Ahad, 16 Jun 2013

AKIDAH TUGAS UTAMA KITA UNTUK DIJAGA...JIKA TIDAK MAKA AKHIRAT KITA TAK SELAMAT

Eratkan ukhwah kukuhkan jamaah

Ustaz Idris Ahmad, 14 Jun 2013

Apabila Baginda Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah, tiga perkara asas yang baginda lakukan iaitu mendirikan masjid, mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, menegakkan syariat Allah. Ukhwah diberi perhatian yang lebih kerana ia adalah tonggak kepada pembinaan sebuah negara. Negara goyang jika ukhwah longgar, begitu juga di dalam jamaah. Oleh sebab itu jika perkara ini diabaikan ia mendatangkan musibah yang tidak baik kepada perjalanan jamaah.

Pentingnya ukhwah di dalam jamaah

Boleh merapatkan saf kepimpinan di dalam jamaah. Bila ukhwah renggang banyak kerja jamaah akan terencat. Sebab itu ikatan ukhwah mesti dipelihara demi kelangsungan perjuangan. Perjalanan jamaah bergerak secara sukarela, bukan dengan paksa. Bagaimana jamaah hendak bergerak jika perasaan mahabbah tidak ada di kalangan anggota.

Hilang perasaan buruk sangka sesama sahabat, kerana syaitan gagal menghasut. Sebarang keraguan terus mendapat penjelasan dan penerangan. Kerana punca hubungan renggang berpunca daripada sangka buruk. Maksud firman Allah SWT:  “Wahai orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain”. (Al-Hujurat: 12)

Mengelak daripada musuh jamaah dapat bertapak di dalam parti. Mereka gagal untuk berlakon dan menjadi virus pemusnah di dalam jamaah, kerana segala tingkah laku mereka sentiasa diperhati di kalangan ahli. Semua ahli akan mengawal daripada semua sudut menjadi SB jamaah untuk melaporkan kalau ada pengkhianat dalam parti.

Sebab ukhwah musnah

Tidak ada program yang disusun oleh jamaah.  Akhirnya ahli membawa cara fikir dan tindakan menurut kehendak masing-masing. Maka jadilah kapal yang banyak nakhoda.

Mendengar pandangan orang lain, tanpa mengambil kira pandangan  sesama jamaah. Seorang itu lebih percaya orang luar daripada ahli sendiri. Maka akan berlakulah jamaah dalam jamaah.

Zaman media baru, pandangan jamaah tidak dipedulikan. Kadang-kadang ahli lebih percaya kepada persepsi yang berjaya dibentuk. Maklumat yang diperolehi kadang-kadang daripada ejen musuh yang berlakon ahli PAS. Mereka inilah yang membuat adu domba sehingga kita berselerak dan ukhwah hancur. Inilah dilema gerakan Islam seluruh dunia ketika menghadapi zaman langit terbuka. Ia juga menimpa kepada Gerakan Islam di dunia hari ini. Rujukan mereka ialah Facebook, portal dan blog. Akhirnya musuh bertepuk tangan.

Ahli tidak sedia untuk mengikuti program khusus seperti usrah, tamrin, liqa al-fikri. Mereka lebih selesa ikut program umum daripada program khusus.

Apabila jarang bertemu dan bersua mata, maka banyak maklumat diambil daripada media baru, akhirnya membentuk persepsi negatif kepada jamaah dan pimpinan.

Pimpinan tidak turun ke peringkat akar umbi untuk memberi pengisian dalaman dan dialog terbuka bersama ahli.

Masalah ahli yang tidak suka dirinya ditarbiah. Puncanya kerana merasa dirinya sudah hebat. Akhirnya timbul sikap ego di dalam jamaah. Sinilah bibit ukhwah rosak di dalam jamaah.

Cara hendak atasi

Bacalah kisah-kisah sahabat yang menunjukkan ukhwah yang mantap melalui madrasah Rasulullah SAW terutama orang Ansar dan Muhajirin, sehingga Allah merakamkan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT (maksudnya): “Dan orang-orang (Ansar) dan telah beriman sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (Muhajirin) , atas dirinya sendiri meski pun mereka juga memerlukan”( Al-Hashr 59:9)

Mesti tanamkan di dalam diri ahli PAS di semua peringkat bahawa perpecahan di dalam jamaah akan menguntungkan pihak musuh. Maksud firman Allah SWT “Janganlah kamu bertelingkah, nanti akan hilang kehaibatan kamu”.

Kita mesti mengelak untuk mewujudkan faktor-faktor yang boleh merenggangkan ukhwah di kalangan ahli. Contohnya di dalam mesyuarat kalau  tidak bersetuju biarlah dengan bahasa yang beradab. Jangan menghina pandangan ahli mesyuarat. Tidak bersetuju tidak mengapa tetapi jangan menghina. Biarlah mesyuarat dengan suasana penuh ukhwah bukan ‘adawah (permusuhan). Jadikan mesyuarat tempat untuk subur kasih sayang. Biarlah ahlinya seronok untuk datang mesyuarat, bukan bosan apabila hadir mesyuarat.

Segera mendapat maklumat daripada batang tubuh sahabat jika beliau adalah orang yang dituduh. Supaya penjelasan ini akan menamatkan  tuduhan dan fitnah kepada setiap ahli.

Program kerohanian mesti dirancakkan di dalam organ parti. Kerana manhaj tarbiah PAS merangkumi pembinaan akal, jasmani dan rohani. Kadang-kadang terlepas pandang, sehingga sudut tarbiah ruhiah dikesampingkan akhirnya bibit-bibit perpecahan mudah menyerap masuk di dalam jamaah.

Usrah yang menjadi tunggak kepada gerakan PAS perlu diaktifkan daripada peringkat Pusat hingga ke cawangan. Usrah merupakan siri pertemuan di kalangan ahli  dengan skala kecil, tetapi mempunyai impak yang besar. Seboleh mungkin pertemuan mesti dibuat sekurang-kurangnya sebulan sekali. Usrah akan  mengikat talian ukhwah yang tinggi di kalangan ahli yang hadir. Komunikasi dua hala akan berlaku dengan mudah. Tidak bosan, kerana ia boleh berpeluang tukar pandangan, bertanya, berdialog. Segala kekusutan dalam jamaah akan dapat diatasi dengan mudah. Sebagai mana kita maklum, permasalahan di dalam jamaah berlaku akibat daripada kekusutan kecil tidak diselesaikan di peringkat awal sehingga merebak besar. Usrah adalah satu daripada mekanisme yang boleh mengurangkan ketegangan dalam jamaah.

Usah gunakan media untuk mengkritik sesama ahli, walaupun kita rasakan pandangan kita betul. Orang awam melihat dan menilai kenapa sesama ahli PAS bergaduh. Mereka tidak melihat permusuhan itu bersifat peribadi antara si Mamat dengan si Dolah, tetapi mereka menempelak kenapa sesama ahli pun bergaduh. Perlu diingat jika kita menggunakan media, maka rakan kita satu jamaah juga akan menggunakan media. Hasilnya orang awam akan menghukum kita.

Pemuda PAS sokong himpunan Black 505 diteruskan

Anis Nazri, 15 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini menyatakan sokongan terhadap mana-mana badan yang menentang dan membantah penyelewengan pilihan raya umum.

Sokongan itu dinyatakan Ketua Pemudanya, Ustaz Nasrudin Hassan pada sidang media di Pusat Media PAS, Jalan Raja Laut, hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan sayap itu.

Nasrudin berkata, sokongan itu dinyatakan kerana pihaknya berpandangan pilihan raya perlu dilaksanakan dengan adil dan telus, tanpa sebarang penyelewengan dan salah laku.

"Kita menerima apa sahaja keputusan yang diputuskan rakyat jika pilihan raya itu dijalankan dengan adil dan tanpa salah laku. Kalah menang dalam pertandingan itu kita terima," kata beliau kepada media.

Justeru, beliau menyatakan sokongan kepada himpunan Black 505 yang akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur, 22 Jun ini.

Sementara itu, menyentuh soal larangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan Padang Merbok untuk perhimpunan pada tarikh tersebut, Nasrudin hanya menyerahkan kepada pihak penganjur.

"Kita serahkan kepada penganjur. Jika mereka meneruskan himpunan aman itu di situ, kita teruskan. Begitu juga jika mereka pinda tarikh atau sebagainya," tegas beliau.

Dalam pada itu, Pemuda PAS turut menumpukan perhatian khusus berhubung daftar pemilih dan undi awal bagi persiapan sayap itu menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Katanya, penumpuan itu akan diberikan bersama jawatankuasa postmortem
yang dibentuk Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS yang turut memberi input kepada jawatankuasa postmortem di peringkat pusat.

Sidang media itu turut disertai Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, dan Setiausaha, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Tilawah al-Quran di Kelantan: Catatan saya

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 15 Jun 2013
Apabila Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dicadangkan untuk diadakan di Kelantan beberapa bulan lepas, saya menyambut dengan baik. Alhamdulillah, akhirnya Kelantan terpilih juga selaku tuan rumah buat julung-julung kalinya. Ekoran pilihanraya umum yang diadakan Mei lepas, tilawah ini ditangguhkan dan akhirnya berjaya dilaksanakan di Kelantan dan berakhir malam semalam.

Saya rakamkan tahniah kepada kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Ustaz Dato Ahmad Yakob dan juga terima kasih kepada kerajaan pusat di atas kesediaan memberikan peluang kepada Kelantan. Sewajarnya sudah lama program sebegini diadakan di Kelantan, ini kerana di negeri inilah syariat al-Quran diberikan pertimbangan serius oleh kerajaan negeri untuk dilaksanakan.

Masyarakat Kelantan sejak dahulu lagi meminati al-Quran. Lihat sahaja siaran langsung di televisyen sepanjang majlis ini berlangsung, kehadiran melimpah ruah sehingga ada yang sanggup berdiri. Bukan sahaja pada malam perasmian bahkan malam-malam berikutnya. Malam semalam ketika keputusan diumumkan pula saya dimaklumkan kehadiran sehingga melimpah ke luar dewan. Paling menggembirakan ialah kehadiran terdiri daripada golongan muda yang datang memegang mushaf al-Quran menyemak bacaan qari dan qariah. Alhamdulillah, sambutan ini menunjukkan betapa minatnya golongan muda di Kelantan terhadap al-Quran. Inilah pembangunan rohani yang lebih mahal daripada pembangunan fizikal.

Saya juga menonton pengumuman keputusan pertandingan semalam dan sekalipun Kelantan tidak mendapat sebarang tempat sama ada dalam kategori Qari mahupun Qariah, saya yakin proses penghakiman dilaksanakan dengan telus dan jujur. Bahkan saya yakin, kebanyakan peminat majlis tilawah juga bersama-sama dengan saya meyakini proses penghakiman ini.

Banyak faktor yang menyebabkan rakyat yakin dengan penghakiman ini. Antaranya, tidak adanya blackout semasa proses pengiraan markah, para hakim pula tidaklah mengeluarkan kenyataan yang berbelit-belit dan boleh dibaca memihak kepada peserta tertentu yang bertanding. Peraturan dan pemarkahan pula jelas dan tidak bertukar-tukar di saat akhir dan paling penting, semua peserta mempunyai peluang yang sama untuk mempersembahkan bacaan. Tidak berlaku sesetengah peserta diberikan masa 20 minit manakala peserta yang lain hanya lima minit!

Alangkah baiknya jika semua pertandingan di Malaysia diadili setelus pertandingan tilawah peringkat kebangsaan ini. Sayangnya, ada juga pertandingan yang pada namanya sahaja sebuah pertandingan, tetapi diadili dengan penuh tipu muslihat yang menyebabkan hilangnya keyakinan umum kepada para pengadil.
Hari ini, setelah berlalunya peringkat membaca al-Quran, perlulah lebih serius untuk ke peringkat melaksanakan ajaran al-Quran. Pelaksanaan ajaran al-Quran inilah sewajarnya menjadi agenda utama kerajaan pada masa kini. Sayangnya, agenda ini tiada dalam ideologi selain Islam. Kepercayaan kepada hari kiamat, syurga dan neraka serta pahala dan dosa ini perlu dipupuk semula agar ia dapat menghindari rakyat dari melakukan jenayah.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW mendidik seorang pemuda yang datang memohon izin daripadanya untuk berzina. Sewaktu semua orang terkejut dan memarahi pemuda tersebut, Rasulullah SAW menggunakan pendekatan psikologi dengan bertanya adakah dia suka jika ibunya, kakaknya dan adik perempuannya dizinai oleh orang lain? Justeru, pemuda tersebut membatalkan niatnya ekoran pertanyaan yang dilontarkan oleh Rasulullah SAW. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad RA di dalam Musnadnya.

Akidah inilah yang perlu dipupuk. Ketakutan kepada Allah SWT melalui pemantapan syariat al-Quran di tengah masyarakat perlu ditekankan dengan lebih serius. Saya yakin, jika kita mampu untuk melaksanakan majlis tilawah berpuluh-puluh tahun lamanya, kita juga mampu untuk bergerak ke depan untuk mendaulatkan isi kandungannya.

Jika tidak, senario masyarakat tidak akan sampai ke mana. Justeru, betulkan pemikiran kita agar dengan itu akan betullah kehidupan masyarakat. Bayang-bayang yang betul lurus hanya akan terhasil melalui objek yang lurus!

Kuku Mahathir masih mencengkam musuh politik

Harakahdaily, 15 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan belang’ beliau dengan cuba menjadi hero apabila menggesa kerajaan supaya tidak lagi berlembut dan memberi muka kepada Pakatan Rakyat yang menurutnya berterusan memperlekeh sistem demokrasi negara.
Justeru, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan menyifatkan bekas Perdana Menteri yang sudah bersara lebih sepuluh tahun membuktikan kuku beliau masih lagi mencengkam dan gigi taring beliau masih lagi tajam untuk menusuk musuh-musuh politiknya.

“Amat malang bagi Perdana Menteri sekiranya masih mendengar dan tunduk dengan kata-kata bekas PM itu. Sepatutnya Tun Dr Mahathir duduk diam dengan melihat perkembangan politik tanah air,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Bagi Ahli Parlimen Temerloh itu, di depan ayah Menteri Besar Kedah itu ada barisan kepemimpinan baharu PM bersama anggota kabinetnya yang menjalankan tugas ketika itu.

“Berikan sepenuh kepercayaan kepada mereka dan beliau tidak perlulah ‘ringan mulut’ membuat sebarang kenyataan kerana semua pihak merasa rimas dengan kemunculan beliau, seolah-olah, dari segi jawatan rasminya beliau telah melepaskannya namun dari segi tugas beliau masih lagi menguasai dasar-dasar kerajaan,” katanya.

Beliau juga menyifatkan Mahathir mahu kerajaan sekarang mengulangi sikap keras semasa zaman pemerintahannya.

Justeru, kata beliau tidak hairanlah di zamannya, rakyat menggelarkannya sebagai diktator atau pemimpin kuku besi.

Di zamannya, kata Nasrudin, ISA paling aktif digunakan dengan beratus-ratus rakyat kebanyakannya pemimpin pembangkang dihumban ke penjara itu.

Apa yang menghairankan, ujarnya kaedah berlembut yang dikatakan Mahathir digunakan oleh kerajaan sekarang sudah menahan ramai aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat, ada yang diheret dan didakwa di mahkamah,

“Bagaimana pula jika pendekatan keras digunakan?” tanya beliau.

Dalam keadaan berlembut itu, ujar beliau kerajaan sukar melepaskan Padang Merbok untuk dijadikan lokasi perhimpunan 22 Jun 2013, sesetengah lokasi perhimpunan di negeri-negeri terpaksa diubah saat akhir, media hampir mustahil dapat digunakan oleh semua pihak terutama Pakatan Rakyat, akhbar Harakah, Suara Keadilan dan Roket dirampas di kebanyakan negeri, pegawai-pegawai kerajaan diugut dan disogok supaya jangan menyokong PR, jentera kerajaan dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan manakala sistem pilihanraya dimanipulasi sedemikian rupa oleh SPR dan lain-lain agensi kerajaan.

“Apakah itu masih berlembut?” tanya beliau lagi.

Sehubungan itu, ujarnya cukuplah kenyataan Mahathir menjadi peringatan keras buat Perdana Menteri supaya jangan mengulangi kesilapan bekas pemimpinnya itu.

Tambahnya, Mahathir pelopor kebangkitan rakyat sehingga tercetusnya peristiwa reformasi 1998 dan beliau antara punca Umno ditolak dan dibenci oleh rakyat sehingga sekarang.

“Abaikan nasihat bekas PM dan sebaiknya PM tumpukan kepada usaha membangunkan negara di samping mendengar pandangan dan keluhan rakyat di bawah,” ujarnya.

Tiada ulasan: