daripada awal lagi supaya tidak berlaku sebagaimana pilihan raya baru-baru ini,  dia rasa nak mati sangat-sangat.  Jadi ini adalah perancangan dia, ini baru permulaan.

“Jadi ini sangat-sangat merisaukan kita," kata Fadhli.

Jerebu: Masa bertindak tegas peringkat serantau

Harakahdaily, 25 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan sudah sampainya persoalan jerebu akibat pembakaran terbuka diambil tindakan tegas bukan sahaja mengikut undang-undang nasional tetapi juga diperingkat undang-undang antarabangsa.

“Kerajaan semua rantau Asean perlu memahami jika isu rasuah dan salah guna kuasa tidak dibendung, ia akan memberi kesan kepada kerosakan alam sekitar,” kata Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, keadaan yang sangat meruncing yang menjejaskan kualiti udara sehingga ke tahap sangat merbahaya di Ledang, Muar dan Kuala Lumpur dan merebak ke Port Dickson dan Klang membuktikan bahawa isu pencemaran udara bukan boleh dianggap ringan.

Bedliau berkata, bukan sahaja ia ada kaitan dengan soal kesihatan akan tetapi juga persoalan keselamatan dan ekonomi serta perhubungan antarabangsa.

Menurutnya, mengatasi masalah kerosakan alam sekitar jelas tidak boleh dianggap hanya berlaku secara terpisah antara negara.
"Pencemaran tidak mengenal sempadan sama ada pencemaran udara mahupun air," katanya.

Mapim, ujarnya melihat isu jerebu yang melanda Malaysia dan Singapura yang berpunca dari pembakaran terbuka di Indonesia membuktikan alam sekitar tidak mempunyai batas.

Katanya lagi, keghairahan pelabur dalam dan luar negara terhadap sesuatu sektor di dalam sesebuah negara biasanya mengambil kesempatan daripada kelonggaran undang-undang dan kawalan di negara tersebut.

Beliau menambah, apabila pelabur mendapat kemudahan yang terbuka untuk melakukan sesuatu yang boleh meminimakan tanggungan kos, sama ada kos buruh, kos penghapusan sisa atau kos pembersihan tanah, jalan singkat dan murah akan dipilih.

Inilah yang berlaku di kebanyakan negara membangun, ujarnya.

“Oleh kerana satu negara mempunyai kelonggaran dari segi penguatkuasaan undang-undang maka pihak pelabur akan mengambil kesempatan.

“Kami dengan itu menggesa agar pihak kerajaan memberi perhatian serius untuk mengujudkan undang-undang yang berkesan di dalam negara dan sekaligus memastikan agar undang-undang antarabangsa dipatuhi,” katanya lagi.

Jelas, tambah beliau soal kerosakan alam sekitar terutama yang bersifat trans-sempadan akan memerlukan suatu perjanjian yang mengikat supaya pihak pelabur tidak memandang ringan terhadap hukuman yang mereka akan hadapi jika melanggar undang-undang negara mahupun undang-undang antarabngsa.

Oleh kerana itu, katanya kerjasma anatara negara menjadi prasyarat jika isu pencemaran dan kerosakan alam sekitar mahu ditangani.

Justeru, ujarnya Mapim mengesa semua negara Asean yang telah mendatangani perjanjian mengenai pencemaran trans-sempadan menggubal perjanjian yang lebih mengikat dan berkesan.

“Jerebu akibat pembakaran hutan untuk pembersihan di Indonesia tidak akan reda kecuali Indonesai atas nama menjaga perhubungan dengan jiran tetangganya, mengujudkan undang undang tempatan yang ketat dan penguatkuasaan yang tegas,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau Mapim mengingat semua pihak di kalangan pemimpin kerajaan agar berlaku telus apabila menangani isu pencemaran dan kerosakkan alam sekitar.

Beliau berkata, semangat untuk melaksanakan strategi yang berkesan berdasarkan perjanjian yang dimeterai mengenai pencemaran udara sekurang-kurangnya dalam rantau ini perlu dipenuhi.

Kenapa kadi tidak bertindak ke atas tarian gelek?

Anis Nazri, 25 Jun 2013
SEGAMAT: "Kenapa penganjuran tarian gelek sebelum ini pejabat kadi tidak bertindak? Tetapi apabila kuliah agama Ustaz Azhar Idrus pula mahu disekat?"

Inilah antara perkara yang dibangkitkan Yang Dipertua PAS Segamat, Firdaus Masod kepada Kadi daerah Segamat, Assheikh Haji Sulaiman berhubung larangan membenarkan Ustaz Azhar Idrus menyampaikan kuliah di sebuah madrasah, di Segamat, 22 Jun lalu.

Beliau turut mencabar pihak kadi tersebut untuk menahan Ustaz Azhar pada malam tersebut jika benar bersalah dan bertegas untuk meneruskan majlis ilmu tersebut yang kemudiannya mencatat kehadiran lebih dari 10,000 hadirin.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Firdaus berkata beliau kesal dengan keadaan itu, yang mana kuliah agama yang membawa kepada kebaikan cuba disekat, sebaliknya tidak berbuat apa-apa terhadap tarian gelek yang menimbulkan kontroversi sebelum ini.

Kadi daerah itu menghantar surat kepada pihak penganjur kuliah ini agar menghentikan majlis itu atau berhadapan dengan tindakan undang-undang dari Kadi Daerah.

"Ini yang berlaku di Johor, mereka takut dengan ustaz-ustaz yang ada nama yang mereka anggap boleh mempengaruhi orang ramai.  Kalau pengaruh untuk perkara baik, tiada masalah.  Tapi, isu tauliah yang dibangkitkan bagi menyekat kuliah agama," tegas beliau yang membantu adiknya menguruskan madrasah tersebut.

Arahan pembatalan ini dikeluarkan oleh Kadi Daerah Segamat, Assheikh Haji Sulaiman pada 20 Jun lepas.

"Dukacita dimaklumkan bahawa pihak kami tiada menerima apa-apa permohonan kebenaran dan pihak kami juga tiada mengeluarkan apa-apa kebenaran dan tauliah bagi program tersebt.

"Justeru itu adalah dikehendaki agar tuan menangguhkan ceramah tersebut atau pihak kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," tulis Kadi daerah itu dalam suratnya bertarikh 20 Jun yang ditujukan kepada Pengerusi Madrasah Ibnu Mas'ud, Kampung Tasik, Segamat.

Bagaimanapun, kata Firdaus, majlis ilmu itu tetap diteruskan dengan kuliah diberikan oleh Ustaz Azhar dan pihak madrasah tidak menerima sebarang surat susulan ekoran keingkaran terhadap arahan tersebut.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan isu tauliah yang diberikan kepada pendakwah di setiap negeri dikaji semula.

Biarpun mengakui keperluan pentauliahan untuk mana-mana pendakwah bagi mengelakkan sebarang penyebaran ajaran sesat, Firdaus berkata sudah sampai masanya ia dipermudahkan dengan mekanisme-mekanisme tertentu.

"Kita akui bukan mudah seseorang itu diberikan tauliah, kita akui itu. Cuma mungkin perlu dipermudahkan dengan penyelarasan di seluruh negara," kata beliau.

Cadang beliau, biarpun pemberian pentauliahan itu terletak di bawah kuasa undang-undang negeri, ia mungkin boleh digunapakai di mana-mana negeri di seluruh negara.

"Mungkin apabila seseorang pendakwah itu mendapat tauliah dari negeri Selangor, tauliah itu juga turut terpakai di negeri-negeri lain di Malaysia," kata beliau.

Jerebu: Pemuda PAS edar topeng muka percuma

Harakahdaily, 25 Jun 2013


KUALA LUMPUR: Atas dasar prihatin, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif mengedarkan topeng muka percuma kepada warga kota.

Semalam, mereka turun di kawasan stesen LRT Jelatik mengedarkan topeng muka tersebut kepada para pengguna pengangkutan awam itu.

Program itu diketuai Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad dan turut disertai timbalannya Suhaimi Abdul Aziz, setiausaha Nurul Islam  Mohamed Yusof serta Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Wilayah Persekutuan Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi.

Kamaruzzaman ketika ditemui berkata, langkah utama yang perlu diambil pada ketika ini adalah menjaga kesihatan dan mendapatkan maklumat terkini daripada media.

"Kita juga menasihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya di Lembah Klang agar kurangkan aktiviti luar jika tiada keperluan dan sentiasa memakai topeng," katanya.

Selain itu katanya, umat Islam disaran berdoa dan mengadakan solat istisqa memohon kepada Allah agar diturunkan hujan.

Menurut Nurul Islam pula, pengedaran topeng muka ini akan dibuat secara berterusan selagi keadaan jerebu yang melanda negara belum reda.

Speaker diminta adil, jujur kepada semua MP

Harakahdaily, 25 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta agar Yang Dipertua Dewan Rakyat (Speaker) yang baru dipilih bagi penggal ke-13, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (gambar) agar menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah dan adil kepada semua pihak.

DPPM yakin, semua ahli parlimen akur dengan pelantikan beliau dalam proses pemilihan yang berlangsung semalam meskipun berlaku kekecohan dan dakwaan undian dijalankan tidak secara adil kerana tiada jaminan kerahsiaan.

“Beliau telah terpilih melalui undian dan suratan menentukan Tan Sri Pandikar akan sekali lagi menjadi Yang Dipertua buat penggal keduanya berturut-turut,” ujar Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor.

Katanya, dalam komposisi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat meningkat menjadi 89 orang manakala Ahli Parlimen Barisan Nasional merosot menjadi 133 orang, seharusnya Pandikar melihat semua ahli parlimen dengan pandangan yang adil tanpa melebihkan satu-satu pihak.

Beliau berkata, semua ahli parlimen perlu diberikan ruang berbahas mengenai sesuatu perkara dan mana-mana pihak yang melanggar peraturan perlu diambil tindakan meskipun ia datangnya dari ahli parlimen partinya sendiri.

Katanya lagi, rakyat telah memilih ahli parlimen dan tugas ahli parlimen adalah berbincang dan berbahas untuk kepentingan rakyat dan tugas Speaker pula adalah meneutralkan keadaan dan memutuskan sesuatu perkara dengan mengambil pandangan semua pihak serta kepentingan umum.

“Rakyat tidak mahu pemimpin mereka meletakkan kepentingan diri sendiri dengan melupakan kepentingan rakyat yang mengundi mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, rakyat sudah bosan dengan suasana politiking kepartian yang tidak berkesudahan sehingga melupakan perkara utama yang mereka perlu perjuangkan di dalam dewan yang mulia itu.

“Adalah diingatkan, menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah suatu amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat dan Ahli Parlimen.

“Ketidakadilan beliau dalam memimpin Parlimen sesi ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak,” ujarnya.

Selepas dipindah, lagi hukuman tunggu Major Zaidi

Mohd Sabri Said, 25 Jun 2013

PULAU PINANG: Pegawai Pemerintah Skudron 12 Pengkalan Tentera Udara Malaysia Butterworth Major Zaidi Ahmad yang membuat laporan polis kes dakwat tidak kekal kini berhadapan dengan satu lagi tindakan iaitu melakukan kesalahan yang bertentangan dengan Akta Angkatan Tentera 1972.

(Major Zaidi, isteri dan rakannya selepas membuat laporan polis apabila mendapati dakwat kekal tidak kekal. Kerananya, pelbagai masalah ditujukan kepada beliau)

Jika sabit kesalahan beliau akan kehilangan kelayakan untuk terus menerima elaun penerbangan sebanyak RM4000 sebulan.

Major Zaidi, isterinya, Puan Shafinah Abdul Hamid serta Juruteknik TUDM Butterworth, Jamal Ibrahim tampil membuat lapuran polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD) Kepala Batas Pada 1 Mei lalu iaitu selepas mengundi awal pada Pilihanraya Umum ke 13.

Lapuran dibuat di hadapan L/Kpl Sharil Aida Sabu pada jam 10.58 pagi berkaitan cap jari pengundi yang mudah hilang bila dibasuh menggunakan sabun atau pencuci pingan mangkuk.

Major Zaidi membuat laporan polis selepas dakwat yang sepatutnya kekal dijari beliau tidak kekal selepas membuang undi awal.

Hari ini, Zaidi telah dimaklumkan oleh pihak atasan bahawa Panglima Tentera Udara telah mengarahkan agar beliau dikenakan pertuduhan melakukan kesalahan bertentangan dengan Akta Angkatan Tentera 1972.

Jika pertuduhan itu dikenakan terhadap beliau dan didapati bersalah mengikut peraturan sedia ada secara automtik beliau akan hilang kelayakan untuk terus menerima elaun penerbangan RM4000 sebulan (walaupun pembicaraan belum
bermula).

Minggu lepas beliau ditukarkan kembali ke Pengkalan TUDM Butterworth dari Kuala Lumpur dan diarahkan membuat tugas-tugas selain penerbangan.

Pendidikan: PAS sambut baik titah Agong

Salmiyah Harun, 25 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menyambut baik titah ucapan Yang di-Pertuan Agong berhubung keperluan pendidikan dalam negara supaya Malaysia lebih ke depan dari sudut inovasi.

Dalam masa yang sama jelas Mujahid, universiti-universiti yang ada dapat memenuhi keperluan-keperluan teknologi dan penyelidikan yang terkini.

Katanya, aspek ini penting di samping menyedari keperluan 'matchmaking' sama ada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau IPTS (swasta) tidak hanya tertumpu kepada sektor yang sama.

"Kerana kita mendapati longgokan graduan yang tidak ada kerja lantaran tidak ada sesuatu yang dicari oleh pasaran," katanya ketika ditemui selepas perasmian Parlimen hari ini.

Beliau yang akan turut membahaskan ucapan titah Yang di-Pertuan Agong berpendapat sistem pendidikan yang ada khususnya pengajian tinggi bukan sahaja mempunyai pendidikan yang bagus tetapi boleh menguasai bidang-bidang strategik yang ada perkongsian dengan syarikat besar supaya apa yang diselidikkan dapat dikomersialkan.

"Itu antara garis pengukur universiti yang ada, IPTS tumbuh seperti cendawan tetapi tidak memenuhi kehendak pasaran kerja dan inilah yang menjadi persoalan yang dibangkitkan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Dalam ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ketiga Belas, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar kerajaan melipatgandakan usaha bagi memartabatkan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi di IPTA ke tahap antarabangsa termasuk memperbanyakkan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang strategik.

Baginda turut bertitah Agenda Pembangunan Holistik Pelajar pula akan diteruskan dengan fokus kepada Program Keusahawanan dan Program Kesukarelawanan Siswa.

Jerebu: Ambil tindakan terhadap 8 syarikat terlibat

Harakahdaily, 25 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap lapan syarikat milik rakyat Malaysia yang didakwa terlibat melakukan aktiviti pembakaran hutan sehingga mengakibatkan jerebu.

Setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar) berkata, dakwaan ini amat berat memandangkan krisis jerebu yang melanda negara semakin serius serta menjejaskan kehidupan rakyat di beberapa negara termasuk Malaysia.

"Sekiranya benar dakwaan Indonesia, pastinya ke lapan-lapan syarikat terbabit perlu dihukum kerana angkara mereka pencemaran udara berlaku dengan begitu teruk sehingga ke tahap beberapa kawasan diisyhtiharkan darurat.

"Syarikat-syarikat ini adalah golongan yang tidak bertanggungjawab serta meletakkan kepentingan diri sendiri melebihi kepentingan negara dan alam sekitar, malah ada pemimpin yang menggelarkan mereka sebagai pengkhianat negara," katanya.

Sebelum ini  Menteri Alam Sekitar Indonesia, Dr Balthasar Kambuaya mendakwa lapan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Malaysia terlibat melakukan pembakaran di Riau dan Jambi, yang mengakibatkan jerebu sehingga memberi ancaman kepada negara jiran Malaysia dan Singapura.

Menurut Dr Balthasar, lapan syarikat yang dikenal pasti itu ialah PT Langgam Inti Hiberida, PT Bumi Rakksa Sejati, PT Tunggal Mitra Plantation, PT Udaya Loh Dinawi, PT Adei Plantation, PT Jatim Jaya Perkasa, PT Multi Gambut Industri dan PT Mustika Agro Lestari.

Dalam pada itu, Khairul Faizi berkata pihaknya mahu kerajaan Malaysia mendedahkan kepada umum siapa pemilik syarikat-syarikat tersebut dan didedahkan kepada umum.

"DPPM mendesak kerajaan menyiasat dalang serta mendedahkan kepada umum kesemua syarikat terbabit.

"Mereka ini telah memalukan negara ini di samping menjadikan keselamatan rakyat di negara ini terancam," katanya.

Tutup Jonker Street: BN perlihat wajah ‘1Umno’

Harakahdaily, 25 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Penutupan pasar Jonker Street yang menjadi tumpuan pelancong di Melaka lebih sedekad lalu membuktikan dendam kesumat Umno BN terhadap Pakatan Rakyat (PR) yang tidak mampu dibendung lagi.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua dalam satu kenyataan menyifatkan penutupan pasar malam itu sebagai manifestasi politik balas dendam terang-terangan yang amat mengejutkan.

“Tindakan Ketua Menteri Melaka, Idris Haron ini boleh dilihat sebagai tindakan balas dendam kepada komuniti bukan Melayu.

“Ia ibarat memotong hidung pada wajah seseorang,” katanya dipetik Roketkini.

Sambil melahirkan rasa kecewa, beliau tidak menolak tindakan tidak cerdik dengan mengajar pengundi Cina melalui cara ini adalah disebabkan komuniti itu tidak lagi memihak kepada BN dalam PRU13 lalu.

“Hanya semata-mata Idris Haron mahu balas dendam dan merosakkan komuniti Cina, beliau telah mengorbankan kepentingan warga Melaka dan ekonomi negeri itu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Beliau berkata, apa yang diperlihatkan BN itu adalah wajah hipokrit sebuah parti yang kononnya mengamalkan ‘1Malaysia’ seperti yang menjadi slogan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan.

“Tetapi kita telah diperlihatkan wajah ‘1Umno’ yang mementingkan kroni dan puak-puak mereka sahaja,” ujar beliau.

Sebelum ini, Kwong Wah Daily melaporkan bahawa Idris Haron dipetik sebagai berkata “kini kita lihat ramai penduduk Melaka memberi sokongan padu kepada DAP berbanding calon MCA yang telah berkhidmat kepada mereka. Jadi, kita telah buat keputusan untuk tutup pasar malam itu dan berharap agar mereka gembira”.

Akhbar itu juga memetik Idris sebagai berkata keputusan penutupan pasar malam oleh Majlis Eksekutif Melaka itu pada 12 Jun lalu adalah kerana “mengikut kehendak orang ramai”.

Tiada ulasan: